INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU
59990 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR
BUDAYA DAN PEMBELAJARAN
EDUP3073
NAMA WAN NUR ASMA FADHILAH BINTI WAN LANANG
ANGKA GILIRAN 2020192340262
NO. KAD PENGENALAN 011126-11-0402
KUMPULAN PISMP F13
KOD KURSUS EDUP3073
NAMA KURSUS BUDAYA DAN PEMBELAJARAN
NAMA PENSYARAH DR. MASTURA BINTI HALIM
TARIKH HANTAR 12 MEI 2022
TARIKH MENERIMA MAKLUM
BALAS
1
ISI KANDUNGAN
BIL. PERKARA HALAMAN
Isi kandungan. 2
Penghargaan. 3
4
1.0 Pengenalan. 5-7
2.0 Langkah Menguruskan Bilik Darjah Mesra Budaya. 8
2.1 Fizikal. 9
2.2 Emosi. 10
2.3 Sosial.
2.4 Sosiolinguistik.
3.0 Penutup.
Rujukan.
Lampiran.
2
PENGHARGAAN
Bismillahirahmanirahim.
Alhamdullilah dan setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat ilahi kerana dengan
limpah kurnianya dapat saya siapkan tugasan pentaksiran berterusan bagi subjek Budaya
dan Pembelajaran berkodkan EDUP3073 dengan jayanya. Pertama sekali, saya ingin
mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr. Mastura binti Halim selaku pensyarah bagi
subjek pentaksiran berterusan ini kerana telah memberi sepenuh kepercayaan beliau kepada
saya dalam menyiapkan kertas kerja ini dan dengan bimbingan dan tunjuk ajar beliaulah saya
mampu menyiapkan tugasan ini dengan suksesnya.
Seterusnya, saya juga ingin mengucapkan sekalung terima kasih kepada kedua ibu
bapa saya yang telah banyak mendorong saya untuk terus berusaha sepanjang tempoh
penyiapan tugasan ini. Merekalah yang banyak memberi sokongan dan segala kemudahan
yang diperlukan oleh saya sehingga saya berjaya menyiapkan tugasan ini.
Selanjutnya, ucapan penghargaan ini juga saya tujukan kepada rakan-rakan
seperjuangan saya yang mana mereka telah banyak memberi tunjuk ajar dalam
merealisasikan tugasan ini dan membantu saya dengan menjawab setiap pertanyaan yang
saya utarakan kepada mereka.
Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam
membantu saya sepanjang tempoh penyiapan tugasan ini sama ada secara langsung atau
tidak langsung kerana tanpa bantuan mereka tugasan ini mungkin tidak dapat dilaksanakan
dengan baik.
Sekian, Terima Kasih.
3
1.0 PENGENALAN
Tugas seorang guru bukan sahaja perlu merancang dan melaksanakan Pengajaran dan
Pembelajaran (PdP) secara berkualiti, malah perlu melahirkan murid yang mempunyai nilai
sivik dalam diri. Misalnya, hormat-menghormati dan toleransi sesama rakan sekelas tanpa
menghiraukan perbezaan budaya dan latar belakang. Sehubungan itu, guru perlu
mewujudkan nilai sivik tersebut dengan membina persekitaran pembelajaran yang mesra
budaya. Dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran ataupun bilik darjah yang mesra
budaya akan menjadikan murid berasa selesa untuk belajar dan guru sendiri dapat
menjalankan tugasnya dengan lancar. Kelebihan ini dipersetujui oleh Noriati et. al. (2017)
kerana bilik darjah yang mesra budaya mencakupi unsur seperti suasana yang selamat dan
mendamaikan bagi semua murid tanpa ada mengira etnik dan latar belakang budaya.
Tanggungjawab dalam membina bilik darjah mesra budaya ini bukan sahaja perlu
dilaksanakan oleh guru kelas sahaja, tetapi tanggungjawab semua insan yang bergelar guru.
