Cerpen: Tetamu Istimewa
Oleh Mohd Helmi Ahmad
2010/07/24
KATA Emak semenjak Adik pulang dari sekolah, dia sentiasa mengurungkan diri di dalam
rumah, tidak mahu keluar bermain mahupun menghirup udara. Umurnya baru berusia lapan
tahun, agak janggal bagi kanak-kanak yang seusianya tidak memanfaatkan waktu itu untuk
bermain. Agak rugi kiranya dilepaskan begitu sahaja. Bukan senang untuk memperuntukkan
waktu sebegitu. Masa tidak akan berpatah kembali. Apa yang ada harus diharungi. Begitulah
perjalanan hidup.
Adik pulang dari sekolah. Pakaian seragam sekolah dibuka. Kasut dibiarkan terbengkalai di
depan pintu. Stokin yang masam-masam itu diletakkan di atas meja kopi. Beg sekolah
dicampakkan di atas kusyen. Emak yang sibuk memasak ketika itu tidak menghiraukan
gelagat Adik. Adik terus mengurung diri di dalam bilik. Ada tetamu yang dibawa balik dari
sekolah kata Emak. Tetamu itu tidak dipelawa untuk datang, tetapi mahu juga mengikut Adik
pulang.
Adik tidak kenal akan tetamu itu, bercakap pun tidak, inikan pulak untuk bertanya khabar.
Apa yang menghairankan Emak kenal akan tetamu yang tidak diundang itu. Seolah-olah
sudah serasi dengan Emak, walaupun sebelum ini tidak pernah berkunjung ke rumah kami.
Tetapi kata Emak tetamu yang ini lain sedikit sikapnya, dia tidak meminta makan dan
minum. Dia hanya minta untuk tumpang tinggal sahaja di rumah kami. Dia mahu berlindung
dari hujan panas. Dia mahu tinggal bersama Adik. Dia mahu berkawan bersama Adik. Dan
juga dia mahu bermain bersama Adik. Tetapi Adik tidak mahu berkawan dengannya. Adik
tidak mahu bermain dengannya. Malahan Adik tidak mahu berkongsi bilik dengannya. Adik
rimas. Setiap kali tetamu itu menyondol-nyondol ke tubuhnya Adik, dia akan rasa rimas,
gatal merenyam dan tidak selesa. Setiap kali itu juga Adik akan menangis. Meronta-ronta
menyeru tetamu itu pulang saja ke rumahnya. Tetapi tetamu itu masih tegar untuk tidak mahu
pulang.
Seketika cuma Adik, tenang. Tetamu itu tidak mengganggunya. Namun semenjak itulah Adik
tidak lagi ke sekolah. Kawan-kawannya yang lain tidak mahu berkawan dengannya lagi.
Dikatakan Adik seorang yang sombong. Tidak mahu berkawan dengan mereka. Adik hanya
berkawan dengan tetamu barunya itu saja. Adik pentingkan diri sendiri. Adik hanya tahu
mengurung diri di dalam rumah. Dah macam anak dara. Sementelahan itulah adik hilang
banyak kawan. Pelajarannya juga terganggu.
Terang-terang tangan Emak sudah menyediakan sarapan. Nasi lemak bungkus bersama teh
kepada kami. Adik sudah pun bangun. Tetamunya juga begitu. Emak membuka bungkusan
nasi lemak itu. Kemudian Emak menyuapkan nasi ke mulut Adik. Adik nganga lalu menelan
setiap butir nasi yang masuk ke dalam mulutnya. Kami adik beradik yang lain hanya melihat
sahaja. Layanan Emak kepada Adik lain sekali. Sebelum ini Adik tidak mahu dilayan
sebegitu rupa. Adik sudah besar. Tidak suka diperlakukan macam budak-budak lagi. Adik
sudah boleh makan, mandi dan uruskan diri sendiri. Tanpa bantuan Emak lagi.
Adik malu jika kawan-kawannya melihat Emak mandikan Adik. Suapkan makan ke
mulutnya. Tetapi pagi ini Adik tidak membantah. Adik seakan rela. Kami menganggapkan
bahawa Adik hanya mahu menunjuk-nunjuk kepada tetamunya itu. Dia tidak mahu Emak
melayan tetamunya itu seperti Emak melayannya sewaktu kecil-kecil dahulu. Adik akan rasa
cemburu. Adik merasakan hanya dia seorang yang wajar menerima layanan seperti itu.
Selepas makan, Emak memandikan Adik pula. Emak mencampurkan sedikit air yang berada
di dalam botol ke dalam besen yang disediakan. Lain sedikit cara memandikan Adik.
Sebelum ini Adik hanya dimandikan dengan air paip yang mentah-mentah itu saja, tetapi kali
ini Emak memasukkan sedikit campuran air yang dibawa balik oleh Ayah dari rumah Haji
Soot. Air itu dalam keadaan keperangan. Kandungannya seperti campuran akar kayu yang
telah dihancurkan dan dicampurkan dengan air biasa.
“Air apa ni mak?”
“Ni air penawar.”
“Air penawar?”
“Air penawar ni untuk memulihkan kau.”
Kami adik beradik yang lain curi-curi dengar perbualan Emak bersama Adik. Kami tergelak
bersama-sama. Mudah benar Adik ditipu. Ternyata Adik bukanlah seorang yang bijak kerana
terang-terang Emak memasukkan sedikit air dari sumber lain kemudian mencampurkan ke
dalam air itu. Tujuannya adalah untuk meyakinkan Adik supaya mudah untuk mandi. Adik
memanglah seorang yang ketegar untuk mandi. Dia takut dengan air. Seboleh-bolehnya dia
akan mandi sehari sekali sahaja. Itupun jika diingatkan Emak.
Tetamu yang mengikut Adik pulang masih tidak mahu pulang. Sudah seminggu dia bertamu
di rumah kami. Kawannya adalah dengan Adik. Dia tidak mahu berkawan dengan kami
semua. Termasuk Emak.
“Mak boleh Ijam tanya sikit?”
“Ada apa?”
“Kenapa dengan Adik?”
“Kenapa pulak dengan dia?”
“Iyalah kenapa Adik dilayan begitu?”
“Kenapa kamu pun cemburu?”
“Bukannya cemburu, tapi kenapa Adik disuap makannya, dimandikan dengan air penawar?”
“Adik kamu tu sakit.”
“Sakit! Adik sakit apa mak?”
“Dia demam baik.”
“Demam baik!”
Kami adik beradik yang lain ketawa terbahak-bahak. Jawapan yang diberikan Emak kepada
kami amat melucukan. Kalau sudah demam baik buat apa lagi susah-susah nak mandikan
dengan air penawar. Sahlah jangkaan kami sebelum ini Adik sudah kena tipu. Adik yang
dikatakan bijak dalam matematik sebelum ini senang-senang ditipu Emak. Dia tidak dapat
mengira setiap butir kata Emak yang membelit akal fikirannya. Jelasnya kemahiran adik
untuk menafsir masih pada tahap yang rendah.
Adik menangis lagi. Adik tidak dapat tidur malam. Tidurnya sentiasa diganggu tetamu yang
mengikutnya pulang. Kami sudah mengagak Adik hanya pandai bermuka-muka. Sebelah
siangnya memanglah Adik buat tak layan sahaja dengan tetamunya itu, sebaliknya pada
waktu malam dia akan kembali cergas. Dia seperti burung hantu yang aktif pada waktu
malam. Dia akan bermain-main dengan tetamunya itu. Dia akan berkawan dengan tetamunya
itu. Sehinggalah lewat malam. Pandai sungguh Adik bersandiwara.
Apabila sudah letih, sendi-sendinya akan terasa lenguh. Badannya akan terasa gatal-gatal.
Tenaganya sudah tentu kehabisan ketika bermain bersama tetamunya itu. Kulitnya akan
mudah dinaiki bintil-bintil kemerahan. Keadaan itu disebabkan peluh yang berlinangan di
badannya. Angin sukar menyelinap masuk ke bilik Adik. Jadi keadaan bilik Adik terpeluwap.
Setelah Adik kalah dalam permainannya Adik akan menangis. Adik akan meronta-ronta.
Sudah agak dah Adik macam itu. Hanya dia seorang yang boleh menang. Orang lain tidak
akan berpeluang jika bermain dengan Adik.
“Kenapa ni Adik?”
“Badan Adik gatal-gatal.”
“Itulah mak cakap jangan main sampai lewat malam. Nanti gatal-gatal susah.”
“Adik tak main apa-apa pun.”
“Dah mari sini mak tengok!”
Kami sekali lagi terkesima. Bualan Adik bersama Emak seakan tidak masuk akal. Sekali lagi
Adik ditipunya Emak hidup-hidup. Tabiat Adik yang sukar diubah adalah suka tidur lewat.
Sewaktu usianya ini tidak elok baginya berjaga lewat malam. Kesihatannya akan mudah
terganggu. Keesokannya apabila Adik ke sekolah Adik akan mengantuk. Mata Adik akan jadi
merah. Mahu tidak mahu Adik akan tidur di dalam kelas. Dia tidak akan dapat menumpukan
perhatiannya terhadap pelajaran lagi.
Keesokannnya Emak tidak lagi menggoreng ikan dan menumis masakannya. Emak hanya
merebus ikan yang dibeli Ayah. Ikan itu direbus semata-mata untuk menjamu Adik dan
tetamunya. Kami gelisah. Ternyata Adik dan tetamunya itu betul-betul menyusahkan. Makan
minum Adik dan tetamunya dijaga begitu rapi. Tidak boleh silap sedikit. Emak sangat
berhati-hati dalam menyediakan makanan kepada Adik.
Sebelum ini Emak tidak mengambil kisah akan bab-bab masak-memasak ini. Maksudnya
Emak akan memasak mengikut cita rasanya sahaja. Tapi lain untuk kali ini. Lauk mesti
direbus setiap hari. Emak tidak akan menggoreng lauk lagi. Tidak ada lagi masakan yang
melibatkan tumis-menumis. Semuanya rebus semata-mata. Dikatanya jika Emak menumis,
tetamu Adik akan meronta-ronta. Keadaan ini menyebabkan Adik turut meronta-ronta juga.
Emak tidak sanggup melihat Adik dalam keadaan itu. Sangat terseksa.
“Adik kamu tu demam biji. Tak boleh sembarangan. Nanti merebak susah. Mak kena jaganya
baik-baik.”
Kelucuan yang Emak ciptakan sememangnya menggeletek perut kami. Seketika itu kami
ketawa tidak henti-henti. Seakan mahu pecah perut dibuatnya. Sekejap demam baik, sekejap
demam biji. Mana satu yang betul pun tidak tahu. Orang-orang dulu ada-ada saja istilah yang
diciptakan. Melihat saja badan penuh dengan bintil-bintil dikatakan demam biji.
Adik semakin pulih. Dia tidak lagi menangis pada waktu malam. Tidurnya lena dibuai
mimpi-mimpi indah. Tetamunya tidak mengganggunya lagi. Sebaliknya Angah pula yang
mengurungkan diri di dalam bilik. Tidak mahu bercakap dengan orang lain. Tetamu Adik itu
seolah-olah mahu berkawan dengan Angah. Dia tidak mahu berkawan dengan Adik lagi.
Malahan tidak mahu bermain dengan Adik lagi. Agaknya tetamu Adik itu sudah bosan untuk
bermain dengan Adik. Tiada permainan baharu yang dimainkan. Dia mahu mencari kawan
baharu. Angah adalah orangnya. Sebelum ini Angah menunjukkan minat untuk berkawan
dengan tetamu Adik. Angah selalu melawat bilik Adik. Di mana saja Adik berada di situlah
Angah juga berada. Termasuk tetamu Adik.
Selepas Adik dan Angah, tetamu Adik itu beralih pula kepada kami sekeluarga. Dia
menyondol-nyondol kami semua; dia menyondol punggung Emak, dia menyondol badan
Along, dia menyondol kaki dan tangan Ayah. Dan juga dia menyondol muka Emak. Kami
semua mengurungkan diri di dalam rumah. Makan ikan rebus setiap hari. Mandi air penawar.
Hampir setiap malam tidur kami diganggunya tetamu Adik. Sendi-sendi kami terasa lenguh.
Badan kami mudah terasa gatal merenyam. Bintil-bintil kemerahan tumbuh di mana-mana
sahaja di tubuh kami semua. Orang kampung mengatakan keluarga Deris sombong belaka.
Tidak mahu bertegur sapa. Hanya mengurungkan diri di dalam rumah.
