KERANGKA MODAL INSAN SEBAGAI SATU PENDEKATAN BAHARU
Norasiah binti Hj. Abdullah, PhD
[email protected]
IPG Kampus Pendidikan Islam
Abstrak
Penulisan ini bertitik tolak daripada pengamatan terhadap kajian-kajian ilmiah sedia ada yang
menyerlahkan beberapa lompong ilmiah dalam pengkajian tentang nilai. Pengamatan
mengenal pasti kecenderungan kajian-kajian ilmiah dalam menerapkan teori, pendekatan atau
model Barat, selain beberapa kajian yang menerapkan teori/model sastera cetusan para sarjana
tempatan. Objektif penulisan ialah, pertama untuk mengorganisasikan nilai-nilai yang
menunjangi gagasan Modal Insan dalam sebuah kerangka analisis yang sistematik. Kedua,
merumuskan kesesuaian nilai-nilai yang terkandung dalam kerangka Modal Insan. Bagi
mencapai kedua-dua objektif ini, penulisan ini akan meneliti gagasan Modal Insan yang
diterapkan sebagai satu kerangka analisis. Berasaskan kerangka ini, penulisan ini berhasil
dalam mengorganisasikan nilai-nilai yang menunjangi kerangka Modal Insan, yang
kesemuanya merangkumi nilai berilmu, berkeyakinan, beretika, bersopan santun, berdisiplin,
dinamik, sihat, kreatif, inovatif, patriotik, keadilan, cekal dan berdaya saing. Secara
keseluruhannya, penulisan ini merumuskan bahawa kesemua nilai-nilai kerangka Modal Insan
didapati sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam menganalis kajian. Dengan ini, jelas
membuktikan bahawa nilai Modal Insan memainkan peranan penting ke arah usaha-usaha
untuk membangunkan modal insan dalam kalangan murid.
Kata Kunci: Modal Insan, Nilai, Kerangka
Metodologi kajian merupakan kaedah dan teknik mereka-bentuk, mengumpul dan
menganalisis data supaya dapat menghasilkan bukti yang boleh menyokong sesuatu kajian.
Metodologi menerangkan cara sesuatu masalah yang dikaji dan sebab sesuatu kaedah dan
teknik tertentu digunakan untuk mencapai objektif dan matlamat kajian. Metodologi kajian
menjadikan kajian yang dijalankan lebih bersistematik dan perjalanan kajian lebih terarah
dalam mencapai objektif. Metodologi juga bermaksud ilmu tentang metod atau disiplin yang
digunakan semasa melakukan kajian tertentu untuk mencapai matlamat tertentu. Metodologi
kajian juga merujuk kepada kaedah yang paling sesuai untuk menjalankan penyelidikan dan
menentukan tatacara yang efektif bagi menjawab permasalah kajian. Hasil yang akan diperoleh
juga bergantung kepada pemilihan metodologi kajian. Setelah diteliti semua aspek yang
berkaitan dengan tajuk kajian, maka pengkaji akan dapat menentukan atau memilih metodologi
kajian yang sesuai dengan tajuk kajian. Selain itu, metodologi kajian merupakan cara
bagaimana pengkaji mendapat maklumat, bahan, sumber rujukan dan data berkaitan dengan
kajian. Ia merupakan satu perkara yang amat penting dalam melakukan sesuatu penyelidikan
bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan berkualiti.
1
Penulisan ini akan membincangkan tentang metodologi, atau lebih tepat lagi dinamakan
kerangka analisis. Bagi memenuhi tuntutan ini, kajian ini akan memperkenalkan Kerangka
Modal Insan yang diorganisasikan berdasarkan gagasan Abdullah Ahmad Badawi. Untuk itu,
penulisan ini diperuntukkan bagi membicarakan secara komprehensif tentang modal insan, dan
seterusnya menggariskan nilai-nilai yang terkandung. Nilai-nilai yang ditemui akan
diorganisasikan dalam satu kerangka analisis yang sistematik. Bagi memenuhi matlamat ini
akan diterangkan sejarah terhasilnya Kerangka Modal Insan sebagai satu pendekatan,
antaranya ialah latar belakang Abdullah sebagai pencetus gagasan Modal Insan, pengenalan
gagasan Modal Insan. Lebih penting tujuan penulisan ialah untuk menggariskan serta
mengorganisasikan nilai-nilai yang menunjangi Kerangka Modal Insan yang boleh digunakan
untuk menganalisis kajian.
Seperkara yang penting dijelaskan ialah soal pemanfaatan sumber-sumber rujukan, yang rata-
rata merupakan tulisan-tulisan yang menerbitkan ucapan yang mengandungi idea serta
pemikiran Abdullah sebagai pencetus gagasan Modal Insan. Selain itu, dalam usaha untuk
menyediakan perbincangan yang lebih substantif, idea serta pemikiran Abdullah akan
diperhalusi dengan memanfaatkan tulisan-tulisannya yang membahaskan tentang modal insan.
Abdullah Ahmad Badawi: Pencetus Gagasan Modal Insan
Peribadi dan Keluarga
Abdullah dilahirkan di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 26 November 1939.
