AKTIVITI UNTUK MENARIK MINAT MURID BELAJAR SUBJEK KIMIA Saibahtul Islamiah binti Rosly SMK Sungai Pusu, Gombak Subjek Kimia sering dianggap sukar oleh murid. Murid memberi alasan terlalu banyak yang perlu diingati dan difahami. Lantaran itu murid mula kurang berminat belajar subjek Kimia. Ini disokong oleh kajian Johnstone,(1982) yang menyatakan subjek kimia adalah subjek yang mencakupi konsep yang abstrak kerana ia melibatkan struktur di dalam jirim. Murid menghadapi masalah untuk menguasai konsep kimia kerana ia agak sukar dikuasai berbanding subjek sains yang lain Atom, molekul, elektron dan ikatan kimia adalah benda mikroskopik dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Jadi sebagai guru kimia kita cuba sedaya upaya menarik minat murid-murid belajar subjek kimia. Antara aktiviti yang boleh dilakukan dalam kelas ialah menyelitkan beberapa aktiviti hands on dan aktiviti selingan selain belajar teori dan amali kimia. Panitia kimia kami telah melakukan aktiviti hands on semasa belajar ikatan kovalen dengan menggunakan plastik laminate dan stiker bulat yang akan mewakili elektron. Murid akan lebih jelas melihat pembentukan ikatan kovalen apabila plastik laminate yang dilukiskan petala digabungkan bersama. Untuk memperkukuhkan murid melukis susunan elektron bagi sebatian kovalen, murid diperkenalkan akronim ‘SUPER FOR THE BEST’ yang mana ia akan membantu murid dapat melukis susunan elektron dengan betul. Selain itu murid juga diperkenalkan kaedah visual semasa belajar pengekstrakan bijih besi di mana panitia kami memperkenalkan kaedah Teknik Tangan Ektrak bijih Besi 1,1,2 dimana kami menukarkan teks panjang kepada bentuk visual yang mana murid menggunakan tangan mereka sendiri yang mewakili relau bagas. Murid berasa seronok kerana kaedah ini lebih mudah difahami. Kaedah ini merupakan kajian tindakan kami terhadap murid-murid kimia
Aktiviti lakonan juga diperkenalkan kepada murid dimana murid bergerak semasa belajar ikatan ion yang mana murid akan mewakili elektron. Murid akan lebih seronok sesekali belajar kimia di luar bilik darjah.
Dalam pembelajaran ikatan kovalen juga guru meminta murid berlakon dengan menggunakan duit dan guru merangsang murid bagaimana ikatan kovalenn terbentuk melalui perkongsian elektron. Kaedah neumonik juga membantu murid kimia menjawab soalan esei selain mereka memahami konsep. Contohnya murid diperkenalkan neumonik untuk subtopik kereaktifan logam kumpulan 1 atau 17 iaitu ‘Sa ja datang senang riak’. Sa mewakili saiz atom, ja mewakili jarak antara nukleus dan elektron, datang mewakili daya tarikan nukleus dan elektron, senang mewakili senang menerima dan melepaskan elektron dan riak mewakili kereaktifan.
Semasa belajar tajuk garam, murid turut dibawa melawat secara maya tempat yang kaya dengan kepekatan garam yang tinggi menggunakan Google Earth di mana murid sangat teruja menjejaki tempat-tempat di seluruh dunia yang mempunyai kaitan dengan kandungan yang ingin dipelajari. Aktiviti-aktiviti diatas dijalankan untuk menarik minat murid belajar kimia dan mewujudkan suasana seronok di dalam kelas.