Namun demikian, apakah aspek yang perlu ditimbang oleh guru dalam membentuk bilik darjah
mesra budaya? Jawapan kepada persoalan inilah yang akan dihuraikan dalam penulisan ini.
4
2.0 LANGKAH MENGURUSKAN BILIK DARJAH MESRA BUDAYA
Tugas dalam membina bilik darjah mesra budaya merupakan tugas yang amat berat
disebabkan pengaruh daripada ibu-bapa atau masyarakat di luar sana mengenai persepsi
rakan sebaya yang berlainan bangsa. Walaubagaimanapun, guru perlu mengubahnya agar
murid dapat menerima dan menghayati perbezaan serta kepelbagaian antara satu sama lain.
Perkara tersebut adalah signifikan dengan salah satu elemen dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara (Syahirah et.al., 2022).
Terdapat beberapa langkah pengurusan bilik darjah mesra budaya yang boleh dilakukan oleh
guru untuk menjayakan elemen FPK. Di samping itu, langkah yang akan diutarakan juga
memenuhi objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam
konteks memahami prestasi dan cabaran semasa iaitu menekankan perpaduan dalam
kalangan murid. Aspek yang perlu dititikberatkan dalam melakukan usaha membina bilik
darjah mesra budaya ialah dari aspek fizikal, emosi, sosial dan sosiolinguistik.
2.1 Fizikal
Fizikal bilik darjah adalah amat penting untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif
dan mesra budaya. Langkah yang boleh diambil oleh guru ialah menyusun atur kerusi dan
meja yang terdiri daripada murid pelbagai etnik menjadi satu kumpulan. Dalam merencanakan
kumpulan ini, guru perlu merujuk kepada kedudukan tempat duduk Pembelajaran Abad ke-
21 (PAK-21) seperti ‘three columns’ dan ‘the hybrid’. Kedudukan ini adalah seperti yang
dilampirkan di lampiran 1. Rujukan tempat duduk PAK-21 ini sangat penting dalam
menetapkan kedudukan murid yang dapat merangsang elemen 4K (Komunikatif, Kolaboratif,
Kritis dan Kreatif). Menurut Raja dan Daud (2018), PdP abad ke-21 boleh memupuk
perpaduan dan persefahaman antara ahli kumpulan atau ahli kelas disebabkan elemen 4K itu
sendiri yang merangsang perpaduan sekiranya dilaksanakan dalam kalangan murid yang
pelbagai kaum. Hal ini kerana mereka belajar untuk menerima dan bekerjasama antara satu
sama lain apabila ingin melakukan sesuatu aktiviti kumpulan. Natijahnya, sudah terang lagi
bersuluh bahawa langkah ini sangatlah wajar digunakan oleh guru kelas. Dalam pada itu, guru
yang bukannya memegang tugas sebagai guru kelas boleh memberi peluang kepada murid
untuk berada dalam kumpulan yang berbeza ketika waktu PdP berlangsung bagi memberikan
peluang murid bercampur dengan semua rakan sekelas. Pelaksanaan sebegini pula
meningkatkan lagi mesra budaya dalam bilik darjah kerana murid bergaul dengan rakannya
yang berbeza kaum daripada kumpulan yang lain.
5
2.2 Emosi
Pembinaan bilik darjah mesra budaya dari aspek emosi perlu dilakukan selari dengan unsur
bilik darjah mesra budaya itu sendiri seperti yang dijelaskan di bahagian pengenalan iaitu
suasana yang selamat dan mendamaikan bagi semua murid tanpa ada mengira etnik dan
latar belakang budaya. Antara langkah yang boleh dilakukan oleh guru ialah memberikan
peneguhan positif atau pengiktirafan kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang baik.
