Pengorbanan
Ayah
Penulis : OrangGanu
CERPEN : PENGORBANAN AYAH
Aku memerhatikan gambar-gambar pada album usang itu. Pelbagai
kenangan lama dari aku kecil sehinggalah dewasa tersimpam rapi di situ.
Mataku terencap pada satu gambar yang sudah pudar warnanya.
Kelihatan wajah seorang lelaki muda yang sedang tersenyum bahagia
sambil meriba seorang kanak-kanak perempuan di samping seorang
wanita yang turut tersenyum di sisinya. Hatiku tiba-tiba menjadi sebak.
Air mataku mula bergenang di kelopak mata. Itulah potret mak dan
ayahku ketika aku berusia 2 tahun. Gambar itu aku tatap lama .Aku tidak
pernah merasa kasih sayang seorang ibu dan tidak sempat mengenalinya
sejak kecil kerana ayahku kata ibuku meninggal akibat denggi berdarah
ketika aku berumur 3 tahun. Semenjak itu hanya ayahlah yang menjadi
tempat aku bergantung, ayahlah segala-galanya bagiku tapi aku tidak
pernah menghargainya. Aku benar-benar menyesal kini kerana sering
menyakiti hati ayah. Aku sering membuatkan ayah susah hati. Dengan
serta-merta kenangan lama menerjah ke ruang ingatanku.
------------------------------------------------------------------------------------------------
----------------
Ketika aku berusia 5 tahun…
Aku terpegun melihat mainan Barbie milik teman sepermainanku ketika
berkunjung ke rumahnya. Dia merupakan anak orang kaya. Aku ingin
bermain dengan mainan itu namun temanku itu tidak membenarkan
kerana dia takut aku akan merosakkannya memandangkan mainan itu
baru sahaja dibeli. Aku sungguh terkilan dengan sikap temanku itu.
Dengan rasa kecewa dan sedih, aku berlari pulang ke rumah yang terletak
di satu kawasan penempatan setinggan di pinggir ibu kota dan terus
mendapatkan ayahku yang ketika itu baru sahaja pulang dari kerja. Aku
terus merengek pada ayahku supaya membeli mainan Barbie padaku.
Kelihatan wajah ayah begitu runsing mendengar permintaanku. Namun,
aku ketika itu masih tidak mengerti .
Ayahku menyatakan yang dia tiada duit buat masa itu untuk membeli
mainan itu untukku tapi aku tidak faham kata-kata ayah. Ayah aku
hanyalah bekerja sebagai buruh binaan . Gajinya hanyalah RM130
sebulan hanya cukup untuk makan dan minum kami berdua sahaja
sedangkan harga mainan Barbie ketika itu berharga RM60 Tapi, tanpa
mempedulikan kata-kata ayah, aku merajuk dengan ayah apabila ayah
masih enggan belikan aku mainan itu. Aku memberontak. Aku berdegil
tidak mahu pergi ke tadika sekiranya ayah tidak membelikan aku mainan
itu. Hampir sebulan aku begitu. Makanan yang ayah belikan langsung aku
tidak sentuh. Berkali-kali ayahku memujukku namun aku tetap berdegil.
Akhirnya ayah mengalah. Dia terpaksa mengikat perut selama sebulan
demi untuk memenuhi kehendak aku. Akhirnya aku mendapat mainan
yang aku inginkan dan aku tidak dapat bayangkan betapa gembiranya
hatiku ketika itu. Ayah juga turut gembira melihat aku kembali ceria.
Sumpah, ketika itu kesusahan ayah langsung tidak aku pedulikan .
------------------------------------------------------------------------------------------------
----------------
Ketika aku berusia 7 tahun…
Aku cemburu melihat rakan-rakanku semua ada kasut yang cantik dan
baru, baju baru, kain baru,kotak pensel lawa-lawa dan macam-macam
lagi. Aku pula, hanya ada baju sekolah terpakai dan kasut usang yang
ayah beli semasa jualan lambak di pasar malam. Hanya itu yang ayah
mampu beli untukku. Hari pertama persekolahan aku sangat menyakitkan
hati. Aku menjadi bahan gelak ketawa rakan-rakan semasa sesi suai
kenal. Puncanya ,aku memberitahu semua orang dalam kelasku yang
ayahku bekerja sebagai buruh . Semua cakap yang aku ini anak
pengemis jalanan apabila melihat pakaian aku yang agak lusuh, tidak
seperti baju mereka yang putih bersih. Aku cukup malu ketika itu dan
akhirnya aku menangisv. Tidak cukup dengan itu teman sekelasku yang
kebanyakannya anak orang kaya sering kali membuliku. Pelbagai macam
perkara yang mereka arahkan aku buat termasuklah membersihkan kasut
mereka setiap hari, membuat kerja sekolah mereka dan memberikan
mereka duit 30 sen sehari sedangkan duit sakuku setiap hari hanyalah 50
sen. Kerana itu, aku hanya boleh membeli air sirap setiap kali tiba waktu
rehat.
