The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by sitisuliman12, 2021-05-29 12:18:24

CERPEN SEBATANG PEN

sebatang-pen

Sebatang Pen

A. Rahman CM

16 Oktober 2010

1

SESIAPA sahaja yang berhajat hendak menunaikan fardu haji, mesti
membersihkan dirinya terlebih dulu. Maksud membersihkan diri itu
merangkumi beberapa perkara yang membabitkan dirinya dengan Allah
juga yang membabitkan dirinya dengan manusia lain.

Napi mengingati frasa itu di meja kerjanya. Frasa itu lahir dari mulut
Ustaz Zuki di masjid tempat selalu Napi solat berjemaah lima waktu. Di
hadapan Napi sebatang pen yang sudah berusia tiga puluh tahun lebih.
Tetapi pen itu sudah tidak digunakan lagi. Alat mengepam dakwatnya
sudah rosak. Lalu pen itu hanya terbaring di atas meja kerja di
rumahnya. Pen itu kadang-kadang mengusik jiwanya. Pen itu kadang-
kadang menyentuh kalbunya.
Perkara yang membabitkan diri seseorang dengan Allah ialah
melangsaikan segala arahan dan suruhan Allah. Napi faham maksudnya,
iaitu kalau melakukan dosa, baik besar mahupun kecil hendaklah
bertaubat. Istighfar banyak-banyak dengan menanam azam tidak akan
melakukan dosa itu lagi. Wang yang hendak dibawa ke Makkah mestilah
bersih. Maksudnya ialah, wang itu mesti diperoleh dari sumber yang
halal. Kalau belum bayar zakat, tunaikan zakat dulu.
Napi ingat pula tentang yang membabitkan orang lain. Membabitkan
hubungan sesama manusia. Ia banyak perkara. Ia menyebabkan Napi
termenng panjang.

2

Berkelahi membabitkan manusia lain.

Bertengkar membabitkan manusia lain.

Mengutuk orang membabitkan manusia lain.
Mengumpat orang membabitkan manusia lain.

Mencuri barang orang membabitkan manusia lain.

Semuanya membabitkan dosa sesama manusia lain yang mesti
dibersihkan.
Napi ingat.

Dia tidak pernah berkelahi.

Dia tidak pernah bertengkar.

Dia tidak pernah membuat kutukan.

Dia tidak pernah melakukan umpatan.

Tiba-tiba Napi nampak pen di atas meja yang sudah berusia lebih tiga
puluh tahun itu. Pen itu banyak berjasa padanya. Dengan pen itu dia

3

menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah rendah. Dengan
pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah
menengah. Dan dengan pen itu juga dia mencatat apa saja nota semasa
dia di universiti dan seterusnya menduduki peperiksaan yang
membolehkannya menggenggam ijazah pertama, Sarjan Muda Dengan
Kepujian. Kemudian dia bertugas sebagai pegawai tadbir dan diplomatik
(PTD) di sebuah kementerian. Akhirnya dia dilantik sebagai Pegawai
Daerah (DO) di negerinya.

Lama Napi merenung pen sebatang itu.

Lama Napi menilik pen sebatang itu.

Lama Napi pandang pen itu.

Lama Napi tengok pen itu.

Napi nampak dirinya dalam kedai Pak Abu di kampungnya. Ketika itu
dia dalam darjah lima sekolah rendah. Dia nampak dirinya mencapai pen
di dalam almari kaca di kedai Pak Abu ketika Pak Abu ke belakang
mengambil gula. Napi nampak dia memasukkan pen itu ke dalam saku
seluarnya kemudian membayar harga gula lalu pulang ke rumahnya.

4

Sebelum mendapatkan pen itu, dia berkali-kali meminta ibunya
membelikannya sebatang pen. Tetapi ibunya menjawab tidak ada duit.
Dia terus meminta. Tetapi ibunya mendiamkan diri. Berkali-kali dia
minta dibelikan pen. Ibunya tidak indahkan juga.

Lalu apabila dia berjaya mencuri pen di kedai Pak Abu itu, Napi tidak
lagi merungut kepada ibunya hendakkan pen. Dia terus belajar. Napi
terus ke sekolah dengan berjalan kaki. Dia terus membawa bekal nasi
goreng dengan sebotol air kosong ke sekolah hari-hari kerana ibunya
tidak memberinya wang saku.

Dalam berjalan ke sekolah, Napi nampak wajah ibunya yang uzur.
Ayahnya entah ke mana. Dia tahu ayahnya sudah bertahun-tahun tidak
pulang. Lalu ibunya yang uzur itu menyara hidup dan dirinya dengan
wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Napi menjaga pen itu seperti menjaga emas. Dia gunakannya dengan
cermat. Kalau pen itu basah dia lapkan dengan sapu tangan. Apabila
pulang ke rumah pen itu diletakkan di tengah-tengah meja. Napi
bimbang pen itu jatuh ke lantai.

