TERMINAL CINTA DI ALAM BUNIAN Perjalanan sekeping hati yang subur dengan keimanan, Mengembara bersama belahan jiwa yang tenggelam dalam penyerahan, menemukan sesuci cinta merentasi dua ufuk dunia yang indah nian. Oleh: UMI SABILA
NOTA PENULIS Buat pembaca yang berhati mulia, terima kasih diucapkan kerana sudi membelanjakan sedikit wang saku untuk novel Terminal Cinta Di Alam Bunian. Kalian sememangnya bertuah kerana telah dipilih oleh Allah SWT untuk mengembara bersama-sama dalam novel ini bab demi bab, semoga ianya boleh menjadi salah satu asbab untuk kita mula lebih mesra dengan sang Pencipta. Ilham Terminal Cinta Di Alam Bunian pertamanya adalah untuk memujuk anak gadis dan pemuda memahami falsafah cinta dan peranan kasih sayang dalam menghurai kemelut cinta halal yang diambil secara haram antara lelaki dan perempuan dari di bangku sekolah. Cinta itu sangat mulia, maka tidak harus dipersiakan di usia muda yang sepatutnya di isi dengan cinta Allah SWT dan saratkan ilmu di dada. Cinta mulia itu akan datang tepat pada waktu dengan syarat sabar menjaga dari dicemarinya. Pembaca yang budiman, peri pentingnya juga menjaga batas pergaulan sekaligus berusaha menjaga diri supaya membentuk keperibadian mulia dengan menjadi diri sendiri. Keunggulan pemuda dan pemudi bukan terletak pada cinta buta, bahkan pada ilmu di dada yang boleh membawanya dalam memilih jalan hidup menjadi lebih tenang dan bahagia. Akhlak itu ibarat bunga buat penghias diri menjadi cantik rupawan dan juga tampan. Keduanya, buat sahabat ibu ayah pembaca yang dikasihi Allah SWT, novel ini juga menyentuh aspek penghayatan dan kebergantungan hidup kepada Allah SWT. Sebagai manusia biasa, hidup tidak sunyi dari bebanan ujian. Sebagai hamba yang bersifat lemah, hanya bergantung harap pada Allah SWT yang berkuasa. Dari itu, boleh mengukur sejauh manakah mampu taat pada perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT: “Barangsiapa mengerjakan amal saleh baik laki-laki mau¬pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik.” [Surat An- Nahl: 97] Oleh itu, harus kita fahami bahawa pembawaan sekeping hati yang bersih dalam menghadapi ujian dan mehnah sangat mustahak, agar dari usia remaja lagi dapat membantu menakluki segala kesulitan hidup dengan keimanan, sehingga nyawa Kembali kepangkuan Tuhan. Mengembaralah dengan sepenuh hatimu. Bismillah…
ISI KANDUNGAN Bab 1:Perempuan, Misteri Dan Menyeramkan Bab 2: Proposal Tidak Diundang Bab 3: Pembakaran Emosi Bab 4: Sahabat Atau Jerat Cinta Bab 5: Pertarungan Emosi Bab 6: Melawan Virus Cinta Merah Jambu Bab 7: Belajar Macam Pengantin Bab 8: Dipanggil Pengetua Bab 9: Nota Hati Budak Sekolah Agama Bab 10: Menghapus Kluster Virus Cinta Bab 11: Menyalahi Takdir Tuhan Bab 12: Misteri Safwan Bab 13: Brother Lillah Bab 14: Cubaan Korek Rahsia Bab 15: Bermalam Di Sel Tahanan Bab 16: Cinta dan Piza Curi Bab 17: Kantoi Bab 18: Diikat Jamin Bab 19: Berdamai Bab 20: Jalinan Perhubungan Bab 21: Perancangan Rapi Bab 22: Kapsul Hati Ibu Bab 23: Rahsia Terbongkar Bab 24: Aisyah Hilang Bab 25: Asyik Bab 26: Ketika Cinta Bertasbih Bab 27: Bicara Dua Wanita Istimewa Bab 28: Dua Jiwa Dilanda Ribut
PROLOG Dia gagahkan kaki melangkah ke kelas. Dilawan segala rasa yang menyentap emosi dan lemah segala urat sendi untuk melangkah. Sebelum keluar dari bilik asrama, sempat dia menyambar jaket yang tersarung di penyandar kerusi untuk membaluti badan daripada digigit udara sejuk. ‘Berat sangatkah kesalahan usik-usik begitu, dikatanya tak bermoral? Budak perempuan lain tidak pernah memberi ‘tamparan berlemak pedas’ seperti dia. Dia satu-satunya! Engkau memang gila Aisyah! Orang lain makin seronok diusik begitu, tetapi tidak engkau. Engkau memang seribu dalam satu!’ ‘Sejak hari pertama aku melihat engkau dalam keadaan bermasalah. Apa sebenarnya masalah engkau? Jauh benar karakter dengan penampilan luaran, yang nampak agak ayu dan lemah lembut. Aku sibuk-sibuk fikirkan engkau ni kenapa? Masakan tidak, kerana engkau, aku dihentam oleh kawan-kawan. Pertama kali aku merasa seperti seorang lelaki yang jahat. Jahat sangatkah aku? Atau hanya pandangan mata engkau yang jeli itu menjahati aku?’ ‘Baik, Aisyah! Aku buktikan bahawa aku tidak sejahat dan gatal seperti yang engkau katakan. Tanggapan engkau kepada aku adalah salah sama sekali. Aku akan buat engkau tunduk kepada aku! Aku ada caranya mencairkan hati batu seperti hati engkau. Tuhan, apakah sebenarnya yang sedang Engkau mahu tunjukkan kepada aku? Kesombongan seorang perempuan boleh menjatuhkan keegoan lelaki? Atau hukuman apakah yang Engkau mahu berikan kepada aku?’ Bicara demi bicara sekeping hati milik seorang remaja lelaki yang telah dicalar perasaannya oleh ketegasan seorang perempuan.
BAB 1 Perempuan, Misteri Dan Menyeramkan Dewan makan asrama. Suasana riuh di dalam dewan makan pada petang permulaan minggu pertama sesi persekolahan, dihiasi dengan pelbagai aktiviti oleh para penghuni asrama putera dan puteri. Sebahagian pelajar ada yang masih berpakaian seragam sekolah, barangkali sengaja mahu pulang lewat dan terus singgah mengisi perut terlebih dahulu. Bagi pelajar yang sudah lengkap berpakaian prep, pulang awal dan bersedia untuk terus ke kelas tanpa pulang semula ke asrama. Semuannya mengisi masa mengikut aktiviti dan keperluan masing-masing. Lengan kemeja disingsing ke paras siku, ekor tali leher digulung dimasukkan ke dalam kocek baju kemeja berwana turqois. Berambut belah tengah hitam berminyak, beralaskan songkok hitam yang senget ke belakang. Bahu sebelah kiri menggalas bebanan beg, ditangan kanan pula mengelek buku-buku tebal. Karakter senior nampak bersahaja, tetapi sangat menyerlah, apatah lagi mereka bertiga adalah merupakan pengawas berjawatan tinggi di sekolah. Tiga pemuda bagaikan putera yang baharu sahaja keluar dari mihrab, masing-masing menunjukkan gaya, mutu dan keunggulan yang tersendiri. Namun, itulah rupa Do, Re, Mi sekolah sesudah menunaikan solat berjemaah di Masjid ar-Raudhah, masjid yang besar dan indah milik sekolah dalam taman, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Machang, Kelantan. Danial, Afiq dan Bilal tiga sekawan menuju ke dewan makan yang kelihatannya sudah agak lengang. Hari ini, mereka mempunyai kelas tambahan bagi subjek Ekonomi. Tingkatan 6 sememangnya di awal semester sudah dipenuhi jadual tambahan. Kepada merekalah pihak pentadbir sekolah menaruh harapan yang tinggi serta mahu menjulang prestasi pelajaran yang membanggakan, agar menjadi contoh tauladan kepada junior. Oleh yang demikian, mereka diperkenalkan sebagai kakak dan abang sulung dalam kalangan warga sekolah. Setibanya di dewan makan, mereka meletakkan beg dan buku masing-masing di satu sudut. Kemudian terus menyambung barisan untuk mengambil makanan tengah hari, bahagian pelajar lelaki sememangnya amat jarang beratur panjang. Waktu sebegini sudah merebahkan badan di katil masing-masing, meluruskan tulang belakang dan mengecas bateri badan juga fikiran, sementara waktu masih tersisa untuk kembali ke kelas. Setelah itu, hadir untuk prep pula. Kehidupan pelajar lelaki sememangnya lebih ringkas dan tidak banyak isu yang perlu dipanjangkan. Sudah hampir separuh tray menikmati makanan, retina mata Danial tersilau akan seorang pelajar perempuan yang dalam kegelisahan. Dia sedang beratur sambil mendakap tray tersebut, ‘Budak baru agaknya. Ye lah lupa pulak, budak lower six kan baru masuk. Tak biasalah tu dengan suasana asrama, anak manja ni,’ semakin galak pula mata Danial memandang nakal, hati tanpa sengaja mengulas ulah pelajar perempuan yang kemurungan itu.
