The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by CATATAN MINDA CG SAM, 2023-01-12 08:49:26

E-book (Uyghur 3) Isu Turkistan Timur dan Peranan Media

Terbitan ABIM PRESS

Terbit edisi e-buku, Oktober 2022
© Angkatan Belia Islam Malaysia
Judul Asal: Qaḍiyyah Turkistān al-Sharqiyyah

wa Dawr al-I‘lām al-‘Arabī
Pengarang: Shaykh Sirājuddīn ‘Azīzī
Penterjemah: Mohammad Syafiq Ismail
Penyunting dan Transliterasi: Mohd Khairul Anwar Ismail
Reka Bentuk Kulit: Ainatunnadiah Azizan
Reka Letak Huruf: Muhammad Fateh

ABIM PRESS PLT (LLP0012799-LGN)
No. 6, Jalan TC 2A/2,
Taman Cemerlang
53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA

No. Telefon (P): +603-4108 4500
No. Telefon (HP/Whatsapp): +60133916299

No.Faks: +603-4108 2400
Emel: [email protected]
Laman Sesawang: www.abimpress.com
FB: www.facebook.com/abimpressmy
Koleksi E-Buku ABIM PRESS boleh diakses dan dimuatturun
secara percuma di pautan berikut:
https://tinyurl.com/KoleksiEbukuABIMPRESS
Atau boleh juga ikuti perkembangan E-buku terkini di

halaman FB Abim Press:

ABIM PRESS

MUQADDIMAH
PENTERJEMAH

Atas nama Yang Kasih, daku menulis.
Selawat dan salam, buat kekasih.

Gita puji sesempurnanya bagi Allāh, selama-lamanya,
atas kurnia-Nya dan izin-Nya, sesuai ketetapan-Nya yang
tersurat, kita selesai melaksanakan khidmat kepada karya
Shaykh Sirājuddīn ‘Azīzī, naib presiden Kesatuan Ulama
Turkistan Timur, dengan judul asalnya, Qaḍiyyah Turkistān
al-Sharqiyyah wa Dawr al-I‘lām al-‘Arabī.

Karya ini pada asalnya merupakan pembentangan beliau
bersempena seminar ‘Turkistan Timur: Genosid Terancang,’
pada 4 Januari 2022 di Turkiye, yang dianjurkan oleh
International Relation Academy (IRA), International Union
of The East Turkistan Organizations (UDTSB) dan Centre
for Islam and Global Affairs (CIGA).

Karya beliau ini menekankan kepentingan media dalam
usaha meningkatkan kesedaran awam berkenaan genosid

3

yang sedang berlaku di Turkistan Timur. Ia sudah berlaku dan
melarat terlalu lama, namun kerana jurang bahasa dan akses
teknologi, maklumat berkenaan jenayah China kepada umat
Islam di Turkistan Timur ini kurang mendapat sambutan.
Satu hal yang wajar kita insafi bersama dan sewajarnya
membangkitkan perasaan kemanusiaan dalam diri kita untuk
bersama membela nasib mereka yang ditindas.

Karya beliau ini boleh dianggap sebagai sumber primer
dalam pensejarahan dan pengisahan maklumat berkenaan
Turkistan Timur. Justeru, wajar sekali dihadam dengan
penuh penghayatan dan kesedaran bahawa isu Turkistan
Timur ini ialah isu kemanusiaan dan isu Islam sekaligus.

Terima kasih kita ucapkan buat pihak ABIM PRESS atas
kesudian menerbitkan dan menyebarkannya secara gratis nan
online. Tiada hakcipta yang kita tuntut di balik terbitan ini,
ia bebas diulangcetak dan disebarkan oleh sesiapa saja, dan
digunakan dalam kajian-kajian.

Sesungguhnya tiada apa yang kita miliki melainkan
kesalahan dan kesilapan. Sementara seluruh kebaikan
itu hanyalah milik Allāh. Sekiranya terdapat sebarang
kekurangan dan kesilapan dalam terjemahan ini, mohon
segera dimaklumkan agar segera diperbetulkan, kerana tiada
kitab yang sempurna melainkan al-Qur’ān.

Allāh Maha Mengetahui.

Syafiq atTauhidi (Mohammad Syafiq Ismail)

19 Zulhijjah 1443H / 19 Julai 2022M

Maktabah atTauhidi, negeri Sabah alMahmiyah billah.

4

ISU TURKISTAN TIMUR
DAN PERANAN MEDIA

Oleh:
Shaykh Sirājuddīn ‘Azīzī

Sudah tentu terlalu nyata bagi sesiapa saja yang memerhatikan
kesengsaraan yang menimpa umat Islam di Turkistan Timur,
bagaimana mereka dicinakan (sinicization). Mereka juga
berdepan dengan genosid (pembunuhan beramai-ramai)
di kem-kem tahanan dan penjara-penjara dengan tujuan
memaksa mereka meninggalkan agama mereka, dengan cara
menghalang mereka daripada melaksanakan solat, puasa,
memaksa mereka makan daging khinzir dan meminum arak,
serta diajarkan idea ateisme dan komunisme.

