The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by pustakakkps, 2021-07-27 03:48:24

EBOOK JANGAN PUTUS ASA

EBOOK JANGAN PUTUS ASA

www.hidupbarakah.com

ALLAH ADA,
KENAPA BERPUTUS ASA?

Manusia sebenarnya lemah jika hendak dibandingkan dengan kehidupan sangat
menguji dan mencabar. Sebagai hamba, kita tidak tahu apa yang baik untuk kita.Ini
kerana ilmu kita sangat terbatas.
Kudrat kita terhad, tetapi kudrat Allah tiada had. Justeru, kita tidak tahu apa yang
berlaku kepada diri kita dan apa yang kita alami. Hakikatnya, kita tidak tahu rahsia baik
atau tidak baik pada diri kita.
Cuma lumrah, seorang manusia sentiasa mengharapkan yang indah-indah dan tidak
suka apa-apa yang pahit dan pedih. Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan
kehendak kita,tentulah kita diserang gelisah.
Mengapa kita gelisah?
Ini kerana kita menghadapi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak kita. Kita tidak
suka. Sesuatu yang dihadapi itu pula takdir daripada Allah. Ertinya kita tidak memilih
untuk bersahabat dengan takdir, sebaliknya memilih untuk berkrisis dengannya. Jadi di
situlah timbulnya gelisah.

Gelisah timbul kerana kita memilih untuk berperang. Berperang dengan
menyalahkan dan menuduh orang lain ataupun menyalahkan diri sendiri.
Ibarat memilih untuk berkrisis dengan alam.

www.hidupbarakah.com

Apabila hujan dikatakan terlalu sejuk dan lembab. Ketika kemarau dikatakan terlalu
panas dan kering. Manusia sedemikian sentiasa merasa ada sahaja yang tidak kena. Jadi
dia berperang atau berkrisis dengan alam yang dicipta oleh Allah.
Oleh itu, jika kita sebagai seorang hamba tidak menerima apa-apa yang ditentukan oleh
Allah, tentulah berlaku perkara yang meresahkan kita. Saya ingin membawa satu
metafora atau suatu bayangan. Bayangkan, suatu ketika kita sedang berjalan pada
waktu matahari sedang terbenam.
Kita melihat warna alam ini cantik. Ada oren, jingga, kuning keemasan dan sebagainya.
Dalam situasi ini, kita biasanya menikmati lukisan alam atau mahakarya daripada Allah.
Jadi kita tidak memilih untuk berkrisis dengan lukisan alam.
Namun mengapakah kita tidak mempunyai sikap atau rasa hati yang sama ketika
menghadapi lukisan takdir? Kita selalu menimbulkan persoalan; mengapa jadi begini?
Sedangkan apabila kita bersahabat dengan lukisan alam, ia menimbulkan ketenangan.

Begitu juga sekiranya kita bersahabat dengan lukisan takdir yang
hakikatnya sama-sama datang daripada Allah.

www.hidupbarakah.com

Sebagai manusia yang lemah, bukan bererti kita pasrah, menyerah dan tidak berbuat
apa-apa. Sebagai manusia yang berpegang kepada akidah Ahli Sunah Waljamaah,
murabbi kita telah mengajar supaya berusaha dengan segala tenaga yang ada pada diri
kita.
Namun perlu diyakini dalam diri kita bahawa usaha ini tidak dapat memberi bekas,kecuali
Allah sahajalah yang berhak melakukan sedemikian.

Sebab itu dalam ajaran Islam, kita
lihat mukadimahnya doa. Akhir pun
doa juga. Sebelum kita berusaha
kita berdoa. Semasa kita berusaha
kita bertawakal, mengharapkan
yang terbaik dan bersangka baik
terhadap usaha kita.