‘Sepatah rakan di hadapannya menegur, sepatah jugalah dia menjawab satu pakej dengan muka yang masam mencuka, tiada segaris senyum pun! Tapi tengok pada tuannya macam ‘berbelok kucing main daun’. Dalam keadaan macam tu pun, nampak hebat rupanya, ada aura orang kata’. “Mata tu, mata! Kau i’rab siapa tu? I’rab panjang ke i’rab pendek nih?” Bilal menguis lengan Danial. Tanpa dipinta beberapa biji nasi yang melekat di jemari jatuh terlerai ke dalam tray. Daniel sedikit tersentak. Sepasang matanya berkalih kepada Bilal. “Eh, kau tengok budak tu! Tak happy je aku tengok, kau rasa kenapa?” Danial perihatin. Serius saja jawapannya, tidak melayan gurauan Bilal sebagaimana biasa. “Entahlah, aku tak ada rasa. Kau pergilah tanya,” Bilal membalas selamba. “Esok terangkatlah tu jadi adik angkat abang angkat,” Afiq menambah perasa dalam usikan. Usik mengusik perkara biasa saja tiga berteman ini, lebih-lebih lagi dalam bab mengenakan Danial. Dia yang agak nakal dan pemberani. Dia umpama wartawan sekolah kelas pertama, seorang yang sangat prihatin, suka mengambil tahu keadaan sekeliling. Tidak hairanlah jika ramai yang tergila-gilakan akan dia untuk dijadikan abang angkat, baik bagi pelajar junior lelaki mahupun perempuan. “Dahlah. Layan kau ni Dani, tak habis nasi aku. Cepat la wei masa dah ciput ni.” “Kau gerak dulu, aku follow.” Dalam diam, hati Danial merasakan ‘sesuatu’ pada pandangan matanya tentang diri pelajar perempuan itu. Sebab itu, gurauan rakan-rakannya tidak menjadi, tidak lucu pun padanya. Dia mula berfikir secara serius, watak budak perempuan itu secara tidak sedar meresap ke dalam minda bawah sedar. “Ah, perempuan! Kalau tak misteri, selalu menyeramkan aku!’
“Bila kau bingung pada dua makna dan tak tahu mana yang salah dan mana yang benar. Maka hindari hawa nafsu. Sebab, nafsu menuntun jiwa kepada sesuatu yang tercela.” (Imam As-Syafi’i)
BAB 2 Proposal Tidak Diundang Kelas Tingkatan 6 Rendah Sejarah. Aisyah mengulang kaji pelajaran sendirian, suasana dalam kelas hanya kedengaran kipas berpusing. Bunyinya agak laju. Melawan haba yang merayap dalam ruang kelas di aras dua. Jarum jam dinding menunjukkan pukul 5.30 petang. Waktu sebegini para pelajar asrama diberi kebebasan untuk membuat aktiviti sendiri oleh pihak pentadbiran sekolah. Namun, Aisyah memilih mahu menyiapkan nota untuk pembentangan keesokan harinya. Mata pelajaran sejarah adalah subjek Puan Nurliz, subjek yang paling tidak digemari. Tetapi, amat menyukai penyampaian guru muda itu. Bicara tutur yang sopan tersusun. Apalagi senyuman mesranya. Aura pendidik guru muda itu terus meresap ke segenap ruang jiwa setiap pelajar. “Wah, rajin betul! Buat apa tu?” Sapa satu suara. Aisyah berpaling, dia menjawab dengan muka yang mencuka. Tanda protes kerjanya diganggu. Apatah lagi pengganggunya adalah rakan sekelas yang paling tidak digemari kerana sikapnya yang suka membuat lawak bodoh, Safwan. “Kau buat nota apa tu?” Soalnya lagi setelah memerhati Aisyah hanya berdiam diri. Lama. “Nota sejarah,” sepatah sahaja sebagai jawapan tanda malas melayan. Jari jemari masih lagi ralit menulis. Penuh khusyuk tanpa mempeduli langsung kehadiran sahabat sekelasnya itu. “Hmm Sya...” seru Safwan masih berdiri seraya membelek-belek sikunya yang calar balar berwarna pink dan merah kehitaman, ada berpalit ubat luka kekuningan tanpa balutan kain yang jelas sekali kelihatan. Sebenarnya, itu adalah muqaddimah untuk Safwan mencuri perhatian Aisyah Wijdan dikenali dengan sikapnya yang tegas. Bila bersama buku, sangat susah mahu ditarik perhatian. Bom meletup belum tentu boleh terperanjat. Itu pada pandangan rakan-rakan sekelas. Namun, disebalik sikap itu dia memiliki seketul hati yang begitu lembut dan sangat memahami. Itulah salah satu ciri dia sering mendapat perhatian Safwan. “Eh, kenapa dengan siku tu? Merempit ye?” Aisyah baharu sedar keadaan sahabatnya setelah dia mendongak. Itupun setelah rasa seperti diperhati. Tahu sangat perangai Safwan yang suka memerhati dan juga lapar perhatian. “Kau, kalau dengan buku tak ingat apa dah. Tengok ni ha, kesian aku, datang pun terhencut-hencut.” “Dah tu datang juga, siapa yang suruh?” Aisyah membidas pedas. “Sakit tahu tak, bukannya nak tolong pun. Datang ni, mesti la ada kerja. Takkan datang semata-mata nak tunjuk luka ni kat kau.”
‘Tahu pun!’ hanya hati yang menjawab. “Ye lah, ye lah. Nak aku tolong apa? Ni excident ke ni? Nampak cam tak teruk sangat pun.” “Haa ye la tak teruk sangat, habis sakit satu badan ni, dah la duk sorang-sorang kat rumah tu, nak makan pun susah,” masih lagi membelek sikunya bersama memek muka sedih ternyata dibuat-buat. Kalau melastik, itulah buahnya. Melastik kasihan ke dalam hati Aisyah Wijdan. “Eleh, mengadu sangat.” “Itulah, ikut hati tu sangat, suka merayau tanpa tujuan penting, padan sangat dengan muka kau tu,” sambung Aisyah lagi. “Tu je? Tak rasa belas langsung.” “Em, aku banyak kerja ni, nak aku tolong apa?” Terus pada persoalan. Dia tahu Safwan datang dengan bertujuan. Aisyah rasa sesuatu, hatinya mula tidak aman, berdua begitu dalam satu kelas yang agak sunyi. Bagaimana mahu memberitahu Safwan dan Safwan bukannya tidak tahu itu. Tetapi mesti beritahu untuk mengelak terjadinya fitnah. Ini bahaya. Fikir Aisyah, apatah lagi status dirinya sebagai presiden Persatuan Pra Universiti (Pra-U), pengawas sekolah pula. Namun, status di sisi Allah dipandang lagi tinggi. Sebagai khalifah Allah yang malu untuk berbuat maksiat apatah lagi melibatkan perkara yang remeh-temeh sebegini. Meskipun hal ini dianggap biasa oleh segelintir pelajar lain. “Esok last submit proposal Pengajian Am, tapi aku tak habis taip lagi, menaip lama-lama terasa sengal pulak, tolong ek?” “Banyak lagi ke?” “Nah, tengok la banyak ke tak.” “Eh, baru seperenggan ni.” Belepuk! Satu pukulan singgah di siku Safwan tepat sasaran mengenai luka. Darah merah cair sedikit meleleh keluar. Helaian kertas berterabur jatuh melayang mencium lantai. Menyeringai kesakitan kawan itu. Aisyah hanya memandang tanpa belas, namun dalam hati terbit juga rasa bersalah. Biarkan. “Maaf, tak sengaja. Teruk betul, buat apa je kat rumah? Khayal ni,”
“Sakit tau tak. Ye lah, tak ada orang nak tolong, kau je yang baik, yang sudi tolong aku. Tolong ye Sya,” Safwan mengesat lelehan darah yang bercampur air bisa dengan kertas tisu yang telah disediakan di dalam beg sandangnya. ‘Nak minta belas ihsan diabaikan saja, walau agak memeri rasa lukanya. Mendapat pukulan manja penuh bisa Aisyah pula. Hati lelaki penyayang memang begitu,’ Safwan melawak sendiri. Dia tahu Aisyah bukan sengaja berbuat begitu. “Hmm.” ‘Aku kena bagitahu jugak ni, kalau tak, jadi kes anianya nanti. Aku yang jadi mangsa. Sabar. Sabar. ‘Mana boleh sabar dengan berbuat maksiat. Benar tetap benar, batil tetap batil. Alah, bukan buat benda tak elok. Maksiat apanya Aisyah, cakap pasal pelajaran je pun, tak boleh ke? Berlagak suci lagi alim,’ bertekak pula dengan qarinnya. “Ikhlas ke ni? Macam tak suka je, ke ade apa-apa yang tak kena?” Safwan dapat menghidu sesuatu pada rona wajah Aisyah. “Banyak tanya pula, nantilah aku buat, tapi tak janji dapat siapkan ke tak, nak esok kan?” “Ha la esok cik adik. Sya, terima kasih ye, nanti aku belanja air milo ais esok kat kantin.” ‘Aku tak boleh sabar dah ni. Mesti bagitahu jugak, sepertinya dia tak nak pergi lagi je ni. Maaf ye kawan terpaksa kau ku halau dengan lafaz bismillah...’ “Eh sekejap, baru perasan, kat dalam kelas kita berdua je ni, tak sedap hati la, timbul fitnah nanti, jadi bahan gosip, nahas kita. Aku la yang dapat malu, kau tak pe.” ‘Alhamdulillah, fuhh! Nyaman rasanya.’ Aisyah melepas satu keluhan berat. “Ye, cik abang tahu cik adik, sapa yang tak kenal dengan puteri solehah sorang ni, okaylah aku balik dulu, jangan lupa ya. Ya Allah, terima kasih Engkau mentakdirkan yang baik untuk aku hari ini, ada seorang sahabat soleh yang boleh bantu aku siapkan kerja sekolah, amin ya Rabb,” sebaik kedua tapak tangannya diraup ke muka, Safwan cepat-cepat bangun dan melangkah laju untuk berlalu. Jika dia masih di situ, pukulan akan menyinggah lagi. Mungkin lebih kuat. ‘Ei, menyampah. Mak Aih, takkan datang ni je hajatnya.’
***** Teringat akan kejadian siang tadi apabila Aisyah membelek-belek helaian kertas kerja sekolah, terselit beberapa helai kertas lain dari yang lain, lantas dia mengeluh panjang dan menarik nafas dalam-dalam. Aisyah memandang kosong beberapa helai kertas yang hampir keronyok itu. Menggeleng kepala sambil menghela nafas perlahan, ‘Proposal mamat tu? Bila aku nak siapkan? Aduh…’ ‘Macam ni cara budak lelaki belajar? Kalau duduk asrama, tak la sampai menyusahkan sebegini, boleh belajar dan buat kerja sekolah sama-sama, pandai pun sama-sama. Datang dari planet mana entah perangai macam ni.’