Setelah itu datanglah Kiah Murai melawat kami semua. Sementelahan itu, berita tetamu yang
dibawa pulang Adik tersebar ke seluruh pelusuk kampung. Habis semua rumah penduduk
kampung dilawati tetamu Adik. Tetamu Adik itu mahu berkawan dengan semua penduduk
kampung. Dia mahu bermain-main dengan penduduk kampung. Dia mahu menyondol-
nyondol tubuh penduduk kampung. Habis semua penduduk kampung mengurungkan diri di
dalam rumah. Mereka sedang bermain-main dengan tetamu Adik.
Sekarang baru kutahu bahawa tetamu yang dimaksudkan Emak. Di tempat kami demam itu
dikenali sebagai demam baik, demam biji dan juga demam campak. Sebab itulah tidur malam
Adik terganggu. Tidur malam penduduk kampung yang lain juga terganggu. Seluruh tubuh
mereka gatal-gatal. Sejurus selepas itu kampung kami dibina sebuah klinik desa untuk
merawat penyakit campak yang dihidapi penduduk kampung. Penduduk kampung dinasihati
agar membawa anak-anak yang baru dilahirkan untuk pemeriksaan doktor. Kanak-kanak di
kampung kami selepas itu diberi suntikan campak bagi mencegah daripada diserang campak.
Setelah diberi suntikan campak kampung kami kembali aman damai. Tidak ada lagi tetamu
yang datang tanpa diundang.
BIODATA Penulis:
MOHD Helmi Ahmad, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik
Melayu), di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (2006 -2009),
terbabit dalam penulisan puisi, cerpen, drama, novel dan esei. Pernah mendapat bimbingan
daripada Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan Dr Kamariah Kamarudin.
Johan pertandingan Menulis Esei Bulan Kemerdekaan 2005 anjuran Sekolah Menengah
Kebangsaan Tunku Abdul Aziz.
dan Pertandingan Menulis Esei Pendermaan Organ, Kementerian Kesihatan Malaysia, New
Straits Times-Berita Harian 2009 (Kategori Institusi Pengajian Tinggi-Bahasa Malaysia).
Sebidang Tilam
Oleh A Rahman CM
2010/05/15
RAHIM memandang wajah anaknya Abdul yang sedang membuka surat di kerusi di
hadapannya. Isterinya Tina juga menumpukan perhatian pada wajah Abdul yang kelihatan
seperti ragu-ragu untuk membuka surat yang baharu diterima daripada posmen itu.
Akhirnya surat itu muncul juga di tangan Abdul. Dia menatap. Tidak lama. Kepalanya
melayah ke belakang, lalu Abdul bersandar pada kusyen. Seluruh raut wajahnya
menggambarkan satu kekecewaan yang berat.
Rahim berdiri lalu mencapai surat yang terkulai di tangan Abdul anaknya itu. Dia balik
duduk di sebelah isterinya. Dia membuka surat itu. Tina ikut memandang surat itu. Lalu
kemudian wajah keduanya memandang pada Abdul.
Mata Rahim luas pada wajah Abdul. Tina cuma berwajah kering seperti Abdul menunjukkan
kekecewaannya.
“Dah berapa kali kamu temu duga?” Tanya Rahim. Matanya tetap luas pada wajah Abdul.
Abdul tidak menjawab.
“Bedulull!” Suara Rahim sedikit tinggi.
Abdul memandang wajah ayahnya.
“Ayah tanya, dah berapa kali kamu temu duga?”
“Lima kali,” desis Abdul.
“Lima kali?” Badan Rahim terdorong ke hadapan.
Abdul mengangguk.
“Ini saja jawapan mereka, maaf, tuan tidak berjaya, begitu?”
Abdul mengangguk lagi.
Tina memandang wajah suaminya di sisi. Lama.
“Apa kena dengan kamu?”
Abdul tunduk. Dia kelu.
Rahim menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Mustahil kamu tak layak. Tentu ada silap di mana-mana dalam masa kamu ditemu duga.”
Abdul tunduk terus. Dia jadi bisu.
“Macam mana rambut kamu masa temu duga?” Tanya Rahim.
“Biasalah ayah.”
“Biasa, kamu sikat tak?”
“Sikat.”
“Pakaian kamu?”
“Biasalah ayah.”
“Cakap kamu. Ada kamu beri salam ketika masuk bilik temu duga?”
“Ada?”
“Kamu duduk sebelum di suruh duduk?”
“Tidak.”
“Sikap kamu macam mana?”
Tina memandang anaknya Abdul agak seketika yang sedang menghadapi temu duga daripada
suaminya. Kemudian wajahnya balik pada suaminya. Dia rasa sesuatu yang lain penerimaan
suaminya hari itu terhadap kegagalan anaknya dalam temu duga untuk memasuki maktab
perguruan.
“Maksud ayah?”
“Yalah! Penemuduga tu memerhati seluruh badan kamu, wajah kamu, cara kamu bercakap,
cara kamu bergerak. Ada kamu tunjuk sikap kurang ajar kamu di hadapan mereka?” Wajah
Rahim kering pada wajah anaknya itu.
“Tidak. Saya hormat. Suara saya perlahan sekadar cukup mereka dengar.”
Rahim menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia kemudian menoleh pada Tina isterinya di
sebelah. Agak sejurus dia memandang anaknya di hadapan.
“Ini tentu ada silap kamu di mana-mana, Bedul. Pergi ambil semua sijil kamu, ayah nak
tengok,” kata Rahim.
Rahim berdiri. Dia berlalu ke dalam.
“Dulu Bedul temu duga askar, gagal. Sedangkan dia layak. Lepas tu temu duga kerani, gagal
juga. Temu duga polis, gagal. Temu duga bomba, gagal juga. Ini yang kelima. Gagal lagi. Dia
sudah lulus peperiksaan bertulis untuk masuk maktab perguruan tu. Tapi gagal juga. Apa
cerita?” Wajahnya pada wajah Tina.
Tina tidak tahu untuk menjawab.
Abdul datang dengan sebuah fail. Dia serahkan fail itu kepada ayahnya. Dia balik duduk pada
kerusinya di hadapan ayahnya.
Rahim membuka fail anaknya. Dia capai Sijil Rendah Pelajaran (SRP) Abdul. Dia menatap
sijil itu. Tidak ada cacat di mana-mana. Rahim simpan. Dia capai Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) Abdul. Rahim renung butiran dalam sijil itu. Tidak ada cacat apa-apa. Bahasa Melayu
B, Bahasa Inggeris B, Fizik A. Matematik A, Kimia B, Agama Islam A, Biologi B,
Matematik Tambahan C, Prinsip Akaun A dan Sejarah A.
Lama mata Rahim merenung sijil itu. Dia puas hati terhadap sijil itu. Rahim membiarkan
Tina mencapai sijil itu. Agak sejurus kemudian Rahim mencapai Sijil Berhenti Sekolah
(SBS) Abdul pula. Dia teliti fasal demi fasal. Elok dengan kegiatan ko-korikulumnya. Tetapi
tiba-tiba matanya luas apabila sampai pada ruangan kelakuan pelajar. Mata Rahim luas
memandang tulisan ‘Hampir Baik’ yang tertulis di ruangan itu.
“Hahhhh!” Rahim merengus. Dia memandang wajah anaknya Abdul yang juga sedang
memandang padanya itu.
Tina di sebelah Rahim terkejut. Dia lalu menatap wajah suaminya itu. Dia nampak suaminya
itu memamah giginya sendiri.
“Apa yang kamu buat di sekolah?” Tinggi suara Rahim.
Abdul tunduk.
“Ayah tanya Bedul?”
Abdul jadi batu.
“Bedullll! Apa yang kamu buat di sekolah?”
“Ta...ta...tak ada apa-apa. Biasa saja.”
“Mana boleh. Ini puncanya kamu gagal dalam lima kali temu duga itu,” kata Rahim sambil
mengangkat SBS Abdul.
Abdul tunduk. Ia jadi kayu pula.
Tina mencapai SBS Abdul dari tangan suaminya.
“Kelakuan anak awak tidak baik. Cuma hampir baik. Temu dugalah seratus kali untuk
jawatan apapun, dia tak akan berjaya. Tidak ada majikan yang akan mengambil calon pekerja
yang kelakuannya tidak baik,” kata Rahim. Dia bersandar pada kusyen.
Tina memandang wajah anaknya Abdul di hadapannya.
“Saya nak jumpa pengetua sekolah Bedul. Kamu ikut, Bedul” kata Rahim. Dia terus berdiri.
“Saya ikut,” Tina ikut berdiri.
“Awak ikut buat apa?”
“Bedul anak saya. Nak juga saya tahu hal Bedul di sekolah.”
Rahim merengus.
“Abang tu panas baran. Nanti abang mengamuk di sekolah tu. Tak pasal-pasal abang masuk
lokap polis nanti,” kata Tina pula.
Bedul yang masih di kerusi kaku.
“Kenapa kamu Bedul?” Bulat mata Rahim pada wajah Abdul.
Abdul jadi tunggul.
“Kamu kena ikut ayah ke sekolah kamu. Faham?” Tinggi suara Rahim.
Rahim berdiri. Tina ke biliknya menghias diri secara sederhana. Dia kemudian meluru keluar
membuntuti suaminya yang menarik tangan Abdul keluar rumah.
Sampai di hadapan pintu pagar sekolah, mereka dibenarkan masuk oleh jaga yang bertugas,
tetapi terpaksa berjalan kaki. Kereta mesti ditinggalkan di luar pagar sekolah. Hanya kereta
dari Jabatan Pelajaran sahaja yang boleh masuk ke dalam kawasan sekolah. Pelawat-pelawat
biasa lain mesti masuk dengan berjalan kaki.
Mereka kemudian berhadapan dengan pengetua setelah menunggu beberapa minit kerana
pengetua ada hal dengan seorang guru.
Pengetua menjeling pada Abdul. Dia kenal. Kemudian dia senyum pada Rahim.
“Ada apa-apa boleh saya bantu, Encik Rahim?” Tanya Pengetua. Dia bersandar.
Rahim tidak segera membuka mulut. Dia mengunjukkan SBS Abdul ke hadapan Pengetua
yang segera dicapai oleh Pengetua.
Pengetua memandang sejurus pada SBS Abdul. Dia senyum. Kemudian dia memandang
wajah Rahim.
“Saya nakkan penjelasan kenapa ruangan kelakuan anak saya ini ditulis ‘Hamir Baik’?”
“Penjelasan akan diberikan oleh guru disiplin, warden asrama dan ustazah. Boleh Encik
Rahim sabar. Saya akan panggil mereka,” jawab Pengetua.
Abdul memandang kakinya sendiri. Wajah di hadapannya itu pernah merotannya di khalayak
murid semasa perhimpunan.
Pengetua mengangkat intercall. Dia memberitahu kerani yang menjawab supaya menjemput
Cikgu Samad, Cikgu Syukur, Cikgu Zaini dan Ustazah Ramlah. Pengetua kemudian
meletakkan intercall. Dia balik memandang Rahim.
“Lima kali anak saya ini alami temu duga, tetapi gagal. Saya rasa sijil itulah puncanya,” kata
Rahim.
“Kami tulis berdasarkan kelakuan pelajar kami di sini,” kata Pengetua.
“Apa salah anak saya, tuan?” Tanya Tina.
“Ia melebihi kesalahan biasa. Ada bersifat peribadi. Ada melibatkan guru dan ada yang
melibatkan sekolah. Kami tidak kisah kalau ia hanya melibatkan peribadi. Kerana hal
peribadi itu bergantung dirinya dengan Allah,” kata Pengetua.
“Tetapi anak saya bijak. SPMnya baik,” kata Rahim.
“Akademik yang baik tidak mencerminkan kelakuannya juga baik. Ada yang dapat 10A pun
berkelakuan macam samseng di sekolah. Dan kami tidak akan kompromi kalau kelakuan
pelajar melibatkan orang lain atau sekolah,” kata Pengetua.
Cikgu Samad, Cikgu Syukur dan Ustazah Ramlah masuk. Mereka serentak memberi salam.
Mereka mencapai kerusi lalu duduk pada ruang agak ke belakang Pengetua.
“Encik Rahim, ayah Abdul ini hendakkan penjelasan kenapa kelakuan Abdul ditulis ‘Hampir
Baik’,” kata Pengetua lalu menyerahkan SBS Abdul kepada Ustazah Ramlah.
Abdul terus tunduk.
“Untuk makluman Encik Rahim Abdul ini terlibat melakukan kesalahan terhadap gurunya
sendiri,” Pengetua memandang wajah Rahim yang kering di hadapannya.
“Saya nak tahu,” kata Rahim.
Pengetua mengangguk.
“Saya guru disiplin,” kata Cikgu Samad. Dia memandang Rahim dan Abdul bergilir-gilir.
Mata Rahim pada wajah Cikgu Samad.
