Cerpen: Pulangnya Sang Putera
Oleh Peter Augustine Goh
2010/09/25
DIA terkejut seperti musang yang terkena jerat pelanduk. Sakit dan pedih bisa. Sakit, kerana
orang yang disayanginya tidak lagi tinggal di rumah tiga bilik yang belum habis dibayar itu.
Sudah didiami keluarga lain. Rumah yang banyak meninggalkan kenangan manis. Dan tidak
kurang pahit. Pedih bisa, kerana orang yang dikasihinya itu juga tidak lagi merupakan wanita
yang bernama ibu seperti dulu-dulu. Sudah jauh berbeza. Seperti langit dengan bumi.
Sebaik saja berita itu terhambur, dia rasa hatinya hancur. Terasa kunci pintu keterharuan terbuka.
Gerimis kesepian tertempias ke hatinya yang sebak. Perlahan-lahan gerimis itu kian garang dan
menjadi hujan kepiluan yang lebat. Basah dengan air hiba yang mencurah-mencurah.
Tidak lama selepas itu, dia menjadi macam kucing hendak beranak. Ke arah lif tidak kena, ke
arah tangga dari tingkat lima juga tidak kena.
Ibuuu!
Jelas jeritan itu hanya bersipongang dalam diri. Bersahut-sahutan dari satu relung ke satu relung
dalam hatinya yang robek. Dia akhirnya memutuskan untuk turun melalui tangga dengan amat
payah. Terasa kakinya menggeletar. Lemah satu macam. Sesampai saja di tingkat tiga, dia
terduduk kebodoh-bodohan di salah satu anak tangga. Dia membiarkan saja angin dua petang
yang berhembus tajam dan berhaba panas menyapu-nyapu mukanya yang bujur sirih dan
mengusap-ngusap rambutnya yang jarang.
Mak Eton menggeleng-geleng, tanda amat mengerti akan keadaannya yang meninggalkan
koridor tadi dengan wajah yang mencerminkan semacam kemuraman. Ada percikan simpati
berbunga di mata hati bekas jiran keluarganya suatu masa dahulu.
Dia masih terduduk kebodoh-bodohan. Bahunya terenjut-enjut galak. Air mata menjujuh terus.
Di anak tangga dekat dinding itu, dia bagaikan ternampak kota Los Angeles atau LA menaruh
kesayuan di ruang kecil yang berjeriji. Di Kota Singa ketika dia di LA pula melagukan irama
menyayat hati. Manakan tidak? Kerana irama belasungkawa rupa-rupanya terisi di rumah tiga
bilik enam tahun yang lalu.
Ayahhh!
Kalau aku tak merengkuk di LA dulu, aku tak akan jadi macam ini, bisik hatinya. Ibu tak jadi
macam ini juga! Ayah sempat aku lihat dan selamat dikebumikan.
Mata: Apa gunanya melimpahkan air jernih? Apakah mahu menunjukkan kepada satu dunia
yang kau kaya dengan air mata? Ah, menjengkelkan.
Hati: Tahukah kau sesal memang tak berguna lagi?
Kaki: Kaulah yang membuat aku terobek kalbu kini. Kalau kau tak nakal dan gatal hendak
meninggalkan tanah air kerana patah hati dek seorang perempuan semata-mata, aku sudah boleh
menjaga ibu sekarang. Biar penat, biar lelah. Demi ibu, aku rela! Tapi apa gunanya kesal kini.
Hati:Mengapa pedih sampai tak terkata?
Kaki: Kenapa masih lemah dan menggeletar terus?
“Razali, ayah kau telah berpulang enam tahun yang lalu. Sejak itu, ibu kau amat kesepian. Dia
macam patah sayap. Menantikan kau pulang siang dan malam.”
Kata-kata Mak Eton yang menghambat hati tadi terngiang-ngiang jelas, seolah-olah lebih
mengejeknya daripada menjala simpati. Dia dapat merasakan Mak Eton melaknatinya. Pada
tahap itu, dia ingin menjelaskan bahawa dia bukannya anak lelaki tunggal yang seperti kacang
lupakan kulit. Tidak sesekali. Memang dia telah senyap-senyap ke LA setelah mendapat tahu
Asmah berkahwin dengan Harun, lelaki pilihan keluarganya. Dia mahu berhijrah ke bumi
Amerika. Di sana kata kawannya, Murad, dia boleh mendapat banyak wang walaupun bekerja
sebagai penyembelih daging. Dia boleh merekomenkannya kerana dia sudah menjadi rakyat
tetap dan isterinya rakyat tempatan di sana. Apa gunanya memberitahu Mak Eton yang dia mahu
menaburkan wang di mata keluarga Asmah betapa dia juga boleh sekaya Harun. Nanti Mak Eton
akan mengecap dia cuba memancing simpati. Lebih buruk lagi cuba menegakkan benang basah.
Lebih buruk lahi (JANGAN TUKAR MAKSUDNYA LALAI), kerana seorang perempuan, dia
habis!
Bodoh!
Tiada gunanya!
