SIMPTOM DISLEKSIA VISUAL DALAM KALANGAN
KANAK-KANAK
Nurul Hazirah Hariri
Nurin Syahindah Suhaime
Najwa Syafiah Abdullah
Nur Farhanah Farzana Rosmahidi
Nur Syamimi Nusrah Suhaili
INSTITUT PENDIDIKAN GURU, KAMPUS PENDIDIKAN ISLAM, BANGI, SELANGOR
SIMPTOM DISLEKSIA VISUAL DALAM KALANGAN KANAK-KANAK.
1.0 Pengenalan
Disleksia ialah kecacatan perkembangan intelektual yang mempengaruhi secara
khusus kebolehan seseorang kanak-kanak (Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, 2010).
Disleksia merupakan satu bentuk gangguan yang menyebabkan kanak-kanak melihat huruf,
nombor atau perkataan secara luar biasa serta sukar untuk menyesuaikan bunyinya dengan
perkataan yang dibaca kerana kecelaruan huruf. Kanak-kanak disleksia tidak dapat
membaca, menulis dan mengeja mengikut kemampuan intelektual mereka sama seperti
kanak-kanak yang normal (Vijayaletchumy Subramaniam dan Kavenia Kunasegran, 2019).
Punca disleksia adalah disebabkan oleh proses sintesis maklumat terganggu dan
berkemungkinan besar diwarisi tetapi yang membezakannya adalah tahap keterukannya
(Mazira Ghazali, 2015). Guru di Malaysia tidak didedahkan dengan pengetahuan dan
kemahiran untuk mengenal pasti dan mengatasi disleksia dalam kalangan pelajar kerana
intervensi yang terhad di Malaysia (Sariah Amirin, 2001, seperti yang dirujuk dalam
Vijayaletchumy Subramaniam dan Kavenia Kunasegran, 2019). Masalah disleksia ini
menyebabkan kanak-kanak tidak dapat menguasai kemahiran asas seterusnya mereka tidak
dapat melalui proses pembelajaran dengan normal. Dalam penulisan ini, penulis akan
membincangkan dengan lebih mendalam tentang simptom yang dihidapi oleh kanak-kanak
disleksia visual dari segi analisis, kategori dan langkah mengenal pasti simptom ini dalam
kalangan kanak-kanak.
2.0 Analisis Simptom Disleksia Visual
Sebuah kajian berkaitan simptom disleksia kanak-kanak prasekolah telah dijalankan
dengan menggunakan kaedah instrumen The Dyslexia Early Screening Test (DEST). Dalam
instrumen ini, seramai 40 orang kanak-kanak telah diuji dari segi tahap ingatan memori,
pengetahuan, kemahiran serta deria persepsi. Berdasarkan kajian tersebut, terdapat 27.5%
kanak-kanak yang didapati mempunyai simptom berisiko disleksia visual manakala, terdapat
15% kanak-kanak yang menunjukkan skala sangat berisiko mempunyai simptom disleksia
visual. Selain itu, terdapat seramai 11 orang kanak-kanak dikesan mendapat indeks 1.1
hingga 1.5. Kajian ini mendapati 15% kanak-kanak yang diuji adalah sangat berisiko
mempunyai simptom disleksia manakala 12.5% didapati sekadar berisiko tahap sederhana.
Dapatan ini diperoleh melalui pelbagai aspek tidak hanya terbatas pada akademik semata-
mata bahkan turut melibatkan aspek kehidupan dan tingkah laku kanak-kanak yang terlibat
(Rohaty Mohd Majzub dan Shafie Mohd. Nor, 2005). Menerusi hasil dapatan yang diperoleh,
jumlah kanak-kanak yang dinyatakan sangat berisiko mempunyai simptom disleksia adalah
tinggi dan ini mencetuskan kebimbangan dalam sistem pendidikan negara. Masalah ini mesti
dikesan pada peringkat awal supaya tidak menjejaskan kemampuan kanak-kanak ini dalam
membina kecemerlangan dan kejayaan dalam bidang akademik. Bukan itu sahaja, menurut
pemerhatian dan analisis penyelidik juga, apabila data yang diperoleh diasingkan mengikut
jantina, mereka telah mendapati bahawa kanak-kanak lelaki lebih ramai mempunyai simptom
disleksia ini berbanding kanak-kanak perempuan yang dikaji. Kebanyakan daripada kanak-
kanak ini menghadapi kesukaran dalam ujian menamakan huruf atau abjad, ujian mengenal
pasti sebutan huruf serta ujian membezakan bunyi.
