The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

LAPORAN KERJA LAPANGAN GEOGRAFI TINGKATAN 3

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by NURSAFFIYA DAYANA, 2021-11-07 04:33:20

LAPORAN KERJA LAPANGAN GEOGRAFI TINGKATAN 3

LAPORAN KERJA LAPANGAN GEOGRAFI TINGKATAN 3

Keywords: .

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TUNKU ISMAIL,
08000 SUNGAI PETANI, KEDAH.

LAPORAN KERJA LAPANGAN GEOGRAFI TINGKATAN 3 2021

TAJUK:

KITAR SEMULA DI TAMAN SEMARAK, 08000 SUNGAI PETANI,
KEDAH.

NAMA NURSAFFIYA DAYANA BINTI AMIL FITRI
TINGKATAN 3E1
NAMA GURU PUAN AZLIWATI BINTI RASIP

SENARAI KANDUNGAN

KANDUNGAN HALAMAN
Penghargaan 1
Pendahuluan 1
Objektif Kajian 2
Kawasan Kajian 2
Kaedah Kajian 3
Hasil Kajian 3
Rumusan 10
Rujukan 11
Lampiran 12

PENGHARGAAN

Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pengetua Sekolah
Menengah Kebangsaan Tunku Ismail, iaitu Encik Soef bin Ismail kerana memberi
kebenaran kepada saya dan rakan-rakan yang lain untuk menjalankan kerja lapangan
ini.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Guru Geografi saya
yang dihormati, iaitu Puan Azliwati binti Rasip kerana banyak memberi bimbingan
dan tunjuk ajar kepada saya sehingga kerja lapangan ini dapat dilaksanakan dengan
jayanya.

Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih ditujukan kepada kedua-dua ibu
bapa saya yang tercinta kerana banyak memberi sokongan moral kepada saya.

Akhir sekali, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada rakan-rakan
seperjuangan saya dan semua responden serta orang sumber saya di Taman Semarak
yang banyak memberi bantuan dan kerjasama kepada saya sepanjang kerja lapangan
dijalankan.

PENDAHULUAN

Saya telah memilih tajuk “Amalan Kitar Semula di Taman Semarak, Sungai Petani”
sebagai tajuk kajian saya. Hal ini kerana kitar semula merupakan satu amalan penting
yang sedang dititikberatkan oleh semua pihak di negara kita. Sejak akhir-akhir ini,
pelbagai kempen giat dijalankan di seluruh negara oleh agensi kerajaan dan bukan
kerajaan yang menyokong program berkaitan dengan kitar semula. Selain itu, di
tempat tinggal saya, iaitu Taman Semarak juga mempunyai sebuah pusat kitar
semula yang memudahkan saya untuk menjalankan kajian ini.

Saya diberi tempoh selama seminggu untuk menyiapkan kajian ini, iaitu bermula
daripada 1/11/2021 hingga 7/11/2021. Saya menjalankan kerja-kerja pengumpulan
data dan maklumat yang diperlukan dalam kajian ini selepas waktu pdpr atau pada
hujung minggu. Manakala kerja-kerja penulisan laporan pula dijalankan pada waktu
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Geografi di rumah.

OBJEKTIF KAJIAN

Melalui kajian Amalan Kitar Semula di Taman Semarak, Sungai Petani, Kedah, saya
dapat:

1. mendefinisikan konsep dan takrifan kitar semula.
2. menyenaraikan jenis bahan-bahan yang dapat dikitar semula.
3. mengenal pasti kepentingan amalan kitar semula di kawasan kajian.
4. mengenal pasti masalah atau halangan dalam menjalankan kitar semula di

kawasan kajian.
5. mencadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah dalam

melaksanakan amalan kitar semula di kawasan kajian.

