KOLEKSI CERITA RAKYAT KOLEKSI CERITA RAKYAT 10 Cerita Rakyat
ISI KANDUNGAN Cik Siti Wan Kembang Batu Belah Batu Bertangkup Pak Belalang Si Jambul Buku Digital Pak Pandir Mandikan Anak Si Luncai dengan Labu-labunya Bawang Merah Bawang Putih Malang Pak Kaduk Puteri Santubong, Puteri Sejinjang Puteri Gunung Ledang 1 3 5 8 10 13 16 19 23 26 28
BUKU DIGITAL Pak Pandir Mandikan Anak Si Luncai dengan Labu-labunya Cik Siti Wan Kembang Batu Belah Batu Bertangkup Pak Belalang Si Jambul 1
2 BUKU DIGITAL Bawang Merah Bawang Putih Malang Pak Kaduk Puteri Santubong, Puteri Sejinjang Puteri Gunung Ledang CikguUm C i ikguUmi
CERITA RAKYAT ITA RAKYAT Pak Pandir Mandikan Anak Pak Pandir Mandikan Anak 3
Pada zaman dahulu, ada sepasang suami isteri, iaitu Pak Pandir dan Mak Andeh. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang berumur enam bulan. Pak Pandir dan Mak Andeh menjaga dan mendidik anak mereka sebaiknya supaya menjadi anak yang besar kelak. Pada suatu hari, Mak Andeh pergi ke huma untuk melihat padi yang telah masak. Huma tersebut tidak jauh dari rumah mereka. Sebelum pergi, Mak Andeh berpesan. “Abang Pandir, mandikan anak kita dengan air suam,” kata Mak Andeh. “Jangan mandikan dengan air sejuk,” pesannya lagi. Pak Pandir mengangguk tanda faham. Selepas itu, Mak Andeh bergegas ke huma. Apabila anak mereka terjaga daripada tidur, Pak Pandir terus menjerang air di dalam kawah. Setelah mendidih, Pak Pandir mendukung anaknya ke dapur kemudian meletakkan anaknya ke dalam kawah tersebut. Pak Pandir sangat gembira melihat anaknya tersenyum lebar. Pada fikiran Pak Pandir, anaknya sangat suka mandi dengan air panas. Setelah beberapa ketika, Mak Andeh pulang. Dia telah menjerit sekuat hati. “Abang Pandir, apa yang abang telah lakukan ini,” jerit Mak Andeh dengan riak marah. “Mengapa pula Mak Andeh meraung melihat anak yang sedang gembira mandi air panas?” soal Pak Pandir kehairanan. Dalam tangisan, Mak Andeh memarahi Pak Pandir kerana berbuat sedemikian. Lain yang disuruh, lain pula yang dibuatnya. Mandi dengan air panas bukan bermakna masak anak di dalam kawah. “Anak kita sudah meninggal!”, kata Mak Andeh. Pak Pandir baru sedar akan perbuatannya. Kini, mereka telah kehilangan anak yang amat disayangi. Dia sangat menyesal akan perkara yang berlaku tanpa berfikir panjang. Selepas itu, tinggal lah Pak Pandir dan Mak Andeh dalam kesedihan mengenangkan anak mereka. 4
Si Luncai dengan Labu-labunya Si Luncai dengan Labu-labunya CERITA RAKYAT ITA RAKYAT 5
Si Luncai adalah seorang yatim piatu dan hidup miskin. Beberapa kali dia berhajat untuk menghadap raja Maharaja Isin yang bertakhta di negeri Indera Pati, tetapi telah ditolak oleh raja. Namun, disebabkan Luncai sangat berkeinginan menghadap raja, dia telah memakai pakaian yang berbeza daripada sebelumnya, iaitu memakai pakaian yang sudah terkoyak, terobek dan kotor. Setelah memakai pakaian tersebut, Si Luncai pergi menghadap raja dan kebetulan raja sedang bercukur untuk pergi Sembahyang Jumaat. “Si Luncai, apa maksudmu datang ke sini?” tegur raja. Maka sembah Si Luncai “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, tiadalah apaapa hasrat patik hanya hendak mengadap duli yang maha mulia sahaja”. Tetapi, tiba-tiba Si Luncai menangis teresak-esak sehingga raja menjadi hairan. Raja bertanya mengapa dia menangis. Jawabnya, apabila Si Luncai melihat dogol pada tengkuk raja itu, ia teringat kepada ayahnya. Raja