Aku sungguh terseksa tapi aku masih bersabar sehinggalah aku darjah 2.
Kerana tidak tahan dengan pelbagai hinaan yang dilontarkan kepadaku,
aku terpaksa meluahkan kepada ayah. Ayahku terkejut mendengar
ceritaku. Dia memeluk aku erat. Aku dapat melihat mata ayah berkaca
menahan sebak. Ayah menasihatkan aku supaya bersabar dengan
semua itu kerana dia mengatakan Allah sentiasa bersama-sama orang
yang sabar. Tapi aku tidak mengendahkan nasihat itu sebaliknya aku
merayu-rayu supaya ayah membelikan aku baju baru, kasut baru, dan
kotak pensel cantik. Aku mahu jadi setaraf dengan mereka. Aku tidak
sanggup dihina lagi. Akhirnya, aku menangis di ribaan ayah .Ayah
termenung panjang mendengar rayuanku .
Seperti biasa, akhirnya ayah terpaksa akur dengan kehendakku. Dia
terpaksa mengambil upah mengangkat tong gas yang berat setiap petang
selepas pulang dari kerja demi mencari duit lebih untuk memenuhi
permintaanku. Kadang-kadang aku lihat ayah menyapu minyak ubat
pada belakangnya pada waktu malam kerana sakit belakang.Tapi aku
langsung tidak peduli kesakitan yang ayah alami kerana aku rasa perkara
itu bagi ayah ,sudah biasa. Beberapa bulan kemudian, ayah
menghadiahkan aku pakaian sekolah baru dan alat-tulis yang baru
sempena hari jadiku yang ke-8. Aku bukan main seronok ketika itu apabila
mendapat apa yang aku mahukan selama ini. Tetapi aku lupa tentang
satu perkara, aku lupa mengucapkan terima kasih pada ayah..
------------------------------------------------------------------------------------------------
----------------
Ketika aku berusia 9 tahun.
Aku berterusan diejek oleh rakan-rakanku. Mereka kata aku ni memang
tak layak datang ke sekolahku kerana aku anak orang miskin. Mana
tidaknya, setiap hari ayah akan memboncengku dengan basikal tuanya.
Sementara mereka pula ,mak ayah hantar dengan kereta besar. Paling
kurang pun mereka mempunyai basikal sendiri yang agak cantik. Pada
awalnya aku mengendahkan segala ejekan mereka kerana ayah cakap
pedulikan apa orang kata, yang penting kita datang ke sekolah untuk
belajar, bukan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan diri. Ayah cakap aku
kena belajar sungguh-sungguh biar suatu hari nanti aku akan berjaya dan
jadi kaya seperti mereka.
Nasibku semakin hari semakin malang. Semakin lama, semakin teruk aku
dihina hinggakan mereka sanggup lempar batu sebesar ibu jari kepadaku
setiap kali aku turun dari basikal tua ayah. Pernah ayah menengking
mereka, tetapi mereka langsung tidak takut sebaliknya mereka
mengatakan yang ayahku ini orang gila! Aku malu sungguh malu! Aku
tidak pernah pinta untuk dilahirkan sebagai seorang yang miskin.
Aku membentak ayah. Aku paksa ayah belikan aku basikal supaya aku
tidak perlu lagi membonceng basikal buruk ayah itu dan supaya aku tidak
diejek lagi. Ayah termenung lagi. Dia runsing memikirkan permintaanku.
Berapalah sangat gaji ayah jika dibandingkan dengan harga basikal yang
bukannya murah pada waktu itu. Harganya ternyata jauh lebih mahal dari
gaji yang ayah perolehi setiap bulan. Tapi aku seperti biasa, aku langsung
tidak faham akan kesusahan ayah walaupun berkali-kali ayah
mengatakan yang dia tidak mampu membelinya.
