Pak Pandir DAN
PISANG BAKAR
Pada suatu hari, di Kampung Beringin Pendam, Pak Pandir
dan isterinya Mak Andeh sibuk mengerjakan ladang padi
mereka. Mereka bertungkus lumus merumput supaya
anak padi yang baru bercambah tidak ditenggelami
rerumput ataupun tumbuhan liar yang lain. Mereka begitu
khusyuk bekerja sehinggalah ke tengahari.
Setelah sudah tidak tahan melawan keterikan mentari
dan rasa lapar, mereka akhirnya berhenti. Pak Pandir
membawa perkakas-perkakas yang digunakan untuk
merumput sebentar tadi ke pondok manakala Mak Andeh
pula bergegas ke kebun mereka yang berdekatan dengan
ladang untuk memetik sesikat pisang buat makan
tengahari kerana beras mereka cuma tinggal sedikit
sahaja lagi. Sempat dia berpesan supaya Pak Pandir
menyalakan api.
"Harap-haraplah Andeh tak ambil ubi lagi. Perut aku
dah muak makan ubi hari-hari," bisik Pak Pandir sendiri
sambil tangannya sibuk menyusun ranting-ranting untuk
menyalakan api seperti mana yang disuruh oleh Mak Andeh
sebentar tadi.
Setelah itu, dia duduk merehatkan diri. Angin yang
bertiup sepoi-sepoi bahasa itu terasa begitu
mengasyikkan. Mengusir pergi rasa panas membakar
bekerja dibawah teriknya matahari sebentar tadi.
Di kejauhan disana, kelihatan Mak Andeh yang tergesa-
gesa membawa sesikat pisang yang sedang masak ranum
ditangan. Pak Pandir tersenyum riang .Dia sudah lama
'mengidamkan' pisang bakar namun Mak Andeh sering
membakar ubi untuk makan tengahari mereka.
"Lebar senyuman? Suka sangatlah tu," kata Mak Andeh
separuh menyindir apabila sampai ke pondok. Pak Pandir
mengangguk kepalanya laju. Memang dia tengah kecur liur
sekarang memandangkan dia menunggu begitu lama untuk
merasa pisang yang ditanam mereka pada tahun lepas itu.
Mak Andeh mengasingkan pisang tersebut sebiji-sebiji
sebelum dibakar didalam api. Pak Pandir pula sudah
tercongok dihadapan para untuk menunggu pisang
tersebut siap dimasak. Mak Andeh hanya mampu
menggelengkan kepalanya. Sementara menunggu pisang
yang dibakar tadi masak, Mak Andeh bercadang ingin ke
sungai untuk mandi memandangkan badannya terasa
sangat panas dan melekit.
"Pak Pandir, saya mahu ke sungai untuk mandi. Kalau
pisang sudah masak, Pak Pandir makan dahulu. Tinggalkan
saya sedikit. Tapi ingat, buang kulit pisang itu terlebih
dahulu. Sejukkan baru makan," sempat dia berpesan
sebelum bangun keluar dari pondok untuk menuju ke
sungai. Pak Pandir menganggukkan kepalanya tanpa
melarikan pandangan walau sekejap dari memandang
pisang-pisang tadi.
Setelah menunggu beberapa detik, Pak Pandir
mengeluarkan pisang dari api menggunakan penyepit kayu.
Pisang-pisang tersebut sudah masak dan baunya sungguh
menggiurkan. Tanpa berfikir panjang pak Pandir terus
menyumbat sebiji pisang yang bersaiz kecil dan masih
berkulit lalu terus menelannya. Sebaik sahaja pisang tadi
turun melalui tengkoroknya rasa panas yang tidak
tertanggung terasa begitu menyeksa.
Pak Pandir menjerit kuat sambil berguling-guling
kesakitan. DIa berasa menyesal kerana tidak mendengar
nasihat Mak Andeh.