ARAHAN:
1. Baca cerpen ‘Kasih Ibu Sepanjang Hayat’ secara mentalis.
2. Fahamkan cerita yang hendak disampaikan.
3. Gariskan ayat-ayat tanya yang terdapat dalam cerpen tersebut.
4. Senaraikan ayat-ayat tanya yang digariskan dan jawab kuiz pada
pautan https://wordwall.net/resource/5436357/padankan-ayat-
tanya-berdasarkan-cerpen-kasih-ibu-sepanjang
5. Kemudian, baca ayat-ayat tanya yang disenaraikan secara
mekanis dengan sebutan yang betul dan intonasi yang jelas.
CERPEN
KASIH IBU
SEPANJANG
HAYAT
CERPEN KASIH IBU SEPANJANG HAYAT
Oleh: Nanthini Kajentheran
Jam menunjukkan tepat pukul 4.30 petang. Mira menghidu bau
kelazatan cekodok pisang yang digoreng ibunya, aroma
cekodok pisang itu mengapung terus dari dapur ke ruang tamu.
Mira yang sedang leka menonton rancangan
kegemarannya ‘Didi and Friends’ itu terus
menghala ke dapur sebelum dipelawa
sambil mengusap perut dan air liurnya
kecur terus menjilat bibir. Selera
makannya terus bangkit. Berat
badannya naik mendadak lantaran selera makannya yang
meningkat itu. Bukan dia tidak cuba mengawalnya, namun
seleranya memang gagal dikekang sebab Mira memang suka
makan, lebih-lebih lagi makanan-makanan panas yang
bergoreng. Beberapa minit selepas itu, kedengaran bunyi loceng
tanda penjual ais krim tiba di kawasan perumahannya.
“Ting… ting… ting… ting… mari…mari, ais krim ais krim” penjual
ais krim cuba menarik perhatian kanak-kanak di kawasan
perumahan berkenaan.
“Ibu duit.” Mira mengerjap-ngerjap mata seakan memujuk.
Wanita berwajah manis dalam lingkungan awal 40-an dengan
tahi lalat di bahagian kanan pipi, tidak berfikir panjang lalu terus
menuju ke bilik tidur. Almari dibuka, wang not RM10
simpanannya dihulur dengan lembut.
Mira membalas dengan pelukan.
Tangan kanan menyambut huluran
wang sementara tangan kirinya masih
memegang cekodok pisang yang
panas itu. Ibu dicium di pipi dan dia
berlalu pergi menuju ke luar rumah.
“Pak cik, Nak Cornetto Vanilla satu.” Ujar Mira kepada pak cik
menjual ais krim itu dengan nada teruja.
“Cornetto Vanilla baru sahaja habis, nak.”
“Ermm... kalau begitu, nak perisa coklat lah” pesan Mira sambil
menghulurkan wang not RM10. Anak yang masih setahun
jagung itu tidak tahu kesusahan dan dugaan yang dilalui ibunya
sebagai ibu tunggal. Pendek kata, kehidupan Mira hanya
bersenang-senangan. Mira anak tunggal dan sebab itulah dia
ditatang bagai minyak yang penuh dari kecil hingga kini.
Walaupun ibu merupakan seorang pembantu di sebuah klinik
swasta, beliau tidak pernah mengabaikan permintaan anaknya
yang sangat disayangi itu. Apa sahaja yang diminta akan
dibelikan dan ditunaikan secepat mungkin walaupun
kekurangan wang. Ibu dan anaknya itu menetap di sebuah
rumah pangsa kos rendah yang satu-satunya permata hati
peninggalan arwah ayah Mira di pedalaman Kuala Terengganu.
Ibu juga sangat bersyukur kerana anak kesayangannya itu
sangat cerdik. Rekod keputusan dalam penilaian yang
dilaksanakan di sekolah semuanya gred
cemerlang. Ibu sangat berbangga dengan
usaha gigih Mira yang sentiasa
mengutamakan pendidikan. Rakan-rakan dan
guru-gurunya turut sayang akan Mira dan
sentiasa menolongnya dalam pelbagai hal
termasuk meminjamkan buku-buku rujukan sebagai panduan
untuk diulangkaji. Kehidupan Mira sebagai anak yang masih
berumur 11 tahun tidak mendedahkannya dengan banyak
perkara di luar sana, namun dia sangat berani dan berdikari.
