The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

5. Contoh Penulisan Refleksi Amalan P&P Yang Lalu

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by jjn7400, 2021-06-21 01:32:16

5. Contoh Penulisan Refleksi Amalan P&P Yang Lalu

5. Contoh Penulisan Refleksi Amalan P&P Yang Lalu

1.0 REFLEKSI AMALAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN YANG LALU

Saya telah mengajar Jawi selama 9 tahun. Selama itu jugalah saya menghadapi masalah yang
sama, iaitu pelajar begitu mengambil masa untuk menguasai Jawi. Sudahlah peruntukan masa
untuk bidang ini cuma setengah jam sahaja. Bagi saya, mengajar Jawi ini sama sahaja seperti
mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, cuma tulisannya sahaja yang berbeza. Jadi peruntukan
waktu selama setengah jam memang tidak memadai. Ketidakmampuan murid menguasai Jawi
memberi implikasi negatif kepada mereka, iaitu tidak minat dengan mata pelajaran Jawi. Kaedah
pengajaran saya juga sama sahaja sebagaimana yang saya gunakan sejak mula mengajar Jawi.
Saya tidak dapat lari daripada kaedah chalk and talk. Saya akhirnya berfikir adakah kaedah ini
sahaja yang sesuai untuk saya gunakan dalam mengajar Jawi. Mengapa hanya chalk and talk?
Sedangkan sudah terbukti ramai murid saya yang tidak dapat saya tingkatkan kemahiran mereka
dengan kaedah tersebut. Tidak adakah kaedah lain yang lebih berkesan? Perkara ini memang
saya sudah terfikir sejak sekian lama.

Mesti ada sesuatu yang saya boleh lakukan! Bukan hanya di satu dua kelas, tetapi semua kelas
yang saya ajar termasuk kelas Tahun 2 Optimis. 10 orang murid Tahun 2 Optimis langsung tidak
memperlihatkan minat, malah tidak pernah dapat menjawab soalan-soalan yang saya kemukakan.
Perkara ini amat membimbangkan. Saya tidak boleh membiarkan situasi ini berlarutan. Saya
harus memulakan usaha untuk memperbaiki situasi ini. Masalah ini mungkin berpunca daripada
diri saya sendiri yang tidak pernah mengubah kaedah untuk pelaksanaan P&P. Saya bertanya
pada diri, mungkinkah saya perlu mendekati murid untuk mendalami masalah mereka dan
mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah pengajaran dan pembelajaran Jawi yang
dihadapi.

Mungkinkah persekitaran kelas yang tidak kondusif mengganggu minat mereka? Papan
kenyataan di kelas langsung tidak diisi dengan perkara-perkara berkaitan mata pelajaran Jawi.
Pihak sekolah juga kurang memberi penekanan terhadap kepentingan mata pelajaran Jawi, malah
ada waktunya terdapat guru yang meminta izin untuk mengambil waktu P&P Jawi bagi
mengajar subjek yang lain.Adakah ini menggambarkan pada murid bahawa mata pelajaran ini
tidak penting?

Ibu bapa murid pula kebanyakan tidak mempunyai latar belakang pendidikan Jawi. Ibu bapa
yang berpendidikan tinggi kebanyakan hanya member penekanan kepada mata pelajaran untuk
UPSR dan tidak begitu kisah dengan pencapaian anak-anak mereka dalam mata pelajaran Jawi.
Jadi adakah perkara ini turut mempengaruhi kemahiran dan minat mereka?

Setelah berfikir berkali-kali, akhirnya saya memutuskan untuk memulakan Kajian Tindakan ini
dengan memilih 10 orang murid Tahun 2 optimis sebagai sasaran pertama saya. Ini kerana, saya
dapati 10 orang murid ini menghadapi masalah yang sangat kritikal untuk menulis Jawi.
Walaupun kadang-kadang mereka kelihatannya cuba menumpukan perhatian semasa saya
mengajar, tetapi kelihatannya mereka sukar untuk mengikuti pengajaran apatah lagi untuk

memahami apa yang saya ajarkan. Banyak soalan yang sama saya terima daripada murid,
antaranya “Ustazah, huruf K sama dengan huruf apa?”, “Ustazah, huruf zal boleh disambungkan
dengan huruf dal tak?, “Ustazah, huruf alif boleh disambungkan dengan huruf dal tak?,
“Ustazah, boleh tak huruf kaf disambungkan dengan huruf ya?” dan soalan-soalan lain yang
sering kali berulang-ulang yang sama! Kekerapan menerima soalan dan memberi jawapan yang
sama memberi saya idea untuk menghasilkan satu formula bagi membantu mereka memahami
Jawi dan secara tidak langsung memberi mereka panduan mencari jawapan bagi persoalan-
persoalan yang sering mereka kemukakan.

Pertanyaan yang sama berulang kali juga meyakinkan saya bahawa tentu ada kelemahan dalam
amalan pengajaran yang telah saya gunakan menyebabkan murid-murid tidak dapat menguasai
kemahiran yang diperlukan. Selain cara pengajaran saya yang mungkin tidak berkesan dan tidak
menarik, murid juga agaknya tidak mendapat tunjuk ajar atau bantuan ibu bapa dalam
mengulangkaji mata pelajaran Jawi di rumah. Saya dapat memahami masalah tersebut kerana
mungkin latar belakang ibu bapa mereka yang tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran
berkaitan dengan mata pelajaran Jawi. Mereka juga mungkin merasakan Jawi tidak penting
kerana tidak dinilai dalam UPSR. Hakikat sebenarnya, walaupun bidang Jawi yang menjadi sub
mata pelajaran Pendidikan Islam ini tidak dinilai dalam peperiksaan UPSR namun penilaian akan
tetap dilakukan dalam peperiksaan PMR dan SPM di sekolah menengah nanti. Justeru,
kemahiran menulis Jawi perlu dipupuk sejak di sekolah rendah bagi memastikan mereka
mempunyai minat yang berterusan terhadap mata pelajaran Jawi serta bagi memastikan mereka
dapat menguasai mata pelajaran Jawi. Ringkasnya, mahir atau tidak mahir seseorang murid itu
menulis dan membaca Jawi, adalah bertitik tolak di sekolah rendah lagi. Saya harus membantu
mereka menguasai Jawi sebelum mereka ke sekolah menengah, ibarat kata pepatah, melentur
buluh biarlah dari rebungnya.

Saya bertambah yakin keputusan saya untuk bertindak dengan menghasilkan formula atau teknik
baru mengajar Jawi akan dapat dapat membantu saya mengatasi masalah ini. Dengan teknik baru
itu nanti, saya bukan sahaja dapat memperbaiki amalan pengajaran saya tetapi juga mungkin
akan dapat meningkatkan minat murid saya terhadap mata pelajaran Jawi. Saya semakin pasti
dengan fokus kajian saya, menghasilkan teknik atau formula baru untuk meningkatkan
kemahiran murid menulis Jawi, bermula dengan murid Tahun 2 Optimis! Mula-mula saya akan
menghasilkan teknik untuk membantu mereka mengenali huruf Jawi yang mewakili huruf Rumi
serta menulis perkataan Jawi menggunakan suku kata mudah, kemudian saya akan menghasilkan
teknik atau formula untuk membantu mereka mengenali huruf Jawi yang boleh disambung dan
tidak boleh disambung. Mudah-mudahan hasrat saya untuk meningkatkan kemahiran 10 orang
murid tahun 2 Optimis ini menulis Jawi akan tercapai.


Click to View FlipBook Version