KAWASAN KAJIAN

Saya memilih Taman Semarak sebagai kawasan kajian saya. Taman Semarak
merupakan salah satu daripada taman yang terletak di Sungai Petani. Jarak di antara
taman ini dengan pusat bandar Sungai Petani adalah kira-kira 6.3 km atau 13 minit
perjalanan dengan menaiki kereta. Keluasan kawasan kajian saya adalah kira-kira 6
km persegi dan terletak di kawasan tanah pamah yang rata.

Secara umumnya, Taman Semarak merupakan salah satu daripada taman
perumahan yang mempunyai bilangan penduduk yang padat di Sungai Petani kerana
kedudukannya yang sangat strategik. Berhampiran dengan Taman Semarak, terdapat
beberapa buah taman perumahan lain seperti Taman Permata Semarak, Taman Pasir
Emas Indah dan Taman Kristal.

Saya memilih Taman Semarak sebagai kawasan kajian saya kerana saya tinggal di
kawasan ini. Hal ini memudahkan saya untuk mengumpul data dan maklumat yang
diperlukan dalam kajian ini. Tambahan pula, di kawasan ini juga terdapat sebuah
pusat kitar semula yang sesuai dengan tajuk kajian saya.

KAEDAH KAJIAN

Saya telah menggunakan beberapa kaedah kajian untuk mengumpul maklumat dan
data dalam kajian ini. Kaedah-kaedah tersebut ialah:

1. Rujukan

Saya telah merujuk pelbagai sumber seperti buku teks, buku rujukan, majalah
dan Internet untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi kajian ini.

2. Pemerhatian

Pemerhatian dibuat secara langsung di kawasan kajian untuk melihat
jenis-jenis bahan yang dapat dikitar semula oleh penduduk di kawasan
tersebut.

3. Soal selidik

Soal selidik dilakukan dengan cara mengedarkan borang soal selidik kepada 20
orang responden yang terpilih untuk mendapatkan maklumat tentang
kepentingan amalan kitar semula di kawasan kajian. Di samping itu, kaedah ini
juga digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang masalah atau halangan
dalam menjalankan kitar semula di kawasan kajian serta langkah-langkah yang
dapat diambil untuk mengatasi masalah tersebut.

HASIL KAJIAN

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, kitar semula bermaksud kaedah atau teknik
untuk memproses bahan-bahan seperti kertas, botol dan tin yang telah digunakan
untuk menghasilkan barangan baharu yang dapat digunakan semula. Menurut Akta
Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007(Akta 672) pula, kitar semula
bermaksud memungut dan mengasingkan sisa pepejal bagi tujuan menghasilkan
keluaran semula. Secara umumnya, kitar semula boleh dimaksudkan sebagai satu
kaedah untuk memproses semula barang-barang terpakai untuk menghasilkan
barangan baharu yang dapat digunakan semula. Contoh barang-barang yang dapat
dikitar semula ialah bahan-bahan plastik, kertas, botol kaca dan barangan besi.

Jenis-jenis bahan yang dapat dikitar semula

Logam

Bahan-bahan logam seperti aluminium dan besi merupakan bahan yang banyak
dikitar semula oleh penduduk dikawasan kajian kerana harganya yang lebih tinggi
berbanding dengan bahan-bahan lain. Contoh bahan-bahan logam yang dikitar
semula ialah tin minuman, bahan-bahan besi dan logam daripada barangan elektrik
yang sudah rosak dan tin-tin makanan seperti tin biskut, tin sardin dan sebagainya.

Kertas

Jenis-jenis kertas yang dihantar oleh penduduk di kawasan kajian untuk di kitar
semula adalah seperti surat khabar lama, majalah lama, risalah, buku-buku lama,
kad-kad dan kalendar terpakai.

Plastik

Plastik merupakan salah sejenis barangan yang banyak dihantar oleh penduduk di
kawasan kajian ke pusat kitar semula. Antara barangan plastik yang boleh dikitar
semula ialah cawan plastik, botol plastik, pinggan plastik, baldi plastik dan bekas
makanan plastik.

