The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 676-9-faizal, 2022-04-03 10:43:10

Penghasilan Produk kesantunan berbahasa

Penghasilan Produk kesantunan berbahasa

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU
59990 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR

PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN
(AMBILAN JUN 2021 SEMESTER 2)

________________________________________________________________________
KESANTUNAN BERBAHASA
BMMB1144

NAMA FAIZAL BIN MOHD HASSAN AHARI
ANGKA GILIRAN 2021192310007
NO. KAD PENGENALAN 010924-08-0995

KUMPULAN PPISMP H1 AMBILAN JUN 2021
TAJUK TUGASAN PENGHASILAN PRODUK
NAMA PENSYARAH PN. NORA BINTI MARKOM
18 MAC 2022
TARIKH MULA 3 APRIL 2022
TARIKH HANTAR

Pagi yang cerah dengan mula terbitnya matahari, Mazlan duduk di beranda rumah
sambil membaca surat khabar yang dibeli olehnya sewaktu pulang dari masjid awal
pagi tadi. Surat khabar yang dibacanya itu ditenung bagaikan mahu tembus. Jika
matanya kanta sudah tentu akhbar tersebut sudah terbakar. Dia merenung akhbar
tersebut apabila terbaca tajuk berita yang tertulis ‘Faisal Pengusaha Kedai Makan
Berjaya’ itu menarik perhatiannya. Nama itu dia sangat kenal dan biasa disebut ketika
mengajar di SMK Kuala Kubu Bharu. Gambar yang menunjukkan wajah pengusaha
kedai makan itu juga dia sangat kenal.

“Dalila.. Tengok ni. Student saya dulu ni.”

Mazlan menunjukkan akhbar yang dibacanya kepada isterinya yang sedang sarapan
bersamanya di berandar rumah ketika itu. Isterinya mengambil akhbar itu dan
membaca dengan penuh rasa ingin tahu kenapa suaminya begitu teruja.

“Wah! Hebat! Pengusaha Kedai Makan! Dah hampir 10 cawangan dia buka. Awak
megajar dia dulu?”

“Iya, lama dah. 15 tahun dulu. Budak ni setiap kali peperiksaan keputusannya taklah
memberangsangkan, sekadar cukup-cukup makan je.” Kata Mazlan kepada isterinya.

Isteri Mazlan berkerut dahinya kerana pelik akan riak wajah suaminya yang senyum
gembira. Mazlan tahu isterinya itu tidak betul-betul faham kegembiraannya ketika itu.
Hanya seorang guru sahaja yang faham.

“Apa istimewanya budak ni?”

“Dia seorang pelajar yang agak lemah, bukan saya nak menghina, cuma sejak saya
mengajar dia di Tingkatan 3, nak membaca pun merangkak-rangkak lagi. Tapi, dia
sangat ringan tulang membantu saya dan guru-guru lain, sangat peramah, dan tak
malu akan kekurangannya. Dia tak pernah ponteng sekolah kecuali sakit.” Sambung
Mazlan lagi.

“Pelajar awak yang lain?”

“Yang lain pun alhamdulillah boleh tahan jugak, ada yang dah jadi pegawai kerajaan,
jadi eksekutif bank, jadi usahawan yang berjaya, yang jadi guru dan pensyarah lagilah,
bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ada antara diorang yang dah ada PhD! Saya
pun tak ada PhD. Hehehe..”

“Wah! Hebat anak-anak didik awak ni”

“Alhamdulillah, syukur.”

Sering juga Mazlan membaca status bekas pelajar-pelajarnya di akaun Facebook dan
Whatsapp. Di situlah dia mengetahui perkembangan bekas pelajar-pelajarnya. Dia
banyak mengetahui perkembangan Faisal di Facebooknya.

Pernah juga Mazlan meletakkan komen apabila bekas pelajarnya itu muat naik satu
berita tentang kejayaannya dalam urusan kerjanya. Tapi komen itu langsung tidak
dibalas, mungkin Faisal sedang sibuk menguruskan kehidupannya. Mazlan tidak
berkecil hati kerana ada beratus komen di Facebooknya itu. Barangkali dia tidak
sempat membalas komen-komen yang banyak itu.