Iya, apa gunanya memberitahu kebodohannya kalau hanya meremukkan lagi hatinya kini yang
sudah terobek dan berdarah. Mak Eton, bisik hati kecilnya. Di LA aku rasakan aku rajin bekerja.
Kumpul banyak duit. Bila sudah berada, boleh buka mata Asmah dan keluarganya. Anak
pemandu teksi juga boleh berjaya.
Hati: Bersabarlah. Aku tahu tangkai kau macam hendak terputus bila memikirkan tak berapa
lama bekerja sebagai penyembelih daging, tuan kau ini bagaikan ‘disembelih’ nasib yang
malang.
Iya, aku telah berada di tempat dan pada masa yang salah. Tidak, memang tidak salah aku berada
di luar pub, tapi ada seorang pelacur dibunuh orang dan aku disalahkan. Aku tersalah masa.
Ketika itu, aku sedang berjalan pulang, mabuk-mabuk ke apartmen yang aku sewa. Aku tak
sedarkan diri. Kepalaku dihantuk kuat dari belakang dengan sesuatu yang bulat dan keras. Bila
terjaga, ada pisau di tangan kananku. Di sebelahku, ada seorang pelacur dengan mata terbeliak.
Kata orang mati begitu tandanya mati yang tidak puas.
Apakah mangsa itu tahu aku bukan penyembelih nyawanya? Aku dikhianati. Aku dianiayai.
Darah di pangkal susunya yang subur itu padan dengan darah di pisau dan tanganku. Aku benar-
benar kehilangan punca dan tidak dapat nafikan ujian DNA pengesah bicara pada malam selasa
di pinggir kota LA sekali gus menutup kes hasil para penyiasat yang bijaksana. Inikah LA yang
kononnya boleh menjadikan aku kaya raya?
Murad!
Di mana kau bila aku tersepit?
Inikah yang dikatakan kawan?
Aku tersasar. Indah khabar daripada rupa. Atau inikah balasan membelakangi ibu bapa?
Tangan: Kalau kau boleh berkata-kata, alangkah indahnya nasibku. Tak akan aku terpaksa
mengaku pada dakwaan atau pertuduhan cuba membunuh tanpa niat ke atas pelacur kulit putih
berambut perang muda. Aku tahu aku tak berwang untuk mendapatkan guaman yang cekap lagi
hebat dan cara mudah ialah mengaku saja pada pertuduhan itu. Mudah untuk semua pihak.
Iya, biarlah aku merengkuk sepuluh tahun daripada dipenjara seumur hidup atau diragut nyawa
terus.
Hati: Kau tahu ketika di ruang berjeriji aku mahu cepat-cepat pulang. Mahu bertaubat. Mahu
meminta maaf kepada ayah dan ibu. Dari satu Hari Raya ke satu Hari Raya, dari satu musim ke
satu musim, kau pedih tak keruan. Dan kali ini bila ada peluang berhari raya bersama, kau
berdarah maha hebat. Terusik dahsyat.
Ibuuu!
Ayahhh!
Tapi arwah ayah dan ibunya tidak dapat mendengar jeritan dalam dirinya. Tidak tahu dia di
perantauan dan telah disembelih keadaan yang kejam. Masyarakat banyak yang buruk sangka.
Menuduh dia tak kenang jasa orang tua. Ikut emosi dan hati saja. Kerana seorang perempuan
memang dia habis semua.
“Razali, tak lama selepas ayah kau kembali ke Rahmatullah, percakapan ibu kau tak lagi lancar.
Nasibnya baik, kerana dia sembuh daripada angin ahmar, walaupun percakapannya masih
terjejas sedikit. Dia mendapat bantuan badan kebajikan sebanyak $200/- sebulan. Dapat makan
tiga kali sehari. Tapi ....”
“Tapi apa mak cik?”
“Tapi dia kesepian. Dia mungkin cukup makan minum tapi dia laparkan kemesraan dan
dahagakan kasih sayang kau! Dia menantikan kau siang malam di muka pintu. Ibu kau sebelum
kena demensia, dia kerap ke kedai kopi di bawah sana tu. Dia berharap ada kawan yang lalu dan
berbual-bual mengisi masa untuk menghalau kesepian itu. Tapi bila dia pulang, dia akan tunggu
kau di situ,” tingkah Mak Eton panjang lebar sambil menunjukkan ke daun pintu rumah sebelah,
semakin ke hujung semakin bergetar panjang. Satu tanda dia benar-benar turut terharu.
Tanpa ditanya lagi, Mak Eton terus menyambung bila melihat Razali menekur lantai kebodoh-
bodohan, “Ibu kau bela kucing. Lihat tu, kucingnya di atas sofa dekat TV. Bila mak kau kena
demensia dan dijaga oleh rumah penjagaan untuk pesakit-pesakit demensia, mak cik ambil dan
membelanya. Tahukah kau kucing yang mak kau kutip di longkang dulu itu, pandai mengiau,
memanggil mak kau ‘mama’?”