Kaca

Semua jenis barangan kaca juga boleh dikitar semula. Contoh-contoh barangan kaca
yang dihantar ke pusat kitar semula di kawasan kajian untuk dikitar semula
termasuklah botol minuman, bekas makanan, botol vitamin dan bekas kosmetik.
Semua jenis barangan kaaca ini boleh digunakan semula setelah memlalui proses
pembersihan.

Getah

Selain barangan plastik, baragan getah seperti tayar-tayar kenderaan, pelampung,
hos air dan tiub basikal juga merupakan bahan-bahan yang dihantar oleh penduduk
di kawasan kajian untuk dikitar semula.

Kepentingan amalan kitar semula di Taman Semarak, Sungai
Petani.

1. Mengurangkan pencemaran
Kitar semula sangat penting kerana dapat mengurangkan pencemaran alam
sekitar yang berpunca daripada sampah sarap yang dibuang oleh penduduk ke
dalam tong sampah atau tapak-tapak pelupusan sampah. Melalui soal selidik
yang dijalankan, didapati sebanyak 35% daripada responden berpendapat
bahawa amalan kitar semula yang dijalankan oleh penduduk di kawasan kajian
dapat mengurangkan masalah pencemaran yang disebabkan oleh sampah sisa
pepejal seperti kertas, plastik, kotak, kaca, aluminium dan sebagainya. Amalan
kitar semula ini adalah penting untuk memastikan bahawa alam sekitar di
kawasan kajian adalaah bebas daripada pencemaran sisa pepejal. Di samping
itu, alam sekitar yang bersih dapat menghindarkan penduduk di kawasan ini
daripada pelbagai jenis penyakit berjangkit yang dibawa oleh tikus, lalat, lipas
dan nyamuk.

2. Menambahkan pendapatan penduduk
Melalui soal selidik yang dijalankan didapati bahawa sebahagian besar
daripada responden berpendapat bahawa amalan kitar semula dapat
menambahkan pendapatan penduduk. Bahan-bahan terpakai seperti
aluminium, kertas, besi dan plastik mempunyai harga tertentu di pasaran.
Dengan menjual barang-barang tersebut yang dikumpulkan kepada pihak
kilang pengumpulan bahan-bahan kitar semula, penduduk di kawasan kajian
dapat menjana pendapatan sampingan bagi menampung kos sara hidup
mereka. Wang hasil daripada penjualan barang-barang terpakai ini dapat
digunakan untuk membeli pelbagai barangann keperluan harian
mereka.
Sebagai contoh, salah seorang daripada responden memberitahu bahawa
setiap bulan beliau memperoleh pendapatan sampingan kira-kira RM 200
hingga RM 300 hasil daripada penjualan barang-barang terpakai seperti tin
minuman, botol kaca, kotak, kertas, surat khabar lama dan bahan-bahan
plastik ke kilang kitar semula yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Hasil
pendapatan sampingan tersebut sangat penting untuk menampung
pembelanjaan harian keluarganya kerana beliau hanya berkerja sebagai
pencuci kereta dengan pendapatan tetap kira-kira RM 1000 sebulan sahaja.

3. Menjimatkan kos dan sumber alam
Amalan kitar semula sangat penting kerana dapat menjimatkan kos dan
sumber alam. Menurut kajian yang dijalankan, penduduk di kawasan Taman
Semarak berpendapat bahawa kitar semula dapat menjimatkan kos
pengurusan sampah oleh Majlis Pembandaran Sungai Petani (MPSP). Hal ini
kerana dengan melaksanakan kitar semula, jumlah sampah sarap yang
terpaksa dikutip dan dihantar ke tapak pelupusan sampah semakin
berkurangan. Sebagai contoh, untuk menghasilkan satu tan kertas, sebanyak
17 pohon pokok terpaksa ditebang. Oleh yang demikian, dengan mengitar
semula kertas, kita dapat menjimatkan bilangan pokok yang terpaksa
ditebang. Oleh yang demikian, dengan mengitar semula kertas, kita dapat
menjimatkan bilangan pokok yang terpaksa ditebang. Melalui cara ini, kita
dapat memelihara sumber hutan di negara kita dan mewariskan khazanah
hutan yang tidak ternilai ini kepada generasi akan datang.