Beliau yang terkenal dengan panggilan “Pak Lah” (Chamil Wariya, 2004a: 4; Utusan Online,
27 Mei 2017), berasal dari keturunan keluarga yang mempunyai latar belakang agama. Beliau
merupakan anak sulung daripada empat beradik kepada pasangan Haji Ahmad Badawi bin Haji
Abdullah Fahim dan Hajah Khailan binti Hassan. Abdullah juga berasal daripada keluarga
ulama berketurunan Arab (sebelah bapa), manakala sebelah ibunya pula dari keturunan Cina-
Islam di Kwangtung, China (Sivamurugan Pandian, 2005b: 17). Bapa beliau, Hj. Ahmad
Badawi merupakan seorang ulama dan ahli politik yang pernah menjadi ahli parlimen bagi
kawasan Kepala Batas. Selepas tempoh pantang ibunya berakhir, Abdullah dibawa tinggal
bersama bapa dan datuknya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Datuk beliau, Sheikh Abdullah
Fahim merupakan seorang pengetua di Sekolah Idrisiyah, manakala bapa beliau, Datuk Ahmad
Badawi bekerja sebagai guru agama di Madrasah Idrisiyah atas undangan Sultan Perak
(Mokhtar Petah, 1977: 22).
Pada 4 September 1965, Abdullah mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham Datin Seri
Endon Dato’ Mahmood. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata,
iaitu Kamaluddin dan Nori (Sivamurugan Pandian, 2005b: 18). Setelah 40 tahun hidup
bersama, Datin Seri Endon meninggal dunia kerana penyakit kanser payu dara pada 20 Oktober
2005. Dua tahun kemudiannya, Abdullah menikahi Datin Jeanne Abdullah dan melangsungkan
majlis akad nikah pada 9 Jun 2007 di Kuala Lumpur. Dari segi keperibadian, Abdullah
dikatakan memiliki sifat yang berhemah, warak, mesra, sederhana, rendah diri, sabar, sukakan
perpaduan, bertanggungjawab, kuat bekerja dan toleransi. Sifat yang dimiliki ini dikatakan
2
menjadikan beliau seorang pemimpin yang disegani masyarakat. Abdullah pernah diberi
jolokan “Mr Clean” (Chamil Wariya, 2004a: 58; Sivamurugan Pandian, 2005b: 31).
Pendidikan
Dapat dikatakan bahawa Abdullah telah dipersiapkan dengan latar belakang pendidikan yang
seimbang antara keperluan dunia dengan akhirat (Chamil Wariya, 2004a: 43). Beliau mendapat
pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam, Kepala Batas. Beliau
kemudiannya melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan
Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Abdullah turut mengikuti pendidikan agama di
Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarif Wataniah, Kepala Batas, yang juga diasaskan oleh
datuknya (Chamil Wariya, 2004a: 43). Selepas menamatkan persekolahan, Abdullah mula
berkhidmat sebagai seorang guru. Kemudian, beliau meneruskan pengajian di peringkat Ijazah
Sarjana Muda Sastera (kepujian) di Universiti Malaya dalam bidang pengajian Islam dan
menerima ijazah pada tahun 1964 (Chamil Wariya, 2004a: 80). Pendedahan dalam pelbagai
bidang pendidikan meliputi bidang pendidikan agama, pendidikan Melayu dan pendidikan
Inggeris, menjadikan Abdullah seorang yang berilmu. Penguasaan dalam pelbagai bidang ilmu
pendidikan membolehkan beliau dianggap sebagai pemimpin yang menguasai ilmu dunia dan
akhirat (Sivamurugan Pandian, 2007: 15).
Kerjaya dan Karier Politik
Abdullah memulakan kerjaya setelah tamat pengajian dengan menyertai sektor perkhidmatan
awam pada 20 Mac 1964 sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Beliau
kemudian menjawat beberapa jawatan penting di pelbagai kementerian. Pada tahun 1969
hingga 1971, Abdullah meneruskan tugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Majlis
Gerakan Negara (MAGERAN), Jabatan Perdana Menteri (Sivamurugan Pandian, 2007: 16).
Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di kementerian yang
sama pada tahun 1974 (Sivamurugan Pandian, 2005b: 19). Pada tahun 1978-1980, Abdullah
dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan. Kepimpinannya
yang cemerlang melayakkan beliau untuk menjawat jawatan Timbalan Menteri, di
Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84),
Menteri Pelajaran (1984-86), Menteri Pertahanan (1986-87) dan Menteri Luar (15 Mac 1991-
Januari 1999). Seterusnya, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap
Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999 hingga Oktober 2003, sebelum dilantik menjadi
Perdana Menteri Kelima pada 31 Oktober 2003 sehingga 3 April 2009 (Bibliografi Abdullah
Ahmad Badawi: Perdana Menteri Ke-lima, 2011: 9; Chamil Wariya, 2004b: 6; Sivamurugan
Pandian, 2007: 16). Setelah melepaskan jawatan Perdana Menteri Kelima, beliau menjadi
pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), pengasas untuk Forum Ekonomi Islam
Dunia (WIEF), penasihat kepada NGO Landskap Malaysia, penasihat pembangunan koridor
Malaysia dan penasihat Malaysian Airlines. Pada peringkat antarabangsa, Abdullah bergiat
sebagai ahli Inter Action Council, ahli lembaga BOAO Forum untuk Asia (BFA) dan pengerusi
3
Commonwealth Eminent Person Group dari tahun 2010 hingga 2011. Selain itu, beliau juga
merupakan ahli pengasas Asian Peace and Reconciliation Council (APRC).
Merujuk kepada karier politik pula, Abdullah mula menyertai bidang politik dengan menyertai
keahlian dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1964.