Napi terus ke sekolah menengah berasrama penuh setelah mendapat lima
A dalam peperiksaan penilaian darjah lima. Napi mendapat biasiswa

5

penuh setelah siasatan terhadap keluarganya dijalankan. Lalu dia belajar
dengan tekun. Napi berjimat dengan wang. Kalau ada wang lebih
belanja, dia kirimkan kepada ibunya. Napi bawa bersama pen curiannya.
Dia sudah lupa sama sekali bahawa pen itu adalah pen curi.

Apabila Napi memasuki universiti, pen itu dibawanya lagi. Hingga
beberapa tahun dia bekerja pun, pen itu masih menemaninya hinggalah
pen itu rosak pamnya dan tidak ada pam penggantinya. Lalu pen itu
Napi simpan di atas mejanya.

Derap kaki menghampiri mejanya mengejutkan Napi. Dia menoleh. Dia
nampak isterinya, Zizah.

“Milah telefon, dia nakkan komputer,” kata Zizah.

“Okey.” jawab Napi.

“Abang okey saja dengan kehendak Milah.”

Napi mendongak pada wajah isterinya Zizah.

“Nanti manja budak tu.”

6

Napi menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kenapa dengan abang?”

“Zah tak tahu susahnya abang belajar dulu.”

Zizah diam.

“Abang tak pernah dapat walaupun sebatang pen daripada mak abang
untuk belajar dulu.”

Zizah menarik sebuah kerusi lalu duduk di sebelah Napi. Wajahnya pada
wajah suaminya itu yang kelihatan seperti mengimbau kenangan zaman
silam. Dia menunggu.

“Itu, itu, pen yang terbaring di atas meja itu,” kata Napi.

Zizah memandang pen itu. Dia tahu pen itu sudah lama di situ. Dia ingat
juga bahawa dia tidak boleh mengalihkan pen itu ke tempat lain.
Suaminya melarang dia menyentuh pen itu. Batangnya sudah berkarat.
Dia hairan juga. Tetapi dia tidak ambil kisah kerana ia cuma sebatang
pen, bukan perempuan yang harus dia cemburu.

7

“Pen itu pen curi Zah. Masa abang darjah lima dulu orang lain dalam
darjah abang semua pakai pen, tapi abang masih gunakan pensil. Abang
malu kerana selalu diperli. Laku abang curi pen itu di kedai Pak Abu. “

“Ah! Cuma sebatang pen, bang.”

“Benar. Apalah sangat sebatang pen. Tapi bagi abang yang miskin ini,
terasa.”

“Jadi sebab itu sebarang apa saja kehendak Milah untuk belajar abang
penuhi?”
Napi mengangguk.

Zizah menarik nafas payah.

“Abang mau dia belajar dengan suka.”

“Tapi Zah bimbang.”

“Bimbang apa?”

“Bukan abang tak tahu zaman moden ini. SMS melalui telefon bimbit.
Hal-hal negatif melalui internet.”

8

“Abang yakin pada Milah. Telefon bimbitnya untuk senang dia hubungi
kita. Komputer yang dimintanya itu untuk dia belajar. Banyak pelajaran
akan diperolehnya nanti melalui internet.”

“Macam mana abang boleh yakin?”

“Dengan kita selalu hubunginya. Dengan selalu kita bertanya khabarnya.
Dan apabila dia balik, kita boleh periksa telefonnya, komputernya.”
Zizah diam.

Napi balik memandang pada pen yang terbaring di atas mejanya.

“Habis, yang Zah tengok abang kadang-kadang runsing semacam tu
kenapa?”

“Pen itu mengganggu emosi abang.”

“Kenapa?”

Mata Napi bulat pada wajah isterinya Zizah.

“Kenapa bang?”

9

“Tadi kan abang beritahu Zah, bahawa pen itu pen curi?”

“Ah! Ia cuma sebatang pen, bang.”

“Tapi ia tetap barang curi. Dosa abang mencuri pen itu masih ada.”

“Lalu?”

“Kita nak ke Makkah lepas puasa nanti kan,” Napi memandang wajah
isterinya.

Zizah sadin.

“Abang kena bersihkan diri abang. Zah juga. Kalau tak, haji kita nanti
tergantung,” kata Napi.

Zizah tunduk.

