Bahasa Melayu
Tahun 5
Tema 2: Perpaduan
Tunjang
Keharmonian
Nama : Chan Wai Yin
Kelas : 5U
Makanan Tradiosional Kaum Iban
1. Umai
Umai merupakan hidangan yang berasaskan ikan mentah
dengan campuran beberapa bahan seperti bawang merah, cili,
garam dan perahan limau untuk menghasilkan rasa yang
enak. Ia juga boleh dihasilkan menggunakan udang ataupun
sotong.
Gabungan pelbagai bahan telah membuatkan ikan atau
udang atau sotong mentah tersebut dimasak secara
semulajadi tanpa perlu memasaknya di atas dapur. Hidangan
ini sememangnya enak dimakan bersama nasi panas.
2. Kemiding atau Midin
Sebut sahaja sayur midin, pastinya ramai mengenalinya
terutama sekali masyarakat Sarawak. Namun, jika ianya
disebut dengan nama kemiding, mungkin juga ada yang
terpinga – pinga tidak mengenali.
Kemiding merupakan panggilan kepada sayur midin oleh
masyarakat Iban. Ia merupakan sayur yang begitu terkenal,
malah hidangan midin merupakan makanan tradisional
masyarakat Iban.
Sayur ini biasanya dimasak bersama belacan yang
dikenali sebagai midin belacan. Ada juga yang memasaknya
secara rebus bersama ikan bilis sahaja.
Midin ini begitu senang diperoleh di kawasan sekitar
kampung, malah boleh dibeli di pasar – pasar awam. Rupa
sayur ini seakan pucuk paku tetapi terdapat sedikit perbezaan.
Ianya begitu lembut serta enak dimakan bersama sambal
belacan.
3. Manuk Pansuh
Hidangan manuk pansuh sememangnya begitu terkenal di
negeri Sarawak. Namun, hidangan ini sebenarnya merupakan
salah satu makanan tradisi orang Iban.
Manuk dalam bahasa Sarawak merupakan ayam. Ini
bermakna hidangan manuk pansuh adalah hidangan
berasaskan ayam. Biasanya untuk menghasilkan hidangan ini,
ayam tua akan dijadikan sebagai pansuh.
Manuk pansuh ini begitu enak rasanya apabila dimasak
di dalam buluh bersama bahan – bahan yang begitu istimewa.
Hidangan ini juga sering menjadi lauk serta “tabas” semasa
meraikan sesuatu perayaan.
Untuk memberi rasa serta aroma yang lebih wangi, daun
ubi akan diletakkan pada bahagian hujung buluh. Wap yang
terhasil akan memberi bau yang cukup menyelerakan.
Hidangan ini sering menjadi makanan wajib semasa
sambutan perayaan Hari Gawai setiap tahun.
4. Hinava Ginapan
Hinava ginapan ini menggunakan isi ikan atau sotong
sebagai bahan utama. Ia seakan – akan umai namun terdapat
sedikit perbezaan untuk menyediakannya.
Isi ikan atau sotong yang digunakan akan dimasak
terlebih dahulu. Ia kemudiannya digaul bersama hirisan cili,
bawang, perahan limau serta garam.
Hidangan yang seakan – akan kerabu ini juga merupakan
makanan tradisional orang Iban yang sangat unik.
5. Kasam Ikan atau Pekasam Ikan
Masyarakat Iban juga begitu menggemari pekasam ikan.
Makanan ini yang juga turut dikenali sebagai kasam ikan
sering menjadi menu pelengkap hidangan.
Kebiasaannya ikan yang akan dijadikan sebagai pekasam
perlu diperam selama sebulan sebelum ianya boleh dimakan.
Semakin lama ia diperam, semakin sedap isi ikan tersebut.
Antara ikan yang sering dijadikan sebagai pekasam
adalah ikan baung, ikan semah, lampam jawa, sepat,
tengadak serta pelbagai ikan sungai. Aroma kasam ikan yang
agak kuat menyebabkan tidak semua masyarakat Iban
menggemarinya. Namun, tidak kurang juga begitu
menggemarinya dan dijadikan hidangan harian.
6. Pekasam Ensabi
Pekasam ensabi merupakan sayur sawi yang dijerukkan
sehingga ia menjadi pekasam. Sayur ini merupakan antara
makanan tradisional yang digemari oleh masyarakat Iban.
Kaum Iban menggelar sayur sawi jeruk ini sebagai kasam
ensabi. Setelah ianya dijerukkan, sawi ini mempunyai rasa
yang masam serta sedikit masin.
Ia sangat enak dimakan bersama nasi putih dan
dicampurkan dengan sedikit perahan jus limau. Gabungan
jus limau ini akan meningkatkan lagi selera. Pekasam ensabi
ini juga boleh dimasak pedas dan begitu enak rasanya.
7. Penganan
Penganan merupakan kuih tradisional kaum Iban yang
begitu popular di Sarawak. Ia sering menjadi hidangan wajib
semasa perayaan hari Gawai.
Kuih ini diperbuat daripada tepung beras, gula serta
beberapa bahan lain lagi yang dicampur bersama sehingga
menjadi satu adunan yang sebati. Doh yang telah lengkap
akan diacukan sebelum digoreng dalam minyak yang panas.
8. Kuih Sarang Semut
Apabila menyebut kuih sarang semut, pastinya ramai
terbayangkan biskut raya sarang semut. Namun, ternyata
telahan anda meleset kerana kuih sarang semut bagi
masyarakat Iban adalah begitu berbeza.
Masyarakat Iban memanggilnya sebagai kuih sarang
semut atau juga kuih jala. Ia sebenarnya merupakan kuih
karas jika di bahagian utara Malaysia. Kuih ini merupakan
kuih tradisional yang sering ada pada perayaan hari Gawai.
Malah, semasa hari krismas juga ia menjadi hidangan wajib
bagi sesetengah masyarakat Iban.