Firman Allah Taala, ِذَا ُموهُ ن َوإ تُ ْ ل َ ُوهُ ن َمتَا ًعا َسأ ل َ ِل ُكْم ِح َجا ب َو َرا ِء ِم ْن فَا ْسأ َ ْط َهُر ذَ ُكْم أ ُوبِ ُوبِ ِه ن ِلقُل ل َوقُ “Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (istri-istri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. (Cara) yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.” (QS. Al-Ahzab: 53) Tips berurusan atau belajar antara lelaki dan perempuan: *Secara berkumpulan *Tidak menggunakan bahasa atau suara yang lembut *Fokus belajar dan tidak bergurau senda *Segerakan tugasan *Menundukkan pandangan
BAB 3 Pembakaran Emosi Perhimpunan pagi Pada setiap dua minggu sekali diadakan perhimpunan pagi. Hari ini merupakan giliran Danial sebagai pengerusi majlis. Muncul sahaja pemilik berwajah putih bersih berjanggut panjang sejemput, menyingkap susunan gigi putih bak butiran biji jagung mutiara apabila dia mengukir segaris senyuman. Cukup hebat auranya. Seluruh warga sekolah tekun mengambil perhatian menunggu butir bicara yang menjadi kegilaan terutama bagi pelajar perempuan. Bagaikan arus air mengalir tenang di kali. Suasana perhimpunan pagi itu berlangsung dengan penuh rahmat, saat para warganya memulakan dengan alunan zikir Asma al-Husna Allah. Ucapan pembuka kalam di pagi hari kemudiannya disusuli sepatah kata guru bertugas, guru disiplin dan diakhiri oleh Ummi, selaku pengetua sekolah. Amanat seperti biasa daripada para guru jika tiada apa-apa isu berbangkit. Kali ini, Ummi berpesanan kepada anak-anak warga sekolah supaya menjaga prestasi pencapaian dalam kokurikulum dan kurikulum, perlu ada keseimbangan keduanya. Beliau mahu mengekalkan serta menjaga reputasi selaku sekolah yang telah mendapat anugerah akredisasi kecemerlangan peringkat negeri Kelantan pada tahun ini. Selain itu, pesanan yang tidak pernah ditinggalkan adalah menjaga adab dan akhlak sebagai bunga diri. Selepas membaca doa penutup oleh Danial, mentari pagi melempar senyum indah sudah setinggi galah. Berpeluh manja seluruh tubuh serta wajah warga sekolah, namun cukup mendamaikan bersama gema suara para pelajar mengaminkannya. Sesekali berselang-seli kedengaran kicauan riang burung berterbangan di langit sesekali singgah di atas beberapa blok bumbung, menjadikan suara latar begitu indah. Sungguh. Seluruh alam sekolah ini seakan merasai keberkahannya. Ditambah suara lunak pengawas itu membaca doa dengan kusyuk dan penuh penghayatan. “Ada sedikit pengumuman, kepada mana-mana pelajar yang tidak menghadiri kelas tambahan semalam, sila tunggu di sini,” bergema suara Danial membuat pengumuman sesudah mengaminkan doa. Di sebelah Danial, telah siap sedia berdirinya Abuya, Penolong Kanan Hem sentiasa setia bersama sebatang rotan di tangan yang disilangkan ke belakang. Suara seperti dengungan lebah mula kedengaran. Para pelajar mula bising sesama sendiri setelah mendengar pengumuman menggemparkan itu. Danial memandang sekeliling. Tidak ramai pelajar yang bakal mendapat habuannya pagi ini. Dari tingkatan satu sehinggalah ke tingkatan enam atas. Pandangannya matanya terkaku kepada dua orang pelajar yang memakai pakaian seragam tingkatan enam. ‘Safwan? Budak perempuan tu? Mereka ponteng?’ Sangat jelas pandangannya kerana unifom mereka berbeza dari pelajar tingkatan 1 hingga 5.
‘Ketiduran beb! Pandai sangat abaikan ajakan rakan-rakan, kan dah mengena. Eh! mamat ni pun tak datang jugak ke semalam? Terang lagi bersuluh hanya aku dengan dia unifom turqois hitam ni, kena lagi la nampaknya aku dengan budak-budak kelas nanti. Adus, si malaun ni tak datang apa hal? Kalau aku tahu dia ponteng, aku berjihad supaya tak ponteng, kalau boleh aku tak mahu ada kaitan dengan mamat ni. Aduh, cari bala!’ ‘Cepat la pergi Abang Dani tu, saja nak tengok muka malu aku la tu. Aduh du du, macam aku tak tahu, dia yang jeling aku macam nak keluar biji mata masa kat dewan makan hari tu. Kenapa la aku kena hari ni. Biasa tak kena denda pun kalau setakat sekali dua ponteng kelas tambahan. Nasib malang sungguh! Ada pulak penyibuk tak reti-reti nak blah, menyampah. Padahal aku segan dengan dia. Selalu terserempak dalam keadaan mengaibkan, jatuh saham kesolehahan aku.’ Aisyah beralih pula pandangan matanya kepada Safwan, muram saja wajah polos itu, nampak tidak bersemangat. Apa pula masalahnya kali ini dia bermuram durja. Malas bertegur sapa, dia hanya berdiam diri sahaja. Pasrah menunggu giliran dikenakan hukuman rotan. Pandangan tajam Danial diabaikan. ‘Ada aku kisah? Tapi kenapa ek, tiap kali terpandang wajah dia, macam ada magnet, ada tarikan. Semacam je mamat ni pun.’ ‘Nak kata aku tak ada contoh terbaik, lantak akulah, apa kena mengena dengan dia. Haa, tengok, tengok sampai keluar biji mata tu.’ Rancak hatinya membebel, walaupun dia hanya berjalan menunduk, namun melalui ekor matanya dia tahu Danial membuang pandangan ke arahnya. Selesai menerima satu libasan rotan itu daripada Abunya, Aisyah terus melangkah laju menuju ke kelas, Safwan berjalan beriringan dengan Danial. Rupanya Danial sengaja menunggu Safwan. Mungkin ada yang ingin dibicarakan. Brotherhood sangat hubungan senior dan junior. ***** Kelas tingkatan 6 Rendah Sejarah Suasana agak bising. Bising secara budak besar. Lebih parah keadaannya daripada budak darjah satu, membuatkan Aisyah pening kepala. Libasan rotan pagi tadi tidaklah meninggalkan kesan di tapak tangan, namun cukup mengoyak emosinya. “Mawar, kalau cikgu datang, panggil aku kat bilik gerakan okey, aku ada kerja jap.” “Okey Sya,” sahut Mawar yang sedang menulis di mejanya. “Eh, kauorang berpakat eh tak datang kelas tambahan semalam?” belum pun sempat Aisyah melangkah, satu suara menyapa. Maimun, rakan sekelas. Agak nakal dia. Semua rakan –rakan tahu akan kenakalannya suka mengusik, kadang-kala agak kasar juga kata-kata pedih untuk hati menerima. Langkah Aisyah terhenti.
“Tak lah. Kebetulan je tu Mun,” sahut satu suara yang lain. Mendengar perbualan dua rakan sekelasnya itu, Aisyah hanya merekahkan bibir, senyum terukir. Sedekah dhuha. Diambil satu fail dari dalam beg sandangnya kemudian terus pergi memanjangkan langkah. “Kebetulan yang disengajakan, merpati dua sejoli. Dalam kelas belajar bersama, ponteng pun mestilah bersama. Elok dah tu. Ataupun jumpa dalam mimpi semalam. Kah, kah. Kah. Seronok wei.” ‘Wah, ini penghinaan dah melampau ni. Sabar hati. Sabar!’ Aisyah sempat menelinga, sempat juga menjaga hati yag mula mendidih. “Jaga sikit mulut tu, pagi-pagi dah jual tempoyak basi. Dia ceri beri,” tempelak Mawar bertindak sebagai kawan pembela. Aisyah yang hanya setapak berlalu pergi tetap menelinga butir bicara kawan-kawannya, ‘Tempoyak basi? Ceri beri? Boleh tahan juga Mawar ni.Terima kasih tolong backup. Aku pulak yang rasa nak tercirit ni.’ “Mulut tu, tolong jaga sikit!” Safwan meluru ke arah Maimun, namun sempat ditarik kemejanya oleh Mawar. Kaki aisyah bagaikan sudah terpaku di lantai konkrit, ‘Drama apa ni? Alah…pasal aku ke? Ni yang aku malas ni.’ “Dengan perempuan pun nak lawan ke? Lemah!” Maimun memarakkan lagi api kemarahan Safwan. Safwan mahu mara. Hatinya yang mula menggelegak sedari tadi masih terkawal tetapi pendidihannya kini sudah melepasi 100 darjah celcius! “Safwan!” Laung Fahim mengheret Safwan ke belakang sebaik sahaja dia tiba ke kelas, terus meluru bila melihat kekecohan yang berlaku. Agak kuat tarikannya. Terkesot meja ke belakang. Safwan merenung tajam tepat ke dalam mata Maimun. Sangat marah dengan keceluparan mulut rakan sekelasnya itu. Pelbagai andaian bersarang dalam fikiran Safwan. Dia tahu Aisyah tidak akan membalas. Namun, dia tetap bersalah dalam masalah ini kerana terpalit namanya sekali. Dakwaan Maimun agak keterlaluan. Mencalar keegoan dirinya juga. “Belum puas? Macam budak tadika!” Matanya membulat kea rah dua sahabat itu. Suasana menjadi kendur dan sepi buat beberapa saat dengan sergahan Fahim. “Nah, ambik ni! Puas hati?” lembut saja suaranya namun kedengan sinis. Aisyah menghempas lembut sebuah fail di atas meja tempat Safwan yang masih berdiri bersebelahan dengan Fahim dan terus berlalu pergi. Terpinga-pinga dua sekawan itu. “Wow, wow hebat drama hari ni,” Maimun bertepuk tangan. Mengejek. Hatinya ternyata seakan belum puas.
“Maimun, baik kau keluar sekarang! Melampaulah kau ni.” Fahim cuba mengawal keadaan. Kali ini memandang Maimun seperti singa Jantan yang garang, dia mendepakan tangan seraya jari telunjuk menghala ke pintu kelas. Lambat-lambat Maimun melangkah keluar dari kelas. “Yang lain, buatlah kerja masing-masing!” sambung Fahim apabila rakan-rakan mula diam membisu menikus ke arahnya. Kelas menjadi normal kemudiannya. Fahim memandang pula Safwan tanpa berkelip dan mengambil fail yang telah dihempas oleh Aisyah. Dibeleknya beberapa helai kertas yang sudah bertaip kemas, “Apa ni Wan?” Safwan diam seribu bahasa. Satu keluhan berat dilepaskan. Bertambah kesalan dipundaknya. Fahim menghantar langkah Aisyah dengan seribu tanda soal. ‘Adakah kerana dia siapkan proposal aku semalam menyebabkan dia ponteng kelas tambahan? Kelas Pengajian Am subjek penting, sanggup dia ponteng?’ Telah hati Safwan tanpa mempeduli pertanyaan Fahim. “Aisyah! Tunggu,” namun Aisyah sudah menghilang tanpa jejak pada pandangan Safwan. “Cuba kau cakap kat aku, kau sedang buat drama apa ni? Kau gaduh dengan Aisyah ke?” “Entah la Eim, aku pun tak faham.” “Ni siapa punya?” “Aku… aku minta tolong dia siapkan proposal Pengajian Am aku. Tak sangka pulak jadi macam ni.” “Sampai ponteng kelas siapkan kerja kau?” Safwan hanya menjungkit bahu, ‘Biasa dia okay saja kenapa kali ini ada angin tak baik?’ “Kau ni pun…” Aisyah ingin mengasingkan diri buat sementara waktu. Kerja hanyalah sebagai alasan. Demikian juga dengan proposal Safwan, juga alasan yang sengaja diciptakan, tidak ada kena mengena langsung, ‘Biarkan dia rasa, mainmain sangat dengan pelajaran’. Sebenarnya Aisyah terkesan dengan hukuman rotan dan cuba menginsafkan diri. Malu terhadap Abuya yang dihormatinya itu. ‘Padan dengan muka malas-malas lagi. Buat-buat tidur sekali ketiduran. Saja cari bala.Terus Allah tunjuk. Orang kata, orang baik-baik Allah bagi peringatan cepat-cepat sebelum jadi parah lagi. Entahlah… kata-kata Maimun tadi yang agak mengguris hati aku tak kisah, kunyah macam makan chewing gum, lepas tu buang balik. Tak payahlah nak gantungkan perasaan dekat dia, dengan apa yang dia kata tadi. Tempoyak basi memang tak laku!’ Tercuit hati dengan kata-kata teman akrabnya, Mawar.
‘Kau pun Safwan, mohon insaf!’ Buat seketika Aisyah termenung. ‘Apalah nasib aku. Tak mengapalah, aku mengalah walau aku bukanlah baik sangat, tapi aku sedang berusaha menjadi baik. Akhlak baik jugalah yang akan menentukan keredhaan Allah dan balasan syurga. Kata ustaz, sebaik-baik manusia di kalangan orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang amat baik perangai dan akhlaknya kepada orang lain. Aku cuba’.
Hadis riwayat Imam Tarmizi, sabda Rasulullah SAW: “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan iringilah kejahatan dengan perbuatan kebaikan, dan berperangailah kepada manusia dengan perangai yang baik”.
BAB 4 Sahabat Atau Jerat Cinta Rumah sewa Safwan Semangat untuk belajar menjunam ke laut paling dalam, mood yang kurang baik menguasai seluruh roh dan jasad. Habis rosak hari ini akibat sedas rotan yang memeritkan! Fikiran pula terawangan-awangan masih ingatkan sahabat serotan tempoh hari. ‘Kenapa pelajar cemerlang macam dia pun boleh terbabas? Adakah kerana dia siapkan proposal aku? Ah, itu masalah dia! Aku sendiri pun banyak masalah yang nak difikirkan. Tapi topiknya masih kepada engkau wahai Aisyah. Kenapa susah sangat nak padam wajah kau dalam ingatan aku?’ ‘Aisyah sangat baik, sopan tapi buat-buat garang. Sahabat yang amat memahami, aku suka tapi entah lah, suka yang macamana. Terlalu awal untuk aku berbicara soal hati, mungkin aku boleh sekadar main-main. Buat hiburan orang kata. Tepat lagi buat hilang stress. Safwan senyum kambing. Hish mana boleh, insan sebaik itu untuk aku khianati atau main-mainkan perasaan dia. Ada perasaan ke si Aisyah tu! Atau mungkinkah kekosongan hati aku terisi, kegusaran hati aku terubat dengan adanya insan yang sangat memahami dan pandai menyejukkan resah hati seperti dia? Hanya satu perkara yang aku pelik tentang Aisyah, kenapa dia seolah dingin melayan aku? Kadang okey kadang tak okey, Aku harus kaji siapakah mak cik tu sebenarnya, atau takut gosip, ataupun jugak takut pada pakwenya, Aisyah ada pakwe ke?’ ‘Aisyah. Aisyah terlalu baik untuk aku. Aku tak layak untuk dia. Sungguh! Memang jauh langit dan bumi. Dia lebih berhak untuk mendapat imam yang lebih baik dari aku, lebih soleh dan muslih. Aisyah aku doakanmu sahabat semoga dipertemukan dengan pemuda kiriman Tuhan. Aku terlalu kerdil untuk Aisyah. Ah, memang hati ini nak yang terbaik! Tapi aku, siapalah di mata Aisyah? Aku dapat rasakan itu. Aisyah seorang sahabat padaku dunia dan akhirat. Aku tak akan persiakan persahabatan ini.’ ‘Tapi bagaimana pandangan rakan-rakan aku tentang ini? Apa tanggapan mereka? Kenapa mereka gosipkan aku dengan Aisyah? Salahkan belajar bersama? Bukan belajar berdua-duaan. Belajar secara berkumpulan. Ada yang cemburukah aku rapat dengan Aisyah?’ ‘Bodoh kau Safwan! Melayan hal yang sia-sia. Bukankah lebih baik kau fikirkan pelajaran? Masa depan kau tu! Kau tahu tak, salah satu sifat orang beriman tu, sanggup tinggalkan perbuatan yang sia-sia. Bukan je perbuatan, berfikir yang sia-sia pun! Semata-mata nak dapat redha Allah. Kau?’
Safwan hanya meninggalkan persoalan hatinya sendiri tanpa mahu memikirkan jawaannya yang dia sendiri sudah tahu! Ditarik selimut menutupi kepala, ‘bangun nantilah solat.’ Bila iman lemah, diam membisu tanpa tapi-tapi lagi. Maka bersoraklah iblis laknatullah mengangkat trofil kemenangan. Berjaya menumpaskan seorang anak cucu musuh tradisinya. Hari minggu, perkarangan rumah sewa Safwan Pulang ke rumah hujung minggu merupakan peluang untuk bermanja dengan ibu tanpa mahu dibebankan oleh sebarang aktiviti pelajaran. Namun, Danial menyelit satu perancangan mahu menziarahi junior yang tidak tinggal di asrama, Safwan. Dia menetap di rumah sewa seorang diri berdekatan dengan rumah Danial. Sepelaung sahaja sudah sampai ke anak tangga rumah kampung berdinding papan itu. Lantas dia mencucuh suis motosikal ke pencucuhnya, berdesup asap meninggal anak tangga yang hanya didiami dirinya dan seorang ibu yang sangat penyayang. “Assalamualaikum, amboi menyanyi pulak, gembira lain macam ni,” belum pun ekzoz dimatikan, salam mendahului. “Waalaikumussalam. Dari mana bang, sorang je?” tangan yang lincah berhenti daripada menggosok kuda beroda dua tunggangan kesayangannya ke sekolah. “Ha, ah sorang je.” “Oh, jom masuk dalam dulu bang, nak bilas sikit lagi ni.” “Alah basuh je, buat apa nak gaduh-gaduh, sembang sini orait jugak. Best tak kena rotan semalam?” “Ai, bang, kalau datang nak tanya sakit ke tak kena rotan tak berbaloi bang, semalam dah panjang lebar kena tazkirah abang,” mereka berdua ketawa senada. “Eh, rapat Wan sekarag ni dengan Aisyah ye, ada ape-apa ke?” Danial menonggek atas motornya yang telah ditongkat dua, tangannya disilangkan di dada. Bersahaja. “Soalan tu saya suka. Ha, ha, ha…” “Cepat betul sampai berita, khidmat wartawan mana ni?” sambung Safwan lagi dengan gurauan. “Abang tanya betul-betullah.” “Betul apa jawapan tu, ingat saya tak tahu siapa dispatch abang? He…” “Siapa yang bocorkan rahsia abang ni?” Danial melayan gurauan Safwan.