Kerja-kerja jahat ini telahpun disiasat dan dipastikan
oleh pelbagai kesatuan dan badan-badan antarabangsa,
bermula daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

5

(PBB), badan hak asasi manusia dan selainnya. Begitu
juga, negara-negara di seluruh dunia, agensi-agensi
berita antarabangsa, dan media di pelbagai negara telah
menyiarkan dan menyebarkan pelbagai laporan dan kajian
berkenaan pencabulan (hak) besar-besaran yang berlaku
ini. Sebahagian negara juga telah mengeluarkan kenyataan
rasmi mengutuk (perbuatan ini).

Sebelum ini, kami ada menyatakan dan meluahkan
bagaimana China mengamalkan penindasan dan
penganiayaan, seperti:

1- Pembakaran mushaf (al-Qur’ān) dan buku-buku
agama, larangan pengajian agama, dan hukuman
penjara bagi sesiapa saja yang melanggarnya.

2- Halangan kepada para pelajar (di sekolah), para
pekerja, dan kaum wanita untuk pergi ke masjid
untuk menunaikan solat. Sesiapa saja yang sabit
kesalahan ini akan dibuang kerja dan dipenjara.

3- Memenjara jutaan para ulama, ilmuwan, para pelajar
dan anak-anak muda di kem tahanan.

4- Memusnahkan lebih daripada 90% masjid-masjid.
Yang tidak dimusnahkan, ditukar menjadi panggung
wayang dan bar hiburan di bandar-bandar besar.
Papan tanda ‘halal’ dicabut daripada restoran-
restoran umat Islam.

5- Kaum perempuan dirogol di kem-kem tahanan.
Mereka dimandulkan dan janin yang ada di

6

dalam perut mereka dibunuh. Anak-anak gadis
dipindahkan ke dalam China dan dipaksa untuk
berkahwin dengan orang China yang tidak beragama
Islam. Kadar kelahiran menurun secara drastik pada
tiga tahun kebelakangan ini melebihi 90%.

6- Muslimin dilarang memanjangkan janggut.
Muslimat dilarang untuk memakai hijab dan pakaian
yang menutup aurat, serta mereka juga dipaksa pergi
ke disko dan kelab-kelab malam.

Pada hari ini pula, kami bercakap berkenaan genosid
pada kurun 21, meskipun dunia berkata selepas Holocaust
“Ia mustahil akan berlaku semula.” Sebuah tribunal di
Britain telah membentuk jawatankuasa khas untuk isu
Uyghur ini, mengumpulkan bukti dan saksi-saksi yang
masih hidup, kemudiannya memutuskan bahawa yang
berlaku kepada Uyghur ini ialah sebuah genosid. Laporan
ini telah mendapat liputan oleh pihak media seperti BBC.

Hakikatnya, China telah memutuskan hubungan antara
Turkistan dan dunia luar sejak 2017. Tak ada seorangpun
daripada kami yang boleh berhubung dengan keluarganya
(di Turkistan), dan kami tak tahu sebarang maklumatpun
tentang mereka (di Turkistan).

Isu Turkistan Timur merupakan isu kemanusiaan
sebelum ia menjadi isu Islam. Sementara dunia pula tidak
mengendahkan jenayah-jenayah yang disaksikannya sendiri
di hadapan matanya.

7

Sejumlah 43 buah negara di dalam Majlis Hak Asasi
Manusia – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR),
termasuklah Turkiye, telah mengutuk penindasan China
terhadap muslimin Uyghur. Sementara lebih daripada
60 buah negara lain menyokong jenayah China. Yang
menambah kesedihan lagi, hampir keseluruhan negara-
negara Islam menyokong kejahatan China menindas
saudara-saudara mereka di Turkistan Timur.

PERANAN MEDIA

Peranan media berkenaan isu Turkistan Timur ini amat
mustahak. Hal ini kerana China memiliki kelebihan (upper
hand) dalam bidang ini. Ia telahpun menggembleng
seluruh daya dan kemampuannya dan medianya untuk
memburukkan imej umat Islam, dan menerbalikkan fakta
kononnya mereka menjadi mangsa keganasan dan bangsa
kami inilah pula bangsa pengganas dan ekstrimis.

Saluran CGTN (Chinese Global Television Network)
dalam bahasa Arab banyak sekali rancangannya berkenaan
Uyghur, di mana mereka cuba menipu mata dunia dengan
menerbalikkan fakta. Dalam keadaan kita mengetahui
juga bahawa China mengharamkan penggunaan media
sosial popular seperti Twitter, Facebook, Whatsapp dan
selainnya, tetapi mereka menggunakan media sosial ini
melalui orang-orang upahannya untuk menyebarkan berita
palsu dan memburukkan imej muslim in.