“Abdul pernah tunjukkan buku lucah kepada guru sejarah yang masih gadis,” kata Cikgu
Samad.
Seperti spring wajah Rahim ke kepala anaknya yang tunduk.
“Itu kesalahan melibatkan orang lain,” kata Pengetua.
Rahim memamah giginya sendiri.
“Abdul pernah curi tilam asrama,” kata Cikgu Syukur warden asrama.
Mata Rahim bulat pula pada kepala anaknya yang tunduk.
“Itu kesalahan melibatkan sekolah,” kata Pengetua.
Rahim memamah giginya lagi. Tangannya kedua-dua belah bergerak-gerak. Mujur ada Tina
di tengah-tengah antaranya dengan Abdul. Dia kemudian dengan wajah kering memandang
Pengetua.
“Tentang dia merokok, itu hal peribadi dia, kami tak kisah. Malah ada kes-kes gaduh dengan
pelajar lain, kami selesaikan.” kata Pengetua lagi.
Sejak Tina mendengar suara Cikgu Samad yang mengatakan anaknya Abdul pernah
menunjukkan buku lucah pada guru sejarahnya yang masih gadis tadi, Tina menundukkan
kepalanya. Dan kepala itu terus tunduk. Dia terasa seperti mukanya disimbah dengan najis
oleh anaknya sendiri.
“Lalu macam mana tuan, tak boleh ke sijil itu diganti?”
“Boleh. Tapi Abdul kena hantar balik tilam asrama. Kedua dia mesti mohon maaf dengan
Cikgu Zaini, guru sejarahnya yang dia tunjukkan buku lucah itu. Itu saja. Kami sudah hukum
dia sebagai kesalahan disiplin. Tetapi Abdul belum minta maaf dengan gurunya itu,” jawab
Pengetua.
Rahim berdiri. Dia ke belakang Abdul.
Tina ikut berdiri. Dia memegang bahu suaminya.
“Encik Rahim, ini pejabat saya. Jangan berlaku apa-apa di sini,” kata Pengetua.
“Tak, tak, tak ada. Saya cuma nak tanya Bedul.”
Abdul yang seperti batu itu tegak menghadap ayahnya.
“Benar apa yang cikgu kamu sebut tadi?” Agak tinggi suara Rahim.
Abdul hanya mampu menganggukkan kepalanya.
Rahim mengangkat tangan kanannya tetapi segera dipegang oleh Tina. Tangan kirinya
kemudian menunjal bahu Abdul mengarahkan Abdul duduk. Rahim menahan perasaan
mengkalnya lalu balik pada kerusinya.
Agak sejurus masuk Cikgu Zaini. Dia beri salam. Semua menjawab salam. Dia memandang
pada Tina. Dia kenal. Cikgu Zaini lalu ke sisi Tina. Dia hulurkan tangannya ke hadapan Tina.
Mereka bersalam. Tina memandang Cikgu Zaini. Lama wajahnya pada Cikgu Zaini. Ya
Alahhhh! Malu aku. Tina kenal Cikgu Zaini, anak saudara Datin Rugayah jirannya. Tangan
mereka berpisah. Cikgu Zaini kemudian ke sisi Ustazah Ramlah.
“Ini Cikgu Zaini, macam mana Abdul?” Tanya Pengetua.
Abdul mendongak. Ada air mata pada kelopak matanya.
“Bolek kamu minta maaf?” Tanya Pengetua lagi.
Abdul kaku. Wajahnya kering tetapi air matanya kemudian laju mengalir. Lambat-lambat dia
tegak.
“Tak apalah Cikgu. Saya dah maafkan dia. Cuma saya nak tanya dia,” kata Cikgu Zaini.
Rahim dengan Tina seperti hilang akal. Rahim memandang bergilir-gilir guru di hadapannya
termasuk Pengetua.
Abdul memandang wajah Cikgu Zaini.
“Kamu dah taubat?” Tanya Cikgu Zaini.
“Yaaa! Cikgu,” desis Abdul.
“Baguslah. Boleh kamu terus terang dengan cikgu,” kata Cikgu Zaini lagi.
Abdul menanti.
“Kamu sembahyang tak?”
Abdul menggelengkan kepalanya.
“Taubat apa kalau tak sembahyang,” sampuk Ustazah Ramlah.
Rahim balik tunduk. Tina merasakan mukanya disimbah najis lagi.
“Tak apalah. Itu soal peribadi Abdul,” kata Pengetua. “Hal dia dengan Cikgu Zaini dah
selesai. Sekarang hal dia dengan sekolah. Boleh kamu hantar balik tilam asrama?” Tanya
Pengetua.
Abdul mengangguk.
“Selesai Encik Rahim, nanti apabila Abdul hantar balik tilam asrama seperti asalnya, sijil ini
saya akan koyak dan ganti yang baru dengan memasukkan ‘Baik’ pada ruangan
kelakuannya,” kata Pengetua. Matanya berseri pada wajah Rahim.
“Malu aku. Maluuuuu!” kata Rahim berkali-kali semasa memandu pulang.
Tina menepuk-nepuk badan Rahim.
Sampai di rumah, sebaik sahaja keluar dari kereta, Rahim menendang badan Abdul hingga
Abdul mencium tanah.
“Dah terlambat abang nak ajar dia,” kata Tina. “Sepatutnya masa dia kena rotan di hadapan
murid-murid dalam perhimpunan sekolah dulu kerana merokok, abang tampar dia. Abang
lupa apa yang abang buat? “ Sambung Tina.
Mata Rahim bulat pada wajah isterinya.
“Abang jumpa Cik Samad di kedai kopi, abang marahkan cikgu tu.”
Rahim memandang sayu pada wajah Tina.
“Cikgu tu jawab selamba. Saya ingat jawab Cikgu Samad, anak encik nak merokok satu dos
pun saya peduli apa, tetapi jangan merokok di sekolah. Malah kalau anak encik hisap dadah
pun saya tidak peduli, tetapi jangan di sekolah. Abang lupa? Abang marah dan hendak
menerkam Cikgu tu, mujur ada orang ramai,” kata Tina.
Rahim terduduk.
“Satu lagi abang lupa. Abang izinkan Bedul bawa kereta dulu, konon nak ambil tilam di
rumah kawan. Bedul tak ada lesen memandu. Mujur tak ditahan oleh polis. Kalau tak dengan
abang sekali ke lokap polis,” kata Tina lagi.
Giliran Rahim jadi batu.
“Abang tahu tak, langkah abang itu mendidik anak melanggar undang-undang negara. Masa
itu saya tertanya-tanya, abang nak jadikan apa Bedul ini. Tapi tak berani saya bersuara,” kata
Tina lagi.
Mereka ke kamar Abdul. Tina melihat Abdul menepuk-nepuk tilam asrama itu. Tina terharu.
“Tilam itu dah koyak Bedul. Kita gantikan yang baru,” kata Tina.
Dan esoknya, pagi-pagi Rahim dengan Abdul ke sekolah membawa tilam baru.
INFO: A Raahman CM
NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat mula menulis awal 1960-an dan terbabit dalam
penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Beliau
pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis.
Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV
anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial
yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana
Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.
Sanggar Kreatif: Ramadan ini, Kau Pulanglah!
Oleh MD Nizar Parman
2010/08/22
KALAU aku katakan bahawa aku berputus asa untuk menjejakimu, jawapan yang tepat
sebenarnya tidak. Tiba-tiba kaumenghilang. Tentu sahaja aku yang mewakili adik-adikku
menjadi kebingungan. Masing-masing menyalahkan aku. Kaufikir, selama mana kupingku
bisa betah mendengar rungutan dan sindiran mereka?
Tanpa sebarang pesan atau nota kautinggalkan, alih-alih sahaja kaulesap. Tentu sahaja
tindakanmu itu mengundang kegelisahan. Sebaik sahaja kukhabarkan tentang kehilanganmu,
adik-adikku yang lain bergegas ke rumahku – menyoalku dengan pertanyaan bertalu-talu
seperti peluru. Aku seperti seorang penjenayah di kandang pesalah.
“Macam mana boleh jadi begini, along? Apa along dah buat?” tukas angah. Suaminya juga
turut menempelak saya. Anak-anaknya juga mencebikkan bibir apabila memandang saya.
“Manalah Along tahu? Rasa-rasanya along dan kak long kamu tidak ada pun menggores
perasaannya,” hujahku membela diri. Apa lagi yang dapat aku lakukan? “Di rumah ini, tidak
ada yang kurangnya. Makan dan minumnya terjaga. Orang gaji abang long sentiasa ada.”
Uda yang baharu sampai dengan isterinya juga turut melemparkan dakwaan yang sama.
Katanya, aku tidak pandai mengambil hatimu. Lantas, apa lagi yang harus aku lakukan jika
terus-terusan diasak begitu?
Usu, anak lelaki kesayanganmu yang masih mentah itu pun sudah pandai menyalahkan aku –
menyindir-nyindir aku dengan kata-kata yang menikam gegendang telingaku. Aku itulah.
Aku inilah. Aku lupa daratanlah. Aku tidak mengenang budilah. Kaufikir aku betah?
Aku sedar, tindakanmu itu mungkin berpunca daripada keadaan hidupku sekarang. Tetapi,
kekayaan yang aku miliki ini bukan suatu dosa. Dan, aku percaya kemewahan hidup yang
sedang kukecapi sekarang kerana doamu juga. Aku yakin tentang itu.
Aku masih ingat kata-katamu setelah beberapa hari kautinggal bersama-samaku – di rumah
agam ini. Aku dapat menebak maksud kata-katamu itu.
“Fahmi, rumah kau ini seperti belantara. Sunyi. Bagaimanakah kau dapat hidup di rumah
seperti ini? Tak ubah seperti penjara batu.”
Dan, aku hanya diam. Isteriku, Rohana juga diam. Anak-anakku juga diam. Ketahuilah, aku
paling tidak suka membantah kata-katamu – hal itu akan berlarut-larutan sehingga kita
bermasam muka.
“Maksudnya?” Aku bertanya begitu sekadar ingin tahu apa yang sebenarnya membadai
jiwamu dan yang tersembunyi dalam garizahmu.
“Di mana-mana pun aku berada, kau tahu apa yang aku rasa?” Sepasang matamu yang sayu
memandang tepat ke arahku, kemudian memandang isteriku dan anak-anakku; satu-persatu.
Kami hanya diam, menanti muntahan kata yang seterusnya dari mulutmu.
“Aku sunyi. Seawal pagi kamu berdua sudah meninggalkan rumah ini. Tidak lama selepas
itu, anak-anakmu pula. Lantas, apa guna mulutku ini? Berbicara dengan dinding? Dengan
tingkap? Dengan pintu?” ujarmu. “Dan, kau pulang setelah lewat malam. Begitu juga dengan
isterimu. Apakah duniamu hanya di pejabat dan di kamar tidur?”
Emosi.
Aku mengerti benar akan perasaanmu. Tetapi itulah realiti kehidupan hari ini yang mesti
kaufahami. Bukankah kau pernah berpesan dahulu, gunakanlah ilmu dan kepintaran yang ada
untuk mencari kekayaan dan kesenangan hidup? Hanya dengan cara itu kita akan dapat
memanfaatkan hidup ini untuk membantu ahli keluarga dan insan yang kurang bernasib baik.
Masakan kau sudah lupa?
Tatkala angah ingin melanjutkan pelajarannya ke luar negara dalam bidang kedoktoran
dahulu, bukankah ongkosku yang membiayainya tanpa mengharapkan sesen pun bantuan
daripada kerajaan? Semasa uda ingin menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan
di Jerman dahulu, bukankah sebahagian wangku juga yang digunakannya di sana? Dan, kini
ketika usu sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang undang-undang di sini, bukankah
wangku juga yang mengalir terus kepadanya?
Aku hanya ingin menjadi anak yang baik; dapat membantu adik-adikku dan
membahagiakanmu yang telah bersusah payah membanting tulang empat kerat untuk
menyara pengajianku dahulu.
Aku tidak pernah lupa akan tanah kita di hujung kampung yang terpaksa kaujual untuk
membiayai pengajianku di luar negara dahulu. Kerana niatmu itu, bukankah kita pernah
bertegang leher kerana aku tidak mahu tanah itu digadaikan semata-mata untuk membiayai
pengajianku.
“Keturunan aku, tak ada yang keras kepala macam kau ni! Kaufikir senang untuk dapat
peluang belajar ke luar negara? Kau jangan bagi aku malu, Fahmi. Biar aku bergolok
bergadai, asalkan kau jadi pandai!” tegasmu.
“Saya tak mahu hal ini akan jadi ungkitan kelak,” ujarku. “Nanti apa orang kampung ni
cakap? Malulah!”