Kerana aku terlalu mendesak,ayah terpaksa berhutang dengan Along
.Aku tidak tahu berapa ayah pinjam daripada mereka .Yang aku tahu,
ayah membelikan aku basikal ‘racing’ untukku beberapa hari kemudian.
Duniaku bagaikan penuh dengan warna warni apabila permintaanku yang
satu itu dipenuhi. Namun kegembiraan itu tidak lama kerana beberapa
bulan kemudian ayah dipukul oleh kuncu-kuncu Along sehingga dia
dimasukkan ke hospital kerana dia tidak mampu membayar hutangnya
dengan mereka. Aku meraung kuat apabila melihat ayah tidak sedarkan
diri dan wayar-wayar berlikaran di sekeliling ayah. Aku benar-benar takut
kehilangan ayah. Aku takut jadi anak yatim piatu kelak. Namun, Allah itu
Maha Besar, ayah skhirnya sedar setelah koma selama hampir sebulan
dan dia pulih sepenuhnya tidak lama selepas itu. Semenjak dari itu, aku
berjanji tidak akan menyakiti hati ayah dan tidak akan memaksanya untuk
memenuhi permintaanku lagi.Aku benar-benar menyesal. Kerana aku,
ayah hampir maut.
Namun begitu, penyesalanku hanya bertahan sehingga aku berusia 11
tahun iaitu setelah ayahku berkahwin dengan Mak Cik Som, jiran sebelah
rumahku .Dia juga merupakan janda beranak satu. Aku benar-benar tidak
boleh terima yang Mak Cik Som yang aku tidak pernah bertegur sapa
sebelum ini menjadi ibu tiriku. Aku merasakan ayah sudah tidak
sayangkan arwah mak lagi kerana mengahwininya, aku merasakan kasih
sayang ayah terhadapku bakal berkurangan selepas ini.
Walaupun Mak Cik Som menjaga segala makan minumku dan ayah tapi
itu langsung tidak mendetikkan hatiku untuk berbaik dengannya.
Langsung tiada sekelumitpun perasaan sayang dalam hatiku padanya.
Dia memang baik tapi aku rasa dia hanya pura-pura baik untuk menarik
perhatianku. Hatiku bertambah sakit apabila duit sakuku terpaksa
dikurangkan kepada 40 sen sehari apabila adik tiriku yang baru sahaja
berusia 7 tahun mula bersekolah. Mulai hari itu aku jarang bercakap
dengan ayah apatah lagi Mak Cik Som kerana terlalu geram dengan sikap
ayah yang tidak berlaku adil! Dia melebihkan keluarga tiri daripada aku!
Aku mula tidak menghormati ayah dan selalu mengingkari perintahnya.
------------------------------------------------------------------------------------------------
----------------
Ketika aku berusia 12 tahun…
Kelasku akan membuat lawatan ke Genting Highland. Aku ingatkan
percuma tapi rupa-rupanya setiap pelajar perlu menyediakan wang
sebanyak RM30 sebagai tambang pergi balik ke sana. Aku mulai risau,
boleh ke aku pergi? Ayah ada duit ke? Bagaimana aku nak pujuk ayah ni
kerana sudah lama aku tidak bercakap dengan ayah? Aku teringin sangat
nak pergi ke situ kerana rakan-rakanku cakap tempat itu banyak mainan,
boleh naik keretapi berpusing, boleh tengok serkas dan macam-macam
lagi. Oleh itu, pulang sahaja ke teratak usangku, aku terus mendapatkan
ayah. Aku tanpa segan silu merayu pada ayah supaya ayah
membenarkan aku pergi ke sana dan memberi aku duit sebanyak yang
diperlukan untuk ke sana. Ayahku membantah keras permintaanku
kerana dia cakap tempat itu tidak elok. Membazir duit je kalau aku pergi
ke sana. Aku marah ayah, aku kata ayah kejam. Ayah tak pernah nak
bawa aku jalan-jalan apatah lagi ke sana. Hanya dengan lawatan ini
sajalah aku dapat berkunjung ke tempat itu.
