PERTANDINGAN MENGARANG e-CERITA PENDEK TAHAP 2
Program Bacaan Digital, e-Ulat Buku, e-NILAM & Pemerkasaan PdPR SKTB 2021
GILA MEOW
Si Pencinta Kucing
NURUL AIEN KHALIESYA BT ADNAN
6 Seroja
"Argh, geramnya! Bulat sangat matanya...
memang ada iras-iras patung beruang!
Kalaulah ada di hadapan mata, siaplah awak
ditimang-timang!""
Gadis itu memuji-muji seekor kucing
berbaka The Exotic Short sambil mengunyah
kismis dalam perjalanan pulang ke pulang ke
rumah. Bukan setakat itu, dicubit-cubit
gambar kucing tersebut pada skrin lalu
menekan ikon hati. Kemudian, ibu jarinya
menekan gambar seterusnya. Sebuah video
selama 30 saat telah dimuat naik.
Menariknya, video itu menerima 30 000
likes daripada pengguna Instagram seluruh
dunia. Wah hebat tidak terkira! memang
boleh viral aksi seekor anak kucing gemuk
berwarna kelabu, terlompat-lompat di atas
katil kerana mahu menangkap reben
bergulung.
1
"Amboi... siap pakai kot dan tali leher kupu -
kupu. Hai... kalaulah saya ada anak kucing
seperti ini."
Jari-jemarinya sekali lagi menggosok-
gosok skrin telefon bimbit sendiri. Bukan
kerana ingin menggilap skrin hingga kilat,
namun perbuatan itu dilakukan demi
membelai-belai bulu kucing hanya mampu
dipuji di alam maya.
Itulah fenomena terkini, pemilik-
pemilik kucing di Instagram sanggup
berbelanja beratus-ratus malah beribu-ribu
ringgit bagi si kucing kesayangan. Ada yang
disarungkan pakaian. Ada juga yang
ditawarkan program iklan. Tidak kurang
juga, wujud kucing yang dihias bertatahkan
intan berlian! Demi menjaga
status...individu-individu sebegini sanggup
menjadikan kucing-kucing mereka setaraf
dengan artis hingga ada yang dijemput oleh
pihak media sebagai selebriti kucing
jemputan!
2
Alangkah indahnya jika semua kucing
idaman yang wujud di Instagram ini menjadi
hak miliknya 100 peratus!
Gambar yang tertancah kukuh di skrin
sedari tadi terhenti. Deria telinga Aniz
Zulaikha memang amat sensitif dengan
bunyi sebegini. Pandangan dari skrin telefon
bimbitnya dialihkan ke arah lantai jalan.
Kelihatan seekor anak kucing menjilat-jilat
bulu lalu mendongak. Oh, memang mulut
masin betul! Selaju kereta api Shikansen di
Jepun, secepat kilat doa termakbul. Baru
memahat angan-angan, seekor anak kucing
pun timbul secara realiti di hadapan!
Tanpa berlengah, tubuh haiwan kecil itu
diangkat ke paras muka Aniz. "Alololoh....
macam versi harimau bintang mini! Awak
lapar ya? Awak penat berjalan? Saya tahu
mana awak boleh dapatkan makanan. Jom...
ikut saya! "
3
Begitulah lazimnya jika si gadis yang
bernama Aniz terserempak dengan mana-
mana kucing liar. Bezanya, dia tidak pernah
berjumpa anak kucing yang unik seperti kali
ini... rasa ceria sungguh hari ini! Jika boleh,
seluruh alam semesta mahu diubah menjadi
planet kucing sedunia. Ah.... seronoknya!
"Shooh.... shooh... shooh! Pergi dari
sini... hish, menyusahkan betul ! "
Sekejap-sekejap Pak Cik Wahid memegang
galah dan menggertak beberapa ekor kucing
yang duduk di atas batu pemisah rumah
berkembarnya yang terletak di Bangsar.
Melihat gelagat Pak Cik Wahid, Aniz
mengerekot di tepi sebatang pokok.
4
"Senyap-senyap! Masalah besar jadinya
kalau Pak Cik Wahid dengar suara awak,"
Aniz segera berbisik kapada anak kucing.
Seketika tidak berganjak selama
beberapa saat, gadis itu sengaja mahu
mengelak dan menunggu masa yang tepat
untuk bergerak. Jika Pak Cik Wahid melihat
ada kucing baharu yang dipegangnya, huh...
boleh jadi perang dunia ketiga! Telinga tentu
bernanah dan berdarah semalaman
menahan dengar bebelan bertubi-tubi oleh
si jiran yang membenci haiwan pujaan hati.
"Apalah nasib kucing-kucing saya. Nasib
baiklah Pak Cik Wahid tidak jolok betul-
betul. Kalau dia berani cederakan walau
seekor, siaplah! Saya saman!""
5
Pak Cik Wahid masuk ke dalam rumahnya
semula setelah kucing-kucing Aniz lari
bertempiaran menjauhi kawasan sempadan
rumah. Kini apabila sudah yakin tiada kelibat
orang tua itu di situ.... Aniz berlari sepantas
kilat lalu membuka pagar perlahan-lahan.