“Habis, kaufikir kau tak pergi belajar ke luar negara tu aku tak malu? Kau nak orang
kampung ni mengumpat aku? Mengata aku? Miskin sangatkah aku ni? Tanah tu pun bukan
boleh dibawa mati!” Bentakmu sehingga tersembul urat di sebalik kulit leher kedutmu.
Marah yang bukan main-main.
Aku tetap membantah dan berkeras sehingga peperangan mulut kita sore itu menjadi tontonan
tetangga kita. Akhirnya aku mengalah apabila golok kesayanganmu yang berkilau apabila
terkena sinaran mentari betul-betul berada di leherku.
“Aku sanggup melakukannya kerana aku tak mahu kau menyesal kemudian hari,” bisikmu ke
telingaku dan hembusan hangat nafasmu itu masih terasa hangatnya sehingga kini.
Bukankah tanah yang tergadai itu telah kutebus kembali walaupun aku terpaksa
membayarnya hampir lima kali ganda harga asalnya? Tanah itu telah kuhadiahkan kepadamu
sebagai tanda pengorbananmu yang tidak ternilai itu? Lantaran apakah gerangan yang secara
tiba-tiba membuatkan kaumenjeruk rasa begini?
Bingung. Ya, perasaan ini benar-benar mengaruk dalam jiwaku sejak kaumeninggalkan
rumah ini secara tiba-tiba. Bukan sahaja aku, malah isteri dan anak-anakku juga bingung.
Dan, kerana bingung itulah aku dan Rohana sudah beberapa kali bertengkar. Aku
menyalahkan dia. Dia menyalahkan aku. Saling menyalahkan!
Ketahuilah, aku tidak pernah pun berkecil hati dengan kata-katamu yang berbaur sindiran.
Aku hanya membungkam sahaja. Mengiakan tidak; membantah jauh sekali.
“Mengapakah orang yang punya pangkat dan kedudukan suka buat rumah di tempat yang
jauh dan sunyi begini? Angah pun sama, kawasan kediamannya perlu melalui kawalan
keselamatan yang ketat. Uda begitu juga, tinggal di pangsapuri yang tidak boleh dimasuki
orang sembarangan. Nanti usu pun begitu juga. Agaknya .…”
“Bukankah kediaman seperti ini lebih aman dan tenang?” ujarku lembut.
“Aman? Tenang? Kau tahu sunyi? Mengapakah ke mana-mana sahaja aku pergi, keadaannya
sama sahaja? Sunyi,” katamu meluahkan apa yang membonjol di hatimu.
“Sunyi itu lebih baik daripada sehari suntuk mendengar bunyi bingit kenderaan di ibu kota,”
balasku.
Kau hanya menjuihkan bibir dan meninggalkanku termanggu-manggu.
Keliru. Keliru yang akhirnya menimbulkan kecelaruan. Kami berempat berusaha untuk
menjejakimu, tetapi usaha itu hanya membuahkan hampa. Kukira kaupulang ke kampung –
hampa apabila jiran-jiran memberitahu mereka langsung tidak melihat batang hidungmu!
Setelah beberapa hari, akhirnya kami membuat keputusan untuk melaporkannya kepada
pihak polis. Biar mereka pula yang menjejakimu.
Dari hari ke hari; minggu ke minggu; bulan ke bulan masih tiada khabar berita tentang
dirimu. Kau tahu, angin resah yang sering menampar pipiku akhirnya menjadi ribut kencang
yang terus membelasah tubuhku – juga hidupku. Di mana aku harus mencarimu?
Ramadan. Beberapa hari lagi bulan yang menjanjikan ganjaran yang sebanyak-banyaknya
daripada Allah bakal menjelma. Entah. Mengapa secara tiba-tiba hatiku ini dihambat
perasaan sayu yang tidak tertahan lagi.
Segala detik yang pernah kulalui ketika zaman kanak-kanak kembali menerpa dalam
ingatanku. Kita sama-sama berjalan kaki meredah pekat malam hanya menggunakan jamung
untuk bersolat Tarawih dan pulang agak lewat selepas kau selesai bertadarus. Selepas
bersahur, kita ke surau membelah kesunyian pagi untuk bersolat Subuh. Dan kau akan
memeluk tubuhku yang kesejukan sepanjang perjalanan pada subuh yang mendinginkan itu.
Ah, mengapa kali ini tiba-tiba sahaja semua itu menjelma? Aku terus-terusan memikirkan
jawapannya. Lantas terlintas di fikiranku, inikah yang kau mahu? Jika benar begitu, alangkah
berdosanya aku.
Perkhabaran yang kuterima itu ibarat halilintar yang memanah tubuhku. Ya, Allah!
Mengapakah sejauh itu kaupergi? Apa yang kaucari? Semua ini takdir Allah. Syuhana, anak
saudaramu yang bekerja sebagai jururawat di sebuah rumah sakit di sana yang merawatmu
kerana kau ditemui pengsan di tanah perkuburan. Dia memaklumkan kepadaku dua hari yang
lalu.
Pasti kau akan berasa terkejut apabila melihatku menyusulmu hingga ke sini. Matamu masih
tertutup rapat, hanya dadamu yang masih berombak. Sejak pagi tadi, entah berapa kali
kubelai-belai rambutmu yang kian memutih. Air mataku? Usah diceritakan. Sayu. Pilu.
Entah.
Andai kau sedar, akan kubisikkan sendiri ke telingamu bahawa Ramadan ini aku akan
menemani di kampung sehingga menjelangnya Syawal. Aku akan membahagiakanmu
sebagaimana engkau pernah membahagiaku semasa aku kanak-kanak dahulu. Itu janjiku.
Akhirnya kaubuka juga matamu. Dan air jernih yang mengalir di cerun pipi kedutmu itu
kuseka dengan hujung ibu jariku. Lalu aku mendakap tubuhmu semahu-mahunya. Syukur ya,
Allah! Aku dapat merasakan jari-jemarimu mengusap-usap kepalaku. Kemudian
kaudongakkan mukaku agar memandang tepat wajahmu.
“Aku sunyi, Fahmi. Aku ingin menemani ibumu di sini. Kebahagiaan dan kegembiraanku ada
di sini … di bumi bersemadinya Rasulullah,” ujarmu dengan suara terketar-ketar.
Lalu kudekatkan bibirku ke telingamu lantas berbisik, “Ayah, seharusnya kaubelajar untuk
merelakan dan melepaskan. Ramadan ini, kau pulanglah!”
Info
MD Nizar Parman menekuni genre cerpen dan puisi. Karyanya mendapat tempat dalam
akhbar dan majalah arus perdana. Johan Sayembara Sastera Hari Guru Perak 1995 Kategori
cerpen, Pemenang Hadiah Utama Sayembara Cerpen Guru DBP-BPG 1998 dan Pemenang
Hadiah Sagu Hati Sayembara Cerpen Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007. Kini
berkhidmat sebagai guru Sekolah Kebangsaan Seri Lalang, Seri Lalang, Kluang, Johor.
Cerpen: Kasih yang Terbuang
Oleh Farahana Hussain
[email protected]
2010/12/12
HANISYIQA menghidu bau wangi bada pisang yang digoreng ibunya, aroma masakan itu
mengapung terus dari dapur ke ruang tamu. Dia mengusap perut, kecur air liur terus menjilat
bibir. Selera makannya menjadi-jadi pantang terbau makanan panas-panas yang bergoreng
nafsu makan terus bangkit. Berat badannya naik mendadak lantaran selera makannya yang
meningkat itu. Bukan dia tidak cuba mengawalnya, namun seleranya memang gagal
dikekang. Belum sempat dipelawa Hanisyiqa sudah mengetis hujung bada pisang yang masih
panas di dalam pinggan.
“Ibu, duit.” Hanisyiqa mengerjap-ngerjap mata seakan memujuk.
“Duit, duit. Ke mana saja, Hani halakan duit saku Hani?”
“Ibu, ni. Hani tiap-tiap hari pergi perpustakaan dan kafe siber. Tengoklah selera makan Hani
pun bertambah. Banyak membaca, banyak hal tentang kemasukan ke universiti kena tengok
melalui internet, banyak guna tenaga tau, Ibu. Singgah makan, beli bahan-bahan bacaan.”
Hanisyiqa beria-ia meyakinkan.
Wanita berwajah manis lingkungan awal 50-an dengan tahi lalat di dagu, tidak mahu
berbantah-bantah lagi. Kabinet dapur dibuka, wang not RM50 dihulur dengan lembut.
Hanisyiqa membalas dengan pelukan. Tangan kanan menyambut huluran wang, sementara
tangan kiri memegang bada pisang. Mulutnya masih penuh dengan makanan, Ibu dicium di
pipi dan dia berlalu pergi. Kehidupan Ibu sebagai pembantu am rendah di sekolah tidak
mendedahkan Ibu dengan banyak hal dunia, apa saja yang dikatakan Hanisyiqa diterima
bulat-bulat atas dasar percaya dan kasih. Dunianya hanya sekolah rendah tempat dia bekerja
dan rumah pangsa kos rendah yang didiaminya bersama satu-satunya permata hati
peninggalan arwah suami. Hanisyiqa ditatang bagai minyak yang penuh dari kecil hingga
kini. Dia bersyukur anak gadisnya itu pintar. Keputusan UPSR, PMR dan SPMnya cemerlang
dengan rekod 5A, 8A dan 10A. Kini Hanisyiqa di ambang menunggu keputusan untuk
melanjutkan pelajaran. Ibu yakin kejayaan anaknya itu berterusan dan kemanisan akan
berulang. Pengetahuan Ibu terbatas pada aktiviti Hanisyiqa semasa menunggu keputusan
SPM. Anak gadisnya itu tidak disuruh bekerja sambilan, malahan hanya bersenang-senang di
perpustakaan dan kafe siber untuk menambah pengetahuan, begitulah dakwa Hanisyiqa pada
Ibu. Kelmarin, ada jiran yang membabarkan hal kurang enak tentang anak gadis
kesayangannya. Tidak kurang juga yang bertanya mengapa anak gadisnya itu tidak disuruh
bekerja.
“Hani tu ke mana cuti-cuti macam ini, kau tahu ke’ Leha?” Zubaidah jiran sebelah rumah
membuka bicara.
“Dia anak aku, aku tahulah. Dia ke perpustakaan, pergi kafe siber. Kan dia nak masuk
universiti. Macam-macam hal kena tengok di internet tu. Dia pergi perpustakaan biarlah. Aku
tak mampu belikan buku mahal-mahal. Di perpustakaan dia baca percuma. Kan bagus.”
“Bukannya apa. Salim ni, Nampak Hani dengan lelaki naik motor besar. Ke hulu ke hilir
jugalah. Bukan sekali dua. Dia tak kerjakan? Ke mana saja dia ke hulu ke hilir macam tu, ”
Zubaidah menunggu reaksi balas, bimbang Ibu melenting.
“Salim tu, sekolah takat tingkat tiga. Dengkikan Hani agaknya. Kau jagalah anak kau. Aku
jaga anak aku.” Ibu mengawurkan kata-kata pedas dan berlalu pergi.
Zubaidah sebagai jiran hanya menggeleng. Niatnya bukan menjaga tepi kain orang, tetapi
memberitahu hal sebenar. Reaksi melenting memang boleh disangka kerana Hanisyiqa
memang kelihatan seperti anak gadis yang manis yang sempurna.
Perangkap Kasih
KEPINTARAN dan kecerdasan anak didik akan selalu memutik rasa kasih dan perhatian
tidak berbelah bagi di hati pendidik. Cikgu Imran memandang Hanisyiqa memang berbeza
daripada pelajarnya yang lain. Selain cerdas dalam pelajaran, pengetahuannya tentang hal
ehwal semasa juga mendalam. Diselidiki rekod Hanisyiqa dari segi akademik dan latar
belakang peribadi timbul rasa kasihan dan simpati. Anak yatim dan beribu tunggal yang
hanya berkerja kais pagi makan pagi.
Cikgu Imran tahu, dulu Hanisyiqa pernah menolak untuk ke kelas tambahan berbayar kerana
keterbatasan kewangan. Cikgu Imran memberi galakan untuk Hanisyiqa membuat latihan
tambahan dan merujuk kepadanya. Selalu juga dia melihat Hanisyiqa dengan rakan kumpulan
belajar yang lain. Nurdiana, Fuziah, Marlis, Farouk dengan Jalal. Berenam dengan Hanisyiqa
kumpulan belajar mereka memang terancang dan mempunyai prestasi membanggakan. Dua
minggu sekali, Cikgu Imran menjemput mereka ke rumahnya untuk mengulang kaji. Cikgu
Imran masih tinggal dengan keluarga di rumah banglo bersama ibu bapa dan adik bongsunya.