Semasa ibunya keluar bekerja, Mira akan dijaga oleh jiran-jiran
yang berhampiran. Mira tidak pernah melawat ke mana-mana
tempat sepanjang hidupnya melainkan ke rumah datuk dan
nenek sebelah ayah di ibu kota. Walaubagaimanapun, ibu telah
berjanji dengan Mira untuk membawanya bersiar-siar jika
berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam UPSR
yang bakal tiba tahun hadapan. Kata-kata yang diungkapkan
oleh ibu sentiasa terngiang-ngiang di liang telinganya. Siang dan
malam diluangkan untuk belajar. Mira juga akan meluangkan
masa setiap hari untuk berbual dengan ibunya itu. Kelamarin,
ibu berbual-bual dengan Mira di anjung rumah sambil menikmati
udara yang segar dan cekodok pisang kegemarannya bersama
teh’o panas.
“Mira, sejak kebelakangan dua tiga hari
ni ibu sentiasa sakit dada di sebelah
kiri” kata ibu yang duduk bersimpuh
sambil memaling ke arah bawah.
“Ye ke ibu, Kenapa ya? Ibu pergilah
ambil rawatan kat klinik ibu tu. Kan
percuma untuk ibu.”
“Tak tahu apa sebabnya, Mira. Ibu sebenarnya pernah
menghidap penyakit jantung beberapa tahun lepas, cuma ibu tak
ambil rawatan yang sepatutnya”
“Alah ibu, esok sajalah ibu pergi jumpa doktor” ujar Mira dengan
prihatin tanda kerisauan. Setelah sekian lama berbual dan
menceritakan hal masing-masing, ibu dan anaknya itu terus
masuk ke dalam rumah. Masing-masing menuju ke bilik air, lalu
mandi. Selepas membersihkan diri, ibu dan Mira bersama-sama
menunaikan solat. Seperti biasa, sebaik sahaja selesai solat,
Mira menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh guru
dan mengulang kaji pelajaran di penjuru kiri biliknya atas sebuah
meja kecil yang dihadiahkan oleh datuknya semasa ulang tahun
kelahiran yang ke-8. Ibunya pula menonton rancangan
memasak dalam televisyen di ruang tamu. Setelah beberapa
minit, kedengaran ibu memanggil Mira tanda kecemasan.
“Mira! Mira! Mira! Ibu sakit ni. Sakit yang teramat sangat di
bahagian kiri dada”.
“Ibu! Kenapa ibu? Apa jadi pada ibu? Ya Tuhanku!”
Mira yang berada dalam keadaan panik segera memanggil
jirannya untuk membantu. Ambulans ditelefon dengan segera.
Ibu dipapah dan dibaringkan dalam ambulans milik Hospital
Kuala Terengganu. Mira segera menghulurkan kunci rumah
kepada jiran dan ikut bersama ibunya ke hospital.
“Ya Tuhanku, apakah salah ibuku? Kenapakah Kau menguji
keluarga kecilku seperti ini? Aku hanya kepunyaan
seorang ibu, sembuhkanlah dia, kasihanilah dia,
aku serahkan kesemua kesedihanku pada Mu,
aku sangat mempercayai Mu, ibu ku akan bangkit
dan pulih seperti keadaan sedia ada” bisik kanak-
kanak yang tidak bersalah itu dalam hati
semasa dalam perjalanan ke hospital. Kadar degupan jantung
ibu pada skrin elektrokardiogram menurun secara mendadak.
Mira semakin risau. Muka dan tangannya mula berpeluh. Masih
belum sempat menuju ke hospital, Mira sempat menyaksikan
bacaan degupan jantung ibu menurun. Menurun hingga ke
angka kosong dengan garisan lurus mendatar. Mata ibu ditutup
sepenuhnya. Kanak-kanak itu tidak mempercayai insiden yang
berlaku di depan mata. Ibunya pergi begitu sahaja dalam sekelip
mata meninggalkan Mira seorang diri. Mira berasa sebak dan
tidak dapat mengawal tangisannya. Mira yang mengepit telefon
bimbit berjenama Nokia kepunyaan ibunya itu segera mendial
nombor datuknya untuk memberitahu kejadian ini.
“Hello tuk, ibu… ibu ni dah tak ada, ibu dah tinggalkan Miraaa!”
jerit Mira kepada datuknya dengan tangisan.
“Mira! Jangan nangis, bagitahu pada tuk apa yang jadi pada
ibu?”
“Ibu menghidapi serangan jantung tuk.”
“Ya Tuhanku! Apalah jadi pada menantuku ini?” balas datuknya
dengan terkejut dan nada yang perlahan tanda kesedihan.
Tanpa bercakap panjang, datuk dan nenek Mira bergegas
menuju ke Kuala Terengganu kediaman Mira dan ibunya dengan
menaiki bas ekspress. Sementara menunggu ketibaan datuk
dan neneknya itu, kanak-kanak itulah yang menguruskan
segalanya dengan bantuan jiran bersebelahan rumah.