Penglibatan Abdullah dalam bidang politik bermula pada tahun 1978, iaitu selepas
ayahandanya, Ahmad Badawi (yang ketika itu sebagai ahli Exco kerajaan negeri Pulau Pinang)
kembali ke rahmatullah pada 8 Mei 1977. Abdullah menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas,
Seberang Prai Utara pada tahun 1978. Semenjak tahun 1981, Abdullah dipilih menjadi ahli
Majlis Tertinggi UMNO. Pada tahun 1984, 1987 dan 1990, Abdullah dipilih memegang
jawatan Naib Presiden UMNO (Sivamurugan Pandian, 2005b: 19-26; Bibliografi Abdullah
Ahmad Badawi: Perdana Menteri Ke-lima, 2011: 9). Abdullah juga pernah dilantik menjadi
pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang pada tahun 1988. Pada tahun 1990,
beliau dilantik sebagai ketua delegasi UMNO ke Jawatankuasa Perundingan Ekonomi Negara.
Pada tahun 1993 hingga 1999, beliau memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Pada
Perhimpunan Agung UMNO tahun 2000, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi
tempoh tahun 2000-2003. Beliau kemudiannya memegang jawatan sebagai Presiden UMNO
sejak tahun 2003 sehingga 2008 (Sivamurugan Pandian, 2005b: 29-33).
Visi dan Misi
Sebagai seorang tokoh politik, Abdullah dianggap telah menunjukkan komitmen yang tinggi
dalam usaha pembangunan negara. Antara yang paling terserlah ialah usaha beliau
mengetengahkan gagasan Modal Insan sebagai satu agenda nasional (Sivamurugan Pandian,
2007: 93). Keprihatinan beliau dalam usaha membangunkan modal insan, antaranya jelas
melalui “Misi Nasional” yang dijadikan sebagai panduan hala tuju utama negara menjelang
Wawasan 2020 (2006-2020) (Utusan Online, 1 April 2006). Menurut beliau, pembangunan
modal insan merupakan antara teras utama dalam memperkembangkan ekonomi berlandaskan
teknologi dan pengetahuan. Beliau turut menekankan soal aspek kemahiran insaniah sebagai
modal yang terpenting dalam kemajuan negara. Untuk mencapai hasrat itu, modal insan perlu
untuk digerakkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai, sebagaimana yang ditekankan
oleh Abdullah ketika membentangkan RMK-9 pada 31 Mac 2006 seperti dalam petikan
berikut:
Kita perlu menerapkan pendekatan yang menyeluruh terhadap
pembangunan modal insan, yang menekankan bukan sahaja ilmu
pengetahuan, kemahiran, tetapi juga nilai etika, minda yang progresif dan
kesedaran budaya yang tinggi (Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi
2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 24).
Dapat dikatakan bahawa gagasan Modal Insan yang dicetuskan oleh Abdullah menekankan
usaha pembentukan insan yang seimbang dari aspek rohani dan jasmani. Penekanan ini,
antaranya jelas pada pengenalan slogan “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang” (Sivamurugan
Pandian, 2005b: 45). Slogan ini dianggap sebagai satu pencapaian unggul yang menjadi
4
matlamat serta hala tuju pembangunan modal insan negara secara individu dan kolektif.
Justeru, dapat dikatakan bahawa antara sumbangan Abdullah yang dianggap paling signifikan
ialah apabila beliau menekankan isu moral dan pembangunan insan. Sumbangan ini turut
mendorong beliau digelar sebagai “Bapa Pembangunan Modal Insan” (Utusan Online, 27 Mei
2017; Berita Harian Online, 27 Mac 2018). Abdullah dianggap sebagai pelopor kepada satu
konsep baharu dalam pembangunan negara berasaskan kepada kekuatan pembangunan modal
insan (Jefridin Atan, Muhammad Hilmi Jalil dan Muhammad Hakimi Mohd Shafiai, 2017:
206).
Dari segi kronologi, dapat dikatakan bahawa Abdullah memulakan pentadbiran dengan
menggunakan slogan “bekerja bersama-sama saya, bukan untuk saya” (Chamil Wariya, 2004a:
170; Sivamurugan Pandian, 2007: 93). Slogan ini mencerminkan iltizam serta kesungguhan
Abdullah bagi memacukan pembangunan negara. Kesungguhan ini turut menyerlahkan
ketokohan Abdullah sebagai seorang pemimpin yang dinamik dengan cara tersendiri. Usaha
murni ini juga menampilkan beliau sebagai Perdana Menteri yang melaksanakan
tanggungjawab secara bersama. Falsafah kepimpinan Abdullah menganggap masyarakat,
penjawat awam, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik sebagai rakan untuk menjayakan
cita-cita bangsa. Abdullah tidak mahu mereka bekerja untuk beliau semata-mata (Sivamurugan
Pandian, 2007: 93).
Seterusnya, semasa menjadi Perdana Menteri, Abdullah menekankan pengurusan negara yang
jujur, efisien dan keislaman. Ketokohan dan kepimpinan yang wibawa dipamerkan oleh
Abdullah dengan melaksanakan sistem pentadbiran yang telus, dan pada masa yang sama
menyebarkan syiar Islam. Antaranya ialah gagasan “Islam Hadhari” yang diperkenalkan dan
menjadi salah satu misi nasional (Sivamurugan Pandian, 2007: 3). Secara umum, dapat
dikatakan bahawa “Islam Hadhari” merupakan satu usaha pengislahan masyarakat, iaitu
perubahan yang membawa kepada kedudukan yang lebih baik daripada sebelumnya (Mohd.