Kadang-kadang dia menghantar keenam-enam anak didiknya itu pulang dengan MPV milik
keluarga. Selalunya kalau mereka datang, dijamu dengan makanan yang enak dan berkhasiat.
Hanisyiqa biasanya makan dengan berselera, dari situ Cikgu Imran meneka bahawa makanan
seperti udang, sotong dan ketam memang jarang dijamah oleh anak didiknya dari kalangan
keluarga yang berpendapatan rendah. Setakat mana kemampuannya, dia berusaha. Ikrarnya
sebagai pendidik. Dia cuba memberi peluang kepada pelajarnya yang berpotensi terutama
yang tidak bernasib baik untuk mereka dipermudahkan jalan dalam menuntut ilmu. Selepas
tamat, peperiksaan SPM masing-masing membawa haluan sendiri. Dia pernah
menghadiahkan Hanisyiqa telefon bimbit, atas kejayaan dalam keputusan peperiksaan
percubaan SPM. Namun, tidak selalu mereka berhubungan. Cikgu Imran bimbang
disalahertikan. Namun baru-baru ini dia tersentak. Di lampu trafik persimpangan sekolah, dia
melihat Hanisyiqa membonceng lelaki hampir sebaya usianya. Hanisyiqa memalingkan
wajah membuatkan Cikgu Imran tidak dapat memastikan sama ada gadis itu benar-benar
Hanisyiqa atau ilusi semata-mata.
“Siapa jantan tadi yang pandang U dari dalam kereta?” Razi meninggikan suara membentak
inginkan jawapan daripada Hanisyiqa.
“Cikgu sekolah I.”
“U ada hubungan dengan dia? Hah?” Razi memicit dagu Hanisyiqa dengan keras. Hanisyiqa
menahan sakit dan memujuk agar tidak dikasari.
“Cikgu sekolah saja. Tak lebih daripada tu.” Hanisyiqa meyakinkan.
“Oh, cikgu yang beri U handphone kan? U bagi apa pada dia sampai dia bagi macam-
macam?” Amarah cemburu Razi masih belum reda. Ikatan tocang kuda Hanisyiqa disentak,
air mata sudah mula merembes dari pelupuk mata Hanisyiqa. Tubuh kecil Hanisyiqa
dihumban ke sofa. Hanisyiqa memujuk Razi. Perkenalan singkat melalui alam maya dan
seterusnya pertemuan di kafe siber telah merubah seluruh hidup Hanisyiqa. Razi, pelajar
universiti swasta dengan berbekalkan paras wajah rupawan dan harta kekayaan keluarga
dengan mudah memastikan Hanisyiqa jatuh ke tangannya. Razi sudah lama mensasarkan
Hanisyiqa yang kelihatan naif dan berbudi untuk menjadi kekasih hati. Dia mengekori
Hanisyiqa ke kafe siber dan mengupah pemilik kafe siber untuk mendapatkan ID Yahoo
Messenger, milik gadis genit itu, sebelum menjual ayat-ayat manisnya. Kemudian, dia
mengatur pertemuan mata bertentang mata dengan Hanisyiqa. Razi menabur kemewahan
berbentuk barangan kepada gadis manis itu. Dibawanya gadis manis itu, ke SPA di samping
menjalani rawatan muka. Sekali sekala merapikan kuku kaki dan tangan. Kadang-kadang
bermotor kuasa tinggi, kadang-kadang dipandunya kereta mewah milik keluarga. Hanisyiqa
terbuai dengan hidup selesa. Razi sudah bosan dengan gadis yang ditemui di kelab malam
dan gadis sekolejnya. Pucuk dicita ulam mendatang, tidak sampai sebulan Hanisyiqa sudah
berjaya ditaklukinya dari hujung rambut ke hujung kaki. Razi memandang Hanisyiqa yang
merengek-rengek memujuknya, entah kenapa hatinya masih sayang. Biasanya cukup tiga
bulan Razi akan bertukar gadis lain. Hatinya terikat, mungkin kerana Hanisyiqa bijak dan
merendah diri. Gadis itu naif malahan masih suci tatkala mereka bertemu pertama kali dan
tidak pernah mengatakan tidak pada permintaannya.
Debar Hati Ibu
KATA-KATA Zubaidah meninggalkan kesan hebat di hati Ibu. Jam menunjukkan pukul 7
malam. Kelibat Hanisyiqa masih tidak kelihatan. Hati Ibu, terusik. Bilik anak gadisnya yang
manis tidak pernah diselongkar atau diselidiki.
Kepercayaannya pada Hanisyiqa tinggi. Sanggup dia mempertaruhkan nyawanya bahawa
anak gadisnya itu, masih anak manis yang dikenalinya dulu. Dia tidak percaya. Langsung
tidak percaya dengan cerita-cerita bingit daripada jiran tetangga. Almari berwarna coklat tua
yang usang diselak daun pintunya. Baju Hanisyiqa dikibas satu persatu dari gantungan.
Memang Ibu perasan banyak baju baru dan agak mahal kelihatan. Ibu masih cuba memahami
gelojak jiwa anak muda untuk bergaya, Ibu mula faham mengapa wang saku Hanisyiqa selalu
tidak cukup. Buku akaun ASB Hanisyiqa diperiksa, wang pelaburannya bertambah. Sedikit
demi sedikit. Ibu bangga anaknya menabung. Hati mula bertanya, jika wang saku ditabung,
Hanisyiqa bermewah bagaimana? Ibu menyedapkan hati sendiri. Mungkin Hanisyiqa bekerja
sambilan. Dia tersenyum sendiri. Dia beralih mendekati meja solek. Alatan yang ada masih
seperti dulu. Bedak bayi jenama Johnson & Johnson yang selalu dipakai, deodorant Rexona
dan celak mata dari Makkah. Setakat itu saja bersama sikat rambut dan getah berwarna-
warni. Nafas lega dilepaskan oleh Ibu kerana Hanisyiqa masih anak gadis yang dikenalinya
dulu. Dia mahu membabat kepala jiran-jirannya selepas ini, kalau mereka memburukkan
Hanisyiqa lagi.
“Ibu? Kenapa Ibu menangis ?” Hanisyiqa duduk di sebelah Ibu.
Ibu menggeleng dan mendakap Hanisyiqa erat.
“Hani dah berisi sangatlah. Tengok lengan pun banyak daging.” Ibu memicit-micit lengan
kanan Hanisyiqa. Hanisyiqa tersenyum. Memang benar berat badannya bertambah mendadak.
Mungkin kerana ditamu makanan mewah oleh Razi. Hatinya senang bersama buah hati.
Walaupun dia tidak suka aktiviti Razi merempit di jalanan. Hanisyiqa tetap memberi
sokongan walaupun selalu memujuk Razi meninggalkan tabiatnya. Razi anak orang berada,
Hanisyiqa yakin satu hari Razi akan berubah dan kebahagiaan akan menyebelahinya. Tiba-
tiba tekaknya mual dan meloya. Agaknya makanan yang dibeli Razi tadi membuatkan dia
begini. Dia berlari laju ke tandas. Ibu mengekori dari belakang.
“Salah makan agaknya.” Hanisyiqa menyedapkan hati Ibu
Gerak naluri hati seorang Ibu, gagal membendung rasa ingin tahu. Rasa curiga berputik.
Pertambahan berat badan dengan selera mendadak. Kini, anak gadisnya muntah-muntah. Oh,
Tuhan! Bisikan-bisikan nakal dan umpat keji jiran mula terngiang-ngiang. Ibu mengurut
dada. Dia diserang asma tiba-tiba. Hanisyiqa menelefon teksi. Dipapah Ibu ke dalam teksi.
Tubuh genitnya tidak mampu menanggung badan Ibu yang berisi. Salim, jiran sebelah rumah
dipanggil. Di klinik, kedua-dua Ibu dan anak diperiksa. Ketika ucapan tahniah diucapkan
oleh doktor wanita yang memeriksa Hanisyiqa, seluruh tubuh Ibu berapungan ke udara.
Melayang. Dunia gelap tiba-tiba. Ibu pengsan. Sebaik sedar, racau Ibu terus menjadi-jadi.
“Ibu nak tahu, siapa? Siapa?” Ibu memekik-mekik.
“Sabarlah mak cik. Sabar. Hani pun kurang sihat. Mak cik pun. Berehatlah dulu. Esok pagi,
mak cik bincangkan baik-baik.” Salim cuba memujuk.
“Ya Allah, Hani. Apa yang kau buat pada Ibu. Apa?”
Hanisyiqa hanya terbayangkan wajah Razi. Berbalam-balam dengan wajah Cikgu Imran.
Hanisyiqa dibisikkan idea-idea hitam. Dia mahu melindungi Razi. Dia tidak mahu Razi
terlibat dalam masalah.
“Cikgu Imran, Ibu. Hani, dirogol.” Hani menitiskan air mata palsu.
Benih haram di rahimnya bukan hasil keterpaksaan, tetapi benih nafsu yang bercambah
membesar akibat pujukan syaitan. Cikgu Imran pula yang dijebakkan.
“Kita lapor pada, polis.” Ibu mengesat air mata, terus simpati pada anak gadis membuak-
buak.
“Jangan, Ibu. Jangan.”
“Kita pergi rumah dia. Hani tahu kan rumah dia?” Ibu menyarankan.
Hanisyiqa mengangguk dan melangkah longlai.
Korban Kasih
“MAK CIK, saya akan bertanggungjawab.” Jawapan itu meluncur ikhlas dari mulut Cikgu
Imran. Ibu bapanya terkesima. Mereka saling berpandangan. Anak teruna kesayangan mereka
tidak akan berkelakuan sumbang. Tetapi jauh di sudut hati mengetahui ada alasan sebab
musabab jawapan itu keluar dari mulut anak teruna kesayangan, maka mereka merelakan.
Tidak ada ketegangan. Suasana hening. Seorang demi seorang bercakap. Perbincangan lancar
tanpa sampuk menyampuk. Ibarat lanting menuju tampuk, berkata menuju benar. Ibu
menghembus nafas lega. Hanisyiqa membentuk bibir, antara sesal dan lega kerana selamat
daripada aib dan amukan Ibu.
“Baguslah, kalau macam tu. Mak cik , tak mahu menanggung aib bertimpa-timpa. Kami tak
akan lapor pada polis kalau Cikgu hendak bertanggungjawab.”
“Tapi, Ibu. Hani tak mahu kahwin dengan Cikgu Imran.” Antara keluar dengan tidak ayat itu
di bibir mungil Hanisyiqa.
Cikgu Imran terpukul. Hanisyiqa kini seperti meletakkan Cikgu Imran bagai dipukul lutut
sakit, direngkuh siku ngilu. Entah apa yang bermain dalam benak dan kepala Hanisyiqa
ketika ini. Bayangan Razi sahaja yang tampak di retinanya. Cikgu Imran meminta izin untuk
berbicara sendirian dengan Hanisyiqa di laman rumah. Deru air terjun mini dari kolam Jepun
menenggelamkan perbualan mereka.
“Kenapa sampai macam ni? Cikgu nak tolong Hani. Kenapa Hani menipu?”
“Kenapa Cikgu tu bodoh sangat, mengaku? Cikgu boleh nafikan saja.” Hanisyiqa senyum
mengejek.
“Sebab kamu anak didik Cikgu. Ibu kamu sakit, kita boleh selesaikan semua ni baik-baik.
Cikgu tak nak kamu hanyut.”
“Cikgu ingat saya hendak sangat kahwin dengan Cikgu?” Mulutnya dijuih, mendabik dada
kerana dalam keadaan sudah ditebuk tupai, Cikgu Imran masih mahu menyuntingnya.
“Jangan silap, Hani. Saya sudah bertunang dengan gadis pilihan saya. Saya hanya menunggu
dia menamatkan pengajian sarjananya di luar negara. Saya katakan saya akan
bertanggungjawab bukan dengan menikahi kamu. Saya, cikgu kamu. Saya bertanggungjawab
menangani masalah kamu.”
Hanisyiqa tersentak sedar kekhilafan diri. Malu tiba-tiba. Perasaan yang sudah lama sirna dari
jiwanya.
“Kita akan lapor pada polis, kalau teman lelaki kamu tak nak bertanggungjawab. Cikgu akan
carikan rumah perlindungan untuk kamu lahirkan bayi ni. Untuk kamu kembali ke pangkal
jalan.” Cikgu Imran memandang Hanisyiqa yang hanya membuang pandangan jauh, kakinya
menguis rumput mutiara di halaman rumah.