Situasi ini akan menjadikan murid mempunyai motivasi untuk belajar di samping mewujudkan
kemesraan sepanjang PdP berlangsung sama ada antara guru dengan murid atau murid
dengan murid. Hal ini sejajar dengan pandangan Alhaadi et al. (2019) yang bersetuju bahawa
kewujudan motivasi menjadikan murid dapat mencapai keseronokan dan mampu memberikan
kerjasama sama ada kepada pengajaran guru atau tugasan berkumpulan. Sebagai contoh,
guru boleh memberikan pujian dan hadiah kepada murid secara adil tanpa membezakan
warna kulit, latar belakang dan prestasi pencapaian dalam akademik. Layanan guru yang adil
ini menyebabkan perubahan tingkah laku yang baik dalam kalangan murid seperti perasaan
selesa semasa belajar dengan rakan sekelas yang berlainan kaum. Fenomena ini membantu
murid bergaul dengan rakannya yang berlainan kaum. Kesimpulannya, guru menjadi suri
teladan kepada murid dan murid akan mengasihi guru sekiranya guru melayani mereka
dengan adil. Begitu juga dengan kesan ke atas emosi, hubungan yang baik antara guru dan
murid akan menyebabkan murid menunjukkan tingkah laku yang baik.
2.3 Sosial
Selain daripada persekitaran fizikal dan emosi, pengurusan persekitaran sosial murid juga
sangat penting untuk menjamin persekitaran sesebuah bilik darjah yang mesra budaya. Hal
ini dikatakan demikian kerana manusia berbeza berdasarkan persekitaran di mana dia
berada. Sesiapa yang mendapati dirinya berada dalam persekitaran dan pendidikan yang
membantunya ke arah kebaikan, maka dia lebih cenderung untuk menjadi golongan yang baik
dan begitu juga sebaliknya. Guru memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran sosial
yang positif misalnya mengadakan aktiviti pembelajaran yang mendedahkan murid untuk
bekerjasama. Contohnya aktiviti didik hibur seperti kotak beracun atau sketsa. Aktiviti ini
memberi pengalaman bekerja dalam sebuah pasukan kepada murid di mana pengalaman
tersebut mengajar murid untuk memahami orang lain dan cuba bertingkah laku agar disenangi
dan diterima oleh ahli kumpulannya.
Sekiranya terdapat murid yang mempamerkan tingkah laku yang negatif, guru perlu
membetulkan tingkah laku tersebut misalnya guru mempamerkan perasaan kasih sayang
tanpa pilih kasih terhadap murid. Didikan ini menjadikan murid meniru tingkah laku guru yang
positif sekaligus menggunakannya ketika bersosial dengan rakan sebaya. Hal ini bertepatan
6
dengan pandangan Imam al-Ghazali dalam penulisan Zakaria et. al., (2012) iaitu
pembelajaran sosial dapat diwujudkan melalui pergaulan dengan orang yang soleh dan
mempunyai kesantunan. Jika diperhalusi secara mendalam, manusia itu secara semulajadi
bersifat meniru di mana seseorang itu boleh memperolehi kedua-dua sifat baik dan buruk
daripada keadaan seseorang yang lain. Oleh itu, seorang guru perlu mewujudkan
persekitaran sosial yang positif dalam bilik darjah agar murid menjadi seorang yang berakhlak
mulia kepada rakannya tidak kiralah rakannya itu daripada latar belakang yang sama ataupun
tidak.
