OLEH YUZLIN BINTI YACCOB
KOLEJ KOMUNITI GERIK
BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA LINGUA FRANCA
LINGUA FRANCA
Lingua franca (dari bahasa Itali, bererti bahasa Frank) atau bahasa perantara
merupakan bahasa perantaraan yang digunakan secara sistematik untuk tujuan
perhubungan antara orang-orang yang tidak sama bahasa ibundanya, khususnya
bahasa ketiga yang berbeza dari bahasa ibunda dua belah pihak.
SEJARAH BAHASA MELAYU
Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua
franca. Pada zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa
Melayu dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, China, India dan Eropah.
Ketika itu, bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa perpaduan dan bahasa
komunikasi antarabangsa. Dianggarkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia
boleh bertutur dalam bahasa Melayu
Dari aspek sejarah, bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia
atau dikenali juga sebagai bahasa Melayu-Polinesia. Bahasa Melayu berkembang
menjadi pelbagai dialek yang unik dan tersendiri. Pada hari ini, bahasa Melayu
digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia,
Singapura dan Brunei. Di Malaysia, bahasa Melayu dimartabatkan dalam
Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) yang menyatakan bahawa bahasa
Melayu ialah bahasa rasmi negara.
Atas faktor tertentu, bahasa Melayu dikenali juga sebagai bahasa Malaysia.
Bahasa Melayu merupakan antara sepuluh bahasa di dunia yang mempunyai
penutur yang paling ramai.
Bilangan pengguna bahasa Melayu semakin meningkat dari setahun ke setahun
namun masih tidak dianggap sebagai kuasa bahasa utama kerana terpaksa
bersaing atau dalam erti kata lain, dinafikan hak dan upayanya dek kehadiran
bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Bahasa Melayu sebenarnya mempunyai nilai
komersial, unik dan kaya kosa kata. Terdapat pelbagai faktor dalaman dan luaran
yang menjadi penyebab bahasa Melayu dipandang sinis dalam kancah keilmiahan
dan ketamadunan jati diri bangsa.
Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan, dituturkan oleh pelbagai lapisan
masyarakat sebagai bahasa perhubungan utama, bahasa diplomatik, bahasa
perundangan, bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan sebagainya. Namun
begitu, sesetengah pihak menganggap bahasa Melayu tidak mantap dan belum
boleh dibanggakan kerana status pencapaian yang merudum jika dibandingkan
dengan pencapaian yang dicatatkan pada zaman kegemilangan Melayu terdahulu.
Yang menyedihkan, terdapat segelintir rakyat dan pemimpin seolah-olah
meminggirkan peranan bahasa kita.
Secara realitinya, dalam konteks perundangan dan perlembagaan, bahasa Melayu
telah kukuh dek kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Secara
tersiratnya, bahasa Melayu seolah-olah hilang upaya untuk bersaing sebagai
bahasa ilmu yang terkemuka di dunia. Banyak faktor yang dikesani menjadi
penyebab utama akan hal ini.