“Ingatlah Hani. Nabi pernah bersabda, ‘Berkata benarlah, walaupun pahit.’ Kamu saja yang
boleh menjernihkan kekeliruan yang timbul. Cikgu tak paksa. Tapi, hakikatnya yang hitam
tetap hitam dan yang putih tetap putih. Cikgu hanya bimbangkan masa depan kamu. Maruah
dan kesihatan Ibu kamu penting. Cikgu harap, kamu fikirkanlah masak-masak. Jangan jatuh
di lubang yang sama dua kali. Sedar dan bangkitlah daripada kesilapan semalam.”
Hanisyiqa mencari kekuatan untuk bercakap benar pada Ibu dan ibu bapa Cikgu Imran. Tidak
ada kata yang mampu diucapkannya, hanya tangis panjang dan raungan ampun maaf. Mereka
saling berpandangan. Menunggu penjelasan daripada Hanisyiqa untuk mendengar hakikat
dan kebenaran.
INFO Penulis:
FARAHANA Hussain, peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2002 anjuran Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) dan penerima Anugerah Penulis Remaja Negeri Perak 2004. Kini
berkhidmat di Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) JPA
sebagai Penolong Pengarah .Cerpen dan sajaknya, mendapat tempat dalam Tunas Cipta dan
FOKUS SPM sekitar 2002 hingga kini. Cerpennya, Kidung Kasih Farah diterbitkan dalam
Antologi Aku Dan Aleeya terbitan DBP, 2002. Boleh dihubungi melalui e-mel
[email protected].
Sanggar Kreatif: Kerana Takdir Itu
Oleh Hasni Jamali
2010/10/03
“ILHAM, mari masuk. Dah senja.”
“Tak mahu. Ilham mahu tunggu ibu dan adik.”
“Ilham. Ilham sayang .…”
Aidilfitri kali ini seperti hilang maknanya buat keluarga kami. Sebuah pemergian yang masih
kejap dalam ingatan. Belum separuh purnama umat Islam menunaikan fardu Ramadan, kakak
pergi meninggalkan kami. Pergi buat selamanya. Pergi yang tidak akan kembali lagi. Sebagai
adik, aku bakal melengkapi tawa dan duka Ilham.
Anak sulung kakak yang berusia lima tahun. Ilham masih belum mengerti makna kematian.
Ilham masih mentah apabila hidupnya disinggahi babak pemergian. Ibu dan adiknya kini
tiada lagi di dunia fana. Mereka diragut nyawa dalam sebuah kemalangan yang ketika itu
dalam perjalanan pulang ke kampung. Aidilfitri mahu disambut sekeluarga. Namun, hanya
Allah Maha Mengetahui. Sudah begini suratan ajal mereka.
Ilham masih menanti di birai jendela. Masih bermenung melihat jalan raya yang sunyi. Wajah
anak comel ini tidak sekali mencerminkan ria. Rindunya masih tertahan di balik kelopak mata
yang ada kalanya terlihat sinar jernih. Sudah mula mengertikah dia, bahawa yang dinantinya
itu tidak akan datang memeluk? Sudah mula mengertikah dia, bahawa yang dinantinya itu
tidak akan datang melunas janji? Janji untuk beraya bersama-sama.
“Ilham .…”
“Mak Su, Ilham mahu tunggu adik. Ilham dan adik sudah berjanji untuk beraya bersama-
sama. Kami mahu kumpul duit raya banyak-banyak.”
Ilham kembali merenung luar jendela. Menanti kalau-kalau yang diharapkan bakal menjelma.
Sungguh. Ilham membawa rintih pedih buat kami yang mengerti makna kematian ini. Hingga
petang ini yang berlalu, aku biarkan dia bermenung begitu. Biarlah, esakan ini tertangguh
kerana Ilham, aku perlu kuat menghadapi dunia yang ditinggalkan ibu dan adiknya.
“Mak Su. Kenapa ibu dan adik masih belum pulang?”
“Ilham ...,” sendu itu aku tahan agar tidak terburai di hadapan anak kecil ini.
“Lama Ilham tunggu. Ilham letih. Waktu berbuka sudah hampir. Mak Su masak apa hari ini?”
Segera Ilham menarik lenganku menuju ke kamar makan. Di situ, ummi melihat pantas
gelagat cucunya. Tercuit rasa hati apabila Ilham memeluk belakang ummi. Aku, masih
menahan sendu. Lirik mata ini tidak mahu berkedip. Kerana aku tahu, jika berkedip walau
sekali pasti ada butiran jernih bakal tumpah. Di hadapan Ilham dan akan dipersoalkan lanjut
olehnya. Tidak, aku perlu kuat dan tabah. Anak kecil ini masih jauh untuk mengerti.
Ilham dibawa bapanya ke kamar mandi. Riang nakalnya menggema ruang teratak. Ummi
yang sejak tadi memandang aku, melirik tajam agar jangan merintih lagi.
“Sudah-sudahlah menangis Su. Kakak kamu sudah tiada. Sudah takdirnya dipanggil Ilahi.”
“Tapi, ummi .…”
“Umi mengerti. Umi faham. Bila-bila masa sahaja kita bakal dijemput-Nya. Walaupun dia
amat kita sayang, tetapi sayangnya Allah pada dia lebih daripada segalanya.”
Aku meninggalkan ummi seorang diri menyediakan juadah berbuka di kamar makan. Cukup
sekali itu nasihat dan amanat yang diberi ummi. Dalam hati yang walang seperti ini, apa-apa
sahaja ungkapan sukar mengubat hati. Aku goyah dimamah bicara ummi supaya aku tabah
dan menerima takdir pemergian kakak. Aku sayang kakak. Kenapa kakak pergi secepat ini.
Kerana takdir itu kakak pergi meninggalkan Ilham. Kerana takdir itu kakak juga
meninggalkan suami tercinta. Kakak juga meninggalkan aku. Aku seorang adik yang sering
mendambakan kasih seorang kakak. Tangisku lebih hebat daripada Ilham. Biarpun kesannya
lebih berat kepada Ilham yang kehilangan ibu tempat bermanja, tetapi aku. Aku merindukan
kakak lebih daripada segala-galanya.
Masih kejap dalam ingatan, setiap kali abi ingin menghukum aku kerana lewat pulang ke
rumah kakak sedia menadah tubuhnya. Rotan abi hinggap di tubuh kakak ketika kakak
melindungi aku daripada terkena bias-bias sakit itu. Setiap kali aku tertumpahkan air
minuman, kakak lekas-lekas datang mengelap lantai. Setiap kali aku gagal dalam
peperiksaan, kakak tempat aku bergantung harap agar mendengar luahan hati.
Segalanya tinggal kenangan. Kakak tiada lagi ketika ini. Kakak sudah tiada untuk
mendengarkan rintihan hati.
“Mak Su. Kenapa menangis?”
“Eh, Ilham. Sudah siap mandi? Mari Mak Su sarungkan baju.”
“Ilham mahu baju yang itu. Baju itu ibu belikan untuk Ilham. Cantik.”
“Baju Melayu ini? Tapi .…,” Ilham lekas mengangguk.
“Tapi, ini baju untuk raya.” Aku serba salah untuk menyatakan bahawa baju Melayu ini
hanya tinggal kenangan. Tiada keseragaman yang bakal disarung untuk Ilham dan kakak di
pagi Syawal.
Ilham akur. Lemah yakannya.
“Kenapa Mak Su menangis?”
Perlukah aku menyatakan, aku rindukan kakak di hadapan anak kecilnya ini?
“Mak Su rindu ibu ya?”
“Ilham .…”
“Mak Su ini, manjanya lebih daripada Ilham. Ilham pun rindu ibu juga. Tapi Ilham kuat.
Ilham tak menangis pun.”
Rindu kamu rindu yang tidak pasti Ilham. Kamu masih belum mengerti segala yang terjadi.
Mak Su rindukan ibu kamu, kerana Mak Su tahu bahawa pemergian ini adalah pasti.
Pemergian yang tidak akan kembali lagi.
Ilham berlari-lari anak menuju ke pangkuan bapanya. Abang Ilyas turut melirik mataku. Aku
tahu, dia cuba menyelami hati walang seorang adik yang kini kehilangan kakak yang amat
disayangi.
Kata-kata abi suatu masa ketika kakak bergesa untuk pulang terngiang-ngiang dipuput bayu.
Abi lantang bersuara menyatakan tindakan kakak untuk pulang awal di teratak kami adalah
suatu yang mustahil dan jarang dilakukan orang. Aku yang melonjak riang menyatakan rasa
tidak puas hatiku kepada pandangan abi, “Biarlah kakak mahu pulang awal. Kakak dapat cuti
panjang daripada majikannya. Abang Ilyas pun sudah beri kebenaran untuk kakak pulang
bersama Intan. Kenapa abi mahu musykilkan pula?”
“Aku tahu, kakak kau pulang awal sebab dia mahu pengaruh otak Ilham ini. Dia nak bawa
balik Ilham tinggal bersamanya. Bukan aku tak tahu semua rancangan dia mahu pisahkan kita
dengan Ilham.”
“Abi, sampai hati abi tuduh kakak. Apa salahnya kalau kakak mahu bawa Ilham tinggal
bersamanya. Ilham ini anak kandung kakak.”
“Memang anak kandung, tetapi masa susah dulu siapa yang jaga anak dia ini? Aku … aku
yang berhak untuk jaga Ilham selamanya.”
Astagfirullah. Abi sepertinya tidak ikhlas membantu kakak dengan bicara seperti ini. Abi
.…”
Aku kehilangan kata-kata. Abi terus pergi dengan wajah merah padamnya. Begitu lunak abi
mempertahankan fikiran yang bertakung dalam mindanya selama ini tentang kepulangan
kakak. Tidak terdetik walau sekali pun di hati, bahawa kakak akan mengambil Ilham
daripada pangkuan umi dan abi. Kakak seorang anak yang taat dan berpegang pada janji.
Sudah kakak janjikan dahulu, bahawa Ilham adalah hak umi dan abi untuk menjaganya.
“Abi, kakak bukan seorang yang mudah lupa ketika susah dan senangnya. Mengertilah abi.”
Sepuluh Ramadan berlalu dengan barakahnya ketika aku menghitung hari ke-11 bahawa
kakak akan pulang ke teratak kami. Malam sebelum kakak bertolak, ada panggilan telefon
yang mendesak hati untuk aku sabarkan.
“Kakak bimbang andai kata-kata abi itu tidak merestui kepulangan kakak. Tetapi, kakak
mahu pulang ke kampung lebih awal sebab kakak mahu tunaikan solat Tarawih bersama-
sama adik. Kakak rindu zaman kita masa-masa dahulu. Setiap kali Ramadan, pasti kita akan
ke surau dan solat terawih bersama-sama. Kemudian, kita pulang ke rumah dengan sekali
sekala tubuh kita dibauri bauan asap bunga api yang kita main bersama rakan-rakan. Adik
ingat lagi?”
“Sudah tentu adik ingat. Tak akan adik lupa, kak.”
“Syukur dik, majikan kakak tiba-tiba baik hati luluskan cuti kakak seawal ini. Boleh juga
nanti kakak bawa Ilham solat Tarawih bersama-sama. Sudah besar dia sekarang kan.”
“Iya kak. Pasti kita bawa dia rasa suasana seperti kita masa muda dulu kan. Kakak jangan
bimbang, teruskan perjalanan untuk pulang ya. Hati-hati memandu.”
Panggilan akhir daripada kakak. Ketika itu langsung tiada riak untuk hati mengetahui bahawa
kakak akan pergi selamanya selepas itu.
Ramadan ke-11, jenazah kakak dan Intan dibawa pulang dalam sayu. Aku kehilangan kata-
kata. Ummi menangis hiba. Ilham masih biasa dan didakap erat saudara mara yang hadir.
Ilham hanya mengerti ibu dan adiknya tidur lena di dalam tanah. Adakalanya dia akan
menanti di birai jendela akan kepulangan ibu dan Intan.
Kerana takdir itu, kakak pergi dan tidak akan kembali. Takdir yang sudah tertulis untuk
kakak, Intan dan seorang insan yang amat aku sayang. Abi jua pergi bersama-sama.
“Motosikal yang ditunggang Pak Sarhan dikatakan cuba mengelak pelepah kelapa di atas
jalan, lalu terbabas dan menghentam kereta Myvi kepunyaan kakak kamu. Lori balak di
belakang kereta kakak kamu tidak sempat menekan brek, lalu terbabas dan menghempap
keretanya.” Hanya tinggal beberapa simpang untuk kakak bertemu kami. Namun ajalnya
sudah disuratkan takdir. Salman yang menyampaikan berita duka ini berlalu dengan hati yang
pedih. Kerana takdir itu, dia kehilangan kakak yang dulunya pernah mengisi ruang hatinya.