Tanpa memandang ke kiri mahupun ke
kanan, dia menyelinap masuk ke
perkarangan rumahnya.
Namun langkahnya terhenti apabila ada
suara keras yang menegur secara memetir
dari belakang.
"Hah.... muncul pun kamu!"
Aniz perlahan-lahan memaling muka,
nampaknya orang yang mahu dielak itu itu
bersua jua. Mata Bertentang mata!
6
"Pak Cik Wahid... err ... apa khabar?" Aniz
cuba memaniskan raut wajah, tersenyum
pada kadar keterpaksaan maksima.
"Tidak payah bertanya khabar kalau
tidak ikhlas! Aku memang boleh sakit teruk
apabila duduk berjiran dengan orang yang
bela kucing macam kau!" Kasar lagi
menengking, lelaki itu jelas memandang
dengan mata menjegil.
Aniz menarik nafas dalam-dalam,
sebelum cuba membela dirinya. "Pak Cik....
saya bela kucing sebab ia binatang kesukaan
Nabi. Ia bawa rahmat dan rezeki....
bukannya bawa penyakit!“
Pak Cik Wahid terherot bibir mendengar
balasan itu... dicebik mulut sebelum laser
menyebut, "Rezeki apa, hah? Kau cakap
dengan aku? Rezeki bau hancing? Rezeki
berketul - ketul tahi kucing?"
7
Telinga Aniz jadi merah menahan marah,
pipi sudah merona dan terasa panas kerana
darah menyimbah muka. Lalu dibalas
dengan kata-kata, "Pak cik... jangan sampai
masuk neraka sebab membenci binatang
ciptaan Tuhan. Sedarlah, kita manusia patut
jadi pelindung makhluk yang lemah. Bukan
benci sampai maki hamun, jolok hendak
cederakan dan marah-marah!"
Kemudian gadis itu laju meninggalkan
Pak Cik Wahid yang terbuntang biji mata
kemarahan, malas mahu bertekak dan
berperang sampai habis tenaga.
Cepat-cepat membuka pintu utama,
ketibaan Aniz disambut oleh aroma ikan
goreng garing yang mewangi satu rumah.
Hmm... masakan ibunya memang bertaraf
dunia. Anak kucing yang dipeluk mesra itu
juga bersetuju apabila ia mengiau kuat
seolah-olah kelaparan menghidu bau ikan
hingga ke kalbu.
8
Namun Aniz tidak ke dapur, dia meluru ke
kamar biliknya di tingkat dua. Beg sandang
sekolah dicampak ke arah kerusi di sudut
belajar. Anak kucing yang dibawanya
diepaskan. Ia berkeliaran di sekitar bilik tidur
seperti yang baru berpindah rumah.
Mula-mula, anak kucing itu melompat ke
atas cadar katil berwarna ungu yang dihiasi
gambar kucing ala Skandinavian. Kemudian
ia menyorok pula di bawah timbunan
kusyen-kusyen berbentuk kepala kucing.
Tidak sampai lima saat, ia cuba menarik kain
langsir yang beralun akibat ditiup oleh angin
petang. Anak kucing itu mungkin geram
melihat renda-renda bergerak, ia terlihat
seperti satu permainan yang mengasyikkan.
"Hep! Nanti langsir mama menjadi roti
kirai! Kita boleh main tali, lepas makan
tengah hari!" Aniz mahu memanjakan
dirinya dengan panggilan 'mama' kepada
kucing peliharaannya. Haiwan itu pula
bagaikan mengerti, mengerdipkan mata
berkali-kali.
9
Tersenyum girang melibatkan aktifnya tindak
balas anak kucing tersebut... Aniz tiba-tiba
memeluknya erat ke dada.
"Sekarang mama hendak tunjukkan
sesuatu."
Langkah kaki menghampiri meja solek, di
situ diletakkan beberapa bingkai gambar
sebagai hiasan, membawa nilai kenang-
kenangan.
"Perkenalkan anak-anak mama yang
lain. Kucing betina ni namanya Jingga....
yang ni pula Tam Tam oleh sebab bulunya
hitam. Manakala ini dipanggil Bijau kerana
matanya sebelah berwarna biru dan sebelah
lagi hijau. This is BamBam. Tentulah
dipanggil BamBam sebab tubuhnya yang
tembam. Haa... jaga - jaga sedikit dengan
BamBam sebab ia jenis nakal dan suka curi
stok makanan kucing lain! Inilah keluarga
angkat awak mulai sekarang. Nanti kita
jumpa semua kucing lain juga... jangan
gaduh-gaduh ya!"
10
Aniz sudah tersengih-sengih melayan telatah
si kucing kecil yang begitu nakal menekan
wajah-wajah keluarga angkatnya.
"Haaa... saya ada satu idea jenius!"
Tidak semena-mena, mentol kepala
Aniz bercahaya. Dikeluarkan reben yang
berwarna-warni yang disimpan di dalam
sebuah kotak bulat. Material itu dipotong
lalu dipasangkan ke leher anak kucing
tersebut. Selain itu, ada tisu, topi koboi buku
dan kaca mata hitam untuk dijadikan set
latar gambar. Persis gaya superstar!