Akhirnya kita berdoa lagi. Inilah yang menunjukkan kita sentiasa bersama-sama dengan
Allah. Fikirkan kembali saudara, selalunya kita lupa untuk membaca doa sebelum makan
atau doa selepas makan? Tentulah doa selepas makan. Maka perlulah kita mengamalkan
doa sebelum dan selepas makan. Bukan ketika makan sahaja,bahkan dalam setiap
perkara yang lain juga. Dengan itu, kita akan sentiasa bersama dengan Allah.
Apakah kesan dan impak apabila kita selalu bersama-sama dengan Allah?
Dalam konteks kita berusaha dan kemudian kita berjaya. Berjaya di sini adalah menurut
definisi kita iaitu berlaku sepertimana yang kita kehendaki. Waktu itu kita bersyukur kepada
Allah dan mengucap hamdalah.
Alhamdulillah. Ucapan tersebut menafikan usaha kita walaupun kita memang berusaha
dengan kepandaian kita, namun hakikatnya kita berjaya bukan kerana ilmu kita. Kita
berjaya kerana Allah yang tentukan. Walaupun kita telah berusaha sepenuh daya,
hakikatnya kita berjaya bukan kerana kudrat kita. Allah jua yang memberi izin.

www.hidupbarakah.com

Ada masa ketika kita sudah berusaha dengan sehabis baik, disulami doa, tawakal dan
sebagainya, tetapi berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak kita. Sebagai
hamba, kita seharusnya menerima kehendak Allah.

Waktu itu kita tidak akan berasa kecewa, bahkan bersangka baik kepada-Nya kerana
kita tidak tahu mungkin sesuatu yang berlawanan dengan kehendak kita itu adalah baik
untuk kita.

Allah membalut hadiah dan
anugerah-Nya dengan sesuatu yang
dipanggil kepahitan dan kegagalan.

Ya, sebagaimana pembalut hadiah
kita semestinya lebih murah daripada
isi di dalamnya,kepahitan dan
kegagalan juga jauh lebih murah dan
mudah berbanding hadiah itu.

Manusia jika ingin memberi hadiah,dia pasti akan membalut dengan pembungkus
hadiah yang cantik, bereben dan sebagainya. Bukan diberi begitu sahaja dalam
keadaan tidak berbalut. Allah juga membalut anugerah-Nya dengan sesuatu yang
dipanggil kepahitan dan kegagalan.

Kadang-kadang Allah tidak memberi sesuatu yang diminta, namun Allah memberi
sesuatu yang lebih besar daripada itu.

Jika kita berasa sesuatu yang Allah akan beri itu lebih besar, pasti kita menjadi tenang.

Ya, pembalut hadiah kita semestinya lebih murah daripada hadiah di dalamnya. Sama
juga. Hadiah dan anugerah yang Allah ingin berikan itu biasanya jauh lebih mahal dan
bernilai jika dibandingkan dengan “pembalut” itu.

Ibarat bersabar sebentar membuka hadiah untuk mengetahui isi dalamnya seterusnya
menikmati hadiah tersebut. Sama juga.

Kita bersabar sebentar menerima kepahitan dan kegagalan semata-mata untuk
menikmati anugerah yang kadangkala menjadi rahsia.

www.hidupbarakah.com

Katakan kita hilang dompet dan wang secara tiba-tiba. Maka kita harus bersangka baik
dengan Allah. Mana tahu, dalam takdir-Nya yang kita tidak tahu, Allah akan
menggantikan dengan sesuatu yang lebih besar dan hebat.
Selain itu, mungkin Allah hendak undurkan kita seketika.
Kadangkala kita berkehendakkan sesuatu yang betul-betul ada di depan mata kita,
namun Allah menyekat dan menghalang. Rupa-rupanya dengan mundurkan diri ke
belakang, dapat memberi peluang kepada kita untuk mengadakan lonjakan dan
lompatan yang lebih tinggi dan jauh.
Rupanya Allah takdirkan begitu dalam kehidupan kita.
Lihatlah orang yang berpisah dengan Allah. Apabila Allah berikan sesuatu yang dia
dikehendaki, masih tidak dapat memberi ketenangan dalam dirinya. Dia lupa untuk
membesarkan Allah, sebaliknya dia membesarkan ego dan sifat takbur dalam dirinya.
Orang yang ego akan dibenci oleh Allah dan manusia.