4. Untuk menceriakan persekitaran
Amalan kitar semula sangat penting kerana dapat menceriakan persekitaran
tempat tinggal kita. Melalui pemerhatian saya, kitar semula dapat membantu
menceriakan persekitaran alam sekitar di kawasan kajian daripada longgokan
sampah sarap yang menyakitkan mata. Hal ini kerana apabila bahan-bahan
terbuang seperti botol-botol minuman plastik, kertas, surat khabar lama dan
tin makanan dikutip untuk dikitar semula, secara tidak langsung dapat
mengurangkan bilangan sampah sarap yang terdapat di kawasan kajian.
Dengan cara ini, kita dapat memastikan alam sekitar kawasan persekitaran
kita sentiasa bersih, ceria dan indah.

Masalah dan halangan amalan kitar semula di Taman Semarak

1. Kurang pusat pengumpulan
Melalui pemerhatian yang dijalankan, saya mendapati bahawa masalah utama
yang dihadapi oleh penduduk di Taman Semarak dalam menjalankan kitar
semula ialah kekurangan pusat pengumpulan. Hal ini kerana di Taman
Semarak hanya terdapat sebuah pusat pengumpulan bahan kitar semula yang
diusahakan oleh pihak NGO. Pusat pengumpulan ini hanya dibuka 3 hari
dalam seminggu, iaitu pada hari Isnin, Khamis dan Ahad. Keadaan ini
menyukarkan penduduk untuk menghantar barangan kitar semula ke pusat ini
kerana waktu operasinya pada sebelah pagi sahaja, iaitu dari pukul 8.00 pagi
hingga 11.00 pagi. Selain itu, pusat kitar semula ini tidak menyediakan
perkhidmatan mengambil barangan kitar semula dari rumah ke rumah.
Mereka hanya menerima bahan kitar yang dihantar sendiri oleh penduduk ke
pusat kitar semula tersebut. Masalah ini menyebabkan penduduk di Taman
Semarak sukar untuk menjalankan aktiviti kitar semula.

2. Harga terlalu rendah
Harga yang terlalu rendah menyebabkan amalan kitar semula ini tidak
mendapat sambutan daripada penduduk di kawasan kajian. Sebagai contoh,
harga sekilogram surat khabar lama hanya dibeli dengan harga 10 sen sahaja
oleh kilang pengumpulan bahan kitar semula. Harga yang terlalu rendah ini
seolah-olah tidak berbaloi dengan tenaga yang terpaksa digunakan untuk
mengumpulkan bahan-bahan kitar semula tersebut. Hal ini menyebabkan
penduduk di kawasan kajian tidak berminat untuk menjalankan kitar semula.
Mereka lebih senang membuang barang-barang yang dapat dikitar semula
seperti kertas, plastik dan kaca ke dalam tong sampah daripada menjualnya
kerana tidak menguntungkannya disebabkan harga yang terlalu rendah.

3. Kurang pengetahuan dan kesedaran
Hasil daripada kajian saya, kebanyakan penduduk di kawasan Taman Semarak
membuang bahan-bahan yang boleh dikitar semula kerana kekurangan
pengetahuan dan kesedaran tentang kepentingan amalan kitar semula. Bagi
mereka, membuang bahan-bahan tersebut ke dalam tong sampah adalah
lebih senang daripada mengumpulkannya untuk dikitar semula. Contoh
bahan-bahan yang boleh dikitar semula yang selalu dibuang oleh penduduk di
kawasan kajian termasuklah tin-tin minuman, bekas-bekas makanan dan
botol-botol air minuman plastik yang telah digunakan. Bagi sesetengah
penduduk di kawasan ini, mengumpul bahan-bahan yang boleh dikitar semula
ini hanya membuang masa dan tenaga mereka sahaja dan tidak memberi
apa-apa kepentingan atau keuntungan kepada diri mereka.