3.0 Kategori Simptom Disleksia Visual
Simptom disleksia visual dibahagikan kepada beberapa kategori bagi memudahkan
proses mengenalpasti atau pengesanan masalah disleksia dalam kalangan kanak-kanak.
Pengetahuan berkaitan kategori-kategori simptom ini dapat membantu golongan guru untuk
menjadi lebih peka dengan masalah disleksia yang dihadapi oleh murid mereka. Ini adalah
penting bagi menjamin masa depan anak-anak ini yang cerah walaupun mempunyai masalah
dalam pembelajaran namun ianya boleh diatasi sekiranya melalui cara yang pengajaran dan
pembelajaran yang sesuai dan tepat untuk gaya pembelajaran kanak-kanak disleksia.
Kategori bagi memudahkan proses mengenalpasti simptom disleksia visual boleh
dibahagikan dalam kategori seperti kategori am, tingkah laku, lisan, mengeja, membaca,
menulis serta nombor.
3.1 Simptom Kategori Am
Melalui pemerhatian dan temu bual dengan guru di Pusat Persatuan Disleksia
Malaysia, terdapat 7 kategori simptom disleksia visual yang dialami oleh kanak-kanak
disleksia dapat dikenal pasti. Antaranya termasuklah kategori am. Kanak-kanak sukar untuk
menyebut perkataan panjang. Mereka akan merasakan kepayahan dalam menyebut sebutan
yang bersambung dalam suatu perkataan yang panjang. Selain itu, kanak-kanak yang
mempunyai masalah disleksia melalui kategori am ini juga mempunyai masalah kekeliruan
antara arah kiri dan kanan. Mereka akan cenderung untuk tertukar arah dan menentukan arah
sesuka hati mereka. Hal ini amat membimbangkan khususnya bagi ibu bapa kanak-kanak
tersebut kerana mereka berisiko besar untuk sesat dan tidak jumpa jalan pulang lebih-lebih
lagi apabila berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai. Maka, ibu bapa hendaklah
sentiasa berwaspada dan memperhatikan kanak-kanak tersebut agar keselamatan anak-anak
mereka terjamin. Kanak-kanak disleksia juga sukar untuk menumpukan perhatian. Daya
ingatan kanak-kanak disleksik adalah kurang baik dan ini menyebabkan mereka tidak
berkeyakinan dalam apa jua tindakan yang dilakukan. Mereka sering lupa tentang sesuatu
perkara tidak kira perkara penting mahupun tidak penting. Oleh itu, mereka tidak boleh
diganggu ketika sedang melakukan suatu perkara dan tidak boleh fokus dalam tempoh masa
yang panjang. Simptom kategori am lain yang ketara dalam kalangan kanak-kanak disleksik
ialah mereka sukar memahami konsep masa. Mereka akan mengalami kesukaran dalam
mengetahui waktu dan masa dan tidak dapat membaca jam dengan betul. Perwatakan
mereka juga sering dilihat sebagai hyper atau daydreamer. Hal ini akan mengganggu tahap
kefokusan kanak-kanak ini dalam pembelajaran. Namun begitu, kanak-kanak disleksia
mempunyai keistimewaan tersendiri misalnya daya imaginasi yang tinggi, mampu berfikir dari
pelbagai dimensi, mempunyai kemahiran tangan serta sangat kreatif. Antara tokoh ternama
yang mengalami disleksia ialah Lee Kuan Yew, ahli politik serta Albert Einstein, saintis
terkemuka (My Health Kementerian Kesihatan Malaysia, 2015).