Linangan air mata Mira yang menuruni cerun pipinya ketika
bersimpuh di sebelah sesusuk tubuh yang terbujur kaku berbalut
kain kapan cukup untuk menggambarkan kedukaannya. Mira
seakan-akan kehilangan permati hati yang sangat disayangi.
Berulang kali Mira meratap, “Ibu dah pergi … Ibu dah pergi
tinggalkan Mira keseorangan.” Saat sekujur tubuh ibu diangkat
dan dimasukkan ke dalam van jenazah berwarna putih, Mira
rebah, beberapa kali Mira rebah. Mujur Mira sempat disambut
oleh beberapa orang penduduk di sana. Mira membuntuti van
jenazah yang membawa tubuh kaku ibunya hingga ke tanah
perkuburan. Tubuh ibu disambut oleh penggali kubur lalu
dibaringkan di liang lahad. Sebaik sahaja keranda menutupi
jasadnya dan dikambus dengan tanah, Mira tidak dapat
menahan kesebakan lalu mengalirkan air mata. Itulah kali
terakhir Mira melihat wajah manis ibunya. Pada detik itulah Mira
sedar akan makna kematian. Mira memang sedih. Kesedihan
yang tidak terhingga.
Selesai sahaja upacara pengebumian dilakukan, datuk dan
nenek Mira ajak berbincang dengan Mira tentang beberapa
perkara di bawah sebtang pokok
rambutan yang redup berhampiran
rumahnya.
“Mira, jom ikut tuk dan nek ke Kuala
Lumpur. Nanti Mira bersekolah di sana ya.
Tuk dan nek akan jaga Mira sepertimana
ibu menjaga Mira dengan penuh kasih
sayang selama ini.”
“Tapi tuk, Mira tak nak tinggalkan sekolah Mira. Mira nak belajar
sini je lah. Mira nak tinggal kat rumah mak Su yang berhampiran
dengan rumah Mira. Mira tak nak susahkan tuk dan nek. Tuk dan
nek dah tua” ujar Mira dengan lembut sambil memandang ke
arah lain.
“Dengar sini, Mira. Di Kuala Lumpur, Mira akan dapat lebih
banyak kawan. Suasana pembelajaran di sana juga lain
daripada yang ada di sini. Percayalah Mira. Ikutlah tuk dan nek.
Tuk dan nek berjanji untuk menjaga Mira dan membelikan
segala keperluan Mira. Tuk faham Mira dibesarkan tanpa
kesusahan” datuk meyakinkan Mira.
“Ya Mira, lagipun rumah tuk dan nek sentiasa sunyi sepi. Kan
seronok jika Mira dapat tinggal bersama” nenek pula mengambil
alih memujuk Mira.
Setelah mendengar kata-kata pujukan daripada orang tua itu,
Mira mengambil keputusan untuk memenuhi hasrat datuk dan
neneknya.
“Baik tuk dan nek. Mira akan ikut tuk dan nek ke ibu kota.
Lagipun Mira masih kecil. Mira tak tahu apa-apa. Mira turut
sahaja lah perintah tuk dan nek”. Nanti Mira berkemas untuk
balik ya.” Anak kecil itu sangat bijak dan berani orangnya. Dia
terus berkemas untuk mengikut datuk dan neneknya pulang.
Setiap bilik dibersihkan. Setiap barang keperluan dikemaskan
dan diangkut bersama. Perabot-perabot yang usang dibiarkan
begitu sahaja. Mereka bertiga menaiki sebuah bas dan terus
bergerak pulang. Mira kemudiannya disekolahkan. Dibelikan
segala keperluan, diasuh dan dijaga bagai permata. Mira sangat
gembira bersyukur dengan kehidupannya bersama datuk dan
nenek.
Hari berlalu pantas bagaikan kilat, Mira berasa selesa dan
seronok dengan kedua-dua datuk dan neneknya itu. Namun, hati
Mira sentiasa merindukan ibunya. Saban petang, Mira masih
akan duduk di muka pintu menanti kepulangan ibunya walaupun
dia tahu ibunya tidak akan menjelma. Tiada lagi kelibat wanita
yang bertubuh kecil itu menghadiahkan ciuman yang bertubi-tubi
ke pipi Mira. Apa yang Mira mampu lakukan untuk arwah ibunya
ialah belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya mengejar
cita-cita menjadi seorang doktor perubatan.
Kasih ibu tiada taranya…
Kasih ibu tiada tandingannya…
Kasih ibu sepanjang masa…
Kasih ibu membawa ke syurga…