The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Seikat Bagai Sirih, Serumpun Bagai Serai (1)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by sitisalmah.gurusmkdbs, 2021-09-11 03:00:38

Seikat Bagai Sirih, Serumpun Bagai Serai (1)

Seikat Bagai Sirih, Serumpun Bagai Serai (1)

Seikat Bagai Sirih, Serumpun Bagai Serai

Beras segantung sudah disukat,
Lalu disimpan di atas para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,
Negara damai rakyat sejahtera.

Dari zaman tuk nadur berkajang kain sehinggalah kini, orang-orang tua lazimnya
mengaitkan perjalanan dan pengalaman kehidupan kita sehari-harian dengan perumpamaan dan
kiasan. Kedua-dua aspek ini sering kali digunakan sebagai peringatan dan pedoman demi
memastikan kita tidak tersalah langkah mahupun menempuh kesukaran. Antara peribahasa yang
acap kali diperingatkan kepada kita ialah seikat bagai sirih, serumpan bagai serai. Kandungan
peribahasa ini menbawa maksud untuk kita bersatu pada dalam setiap perkara sama ada melibatkan
kerja atau lain-lain perkara. Jadi, peribahasa ini amatlah penting bagi negara kita yang mempunyai
anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa supaya setiap penduduk di
negara kita dapat menanam semangat kekitaan dan juga iltizam yang kuat dalam diri masing-
masing. Jom kita lihat apakah manfaat amalan maksud peribahasa ini dalam kehidupan seharian
dan usaha dalam merapatkan lagi tali ukhuwah dalam golongan masyarakat di ibu pertiwi kita.

Pada hemat saya, salah satu faedah amalan makna pepatah ini dalam segala hal adalah dapat
menjamin keamanan dan keharmonian negara. Perpaduan antara rakyat tidak kira bangsa atau
agama adalah sangat vital supaya satu titik hitam dalam sejarah negara yang terjadi pada 13 Mei
1969 akibat rusuhan antara kaum Cina dan kaum Melayu yang telah mengorbankan banyak
nyawa nirmala tidak terulang kembali. Umum mengetahui bahawa, sekiranya rakyat berbilang
kaum tidak mempunyai persefahaman dan toleransi antara satu sama lain, persengketaan akan
dapat dicetuskan dengan mudahnya. Contonhya, semasa pandemik Covid-19 yang belum
menemui titik noktahnya melanda negara kita, rakyat yang berprihatin menghulur bantuan bagi
golongan masyarakat ynag menaikkan bendera putih di rumah sebagai simbolik keluarga mereka
memerlukan bantuan keperluan asas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. Keadaan ini akan
menyebabkan hubungan yang dingin antara masyarakat terus dikekalkan dan juga pertengkaran-
pertengkaran yang menggugat keamanan negara dapat dielakkan. Jelaslah bahawa permuafakatan

kaum dalam setaip perkara adalah penting untuk mengekalkan keamanan negara agar kedaulatan
negara kita dapat dikekalkan.

Dalam nada yang lain, dengan mengamalkan maksud peribahasa ini, kita dapat memajukan
ekonomi negara kita. Sebagaimana yang kita tahu, masyarakat yang bersatu pada dalam semua hal
tentulah akan berganding bahu bersama dengan mengikut kebolehan dan kepakaran masing-
masing tanpa mengira ras dan agama dalam tujuan memajukan negara Misalnya, taraf ekonomi
negara kita sejak zaman kemerdekaan hingga kini kian meningkat dengan stabil disebabkan
permuafakatan pelbagai kaum dalam pengimportan mahupun pengeksportan barangan dari dan
luar negara. Dengan ini, diskriminasi dalam kumpulan masyarakat dan pekerjaan dapat dielakkan
kerana semua orang yang mempunyai semangat cinta akan negara mempunyai tujuan dan
matlamat yang sama iaitu untuk menaikkan taraf hidup rakyat negara kita. Sesungguhnya,
perpaduan kaum amat penting bagi meningkatkan ekonomi negara untuk memperbaiki taraf hidup
rakyat.

Amalan maksud peribahasa ini banyak memberikan manfaat dan sebagai rakyat Malaysia.
Dengan ini, pelbagai langkah inisiatif perlulah diambil agar peribahasa ini kekal selamanya dalam
diri masyarakat. Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam memupuk
amalan pepatah dalam generasi kini. Ibu bapa merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu
menunjukkan teladan baik dalam institusi keluarga. Contohnya, ibu bapa haruslah sentiasa
melibatkan diri dalam segala aktiviti kemasyarakatan seperti menghulur bantuan kepada mangsa
Covid-19. Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa tolong-
menolong tanpa mengira warna kulit, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Barisan pendidik di sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke
dalam sanubari anak murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan agama Islam barisan
pendidik patutlah memberikan bimbingan dan nasihat yang berterusan untuk membentuk sahsiah
positif dalam para murid walaupun pembelajaran dilaksanakan secara maya mahupun secara
bersemuka. Yang kita pasti ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat
memupuk nilai perpaduan pengamalan peribahasa sejak bangku sekolah.

Bertitik tolak daripada langkah itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa
merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini khususnya
dalam pandemik Covid-19 ini. Dalam konteks menerapkan pengamalan peribahasa, media massa

seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan informasi positif
tentang betapa pentingnya kerjasama. Sebagai analoginya, stesen penyiaran tempatan serta media
sosial boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang
berbilang bangsa. Siaran program sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa
masyarakat secara berunsur-unsur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam program
tersebut. Malah, kerajaan haruslah memberi bantuan seperti Bantuan Prihatin kepada rakyat
Malaysia dengan kuota yang sama bagi semua kaum dalam pandemik Covid-19 ini yang
menggoncang negara kita. Sungguhnya, matlamat penerapan amalan peribahasa dalam kehidupan
rakyat akan tercapai dengan lebih mudah melalui peranan media massa dan kerajaan.

Akhirulkalam, peribahasa seikat bagai sirih, serumpan bagai serai ini membawa seribu satu
kebaikan kepada pengamalnya. Peribahasa ini yang menitikberatkan perpaduan yang merupakan
tunjang dan asas Malaysia haruslah diamalkan oleh setiap marhaen tanah air kita. Marilah kita
bersama-sama bersinergi dalam mengekalkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum
dengan tidak menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Jika semua
rakyat bersatu padu dengan mengetepikan perbezaan, tentulah perpaduan dan permuafakatan dapat
dikecapi. Gagasan 1 Malaysia seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji
Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. “ Bersatu teguh, bercerai
roboh”.

840 patah perkataan


Click to View FlipBook Version