Ya Allah. Pada tahap itu Razali merasakan Mak Eton seperti mentertawakannya penuh serius.
Manakan tidak? Kerana kucing jalanan berwarna kelabu lebih berguna mengusir kesepian
seorang ibu tua daripada anak dari darah daging sendiri yang hanya pandai merengkuk di penjara
LA selama 10 tahun.
Huhhh!
Razali mengeluh panjang. Sepuluh tahun bukan satu tempoh waktu yang singkat. Dalam 10
tahun banyak perkara yang baik-baik dan mulus-mulus boleh dilakukan. Lebih-lebih lagi
menabur budi dan bakti kepada orang tua sendiri.
Kini Razali seperti mendapat tenaga baru. Dia menyeka air matanya yang laju membasahi pipi.
Jauh di dasar hatinya yang amat terusik, dia bertekad bulat, “Aku akan menemui ibu di rumah
kebajikan itu. Akan aku dekatinya sepanjang masa. Walaupun ibu tak lagi kenal aku kerana
demensia, aku akan sujud di kakinya. Meminta ampun. Akan kukucupnya. Akan aku dakapnya
sepuas-puasnya.”
Razali sudah melewati tangga-tangga dan kolong flat. Pantas berjalan ke arah pinggir jalan.
Menahan teksi untuk membawa dia ke rumah kebajikan yang dimaksudkan Mak Eton.
Dalam teksi, Razali dapat melihat bangunan-bangunan pencakar langit yang tersergam indah dan
gah serta pokok-pokok yang menghiasi jalan seperti berlari-lari ke belakang. Sekali gus
mengingatkan dia untuk berlari juga meninggalkan kisah silam yang pahit.
Ibuuu!
Saya datang!
Anak ibu sudah pulang!
Kini, ibunya bagaikan datang merapat ke ruang matanya dalam teksi yang dipandu lelaki Cina.
Ibunya pernah berpesan, “Razali, ibu dan ayah sudah tua. Entah bila akan dipanggil Allah. Ibu
cuma ada satu pesan. Biar sesat jalan, jangan hilang. Kalau sesat, boleh kembali ke pangkal
jalan. Sesat boleh berubah menjadi baik. Sesat boleh insaf dan bertaubat. Tanyalah mereka yang
sesat jalan. Sesat akidah. Tapi kalau dah hilang sesuatu yag berharga dan bermakna, sukar
hendak ditemui. Atau dipulih. Sukakah kau kalau hilang kuasa? Hilang arah? Hilang iman?
Hilang ingatan?”
Bercakap tentang hilang ingatan, Razali kembali gundah. Ibunya yang menghidapi demensia
sukar untuk dipulihkan dan dia menjadi semakin pilu.
Kepiluan itu bagaikan sampai di puncak apabila sampai saja di katil di mana ibunya sedang
bangun duduk, Razali seperti mahu menjerit keterharuan. Lupa sekejap untuk melutut dan
bersujud di kaki ibunya yang kelihatan lebih tua daripada usianya yang mencecah 75 tahun.
Rambutnya kusut dan wajahnya yang layu dan kering berkedut. Matanya terperosok ke dalam.
Mulutnya ternganga luas menampakkan gusi yang bergigi tak seberapa. Pipinya yang cengkung
dan tubuhnya yang kurus benar-benar memancing simpati. Lupa sekejap meminta maaf. Lupa
sekejap untuk mengucup dahi ibu dan lupa sekejap untuk mendakap erat-erat melepas rindu.
“Beginilah dia selalu, Encik Razali,” ujar pekerja wanita 30 tahun, 25 tahun lebih muda daripada
Razali. “Ibu encik suka bermain-main dengan anak patung. Dia amat sayang dan rindukan anak
patung itu.”
Razali terasa terpukul, seolah-olah kini giliran pekerja wanita itu pula untuk mentertawakannya
penuh sinis. Perlahan-lahan dia mendekati ibunya. Ibunya tak mengendahkannya. Tak kenal dia
siapa. Dia hanya kenal si anak patung dan terus didakapnya erat-erat. Dalam hati Razali, dia
merasakan anak patung itu adalah dia sendiri. Dia memanggil ibunya. Tapi ibunya memandang
kosong kepadanya, seolah-olah memberitahunya dia tidak kenal langsung. Pada tahap itu, dia
memang seberani angan-angan ketika dalam teksi tadi. Dia bersujud di kaki ibu dan pekerja
wanita menyaksikan bahunya terenjut-enjut hebat. Hebat sekali. Dan wanita gebu bangsa India
itu turut sekaki. Tanda dia amat mengerti, walaupun si ibu tua tidak mengerti apa-apa, ada
seorang puteranya bergelar anak bersujud dan mengucup kakinya.
INFO Penulis
PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953
dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam
perkhidmatan awam di Singapura. Bidang penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel
kanakkanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel,
novel kanakkanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenanginya ialah Hadiah
Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003. Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan
Pustaka Nasional dicalonkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan
Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai (1999) dan antologi cerpen,
Teruskan Ceritamu Pak Dalang (1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih
Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura
2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP