Tajuk : 9 Ogos
Jarum jam berdetak halus menghampiri pukul 8 pagi. Peristiwa hidup yang tidak
akan dilupakan bermula pada kiraan 3! 2! 1!
Kelopak mata dibuka perlahan. Pancaran sinar matahari mencelah masuk dari
celahan daun mampu menusuk mata sang jejaka yang tidur lena beralaskan tanah
bumi, berselimutkan bayangan pohon ceri rendang berhampiran tasik. Jam kulit
berjenama mewah dipandang sekilas tepat pada pukul 8 pagi. Pandangan dialihkan
melihat dedaun pokok lalu menoleh ke kiri. Terlihat jelas rumput yang menghijau.
Rahman bangun dari pembaringan lalu duduk memandang persekitaran tasik.
Cahaya matahari kian menyinari pelusuk bumi memberi sinar kegembiraan,
memperindahkan lagi panorama alam yang terhidang di depan mata. Kawasan
menghijau, air tasik yang tenang dihiasi dengan kilauan sinaran pagi matahari bak
mutiara mampu menggoncang jiwa dan raga. Anak mata berwarna hazel memandang
dengan begitu asyik, terpesona melihat keindahan ciptaan-Nya. Buaian yang
tergantung utuh di dahan pokok diayun perlahan. Sekotak rokok dan pemetik api
dikeluarkan dari poket seluar hitamnya. kemudian, diambil sepuntung rokok lalu
disisipkan dicelah bibir. Pemetik api dinyalakan lalu membakar puntung rokok.
Angin sepoi-sepoi bahasa menampar lembut pipi putihnya, persoalan itu kembali
merajai kotak pemikiran. Puntung rokok yang tersisip kemas dicelah bibir diambil lalu
hembusan asap rokok dilepaskan dengan penuh nikmat. "Ahmad, di mana kau?"
Akhirnya, terluncur juga persoalan tersebut. Kehilangan rakan karib tanpa sebarang
berita masih menjadi misteri, Ahmad berpindah secara mengejut. Tiada lagi khabar
berita darinya.
Ring Ding Dong! Ring Ding Dong!
Panggilan telefon diangkat apabila nama Husna yang tertera dilihat sekilas.
"Kau nak apa?" Rahman terus bertanya dengan nada suara geram. Geram
apabila diganggu waktu lapangnya.
"Kau makan semut ke? Kata nak study!" Marah Husna.
"Tak ada mood."
"Nanti nak SPM, jangan terketar-ketar lutut tu bila tak tahu jawab soalan."
"Terketar-ketar lutut? Huh! Ini Abdul Rahman, pelajar cemerlang yang tidak
pernah gagal walaupun sekali dalam hidupnya." Dia tersengih sinis sambil berbicara
penuh kesombongan seraya panggilan itu terus ditamatkan. Dia ingin pulang. Puntung
rokok dibuang ke dalam tong sampah. Minyak wangi yang tersimpan elok di dalam
poket dikeluarkan dan disembur ke seluruh badan. Tidak mahu ahli keluarganya tahu
akan perbuatan dosa yang sudah lama mewarnai kertas kehidupannya.
Sungguh ringan kaki melangkah tetapi berat hati memikirkan keberadaan rakan
karibnya. Tiba-tiba, matanya terpaku pada susuk tubuh yang sedang duduk di bahu
lorong. Hatinya terdetik; adakah itu Ahmad? Rahman mengambil langkah berat untuk
melihat susuk tubuh itu dengan lebih dekat. Terkejut bukan kepalang apabila
persoalannya benar. Terlihat Ahmad yang berpakaian lusuh. Wajahnya suram, bawah
matanya ternoda rona hitam. Berbeza sungguh penampilan, tidak seperti dulu. Tiada
lagi sinaran di wajah serta senyuman.
"Ahmad?" Kedengaran satu suara menyeru namanya. Tatkala itu, mata mereka
bertembung. Akhirnya, rindu yang terpendam selama 1 tahun terlerai juga apabila
wajah itu menjelma depan mata. "Kau ada duit tak?" Bibir Ahmad terluncur soalan itu.
Bukan bertanya khabar malah meminta duit. Tanpa banyak soal, Rahman
mengeluarkan sekeping duit kertas bernilai RM 50.
"Banyaknya! Terima kasih." Segera tangan menghulur untuk mengambil duit di
tangan Rahman. Teruja benar Ahmad melihat wang yang berada dalam genggaman
tangannya. "Aku nak beli dadah. Kau nak? Aku boleh bagi sikit," kata Ahmad dengan
selamba sambil membelek-belek wang kertas.
"Dadah! Kenapa kau ambil dadah? Dadah itu bahaya! Membawa maut! Kau tak
tahu ke?" kekejutan mula beraja di lubuk hati apabila mengetahui Ahmad yang
merupakan seorang pelajar cemerlang seperti dirinya terjebak dengan dadah.
"Bahaya? Dadah ini dapat bantu kita. Aku pernah guna untuk berjaga malam
ketika minggu peperiksaan. Ia berkesan. Mungkin dapat bantu kau," balas Ahmad tanpa
memikirkan bahaya yang bakal menimpa dirinya kelak.
"Ini bukan cara yang betul untuk berjaya. Masa hadapan kau cerah. Kau tahu
matlamat hidup, kan? Lihatlah sekarang, ia menghancurkan masa hadapan kau!"
"Kau tak memahami aku. Persahabatan kita putus! Tak perlu sibuk dengan hidup
aku lagi!" tengking Ahmad apabila emosinya tidak dapat dikawal lalu meninggalkan
Rahman.
"Apa yang kau buat itu salah di sisi undang-undang dan agama!" Lantang sekali
Rahman bersuara demi menyedarkan tindakan Ahmad yang sudah terpesong dari jalan
yang benar. Bagi Ahmad, dadah itu harta yang sangat berharga. Ia mampu
memberikan kebahagiaan yang sebelum ini dia tidak pernah miliki. Dia mengaku,
dirinya pandai. Sentiasa mendapat keputusan cemerlang dan menjadi harapan sekolah
tetapi dia tertekan memikul pelajaran dan harapan tinggi dari orang sekeliling. Bermula
dengan menghisap rokok. Kini, dia mengambil langkah berani mati, menagih dadah.
Dia tidak kisah dengan pandangan masyarakat, asalkan dia bahagia. Dia mahu bahagia
dan bebas tanpa melakukan apa-apa seperti rama-rama yang terbang bebas di
hambaran horizon langit yang terbentang luas.
Rahman yang masih memikirkan keadaan Ahmad, menanti kehadiran Husna di
warung berdekatan rumahnya. Kelihatan seorang gadis bertudung biru gelap, berjubah
hitam berjalan dengan tenang mencari kelibat seseorang. Matanya membulat apabila
melihat susuk tubuh Rahman yang sedang duduk menikmati teh ais limau di dalam
warung. Langkah dipercepatkan, Rahman yang melihat sedikit cuak. Tidak mahu
mendengar bebelan Husna persis seorang emak. "Baru ingat nak study? Buat penat
aku je lilit tudung. Tadi cancel, sekarang nak pula. Aku ketuk juga kepala kau tu," bebel
Husna sambil menarik kerusi untuk duduk.
"Perjumpaan ini tiada kena mengena dengan study. Aku nak beritahu kau,
Ahmad... hisap dadah."
"Oh..." Wajah Husna berubah sinis, seakan tidak terjentik dengan perkhabaran
yang dibicarakan tentang rakan karibnya.
"Seperti yang kita tahu, dia sudah melakar masa hadapannya sejak dulu lagi. Dia
mahu menjadi polis serta ingin membanggakan ibu bapanya yang sudah bermandi
peluh mencari rezeki. Dia tahu, keluarganya bukanlah berpendapatan tinggi dan kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang.”
"Engkau yang mengajak dia bukan? Salah kau juga. Aku sudah menegur kau
dan Ahmad untuk berhenti tapi tidak diendahkan. Lihatlah akibatnya."
“Apa maksud kau?” Rahman terkejut dengan dakwaan Husna.
"Kau dan Ahmad tiada beza. Just, you're one step behind him. Macam mana dia
terjebak dalam dunia dadah? Ianya bermula dengan ini." Kotak rokok milik Rahman di
atas meja diketuk.
"Kata-kata kau ketika di corong telefon tadi. Kau tak pernah gagal? Sungguh
dusta kata-kata itu. Kau tidak pernah gagal dalam akademik tapi kau gagal untuk
membangunkan sahsiah diri.”
"Aku... risaukan dia. Kita perlu tolong dia." Bicara Rahman kali ini bernada sayu
setelah hatinya ditembus kata-kata ibarat peluru oleh kata-kata Husna tadi.
“Risaukan dia? Tak perlu nak jaga tepi kain orang kalau kain sendiri pun tak
dijaga. Pergilah engkau, menjaga kain sendiri yang sudah koyak rabak, lusuh dan kotor
itu." Husna tidak dapat menahan amarah, terus ujarannya berubah penuh kesinisan.
Riak wajahnya tidak langsung memaparkan rasa bersalah menyindir Rahman. Sungguh
angkuh dirimu, wahai Husna!
Menipu ibu bapa dan merokok. Kata mahu keluar bertemu dengan rakan tapi
melencong ke tasik untuk merokok. Sudah pasti, merokok itu membahayakan nyawa
dan salah di sisi agama. Atas alasan melepaskan stress, dia menghalalkan perkara
yang haram. Malah, dia mengajak Ahmad untuk merokok. Bukan itu sahaja, dia juga
tidak mempunyai akhlak yang baik. Dirinya begitu sombong. Sungguh bangga dengan
prestasi cemerlang setanding Ahmad sehingga tidak mahu membantu rakan dalam
aspek akademik. Lain pula dengan Ahmad, rendah hati serta rajin membantu rakan
yang buntu dengan kerja sekolah.
Terkesima dirinya apabila mengenang kembali kertas kehidupan yang sudah
bercorak dengan kegelapan dosa yang hakiki. Perasaan bersalah mula membuak-buak
di dalam hati. Lamunannya terhenti apabila Husna kembali berbicara.
"Kalau kau nak tolong dia, pergilah. Aku tidak mahu terlibat dalam dunia jijiknya
sehingga memberi kesan dengan kehidupan aku. Pasti masyarakat akan memandang
serong jika aku menolong Ahmad."
"Kenapa kau cakap macam tu? Kita bertiga sudah lama berkawan. Sebagai
kawan, kita perlu tolong dia ketika jatuh dan bangun. Setiap manusia melakukan
kesilapan. Disebabkan aku telah mengheret dia ke dalam dunia yang jijik itu, aku akan
tolong dia." Perkataan jijik ditekankan sedikit untuk menyindir kembali Husna.
Pandangan tajam matanya menikam mata Husna. Sungguh sifat setiakawan dan
prihatin Rahman amat kental meskipun Ahmad sudah terpesong jauh, tidak seperti
Husna. Ketika senang bersama, ketika susah hilang entah kemana. Rahman ingin
mencari Ahmad. Dia meninggalkan Husna berseorangan di warung dengan penuh
kekesalan. Dirinya kecewa. Sungguh kecewa dengan kedua-dua rakan karibnya.
Seorang hanyut dalam kegelapan dunia dadah. Seorang lagi pula berada dalam dunia
keangkuhannya; duduk gah menongkat dagu.
Awan kelabu telah hadir menandakan bahawa hujan akan tiba memberi rezeki
buat seluruh watan duniawi. Suasana menjadi suram, tiada lagi sinaran matahari yang
mencurah memberi sinar seperti waktu pagi. Sang angin mula menerpa alam. Rahman
mendongak memandang langit yang kian gelap, rambut menampar lembut wajahnya
akibat hembusan angin. Suasana yang dialaminya serba-serbi memberikan perasaan
yang kurang enak di hati.
Rahman berlari. Degupan jantung berdegup semakin laju. Dia kembali ke lorong
tadi, tempat pertemuan dia dan Ahmad. Hampa apabila kelibat Ahmad tidak kelihatan.
Dia ingin pulang tetapi niatnya terhenti apabila anak mata miliknya terpaku pada sekujur
susuk tubuh nun jauh di sana. Ahmad berjalan terolang-aling di bahu jalan. Cecair
haram mengalir masuk ke seluruh tubuh badan dan membuatkan dirinya berhalusinasi.
Horizon langit yang terbentang luas diwarnai dengan kuning keemasan.
Persekitarannya penuh dengan bunga ros merah yang berkembang mekar seperti
taman bunga. Awan pula kelihatan berkilauan persis kaca. Ditambah pula dengan
tiupan angin bayu yang menerpa pipi mampu membuat Ahmad tersenyum
kegembiraan. Dirinya sungguh bahagia!
You are the sun that rose again in my life,
The return of my childhood dreams,
I don't know what this feeling is,
Perhaps I'm also in a dream.
Kedengaran suara yang begitu lunak. Nyanyian lagu "Euphoria" itu hadir dari air
terjun yang menjunam laju dari tebing bukit. Air berkilau-kilau persis mutiara
membuatkan Ahmad berjalan menuju ke arahnya. "Nur Ahmad!" Suatu jeritan
memasuki gegendang telinganya. Adakah dia memanggil aku? Desis hati Ahmad. Dia
berlari anak menuju air terjun sambil tersenyum gembira. Gembira dengan kebahagiaan
palsu yang dicipta sendiri. Segala yang dilihat hanyalah halusinasi yang membutakan
dirinya tentang keburukan dadah yang hakiki.
Rahman menjerit memanggil Ahmad apabila dia berjalan menuju jalan simpang
tiga yang kosong tanpa kelibat kenderaan. Takut akan bahaya yang menimpa bak kata
pepatah malang tak berbau.
Pin! Pin! Pin! Bbuk!
Kedengaran bunyi hon dari sebuah kereta yang meluncur laju. Belum sempat
Rahman membuka mulut, kereta tadi sudah melanggar Ahmad. Lariannya terhenti,
tidak percaya akan situasi yang berlaku. Mengalir darah merah menuruni kulit kemudian
membanjiri jalan tar. Mata tidak lepas memandang insan yang terbaring tidak
bernyawa, insan yang telah melakar lakaran yang mampu memberi tamparan pada hati
gelap itu untuk berubah.
Ditemani dengan rintik-rintik hujan bersulamkan hembusan angin bayu,
sepasang mata hazel menjadi saksi pemergian Nur Ahmad. Lutut jatuh mencium tanah
lalu tangisan hiba memenuhi pelusuk bumi. Nur Ahmad yang membawa maksud
cahaya terpuji telah pergi bertemu Sang Pencipta pada tanggal 9 Ogos. Seiring dengan
itu, membawa pedoman buat si rakan karib, Abdul Rahman.
Kelopak mata terbuka luas. Dada naik turun akibat deruan nafas yang tidak
teratur. Degupan jantung laju bak halilintar. Kepala ditoleh ke kiri dan ke kanan, melihat
sekeliling. Jam kulit dipandang sekilas, tepat pukul 8 pagi. Rahman bangun dari
pembaringan lalu duduk di buaian dengan layu. Keluhan keluar dari bibir. Sepuntung
rokok dikeluarkan, pemetik api sudah berada di genggaman tangan. Sesaat sebelum
Rahman mengukir kembali dosa di atas kertas kehidupannya, hembusan bayu
menyedarkan dia akan sesuatu. Mata terbuka dengan lebih luas, rokok dan pemetik api
dicampak ke tanah menjauhi diri. Rahman memandang sekeliling. Suasana serta
gerak-geri persis seperti mimpi yang dialaminya tadi.
Adakah mimpi itu akan menjadi kenyataan juga? Desis hatinya. Rokok dan
pemetik api diambil semula lalu dicampakkan ke dalam tong sampah. Sungguh jijik
apabila memandang rokok itu. “Aku mahu berubah,” Rahman berkata. Kemudian
membuka langkah, berlari selaju mungkin mencari keberadaan Ahmad.
Larian terhenti apabila terlihat seorang jejaka berbadan kurus melangkah keluar
dari bas. Lantas, Rahman berlari dan memukul lengan jejaka tersebut, Ahmad.
“Ahmad! Kemana kau menghilang? Pergi tanpa khabar berita,” air mata sudah
mula bertakung.
“Eh, Rahman! Aku tinggal bersama nenek di kampung.” Ahmad hanya tenang
melihat kelibat Rahman. Pandang tidak puas hati diterima oleh Ahmad.
“Janganlah marah… baiklah, aku terangkan tentang kehilangan aku secara
mengejut pada tahun lepas. Ia bermula apabila aku terbaca akhbar dari Berita Harian,
“Kita sering mementingkan pencapaian akademik sebagai penentu aras kejayaan
seseorang, tetapi kita lupa pembangunan sahsiah manusia juga perlu ditingkatkan agar
seiring, bagi melahirkan generasi cemerlang, gemilang dan terbilang.”. Pintu hati aku
diketuk untuk sentiasa beringat bahawa kita perlu menjaga sahsiah diri dan pergaulan
sejak dialam persekolahan agar tidak tersalah langkah. Sejahterakan minda,
makmurkan jiwa agar kita semua tidak dijajah oleh dadah durjana, musuh nombor 1
negara. Jadi, aku cuba memulakan kehidupan baru untuk berhenti merokok dan
mencari ketenangan di halaman kampung bersama kawan yang lebih positif.” ujar
Ahmad panjang lebar sambil tersenyum.
Sungguh, kata-kata itu telah mengetuk hati rapuhnya yang baru sahaja
menerima tamparan hebat daripada mimpinya. Kini, tangisan keinsafan mengisi
kesunyian pagi.
Hasil nukilan :
Adeela Husna, 3D, SMK Dato’ Abu Bakar Baginda