amat murka mendengar Si Luncai menyamakan dengan ayahnya. Maka, baginda memberi isyarat kepada hulubalangnya untuk menangkap Si Luncai, serta diikat dan dimasukkan ke dalam guni. Lalu Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja supaya dibuang ke tengah laut. Namun begitu, dia menerima hukuman itu dengan tenang. Hulubalang raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut. Maka, perahu tersebut dikayuh oleh hulubalang ke tengah laut. Dari dalam guni, Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu tersebut. Tiba-tiba Si Luncai mendapat satu idea yang bernas. Setelah beberapa lama hulubalang mengayuh sampan, Si Luncai hendak mengajak mereka menyanyi sebuah lagu. “Kasihan aku melihat kamu semua letih mengayuh. Mahukah kamu jika aku mengajarkan sebuah lagu untuk menghilangkan penat kamu semua itu?” kata Si Luncai. “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini,” kata salah seorang hulubalang yang mengayuh sampan itu. 6
Mendengar kata-kata itu, Si Luncai terus menyanyikan lagu tersebut. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan! Apabila hulubalang-hulubalang itu mendengar Si Luncai bernyanyi, mereka mula tertarik dan mengikut Si Luncai menyanyi. Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hinggalah mereka terleka. Melihat keadaan itu, Si Luncai keluar dari guni. Dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu. Kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dari perahu. Si Luncai berenang ke tepian menggunakan pelampung labu air tersebut. Apabila sampai ke tengah laut, hulubalang-hulubalang mencampakkan guni itu ke dalam laut. Pada mereka matilah Si Luncai. Sekembalinya, mereka memberitahu raja akan hal itu. Tiada sesiapa yang mengetahui bahawa Si Luncai sebenarnya telah berenang sampai ke pesisir pantai. 7
CERITA RAKYAT ITA RAKYAT Cik Siti Wan Kembang Cik Siti Wan Kembang 8
Di negeri Kelantan, terdapat seorang raja yang bernama Sultan Ahmad dan permaisuri baginda, iaitu Raja Perempuan Banun. Walaupun sudah lama berkahwin namun mereka masih tidak mempunyai zuriat. “Patik khuatir akan berlaku perebutan takhta selepas patik mangkat nanti,” kata Sultan Ahmad di dalam hati. Namun, berkat doanya kepada Allah akhirnya sultan dikurniakan seorang puteri yang diberi nama Cik Siti Wan Kembang. Cik Siti Wan Kembang telah diberikan ajaran agama dan ilmu persilatan. Apabila Sultan Ahmad mangkat, Raja Hussin Johor telah menggantikan takhtanya kerana pada ketika itu Cik Siti Wan Kembang masih kecil. Namun setelah Raja Hussin mangkat, baru lah takhtanya diganti oleh Cik Siti Wan Kembang. Cik Siti Wan Kembang sangat terkenal dengan kejelitaannya sehingga diminati oleh anak-anak raja dari Kelantan. Namun tiada yang berjaya menawan hatinya. Kehadiran Tengku Ahmad telah berjaya menawan hati Cik Siti Wan Kembang dan mereka telah ditunangkan. Menjelang hari perkahwinan mereka, ayahanda Tengku Ahmad telah diserang oleh Tengku Hamid dari selatan Siam. Sertamerta Tengku Ahmad telah kembali ke Salor untuk mempertahankan kawasan ayahandanya. Tengku Ahmad dan rombongannya dari Gunung Cinta Wangsa telah berjaya membunuh adinda Tengku Hamid, bernama Tengku Mansur. “Berani Tengku Ahmad membunuh adindaku. Patik perlu melakukan perhitungan,” kata Tengku Hamid kepada pengikutnya. Tengku Hamid telah merancang percaturan untuk membalas dendam. Akhirnya Tengku Ahmad telah mangkat akibat termakan racun yang diberi Tengku Hamid. Ini menimbulkan kemarahan Datuk Panglima lalu mengepung Tengku Hamid dan membunuhnya. Berita kemangkatan Tengku Ahmad amat menyedihkan Cik Siti Wan Kembang. Sebelum Tengku Ahmad menghembuskan nafas terakhir, baginda sempat mewasiatkan seekor kijang kepada Cik Siti Wan Kembang. Justeru, kijang itu telah menjadi lambang dan simbolik kepada negeri Kelantan sehingga kini. 9
CERITA RAKYAT ITA RAKYAT Batu Belah Batu Bertangkup Batu Belah Batu Bertangkup 10
Pada zaman dahulu, di Kaki Bukit Berapit tinggal Mak Tanjung bersama anaknya Melur dan Pekan. Sejak suaminya meninggal, Mak Tanjung menjadi muram dan pendiam. Dia asyik bersedih hati. Keluarga Mak Tanjung sangat miskin. Rumah mereka buruk. Setiap hari mereka akan bercucuk tanam untuk hidup. Kadangkala, Mak Tanjung menangguk ikan untuk dibuat lauk. Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin hendak makan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai untuk menangkapnya. Mak Tanjung sangat gembira apabila dapat menangkap seekor ikan tembakul. Sesampainya di rumah, Mak Tanjung terus menyiang ikan tersebut. Dia pun memberikan ikan tembakul kepada Melur untuk dimasak gulai. “Melur, tolong masakkan ikan tembakul ini. Emak teringin makan telurnya,” kata Mak Tanjung. “Baik emak, akan saya masak ikan ini,” balas Melur. Kemudian, Mak Tanjung berlalu pergi mencari akar kayu di hutan. Selepas siap memasak, Melur mengasingkan separuh daripada telur ikan tembakul dan meletakkannya di atas para. Pekan makan dengan begitu gelojoh sekali. Apabila habis dia minta lagi kepada kakaknya. “Kak Melur, sedapnya telur ikan tembakul ini. Pekan nak lagi,” kata Pekan. “Tidak boleh Pekan. Lebihan telur itu untuk emak,” jawab Melur. Pekan merengek dan menghentakkan kakinya di lantai. Akhirnya, Melur memberikan juga telur ikan tersebut kepada Pekan. Pekan sungguh gembira. Tidak lama kemudian, Mak Tanjung pulang. Dia mahu makan. “Mana telur ikan tembakul emak, Melur?” tanya Mak Tanjung. “Em, sudah habis emak. Pekan makan semuanya,” jawab Melur dengan nada yang perlahan. 11
“Sampai hati kamu berdua tidak tinggalkan emak,” kata Mak Tanjung kecil hati. Sedih hatinya kerana anak-anaknya sampai terlupa kepadanya. Mak Tanjung merajuk lalu pergi ke dalam hutan. Di hutan terdapat sebuah batu besar yang dikatakan berpuaka dan boleh menyedut manusia. Semua orang takut hendak pergi ke situ malah mendekatinya. Batu tersebut diberi nama Batu Belah Batu Bertangkup. Mak Tanjung melangkah laju ke arah batu itu. Melur dan Pekan mengejar dari belakang. “Mak! Mak! Jangan tinggalkan kami!” teriak Melur dan Pekan bertangisan. Namun, Mak Tanjung tidak menghiraukan. Bagi Mak Tanjung, perbuatan anak-anaknya amat melukakan hatinya. “Mari sini! Mari sini!,” kedengaran suara memanggil. Suara itu adalah suara Batu Belah Batu Bertangkup. Kemudian Mak Tanjung berkata, “Batu Belah Batu Bertangkup, telanlah aku, makanlah aku. Aku kempunan telur ikan tembakul”. Mendengar rintihan itu, batu berpuaka terus menelan Mak Tanjung. Melur dan Pekan tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka hanya menangis mengenangkan perbuatan mereka terhadap Mak Tanjung. Mereka sangat menyesal. 12
CERITA RAKYAT ITA RAKYAT Pak Belalang 13
Pada zaman dahulu, tinggal Pak Belalang bersama keluarganya di Halban Chondong. Negeri mereka telah dilanda kemarau dan menyebabkan hasil tanaman tidak menjadi. Pak Belalang berangan-angan hendak hidup senang. Dia tidak mahu lagi hidup susah. Namun, apakah caranya? Pak Belalang melihat di sekeliling rumahnya. Tiba-tiba dia mendapat satu idea apabila terlihat seekor kerbau dan dua ekor lembu tertambat di bawah pokok nangka. Serta-merta, dia memanggil anak lelakinya, Belalang. “Belalang! Oh Belalang! Di mana kau Belalang,” jerit Pak Belalang memanggil anaknya. Belalang pun menjawab, “Ya Pak. Kenapa bapak memanggil Belalang”. “Bapak mahu kamu sembunyikan kerbau dan lembu-lembu di bawah pohon nangka itu dan menyembunyikannya di dalam semak,” kata Pak Belalang. Belalang pun berlalu pergi mengikut perintah bapanya. Apabila petang, penggembala itu mahu memasukkan kerbau dan lembu-lembunya di dalam kandang. Namun, dia hairan kerana haiwan peliharaannya telah hilang. Seperti yang dirancang, Belalang segera memberitahu penggembala tersebut bahawa bapanya pandai bertenung. Kata Belalang, ayahnya ahli nujum. Kemudian, penggembala bersama pengikutnya pergi berjumpa Pak Belalang. Pak Belalang melihat air di dalam sebuah mangkuk. “Oh, lembu dan kerbau tuan ada di dalam semak di belakang rumah saya,” kata Pak Belalang. Tanpa berlengah, penggembala itu pergi ke tempat yang diperkatakan Pak Belalang. Mereka mendapati, kata-kata Pak Belalang benar. Lalu, mereka memberikan saguhati kepada Pak Belalang seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Berita Pak Belalang pandai bertenung telah tersebar ke seluruh negeri Halban Chondong termasuk raja. Raja segera memanggil Pak Belalang ke istana. 14
“Hai Nujum Pak Belalang, cuba kau tengok siapakah yang telah mencuri tujuh tempayan wang emas beta,” titah baginda. “Sekiranya Pak Belalang berjaya, beta kurniakan hadiah, jika tidak berjaya, beta penggal kepala tuan hamba!” titah baginda lagi. Timbul perasaan risau dalam diri Pak Belalang. Dia pun pulang ke rumah dan menceritakan kepada isterinya. Pak Belalang berasa lapar. Sebelum pulang dari istana, raja telah membekalkan tepung dan gula kepadanya. Kemudian, Pak Belalang menyuruh isterinya membuat kuih cucur. Sewaktu menggoreng terdapat bunyi “cur” setiap kali cucur dimasukkan ke dalam kuali. “Cur satu… cur dua… cur tiga…,” kata Pak Belalang. Dia mengira sehingga tujuh kali cur. Kebetulan pada ketika itu, pencuri-pencuri yang mencuri wang emas raja melalui rumah Pak Belalang. Mereka sangka, Pak Belalang mengetahui kewujudan mereka di situ. Lalu, pencuri tersebut menyerah diri kepada Pak Belalang dan memberitahu keberadaan wang tunai raja. “Pak Belalang, janganlah beritahu raja tentang kami. Tempayantempayan wang emas itu ada di dalam gua di hutan. Pak Belalang bawalah balik ke istana,” kata ketua pencuri. Pak Belalang segera memberitahu baginda raja. Baginda sangat gembira kerana telah mendapatkan semula wang emas tersebut. Akhirnya Pak Belalang telah dilantik sebagai Ahli Nujum Negara. Pak Belalang pulang ke rumah dengan membawa pelbagai hadiah daripada raja. 15
Si Jambul CERITA RAKYAT ITA RAKYAT 16
Di sebuah pekan berhampiran hutan, tinggal sekumpulan ayam. Pelbagai jenis ayam hidup di kawasan tersebut. Antaranya ayam hutan, ayam kampung, ayam betina, ayam serama dan sebagainya. Ayam yang paling nyaring dan merdu berkokok akan dilantik sebagai raja. “Kok..ko… kok… kok…!” terdengar suara nyaring dan merdu jambul. Semua ayam memuji suara Jambul. “Mulai pada hari ini kau dilantik menjadi raja kami, Jambul,” kata seekor ayam betina. Semua ayam yang terdapat di kawasan tersebut bersetuju dengan keputusan tersebut. Sejak pada itu, makanan Jambul akan disediakan oleh ayam lain. Setiap kali dipuji, Jambul akan berkokok dengan sekuat tenaga. Disebabkan Jambul sering berkokok, lama-kelamaan suaranya hilang. Dia berasa malu dan memencilkan diri di dalam hutan. Suaranya adalah mahkota bagi diri Jambul. Pada suatu hari, dia berjumpa dengan seekor angsa sahabat lamanya. Dia meminta tolong kepada angsa agar suaranya kembali seperti sedia kala. “Tolonglah aku wahai angsa. Kembalikan semula suara aku seperti sedia kala,” kata Jambul sambil merayu kepada angsa. “Itulah kau, akibat suka menunjuk-nunjuk terimalah padahnya,” jawab angsa. Jambul marah kepada angsa. Dia tidak menyangka angsa akan menjawab sebegitu rupa. Angsa berkata lagi, “Kau juga malas. Makanan kau semua ayam carikan. Kau hanya duduk diam menanti makanan”. Jambul bertambah panas. Dia menjerit marah lalu berkokok. Dia tidak menyedari dirinya sudah mengeluarkan suara kembali. “Dengar itu, suara kau sudah kembali Jambul,” kata angsa. Sukanya hati Jambul kerana mendapat suaranya kembali. 17
“Terima kasih angsa kerana telah kembalikan semula suara aku. Aku berjanji tidak akan menunjuk-nunjuk lagi selepas ini. Aku juga akan mencari makanan aku sendiri,” kata Jambul sebagai janji. Jambul terus menjadi raja. Namun, dia tidak lagi menunjuk-nunjuk kepada ayam lain. Dia juga jarang berkokok kerana takut suaranya hilang. Jambul lebih rajin selepas kejadian tersebut. 18
CERITA RAKYAT ITA RAKYAT Bawang Merah Bawang Putih Bawang Merah Bawang Putih 19
Pada zaman dahulu, ada seorang tua bernama Pak Deraman. Dia bekerja sebagai seorang pedagang. Kehidupannya agak senang sedikit. Oleh sebab itu, Pak Deraman mampu beristeri dua. Isteri pertamanya Mak Labu manakala isteri keduanya Mak Kundur. Pak Deraman memberikan kasih sayang yang sama kepada keduadua isterinya. Walaupun mereka tinggal bersama, namun kedua-duanya menyimpan perasaan iri hati antara satu sama lain. Mak Labu mempunyai seorang anak perempuan bernama Bawang Merah, manakala Mak Kundur mempunyai seorang anak perempuan juga bernama Bawang Putih. Walaupun usia mereka hampir sebaya, tetapi tingkah laku mereka amat berbeza. Bawang Merah seorang gadis yang berbudi bahasa dan lemahlembut. Dia juga seorang yang baik hati dan rajin membuat pekerjaan. Setiap hari, Bawang Merah akan membantu ibunya membuat pelbagai pekerjaan seperti membersihkan rumah, memasak dan membasuh pakaian. Berlainan pula dengan sikap Bawang Putih. Bawang Putih seorang yang kasar dan pemalas. Dia menghabiskan masanya hanya untuk menghias diri dan tidur. Dia hanya berlagak seperti seorang puteri. Pada suatu hari, Pak Deraman tiada di rumah. Mak Kundur dan Bawang Putih telah merancang sesuatu. “Hari ini kita jangan buat kerja-kerja rumah. Biarkan Mak Labu dan Bawang Merah sahaja yang membuat kerja rumah,” kata Bawang Putih. Lalu mereka pun duduk bersenang hati sahaja. Mak Labu berasa sakit hati tetapi tidak mahu menimbulkan kekecohan. “Biarkan mereka Bawang Merah, tiada guna kita membalas dendam terhadap mereka berdua,” kata Mak Labu kepada anaknya Bawang Merah. Bawang Merah hanya menurut nasihat ibunya. Pada suatu hari, Pak Deraman pulang dari berdagang. Pak Deraman memberikan hadiah kepada kedua-dua anaknya. Namun begitu, Bawang Putih melihat barang yang diterima oleh Bawang Merah lebih cantik daripada miliknya. “Mak! Saya mahukan yang itu!” kata Bawang Putih kepada ibunya. Maka terjadilah pertelingkahan antara kedua-dua anak gadis itu. 20
“Sudah! Berhenti! Jangan berkelahi, anakku Bawang Merah elok kamu beralah sahaja,” kata Mak Labu. Dengan riak wajah sedih, Bawang Merah pun memberikan hadiah tersebut kepada Bawang Putih. Bawang Putih gembira kerana mendapat barang yang dihajati. Sejak kejadian itu, Mak Kundur dan Bawang Putih semakin menunjukkan kesombongan. Beberapa ketika, tanpa diduga Pak Deraman jatuh sakit. Dari hari ke hari, keadaannya semakin teruk. Akhirnya, sampailah aja Pak Deraman. Kematiannya diratapi oleh kedua-dua isteri dan anaknya. Sejak itu, tinggallah mereka berempat tanpa seorang ketua keluarga. Dalam diam, Mak Kundur dan Bawang Putih membuat satu rancangan jahat untuk membunuh Mak Labu. Pada hari itu, Mak Labu sedang mencedok air di sungai, tiba-tiba ada orang yang menolaknya dari belakang. “Tolong! Tolong!,” jerit Mak Labu. Namun tiada sesiapa yang membantu. Akhirnya Mak Labu lemas di situ. Bawang Merah berasa khawatir kerana ibunya tidak pulang. 21
Pada keesokan harinya, Bawang Merah mencari Mak Labu ke serata tempat. Sambil itu, dia berteriak memanggil ibunya. Tiba-tiba kedengaran satu suara. “Wahai Bawang Merah, anakku! Mak ada di dalam sungai ini!” kata suara ibunya. Bawang Merah segera pergi ke arah suara tersebut. Dia sungguh terkejut apabila melihat seekor ikan kaloi di tepi sungai. Dia tidak menduga ibunya menjadi sedemikian rupa. Setiap hari, Bawang Merah akan ke sungai untuk menemui ibunya. Dia juga membawa sedikit makanan. Lama-kelamaan, Mak Kundur dan Bawang Putih curiga dengan kelakuan Bawang Merah. Akhirnya mereka mendapati bahawa ikan kaloi yang sering dijumpai oleh Bawang Merah ialah Mak Labu. Sekali lagi mereka merancang sesuatu yang jahat. “Makanlah Bawang Merah, hari ini mak cik sediakan makanan yang istimewa buat kamu,” kata Mak Kundur dengan penuh lemah lembut. Bawang Merah pun makan dengan sungguh berselera. Mak Kundur dan Bawang Putih tersenyum puas melihat Bawang Merah makan. “Kau tahu Merah, ikan kaloi yang engkau makan tadi adalah mak kau,” ujar Mak Kundur. Bawang Merah terkilan dengan perbuatan mak ciknya itu. Dia menangis dan membawa tulang ikan kaloi itu untuk ditanam di tepi sungai. Keesokan harinya, dia terkejut apabila terdapat sepohon pokok besar di tempat dia menanam tulang ikan. Bawang Merah bertambah hairan apabila terdapat sebuah buaian di dahan pokok tersebut. Tanpa berlengah, dia pun bermain buaian tersebut sambil bernyanyi untuk menghiburkan dirinya yang malang itu. Pada ketika itu, lalu seorang Putera Raja. Hatinya sudah tertambat dengan kejelitaan Bawang Merah. Baginda mahu menjadikan Bawang Merah sebagai isterinya. Akhirnya mereka berkahwin dan hidup bahagia. Mak Kundur dan Bawang Putih menyesal atas perbuatannya. 22
CERITA RAKYAT ITA RAKYAT Malang Pak Kaduk Malang Pak Kaduk 23
Di hujung sebuah kampung, tinggal sepasang suami isteri, iaitu Pak Kaduk dan isterinya Mak Siti. Mereka berdua sudah tua dan tidak mempunyai anak. Pak Kaduk seorang yang dungu dan lurus orangnya. Kerjanya banyak sia-sia. Pak Kaduk sangat suka menyabung ayam. Dia memiliki seekor ayam sabung yang diberi nama Kunani. “Ayam sabungku Si Kunani itu aku lihat sangat bertuah. Tidak pernah ia kalah bersabung di kampung kita,” Pak Kaduk cuba memujuk Mak Siti. “Jikalau begitu, pergilah awak membawa Si Kunani bersabung dengan ayam raja,” suruh Mak Siti. “Aku pertaruhkan kampung kita ini kepada raja,” beritahu Pak Kaduk. Mak Siti pun bersetuju dengan pertaruhan tersebut. Dalam menaruh harapan untuk menyabung ayam dengan baginda, Pak Kaduk mendapat satu idea, iaitu membuat baju dan tengkolok daripada kertas. Pak Kaduk telah membeli kertas dan menyuarakan keinginan kepada Mak Siti. Keinginan Pak Kaduk tersebut telah ditentang oleh Mak Siti kerana baju itu akan terkoyak dengan sendiri. Namun, Pak Kaduk tetap berkeras. Mak Siti mula menggunting kertas dan menjahit pakaian tersebut. Dia membuat baju, seluar dan tengkolok Pak Kaduk. “Cubalah pakai!” kata Mak Siti. Pak Kaduk memuji hasil tangan isterinya. Kemudiannya, Pak Kaduk mengambil Si Kunani dan melangkah gagah menuju ke istana raja. Pak Kaduk sampai ke gelanggang raja menyabung ayam. Ramai menyaksikan perlawanan itu. “Hai Pak Kaduk! Apa Khabar? Mari kita bersabung!” titah raja. Pak Kaduk pun menyembah, “Daulat tuanku, persilakan kita menyabung. Patik pun belum tahu ayam sabung patik ini bertuah atau malang.” 24
Raja meminta Pak Kaduk membawa Si Kunani kepadanya. Raja tahu bahawa Si Kunani sangat bertuah dan kemungkinan ayam miliknya akan kalah. Justeru, raja menyuruh agar ayam mereka bertukar pemilik. “Hai Pak Kaduk, marilah kita bertukar ayam sabung. Pak Kaduk ambillah ayam beta, Si Jalak. Manakala beta ambil ayam sabung Pak Kaduk!” titah raja. Pak Kaduk pun bersetuju. Tok Juara melepaskan Si Jalak dalam gelanggang dan Pak Kaduk melepaskan Si Kunani. Maka bertempurlah kedua-dua ayam tersebut. Serangan demi serangan diberikan oleh Si Kunani. Akhirnya Si Jalak tewas di tangan Si Kunani. Pak Kaduk bersorak-sorak dan melompat melihat Si Jalak Mati. Setiap kali melompat pakaiannya tercarik. Semua orang tertawa berdekah-dekah melihat telatah Pak Kaduk dan pakaiannya. Pak Kaduk melihat pakaiannya dan berlari pulang. “Itulah Pak Kaduk, ayam menang kampung tergadai,” kata raja sambil tertawa. Setibanya di rumah, Pak Kaduk menceritakan kisah tadi kepada isterinya. Mak Siti menangis mendengar cerita Pak Kaduk. Dia mengenangkan malangnya nasib yang menimpa dirinya. Dia juga marah kepada Pak Kaduk kerana Si Kunani menang bersabung, tetapi kampung mereka tergadai di tangan raja. 25
CERITA RAKYAT ITA RAKYAT Puteri Santubong, Puteri Sejinjang Puteri Santubong, Puteri Sejinjang 26
Pada suatu kala, terdapat dua orang puteri yang cantik rupawan. Mereka merupakan anak kepada dewa kayangan yang bernama Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang. Paras rupa kedua puteri itu bagaikan purnama yang menghias alam dan menyinari istana kayangan. Setiap hari, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang akan bermain bersama di taman bunga. Pada masa lapang, kedua puteri ini hanya diisi dengan melakukan pekerjaan sendiri. Puteri Sejinjang menumbuk padi, manakala Puteri Santubong menenun kain. Begitulah rutin harian mereka sehinggalah pada suatu petang. Puteri Santubong membayangkan dialah tuan puteri yang paling cantik di dunia ini. Puteri Santubong juga berangan-angan akan ada anak raja yang melamar dan mengakhwininya. “Saya diminati ramai kerana mempunyai wajah yang cantik dan pinggang yang ramping,” kata Puteri Santubong. “Eh, mana ada. Dindalah paling cantik dan rupawan melebihi kakanda,” balas Puteri Sejinjang. Mendengar kata kakaknya, Puteri Sejinjang mula merasa marah dan menentang apa yang diperkatakan Puteri Santubong. Perbalahan mereka berlarutan sehingga Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang menghina antara satu sama lain. Masing-masing tidak mahu mengalah sehingga tidak dapat mengawal perasaan mereka. Dengan perasaan penuh dendam dan marah, Puteri Sejinjang menyerang Puteri Santubong dengan lesung dan terkena pipi Puteri Santubong. Puteri Santubong tidak berdiam diri. Dia telah menikam Puteri Sejinjang dengan batang belidah yang terdapat pada genggamannya. Melihat perbalahan mereka, dewa kayangan, iaitu ayahanda mereka telah menjatuhkan hukuman dengan menukar Puteri Santubong menjadi Gunung Santubong, manakala Puteri Sejinjang menjadi Gunung Sejinjang dan pulau kecil. Tanda yang terdapat pada kedua gunung ini menjadi simbolik kepada luka akibat perbalahan dua beradik ini. Maka berakhirlah pertalian persaudaraan yang selama ini terjalin akibat sikap iri hati dan cemburu. 27
CERITA RAKYAT ITA RAKYAT Puteri Gunung Ledang Puteri Gunung Ledang 28
Pada suatu kala, di atas puncak Gunung Ledang tinggal seorang puteri yang cantik dan bijaksana. Berita tentang kecantikan Puteri Gunung Ledang telah tersebar hingga sampai kepada Sultan Melaka. Baginda berhajat untuk menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai permaisurinya. Lalu, Sultan Melaka memerintahkan pembesar istana untuk menghantar utusan peminangannya. “Beta mahu, tuan hamba semua berangkat ke gunung itu untuk meminang Puteri Gunung Ledang!”, titah sultan kepada pembesar-pembesar. Tanpa membantah, Tun Mamat mengetuai rombongan peminangan dan berangkat ke puncak Gunung Ledang. Mereka membawa hadiah yang banyak untuk diberikan kepada Tuan Puteri. Perjalanan ke puncak Gunung Ledang mengambil masa yang sangat lama dan penuh dengan pelbagai rintangan. Setakat ini tiada sesiapa yang pernah sampai ke puncak gunung itu. Beberapa jam kemudian, mereka terserempak dengan seorang nenek kebayan. Tun Mamat bertanyakan arah ke istana Tuan Puteri. Nenek kebayan menerangkan laluan ke istana dan berlalu pergi. Tun Mamat dan ahli rombongannya meneruskan perjalanan tanpa sedar bahawa Puteri Gunung Ledang telah menyamar sebagai nenek kebayan itu. Akhirnya, mereka telah sampai ke istana Tuan Puteri. Setibanya di istana, mereka telah disambut baik oleh Tuan Puteri. Tun Mamat menyatakan hajat Sultan Melaka untuk meminang Puteri Gunung Ledang. “Wahai Tuan Puteri yang cantik rupawan, patik datang ke sini dengan hajat yang besar untuk meminang Tuan Puteri," kata Tun Mamat. Mendengar hajat tersebut, Puteri Gunung Ledang bersetuju untuk menerima pinangan Sultan Melaka. Namun, Sultan Melaka harus memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan. Terdapat tujuh syarat yang ditetapkan dan salah satunya ialah semangkuk darah putera kepada Sultan Melaka. 29
Rombongan Tun Mamat kembali ke istana Melaka dan memberitahu Sultan Melaka segala syarat-syarat Puteri Gunung Ledang. Agak sukar untuk memenuhi permintaan Tuan Puteri itu. Sekalipun jambatan emas atau perak, baginda dapat membinanya. Namun, bagi mendapatkan sedulang hati nyamuk, setempayan air pinang muda dan semangkuk darah putera baginda menjadi perkara yang mustahil untuk dilaksanakan. Sultan Melaka menjadi murka dan membatalkan niatnya untuk berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang. Baginda sangat kecewa dan bersumpah bahawa tiada sesiapa boleh berjumpa dan berkahwin dengan tuan puteri lagi. Mula dari saat itu, tinggallah Puteri Gunung Ledang sendirian di istananya di atas puncak Gunung Ledang. 30