Pada zaman dahulu kala, di sebuah kampung yang dipencil terdapat sepasang suami isteri yang miskin bernama Si Talang dan Si Deruma. Mereka mempunyai seorang anak lelaki yang diberi nama Si Tanggang. Kehidupan mereka sehari-harian, bak kata pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pada suatu hari, Si Tanggang berkata kepada ibunya yang sedang menyapu pada halaman rumah.... “Ibu, kehidupan kita ini sangat miskin. Tanggang rasa eloklah Tanggang pergi merantau di negeri orang mencari kekayaan. Nanti.... Tanggang akan dirikan mahligai yang indah dan akan Tanggang kalungkan intan permata pada leher ibu.... ” kata Tanggang
Alangkah terkejutnya si deruma apabila mendengar hasrat anak kesayangannya itu. Dia amat berat untuk melepaskan anaknya untuk berlayar, namun dia terpaksa mengalah kerana memenuhi kehendak anaknya itu. Tambahan pula, Si Tanggang juga telah berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya nanti. “Ibu, anakmu ini berjanji akan segera kembali ke pangkuan ibu dengan segera. ” kata Si Tanggang lagi. “Baiklah nak, jika itu yang membuatmu gambira, ibu rela dan izinkan kamu pergi berlayar bersamasama kapal besar itu nak. ” balas sang ibu.
Ketika ingin mencari bekerja, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh pada muara sungai berhampiran rumahnya. Si Tanggang pergi mencuba nasib untuk menjadi anak kapal. Pada awalnya, nakhoda kapal meragui akan kebolehan Si Tanggang, akan tetapi beliau akhirnya bersetuju setelah melihat kecekapan si tanggang bersampan ketika menuju ke kapal beliau tadi.
Hari berganti hari dan lama-kelamaan nakhoda kapal itu semakin kagum dengan Si Tanggang yang rajin bekerja. Oleh itu, Si Tanggang telah dikahwinkan dengan anak perempuannya. Selepas nakhoda meninggal dunia, Si Tanggang menggantikan tempatnya dan diberi gelaran Nakhoda Tanggang. Disebabkan oleh kemahirannya, Nakhoda Tanggang telah menjadi seorang saudagar yang kaya-kaya. Si Tanggang kini sudah lupa asal usul dan ibu bapanya yang sentiasa menantikan kepulangan anak mereka.
Pada suatu hari, semasa sedang berlayar bersama isterinya, alangkah terkejut dan malunya Si Tanggang apabila melihat pasangan tua yang sangat miskin dan sudah uzur di sebuah perahu kecil menuju ke kapalnya. Mereka adalah ibu bapanya sendiri. Apabila Si Deruma menatap wajah Si Tanggang yang amat dikasihinya itu, dia menjerit, “Oh anakku! Tidakkah kamu kenal kami lagi? Ini ibumu, nak. ” Merah padam muka Si Tanggang kerana menahan marah. Setelah menjadi kaya, dia malu untuk mengaku kedua-dua orang tua miskin itu sebagai ibu bapanya. Dengan sombongnya Nakhoda Tanggang menepis makanan yang terhulur oleh ibunya sehingga jatuh bertaburan.
Tiba-tiba langit yang cerah bertukar menjadi gelap-gelita. Angin bertiup dengan kuat bagaikan taufan sedang melanda. Ombak laut pun bergelora sambil memukul kapal Si Tanggang dengan kuatnya. Si Tanggang dan isteri berasa sangat takut lalu timbullah rasa insaf dan kesal dalam hatinya kerana telah melayan ibunya dengan teruk. Dengan sedih dan kecewa, kedua-dua orang tua itu berkayuh semula ke daratan. Setibanya di sana, Si Deruma mengangkat kedua belah tangannya lalu berdoa, “Ya Allah, berikanlah balasan yang setimpal kepada anak yang tidak mengenang jasa itu! Tunjukkanlah bahawa kamilah ibu bapa kandungnya.
Dia sedar bahawa dia telah menderhaka kepada kedua-dua ibu bapanya. Hatinya dipenuhi kekesalan dan dia sedar bahawa ribut yang melanda ini adalah balasan Tuhan kepadanya. Lalu Si Tanggang pun menjerit meminta ampun daripada ibunya. Namun, si ibu hanya mendengar sambil menangis teresak-esak. Segala-galanya telah terlambat. Tiba-tiba, kapal mereka bertukar menjadi seketul batu yang besar. Segala anak kapalnya termasuklah Si Tanggang dan isteri pun bertukar menjadi batu. Inilah balasan yang diterima oleh anak yang menderhaka kepada kedua ibu bapa mereka.
SEKIAN, TERIMA KASIH