Bukan sementara kerana kakak sudah berumahtangga, tetapi untuk selamanya bersama Maha
Pencipta.
Kerana takdir itu, tangis ini akan terus mengisi ruang hati. Sayangnya aku kepada kakak tiada
tara dan gantinya.
“Adik, kerana takdir itu relakan kakak pergi dengan aman dan tenang. Relakan ia bersemadi
bersama merdu alunan doa dan kalam suci Allah yang pernah kakak ajarkan kepada adik
dahulu. Relakan segalanya dalam bahagia. Adik, kakak sentiasa ada bersamamu. Di sini.”
Bicara Abang Ilyas mematikan lamunan dan air mata. Wajah Ilham disuakan dalam ribaanku.
“Kerana takdir itu, masih ada kakak di sini. Ilham sayangku.”
BIODATA
HANNA JOHAN, nama pena bagi Hasni Jamali, pendatang baru dalam dunia penulisan
kreatif tanah air Lulusan Sarjana Muda Persuratan Melayu dengan Kepujian, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) ini pernah menyertai Bengkel Penulisan, Kelab Penulisan
Zaharah Nawawi (KEPEZI). Puisinya mendapat tempat dalam Tunas Cipta, Dara.Com,
Berita Minggu dan Berita Harian. Puisi Naib Juara Akademi Sastera Siri Kedua pada 2009
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah menjadi latar episod dokumentari dalam
Rancangan Rampai Pagi di Radio Televisyen Brunei.
Cerpen: Syawal di Rumah Baru Abang
Oleh Nor Hidayah Asari
2010/09/18
SYAWAL hari ini ditemani hujan lebat sejak awal pagi. Suasana jadi muram, sunyi dan
basah. Sejak pulang dari solat sunat Aidilfitri di masjid tadi, adik terus berkurung dalam bilik.
Adik rasa terbeban dengan perasaan sedih dan rindu mengenangkan abang. Abang belum lagi
sampai ke kampung. Agaknya abang memang tidak mahu berhari raya dengan keluarga.
Abang sudah jauh berubah sejak memiliki perhiasan indah yang menjadi lambang
kebanggaan di rumahnya itu.
Hubungan adik dan abang umpama ada benteng pemisah. Kalau bertemu pun bahasanya
adalah kelu dan bisu. Adik tahu perhiasan kaca warna putih mutiara berbentuk hati itu mahal
harganya, jadi wajarlah kalau abang terlalu menjaga perhiasan itu hingga abang semakin jauh
dari adik dan keluarga.
Sejak memiliki perhiasan itu abang juga jarang-jarang sekali pulang ke kampung. Kalau
pulang ke kampung pun hanya satu malam. Sampai di kampung jam 11 atau 12 tengah
malam dan keesokannya sebelum tengahari, abang sudah mahu berangkat pergi. Itulah jadual
abang setiap kali pulang ke kampung. Manalah sempat adik dan abang bercerita, bergurau
senda dan ketawa riang seperti dahulu. Adik dengar bunyi hon kereta seraya derap langkah
kaki di luar bilik . Adik rasa berdebar!
“Adik! Abang dah sampai!” jerit emak terburu-buru. Adik rasa serba salah untuk keluar.
Adik teringat kembali peristiwa bulan Ramadan yang lalu. Perhiasan kesayangan abang jatuh
dan pecah. Abang luka terkena serpihan kaca dari perhiasan itu. Luka itu dalam. Betul-betul
di dada. Abang terlantar sakit.
Emak dan abah pujuk adik supaya menjaga abang di bandar. Emak dan abah beranggapan
inilah peluang adik dan abang dapat memperbaiki hubungan yang telah lama renggang.
Tambahan pula dalam bulan Ramadan, tentu ada banyak keberkatan dan hikmahnya. Walau
berat hati, adik setuju juga ke rumah abang. Bagi adik, kesihatan abang lebih penting. Hampir
dua minggu adik luangkan masa untuk membantu abang. Adik ikhlas dan rela hati merawat
luka abang. Setiap hari adik bertahajut, menyedekahkan surah Yasin dan berdoa tidak putus
agar abang kembali sihat.
“Dik, abang dah tak tahan nak jaga perhiasan kaca ini. Diletak di tempat yang baik pun masih
juga mahu melukai abang. Abang fikir, abang nak cari perhiasan kaca baru ,” rintih abang
pada suatu hari ketika adik masih di rumah abang.
Kasihan sungguh dengan keadaan abang. Tapi tak patut juga abang terus biarkan perhiasan
kaca itu begitu sahaja. Kalaupun perhiasan itu telah melukai abang, abang juga ada salahnya.
Abang terlalu manjakan perhiasan itu dan bila abang dah bosan, abang cuba cari perhiasan
baru pula. Lebih baik abang jaga sahaja perhiasan kaca yang lama itu, lagipun belum tentu
perhiasan kaca yang baru nanti tidak akan melukai Abang . Adik nasihatkan abang agar sabar
dan beri masa luka abang pulih dalu, barulah abang buat keputusan. Malah, adik berikan
abang semangat agar terus jaga perhiasan itu dengan baik.
Diam-diam adik perbaiki perhiasan itu adik cantumkan semula perhiasan itu. Dari kepingan
pertama yang pecah hinggalah sempurna bentuknya. Sementara itu, luka abang pun beransur
pulih. Sebagai kejutan, adik tunjukkan perhiasan kaca yang adik perbaiki itu. Abang nampak
ceria. Abang tak sangka perhiasan itu kembali elok. Namun, sewaktu leka membelek
perhiasan kaca itu, tiba-tiba jari Abang berdarah.
“Abang ni cepat sangat leka. Kalau abang tidak berhati-hati, abang akan sentiasa terluka.
Kalau begini, sampai bila-bila pun abang tidak akan dapat perhiasan yang baik! ” Itu kata-
kata adik yang paling keras pernah adik berikan kepada abang. Niat adik waktu itu hanyalah
untuk menyedarkan abang tapi abang salah faham. Abang marah. Abang terus halau adik
balik ke kampung. Adik cium tangan abang, berkali-kali minta maaf.
“Adik dah musnahkan kebahagiaan Abang! Kalau betul Adik dah baiki perhiasan kaca ini,
kenapa masih ada yang sompek. Tengok ni, jari abang dah berdarah. Adik memang sengaja
nak lukakan abang.”
Adik terduduk mendengar. Hinanya adik pada pandangan abang. Apa salah adik?
Setelah perhiasan itu kembali tercantum elok, abang buang adik pula. Takkanlah kerana
sompek yang sedikit itu pun salah adik. Memang perhiasan itu sudah rosak. Walhal, abang
sakit pun kerana perhiasan itu juga. Abang, abang ....
Kalaulah adik mahu rosakkan perhiasan itu, sejak hari pertama abang sakit, sudah adik buang
perhiasan itu. Mana mungkin adik rela mencantumkan semula perhiasan yang sudah retak?
Adik paut kedua kaki abang. Adik minta abang tarik semula kata-kata abang. Abang diam
sahaja kemudian abang tolak tangan adik . Waktu itu, adik tahu abang memang tidak
perlukan adik lagi.
Kenapa abang buta menilai keikhlasan adik? Kenapa abang tak usul periksa?
Kenapa abang biarkan parut luka abang ditinggalkan pedihnya pada adik pula? Akhirnya,
adik patah hati dan pulang ke kampung dengan rasa kecewa. Adik kuncikan mulut daripada
menceritakan apa yang berlaku di rumah abang kepada emak dan abah. Emak abah fikir
hubungan adik dan abang sudah pulih. Kalau betul memang salah adik, biarlah adik seorang
saja yang tanggung. Adik tidak mahu libatkan emak dan abah. Hinggalah hari ini , akhirnya
abang pulang untuk berhari raya. Bunyi ketukan pintu di bilik mengejutkan lamunan adik .
“Adik ...” panggil Emak. Adik terkejut. Ingatkan abang yang datang ke bilik adik. Mata emak
berair, nafas emak terhenjut-henjut. Abah ada bersama emak. Adik terpinga-pinga.
“Adik, dah lama abang sekeluarga di luar tu. Kenapa tak keluar-keluar lagi?” tanya abah
sayu. Air mata abah juga bergenangan. Adik serba salah. Kenapa ni? Adik gugup untuk
bersuara.
“Keluarlah dik. Janganlah macam ni. Ini kan Hari Raya. Pergilah bersalam. Jemputlah
mereka masuk, ” pinta emak hiba. Adik hairan. Inikan rumah tempat abang dan adik
dilahirkan. Takkanlah abang sekeluarga perlu dijemput masuk seperti tetamu asing pula.
“Rasanya abang lagi gembira kalau tak nampak muka adik,” jelas adik perlahan.
“Adik? Kenapa dengan adik ni? Itukan abang adik, darah daging adik. Kenapa adik cakap
begitu? Sekarang ni, abah minta adik tolonglah keluar bersalam dan jemput mereka masuk,”
pinta abah sambil menarik adik keluar dari bilik. Sampai di anjung rumah, adik nampak
abang berdiri di tangga dengan sebelah tangan memegang Alisya anak sulungnya dan sebelah
tangan lagi mendukung Alia, anak keduanya. Hati adik hiba. Alisya yang baru berusia tiga
tahun itu menangis sambil memegang botol susunya yang kosong dan Alia yang baru berusia
setahun itu merengek rimas. Anak-anak itu nampak comot dan kelaparan. Abang pula
kelihatan seperti orang kebingungan. Ya, Allah! Apa dah jadi dengan abang?
Kelihatan muka abang bengkak, merah dan ada kesan luka seperti dicakar dengan kuku. Baju
Melayu yang dipakainya nampak comot dan bertompok basah dek hujan. Kain samping
songket berbenang emas, hanya di sangkut di bahunya. Rantai butang baju Melayu abang
juga sudah putus. Rambutnya kusut masai dan kasutnya berselut tanah basah. Kenapa ni?
Adik bergegas turun tangga. Adik salam dan cium tangan abang dengan rasa hiba seakan
terlupa peristiwa Ramadan yang lalu.
“Salam Kak Seri !” perintah abang perlahan.
“Pergi nak. Pergi salam Kak Seri, cepat jemput Kak Seri masuk rumah,” pinta emak sebak.
Adik pandang kereta abang yang diletakkan di pokok cempedak di halaman rumah.
Nampaknya, abang sudah bertukar kereta baru.
“Kenapa Kak Seri tak mahu keluar dari kereta?” soal adik. Abang diam sahaja.
“Dah puas abah, emak dan abang pujuk. Kak Seri kata, kalau Adik tak bersalam dan jemput
dia masuk ke rumah, itu bermakna adik tak alu-alukan kedatangannya. Dia berkeras nak balik
semula ke Kuala Lumpur,” jelas Abah. Adik beristighfar. Abang masih membisu.
Adik berfikir sejenak. Tiba-tiba abah ambil payung dan selipar adik di bawah tangga. Melihat
abah begitu, segera adik berlalu pergi dengan hanya berkaki ayam sebelum sempat abah
memberikan selipar dan payung itu kepada adik. Langkah adik rasa tak teratur lagi menuju ke
arah kereta abang. Adik berjalan dengan langkah geram, marah, sedih dan entahlah! Air mata
adik mengalir deras, sama seperti hujan yang telah membasahi tubuh adik. Abah cuba kejar
adik dengan payung, tetapi adik lebih dahulu sampai ke kereta abang. Adik berhenti beberapa
jengkal dari pintu kereta.
Adik nampak Kak Seri sedang duduk memaling tubuh ke arah kanan, bersebelahan kerusi
pemandu. Kerusinya disandarkan separuh, nampaknya dia sudah lama menunggu di dalam
kereta. Adik dekatkan mata adik ke tingkap kereta. Adik nampak Kak Seri sudah berubah
penampilan. Dia tidak bertudung. Rambutnya yang kerinting, nampaknya sudah diluruskan
dan diwarnakan dengan warna coklat muda. Baju kurung moden yang dipakainya juga
berkerlipan dengan manik dan labuci, lagak seperti isteri VIP. Adik menggeleng kepala.
Nampaknya semua sudah berubah baru!
Adik ketuk cermin tingkap kereta. Tiada reaksi. Adik nampak wajah adik sendiri di cermin
kereta yang basah mengalir air hujan. Air mata adik dan air hujan yang mengalir di cermin
kereta itu nampak sama sahaja. Adik tarik nafas kuat-kuat. Sabarlah wahai hati, pujuk adik
sendiri. Adik ketuk lebih kuat lagi. Tiba-tiba abah sampai dan pegang pintu kereta untuk
dibuka. Mujurlah adik cepat daripada abah. Adik terus tarik pintu kereta itu. Takkanlah adik
nak biarkan abah buka pintu kereta untuk menantunya. Kak Seri masih tidak berpaling lagi.