Yusof Hasan, 2007: 87; Sivamurugan Pandian, 2007: 3). Gagasan ini dikatakan banyak
memberikan penekanan terhadap aspek pembangunan, yang menjurus kepada pembinaan
peradaban, iaitu peradaban yang ditunjangi dengan akidah Islam melalui penguasaan ilmu,
pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.
Seterusnya, Abdullah turut melaksanakan Pelan Integriti Nasional (seterusnya PIN), yang
mendidik masyarakat mengenai integriti (Utusan Online, 24 April 2004; Sivamurugan
Pandian, 2007: 9). PIN dilancarkan oleh Abdullah pada 23 April 2004 di Putrajaya, terbentuk
hasil daripada aspirasi rakyat dan pemimpin berdasarkan cabaran keempat Wawasan 2020
(Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi 2004: Siri Ucapan Penting, 2005: 83). Bagi
memantapkan pelaksanaan PIN, Institut Integriti Malaysia ditubuhkan pada hari yang sama.
Institut ini bertanggungjawab sebagai pemantau aktiviti pendidikan dan kesedaran integriti di
sektor awam, swasta dan masyarakat awam. Usaha dilakukan supaya prinsip integriti
dipraktikkan dalam kehidupan harian rakyat Malaysia (Megat Ayob Megat Arifin dan Abd.
Halim Ahmad, 2016: 142).
5
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dikatakan bahawa Abdullah telah memberikan
sumbangan yang signifikan terhadap usaha-usaha untuk membangunkan masyarakat. Antara
sumbangan yang dapat dianggap paling signifikan ialah gagasan Modal Insan. Sebagaimana
yang telah dijelaskan pada awal penulisan ini, gagasan Modal Insan menjadi antara agenda
nasional yang masih dipertahankan dan relevan sehingga kini, sebagaimana yang terserlah pada
penekanannya dalam Transformasi Nasional 50 (seterusnya TN50) dan Transformasi Sekolah
25 (seterusnya TS25). TN50 merupakan inisiatif pembangunan negara jangka panjang.
Seterusnya, TS25 merupakan usaha ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah
berkualiti yang selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025. Manakala, menerusi Buku Harapan Malaysia Baharu di bawah
Kementerian Pendidikan Malaysia turut menekankan usaha pembangunan insan.
Gagasan Modal Insan oleh Abdullah Ahmad Badawi: Satu Pengenalan dan Rentetan
Bahagian ini akan membincangkan tentang gagasan Modal Insan oleh Abdullah secara
komprehensif. Untuk itu, perbincangan ini akan menjejaki isi penting yang terkandung dalam
ucapan-ucapan Abdullah yang memperkatakan tentang gagasan Modal Insan. Perbincangan
tentang ucapan-ucapan Abdullah ini akan disusun secara kronologi bagi memperlihatkan
perkembangan idea serta gagasan tersebut.
Sebagaimana yang telah dijelaskan Malaysia mula memberi penekanan terhadap pembangunan
modal insan dalam RMK-9 pada tahun 2006-2010 (Koleksi Ucapan Abdullah Badawi 2006:
Siri Ucapan Penting, 2007: 42) dan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh
(seterusnya RMK-10) 2011-2015 (Rancangan Malaysia Kesepuluh, 2010; Utusan Online, 9
Julai 2010). Menerusi RMK-9, modal insan menjadi satu strategi dan tumpuan penting dalam
pembangunan Malaysia dan dilihat sebagai satu transformasi dalam memastikan kejayaan
sesebuah negara. Dengan itu, modal insan menjadi satu agenda nasional untuk membangunkan
warga Malaysia dalam pelbagai aspek yang bersifat menyeluruh, holistik dan berkualiti
(Koleksi Ucapan Abdullah Badawi 2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 42).
Sebagaimana yang telah dinyatakan, Abdullah mengambil inisiatif untuk menjadikan
pembangunan modal insan sebagai inti pati serta tunjang utama kepimpinannya. Beliau
menjadikan soal pembangunan modal insan sebagai strategi utama untuk membangunkan
kelestarian jati diri serta nilai tambah rakyat Malaysia. Untuk memastikan usaha ini tercapai,
setiap insan dituntut untuk memastikan pengisian minda dengan ilmu pengetahuan yang
bersesuaian mengikut zaman. Justeru, tumpuan diberikan kepada soal pembangunan insan
yang berkualiti dan dinamik dari segi minda dan akhlaknya. Abdullah dalam ucapannya di
Forum Ekonomi Jeddah pada 20 Februari 2005 turut menekankan soal modal insan, antara lain
menjelaskan seperti dalam petikan berikut: “Untuk kebanyakan negara sekarang,
pembangunan sumber manusia dan pembentukan modal manusia adalah amat penting.”
(Utusan Malaysia, 21 Februari 2005). Kenyataan ini menunjukkan akan keperluan bagi negara
untuk membangunkan sumber manusia untuk dijadikan modal pada masa hadapan.
6
Seterusnya, Abdullah turut memperkatakan tentang modal insan ketika membentangkan RMK-
9 di Parlimen, Malaysia pada 31 Mac 2006. Beliau antaranya menjelaskan tentang keperluan
membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran, berteknologi,
berkeusahawanan dan memiliki nilai sebagai keutamaan, sebagaimana yang jelas diungkapkan
dalam petikan berikut:
Usaha membangunkan modal insan berkualiti akan digiatkan. Pendekatan
kepada pembangunan modal insan haruslah secara holistik, menekankan
pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelektual termasuk
ilmu sains, teknologi dan keusahawanan, dan juga pembudayaan sikap
progresif serta nilai etika dan moral yang tinggi (Koleksi Arkib Ucapan
Ketua Eksekutif, 31 Mac 2006).
Selain itu, Misi Nasional dan RMK-9 juga menetapkan pembangunan modal insan berminda
kelas pertama sebagai salah satu daripada lima teras utama bagi mencapai Wawasan 2020.
Pelaburan modal insan secara holistik yang lengkap dengan pengetahuan, kemahiran serta nilai
moral dan etika yang utuh, diberi penekanan dalam RMK-9 (Mustafa Dakian, 2009: vii).
Berdasarkan teras yang digariskan, dapat dikatakan bahawa modal insan yang ingin
dibangunkan adalah individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral
yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif,
sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing (Buku Rasmi Tahunan
Malaysia, 2006).
Seterusnya, dalam wawancara bersama pihak Radio Televisyen Malaysia pada 3 April 2006,
Abdullah turut menghuraikan tentang kekuatan modal insan menerusi RMK-9 dalam usaha
mencapai kemajuan negara menjelang Wawasan 2020 (Koleksi Ucapan Abdullah Badawi
2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 46). Menurut beliau, kekuatan modal insan terletak pada
mereka yang kuat kerana memiliki ilmu pengetahuan, kekuatan jasmani dan kekuatan moral.
Kekuatan modal insan tidak akan lahir jika tidak diasaskan kepada kekukuhan dan kekuatan
moral, sebagaimana petikan temu bual berikut:
Kalau kita nak misi, pembawa misi mestilah orang yang kuat, kuat kerana
ilmu pengetahuan yang dikuasainya, perlu kuat dari segi jasmaninya, dan dia
kena kuat dari segi moralnya. Jadi, semua ini perlu kuat. Maka sebab itu saya
tekankan sepanjang RMK-9 ini, boleh kata di setiap buku dan bab itu
disebutkan tentang modal insan. Mengapa? Sebab itu modal, bukan hanya
satu faktor sahaja. Sebab keseluruhan dan kemajuan yang hendak dibina ini,
struktur yang akan dibina ini akan dibina atas adanya modal insan. Kekuatan
modal insan itu takkan sempurna selagi ia tidak diasaskan kepada kekukuhan
dan kekuatan moral (Koleksi Ucapan Abdullah Badawi 2006, 2007: 46).
Seterusnya, gagasan Modal Insan turut dihuraikan lagi oleh Abdullah ketika menyampaikan
perutusan sempena Hari Pekerja pada 1 Mei 2006. Antara inti pati ucapan beliau ialah
7
keperluan modal insan berminda kelas pertama menjadi keutamaan bagi sebuah negara maju,
sebagaimana yang dijelaskan menerusi petikan berikut:
Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan
serta ingin menjadi bukan sahaja sekadar mana-mana negara maju tetapi
negara maju yang mempunyai identitinya sendiri serta mampu terus kekal
pada tahap itu, pembangunan modal insan berminda kelas pertama harus
diutamakan (Utusan Online, 2 Mei 2006).
Seterusnya, Abdullah dalam Majlis Konsultasi Bajet 2007 di Putrajaya pada 1 Jun 2006,
memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan yang boleh dicapai melalui ilmu
pengetahuan yang diselaraskan dengan hasrat untuk membangunkan ekonomi yang cemerlang,
sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:
Selain daripada penerokaan sumber pertumbuhan baru, kita juga perlu
memberi penekanan kepada pembangunan modal insan selaras dengan
hasrat ke arah membangunkan ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan.
Langkah ini amat penting bagi menjamin tenaga kerja kita lebih
berkemahiran tinggi, produktif serta sentiasa komited dalam usaha mencapai
kejayaan yang lebih cemerlang (Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi
2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 74).
Selanjutnya, gagasan Modal Insan turut dihuraikan oleh Abdullah ketika ucapan Bajet 2007
pada 1 September 2006. Pada kesempatan itu, Abdullah menjelaskan tentang pentingnya usaha
pembangunan modal insan untuk meningkatkan pengetahuan dan inovasi serta memupuk
minda kelas pertama. Antaranya, Abdullah menjelaskan kepentingan tentang membangunkan
modal insan yang berpengetahuan, kreativiti, inovasi serta sihat. Untuk itu, pembangunan
modal insan menjadi prasyarat untuk memacu pertumbuhan ekonomi berpaksikan pengetahuan
serta teknologi untuk membina negara yang lebih berdaya saing dan maju. Adalah jelas bahawa
dalam Bajet 2007 modal insan dijadikan agenda utama dalam pembangunan negara (Koleksi
Ucapan Abdullah Badawi 2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 102).
Seterusnya, ketika majlis Pelancaran Kursi Tan Sri Dr. Noordin Sopiee Mengenai Kajian
Global di Universiti Sains Malaysia pada 4 September 2006, Abdullah turut menjelaskan
tentang soal pentingnya perkongsian idea dan sumber modal insan secara pintar dengan
membangunkan satu tamadun berasaskan ilmu. Perkongsian idea dalam kalangan modal insan
yang berilmu, dianggap sebagai asas untuk melahirkan masyarakat bertamadun yang memiliki
nilai-nilai keinsanan (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 4 September 2006). Gagasan
Modal Insan sekali lagi dihuraikan oleh Abdullah dalam ucapannya di Majlis Pelancaran
Wilayah Ekonomi Johor Selatan bertempat di Danga Bay, Johor Bahru pada 4 November 2006.