Tapi ayah tetap membantah, ayah cakap duit itu hanya cukup untuk
membayar yuran peperiksaan UPSR aku yang akan berlangsung akhir
tahun ini dan juga yuran persekolahan adik. Tapi, aku tidak puas hati
dengan alasan ayah. Aku memaksa ayah lagi .Aku cakap ayah kedekut
duit, aku cakap ayah banyak habiskan duit kerana Mak Cik Som dan adik
tiriku, aku cakap ayah lebih pentingkan Mak Cik Som dari aku. Aku cakap
ayah sengaja tak nak bagi aku hidup senang. Kebencianku pada Mak Cik
Som bertambah-tambah. Aku merasakan kehadiran Mak Cik Som benar-
benar menganggu kebahagiaan hidup kami. Kerana dia, apa saja
permintaanku kini sukar dipenuhi. Bagiku, dia memang perempuan tak
sedar diri!
Sebaik sahaja aku menghina Mak Cik Som, ayah menampar aku kuat.
Aku terkejut dengan tindakan ayah. Kelihatan wajah ayah benar-benar
marah padaku. Dalam tangis, aku berlari keluar dari rumah. Sahutan ayah
langsung aku tidak hiraukan. Aku benci ayah! Ayah memang tak
sayangkan aku!
Kerana kebencianku pada ayah dan Mak Cik Som, aku mula tidak
memberi tumpuan pada pelajaranku dan sengaja tidak menjawab betul-
betul semasa peperiksaan kerana aku rasakan sia-sia sahaja aku ikut
nasihat ayah supaya belajar bersungguh-sungguh. Aku tahu tiada
gunanya aku berusaha keras sekalipun kerana tiada ganjaranpun untuk
itu melainkan hanya dapat menyenangkan hati ayah. Oleh kerana itu,
keputusan UPSRku jatuh merudum, aku hanya memperoleh 1A,1B,2C
dan 1D. Ayah begitu kecewa. Ayah begitu marah padaku sehingga
menitiskan air mata. Mak cik Som hanya berdiam diri. Mungkin suka hati
melihat kegagalanku. Aku langsung tidak menghiraukan kekecewaan
ayah. Leteran ayah bagaikan masuk ke telinga kiri dan keluar di telinga
kanan, langsung tidak berbekas di hatiku.
------------------------------------------------------------------------------------------------
----------------
Ketika aku berusia 13 tahun…
Masuk sahaja sekolah menengah yang letaknya berdekatan dengan
rumahku, aku ditempatkan di kelas kedua tercorot daripada 7 kelas yang
ada di situ. Di sekolah itu, aku menemui ramai rakan-rakan yang
semuanya nakal-nakal dan satu kepala denganku kerana mereka juga
tidak suka belajar, tidak kiralah lelaki mahupun perempuan. Aku sungguh
seronok berkawan dengan mereka kerana mereka seperti sangat
memahami aku. Aku sering menghabiskan masa dengan mereka setiap
kali selepas habis sesi persekolahan tanpa pengetahuan ayahku .
Semenjak dari itu, aku mula menjadi liar dan mula terikut-ikut dengan
hampir semua benda yang mereka lakukan termasuklah cara mereka
berpakaian yang agak tidak senonoh di dalam atau luar sekolah terlibat
dalam gejala ponteng sekolah, merokok dan tidak lupa juga berpelesiran
di kompleks membeli belah tanpa arah tujuan .
Status aku sebagai pelajar perempuan tidak menghalang aku untuk
melakukannya. Perangaiku tidak ubah seperti lelaki kerana rakan-
rakanku kebanyakannya lelaki. Aku sering pulang lewat malam ke rumah
dan apabila ayah bertanya, aku terpaksa berbohong. Aku akan menjawab
yang aku pergi kelas tambahan sekolah dan kadang-kadang mengatakan
aku pergi membuat kerja rumah di rumah kawan. Aku tidak
mempamerkan perangai sebenar aku ketika berada diluar pandangan
ayah kerana setiap kali keluar rumah atau balik ke rumah, aku akan
segera menukarkan pakaianku kepada pakaian sekolah. Dengan itu, aku
dapat mengaburkan mata ayahku tentang aktiviti seharianku. Ayahku
ternyata mempercayai aku bulat-bulat. Aku apa lagi, semakin seronok
menipu ayah.