“Abang peminat dia ke? Nak saya beritahu pun boleh, dia ada sicret admire abang femouse punya. Tak adalah bang, saya gurau je. Janganlah serius. Saya dah ada awek, cerah masa depan abang nak mengorat dia,” Safwan bercanda lagi. “Haha, amboi,” Danial melayankan saja adik juniornya itu. Namun, apabila nama itu dipetik, terbayang juga akan tuannya, sopan dan juga sombong. “Jom bang, masuk dalam dulu. Minum air bujang selamat pun okay juga ni buat basahkan tekak,” Safwan terus ke dapur dan kembali dengan menatang dulang air 100 plus berperisa lemon dengan 2 biji gelas, lalu menjemput senior prihatin yang juga merupakan Timbalan Ketua Pengawas itu menghirup air yang dihidangkan. “Wan, abang nak cakap sikit, jangan marah atau ambil hati dengan abang pulak,” kata Danial, Safwan mengangkat muka, terangkat keningnya sebagai respon. Dia melabuh punggung di atas sofa lusuh berhadapan dengan Danial. “Abang nak tegur sikit,” direct saja kalam Danial. “Ada apa bang?” “Abang ada dengar pasal Wan dengan Aisyah. Betul ke ada apa-apa kauorang berdua?” “Apa yang abang dengar?” “Sering berdua-duaan dalam kelas?” “Itu tak betul bang. Kami tak pernah berdua dalam keadaan bersunyian. Tak juga selalu berdua, ramai je dalam kelas waktu belajar bersama.” “Petang hari tu, ada pelajar datang bagitahu abang, ada Wan dengan Aisyah je dalam kelas. Dia juga selalu ada melihat kaorang sering berdua.” ‘Aduh…siapa pulak pergi mengadu ni. Hari tu aku pergi bangi kertas proposal jelah, bukan bersembang pun.’ “Wan, tak elok berdua-duaan macam tu. Jagalah batas pergaulan, jangan terlalu rapat sangat. Mengundang fitnah. Abang tahu, Wan tak buat macam tu. Tapi kita kena berhati-hati.” Diam. “Wan dah lainlah abang tengok. Apa yang buat Wan jadi berubah? Stress ke?” “…”
Danial memandang Safwan dengan panahan mata yang bersemangat, dengan harapan cahaya menembusi hati Safwan yang dilamun candu akan kasih-sayang. Wajah Safwan redup dan sendu, tergambar rasa bersalah di wajahnya. Hatinya benar-benar terusik. Dia bukan tidak tahu, dia tahu. “Wan, ingat lah tujuan kita kat sini, abang pun ada nafsu pada perempuan juga, nak couple juga, tapi bila fikirkan komitmen belajar, itulah yang penting beri fokus sepenuhnya. Nanti kita akan dapat juga benda tu, tapi bukan sekarang. Kena tahan dulu. Kita masih tittle budak sekolah menengah. Tapi tak boleh nak salah 100 peratus juga kan, pengaruh Tik tok, Instagram, tanpa had boleh teroka dengan mudah dan pantas hanya dengan hujung jari. Konten cintan cintun. Yang berhenti sekolah, kahwin pun ramai. Tak tapis dengan iman, habislah. Lagipun kita budak sekolah agama ni biarlah nampak berbeza daripada yang lain. Abang mitak maaf kalau terasa dengan kata-kata abang, terkhutbah panjang kali ini.” ‘Bukan setakat nampak gila-gila saja, ada bakat berleter juga rupanya. Tak dinafikan kau memang cukup pakej bang, sebab tu ramai orang suka.’ Gumam Safwan. Sempat lagi mengumpat Danial dalam hati dan mengakui ketokohan seniornya itu. “Abang Dani, terima kasih ingatkan, Saya...entahlah,” Safwan merenung wajah seniornya itu dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Safwan diam seribu kata, namun dalam hati terselit rasa curiga, ‘Ikhlaskah dia menasihati aku? Kenapa aku tengok abang Dani ni seronok semacam je, Abang Dani menaruh hati kepada Aisyah ke?’ “Abang Dani kekuatan saya, nasihat dan tegurlah selalu tanpa jemu, walau kadang saya degil. Siapa lagi kalau bukan abang. Nak marah ke…” dia cuba berbaik sangka. “Bukan. Abang betulkan sikit, Allah adalah kekuatan kita, abang nak jawapan satu lagi,” “Aisyah…” mendatar suara Danial. Mata mereka bertembung bersama satu pandangan yang bening. Keluhan Safwan kali ini makin berat, ‘Kan aku dah kata…’ “Apa yang abang fikirkan tentang dia?” soal Safwan kembali sekaligus mencari cerminan dirinya daripada Danial. Tanda soal dalam fikiran kian berselirat. “Abang? Apa abang pulak? Apa abang nak cakap abang bukan kenal dia pun. Kenapa Wan tanya macam tu?” “Saja tanya abang, manalah tahu jika abang tersangkut kepada dia, jika tak ada angin masakan pokok bergoyang, kan bang?”
“Aih, abang pulak? Wan percayakan angin ke percayakan pokok? Pandai sekap jarang ye, sudahlah Wan, bab perempuan ni kita kemudiankan dahulu, boleh?” “Wan, Aisyah nak jumpa Wan esok di Taman Saujana sekolah, ada hal penting katanya”. Safwan memandang Danial tanpa berkelip. ‘Bagaimanakah mereka berdua berhubung? Atau adakah mereka punyai hubungan lebih daripada apa yang aku sangkakan? Sebab itukah dia bertanyakan Aisyah tadi? Ah, Abang Danial sesuatu sangat! Entah-entah Abang Dani pakwe Aisyah tak?’ Sumbu cemburu pun menyala!
"Dari begitu banyak sahabat, tak kutemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala bentuk amal baik, namun tidak mendapati yang lebih baik daripada memberi nasehat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tetapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar." (Umar Al-Khattab)
BAB 5 Pertarungan Emosi Blok Bangunan Tingkatan Enam Minggu ini minggu semua pelajar tidak dibenarkan pulang ke rumah. Kawan-kawannya ada mengajak untuk outing ke bandar. Perasaan malas pula mendominasi, lagipun semua barang keperluan mencukupi untuk seminggu. Minggu depan dapat pulang ke rumah. Aisyah berkira-kira. Sebenarnya dia ingin bersendirian, memikirkan solusi konflik dirinya yang tiada kesudahan lagi, bagaimana ingin mengatasi persepsi orang lain terhadapnya, terutama dalam kalangan rakan sekelas. Dia ingin bebas daripada gangguan seperti itu. Dia ingin belajar tanpa masalah hati. ‘Aku harus bertanggungjawab membersihkan nama aku. Aku tak mahu agamaku diperlekehkan oleh kerana perangaiku ini, aku tidak mahu menjadi salah seorang penyumbang fitnah pada agama, sebolehnya aku ingin menjadi bunga buat agama yang suci ini. Ya Allah, mampukah aku? Ya Allah, tolong tunjukkan jalan itu…’ ‘Aku ingin menjadi contoh dengan ketinggian akhlakku, tapi nampaknya jauh lagi untuk capai ke tahap itu. Ya Allah, sukarnya. Ya Allah, kenapa ada orang seperti Safwan yang hadir dalam hidup aku? Ya Rahman, keluarkan aku dari kemelut ini. Tak sanggup rasanya aku, tiada dalam senarai misiku di sini untuk menjalin hubungan dengan manamana budak lelaki, tetapi aku sedar ini adalah satu cabaran untuk mencapai misiku. Aku istilahkan ia sebagai kemuncup dalam larianku nun di tengah padang, akan melekat pada pakaianku apabila aku berlari, kalaupun ada yang terlekat, aku harus berhenti seketika dan membuangnya. Ya, ia adalah kemuncup yang harus aku buang. Dugaaan buat puteri yang ingin bermujahadah sepertiku. Orang lain mungkin tidak memahaminya. Demi mama dan abah, dan harapan diriku sendiri, aku kuatkan juga. Dan kemuncup itu terlalu banyak wujud di hadapan untukku lalui.’ Oh Tuhan… Aisyah mengerling jam di pergelangan tangannya, hampir 4.00 petang ketika melintasi kelas tingkatan 6 Atas Ekonomi. Bermonolong dengan sekeping hati, kaki melangkah sampai sudah di blok kelasnya. Sunyi saja kawasan sekolah, kebanyakannya pelajar masih belum pulang dari outing. ‘Ni satu lagi cabaran, pembawa virus. Dos vaksin hati kena complete ni sebelum wabak merebak!’ Seseorang sedang tekun mengulangkaji pelajaran. Dia keseorangan. Tiada seorang pun di dalam kelas itu. Hati yang keras terus boleh cair melihat pemuda tampan yang rajin belajar. Berbolak balik sungguh hati ini, hari ni memuji memuja pula.’ ‘Mak uih, rajinnya dia, tekunnya belajar, cermin mata dah nak jatuh tu, dah dihujung batang hidung. Kusyuk betul study, comel. Hihi,’ Aisyah melawak sendiri. Muhammad Danial. Kalau tak dapat kiriman salam dalam sehari daripada seniornya itu, tidak sah melalui Fahim, rakan sekelas adalah posmen yang tak bergaji. ‘Kau pun okay apa walau nakal sikit, rajin, tu salah satu ciri
bakal suami. Terpaling penting adalah, suara sangat merdu bila kau jadi imam masjid sekolah ni. Aku pasti akan rebut saf pertama bahagian muslimat. Hihi. Dia suka aku ke eh? Takkanlah, muka macam kasanova je, ramai peminat. Tapi kirim-kirim salam tu apa? Bukan ke tanda suka?’ Aisyah mengomel lagi. ‘Ya Ilahi, layan perasaan lagi. Astagfirullah. Satu lagi kemuncup di hadapan yang perlu buang, lontar jauhjauh. Tapi, kalu dia suka aku, aku pun suka dia. Hanya suka-suka, bukan jatuh cinta pun, muka helok kacak, kan. Sedap mata memandang. Tapi lain macam je dengan senior aku sorang ni. Macam ada sesuatu yang dekat di hati.’ ‘Tak cukupkah dengan apa yang berlaku sebelum ini. Tak serikkah? Cukup-cukuplah Aisyah. Tolong jangan ulangi kesilapan yang sama. Lelaki. Perasaan itu pergi jauh-jauh. Aku benci hadapi rasa yang macam ini lagi. Tapi, kalau aku tidak ada perasaan pada lelaki maka tak normallah aku. Hadap sajalah! Aduh, sakitnya tuh di sini…’ ‘Wahai iman, berbicaralah dengan hati, hatiku yang hampir mati kerana lelaki. Tapi kenapa aku diusik begitu, kenapa aku perlu hadapi satu lagi ujian hati ini yang lebih berat. Bila hati tak suka, mudah diuruskan, macam budak Safwan tu. Ini, bilamana hati suka, terlalu sukar, innalillah. Ala, rilakslah, jangan ambil serius pula, suka-suki. Hahahah. Arghhh, melayan lagi!’ “Hoi, berangan ya!” sergah Mawar dan Norli dari arah belakang. ‘Alamak terkantoi aku, mintak-mintak diaorang ni tak perasan. Fuhh!’ ‘Kenapa ek rasa macam sesuatu, rasa macam ada tarikan kat senior aku yang sorang ni. Selalu rasa camtu. Ke jodoh namanya ni? Haaa, dialah bayangan tempoh hari tu. Sah! Memang dia! Kenapa dia buat camtu ek? Apa motif dia? Tapi kenapa buat perangai tak senonoh menyakat aku tempoh hari kat tangga tu? Bila dengan rakan-rakan gila sakan perangai, bila duduk sorang-sorang macam calon mutawif yang ditemuduga! Bila dalam kalangan pelajr lain dan guru-guru bagaikan superhero, susuk tubuh kebanggaan sekolah! “Lama tunggu kau orang berdua ni, memang patutlah pun kalau aku sampai berangan,” ‘Cover malu beb!’ “Yelah. Jom naik ke kelas. Panas pula kat sini,” mereka bertiga beriringan ke kelas untuk mengisi masa prep. “Sya! Abang Dani kirim salam,” setiba di kelas, Fahim menyapa. “Yang kau sengih-sengih tu kenapa?” Aisyah menembak terus. “Entah la dia tu, pantang jumpa aku di asrama asyik tanya khabar kau je, lepas tu kirim salam. Dia suka kau tak?” Ada nada mengusik. Aisyah hanya diam, tak tahu mahu menjawab apa. Sedangkan seputar bayangan itulah menari-nari dalam fikiran. Akal dan hati terusan berlawan tanpa sudah, kini mendapat lagi. Ribut medan pertempuran jiwanya tiada siapa pun yang tahu.