Dalam ucapan itu, Abdullah menjelaskan tentang pentingnya modal insan dalam
menggalakkan pertumbuhan sektor-sektor baharu seperti kemahiran teknologi dan komunikasi,
multimedia dan kreatif. Hal ini membolehkan negara berkembang secara dinamik dan
progresif, di samping menyediakan pendidikan yang bertaraf tinggi. Menurut Abdullah,
8
kehadiran insan berilmu dan berkemahiran dapat membantu mempercepatkan proses
pembangunan, sebagaimana yang dijelaskan oleh beliau seperti petikan berikut:
“Pengembangan minda dan kemahiran dianggap sebagai komponen penting bagi
pembangunan negeri Johor secara berterusan, perhatian diberikan kepada penyediaan
pendidikan bertaraf tinggi” (Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi 2006: Siri Ucapan
Penting, 2007: 128).
Sehubungan itu, Abdullah semasa Majlis Pelancaran Institut Integriti dan Sambutan Hari
Integriti Nasional 2006 di PICC, Putrajaya pada 9 November 2006, turut memberi penekanan
terhadap perwatakan yang luhur, kewibawaan yang jitu dan tahap disiplin yang tinggi. Beliau
menyeru supaya masyarakat Malaysia menjadikan integriti sebagai usaha yang berterusan dan
bekerja dengan gigih untuk memakmurkan negara (Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi
2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 136). Seterusnya, Abdullah dalam Majlis O.I.C. Human
Capital Management Conference di Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah
pada 23 November 2006 memberi penekanan terhadap strategi pembangunan modal insan yang
sesuai dalam pasaran global yang kompetitif. Pasaran yang menuntut modal insan untuk terus
bersaing dalam pasaran dunia. Antara strategi tersebut ialah memberi penekanan terhadap
kerjasama antara universiti dengan pihak industri bagi membangunkan modal insan. Matlamat
ini boleh dicapai melalui bidang penyelidikan yang dapat meningkatkan keupayaan inovasi
negara (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 23 November 2006).
Menjelang tahun 2007, Abdullah meneruskan usahanya yang menginginkan semua masyarakat
merealisasikan RMK-9 dan berazam penuh terhadap pembangunan modal insan sebagai teras
utama. Justeru, modal insan dijadikan sebagai garis panduan dalam usaha merealisasikan
kewujudan sebuah negara yang maju, dengan slogan “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”
menjelang Wawasan 2020. Beliau berpendapat bahawa pembangunan modal insan dan anjakan
minda merupakan satu cabaran terbesar. Dengan kata lain, usaha pembangunan modal insan
dalam RMK-9 turut memberi tumpuan kepada aspek keinsanan yang terbina menerusi falsafah
hidup, agama dan moral (Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi 2006: Siri Ucapan Penting,
2007: 23 & 26).
Seterusnya, Abdullah dalam ucapan di Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Wilayah Ekonomi
Koridor Utara Peringkat Negeri Kedah, menyatakan bahawa nilai tambah kepada sektor-sektor
luar bandar dapat direalisasikan dengan menambah nilai industri-industri bandar, sekali gus
menambah nilai kepada modal insan. Justeru, semua pihak diseru untuk berusaha menjadikan
koridor utara sebuah wilayah yang moden, berinovasi dan berdaya saing (Koleksi Arkib
Ucapan Ketua Eksekutif, 30 Julai 2007).
Seterusnya, Abdullah dalam ucapan di Majlis Pelancaran Wilayah Ekonomi Koridor Utara
Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 31 Julai 2007, menjelaskan bahawa pembangunan modal
insan penting bagi menjayakan pembangunan negara. Pembangunan dapat dijayakan dengan
penyertaan bersepadu oleh seluruh warga, sebagaimana dijelaskan dalam petikan berikut:
“Program pembangunan wilayah ekonomi koridor utara memerlukan penyertaan modal insan
9
untuk mencapai matlamat yang telah disasarkan” (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 31
Julai 2007).
Abdullah turut menghuraikan gagasan Modal Insan dalam ucapannya di Majlis Konsultasi
Bajet 2009 di Putrajaya pada 21 April 2008. Dalam ucapan ini, beliau menjelaskan tentang
pentingnya usaha untuk mengambil langkah-langkah pembaharuan yang proaktif dan inovatif
dalam memacu peningkatan nilai tambah serta memantapkan daya saing dan ketahanan.
Pembangunan modal insan berkualiti perlu dipertingkatkan sebagai satu strategi bagi
meningkatkan peluang pekerjaan, selain meningkatkan produktiviti bagi negara (Koleksi Arkib
Ucapan Ketua Eksekutif, 21 April 2008).
Seterusnya, Abdullah semasa ucapan di Majlis Kajian Separuh Penggal RMK-9 di Dewan
Rakyat, Parlimen Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008, turut menyeru masyarakat supaya bersama-
sama mendukung usaha untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur,
progresif, adil, berdaya tahan dan daya inovasi. Kesemua ini penting bagi memacu
pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara. Usaha ini perlu diberi keutamaan dalam
melahirkan modal insan yang berkualiti dan berpengetahuan, berinovasi dan memiliki nilai-
nilai positif. Hasrat untuk melahirkan modal insan dengan minda kelas pertama turut menuntut
kepada pembinaan masyarakat yang mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh (Koleksi
Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 26 Jun 2008).