Pernah juga satu ketika Mazlan melihat status Faisal di Facebook yang dia sedang
bercuti di Kuala Kubu Bharu dengan keluarganya. Tapi tidak pula Faisal
menghubunginya kalua-kalau ada masa untuk menziarah bekas gurunya ini.

Bekas muridnya yang lain pun sama, mereka silih berganti bertandang ke Kuala Kubu
Bharu dan pulang ke tempat mereka bekerja sekarang. Pada masa yang lain mereka
tetap bertandang ke sini tetapi tiada yang mahu mencari atau menghubungi bekas
gurunya ini iaitu Mazlan.

“Abang, apa yang difikirkannya tu?” Dalila menegur suaminya yang seperti
mengelamun seketika.

“Tak.. Saya teringat pelajar-pelajar saya dulu. Lama betul saya tak jumpa mereka.
Rindu pulak nak jumpa diorang.”

“Lama?”

“Ya, sangat lama.” Mazlan terdiam lagi. Fikirannya bagaikan melayang jauh ke masa-
masa silam.

Bayangan-bayangan kisah silam itu bagaikan terpampang jelas di depan matanya bak
wayang gambar tiga dimensi. Saat-saat dia baru diterima masuk ke SMK Kuala Kubu
Bharu sebagai guru selepas setahun dia menamatkan pengajiannya di universiti.
Faisal, bekas pelajarnya itu adalah kumpulan awal anak didiknya semasa dia baru
menjadi guru di sekolah tersebut.

Ketika sesi pengajaran dan pembelajaran, Mazlan suka menggunakan kaedah
bercerita kepada pelajar-pelajarnya. Itu merupakan cara dia menyampaikan nasihat
dan memberi mereka motivasi.

Suatu hari Mazlan masuk ke kelas Tingkatan 5 Digital untuk mengajar, pelajar-pelajar
dalam kelas tersebut banyak melakukan masalah disiplin di sekolah dan sering
membuat hatinya mendidih. Namun, Mazlan tetap suka untuk memberi nasihat dan
motivasi kepada mereka untuk jangan mengejar kejayaan, sebaliknya jadilah orang
yang berjaya, kejayaan akan sampai kepada kita.

“Assalamualaikum semua. Apa khabar, sihat? Baiklah hari ni saya nak bercerita
tentang kisah seorang tukang buat rumah yang sangat hebat dalam sebuah syarikat.
Setiap rumah yang dia buat mesti cantik dan memuaskan hati pelanggan serta
majikan. Setiap karya dan ideanya tak pernah mengecewakan. Dia bekerja di sebuah
syarikat pembinaan yang besar dan terkenal. Pada satu hari si tukang buat rumah itu
menyatakan kepada majikannya hasrat untuk bersara.

“Bila dia bagitau boss dia, boss dia pun terasa sangat sedih kerana dia akan
kehilangan pekerja yang sangat cemerlang dalam setiap tugasan yang diberi. Kata
bosnya: ‘Saya ada satu permintaan sebelum awak bersara, saya mintak awak buat
sebuah lagi rumah. Ini adalah projek terakhir awak.’. Kata majikannya itu. Sebenarnya
hati si tukang buat rumah itu berat untuk menerima arahan yang baru sahaja
diterimanya itu untuk menyelesaikan satu lagi projek yang terakhir kerana dia tidak
sabar lagi untuk bersara dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga.
Namun akhirnya dengan berat hati dia pun membina rumah seperti yang diminta oleh
majikannya itu.” Mazlan bercerita, pelajar-pelajarnya tekun mendengar.

Mazlan menyambung lagi.

“Tapi kali ini dia melakukan kerjanya dengan tidak sepenuh hati kerana hatinya
sedang melonjak-lonjak untuk bersara. Akhirnya dia Berjaya menyiapkan rumah itu,
tapi rumah yang dibinanya itu tidak cantik seperti yang selalu dia bina. Kemudian dia
pun memberitahu kepada majikannya bahawa dia telah menyiapkan rumah tersebut
dan meminta kebenaran untuk bersara dan pulang ke kampung.

“Majikannya pun mengucapkan jutaan terima kasih kepadanya atas segala jasa dan
khidmatnya pada syarikat selama ini. Perkara yang paling memeranjatkannya ialah

apabila majikannya memberitahu rupanya rumah terakhir yang dia bina itu adalah
hadiah dari syarikat untuknya atas persaraannya.”