2.4 Sosiolinguistik
Perbezaan latar belakang sosial murid telah mempengaruhi bahasa mereka misalnya
terdapat murid yang menuturkan bahasa bagi kaumnya sendiri atau Bahasa Inggeris bagi
murid yang datang dari kumpulan elit. Keadaan ini membuktikan bahawa terdapat variasi
bahasa dalam kalangan murid dan menyebabkan murid sukar untuk bergaul dengan rakan
sebaya yang menggunakan bahasa pertuturan yang berbeza. Guru boleh menggunakan
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sesi PdP kecuali pada PdP Bahasa Inggeris
dan Bahasa Arab. Penggunaan Bahasa Melayu ini boleh diperluaskan lagi dengan guru
mengadakan aktiviti berbahasa seperti bercerita ataupun membina sudut maklumat yang
dihiasi dalam kelas dengan menggunakan Bahasa Melayu. Langkah-langkah ini menunjukkan
keadilan kepada semua murid kerana murid akan berusaha menggunakan satu bahasa
sahaja dalam bilik darjah. Kesannya, tiada lagi variasi bahasa yang menganggu interaksi
antara murid dan kemesraan dalam kalangan murid juga dapat diwujudkan dengan aktiviti
berbahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti berbahasa memberi ruang yang
bermakna untuk murid menyesuaikan diri dengan persekitaran bilik darjah. Perkara ini selari
dengan pandangan Suresh (2016) iaitu aktiviti yang melibatkan kerjasama antara murid
pelbagai latar belakang dapat membina kemesraan dan hubungan kasih sayang. Deduksinya,
aspek sosiolinguistik perlu diberi perhatian oleh guru dengan memartabatkan Bahasa Melayu
sekaligus menjadikannya sebagai bahasa pengantar kerana tanpa guru sedari sebenarnya
perbezaan bahasa merupakan jurang yang menghalang kemesraan dalam bilik darjah.
7
3.0 PENUTUP
Akhirulkalam, setiap guru perlu berusaha dalam membina bilik darjah mesra budaya kerana
ianya merupakan medium dalam menjayakan hasrat PPPM (2013-2025) yang memberi fokus
terhadap perpaduan sebagai salah satu aspirasi sistem pendidikan negara. Sesungguhnya,
bilik darjah mesra budaya menggalakkan murid untuk mewujudkan penerimaan dan
persefahaman dalam kalangan murid yang terdiri daripada etnik yang berbeza. Jadi dalam
seseorang guru itu berusaha untuk membentuk bilik darjah mesra budaya, guru tersebut perlu
memastikan tiada ruang yang boleh mencetuskan perasan cemburu dan sebagainya dalam
kalangan murid. Ini kerana, situasi ini akan menjadi penghalang yang sangat besar dalam
usaha membentuk bilik darjah mesra budaya.
8
RUJUKAN
Alhaadi Ismail & Norimah Zakaria. (2019). Faktor yang Mempengaruhi Motivasi Pembelajaran
Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid di SJKC Chung Hwa Teluk Kemang.
International Journal of the Malay World and Civilisation 7(3). pp. 23-30. ISSN 2289-
1706. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah & Zuraidah A. Majid. (2017). Budaya
dan Pembelajaran. Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Raja Abdullah Raja Ismail & Daud Ismail. (2018). Aplikasi ‘Konsep 4C’ Pembelajaran Abad
ke-21 dalam Kalangan Guru Pelatih Pengajian Agama Institut Pendidikan Guru
Kampus Dato’ Razali Ismail. Asian People Journal ISSN: 2600-8971, Volume 1, Issue
1, PP 45-65. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Syahirah Rosli, Siti Fairuz Mahmud & Mohd Edyazuan Azni. (2022). Mengintegrasi Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam Membangunkan Modal Insan Bersepadu.
Jurnal Dunia Pendidikan e-ISSN: 2682-826X, Volume 4, Issue 1, PP 86-103. Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Suresh Kumar N Vellymalay. (2016). Keberkesanan Hubungan Guru Kelas-Murid dalam
Merangsang Kesedaran terhadap Integrasi Etnik dalam Kalangan Murid di Bilik
Darjah. Ilmi Journal 6 (69-88). Universiti Sains Malaysia.
Zakaria Stapa, Noranizah Yusuf, & Abdul Fatah Shaharudin. (2012). Pendidikan Menurut Al-
Quran dan Sunnah serta Peranannya dalam Memperkasakan Tamadun Ummah.
Jurnal Hadhari Special Edition 7(22). Universiti Kebangsaan Malaysia.
9
LAMPIRAN 1: Kedudukan Tempat Duduk Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21)
= Meja Murid
= Meja Murid
10