3.2 Simptom Kategori Tingkah Laku
Bagi kanak-kanak penghidap disleksia, mereka dilihat mudah terganggu dengan
suasana sekeliling mereka dan mudah hilang tumpuan. Sikap sentiasa mengalihkan perhatian
ke perkara lain turut menjadi simptom kanak-kanak penghidap disleksia di mana mereka tidak
boleh diganggu kerana mereka akan hilang tumpuan dalam melakukan sesuatu perkara.
Mereka juga cenderung untuk bertindak agresif sekiranya terdapat ancaman terhadap
mereka walaupun sebahagian daripada mereka dilihat sebagai pendiam. Hal ini demikian
kerana mereka mempunyai pelbagai kelakuan yang sering berubah-ubah dan selalu
mengelak untuk melakukan sebarang kerja yang diberikan. Antara tingkah laku yang sering
ditunjukkan oleh mereka juga ialah selalu tidak mahu menjawab soalan yang dilontarkan oleh
guru serta enggan pergi ke sekolah. Hal ini perlu diberi perhatian oleh ibu bapa supaya mahir
dalam menangani sikap mereka. Sesetengah pihak yang mahir sahaja mampu menarik
perhatian mereka untuk membuat kerja yang diarahkan. Kanak-kanak penghidap disleksia
tidak peka dalam menghadapi situasi bahaya yang disebabkan oleh proses tindak balas yang
lambat diperolehi mereka. Kanak-kanak dengan tahap pembelajaran yang tinggi akan lebih
menonjolkan simptom-simptom ini berbanding kanak-kanak dengan tahap pembelajaran
rendah kerana mereka lebih berumur dan keperibadian yang lebih jelas ditunjukkan apabila
berinteraksi dengan orang lain.
3.3 Simptom Kategori Lisan
Masalah lisan apabila dispesifikkan mengikut tahap pembelajaran, tidak mempunyai
perbezaan yang sangat besar. Kanak-kanak disleksia sukar untuk memahami dan
melaksanakan sesebuah arahan, gagap dalam menuturkan sesuatu percakapan. Oleh itu,
mereka sering mengulang semula apa yang hendak diperkatakan apabila berasa tertekan.
Seterusnya, kanak-kanak penghidap disleksia sering menuturkan ayat yang tidak lengkap
dan jelas serta sukar dalam menyebut perkataan yang panjang. Simptom sukar untuk
menyampaikan fikirannya secara lisan dan apa yang terbuku di minda mereka juga sering
ditunjukkan oleh penghidap disleksia. Kanak-kanak seperti mereka ini mempunyai perbezaan
dengan kanak-kanak normal yang lain di mana mereka lambat dalam bertindak balas dengan
apa yang dituturkan oleh orang sekeliling mereka. Mereka mempunyai masalah dalam
memahami dan menyampaikan fikiran mereka secara lisan berdasarkan pemerhatian yang
telah dilakukan dalam kajian. Lebih serius lagi, guru dan kanak-kanak disleksia tidak dapat
berkomunikasi dan berinteraksi dengan berkesan di dalam kelas . Oleh yang demikian, guru
terpaksa mencari inisiatif lain yang lebih menarik dan inovatif bagi memastikan pembelajaran
di dalam kelas bersama kanak-kanak ini adalah produktif.
3.4 Simptom Kategori Mengeja
Kesukaran utama yang dihadapi oleh kanak-kanak disleksia dalam proses mengeja
adalah mereka sukar mengenal dan mengingat abjad serta konfigurasi perkataan. Simbol-
simbol perkataan yang dicetak juga sukar untuk diterjemahkan. Ada juga antara kanak-kanak
disleksia melihat perkataan dengan susunan terbalik atau pada penglihatan mereka, abjad-
abjad kelihatan songsang. Kanak-kanak yang mempunyai masalah disleksia mempunyai
perbezaan di mana mereka berasa keliru dengan bentuk huruf yang sama menyebabkan
mereka tidak dapat membezakan bentuk huruf-huruf tersebut. Simptom mereka bertambah
serius apabila penghidap disleksia ini melakukan penambahan huruf pada perkataan apabila
menulis serta turut meninggalkan huruf apabila mengeja disebabkan kekeliruan otak yang
dialami. Semasa proses menulis, murid turut menulis secara terbalik juga sukar dalam
menyalin semula perkataan yang diberikan. Simptom disleksia visual yang ketara mengikut
tahap pembelajaran murid disleksia dapat dirumuskan bahawa secara umumnya murid-murid
disleksia mengalami kecelaruan bahasa terutamanya berlaku pada ejaan, bacaan dan tulisan
dalam prsoses pembelajaran dan perlu mempraktikkan kaedah pembelajaran yang lebih
sesuai.