Kekurangan pengetahuan tentang pentingnya amalan kitar semula ini
menyebabkan mereka tidak sedar bahawa dengan cara mengitar semula
bahan-bahan tersebut, kita sebenarnya dapat mengurangkan bilangan
sampah sarap yang dibuang. Usaha ini seterusnya dapat memelihara alam
sekitar daripada pencemaran sisa-sisa pepejal.

4. Sikap penduduk
Hasil daripada pemerhatian saya, masalah utama amalan kitar semula ini
kurang mendapat sambutan di kawasan kajian adalah disebabkan oleh sikap
sesetengah penduduknya yang malas untuk mengasingkan bahan-bahan kitar
semula megikut jenisnya dengan sisa-sisa buangan yang lain. Mereka lebih
suka melonggokkan semua sisa pepejal seperti kertas, plastik dan kaca serta
sisa-sisa makanan ke dalam satu tong sampah yang sama tanpa
mengasingkannya mengikut jenisnya. Sikap penduduk tidak mementingkan
amalan kitar semula ini menyebabkan mereka membuang begitu sahaja
semua barangan yang boleh dikitar semula atau membakarnya tanpa
menghantarnya ke pusat kitar semula yang terletak di kawasan kajian.

Langkah-langkah untuk mengatasi masalah dalam
melaksanakan kitar semula di kawasan Taman Semarak,
Sungai Petani

1. Kempen
Sebanyak 5 orang responden berpendapat bahawa pelbagai kempen
mengenai kepentingan kitar semula patut dipergiatkan di kawasan kajian.
Contoh kempen kesedaran yang boleh diadakan seperti “Kempen Hari Alam
Sekitar”, “Kempen Hari Kitar Semula” dan “Kempen Hari Tanpa Beg Plastik”.
Tujuan kempen kesedaran ini diadakan adalah untuk menyedarkan
masyarakat di kawasan ini tentang pentingnya usaha memelihara alam sekitar
untuk generasi akan datang. Selain itu, kempen kesedaran ini juga bertujuan
untuk melahirkan masyarakat yang lebih peka dan prihatin terhadap segala
usaha kitar semula yang dijalankan di kawasan ini. Dalam kempen ini, amalan
3R, iaitu Reduce, Reuse dan Recycle perlu ditekankan bagi memberi kesedaran
kepada masyarakat di kawasan ini tentang pentingnya usaha menguruskan
sisa pepejal secara mampan supaya kurang mencemarkan alam sekitar.

2. Menyediakan pusat pengumpulan
Daripada kajian yang dijalankan, kebanyakan responden berpendapat bahawa
pihak berkuasa tempatan patut memperbanyakkan pusat pengumpulan kitar
semula dalam usaha untuk menarik penduduk di kawasan kajian dalam
mengamalkan amalan kitar semula. Hal ini kerana di kawasan kajian cuma
terdapat sebuah pusat pengumpulan kitar semula yang diusahakan oleh pihak
NGO. Keadaan ini menyusahkan penduduk di kawasan kajian yang hendak
menghantar barang-barang kitar semula ke pusat ini kerana hanya dibuka 3
kali dalam seminggu. Sekiranya pihak kerajaan tempatan menyediakan lebih
banyak pusat pengumpulan, hal ini akan menyenangkan penduduk di kawasan
ini dalam menjalankan kitar semula. Langkah ini adalah penting untuk
memastikan aktiviti kitar semula di kawasan ini dapat dijalankan dengan lebih
lancar lagi.

