KAIN SUTERA KAIN SUTERA MAMA Untuk
KAIN SUTERA KAIN SUTERA MAMA Untuk Hak Cipta © Ainismaira, 2025. Hak cipta terpelihara. E-buku ini adalah PERCUMA dan boleh dikongsi untuk kegunaan peribadi. Dilarang mencetak untuk tujuan komersial atau memuatnaik semula tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik hak cipta. Sila hubungi norainismail87@gmail.com untuk sebarang pertanyaan dan komen penambahbaikan. Terima kasih kerana sudi membaca. Ainismaira
KAIN SUTERA KAIN SUTERA MAMA Untuk
Kain Sutera Untuk Mama 1
Kain Sutera Untuk Mama 2 Di sebuah kampung kecil yang damai, tinggal seorang gadis bernama Yasmin dan ibunya, Puan Aida. Puan Aida adalah seorang tukang jahit. Setiap hari, Yasmin melihat ibunya sibuk menyiapkan tempahan baju untuk orang lain, dari pagi hingga larut malam. Kebanyakan pelanggan Puan Aida adalah dari kampung dan ada juga yang datang dari bandar. Mereka sangat suka dan selalu memuji pakaian jahitan Puan Aida.
Kain Sutera Untuk Mama 3
Kain Sutera Untuk Mama 4 Yasmin sangat kasihan melihat ibunya. “Mama selalu buat orang lain gembira, tapi bila Mama nak buat sesuatu untuk diri sendiri?” bisik hati Yasmin. Yasmin merenung ibunya sambil bermain dengan anak-anak ayam di halaman rumah. Sejak ayahnya meninggal dunia, ibunya sangat bekerja keras untuk memastikan Yasmin membesar dengan baik. Segala keperluan Yasmin sentiasa dipenuhi oleh Puan Aida hasil dari upah menjahit yang diterimanya. Yasmin tidak pernah berasa serba kekurangan.
Kain Sutera Untuk Mama 5
Kain Sutera Untuk Mama 6 Pada suatu hari, cikgu di sekolah Yasmin bercerita tentang pentingnya menghargai ibu. “Ibu ialah insan paling istimewa dalam hidup kita. Cikgu harap semua pelajar boleh fikirkan sesuatu untuk menggembirakan ibu masingmasing.” Kata-kata cikgu itu membuatkan Yasmin berfikir sepanjang hari. Dia mula teringat tentang hari lahir ibunya yang bakal tiba tidak lama lagi. Dia ingin memberikan sesuatu yang benarbenar istimewa kepada ibunya.
Kain Sutera Untuk Mama 7
Kain Sutera Untuk Mama 8 “Mama, cantiknya kain ini, ” kata Yasmin ketika membantu ibunya melipat kain tempahan. “Yasmin, ini kain sutera, harganya sangat mahal, orang biasa macam kita mana mampu, ” kata Puan Aida. Yasmin melihat air muka ibunya berubah. Yasmin mendapat idea dan merancang untuk membelikan kain sutera supaya ibunya boleh menjahit baju yang cantik untuk dirinya sendiri. Yasmin segera teringat tentang bapa saudaranya, Pak Omar. Pak Omar juga seorang tukang jahit dan menjual kain di bandar.
Kain Sutera Untuk Mama 9
Kain Sutera Untuk Mama 10 Keesokan harinya, selepas tamat waktu persekolahan, Yasmin menaiki bas menuju ke kedai kain Pak Omar. “Pak Omar, di sini ada kain sutera? Saya mahu hadiahkan kepada Mama, ” katanya dengan penuh semangat. Pak Omar tersenyum lalu mengeluarkan sepasang kain sutera berwarna putih. “Ini kain sutera terbaik di kedai ini, Yasmin. Tetapi harganya mahal, nak. Kamu nak beli kain ni?” soal Pak Omar. “Ya, tapi bukan sekarang. Saya belum cukup wang, tapi saya sanggup buat apa saja!” Kata Yasmin.
Kain Sutera Untuk Mama 11
Kain Sutera Untuk Mama 12 Pak Omar memandang Yasmin dengan mata penuh simpati. “Kalau begitu, bagaimana kalau Yasmin bantu pak cik di kedai ini selepas sekolah? Kebetulan pekerja pak cik tidak sihat dan bercuti selama dua minggu. Pak cik akan bayar kamu upah. Sedikit demi sedikit, kamu akan dapat kumpulkan wang.” Yasmin tersenyum lebar dengan tawaran itu dan bersetuju. Sejak hari itu, selepas pulang dari sekolah, Yasmin membantu di kedai Pak Omar. Dia juga menyimpan sebahagian duit belanja sekolahnya. Setiap malam, dia mengira simpanan wangnya, berharap ia cukup sebelum hari lahir ibunya.