Pelajar-pelajar terdiam.. Ada yang tersenyum.

“Kamu Nampak tak? Awak yang sedang belajar ini adalah umpama pekerja yang
membina rumah itu. Majoriti dari awak tak tau bahawa ‘rumah’ yang awak sedang buat
ini adalah ‘rumah’ untuk diri awak sendiri. Bukan untuk mak dan ayah awak. Mak dan
ayah awak suruh awak belajar bukan untuk kesenangan mereka. Mereka suruh awak
belajar sebab mereka tidak mahu awak hidup susah selepas mereka tiada di dunia ni
nanti. Bukan juga untuk orang lain, bukan untuk saya, bukan sebab awak takut cikgu-
cikgu marah, tapi ia untuk diri kamu sendiri.

“Sebab itu logiknya saya tak perlu marah awak bila awak ponteng kelas. Awak patut
tahu sendiri bila awak ponteng kelas diri awak sendiri yang akan rugi. Awak akan
tertinggal pelajaran, nanti bila exam tak boleh jawab. Saya tak rugi apa-apa. Gaji saya
tak kena potong pun kalau awak ponteng kelas atau awak gagal peperiksaan.
Sepatutnya saya tak perlu susah-susah nak marah awak kalau awak ponteng, kalau
awak gagal. Tapi kenapa saya marah? Sebab saya taknak awak rugi nanti! Saya
taknak awak menyesal! Nanti ‘rumah’ yang awak bina tu tak cantik! Awak nak ke
duduk dalam rumah yang tak cantik dan tak selesa? Kalau nak awak teruskanlah
dengan sikap awak sekarang ni!

“Sebab awak sekarang tengah khayal, awak tak tau pun yang ‘rumah’ yang awak
sedang bina itu adalah untuk diri awak sendiri! Saya terpaksa memberitahu awak ‘Hei,
hati-hati! ‘Rumah’ yang awak sedang bina ni Nampak teruk! Hei, ‘rumah’ ni awak yang
nak duduk nanti! Bukan saya yang nak duduk! Faham tak ni?”

“Faham Cikgu Mazlan!”

“Betul faham ni?”

“Betul cikgu!”

“Awak tahu tak dalam cerita tu majikan si tukang buat rumah itu tak bagitahu awal-
awal yang rumah dia bina untuk kali terakhir itu akan dihadiahkan untuk dirinya sendiri.
Kalau bos dia bagitahu awal-awal mungkin orang itu akan bina rumah itu dengan
cantik. Tapi oleh kerana dia tidak tahu bahawa rumah itu adalah untuk dirinya sendiri,

maka dia buat rumah itu tidak cantik, bukan kerana dia tidak bagus tapi kerana dia
tidak bersungguh-sungguh kerana hatinya sudah ingat untuk bersara.

“Tapi pada hari ini saya adalah boss atau majikan yang baik. Saya dah bagitahu awak
awal-awal lagi bahawa ‘rumah’ yang saya suruh awak bina ini adalah untuk awak.
Awak sendiri yang akan duduk di ‘rumah’ yang awak bina ini. Saya bagitahu awak
pada hari ini, dalam kelas awak ni, bila awak jawab peperiksaan, bila awak buat
tugasan, semuanya adalah untuk diri awak sendiri, bukan untuk saya. Jadi, tolonglah
bina ‘rumah’ awak ini dengan secantik-cantiknya. Supaya awak selesa duduk di
dalamnya nanti.”

Satu hari Mazlan masuk ke kelas Tingkatan 5 Digital dengan wajah suram. Di
tangannya ada kertas skrip jawapan peperiksaan percubaan SPM pelajar-pelajar
kelas tersebut.

“Awak ingat lagi saya cerita dekat awak dulu tentang tukang buat rumah yang nak
bersara dan kena siapkan rumah terakhir dulu? Ingat lagi tak?”.

“Ingat cikgu!”

“Saya dah habis menanda kertas peperiksaan pertengahan semester awak. Apa yang
saya lihat, ramai di antara awak ni yang ‘rumah’ yang awak bina ni macam nak senget,
ada yang ‘rumah’nya macam nak roboh, ada yang macam ‘rumah’ terbengkalai.”