Napi memandang kepala Zizah yang tunduk. Dia kemudian mencapai
terjemahan al-Quran. Dia membuka pada surah Az-Zalzalah. Dia
membaca. Dan penumpuan Napi terus pada ayat tujuh, ‘Maka sesiapa
berbuat kebajikan seberat zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat

10

amalnya).’ Napi terus kepada ayat lapan, ‘Dan sesiapa berbuat kejahatan
sebesar zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya’).

Nabi membaca pula nota kaki di bawah, ‘Dua ayat itu menerangkan
bahawa masing-masing akan menerima balasan amalnya sama ada yang
baik atau yang buruk, walau yang sebesar debu sekalipun. ‘ ( Rujukan:
Tafsir Ar-Rahman terbitan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri
m/s 1714.)

Napi ingat ayat itu sudah berkali-kali didengarinya dari mulut Ustaz
Zuki. Dia sendiri juga sudah berkali-kali membaca ayat itu. Lalu Napi
balik memandang pen di atas meja yang amat berjasa padanya.

Napi ingat benar bahawa pen itu, pen curi. Dengan demikian dia telah
melakukan satu dosa yang membabitkan dirinya dengan manusia lain.
Dan manusia lain dalam kes pen itu ialah Pak Abu.

Berkali-kali pula mulut Napi kemudian membisikkan nama Pak Abu.
Kedai Pak Abu sudah tidak ada. Pak Abu sekarang sudah tua. Sekali-
sekali dia jumpa Pak Abu pada hari Jumaat di masjid dengan kerusi. Pak
Abu hanya ke masjid pada hari Jumaat. Dia sudah terlalu uzur. Pak Abu
sembahyang dengan duduk di atas kerusi.

11

Napi ingat jasa pen itu. Dia lulus dalam semua peperiksaan. Pen itu juga
membawanya ke meja kerjanya sebagai PTD. Jasa pen itu
membolehkannya menerima gaji ribuan ringgit tiap-tiap bulan. Jasa pen
itu yang membolehkan mengumpulkan wang hingga mampu
menghantarkan ibunya ke tanah suci Makkah dan ibunya meninggal
ketika wukuf di Arafah.

Sekarang dia pula hendak ke Makkah.

Wangnya mesti dari sumber yang halal.

Napi ingat sangat itu.

Napi ingat dia menghadap Ustaz Zuki. Dia tidak malu menceritakan
bahawa dia mencuri sebatang pen dari kedai Pak Abu. Napi terangkan
jasa pen itu.

Dia nampak wajah Ustaz Zuki senyum lembut padanya.

Tuan kena bersihkan. Napi ingat kata Ustaz Zuki.

Napi ingat dia mendongak pada wajah Ustaz Zuki.

12

Kalau tuan tak malu ceritakan pada saya, kenapa tuan harus malu nak
jumpa Pak Abu? Jumpalah dia. Mohon ampun, mohon halalkan pen itu.
Kalau boleh tuan belikan sebatang pen berikan kepada Pak Abu.

Wajah Napi masih pada wajah Ustaz Zuki.

Itu saja caranya membersihkan diri tuan dengan Pak Abu itu.

Napi ingat dia mengangguk.

Dan Napi ingat dia menanam azam untuk menemui Pak Abu. Lalu dia
membeli sebatang pen Parker siap dengan kotaknya sekali. Napi
membuka laci mejanya. Dia capai kotak pen Parker. Dia genggam kotak
itu.
“Abang ingatkan apa dengan pen itu?”

Napi menoleh pada Zizah isterinya di sebelah.
“Abang nak jumpa Pak Abu. Dia sudah uzur.”
“Abang nak mengaku yang abang curi pennya dulu?”

13

Napi mengangguk.
“Tak malu ke abang?”

Napi diam.
“Bekas DO mengaku mencuri pen?”
“Abang malu pada Allah,” desis Napi.

Zizah meluaskan matanya pada wajah suaminya Napi.
“Pak Abu hanya manusia biasa. Abang tahu. Tapi abang tetap sebagai
pencuri sebatang pen dari kedainya. DO pangkat abang itu masa bekerja.
Tapi Zah kena ingat pangkat itu abang peroleh adalah jasa dari pen
sebatang yang abang curi itu. “

Zizah berdiri lalu keluar dari bilik kerja Napi.

Petang itu selepas sembahyang Asar di masjid, Napi ke rumah Pak Abu
yang tidak jauh dari masjid. Di tangannya kotak pen Parker. Setelah
memberi salam, Napi dijemput masuk ke ruang tamu rumah Pak Abu.

14

Agak sejurus Pak Abu keluar dengan bertongkat lalu lambat-lambat
duduk di kerusi sebelah Napi.

“Allah Tuan,” kata Pak Abu apabila tangannya dicapai oleh Napi lalu
menciumnya lembut.