3.5 Simptom Kategori Membaca
Kesukaran dalam membaca bagi kanak-kanak disleksia adalah amat teruk. Pengkaji
merumuskan bahawa simptom membaca murid disleksia paling tidak ketara apabila murid
berada di tahap rendah kerana kelemahannya dalam proses pembelajaran masih belum jelas.
Namun, kekurangan dan kelemahan kanak-kanak disleksia dalam proses pembacaan lebih
jelas ditunjukkan apabila murid disleksia berada di tahap pembelajaran sederhana dan tinggi.
Hal ini disebabkan oleh kelemahan untuk memproses tulisan secara visual dan audio. Mereka
cenderung untuk melangkau apabila membaca, sukar menyalin semula maklumat, tidak
memahami apa yang dibaca dan tulisan mereka itu tidak seragam. Mereka juga sering
menggunakan sebutan yang salah dan sukar memegang pensil. Kesannya, kemahiran
membaca mereka tidak lancar sekali gus hasil tulisan tangan mereka adalah buruk dan tidak
kemas. Kanak-kanak yang mengalami disleksia disarankan agar diberhentikan segera untuk
membaca dan digantikan cara pembelajarannya dengan mengenal pasti huruf yang terkeliru
tersebut seperti huruf ‘b’ atau ‘d’ serta huruf ‘p’ dianggap sebagai ‘q’ yang sering mengganggu
sebutan lancar kanak-kanak. Usaha seperti ini diyakini dapat mengurangkan kekeliruan
kanak-kanak pada masa pembacaan akan datang (Mazira Ghazali, 2015).
3.6 Simptom Kategori Keupayaan Menulis
Keupayaan menulis bagi kanak-kanak disleksia adalah terbatas. Pengkaji mendapati
bahawa murid disleksia lebih ketara menunjukkan simptom keupayaan menulis apabila
berada pada tahap pembelajaran rendah kerana masalah yang dijelaskan dalam faktor ini
lebih ditunjukkan pada peringkat awal proses pembelajaran murid disleksia berbanding
dengan tahap pembelajaran sederhana dan tinggi. Kanak-kanak disleksia akan mengalami
kesukaran untuk menulis atau memindahkan maklumat ke atas kertas. Hal ini kerana, kanak-
kanak disleksia mengalami kesukaran untuk mereka merealisasikan fikiran mereka sekali gus
menyebabkan mereka tidak dapat menulis dan mengeja apa yang difikirkan. Kadangkala
mereka perlu fikir begitu lama susunan huruf sehingga mereka lupa apa yang mereka sedang
cuba menulis. Hal ini juga akan menyebabkan mereka sukar menyalin maklumat atau meniru
sesuatu dari papan tulis atau buku teks serta apa yang dikatakan atau disebut oleh
guru. Mereka akan meninggalkan atau menyelit perkataan dan huruf menyebabkan mereka
terpaksa menyalin daripada rakan. Simptom lain yang dihadapi oleh murid disleksia ialah
mereka tidak dapat menulis mengikut garisan yang disediakan dalam buku,
mencampuradukkan huruf besar dan huruf kecil menyebabkan hasil tulisan yang buruk.
Kanak-kanak ini juga cenderung untuk menulis perkataan yang pelik.
3.7 Simptom Kategori Nombor
Kanak-kanak ini juga menghadapi kesukaran dalam pembelajaran yang berkaitan
dengan nombor dan matematik . Terdapat kekeliruan terhadap tanda dan simbol serta suka
menterbalikkan nombor yang sama. Kanak-kanak penghidap disleksia sukar untuk mengenal
dan membaca nombor yang ditunjukkan kepada mereka serta sukar dalam mengingati sifir.