“Wah, untung la ada sickret admire. Kat sini ada peminat, kat sana ada peminat,” Mawar juga galak menyakat kawannya itu. “Alah, jangan bersungguh sangatlah, dah hobi dia macam tu,” Aisyah menyangkal. “Amboi, bertemu buku dengan ruas tahulah nanti.” “Eh! Sya, Abang Dani di asrama baik tau. Nampak je rock kapak camtu, dalam hati ada nur,” Fahim galak mempromosi seniornya itu. “Tak nak kirim balik ke salam tu,” sambung Fahim lagi. Aisyah hanya mempamir muka boleh blah. Yang lain ketawa. ‘Tadi baru nampak dia, dah sampai salam. Haihh. Aisyah, jom berjihad!’ Dalam perjalanan ke Aspuri “Sya, jangan marah aku nak tanya.” “Okay.” “Kau ada perasaan kat Safwan?” “Tiber. Ada, kenapa?” pantas saja Aisyah menjawab, hanya ingin melihat reaksi sahabatnya, namun dia langsung tidak bermaksud. “Baik tak payah Sya, aku takut kau yang kecewa nanti,” Aisyah menarik nafas dalam-sedalamnya. ‘Astagfirulllahal’azim…’ Aisyah beristighfar dalam hati. Mata yang memandang memang tak salah, hati jugalah yang susah menyangkal apa yang mata melihat. Betul sangkaan aku, orang melihat lain dari apa yang sebenarnya ada di hati aku.’ “Jangan pandang hanya kerana dia agak rapat dengan aku, kau kata aku dah jatuh cinta pada dia. Orang lain pulak yang lebih-lebih. Bukan tak tahu kawan –kawan kita ni, suka sangat dengan cerita macam ni, apatah lagi yang ada iri dan dengki,” panjang lebar huraiannya. “Lelaki Wa, lagipun Safwan tu, dah hilang identiti, dah banyak masuk benda lain ke dalam otak dia, tengok perangai gila-gila dia, totally berubah. Dia sunyi, itu yang jadi camtu, antara aku dengan dia, jangan salah faham okey. Tu yang aku nak sangat jumpa dia, menjelaskan hal duduk perkara sebenar. Kalau boleh nak bagitahu kepada semua orang, hakikatnya bukan seperti yang mereka anggap, tapi aku tak mampu. Aku dah
penat dengan semua ni. Bagaimana aku nak hadapi kawan-kawan. Malu jugak rasanya,” sambung Aisyah meluahkan rasa hati yang terbuku. Amat perlahan suaranya, dia mengulum bibir mula menahan sebak. Sayu. Teramat sayu. Air matanya mula bertakung, Mawar menggenggam kedua tangan Aisyah yang menyejuk. Beri kekuatan pada sahabatnya yang menjadi mangsa salah anggap. Dia hanya mahu tahu dari hati dan mulut sahabatnya itu sendiri dariapa berita itu yang sudah tersebar. Buat seketika, mereka berdua tenggelam dalam menanggung bebanan emosi yang sarat. “Kau nak tahu tak, kelas prep malam semalam, ada tulisan nama aku dan Safwan di white bord depan kelas. Bapak besar tulisan tu, penuh. Ada juga ayat -ayat lain. Siapa entah buat kerja tak senonoh dan bodoh macam tu, macam budak-budak. Aku malu Wa, malu kalau adik-adik yang lalu-lalang tengok tu. Pada orang lain tak kisah bendabenda macam ni, tapi aku tak suka dan aku malu,” suara Aisyah yang lembut sudah mula bergetar. Air mata mula mengenang. Berat bebanan perasaan yang ditanggung tidak mampu air mata menampung, akhirnya terjun juga dari kolam matanya. ‘Allahu Akbar sahabatku. Nampak saja kau tenang. Rupanya menanggung bebanan emosi setinggi gunung. Aku faham, kau tak macam orang lain yang suka-suka main cinta,’ kolam mata Mawar juga panas, bila-bila masa saja turut mengenang. “Sorry Sya, aku ingat kau syok kat dia dan berita tu betul,” kata Mawar. Aisyah melepaskan genggaman tangan yang sudah dilonggarkan, dia menggeleng perlahan dalam juraian air mata. Hujung tudung menjadi pengering titik jernih kesedihan yang tumpah. “Aku tahu kau kuat Sya. Kau minta nak kuat, Allah bagi ujian ni untuk kuatkan kau. Allah bagi kau kuat dengan cara ni. Dengan cara melalui ujian kesakitan emosi untuk kau tahu takat mana kekuatan kau. Apa yang kau dah buat tu tindakan yang betul. Berjuang demi nakkan kebenaran. Tabik spring kat kau. Kalau akulah, tak sanggup nak berterus –terang macam kau lakukan.” “Aku…entahlah. Silap aku jugak, sebab seolah-olah membenar apa yang telah terjadi, membenarkan apa yang orang kata. Di luar kawalan aku belaka, dan aku dah sedaya mengelak daripada dia. Kau tahu aku selalu nak lari daripada dia kan?” “Aku faham kau tak buat kerja bodoh dan aku dah hafal perangai kau.” “Kita tak mampu nak tahan apa yang orang kata, dan tak ada manusia yang tak buat silap Sya, Allah maha pengampun dan Maha Penyayang,” Butir bicara sahabat itu menambah rasa sedih. Air mata Aisyah mengalir makin deras. Perasaan malu mula menebal lebih-lebih lagi kepada Mawar. Kini dia memekap wajahnya dengan beralaskan tudung. Tudung lunyai dibasahi air mata tidak dihiraukan lagi. Mawar membiarkan sahabat itu melepas segala resah yang membebankan fikirannya.
Tidak lama dalam keadaan begitu, dengan pantas Aisyah meraih bahu Mawar ke dalam dakapan. Kejab. Kadang kata-kata sahabat adalah the massenger dari Allah. Terima kasih Allah hadirkan sahabat yang memahamiku seperti Mawar. Kau sentiasa mewangi dalam hatiku sahabat, memang engkau bunga mawar yang first clas dalam taman hatiku. “Diri kita umpama uncang teh, kita tidak tahu akan kekuatan diri kita sehinggalah kita berada di dalam kesusahan macam teh dalam air panas tu.” “Terima kasih. Dasyat kau Wa, ahli falsafah rupanya. Aku sayang kau kerana Allah,” bisik Aisyah ke telinga Mawar. “Tak ada lah, aku ada terbaca dalam buku semalam,” dia melempar senyum. Jatuh juga titisan jernih dari kolam mata Mawar, turut berkongsi rasa sedih saabatnya. Terasa pertalian yang sangat akrab. Susah mahu mengerti insan sepertimu sahabat. Terlalu tulus. Terlalu halus perasaannya yang tidak dimiliki oleh orang lain. Kau istimewa Sya. Hati mereka saling mengagumi. Aisyah menolak bahu Mawar tanpa melepaskan kedua bahu sahabatnya itu, “kau kenapa?” “Kau tahu kan aku tak berniat pun mahu berdua-duaan dengan mamat tu, dia yang selalu kacau aku. Dia yang salah, kenapa aku yang kena tanggung? Bila lelaki dengan perempuan duduk berdua, lelaki tak salah, perempuan juga yang tak betul. Hukum dunia macam tu. Dia tu, ada apa sebenarnya?” “Allah, ingatkan apa tadi. Yelah, aku faham. Aku kenal siapa kau. Esok pagi-pagi lagi aku ‘talkin’kan dia.” Soal hati, sihatkah? Sakitkah? Ramai yang tidak pedulikannya melainkan insan yang bernama Aisyah Wijdan ini, terlalu ambil berat soal hati. Penyucian hati amat penting bagi mendapat ilmu yang barakah. Adakalanya pegangan menjadi longgar, jauh tersimpang dan tersasar. Hati, pokok pangkalnya adalah hati. Dengan hati, segala isinya akan diterjemahkan di minda. Minda pula menghantar isyarat kepada anggota tubuh badan untuk merealisasikan impian hati. Bila impian hati terlaksana, yang baik akan teruslah menjadi baik dan yang buruk? Jawablah sendiri. Hilang segala janji. Mawar memandang Aisyah. Dalam mindanya berkira-kira mahu sampaikan atau tidak pesanan Abang Dani. ‘Kesian kau Sha, padahal baru sahaja bertarung dengan perasaan. Kini hatinya diuji lagi. Sama. Lelaki. Aisyah, padamu ada pesona seorang wanita solehah. ‘Esok lusa sajalah, tak basi pun Abang Dani pesanan kau tu. Atau abaikan saja. Nasib kau la bang, kalau betul jodoh jumpa la kauorang kat mana-mana nanti. Aku tak akan merosakkan jiwa sahabat aku. Hulk. Sya maafkan
aku juga. Padan muka kau Abang Dani, aku hanya mampu sampaikan melalui doa sahaja’ Mawar memandai sendiri. Satu rahsia disimpul rapi. “Wa, aku nak jumpa Safwan!” “Sya, sekarang ke? Tunggu!” ‘Siapa yang berani mengejutkan singa yang tidur dalam diri aku, kalua mampu, lawanlah!’