Ertinya, hujung kejayaan baginya tetap kegelisahan walaupun apa-apa
yang dikehendaki itu sudah berada dalam genggaman.

www.hidupbarakah.com

Lihatlah diktator dunia. Di mana akhir hayat mereka? Kadang-kadang mati terbuang,
terpenjara, dibunuh rakyat sendiri atau mengalami sakit jiwa. Ini situasi yang boleh dikira
dalam keadaan berjaya. Bagaimana pula sekiranya gagal tanpa bersama Allah?Pasti
bertambah kesusahan.
Apabila gagal tanpa Allah, maka kita tidak mampu bersabar, marah, mudah
menyalahkan takdir, lekas stres dan putus asa. Ingatlah firman Allah dalam surah iniyang
mengandungi prinsip-prinsip yang dibincangkan.

Allah berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah
gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat
resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil
kedekut. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka
yang tetap mengerjakan sembahyangnya.”

(Surah al-Ma‘arij70: 19-23)

www.hidupbarakah.com

Seorang wanita bernama
al-Khansa’ begitu terkenal dengan
ratapannya.

Tangis dan sendunya ketika
kematian saudara lelakinya Sakhar
menjadi begitu dikenang semasa
zaman jahiliah.

Dari mulutnya terlontarlah syair-syair yang begitu indah, tetapi sangat menyedihkan
tatkala dia meluahkan kesedihan.

Bukan sahaja syair, tetapi matanya mengalirkan air mata yang mengharukan sesiapa
sahaja yang melihat dan mendengarnya. Dia begitu sinonim dengan ratapan dan
kesedihan akibat kematian orang yang tersayang.

Hidayah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW turut singgah di hati wanita yang rawan
ini. Kemanisan iman dan Islam mula bertapak di hatinya. Bahkan dia turut mengorbankan
masa, tenaga dan nyawanya untuk menyalakan sumbu iman yang diabar oleh
musuh-musuh Allah. Al-Khansa’ terpilih untuk turut serta dalam perang Qadisiyyah yakni
peperangan untuk membebaskan negara Parsi pada zaman pemerintahan Amirul
Mukminin Umar al-Khattab.

Al-Khansa’ mempunyai empat orang putera. Keempat-empatnya terpilih menjadi
mujahid untuk bertempur dengan tentera Parsi. Al-Khansa’ sebagai ibu telah memberi
kata-kata peransang dan semangat untuk anak-anaknya.

Antara kata-katanya:
“Wahai anak-anakku! Sesungguhnya kita memeluk agama Islam dengan suka rela dan
hijrah dengan kemahuan kita sendiri. Demi Allah, tidak ada Tuhan selain-Nya.
Sesungguhnya kamu adalah anak daripada satu ibu. Aku tidak pernah berkhianat
kepada bapamu, tidak merosakkan kemuliaanmu dan tidak menyimpang keturunanmu.”

Al-Khansa’ menyambung lagi: “Sesungguhnya kamu mengetahui bahawa Allah sediakan
untuk kaum Musliminpahala yang mencukupi kerana berjihad menentang musuh Allah.
Ketahuilah olehmu, kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung di dunia yang
fana.

Tuhan telah berfirman: ‘Wahai orang beriman! Sabarlah kamu dan tetaplah dalam
kesabaran dan teguhkanlah (pendirianmu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, supaya
kamu memperoleh kemenangan.”