Semua pelajarnya terdiam. Mereka tahu Cikgu Mazlan tidak berpuas hati dengan
keputusan peperiksaan percubaan SPM mereka dan muka Cikgu Mazlan kelihatan
merah padam.

“Saya dah bagitahu awak banyak kali supaya awak sentiasa berusaha, bekerja keras.
Setiap yang awak usahakan adalah untuk diri awak sendiri. Bukan untuk saya dan
bukan untuk orang lain. Perkara ni saya dah ulang banyak kali. Tak kisahlah awak nak
kata saya ni jaga tepi kain orang atau apa, tapi saya nak awak semua berjaya.”

Pada kelas yang terakhir di seminggu sebelum SPM Mazlan menyampaikan amanat
terakhirnya pada pelajar-pelajarnya sebelum mereka melalui peperiksaan SPM. Pada
waktu itu Mazlan akan menjelaskan segala rasional tindakannya selama dia mengajar
kelas tersebut.

Memang Mazlan suka melakukan tindakan yang pelik hingga ada pelajar yang kata
dia kejam. Saat guru-guru lain memaparkan markah peperiksaan dengan hanya
meletakkan nombor giliran sahaja supaya tidak memalukan pelajar-pelajar, Mazlan
memaparkan dengan nama. Memang tujuannya berbuat demikian supaya pelajarnya
malu bila mereka mendapat markah yang rendah dan nama mereka dilihat orang
ramai di papan kenyataan. Bukan untuk memalukan mereka tetapi supaya mereka
bekerja keras supaya tidak memalukan diri sendiri.

“Satu ketika masa saya di sekolah dulu kelas Pendidikan Jasmani kami diajar oleh
seorang guru yang sangat tegas. Nama dia Cikgu Rizal. Pada permulaan kelas
Pendidikan Jasmani selepas kami melakukan senaman regangan cikgu saya
menyuruh kami melakukan aktiviti berlari keliling padang beberapa pusingan.
Kemudian dia kata siapa yang ada di belakang sekali pelajar itu kena berlari satu
pusingan lagi. Kerana takut jadi yang terakhir saya dan kawan-kawan pun berlari
sekuat hati dalam ketakutan supaya tidak jadi yang terakhir.

“Jadi dari kejadian itu saya tahu bahawa rasa takut dan malu akan memberi satu
kuasa dalam diri kita untuk melakukan tindakan paling maksimum. Umpama kamu
dikejar anjing, kamu mesti akan berlari sekuat hati lebih dari yang biasa kamu lakukan.
Sebab itu saya papar keputusan ujian kamu beserta nama kamu di papan kenyataan.
Itu tujuan saya. Kalau kamu nak marah saya dan kata saya ini kejam, saya terima.
Saya cuma nak kamu bekerja keras untuk belajar dan dapat menempuh cabaran yang
lebih berat akan datang.”

Di hujung ucapan akhirnya itu Mazlan berkata pada pelajar-pelajarnya di dalam kelas
itu:

“Dalam hidup kita ini jika kita berjaya ramai orang akan dengki kecuali dua golongan
manusia sahaja yang tidak dengki sekiranya awak berjaya iaitu ibu bapa dan guru
awak. Berjayalah setinggi mana pun, dua golongan ini tak akan pernah rasa dengki
pada kita. Kejayaan ini untuk diri kamu, saya akan berasa bangga melihat kamu
berjaya nanti walaupun masa itu mungkin kamu sudah lupa pada saya.”

“Abang! Hei bang!” Dalila memanggil-manggil Mazlan.

“Eh! Hehehe..” Mazlan tertawa kecil sebaik tersedar dari lamunannya.

“Lama awak mengelamun. Saya perhati je. Hahaha”

“Terkenang kisah lama.”
“Dah lah..”
“Awak rasa pelajar-pelajar saya dulu ingat saya lagi tak?” tanya Mazlan kepada
isterinya.

Isterinya hanya tersenyum. Mazlan sendiri tidak tahu jawapannya, inikan pula
isterinya.
“Dah lah bang, jemput minum kopi tu. Nanti sejuk dah tak sedap.”


Click to View FlipBook Version