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari itu sahabat-sahabat karib setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)” (Az-Zukhruf: 67)
BAB 6 Melawan Virus Cinta Merah Jambu Tingkatan 6 Rendah Sejarah “Sya, kau okey ke? Aku dari kelas senior cakap kau pengsan tadi, terus aku datang sini,” Fahim tiba dengan tercungapcungap. Aisyah pula terpinga-pinga. “Aku okey je dari tadi, tak ada pengsan pun. Siapa cakap aku pengsan lak?” “Abang Dani.” “Elok la tu, dua kali lima.” “Betul, dia suruh aku tengokkan kau.” “Eh, geli! saja nak pancing aku la tu.” “Kesian tau Abang Dani, kau buat tak layan. Dia berminat sungguh tu. Dia minta nombor telefon kau.” Sepantas kilas Aisyah mengangkat kelopak mata memandang Fahim yang masih berdiri di sisi mejanya. ‘Ini dah melampau betul, nak sangat aku layan kan. Tunggu, sat lagi aku pergi naik kelas Abang Dani. Abang sangat!’ “Okey, begini Fahim, waktu kelas prep aku naik kejap kelas dia.” ‘Nak cabar aku ke apa ni, mentang-mentang aku tak makan umpan pancing kau, pandai tebar jala pula. Belum tahu siapa aku, berani kejut singa yang tidur dalam diri aku, tengoklah nanti bagaimana kejadiannya. Ya Allah serabutnya…’ hatinya yang sedang berjuang menjerit kesakitan. ‘Mampuslah kalau Aisyah sudah nekad,’ Bisik Fahim. Agak gusar. Faham benar perangai sahabatnya yang seorang itu. ***** Danial sedang bersembang santai dengan Bilal dan Afiq tentang pelajaran, menyelesaikan kerja sekolah bagi subjek Pengajian Am. Jam menghampiri 4.30 petang. Mereka menyudahkan kerja sekolah yang terakhir dan mahu bersiapsiap untuk ke masjid sekolah menunaikan solat asar berjemaah. Ketika dia memasukkan buku dan alatan belajar ke dalam beg sandang, matanya tersilau satu susuk tubuh yang sangat dikenali dengan langkahnya yang lain daripada biasa.
‘Hish, dia datang sini ke? Ada apa? Biar betik,’ Spontan berdenyut laju seketul jantung di dalam dadanya yang sekeping. Aisyah seorang diri menaiki tangga menuju ke kelas senior, ingin berbicara dengan Danial. Dikeleknya bersama beberapa buah buku pengajian. Hanya ingin bertanya kenapa buat semua itu. Tiada ragu. Mesti jumpa. Taring siapa lebih tajam. Dia mendekati seorang kakak senior dan memberitau mahu berjumpa dengan Muhammad Danial. Aisyah menunggu ketibaan Danial di koridor hadapan kelas. Lama sekali. Sambil menunggu, dia membelek buku yang dibawanya tadi. Fikiran tentunya bukan pada isi buku. Begitu juga dengan seketul hati berdebar tidak menentu. Aisyah wijdan yang begitu popular dalam kalangan senior. Melihat kelibatnya sahaja sudah pasti riuh dan memberi perhatian seolah YB yang datang menziarahi kawasan. Pujian, usikan dan sapaan senyum mesra juga silih berganti. Namun Aisyah, tetap membuat lagak natural beuty. “Weh, apa kau buat dengan si cinta hati kau tu? Berani datang sorang diri. Menikus pulak hari ni, biasa umpan pun tak dilayan apatah lagi dipandang,” Bilal mengusik Danial. “Entah, ada yang tak faham subjek kut. Kau rasa? Seram sejuk dah kaki tangan aku ni,” Bilal ketawa. Tak pernah dia melihat kelakuan Danial yang agak gementar. Biasa dialah hero. Pantang nampak kelibat perempuan itu, mulalah membuat aksi untuk menarik perhatian si jantung hati. “Aku nak tengok drama apa kali ni. Suspen betul buah hati kau ni, bukan kaleng-kaleng ni.” “Diamlah!” Danial menghampiri Aisyah Wijdan dengan lafaz bismillah. Doa penenang hati juga tidak lupa dibacanya. Jantung dalam dada berlari sudah tidak senada. ‘Boleh tahan jugak minah ni. Alahai, kenapa mata ni melekat saja di wajahmu itu yang begitu ayu, kucuba nak menatap lama-lama, kuperoleh ketenangan abadi bagaikan tenangnya air yang mengenang di kali. Tapi aku tak berani!’ Gumannya dalam hati sambil memerhati keadaan sekeliling. Tak ramai sangat pelajar yang lalu-lalang, mungkin telah pulang ke asrama untuk makan santapan malam di dewan makan. ‘Nasib baik. Pandai kau pilih masa untuk dating ya adinda.’ Hati Danial berbunga kembang mekar berlatar muzik rock dalam dada yang semakin rancak. ‘Nak pecah dada weh. Apa hal mari menjelma, ramai hantu meliau kalau si puteri ini bertenggek di sini, habislah aku nanti kena hentam sekejap lagi.’ Namun, kerisaunya tetap mengisi ruang kegembiraan isi hati lelakinya. Dalam pada itu keyakinannya tetap padu, Aisyah datang mahu bertanyakan tentang pelajaran. “Assalamualikum, apa boleh saya bantu?” sapaan Danial membuatkan Aisyah terperanjat kecil, walaupun dia berpura-pura kusyuk menelaah buku yang dikeleknya tadi. Pandangannya sekilas kepada Danial tanpa menutup buku.
‘Wow. Sopannya. Sebelum ni kemain sakat aku, tengok! Muka dah pucat lesi. Kah kah kah,’ Aisyah ketawa dalam hati. Mengejek. “Tak ada apa pun, saya nak tanya pasal...” “Yang mana? Yang ni ke? Tajuk apa ni?” “Tak ada kaitan dengan buku nilah,” Aisyah menutup buku yang berada ditangannya beralaskan dinding koridor separas dada. Danial manarik dan membukanya kembali. Sibuk mencari tajuk yang tak tahu apa nak dirujuk. Gelabah! Dirasakan seluruh wajahnya mula membahang. Aisyah pula membetulkan kedudukan, badannya menghadap muka Danial jarak mereka hanya satu hasta. ‘Sumpah! Minah ni memang selamber giler. Buat aku jadi nak gila.Yang aku cover sangat ni kenapa?’ “Biar saya berterus terang, saya tak suka berkirim-kirim salam tu, sekali sekala tak apa, ni sehari lebih lima kali. Rasuah apa yang awak beri kepada posmen awak tu? Taat betul. Lepas tu pasal tadi, kenapa kecoh cakap saya pengsan? Kalau awak suka-suka, saja usik-usik, baik usik orang lain je. Apa, nak jadi hero? Maaf, saya rimas. Hidup tak tenang gangguan tak bermoral macam ni,” ujar Aisyah dalam satu nafas yang agak tegas. “Abang? Sorry, saya tak ada abang di sekolah ni, nasib baik tak ber’aku’ ber’kau’ saja.” “Err...” bahang muka menjalar ke wajah Danial. Bagaikan udang dibakar, apa lagi senyuman terpaling menawan menjadi sumbing tatkala di hadapan gadis saka ini. ‘Padu gila oi. Aku nak lari ke nak buat apa ni?’ “Itu je, saya harap awak faham,” kali ini Aisyah perlahankan suaranya seraya memandang tepat ke dalam mata Danial membuat panahan berbisa sebagai satu petanda. “Ingat ada subjek yang tak faham, boleh abang bantu,” dia tak sanggup melawan pandangan tajam mata jeli Aisyah, seakan bagaikan satu amaran. Lantas menjatuhkan kelopak mata memandang hujung sepatunya. ‘Ngok! Kalau aku ada subjek yang tak faham sekali pun, tak ada maknanya aku nak minta khidmat kau kat sini.’ ‘Baik aku lari, tak mampu dah rasanya nak berdiri di sini. Macam berdiri di hadapan cikgu disiplin!’ “Kalau tak ada apa, abang pergi dululah. Assalamualaikum,” Danial berlalu dengan tergesa-gesa dan mengurut dada, ‘Fuh!’
Disebalik daun pintu kelas Tingkatan 6 Atas Ekonomi, Bilal dan rakan-rakannya menelinga butir percakapan mereka berdua. Sebaik saja Aisyah menuruni tangga, pecah tawa mereka mengusik dan mengenakan Danial. Pastinya berbulan-bulan jadi modal bahan usikan mereka. Danial hanya terkulat-kulat. Terasa macam kena penampar seribu satu das. Lemah segara urat nadi. Taubat nasuha Danial malam ini. Sejak letupan berbisa Aisyah itulah membuatkan hidup Danial berubah 360 peratus. Sangat tidak menyangka sengat berbisa perempuan ayu yang sombong itu. Aisyah? Pasti tenang dan menang miliknya. Pengajian di tingkatan 6 bawah berlalu dengan aman. Hari-hari yang membahagiakan. Tiada lagi usikan nakal dan salam daripada Danial. Satu virus sudah dihapuskan, tinggal satu lagi mutasi virus cinta merah jambu ini, Safwan!