Betul-betul diberikan punggung pada Adik. Adik panggil namanya dan kemudian cuit
pinggangnya, barulah Kak Seri berpaling. Subhanallah! Wajah Kak Seri bukan lagi seperti
perhiasan kaca putih mutiara yang abang agung-agungkan selama ini. Inikah dia perhiasan
indah yang adik cuba pulihkan Ramadan yang lalu? Wajah Kak Seri merah padam, bibirnya
muncung, matanya bulat dan garang seperti mahu memakan setiap inci tubuh adik. Walau
wajah Kak Seri bersolek tebal, tubuhnya berpakaian mahal, leher dan tangan berhias barang
kemas, entah kenapa adik merasakan Kak Seri seperti badut. Dirinya tak seindah namanya,
Seri Ayu.
Adik hulur salam. Kak Seri membalas kasar. Sekadar salam, Adik tidak mencium tangan Kak
Seri. Adik rasa hilang hormat pada Kak Seri. Ya. Orang yang tidak menghormati orang tua,
apalagi ibu bapa suaminya adalah manusia yang tidak patut dihormati. Marah Adik di dalam
hati. Adik jemput Kak Seri naik ke rumah, setelah itu barulah Kak Seri sudi keluar dari
kereta. Ironinya perangai Kak Seri, dia seorang pendidik dan mendapat kelulusan ijazah
terbaik sebagai seorang guru. Di sekolah, Kak Seri mengajar anak muridnya agar bermoral
dan berhemah tinggi, tetapi dirinya sendiri bukanlah contoh terbaik pada keluarga.
Abah tepuk bahu adik perlahan. Berkali-kali. Seolah-olah tanda abah ucapkan terima kasih
kerana telah berjaya membuatkan Kak Seri keluar dari kereta. Abah minta adik dan Kak Seri
jalan berpayung sama, tetapi adik berundur ke belakang. Akhirnya abah payungkan Kak Seri
seorang hingga sampai ke rumah. Sampai di anjung, abang peluk Kak Seri dan Kak Seri
menangis bagai anak kecil. Hampir lima minit memujuk, barulah Kak Seri diam. Adik
memerhati saja dari jauh drama indah yang Kak Seri lakonkan pada pagi Hari Raya ini.
Selama ini Adik hanya menonton drama di tv atau membaca cerita tentang kisah menantu
yang tidak tahu mengambil hati dan menghormati keluarga mentua, tapi hari ini adik dapat
saksikan sendiri betapa hebatnya Kak Seri. Akhirnya abang sekeluarga naik juga ke rumah.
Kak Seri sempat berpaling pada adik sambil menjeling tajam. Hati adik rasa panas
menggelegak. Emak dan abah gamit Adik .
“Adik, naiklah nak. Hujan lagi ni, demam nanti,” pujuk emak dengan suara yang tenggelam
timbul dek hujan. Adik angguk perlahan, tapi adik tidak naik ke rumah. Adik ambil basikal
dan terus mengayuh laju. Adik berhenti di pondok bas berhampiran masjid. Adik mahu
menenangkan fikiran seketika . Adik duduk berpeluk lutut. Adik menangis sepuasnya.
Teringat zaman kanak-kanak dulu, bila hujan begini, dapatlah bermain air hujan dengan
abang. Adik cukup suka dengan hujan. Selalunya bila hari hujan, abang akan mengajak adik
ke laman rumah untuk bermain lopak. Hai, kalaulah sekarang adik dan abang masih pada
zaman kanak-kanak, tentu tidak akan ada yang menangis dan berjauh hati begini. Kalau
semasa kecil, merajuk macam mana sekalipun, lima minit selepas bergaduh tentu akan
berpeluk dan ketawa semula.
Kenapa abang ikutkan saja ragam isterinya itu. Takkanlah kerana abang berkelulusan SPM
sahaja dan Kak Seri pula memiliki Ijazah Pendidikan, lalu abang biarkan ego dan angkuh
Kak Seri menguasai semua perkara. Dulu, masa mereka bertunang memanglah abang hanya
bekerja sebagai Pembantu Stor kilang dan gajinya cuma lima ratus ringgit saja, tetapi
sekarang abang sudah berjaya menjadi Pengurus Pemasaran. Gaji abang juga sudah melebihi
Kak Seri. Takkanlah abang masih rendah diri dan biarkan perangai sombong dan angkuh Kak
Seri berterusan lagi. Entah bilalah abang akan sedar! Sikap abang yang tidak tegas itu
membuatkan emak, abah dan adik banyak terasa hati. Emak, abah ... fahamilah hati adik.
Adik pun tak suka berlaku biadap dan tidak sopan dengan orang, terutamanya dengan
keluarga sendiri, tapi adik tak tahan dengan sikap abang dan Kak Seri, rintih adik.
Timbul pula rasa bersalah di hati adik. Adik mahu mohon ampun maaf pada semua ahli
keluarga. Mungkin adik yang beremosi. Adik segera kayuh basikal pulang ke rumah. Sampai
saja di halaman rumah, adik nampak semua orang sedang berkumpul di anjung. Abang sudah
mahu balik? Adik segera menghampiri mereka.
"Adik, abang dah nak balik. Abang tak bermalam kerana masih sibuk mengemas rumah
barunya,” tutur abah seperti wakil jurucakap abang pula. Adik tersentak. Adik rasa sedih.
“Abang berpindah ke rumah baru? Kenapa?” soal adik perlahan.
“Rumah lama tu banyak sial . Tak aman, panas!” tiba-tiba Kak Seri mencelah.
Lantang dan tegas. Adik tersenyum sendiri. Sial? Adik rasa macam nak ketawa kuat dan biar
satu dunia dengar ketawa Adik. Perangai yang buruk, rumah pula yang disalahkan! Setahu
adik rumah itu tak aman kerana abang dan Kak Seri sering bergaduh, selalu tak
bersependapat dan yang menambahkan kerunsingan penghuninya adalah kerana mereka
sentiasa dilanda pelbagai masalah kerana sikap Kak Seri sendiri. Adik mengeluh perlahan.
Adik cium Alisya dan Alia, kemudian Adik hulur tangan pada abang, cium tangan abang.
Adik ingin beritahu abang, adik sayangkan abang! Tapi Kak Seri segera tarik tangan adik.
Adik sambut. Kak Seri peluk adik serta berlaga pipi seolah-olah berkucupan mesra dengan
adik.
Bahang panas dari tubuh Kak Seri rasanya masuk ke dalam badan adik. Sandiwara apa pula
ni? Detik hati adik.
“Jemputlah datang ke rumah baru kami pada Hari Raya ke lima nanti. Ada open house,”
pelawa Kak Seri dengan lemah lembut dan senyum rahsianya. Emak dan abah nampak
gembira bila Kak Seri buat begitu pada adik.
“Baguslah! Sudah berpenampilan baru, kereta baru, pindah rumah baru. Perangai je masih
lama,” sindir adik. Emak cuit tangan adik. Abah memandang tajam pada adik. Muka Kak Seri
berubah merah.
“Datang ye, dik. Bawa emak dan abah sekali, sampai KL telefonlah. Abang ambil di
perhentian bas,” abang cuba mengalih perbualan. Hipokrit! Bentak adik. Abang sudah
lupakah permintaan abang agar adik jangan ganggu abang! Jangan lagi datang ke rumah
abang! Jangan sentuh lagi perhiasan abang! Tiba-tiba hujan turun lagi.
“Cepat! Cepat masuk kereta. Hujan turun lagi !” abah bersuara. Kelam kabut abang
sekeluarga masuk ke dalam kereta. Adik terus masuk ke dalam rumah. Dalam hati adik, Allah
saja yang tahu, luluhnya hati. Adik sangka kepulangan abang kali ini akan menjernihkan
keadaan. Rupa-rupanya abang balik hanya untuk memberitahu abang sudah berpindah lagi.
Abang ... abang ... aban g...! Abang dengarkah suara hati adik memanggil nama abang,
sedangkan hujan begitu lebat?
Tuhan itu adil, diberinya hujan agar tidak seorang pun akan mendengar rintih pilu dan tangis
sendu adik. Adik mengintai dari tingkap bilik, kereta abang sudah bergerak perlahan
meninggalkan kampung halaman. Ini kepulangan abang yang paling singkat. Nampaknya
memang tiada ruang dan waktu lagi untuk adik bercerita tentang kenangan dulu kerana sudah
tentu di rumah baru abang kali ini, perhiasan indah itu akan menjadi simbol lagi. Antara adik
dan Kak Seri memang tidak serasi.
Sebaik sahaja abang pergi, abah tak tunggu lama untuk marahkan adik. Abah salahkan adik
kerana lambat turun bersalam dengan Kak Seri. Abah kata adik biadap. Adik tidak pernah
dimarahi begitu sekali. Tangan abah hampir-hampir saja naik ke muka adik. Mujurlah emak
tenangkan abah dan kemudian barulah emak ceritakan Kak Seri mengamuk macam orang
hilang akal dalam kereta tadi. Tak nak keluar dari kereta selagi adik tak turun bersalam dan
sambut dia naik ke rumah. Dia marah-marahkan abang kerana tidak menegur perangai adik.
Semua cerita lama diungkit kembali hinggalah masalah rumah tangga mereka pun dikatakan
semuanya berpunca daripada keluarga ini. Bukan setakat itu saja, depan mata emak dan abah
Kak Seri pukul abang, tampar abang, tarik rambut abang, cakar abang. Abang sedikit pun tak
membalas. Di hadapan emak dan abah pun Kak Seri berani memperlakukan abang begitu.
Mujurlah emak dan abah cepat ambil Alisya dan Alia. Kalau tidak entah apalah nasib anak-
anak kecil itu.
Adik terdiam seketika. Teringat keadaan abang waktu mula sampai tadi. Patutlah emak dan
abah sampai merayu adik turun bersalam dengan Kak Seri dan abang.
Lidah adik terus kelu untuk berkata-kata. Sekarang adik faham, adiklah yang harus menjaga
perasaan emak dan abah. Biarlah emak dan abah tak tahu yang abang pernah menghalau adik.
Biarlah adik yang dianggap bersalah, asalkan adik tidak lagi membuatkan emak dan abah
sakit hati. Apa yang ada dalam fikiran adik ialah mungkin abang sembunyikan sesuatu yang
lebih dahsyat pada keluarga tentang Kak Seri. Kak Seri terlalu obses dengan abang. Semua
tindakan abang harus berada di bawah telunjuknya. Mungkin abang juga ada sebab tersendiri
untuk berahsia.
Sungguhlah firasat adik dulu, perhiasan kesayangan abang itu bukan sebarang perhiasan.
Sekarang, jelas sekali abang telah memilih perhiasan itu dengan melukakan hati kami semua.
Walau adik cuba perbaiki dan tidak pernah anggap ia perhiasan itu sebagai mainan, semuanya
sudah menjadi luka. Pergilah abang .... Pergilah berpindah ke mana sahaja. Bersama derai air
mata adik buang rasa terkilan pergi jauh dibawa hujan. Abang ... walau adik terluka, adik
akan pergi juga ke rumah baru abang. Adik akan tebalkan muka, adik akan lawan rasa malu,
sedih dan marah ini. Adik akan bawa emak dan abah ke rumah baru abang kerana memang
itulah tanggungjawab adik. Adik perlu menjaga hati emak dan abah agar tidak berduka
kerana kita. Perlu ada salah seorang yang mengalah.
Tunggulah adik di rumah baru abang. Semoga di rumah baru abang nanti tidak akan berlaku
apa-apa perkara yang mengguris hati kita semua. Adik kesat air mata yang berbaki. Abang ....
PROFIL
NOr Hidayah Asari , berasal dari Jerantut, Pahang. Lahir pada 21 Julai 1979 adalah lulusan
Diploma Seni Penulisan Kreatif dari Akademi Seni Kebangsaan (ASK-2003), kini dikenali
sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Karyanya dalam genre
puisi dan cerpen pernah tersiar dalam Berita Harian, Metro Ahad, Utusan Melayu Mingguan
(Jawi), Mingguan Malaysia, Utusan Sarawak, Mingguan Wanita, Seri Dewi Keluarga,
URTV, Wanita, Tunas Cipta, WADAH Sabah dan Ibu. Sepanjang menetap di Sabah (2005-
2009), karyanya turut mendapat tempat dalam akhbar tempatan di Sabah seperti Harian
Ekpres, Utusan Borneo dan New Sabah Times . Pernah memenangi anugerah Hadiah Utama
dalam kategori Cerpen Remaja dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004. Kini menetap
di Kuching, Sarawak.