------------------------------------------------------------------------------------------------
----------------
Naik tingakatan 2, aku semakin berani membuat kerja jahat. Aku mula
belajar mencuri. Mula-mula mencuri duit saku rakan-rakan, kemudian
mencuri duit tabung masjid dan akhirnya aku berani menjadi peragut
jalanan bersama rakan-rakanku. Aku sungguh seronok apabila melihat
banyak duit yang aku perolehi hasil pekerjaan baruku itu. Sebelum ini
tidak pernah aku memegang duit sebanyak ini. Duit itu aku gunakan untuk
membeli handphone, pakaian yang tak senonoh dan mp3 . Sekolah
memang aku tidak pergi langsung kerana bagiku cikgu-cikgu di sekolah
amat membosankan. Mereka hanya lebihkan kelas yang pandai-pandai
je, kelas aku pula mereka mengajar gitu-gitu je. Baik tak payah belajar
langsung.
Tidak cukup dengan aktiviti mencuri, aku diperkenalkan pula dengan
kumpulan Black Metal. Bagiku kumpulan itu amat menakjubkan kerana
setiap malam pelbagai aktiviti yang dilakukan termasuklah upacara ritual
dan menari gila-gila dengan disertai alunan music hard rock daripada
kumpulan Black Metal. Aku merasakan seolah-olah hidup ini aku yang
punya. Arak sudah menjadi minuman tradisi kumpulanku. Pil khayal
menjadi santapan wajibku. Duniaku penuh dengan warna-warni dan aku
merasakan aku sedang berada di syurga dunia. Aku rasa benar-benar
bebas kini. Tidak perlu lagi memikirkan soal Tuhan, agama dan pelajaran!
------------------------------------------------------------------------------------------------
----------------
Ketika aku berusia 15 tahun…
Aktiviti harianku akhirnya terbongkar jua apabila guru kelasku datang
bertandang ke rumahku untuk memberitahu ayahku tentang
ketidakhadiran aku ke sekolah. Ketika itu aku tiada di rumah. Ayah
sungguh terkejut dengan berita yang dia langsung tidak sangka. Sebaik
sahaja aku pulang ke rumah pada suatu malam, ayahku terus
menghadiahkan satu tamparan hebat pada pipiku. Aku memandang ayah
tajam. Hatiku panas. Tidak sangka ayah menyakitiku. Aku menengking
ayah. Aku mula bercakap kasar dengan ayah.
Ayahku kemudian seperti dirasuk, dia memukulku berkali-kali sehingga
aku jatuh tersungkur di situ.Ayah ingin meneruskan pukulannya tapi
sempat dihalang oleh Mak Cik Som yang tiba-tiba datang di situ. Mak Cik
Som memarahi ayah kerana memperlakukan aku sedemikian rupa.
Kerana tidak tahan dengan kesakitan akibat pululan ayah, aku menangis
teresak-esak. Badannku terasa ngilu akibat dipukul kuat. Ayah ternyata
benar-benar marah denganku. Dia marah kerana selama ini aku
membohonginya. Dia memaksa aku supaya menjelaskan kepadanya apa
aktiviti aku yang sebenar. Ke mana aku pergi ketika waktu persekolahan.
Ayah cuba merampas beg sandang di belakangku tetapi aku
menghalang. Namun ternyata ayah lebih kuat, dia akhirnya dapat
merampas beg itu dan terus membukanya.
Amarah ayah memuncak apabila melihat pakaian dan pelbagai barangan
tidak senonoh berada dalam begku itu. Dia menolak kasar Mak Cik Som
lantas meneruskan pukulannya padaku. Ayah kata aku memang anak tak
guna! Ayah kata aku bukan anak dia! Ayah kata anak dia tak kan sejahat
itu! Ayah kata aku anak sial! Aku tersentap mendengar kata-kata ayah.
Kerana terlalu geram dengan kata-kata ayah, dengan sekuat hati aku
menolak ayah sehingga ayah jatuh tersungkur di atas tangga rumah.
Ayah mengerang kesakitan namun aku tidak peduli! Aku terus berlari
keluar dari rumah itu.
Tangisanku semakin kuat. Aku tekad tidak akan pulang ke situ! Ayah
sendiri yang kata aku ni tak layak jadi anak dia. Aku pun tak ingin ada
ayah macam dia! Di tengah malam yang hitam pekat aku meraung seperti
orang gila di tengah jalan. Aku kemudian berlari mendapatkan rakan-
rakan seangkatan denganku dan mulai hari itu aku tinggal bersama
mereka. Aku rela tinggal di rumah yang busuk dan penuh dengan
sampah sarap daripada tinggal di rumah neraka itu!
