KOMPILASI
PERIBAHASA
Air sama air, sampah ke tepi
juga.
Jangan mencampuri pergaduhan adik-beradik atau
pergaduhan antara keluarga kerana apabila mereka
berbaik semula, kita akan tersisih.
Contoh ayat: Jubaidah yang pernah masuk campur
perbalahan antara adik-beradik Siti, kini tidak dipedulikan
lagi oleh mereka apabila mereka sudah berbaik kerana air
sama air, sampah ke tepi juga.
Air setitik dilautkan, tanah
seketul digunungkan.
Membesar-besarkan perkara yang kecil.
Contoh ayat: Rakan sekelas Sakinah tidak suka akan
sikapnya yang bagai air setitik dilautkan, tanah seketul
digunungkan kerana suka memperbesarkan kesalahan
kecil yang dilakukan oleh orang lain dan suka mengadu
kepada guru.
Bagai beliung dengan
asahan.
Tidak pernah berpisah.
Contoh ayat: Persahabatan antara Aminah dan Alia bagai
beliung dengan asahan kerana mereka berdua tidak
pernah berenggang sejak berusia 4 tahun.
Bagai sumur di tepi rawa.
Orang yang selalu cemburu.
Contoh ayat: Sikap Aliza bagaikan sumur di tepi rawa
apabila rakan sekelasnya mendapat markah peperiksaan
yang lebih tinggi daripada markahnya.
Cakap siang pandang-
pandang, cakap malam
dengar-dengar.
Berhati-hati ketika membicarakan sesuatu perkara.
Contoh ayat: Asyikin dan Nayla sentiasa berwaspada
ketika bercakap tentang guru mata pelajaran Matematik
mereka kerana bak kata bidalan, cakap siang pandang-
pandang, cakap malam dengar-dengar.
Cakap melangit, dapur tidak
berasap.
Berlagak kaya, tapi miskin.
Contoh ayat: Orang kampung sudah lali dengan perangai
Mak Leha yang suka cakap melangit, dapur tidak berasap
itu.
Diasak layu, dicabut mati.
Sesuatu yang tetap dan tidak dapat diubah lagi.
Contoh ayat: Ramai pelajar tingkatan 5 yang menyesal
kerana sikap mereka yang suka ponteng kelas dan malas
belajar mengakibatkan mereka kurang mendapat
keputusan yang cemerlang, namun perkara tersebut
bagaikan diasak layu, dicabut mati.
Dari telaga yang jernih, tak akan
mengalir air yang keruh.
Orang yang bersifat mulia tidak akan lahir budi bahasa
yang kasar.
Contoh ayat: Ibu bapa memainkan peranan yang penting
untuk mendidik anak-anak dan membentuk sahsiah yang
mulia dalam diri mereka supaya sentiasa bercakap sopan
kerana dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang
keruh.
Enak lauk dikunyah-kunyah,
enak kata diulang-ulang.
Nasihat yang baik perlu diulang-ulang menyebutnya.
Contoh ayat: Ayah akan menasihati anak-anaknya pada
setiap hari supaya berjimat-cermat dalam berbelanja
kerana bagi ayah, enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata
diulang-ulang.
Enggang sama enggang, pipit
sama pipit.
Pergaulan dengan orang yang sama taraf.
Contoh ayat: Hubungan Azmin dan Farisha tidak direstu
oleh ibu bapa dari kedua-dua belah pihak kerana mereka
berbeza darjat. Hal ini kerana enggang sama enggang,
pipit sama pipit.
Gajah mati tulang setimbun.
Orang kaya apabila mati meninggalkan banyak harta.
Contoh ayat: Sebelum meninggal dunia, Dato’ Razali telah
meninggalkan warisan dan harta untuk anak-anak dan
cucu-cucunya. Keadaan ini sama seperti gajah mati
tulang setimbun.
Ganti hidup berkeredaan, ganti
mati berkebulatan.
Untuk mencari pengganti seorang ketua haruslah
muafakat.
Contoh ayat: Penduduk Kampung Cempedak mengadakan
mesyuarat bagi memilih pengganti ketua kampung yang
baru secara adil dan mendapatkan persetujuan semua
kerana ganti hidup berkeredaan, ganti mati
berkebulatan.
Hendak air pancuran terbit.
Memperoleh sesuatu lebih daripada yang dikehendaki.
Contoh ayat: Keputusan peperiksaan Hakimah bagaikan
hendak air pancuran terbit. Maka, Ayah membelikan
hadiah sebagai ganjaran buat Hakimah.
Hati bagai pelepah, jantung bagai
jantung pisang, telinga bagai
telinga kawah.
Orang yang tidak mempunyai perasaan.
Contoh ayat: Amirah tidak peduli lagi perkara buruk yang
dikatakan oleh penduduk kampung terhadap dirinya keran
sekarang Amirah sudah seperti hati bagai pelepah,
jantung bagai jantung pisang, telinga bagai telinga
kawah.
Ibarat pasang masuk muara.
Terlalu mudah mencela, mengeluarkan kata-kata tanpa
pertimbangan.
Contoh ayat: Hafiz dimarahi oleh guru kerana sikapnya
yang ibarat pasang masuk muara apabila bercakap
dengan orang yang lebih tua.
Ikan tergantung, kucing
tertunggu.
Mengharapkan untuk memperoleh barang yang
dikehendaki.
Contoh ayat: Ahmad bagaikan ikan tergantung, kucing
tertunggu apabila menantikan keputusan pertandingan
sajak kemerdekaan yang disertainya.
Jika kerbau dipegang pada
talinya, manusia dipegang
pada janjinya.
Janji mesti ditepati.
Contoh ayat: Faris telah menunaikan janjinya untuk
membeli aiskrim coklat untuk adiknya kerana Faris sedar
bahawa jika kerbau dipegang pada talinya, manusia
dipegang pada janjinya.
Jika ular meyusur akar, tidak akan
hilang bisanya.
Orang besar yang merendah diri tidak akan jatuh
martabatnya.
Contoh ayat: Dato’ Salwani merupakan seorang yang
berpangkat tinggi, namun beliau selalu merendah diri
kerana baginya jika ular menyusur akar, tidak akan hilang
bisanya.
Lain makan nangka, lain yang
kena getah.
Orang lain yang melakukan kesalahan, orang lain pula yang
dituduh.
Contoh ayat: Raihan tidak puas hati akan rakan
sekampung kerana menuduhnya mencuri duit di masjid,
padahal dia tidak melakukan apa-apa kesalahan, ibarat
lain makan nangka, lain yang kena getah.
Lempar batu sembunyi tangan.
Orang yang tidak bertanggungjawab atas kesalahan yang
dilakukannya.
Contoh ayat: Adik terlanggar pasu bunga emak hingga
pecah, namun hanya mendiamkan diri apabila ditanya oleh
emak tentang pelakunya. Perbuatan ini ibarat lempar batu
sembunyi tangan.
SEKIAN
TERIMA
KASIH