3. Gotong-royong
Menurut soal selidik yang dijalankan, terdapat 3 orang responden
mencadangkan supaya aktiviti gotong-royong diadakan di kawasan kajian
untuk membersihkan persekitaran dan mengumpul bahan-bahan yang boleh
dikitar semula. Aktiviti gotong-royong ini boleh dijalankan sekurang-kurangnya
dua bulan sekali untuk membantu masyarakat di kawasan kajian
mengamalkan kitar semula dan mengurangkan jumlah sampah yang dibuang.
Usaha ini adalah penting untuk memastikan semua lapisan masyarakat di
kawasan ini berganding bahu dan bekerjasama dalam menjayakan program
kitar semula ini. Melalui aktiviti gotong-royong ini, dapat menyemai sikap
bertanggungjawab dan prihatin dalam kalangan masyarakat untuk sama-sama
memelihara alam sekitar. Di samping itu, aktiviti gotong-royong ini juga boleh
mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat di kawasan kajian.

4. Pendidikan
Sebanyak 2 orang responden berpendapat bahawa pendidikan dapat
memberikan kesedaran kepada masyarakat, terutama generasi muda tentang
kepentingan amalan kitar semula. Melalui pendidikan, kita dapat menyemai
perasaan tanggungjawab dan cinta akan alam sekitar dalam diri murid-murid
sejak dari prasekolah lagi. Di sekolah, guru-guru dengan kerjasama Kelab Alam
Sekitar boleh mengadakan pelbagai pertandingan untuk menggalakkan
murid-murid mengamalkan kitar semula. Pelbagai hadiah boleh disediakan
untuk menarik minat murid-murid mengambil bahagian dalam pertandingan
yang diadakan. Melalui cara ini, kita dapat menggalakkan amalan kitar semula
dalam kalangan murid dan guru di sekolah.

RUMUSAN

Kesimpulannya, melalui kajian yang dijalankan, saya dapat memahami tentang
kepentingan amalan kitar semula di kawasan Taman Semarak. Dengan mengamalkan
kitar semula, kita dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar yang berpunca
daripada pembuangan sisa pepejal di samping dapat menceriakan persekitaran
tempat tinggal kita. Selain itu, kitar semula juga dapat menjana pendapatan
sampingan kepada penduduk di kawasan ini.

Dalam menjalankan kitar semula, pelbagai masalah telah dihadapi oleh
penduduk di kawasan Taman Semarak. Antaranya ialah kekurangan tempat
pengumpulan, harga terlalu rendah, kurang pengetahuan dan kesedaran serta sikap
penduduk itu sendiri.

Pelbagai langkah perlu diambil untuk mengatasi masalah atau halangan kitar
semula. Antaranya adalah dengan mengadakan kempen, menyediakan lebih banyak
pusat pengumpulan, bergotong-royong dan melalui pendidikan.

Akhir kata, amalan kitar semula ini perlu dipupuk dan disemai dalam diri setiap
lapisan masyarakat di negara kita, terutamanya generasi muda demi mengekalkan
keindahan alam sekitar ini.

RUJUKAN
Buku

Keng Su Seng, 2002. Geografi Alam Sekitar Malaysia STPM, Shah Alam: Penerbit
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Tan Koh Lim & Wong Sin Yoon, 2011. Atlas Eksplorasi Geografi Tingkatan 1-5.
Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Aw Soon Woon, Chong Yoon Choi, Kang Chai Yoeng & Nik Idris Nik Muhamed,
2017. Focus PT3 Geografi Tingkatan 1,2 & 3. Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Orang Sumber

Encik Khoo Sin Eng, 38 tahun, No. 13, Jalan Semarak, Taman Semarak, 08000
Sungai Petani, Kedah.
Encik Nik Halim bin Abdul Rahim, 50 tahun, No. 2, Jalan Semarak, Taman
Semarak, 08000 Sungai Petani, Kedah.
Puan Shanti A/P Siva Muthu, 40 tahun, No. 18, Jalan Semarak, Taman Semarak,
08000 Sungai Petani, Kedah.
Puan Lai Yong Ying, 30 tahun, No. 22, Jalan Semarak, Taman Semarak, 08000
Sungai Petani, Kedah.

Internet

http://www.kosmo.com.my
https://www.scribd.com
http://umi-nazihah.blogspot.com
http://maps.google.com/

LAMPIRAN


Click to View FlipBook Version