Aku kini sudah tidak punya sesiapa nasib baiklah aku ada
mereka.Merekalah yang menjadi tempat aku meluahkan perasaan,
merekalah segala-galanya bagiku kini .Aku lagi rela menyuntik dadah
yang mereka hulurkan kepadaku, mengambil rokok yang dilemparkan
kepadaku dan meminum arak yang disediakan oleh mereka. Dengan itu
aku dapat melupakan segala penderitaan jiwa yang aku alami.
Setelah dua minggu aku menetap di situ, ayah tiba-tiba muncul dengan
langkah yang terhinjut-hinjut. Sebelah tangannya memegang tongkat.
Rupa-rupanya kakinya patah semasa dia jatuh tersungkur tempoh hari
akibat ditolak kuat. Namun, aku hanya memandang ayah kosong.
Dendam di hatiku pada ayah masih membara. Ayah berkali-kali memohon
maaf dan merayuku agar aku pulang namun rayuannya sedikitpun tidak
menyentuh perasaanku. Aku marah ayah balik, aku tengking ayah dan
aku tolak ayah sehingga ayah jatuh. Aku kata ayah tak layak jadi ayah
aku, aku kata ayah macam-macam sehingga aku nampak ada air mata
lelaki mengalir dari kelopak matanya. Tapi, aku tidak peduli semua itu!
Ngilu pada tubuhku akibat pukulan ayah masih terasa. Kata-kata keras
yang ayah lemparkan padaku masih terngiang-ngiang di telingaku.
Melihat tindakanku, rakan-rakanku yang berada di situ menambahkan lagi
kesakitan ayah dengan menendang dan menumbuk ayah tanpa belas
kasihan. Aku terkejut dengan tindakan mereka yang langung tidak aku
duga. Aku cuba menghalang namun mereka tidak mengendahkan.
Mereka kata ayah aku menyebabkan salah seorang rakan mereka
dipenjarakan. Aku meraung sekuat hati apabila melihat darah pekat
mengalir dari kepala ayah. Ayah tidak sedarkan diri. Aku mulai panik
melihat ayah begitu, begitu juga mereka. Rakan-rakanku itu lari lintang
pukang dari situ. Mereka tinggalkan aku seorang diri setelah puas dia
kerjakan ayah .
Aku menggenggam erat tangan ayah yang koma, air mataku lebat
membasahi pipiku. Aku benar-benar menyesal ketika itu. Inilah kali kedua
ayah mengorbangkan dirinya keranaku. Kerana aku, ayah menderita.
Kerana aku, ayah terseksa. Aku tidak habis-habis menyalahkan diriku
atas apa yang menimpa ayah. Apa lagi apabila mendengar cerita sebenar
daripada Mak Cik Som. Dia kata, ayah sangat sayangkan aku dan tidak
pernah bencikan aku. Hidup dia tidak sempurna tanpa aku kerana aku
adalah hasil cintanya pada arwah mak. Ayah tidak sanggup kehilangan
aku, kalau boleh biarlah dia pergi dulu sebelum aku. Ayah benar-benar
ingin melihat aku berjaya dalam hidup, dia tidak mahu aku mendapat
nasib yang sama dan hidup miskin sepertinya.
Tangkai jantungku bagaikan direntap kasar mendengar kata-kata Mak Cik
Som. Aku meratap pilu. Benar kata ayah. Aku anak tak guna! Aku anak
yang tak mengenang budi! Aku tak pernah menyenangkan hati ayah. Aku
memang anak yang paling teruk dalam dunia ini!
Dengan izin Tuhan, ayah masih bernafas dan sedar kembali setelah koma
hampir setahun namun apa yang menyedihkan aku, ayah tidak lagi bisa
bergerak seperti dulu kerana dia disahkan lumpuh kedua-dua belah
kakinya akibat retakan pada tulang belakangnya yang turut
mencederakan saraf tunjangnya. Semenjak dari hari itu, aku berjanji pada
diriku tidak akan menyakiti hati ayah lagi dan akan berusaha bersungguh-
sungguh untuk menjadi seorang yang berjaya seperti yang ayah
harapkan. Janji itu bukan lagi janji kosong seperti semasa aku berumur 9
tahun tetapi itu adalah janji yang disertai dengan keazaman yang kuat.
Dengan azam itulah aku berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana
muda perubatan dan kini berjaya mendapat gelaran doktor.
