BENCANA ALAM, PERINGATAN BUAT MANUSIA
Masyaallah…Subhanallah…Allahuakbar
SETIAP MUSIBAH DAN UJIAN DITURUNKAN PERLU DIJADIKAN IKTIBAR
BUMI dan alam semesta diciptakan Allah SWT dengan
sangat menarik dan cantik dipandang mata. Tumbuh-
tumbuhan menghijau dan langit biru memberikan
pandangan yang menyegarkan. Ini membuktikan
kekuasaan-Nya menciptakan segala isi langit dan bumi.
Namun sebahagian manusia tidak mengambil
kesempatan daripada kurniaan dan penciptaan Allah
SWT ini untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Sekiranya
kita memanfaatkan peluang itu sebaik-baiknya,
kehidupan kita akan sentiasa diberkati dan diredai
Tuhan.
Sebaliknya apa yang berlaku, alam tidak dipelihara dan
dijaga bersama-sama hingga Allah SWT sentiasa
mengingatkan kita agar sentiasa memelihara alam
ciptaan-Nya yang mempunyai manfaat dan kebaikan
kepada semua makhluk. Peringatan yang cukup jelas
diberikan Allah SWT itu berbentuk bencana alam seperti
banjir besar, tanah runtuh dan gempa bumi.
Allah SWT berfirman: “Tidak ada suatu musibah
menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah dan
sesiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan
memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha
Mengetahui segala sesuatu.” (At-Taghabun: 11)
Ayat ini menyatakan setiap ujian dan musibah
diturunkan kepada hamba hanya dengan ketentuan
serta kekuasaan-Nya. Ia mempunyai hikmah yang perlu
difikir dan dinilai setiap Mukmin. Justeru, segala
bencana alam yang sering dilihat dan dipaparkan dalam
media adalah ketetapan Allah SWT yang memilih siapa
yang akan menerima musibah itu, tempat dan waktu.
Apa yang pasti, ia mempunyai sebab tersurat dan
tersirat yang perlu difikirkan oleh kita sebagai khalifah.
Bumi semakin hari semakin tua dan menunggu
pengakhiran, iaitu kiamat. Malangnya, manusia
langsung tidak menyedarinya apatah lagi unutk
menjadikannya sebagai peringatan. Kita dapat lihat
bagaimana aktiviti tidak sihat kepada alam sering
dilakukan pihak tidak bertanggungjawab seperti
pembalakan haram dan pembuangan sampah ke dalam
sungai. Ini akan memberi kesan tidak baik kepada sistem
semula jadi, sekali gus menjejaskan persekitaran yang
sempurna. Firman Allah SWT: “Telah jelas kerosakan di
darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia;
Allah menghendaki agar mereka merasakan
sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar
kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum: 41)
Setiap musibah dan ujian diturunkan perlu dijadikan
iktibar dan jangan kita mempersoalkan mengapa Allah
SWT memperlakukan sedemikian sedangkan kita
mengetahui Dia berhak atas kekuasaannya sendiri. Ia
peringatan kepada kita untuk mencapai nilai ketakwaan
dan keimanan tinggi. Hayati firman Allah SWT:
“Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu
daripada (ketentuan) Allah jika Dia menghendaki
bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk
dirimu? Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung
dan penolong selain Allah.” (Al-Ahzab : 17)
Oleh itu, perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar
ujian seperti gempa bumi, tsunami dan ribut taufan
membuka hati kita untuk terus beriman. Jangan sesekali
bergantung kepada perkara khurafat atau kepercayaan
karut berkaitan bencana alam kerana ia boleh
memesongkan akidah.
Sesungguhnya tiada yang lebih berkuasa dalam
menentukan segala-galanya selain Allah SWT. Kita juga
perlu berdoa agar mereka yang ditimpa ujian dan
musibah ini diberikan perlindungan sebaiknya. Semoga
semua mangsa yang masih hidup dan ahli keluarga
mangsa diberikan kekuatan dan kecekalan hati untuk
meneruskan kehidupan lebih baik pada masa akan
datang.
Perkongsian - Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit
Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM cawangan Johor