Dalam pembentangan Bajet 2009 di Parlimen pada 29 Ogos 2008, Abdullah turut memberi
penekanan terhadap gaya hidup sihat dalam membangunkan modal insan berkualiti dan
seimbang dari segi jasmani, rohani dan intelek. Gaya hidup sihat, daya saing dan inovasi
merupakan nilai-nilai dalam membangunkan modal insan (Koleksi Arkib Ucapan Ketua
Eksekutif, 29 Ogos 2008).
Manakala, dalam ucapan beliau di Majlis Perasmian Kampus Tetap Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM) di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada 25 November 2008, Abdullah
antara lain melahirkan hasrat agar USIM membangunkan modal insan melalui program yang
dapat memupuk nilai-nilai, kemahiran serta keyakinan diri pelajar agar dapat menyesuaikan
diri dalam masyarakat dan alam kerjaya (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 25 November
2008).
Seterusnya, pentingnya soal membangunkan modal insan turut ditekankan oleh Abdullah
dalam ucapannya ketika majlis perasmian Perayaan Jubli Intan Jabatan Perkhidmatan Awam
di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Pada kesempatan ini, beliau mahukan penjawat
awam menghayati nilai-nilai murni dalam usaha memberikan perkhidmatan yang melangkaui
kebiasaan. Justeru, pembangunan modal insan wajar memberi fokus terhadap penguasaan ilmu
pengetahuan, berkemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang mantap (Koleksi Arkib
Ucapan Ketua Eksekutif, 12 Februari 2009).
Seterusnya, penekanan terhadap pentingnya gagasan Modal Insan turut dibangkitkan oleh
Menteri Pendidikan Malaysia sekarang iaitu Dr. Maszlee Malik. Dalam rencana yang terbit
10
dalam Utusan Online, Dr. Maszlee Malik antara lain membangkitkan soal sistem pendidikan
di negara-negara maju yang dianggapnya lebih ke hadapan kerana lebih mementingkan aspek
pembentukan karakter bagi melahirkan individu yang inovasi dan kreatif (Utusan Online, 21
Mei 2018). Manakala, dalam rakaman wawancara dengan Astro AWANI, Dr. Maszlee Malik
antaranya lain menekankan unsur kemanusiaan yang dianggap paling perlu diterapkan dalam
sistem pendidikan negara (Astro AWANI, 16 Mei 2018). Sesungguhnya, kenyataan Dr. Maszlee
Malik jelas memperlihatkan bahawa aspek pembangunan insan bukan sahaja masih relevan,
bahkan dianggap menuntut kepada perhatian serius dalam sistem pendidikan negara.
Kerangka Modal Insan
Perlu dijelaskan bahawa sebagai satu agenda nasional, gagasan Modal Insan telah
diperkenalkan serta dijelaskan oleh Abdullah pada banyak kesempatan, sama ada dalam
ucapan, perutusan, dialog, forum, mahupun temu bual. Pengenalan serta penjelasan ini turut
merangkumi aspek falsafah serta prinsip yang membolehkan gagasan Modal Insan ini
diterjemahkan dalam bentuk dasar serta perancangan strategik pada peringkat nasional. Lebih
signifikan dalam konteks pengkajian ilmiah ialah apabila gagasan Modal Insan ini turut
menarik perhatian para sarjana serta pengkaji yang sehingga kini telah memberikan kupasan,
komentar serta kritikan terhadapnya. Hal ini dengan sendirinya menawarkan kelebihan dalam
usaha menerapkan gagasan Modal Insan sebagai kerangka bagi menganalisis kajian.
Sehubungan dengan usaha untuk memanfaatkannya (gagasan Modal Insan) sebagai satu
kerangka analisis, perlu bagi sesebuah kajian untuk mengorganisasikan nilai-nilai yang
menjadi tunjang kepada gagasan Modal Insan dalam sebuah kerangka yang sistematik.
Organisasi ini penting bagi membolehkan kajian ini untuk menganalisis kajian secara
sistematik berdasarkan nilai-nilai yang menunjangi gagasan Modal Insan.
Rajah 1 : Carta Aliran Mengorganisasikan Kerangka Modal Insan
11
Rajah 2 : Nilai-nilai dalam Kerangka Modal Insan
Perbincangan ini berhasil dalam meneliti nilai-nilai Modal Insan, mengenal pasti, nilai-nilai
Modal Insan, dan seterusnya mengorganisasikan nilai-nilai yang menunjangi kerangka Modal
Insan. Berdasarkan Rajah 1, carta aliran mengorganisasikan kerangka Modal Insan dapat
dihasilkan.
Rajah 3 : Kerangka Modal Insan dalam Novel Teks KOMSAS
12
Kesimpulan
Kesimpulannya, secara keseluruhannya, dan berdasarkan kajian-kajian ilmiah yang disoroti,
dapat disimpulkan bahawa nilai menjadi satu persoalan yang dianggap mempunyai makna
yang besar dalam pembentukan diri insan. Nilai juga dianggap menjadi kayu ukur dalam
kehidupan seseorang insan, justeru dipupuk dalam usaha membangunkan modal insan.