www.hidupbarakah.com

Pada keesokannya, keempat-empat putera al-Khansa’ menuju medan pertempuran
dengan semangat dan penuh keberanian hasil dorongan dan nasihat ibunya. Mereka
bertempur dengan musuh sehingga syahid seorang demi seorang. Berita kesyahidan
keempat-empat puteranya itu disampaikan kepada al-Khansa’.
Adakah al-Khansa’ menangis, meratap atau memukul dadanya sepertimana pernah
dilakukan semasa dia berada dalam jahiliah?
Oh, tidak! Al-Khansa’ sebaliknya menerima berita itu dengan tenang dan sabar. Bahkan
bersyukur pula: “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kemuliaan kepadaku
dengan syahidnya mereka.
Aku mengharap kurnia daripada Ilahi untuk mengumpulkan aku bersama-sama mereka
di tempat yang dilimpahi rahmat dan nikmat Allah.”
Apakah yang mengubah sikap al-Khansa’?
Sehingga perubahan itu bagaikan langit dan bumi. Ya, itulah kesan iman. Bila ada iman,
pasti ada harapan. Dan selagi ada harapan, kita tidak akan kecewa apalagi berputus
asa dalam hidup. Iman dan harapan saling berkaitan.
Seperti juga putus asa dan kekufuran. Jika kufur melanda, datanglah putus asa dan
kecewa. Allah mengingatkan: “Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah.
Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.”
(Surah Yusuf, ayat 87)
Sebaliknya, jika kita beriman, mana mungkin ada rasa putus asa dan kecewa? Sebaliknya
akan berlakulah keajabian dalam kehidupan – All is well – semuanya akan memberi
kebaikan.
Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua
urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini
melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia
bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia
bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya" (HR Muslim)

www.hidupbarakah.com

Islam adalah agama yang kaya dengan doa.

Setiap hari kehidupan kita dilingkari doa. Jika diamati,bermula kita bangkit daripada lena,
melangkah ke tandas, berpakaian,menjamah hidangan, menaiki kenderaan dan
sebagainya, pasti ada doa yang perlu dibaca. Sekurang-kurangnya dalam syariat,
apabila kita hendak melakukan pekerjaan dan perkara yang baik, maka kita disarankan
membaca bismillah.
Antara adab berdoa yang sangat penting ialah bersangka baik bahawa doa itu akan
dimakbulkan Allah SWT. Jangan sesekali kita teragak-agak dalam berdoa. Bolak-balik hati
perlu dikawal. Jangan ada rasa ragu sama ada doa kita diperkenankan atau tidak,
sebaliknya katakan pada hati, “Aku yakin doaku akan diperkenankan.”
Kita ada tawakal, ada solat hajat, ada solat istikharah dan ada muzakarah.
Istikharah itu pengaduan kepada Allah SWT bagi meminta panduan.
Muzakarah itu bermesyuarat sesama saudara dan sahabat bagi memohon
pencerahan.
Semua itu hakikatnya suatu mekanisme daripada Ilahi untuk melakarkan
sesuatu yang positif dalam fikiran dan hati para solihin.
Allah SWT sendiri menegaskan bahawa Dia mengikut sangkaan hamba-Nya.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT
berfirman, yang bermaksud:

“Sesungguhnya Aku di sisi sangkaan hamba-Ku dengan-Ku.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

www.hidupbarakah.com

Maksudnya, jika kita bersangka baik, insya-Allah kebaikanlah yang akan diberikan
oleh-Nya di sebalik musibah itu.
Oleh sebab itu, sentiasalah bersangka baik terhadap Allah SWT, terhadap diri sendiri, dan
terhadap orang lain dalam musibah yang sedang kita dihadapi.
Sebenarnya doa bukanlah pemberitahuan, tetapi doa adalah pengaduan dan
pengakuan sebagai hamba kepada Allah.

Kita mengadu kepada Allah dengan sifat-sifat kerendahan dan kehambaan. Ertinya
apabila kita berdoa maknanya kita bersama dengan Allah.
Apabila kita melazimi doa dan menjaga adab dalam hidup kita maka InsyaAllah kita
akan sentiasa bersama dengan Allah.

Apabila kita bersama-Nya, kita tidak akan gelisah.
Allah hampir mengapa meminggir? Allah ada kenapa berputus asa?

Lalu... dengarlah ‘panggilan’ Allah melalui ujian-Nya ini.
Ya, bahaya Covid-19 hampir, tetapi Allah lebih hampir daripadanya.

Dengarlah kata-kata cinta daripada Allah ini: “Dan apabila
hamba-hambaKu bertanya kepada mu mengenai Aku maka (beritahu
kepada mereka): Sesungguhnya Aku ( Allah) sentiasa hampir (kepada
mereka); Aku perkenan permohonan orang yang berdoa apabila dia
berdoa kepada Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan ku
(dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman
kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

www.hidupbarakah.com


Click to View FlipBook Version