Mata Napi pada wajah Pak Abu.

“Apa hajat tuan ke mari,” tanya Pak Abu.

Napi segera menyerahkan kotak pen Parker itu kepada Pak Abu.

“Apa ini tuan,” Pak Abu membuka kotak itu. Dia nampak sebatang pen
Parker. Lalu matanya pada wajah Napi bekas pegawai daerah yang
pernah ditemui dan selalu memanggilnya tuan itu. Lama matanya pada
wajah Napi.

Napi menahan perasaan. Dia mengawal gelodak rasa terharu dalam
kalbunya.
“Kenapa tuan?”

“Pak Abu ingat tak mak saya?”

15

“Ingat. Mek Som. Dia meninggal di Makkah kan?”

“ Pak Abu ingat tak kami miskin masa itu?”

“Saya ingat. Tapi tuan tidak pernah berhutang di kedai saya. Walau
secupak beras, tuan bayar tunai,” kata Pak Abu.

Napi tidak dapat mengawal dirinya lagi mendengar kalimat itu. Dia
memandang wajah Pak Abu dengan mata berkaca. Tidak lama kaca-kaca
dalam matanya itu kemudian bertukar air mata lalu ia mengalir laju.

“Kenapa tuan? Ada saya tersalah cakap?” Wajah Pak Abu kehairanan.

Napi menggeleng-gelengkan kepalanya.

Pak Abu masih memandang wajah Napi.

Napi kemudian duduk lalu memegang lutut Pak Abu.

“Kenapa tuan?”

“Saya minta maaf dengan Pak Abu,” wajah Napi pada kedua lutut Pak
Abu.

16

“Saya tak faham tuan. Kenapa begini? Tak baik dilihat orang,” tangan
Pak Abu mencapai lengan Napi dan berusaha untuk mengangkatnya.
Napi mendongak.
“Pak Abu memang tak sedar. Pak Abu memang tak ingat.”
“Apa dia tuan?”
“Saya curi sebatang pen di kedai Pak Abu dulu.”
Pak Abu senyum.
Napi balik duduk pada mejanya.
“Saya minta maaf dan minta dihalalkan pen itu, Pak Abu,” kata Napi
pula.
“Ah! Masa itu tuan budak. Cuma nakal, bukan jahat.”
“Tapi saya tetap mencuri pen Pak Abu. Maafkan saya Pa Abu.”

17

“Jadi ini, sebagai ganti pen itu?” Pak Abu angkat kotak pen Parker.

Napi mengangguk.

“Ini mahal tuan. Pen yang tuan curi dulu murah saja.”

“Pen seperti itu sudah tak ada sekarang.”

“Terima kasihlah tuan,” Pak Abu menghulurkan tangannya ke hadapan
Napi.
Napi menyambut tangan Pak Abu. “Maafkan saya, halalkan pen itu, Pak
Abu,” kata Napi.

“Saya rasa syukur, kerana pen itu tuan boleh belajar dengan baik. Tuan
mengaku curi pen itu. Saya hargai ikhlas tuan. Saya halalkan pen itu
untuk tuan. Saya maafkan kalau itu dikira dosa tuan terhadap saya.
Dunia akhirat. Selebihnya saya serahkan kepada Allah,” kata Pak Abu.

Napi lalu mendakap badan Pak Abu. Mereka berpelukan.

“Terima kasih Pak Abu, “ desis Napi. Lalu badan mereka berpisah.

“Tapi pen ini? Saya tak menulis lagi sekarang. Tangan dah menggigil.”

18

kata Pak Abu.
“Pak Abu kena terima. Ikhlas daripada saya. Tanda sesal saya pada Pak
Abu.”
Pak Abu mengangguk. Dia lalu memegang pen Parker itu kemas-kemas.
Dengan ucapan memohon maaf sekali lagi kepada Pak Abu, Napi lalu
memohon diri untuk pulang. Kepalanya terasa ringan. Dadanya rasa
lapang.

19

INFO Penulis
Nama sebenarnya Abd Rahman Che Mat mula menulis awal 1960- an
dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip
filem, rencana serta novel. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana
Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau
juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV
anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004.
Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21
Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007
untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.

20

Peserta diminta untuk memuat
cerpen ini dalam bentuk PDF bagi

meneruskan langkah selanjut.

Seterusnya, peserta diminta untuk klik di link yang di bawah
untuk melakukan misi yang berikut. Peserta akan melakukan
beberapa permainan yang disediakan bagi menguji pemahaman
dan ingatan.

https://gamilab.com/play/3e2f9b3d-f1f5-47bf-88f8-4b1e6deb5b75

21


Click to View FlipBook Version