8

Kedutaan-kedutaan China di negara-negara Arab
dan negara-negara Islam mengeluarkan laporan tahunan
berkenaan hal ehwal Uyghur di Turkistan Timur, kononnya
umat Islam (Uyghur) menikmati hak asasi mereka, hidup
dengan aman dan tenteram. Sedangkan kem-kem tahanan
begitu banyak dibina (di Turkistan Timur) dan lebih 5 juta
muslim ditahan di dalamnya. Mereka menulis artikel-artikel
bohong di surat khabar dan majalah-majalah arab serta
mendakwa negara-negara baratlah yang cuba memburukkan
imej China, dan konon media baratlah yang membongkar
(kewujudan) kem tahanan yang cuba digambarkan China
sebagai ‘pusat latihan kemahiran (vocational centre).’

Terdapat juga beberapa penulis-penulis upahan di
beberapa buah negara yang menyebarkan seluruh apa yang
diucapkan dan dituliskan oleh kedutaan-kedutaan China ini
tanpa mengubah satu hurufpun.

Kita semua mengetahui bahawa media merupakan
senjata terkuat untuk mendirikan mahupun menjatuhkan
sesebuah negara. Isu Turkistan Timur ini isu yang dilupakan
sejak sekian lama, hinggalah ke mutakhir ini dalam kalangan
media Arab dan Islam, kecuali beberapa saja pengamal media
seperti al-Jazīrah (Aljazeera), saluran al-Ān, dan majalah al-
Mujtama‘ (Kuwait).

Isu Turkistan Timur masih belum mendapat liputan
yang mencukupi oleh media Arab dan Islam seperti isu
Palestin, Kashmir, dan Rohingya, meskipun ia (Turkistan

9

Timur) ini saiznya lebih besar dan kesengsaraannya lebih
dahsyat.

Begitu juga, terdapat beberapa istilah yang salah yang
perlu disentuh di sini:

1- Xinjiang: bermaksud ‘Tanah Baru’ atau ‘Jajahan
Baru.’ Ia merupakan nama yang digunakan penjajah
(China), tidak boleh (Turkistan Timur) dinamakan
sepertimana dikehendaki oleh China. Namanya
yang sahih menurut sejarah dan geografinya ialah
Turkistan Timur (Turkistān al-Sharqiyyah – East
Turkestan). Adapun Turkistan Barat, ia merujuk
kepada republik-republik Islam di Asia Tengah.

2- Minoriti muslim Uyghur: Bangsa Uyghur,
Kazakh, dan bangsa-bangsa umat Islam yang lain di
Turkistan Timur, bilangan mereka lebih daripada
35 juta muslim. Mereka hidup di tanah air mereka,
dan telah mengisytiharkan negara mereka yang
merdeka pada tahun 1933 dengan nama ‘Republik
Islam Turkistan Timur’, dan pada tahun 1944
dengan nama ‘Republik Turkistan Timur’. Oleh
itu, penamaan Uyghur sebagai minoriti ialah salah
sama sekali, dan hal ini perlu ditegaskan.

3- Uyghur: Ia dieja dengan pelbagai cara : Ijur dan
Uyghur. Yang tepat ialah Uyghur.

Terakhirnya, yang dituntut daripada para ulama,
cendekiawan, wartawan dan pengamal media di dunia Arab

10

dan Islam ialah agar mereka bangkit melaksanakan kewajiban
kemanusiaan dan Islam mereka berkenaan saudara-saudara
mereka yang berdepan dengan genosid ini.

Begitu juga, (wajib) kepada mereka yang prihatin dan
mengikuti isu Turkistan Timur ini untuk mengambil
maklumat mereka daripada sumber yang dipercayai.

Semestinya juga, perlu kepada sebuah kempen jangka
masa panjang untuk memboikot China dan produk-
produknya, dengan tujuan menekan mereka agar mereka
berhenti daripada melaksanakan tindakan-tindakan jahat di
Turkistan Timur.

***
Alḥamdulillāh, segala puji bagi Allāh, dahulu, kini dan
selamanya, atas penyempurnaan terjemahan bagi karangan
Syeikh Sirājuddīn ‘Azīzī ini, yang dijudulkan sebagai
Isu Turkistan Timur dan Peranan Media, pada malam
18 Zulhijjah 1443H, bersamaan Isnin 18.7.2022M, di
Maktabah atTauhidi, negeri Sabah alMahmiyah billah, di
tangan empunya segala dosa dan kesilapan Syafiq atTauhidi.
Semoga Allāh yang baik menerimanya dan mengumumkan
manfaatnya kepada seluruh umat.

11


Click to View FlipBook Version