Namun, ternyata Tuhan benar-benar ingin mengujiku. Beberapa hari
setelah hari konvokesyenku, ayah tiba-tiba mendapat serangan sakit
jantung . Aku yang ketika itu masih mentah dalam dunia kedoktoran,
mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan ayah tetapi sakit jantung
ayah telah sampai tahap kritikal. Pelbagai cara aku lakukan untuk
mengembalikan fungsi jantung ayah tapi sesungguhnya Tuhan lebih
menyayanginya, akhirnya dia meninggal dunia di depan mataku. Aku
tergamam, seperti tidak percaya yang ayahku telah tiada. Aku meraung
sekuat hati seakan tidak boleh terima yang ayah sudah meninggal dan
hari itu sepanjang hari aku meratapi pemergiannya. Jauh di sudut
hatikuku,sedikit terkilan kerana ayah aku menyembunyikan kesakitannya
bertahun-tahun dari pengetahuanku.
------------------------------------------------------------------------------------------------
----------------
" Maria..," sapaan Mak Cik Som mematikan lamunanku . Aku menyeka air
mataku perlahan-lahan. Mak Cik Som sedang berdiri di sebelahku kini
dan memandang sayu kepadaku. Dia duduk di sebelahku lantas memeluk
bahuku.
" Mak cik, Mar bersalah pada arwah ayah..," kataku sebak. Gambar ayah
aku genggam erat lalu dibawa ke dada.
" Sudahlah Maria, arwah ayah kamu sentiasa maafkan kamu.Dahla
jangan fikirkan benda yang dah jadi..," kata Mak Cik Som lembut. Aku
melentokkan kepalaku pada bahunya. Aku ternyata salah sangka pada
Mak Cik Som selama ini .Dia sebenarnya seorang wanita yang sangat
penyayang, penyabar dan bertanggungjawab.Aku begitu menyesal
kerana menuduhnya bukan-bukan sewaktu ketika dahulu. Ayah
sebenarnya amat beruntung kerana mempunyai isteri sepertinya. Hanya
aku yang tidak pernah menghargainya.Aku tahu ayah tentu kecewa
kerana aku mensia-siakan Mak Cik Som.
" Mak cik, bagaimana Mar dapat tebus kesalahan Mar? Mar nak tebus
segala kesilapan Mar pada arwah ayah..," aku merintih lagi. Aku benar-
benar terkilan kerana tidak sempat membalas kasih sayang ayah selama
ni.
" Mar..doalah pada Allah banyak-banyak. Hanya Allah yang boleh
membalas semua budi baik ayah kamu. Hanya Dia Mar..banyakkan
bersabar ye..," pujuk Mak Cik Som.Dia turut menangis sambil
mengemaskan lagi pelukannya pada bahuku.
" Arwah ayah kamu dah cukup gembira kerana dapat melihat kejayaan
kamu sebelum dia pergi, dia sangat bangga ada anak macam kamu..,"
sambung Mak Cik Som lagi.Esak tangisku makin kuat mendengar kata-
kata itu. Ya Allah ampunilah segala dosa-dosaku yang Allah. Walaupun
sudah lebih 14 tahun peristiwa hitam berlaku namun aku rasakan bagi
semalam berlaku. Peristiwa itu membawa seribu satu penyesalan dalam
diriku.
" Selamat hari bapa abang…," sepatah perkataan meniti di bibir Mak Cik
Som. Baru aku sedar Mak Cik Som sedang menangis. Aku terkedu. Baru
aku teringat yang hari ini adalah hari bapa. Bagaimana aku boleh lupa
hari yang amat bermakna ini.
" Selamat hari bapa ayah..," aku turut mengucapkan ucapan itu .Gambar
ayah aku kucup lama dan air mataku menitis lagi.
" Terima kasih ayah..," kataku lagi. Mak Cik Som menggosok lembut
belakangku. Aku tersenyum kepadanya dalam sendu. Dalam diam, aku
bersyukur kerana ayah sempat melihat kejayaanku yang tidak seberapa
ini. Aku bersyukur kerana mempunyai ayah sepertinya. Kerana ayah, aku
terselamat dari terus hanyut dalam dunia kehancuran. Kerana ayah, aku
menjadi manusia yang berguna kini.
Peserta diminta untuk memuat
cerpen ini dalam bentuk PDF bagi
meneruskan langkah selanjut.
Seterusnya, peserta diminta untuk klik di link yang di bawah
untuk melakukan misi yang berikut. Peserta akan melakukan
beberapa permainan yang disediakan bagi menguji
pemahaman dan ingatan.
https://wordwall.net/resource/17019842