Seterusnya, simptom yang dapat dilihat ialah mereka mengalami masalah dalam menyalin
semula nombor serta tidak menulis nombor dalam garisan sama. Maka, secara ringkasnya
kanak-kanak ini sukar mengingat abjad. Berdasarkan kajian yang telah dibuat, simptom
disleksia yang ketara mengikut tahap pembelajaran murid disleksia, ketiga-tiga tahap iaitu
rendah, sederhana dan tinggi memperoleh dapatan atau tahap yang sama banyak. Hal ini
menunjukkan masalah berkaitan nombor oleh murid-murid disleksia tidak begitu ketara dalam
kalangan murid disleksia yang mempunyai disleksia visual yang mana dalam
kalangan mereka lebih banyak mempunyai masalah dari segi bacaan dan tulisan.
4.0 Langkah Mengenal Pasti Simptom Disleksia Dalam Kalangan Kanak-Kanak
Hasil kajian menunjukkan kehadiran simptom disleksia visual adalah teruk. Mengikut
standard yang ditetapkan, ia dibahagikan kepada ketara dan tidak ketara. Kita boleh
mengenal seseorang itu mengalami disleksia adalah melalui simptom-simptom dyslexia.
Instrumen-instrumen untuk mengenal pasti simptom disleksia dalam kalangan pelajar telah
dikategorikan mengikut kajian yang dianalisis oleh Vijayaletchumy Subramaniam. Secara
umumnya, disleksia bukan penyakit malah patologi yang boleh dirawat.
Salah satu daripada simptom disleksia am ialah seseorang itu nampak pandai, namun
tidak boleh membaca, menulis atau mengeja. Selain itu, kanak-kanak disleksia ini mempunyai
celaru dalam menentukan arah kiri dan kanan serta sukar untuk membentuk turutan nombor
seperti tertukar hari dan masa. Kelebihan yang dianugerahkan kepada mereka ialah memiliki
pemikiran atau Intelligent Quotient (IQ) yang tinggi, namun mereka tidak mampu menjawab
peperiksaan yang mengikut format atau cara yang ditetapkan kerana mereka menganggap
hal itu sebagai sesuatu yang sukar dan membebankan. Walaupun mereka ini mempunyai
daya ingatan yang lemah, namun mereka ini sangat berbakat sekiranya dilatih secara
konsisten dan menggunakan teknik dan cara pengajaran yang tepat.
Selain itu, cara untuk mengenal pasti kanak- kanak disleksia adalah dengan menilai
dari konsep tingkah laku mereka (Bavani Sagathevan, 2013). Jika mereka seorang yang
pendiam, orang yang telampau mesra, seorang yang tingkah laku perbuatan yang berubah-
ubah, kita dapat diagnosis bahawa mereka ini mengalami kelainan iaitu disleksia. Tambahan
lagi, kanak-kanak disleksia ini sangat jarang mahu menjawab soalan dalam kelas. Contohnya,
apabila disoal oleh guru, mereka sentiasa mengelak kerja dengan melakukan kerja lain.
Kaedah mengenalpasti yang seterusnya ialah mereka ini bermasalah dalam mengeja.
Kanak- kanak ini mula keliru dengan huruf yang hampir sama bentuknya seperti huruf 'd' dan
'b' (Aminah Kasim, 2020) Ada sesetengah kanak- kanak menunjukkan perbezaannya dengan
menulis perkataan dalam susunan terbalik. Penambahan dan pengurangan huruf dalam
penulisan itu biasa bagi pelajar- pelajar ini kerana mereka sudah terbiasa dengan sebegitu.
Dari sini kita dapat kenali dan tahu bahawa pelajar ini mengalami disleksia. Tambahan pula,
mereka juga mengalami kesukaran belajar puisi berima (Farizah Mohd Akbal, 2019).