Sehubungan dengan itu, modal insan menjadi satu usaha pembangunan untuk melahirkan insan
yang berilmu, berkeyakinan, beretika, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, sihat, kreatif,
inovatif, patriotik, keadilan, cekal dan berdaya saing. Seiring dengan pemahaman ini juga,
penulisan ini diusahakan untuk meneliti kerangka Modal Insan sebagai satu pendekatan
analisis yang mengandungi nilai-nilai seperti yang digariskan dalam kerangka Modal Insan
( lihat Rajah 2).
Rujukan
Astro AWANI (2018). Unsur Kemanusiaan Harus Diterapkan dalam Sistem Pendidikan. Video
Astro AWANI, 16 Mei 2018. http://www.astroawani.com/video-malaysia/ unsur-
kemanusiaan-harus-diterapkan-dalam-sistem-pendidikan-209568. Muat Turun Pada 25
Mei 2018
Bibliografi Abdullah Ahmad Badawi: Perdana Menteri Ke-lima. (2011). Kuala Lumpur:
Perpustakaan Negara Malaysia.
Chamil Wariya. (2004a). Abdullah Ahmad Badawi: Perjalanan Politik Perdana Menteri Ke-
5. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi 2004: Siri Ucapan Penting. (2005). Kuala Lumpur:
Jabatan Penerangan Malaysia.
Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi, 2006: Siri Ucapan Penting. (2007). Kuala Lumpur:
Jabatan Penerangan Malaysia.
Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif. (2006). Ucapan Perdana Menteri, Yab Dato' Seri
Abdullah Ahmad Badawi, Semasa Membentangkan Usul Mengenai, Rancangan
Malaysia Kesembilan, 2006-2010. (31 Mac 2006). http://www.pmo. gov.my/ ucapan/
?m=p&p=paklah&id=3003 diakses pada 26 Mei 2015 Koleksi Arkib Ucapan Ketua
Eksekutif, 4 September 2006).
. (2006). O.I.C. Human Capital Management
Conference 2006. (23 November 2006). http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m
=p&p=paklah&id=3063 diakses pada 26 Mei 2015.
. (2007). Ucapan Pelancaran Wilayah Ekonomi Koridor
Utara Peringkat Negeri Perlis. (30 Julai 2007). http://www.pmo.gov.my/
ucapan/?m=p&p=paklah&id=3122 diakses pada 26 Mei 2015.
13
. (2007). Ucapan Pelancaran Wilayah Ekonomi Koridor
Utara Peringkat Negeri Pulau Pinang. (31 Julai 2007). http://www.pmo
.gov.my/ucapan/?m=p&p=paklah&id=3123 diakses pada 26 Mei 2015.
. (2008). Ucapan Kajian Separuh Penggal Rancangan
Malaysia Kesembilan 2006-2010. (26 Jun 2008). http://www.pmo. gov. my/
ucapan/?m=p&p=paklah&id=3189 diakses pada 21 Mei 2015.
. (2008). Ucapan Bajet 2009. (29 Ogos 2008).
http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=paklah&id=3196 diakses pada 26 Mei 2015.
. (2008). Ucapan Majlis Perasmian Kampus Tetap
Universiti Sains Islam Malaysia (U.S.I.M.). (25 November 2008).
http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=paklah&id=3209 diakses pada 21 Mei 2015.
Megat Ayop Megat Arifin dan Abd. Halim Ahmad. (2016). Kepentingan Budaya Integriti dan
Etika Kerja dalam Organisasi di Malaysia: Suatu Tinjauan Umum. GEOGRAFIA Online
TM Malaysian Journal of Society and Space. 12 issue 9/2016. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia: 138 – 149.
Mohd. Yusof Hasan. (2007). Islam Hadhari Menangani Gelombang Globalisasi. Tanjong
Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mokhtar Petah. (1997). Datuk Abdullah Badawi, Pejuang Kemanusian Sejagat. Kuala
Lumpur: Pustaka Antara.
Mustafa Dakian. (2009). Pembangunan Modal Insan: Misi 2057 Berteraskan Islam dan
Konvensional. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.
Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015. (2010). Putrajaya: Unit Perancang Ekonomi,
Jabatan Perdana Menteri, Malaysia.
Sivamurugan Pandian. (2005b). Abdullah Ahmad Badawi: Jalan Ke Puncak. Kuala Lumpur:
Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.
. (2007). Abdullah Ahmad Badawi: 3 Tahun di Putrajaya. Kuala Lumpur:
Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.
_________________. (2004). Pelan Integriti diLancarkan-Dibenntuk Ikut Acuan Malaysia,
Milik Bersama Semua Rakyat-PM. (24 April 2004). http://ww1. utusan.com.my/
utusan/info.asp?y=2004&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=d
n_01.htm diakses pada 21 Mei 2015.
Utusan Online. (2005). Pembangunan Sumber Manusia Soal Hidup Mati Negara Islam. (21
Februari 2005). http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y= 2005&dt=0221 &
pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm&arc=hive diakses pada
23 Jun 2015.
14
. (2006). Memacu Misi Nasional. (1 April 2006).
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0401&sec=Rencana&pg=re_
01.htm diakses pada 15 Julai 2013.
. (2018). Dr. Maszlee Paling Popular. (21 Mei 2017) http://www.
utusan.com.my/berita/nasional/dr-maszlee-paling-popular-1.676422 diakses pada 25
Mei 2015.
15