Elaika – Pada-Mu Ya Allah (IMAM AS-SYAFI’I) إلـيــك إلـــه الـخـلـق أرفــــع رغـبـتــي Ku persembahkan kepada Mu tuhan sekelian makhluk, harapanku وإن كـنـتُ يــا ذا الـمــن والـجــود مـجـرمـا Sekalipun aku seorang yang berdosa wahai yang Maha pemberi dan pemurah ولـمــا قـســا قـلـبـي وضـاقــت مـذاهـبــي Tatkala keras hatiku dan sesak perjalanan hidupku جـعـلـت الـرجــا مـنــي لـعـفـوك سـلـمــا Ku jadikan rayuan daripada ku sebagai jalan mengharap keampunan Mu فـمـا زلــ َت ذا عـفـو عــن الـذنـب لــم تـزل Maka bilamana Engkau yang memiliki keampunan menghapuskan dosa yang berterusan ini تــجــود و تـعــفــو مــنـــة وتـكــرمــا Kurniaan Mu dan keampunan Mu adalah rahmat dan kemuliaan ألــســت الــــذي غـذيـتـنـي وهـديـتـنــي Bukankah Engkau yang memberi aku makan dan hidayah kepadaku ّي ومـنـعـمــا وال زلــــت مـنـانــا عــلـــ Dan janganlah Engkau hapuskan kurniaan anugerah dan ni'mat itu kepadaku عـسـى مــن لــه اإلحـســان يـغـفـر زلـتــي Semoga orang yang memiliki ihsan mengampunkan kesalahanku ويـسـتــر أوزاري ومــــا قــــد تـقــدمــا Dan menutup dosa2ku dan setiap perkara yang telah lalu
EPILOG “Kenapa awak pilih saya?” soal Aisyah sambil tangan menyusun beberapa perkakas atas meja solek di dalam bilik mereka. Lambat-lambat pergerakannya. Senemangnya dia tidak tahu apa yang patut dia lakukan ketika berdua-duaan buat kali pertama begitu dengan Danial. Danial baru sahaja merapikan tempat solat dengan membentang sejadah untuk menunaikan solat magrib. Dia mula merapati isteri yang telah dihalalkan baginya. Dia memaut kedua bahu Aisyah. Mereka berdua salin berpandangan. Suasana sunyi tanpa kata. Hanya bunyi udara sejuk dari penghawa dingin dan detak jarum jam bergerak dari saat ke saat. ‘Berkopiah putih, pakai kurta begini, kacaknya! Muka macam zaman kasanova dulu-dululah. Masa form six tapi ini dalam versi beriman.’ “Handsome sangat ke sampai tak berkelip pandang saya?” satu cuitan singgah di hidung Aisyah. Pantas melarikan wajahnya ke sisi. Ulah Danial membuatkan dia kehilangan kata-kata. Pandang pula senyuman yang pernah menjadi kegilaan ramai perempuan, ‘Ya Allah, tolonglah aku! Pencemaran, kebakaran kekacakan sedang berlaku, membuatkan jantungku telah hangus rentung terbakar!’ “Awak okay? Sudah-sudahlah tu berangan. Saya dah ada depan awak dah pun!” satu lagi cuitan lembut singgah di pipi. Bahang panas merayap ke seluruh wajah, macam makan ayam MD hot spicy! “Ha, kan dah terbatal wuduk,” Aisyah cuba mengawal emosi dan debaran yang bergelora dalam jiwa, bergetar seluruh urat nadi. ‘Masa dalam hutan dulu takdelah sampai macam ni, gila betul aura kau Pendekar Cahaya.’ “Tak kering pun air dalam paip tu kalau saya ambil wuduk lagi, malah saya dapat pahala berganda-ganda. Pahala bergurau dengan isteri, pahala mengulang wuduk.” “Tetap berlaku pembaziran.” Biasalah Aisyah mana nak kalah. Suasana sunyi sekali lagi menemani mereka. Danial tidak sudah-sudah membuang pemandangan cinta terhadap isterinya itu. Aisyah tertunduk malu. ‘Padan muka, hehe. Dulu berlagak sangat ye… mantan juniorku. Inilah antara sebab kenapa aku menikahimu, sifat malu mu itu telah memikat hatiku. Perempuan garang, dia sebenarnya sangat pemalu. Perisai malu itu yang menjaga dirinya, membuatkan keperibadian wanita itu amat mahal.’ Danial dapat melihat kemerah-merahan wajah isterinya itu. Aisyah mula mengangkat punggung. Dia tidak betah duduk dalam keadaan begitu, silap hari bulan boleh menitik mutiara jernih dari tubir mata tanpa sebab.
“Okaylah, maafkan saya.” Danial sempat menarik kedua tangan Aisyah, duduk di birai katil di sisi Danial. Danial mengenggam ke dua tangan isterinya, dia membetulkan duduk, mengemaskan sila dan memandang wajah bersih amat menenangkan itu, yang masih lagi bertudung litup. Dia suka menyakat Aisyah dalam keadaan malu-malu begitu, dia mahu menyakatnya lagi, saat terbaik untuk ‘membalas dendam’ apa mantan junior yang sombong itu perlakukan terhadapnya zaman persekolahan dahulu. Hati yang lebat membunga kini mula membuat idea nakal. “Itulah, saya pun pelik juga, dekat universiti tu kan, anak YB, artis, doktor, lowyer datang merisik saya. Kalau ikutkan, awak calon terakhir daripada sepuluh orang calon tu. Semua tu tak jadi, tak lepas, banyak cabaran. Yang ke10 ni jugaklah yang jadi. Kenapa ya?” “Cepat, soalan asah minda. Kenapa ya?” “Main-main pulak, mana saya tahu. Jangan macam ni please… saya nak nangis dah ni.” “Lah, kenapa nak nagis pula, dulu tak mengaku sukakan kita, sekarang dah nikah pun nak nangis?” Pap! Singgah tamparan lembut mendarat ke paha, Danial ketawa senang. Suka menyakat isterinya yang manja. “Okay, okay. Saya pilih awak sebab… awak ada ciri-ciri yang ada pada mama.” Sepantas kilat Aisyah menagngkat muka. Pandangan mereka bertaut. “Mama, dia sangat menenangkan, tak banyak cakap tapi cukup tegas, pandai membawa diri. Hari pertama saya melihat awak, itu hati saya mendapat. I see someone in you.” Aisyah hilang kata-kata. Setiap memori di alam menengah muncul satu-persatu. ‘Bukan aku tak suka Danial. Aku cuma nak mempertahan diri dan hati daripada terus lalai dan lagha dibelai oleh satu perasaan yang belum tentu apa pengakhirannya. Aku hanya berserah Allah, mengharap lelaki beriman dan bertanggungjawab menjadi imam membimbing ke Syurga Firdaus setelah menikah. Sebelun nikah, jangan harap ada lelaki yang mendapatkannya dari aku.’ “Kenapa diam je ni… tak suka jadi isteri saya?” Pap! Peha kiri pula menjadi mangsa pendaratan cubitan lembut Aisyah. “Habislah lebamlah lepas ni, ada ketam suka menyepit juga rupanya.” Sebelum kena disepit lagi, Danial sempat mengelak. Ketawa mereka bersatu. Indah.
“Aisyah Wijdan, terima kasih kerana sudi menerima dan menunggu saya menjadi isteri saya. Saya harap awak sudi membantu saya memimpin mahligai kita ni berseri dan tersergam indah sampai ke syurga. Saya akui, saya bukan lelaki yang terbaik, namun saya cuba pikul amanah ini sebaik mungkin. Saya tak mampu pikul keseorangan, saya perlu bantuan. Bantuan daripada seorang isteri cerdik yang solehah.” Danial melihat butiran jerbih berkaca-kaca mencium pipi mulus isteri. Dia membiarkan seketika, tidak puas memandang wajah redup yang memayung hatinya, yang membelai jiwanya. Kemudian barulah dia menyeka dengan ibu jari. Setelah itu, dia mencium ubun-ubun kepala isterinya itu dengan sekudus doa. Buat sekaliannya lagi dunia seperti terhenti. Seluruh alam seolah merahmati mereka termasuklah satu alam yang pernah mereka jejaki, alam Bunian yang penuh Anugerah. Dia tidak melakukannya setelah akad nikah siang tadi. Dia masih ingat mama mengingatkan tentang itu. “Abah, masa menikahi mama, dia tak terus cium dahi mama. Katanya, biarlah dibuat di dalam bilik atau di dalam ahli keluarga sahaja. Bukan apa, dalam ramai-ramai tetamu kita, boleh jadi ada yang belum mampu nak menikah, tapi syahwatnya sudah ada. Tak manis mencium isteri dalam khalayak ramai.” “Dah dapat jawapan pun menangis? Alahai… betapa baru tahu, manjanyalah isteri saya ni.” Tanya Danial berbaur usikan lagi setelah memateri doa buat isteri tercinta. Tangan Kembali bertaut. “Kalau tak menyakat, tak sah. Terima kasih juga sebab sudi terima saya. Saya bukan sesiapa, tak pandai, tak cantik dan tak ada harta…” “Dah, jom solat!” ajak Danial. Mereka ketawa lagi. Pada satu sudut di luar jendela yang tertutup, tanpa mereka menyedari, ada dua pasang mata yang memerhati dari celahan kain langsir yang bertiup lembut, mensyukuri kebahagiaan mereka berdua dengan sekuntum senyuman. Puteri Aurora, dan Wan Teh, sahabat mereka dari Kampung Anugerah. ‘Sungguh, akhlak mereka mengangkat martabat manusiawi. Aku bangga insan seperti mereka. Semoga akhlak baik tidak terhakis di bumi Allah ini. Malah dapat menyebarkannya dalam realiti dunia yang makin terhakis sifat kemanusiaanya.’ Bicara Wan Teh. “Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin. Dan bertutur katalah yang baik kepada manusia,” (QS AlBaqarah: 83). TAMAT
SINOPSIS Kehadiran seorang pelajar baharu, Aisyah Wijdan menceriakan serta memberi kesan yang tidak dapat dilupakan di alam persekolahan Danial, menjadi asbab dia mempertaruh satu janji kepada pelajar perempuan itu. Hatinya sudah tertarik dengan ketegasan menjaga diri dan pergaulan serta kegigihannya dalam pelajaran. Safwan, rakan sekelas Aisyah suka berkongsi masalah, dalam pada itu juga dia menaruh hati kepada Aisyah. Perasaan yang sama dua lelaki terhadap Aisyah berlarutan sehingga ke alam universiti. Selain masih kekal sebagai junior dan senior, Danial juga telah menjadi naqib usrah kepada Safwan. Perasaan dengki dan iri dalam hati Safwan cuba memerangkap Danial, menyebabkan Danial ditahan polis. Semasa dalam tahanan polis, seorang lelaki tua mempunyai aura tertentu telah tertarik dengan keperibadian Danial, langsung mengikat jamin pemuda itu. Setelah itu, tanpa pengetahuan Danial, dia membuat perancangan mahu anak muda itu menjalankan satu misi besar bersamanya. Dalam misi yang dianggap ‘gila’ bagi Danial, takdir mempertemukannya semula dengan Aisyah. Bagaimanakah mereka boleh bertemu dalam merentasi dua dunia yang berbeza? Berjayakah Danial menyempurnakan satu janji yang pernah dia pertaruhkan selama bertahun-tahun dahulu?