Di samping itu, gejala kanak- kanak disleksia ialah gejala mulut ketika mereka sedang
berbual atau menginginkan sesuatu. Antaranya ialah mereka mengalami kesukaran dalam
memahami arahan lisan. Sebagai contoh, ketika ibu menyuruh berbuat sesuatu, mereka tidak
boleh melakukannya dengan asbab kurang kefahaman dalam menerima perintah. Kontranya,
mereka ini sering menyebut ayat yang tidak lengkap seperti perkataan panjang tersalah ejaan.
Tuntasnya , melalui gaya percakapan, kita boleh mengenal seseorang itu.
5.0 Kesimpulan
Secara keseluruhannya, masalah disleksia visual dalam kalangan kanak-kanak ini
bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana sekiranya tidak dapat dikesan dari
awal, ianya mampu mendatangkan kesan yang besar dalam kehidupan kanak-kanak tersebut
semasa dewasa kelak. Hal ini kerana, kanak-kanak disleksia ini mempunyai masalah yang
ketara dalam menguasai kemahiran mengenal huruf dan nombor, kemahiran mengeja,
kemahiran membaca serta menulis. Kesemua kemahiran ini merupakan kemahiran asas bagi
setiap pelajar yang mesti dikuasai dalam proses pembelajaran.Tanpa menguasai kemahiran
asas ini, kanak-kanak tidak boleh melalui proses pembelajaran yang normal sepanjang zaman
persekolahannya. Maka, sebagai golongan pendidik yang berwibawa, ilmu berkaitan masalah
disleksia ini mestilah diambil tahu dan dikuasai agar dapat digunakan sebaiknya dalam
kehidupan realiti supaya kanak-kanak disleksia ini mendapat bantuan pembelajaran
seawalnya bagi memastikan jurang antara mereka dengan kanak-kanak normal tidak jauh.
Oleh itu, jelaslah bahawa kepekaan semua pihak termasuklah golongan pendidik dan ibu
bapa memainkan peranan yang besar dalam membantu kanak-kanak yang mempunyai
masalah disleksia ini. Simptom- simptom yang telah disenaraikan dalam perbincangan di atas
boleh dijadikan sebagai indikator atau panduan bagi mengenal pasti simptom disleksia visual
dalam kalangan kanak-kanak.
RUJUKAN
Aminah Kassim (2020, Ogos 28). Disleksia. Myhealth Kementerian Kesihatan
Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/disleksia/
Bavani Sagathevan. (2013). Kaedah Pengajaran Bahasa. Pendidikan Disleksia.
https://www.scribd.com/doc/168508874/Tajuk-4-Kaedah-Pengajaran-Bahasa
Faizah Mohd Ikbal. (2019, September 13). Disleksia. Hello Doktor Medical Penal.
https://hellodoktor.com/keibubapaan/disleksia/
Farhana. (2011, September 12). Disleksia - portal myhealth. portal myhealth.
http://www.myhealth.gov.my/disleksia/
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Dewan Bahasa Dan Pustaka:
Disleksia. https://docs.google.com/document/d/1DEx9JpIZrIcyNtJ9d-
1djMgYDrZ3MGQeGvXms3PsqyU/edit?usp=sharing
Mazira Ghazali. (2015, Mei 29). Masalah Disleksia | MajalahSains. Majalah
Sains. https://www.majalahsains.com/penyakit-disleksia penyelidikan-
pendidikan-jilid-20-tahun-2019/file
My Health Kementerian Kesihatan Malaysia. (2015). Disleksia.
http://www.myhealth.gov.my/disleksia/
Rohaty Mohd Majzub & Shafie Mohd. Nor. (2005). Simptom Disleksia Kanak-Kanak
Prasekolah. Jurnal Pendidikan, 3-19.
https://www.researchgate.net/publication/242172399_Simptom_Disleksia_Ka
nak-kanak_Prasekolah
Vijayaletchumy Subramaniam & Kavenia Kunasegran. (2019). Simptom Disleksia
Visual Vs. Tahap Pembelajaran Kanak-Kanak Disleksia. Jurnal Penyelidikan
Pendidikan,Jilid 20.144-152. https://www.moe.gov.my/menumedia/media-
cetak/penerbitan/jurnal/3146-jurnal-