Kain Sutera Untuk Mama 13
Kain Sutera Untuk Mama 14 Namun, sehari sebelum hari lahir ibunya, ketika Yasmin mengira wang simpanannya hatinya menjadi resah. Wang yang dikumpul masih belum mencukupi untuk membeli kain sutera itu. Yasmin termenung di tepi jendela, kecewa dengan dirinya sendiri. “Kain sutera tu terlalu mahal, macam mana aku nak hadiahkan sesuatu untuk Mama sekarang?”
Kain Sutera Untuk Mama 15
Kain Sutera Untuk Mama 16 Pada pagi hari lahir ibunya, Yasmin tetap pergi ke bandar dengan harapan dapat melihat kain sutera yang diimpikannya. Setibanya di kedai Pak Omar, Yasmin terkejut apabila kain sutera putih yang dia idamkan sudah tiada. “Pak Omar, mana kain sutera putih tu?” soalnya cemas. “Oh, kain itu sudah dibeli orang tadi. Pak cik minta maaf sebab tidak dapat menyimpan kain itu untuk kamu, ” jawab Pak Omar dengan nada kesal. Yasmin tunduk kecewa. “Tak mengapa, lagipun duit saya masih belum cukup, Pak Omar akan rugi jika tidak menjual kain sutera itu.”
Kain Sutera Untuk Mama 17
Kain Sutera Untuk Mama 18 Pak Omar memerhati wajah Yasmin yang suram. Dia mengambil masa sejenak, kemudian tersenyum. “Yasmin, tunggu sebentar. Pak cik ada sesuatu untuk kamu.” Pak Omar masuk ke dalam kedai dan kembali dengan sehelai kain sutera kecil. “Ini adalah lebihan kain sutera yang pak cik pernah jahit untuk pelanggan. Walaupun tidak cukup untuk menjahit sepasang baju, mungkin ia boleh dijadikan sesuatu yang istimewa. Ambillah, pak cik hadiahkan kepada kamu.”
Kain Sutera Untuk Mama 19
Kain Sutera Untuk Mama 20 Yasmin memandang kain itu dengan mata berkaca. “Terima kasih, Pak Omar! Ini lebih dari cukup.” Dengan penuh semangat, Yasmin pulang ke rumah. Ketika ibunya tiada di rumah, Yasmin mula menjahit sehelai selendang dan sapu tangan kecil, menggunakan kain sutera itu. Dia bekerja dengan teliti, memastikan setiap jahitan rapi dan cantik. Yasmin menyimpan selendang dan sapu tangan sutera itu di dalam kotak kecil yang diikat dengan reben ungu.
Kain Sutera Untuk Mama 21
Kain Sutera Untuk Mama 22 Keesokan harinya Yasmin menghadiahkannya kepada Puan Aida. Air mata kegembiraan membasahi pipi Puan Aida apabila dia membuka kotak itu. “Mama, selendang dan sapu tangan ini saya jahit sendiri untuk mama. Maaf mama, ini sahaja yang saya mampu, ” kata Yasmin. Puan Aida memegang tangan Yasmin “Yasmin, hadiah ini lebih indah daripada mana-mana hadiah di dunia.”
Kain Sutera Untuk Mama 23
Kain Sutera Untuk Mama 24 “Kamu telah menjahitnya dengan penuh kasih sayang. Mama dapat melihat keikhlasan kamu dalam setiap jahitan ini. Itu hadiah terbaik untuk Mama.” kata Puan Aida. Yasmin sangat sebak dan mula menitiskan air mata. “Selamat hari lahir Mama, terima kasih sudah banyak berusaha untuk membesarkan saya, ” ucap Yasmin ringkas lalu memeluk erat ibunya. Puan Aida segera menggayakan selendang berwarna merah jambu pemberian Yasmin.
Kain Sutera Untuk Mama 25
Kain Sutera Untuk Mama 26 Sejak hari itu, jika ada majlis penting, Puan Aida akan mengenakan selendang pemberian Yasmin dan sapu tangan pula sentiasa dibawa ke mana sahaja Puan Aida pergi. Setiap kali dia memandangnya, dia teringat betapa besar kasih sayang anaknya. Yasmin pula mula belajar menjahit untuk meringankan beban ibunya. Setelah tamat persekolahan, Yasmin menyambung pengajian dalam bidang fesyen dan berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang. Yasmin bercita-cita ingin menjadi pereka fesyen yang berjaya dan membanggakan ibunya.
Kain Sutera Untuk Mama 27 Pengajaran Kasih sayang kepada ibu bapa boleh ditunjukkan melalui usaha kecil tetapi bermakna. Ia adalah tentang keikhlasan hati, bukan kemewahan hadiah.