"Aniz... Aniz! Tolong Umi sekejap!
Cepat!"
Senyap.
Tiada jawapan.
11
Ketika dipanggil, Aniz terlalu asyik menukar
posisi kamera bagi menangkap gambar
haiwan comel itu sehingga tidak terdengar
panggilan ibunya dari tingkat bawah.
Berlagak seperti juru foto bertauliah,
pelbagai sudut diambil bagi mendapat sisi
paling comel supaya boleh dimuat naik di
Intagram.
Seronok betul melihat kelakuan si comel
walaupun katil Aniz sudah kelihatan seperti
tongkang pecah yang terlebih sepah.
Begitulah jadinya kalau hendak meniru gaya
ala kucing - kucing Instagram yang popular.
Nampak sahaja indah di Instagram, tetapi
hakikatnya.... persiapan penggambaran
teramat payah!
12
Sebelum ini, Aniz tidak pernah
meletakkan mana-mana gambar di media
sosial. Sengaja mahu mencuba sesuatu yang
baharu, mana tahu... untung sabut timbul,
boleh dapat duit berkepuk-kepuk melalui
pembayaran iklan. Jika ramai pengikut dan
ada pihak yang suka... bolehlah jadi duta
produk Friskees atau Miao Mix. Seronok
betul Aniz berkhayal.
"Aduh, habis bercarik bantal peluk mama!
awak cekau dengan kuku tajam. Hish... kecil
- kecil cili api rupa - rupanya! Tidak apalah,
Apa yang penting... awak tetap comel di
mata ini. Oh... berkat makan snek tadi,
mama sudah ada nama yang sesuai."
13
Aniz kini memuat naik gambar paling cantik
ke Instagram berserta kapsyen dengan nama
anak kucing itu. Tidak lupa diletakkan
beberapa hashtag wajib:
Kismis in the house!
#catsofinstagram #kittens #cute #
catoftheday #tabby
"Mulai hari ini, awak akan dipanggil
kismis! Sebab bulu ada tompok - tompok
coklat macam kismis. Sekali tengok pula
seperti anak harimau bintang. Kismis... ingat
pesan ini, jadi anak mama yang baik ya!”
Aniz kini secara rasmi telah menjadikan anak
kucing itu sebagai salah satu haiwan
peliharaan kesayangannya. Ia tambahan
kepada koleksi kucing sedia ada iaitu Jingga,
TamTam, Bijau dan BamBam... serta banyak
lagi di luar sana.
14
"Aniz Zulaikha binti Arifin!"
Tiba - tiba Aniz dikejutkan dengan satu
suara yang maha kuat! Ia bagakan guruh
yang berdentum tepat pada pintunya.
Memberhentikan segala aktiviti dengan
serta-merta, pintu bilik yang tertutup rapat
kini terbuka luas.
"Apa sudah jadi dengan bilik kamu?"
Puan Salwa sesak nafas melihat
keadaan di bilik tidur itu. Satu-satunya anak
perempuan di dalam keluarga... tetapi bilik
berselerak macam rumah kongsi kontraktok!
Jika adik-beradik lelaki Aniz yang lain tidak
tinggal di asrama penuh, sering juga Puan
Salwa naik darah.
15
"Astaghfirullah! Kucing mana lagi yang kamu
bawa balik, Aniz? Tidak cukup-cukup lagi
dengan kucing-kucing yang ada? Tidak larat
Umi kena sindir dengan Pak Cik Wahid lagi!"
Puan Salwa membebel marah sebaik sahaja
merenung kelibat si kecil yang dibaluti
bermacam-macam aksesori di tubuhnya.
"Alah, Umi... Aniz baru pertama kali
jumpa anak kucing secomel ini. Lebih baik
jadi penyelamat kucing-kucing terbiar
daripada membuat perkara yang bukan-
bukan. Bolehlah kumpul pahala dan jangan
terikut perangai Pak Cik Wahid yang asyik
mengumpul dosa. Kerja mahu menganiaya
kucing-kucing sahaja... boleh masuk neraka!"
Aduhai! Ternyata Aniz masih tidak
dapat melupakan insiden tadi. Selamba
sahaja mulut, mengata dan mengumpat
tentang perihal jirannya.
16
Aduhai! Ternyata Aniz masih tidak
dapat melupakan insiden tadi. Selamba
sahaja mulut, mengata dan mengumpat
tentang perihal jirannya.
"Sudah! Jangan salahkan orang lain.
Berdosa juga kalau ingkar mendengar
nasihat Umi. Sekarang, kemas bilik kamu...
Umi tidak peduli. Selagi kucing-kucing yang
lain tidak terjaga, Umi larang bawa anak
kucing baharu! Cukuplah dengan apa yang
kamu simpan dalam rumah ini... sampai
penuh bulu!"
Sekali lagi Puan Salwa meninggikan suara
setaraf ngauman singa betina, mengingatkan
Aniz kepada Cikgu Amnah, guru disiplin di
sekolahnya.
Luarannya... Aniz mengangguk akur,
namun hatinya memberontak tidak setuju
dengan perintah larangan itu."
17