Peria puru dihinggap rerama
Pilih dan petik jumlahnya empat
Manusia itu diberi sukma
Memilih fasik* ataupun taat
Gelama batu dicampur santan
Campuran halba enak rasanya
Sukma itu jadi jambatan
Antara hamba dengan Tuhannya
Ringankan tangan kerja bersama
Kerja sekata elak berdalih
Fikirlah dengan landasan sukma
Tentu mestika* akan dipilih
Buana berseru menyapa suria*
Suria terik terangi bumi
Bagaimana mahu mendidik sukma
Sukma dididik dengan rohani
• Sukma : jiwa, nyawa, roh
• Fasik : tidak patuh perintah Tuhan
• Mestika : permata berharga, geliga
• Suria : matahari
Cikgu Sam @ SKTB
Dalam bicara harus bercura
Agar terasa ramahnya tamu
Kalau berkata si cura-cura
Pandai-pandailah menyelit ilmu
Patah galah atas pepara,
Galah diguna menanggung padi;
Tiadalah salah jika bercura,
Asal tidak menyinggung peribadi.
Kukuh pagar hujung muara,
Untuk sambut datuk menteri;
Kalau gemar bercura-cura,
Tanda busuk isi nubari*.
Harta pusaka penuh sepeti,
Harta dipunggah di tengah pulau;
Bahasa cura menglibur hati,
Penawar gundah hati nan galau.
*Cura = kelakar
* Cura-cura = kata-kata keji
Nubari : sanubari, perasaan batin
Cikgu Sam @ SKTB
Taruh halia dalam bejana
Bejana letakkan di tepi cembul
Sungguh mulia sifat renjana
Renjana akan Tuhan dan Rasul
Batang longan warnanya hijau
Hijau muda berdaun tiada
Siang angan malam mengigau
Igau renjana kasihnya bonda
Sebunjut sukun berikat ketat
Bunjutkan sama sebutir geliga
Bersujud tekun malam yang pekat
Lantaran renjana haruman syurga
Sama menimba Sungai Melaka
Sambil meneguk air telaga
Renjana hamba tanah pusaka
Sanggup bergadai nyawa dan raga
• Renjana : Rasa berahi (cinta, kasih, rindu)
yang kuat
• Bejana : bekas menyimpan air
Cikgu Sam @ SKTB
Dabik dada* pertahan pertiwi
Usah bersenda melembing pekaka
Asih bonda haruman syurgawi
Asih ayahanda mendinding neraka
Mengumpul kawi letak di padang
Berkumpul marga darat dan baruh
Asih pertiwi bukan kepalang
Jiwa dan raga hamba pertaruh
Daun selasih diperap-perap
Perapkan sama adunan kari
Kalau asih dinda mengharap
Asihlah jua kanda memberi
Cenderawasih hinggap di tangan
Kayu tugal* rantingan mati
Asih bukan hanya omongan
Asih tekal di sudut hati
• Asih : Kasih, sayang
• Dabik dada : tepuk dada, megah
• Pertiwi : negara, tanah tumpah darah
• Kayu tugal : kayu untuk melubangkan
tanah menanam benih
Cikgu Sam @ SKTB
Kerabu tauhu enak dijamu
Kuih sepit tidaklah tawar
Andai mahu sambut tetamu
Tikar petit* elok dihampar
Buah kuini masak di dahan
Ada sangkar di pohon palas
Kami ini orang bawahan
Tikar bangkar* menjadi alas
Tikar serampim* molek disimpan
Buat mengalas atas beranda
Jadi pemimpim hendaklah sopan
Bakal menggalas dosa pahala
Banyak tikar antara tikar
Tikar pacar* kami bentangkan
Banyak ikhtiar perkara ikhtiar
Doa dan sabar jangan lupakan
Tikar petit : tikar yang berwarna-warni dan mahal
Tikar serampim : tikar untuk mengumpul sagu
Tikar pacar : tikar berlapis dan berwarna untuk
orang atasan dan raja-raja
Tikar bangkar : tikar yang kasar anyamannya
Cikgu Sam @ SKTB
Dalam pesawat* atas samudera*
Berasa gagah membelah benua
Kalau syahwat jadi tentera
Tanda ponggah kepada Yang Kuasa
Dalam pesawat atas samudera
Segara biru luas terbentang
Tiada kudrat tiadalah daya
Tuhan satu sangat Penyayang
Dalam pesawat atas samudera
Membuka fikir hebatnya alam
Segala di darat juga udara
Berzikir taat siang ke malam
Dalam pesawat atas samudera
Awan gemawan direntas megah
Ayuhlah taat sepanjang usia
Nescaya Tuhan beri magfirah*
Dalam pesawat MH67 / 26112017
• Pesawat : kapa terbang
• Samudera : lautan, segara
• Magfirah : keampunan
Cikgu Sam @ SKTB
Badik* berhulu bilahnya patah
Jatuh terpacak di pangkal dahan
Didik anakmu akal yang cerah
Agar tidak ahmak fikiran
Bakar gaharu malam Jumaat
Sampai ke pagi bau semerbak
Usahlah guru dikau khianat
Maka generasi menjadi ahmak
Ahmak budi kurang pekerti
Ahmak bicara mulut puaka
Didik hati dengan rohani
Didik kata dengan cendekia*
Anak berudu termundar-mandir
Dalam telaga keli bersarang
Tekun guru membuang pandir
Ahmak juga dicari orang
Ahmak : bodoh, dungu, pandir
Badik : sejenis pisau
Cendekia : bijak, pandai
Cikgu Sam @ SKTB
Cantik laksana si bianglala*
Seri buana menambah syukur
Guru sentana api menyala
Besi yang waja dapat dilentur
Sentana mentari panas membakar
Pabila malam hilanglah ia
Jasamu guru tak pernah pudar
Tidakkan padam dimakan masa
Gantung buaian dahan angsana
Tepian sawah batasan padi
Andai pakaian tidak sentana
Hilanglah maruah pelindung diri
Cantik gerhana serinya bulan
Awan berarak langit terhias
Jangan sentana bapa haruan
Melindung anak sambil mengilas
• seumpama, seperti, sekiranya, kalau, selayaknya
• Bianglala : pelangi
Cikgu Sam @ SKTB
Tabur melukut dalam talam,
Lalu diperam di dalam balang;
Jangan takut gelapnya malam,
Kerana fajar bakal menjelang.
Suram waktu pasang pelita,
Terang segenap penjuru teduhan;
Malam itu sangat gelita,
Digemar abid memburu Tuhan.
Jika mahu emas suasa,
Elok dicari lombong yang dalam;
Jika mahu tangisi dosa,
Elok bersujud sepertiga malam.
Hari petang semakin kelam
Nyalakan kandil letak di kandar;
Ada seribu satu malam,
Tidakkan sama malam al qadar.
Cikgu Sam @ SKTB
Belantara luas jalan ke penghujung;
Carilah akar tempat berpaut;
Antara rumput ataupun gunung,
Aku memilih serumpun rumput.
Berpuput bayu terasa dinginnya,
Pagi segar dilimpahi mentari;
Rumput itu rendah tumbuhnya,
Tapi cekal di atas bumi.
Luka tangan kerana dipagut,
Baung dan keli menyengat jari;
Jika bukan kerana rumput,
Gunung yang tinggi tiada seri.
Banyak rumput di tengah padang,
Rumput sambau dihinggapi merbah;
Jika takut ke tengah gelanggang,
Baik berdiam di dapur rumah.
Cikgu Sam @ SKTB