ULASAN BUKU Takdir Itu Anugerah. Mohd Sukur Ibrahim. Batu Caves, Selangor: Publishing House Sdn. Bhd., 2017. 153 Muka Surat. Kali ini kita akan mengupas sebuah buku yang berjudul „Takdir Itu Anugerah‟ yang di tulis oleh seorang insan istimewa iaitu Muhd. Sukur Ibrahim. Buku ini mengandungi 10 bab yang ditulis bukan seperti sebuah rencana yang panjang. Namun setiap bab yang terkandung di tulis seumpama kata-kata hikmah, pesanan, nasihat dan tips-tips yang menarik serta mengandungi makna yang tersendiri. Seperti dalam bab yang pertama berkaitan dengan kekeluargaan, antara seorang ibu dengan anak, antara ayah dengan anak dan antara seorang isteri dengan seorang suami seperti saudara Mohd Sukur Ibrahim mengalami kecacatan tangan dan kakinya. Beliau bercerita pada awalnya seorang ayah yang tidak mampu menerima takdir bahawa anaknya mengalami kecacatan seumpama ini. Namun lama kelamaan beliau bersyukur atas anugerah yang diberi kepada anaknya maka inilah Mohd Sukur Ibrahim yang berjaya membuka mata manusia mahupun mata dunia OKU itu tetap OK. Antara kata-kata hikmah yang terselit dalam bab ini adalah seperti “kebahagian itu hanya akan muncul apabila anda menerima hakikat siapa diri kita”.
Bab-bab seterusnya juga memaparkan idea-idea atau pandangan yang sangat berkait rapat dengan tajuk dan isu berkaitan bab-bab tersebut. Dan ditulis begitu ringkas namun seperti yang dinyatakan diawal tadi ianya merupakan kata-kata hikmah, pesanan, dan nasihat seumpama sebuah motivasi untuk diri kita atau para pembaca yang berkesempatan dan berminat untuk membaca buku ini. Contohnya dalam bab yang kedua berkenaan dengan perniagaan. Apa yang dicoret oleh penulis buku ini iaitu “lakukan apa yang kita cinta dan cintailah apa yang kitra lakukan”. Ungkapan ini begitu ringkas sekali namun jika disalami makna dan pengertiannya ianya mempunyai maksud yang sangat dalam dan seandainya mampu dijadikan pegangan dalam pekerjaan pasti kita mampu menikmati kejayaan dan kepuasan dalam bidang dimana kita berada. Usaha tanpa doa pasti agar sukar menjadi akan tetapi usaha plus doa pasti akan menjadi. Tindakan perlu disusuli dengan ilmu apabila keduanya bersatu barulah kita mampu mencapai kejayaan. Dalam bab terakhir buku ini penulis juga mengungkapkan perkataan perbandingan seperti “adalah lebih baik kalau kita bandingkan diri kita hari ini dengan diri kita yang semalam sudah pasti kita mahu menjadi lebih baik untuk hari esok”.
Kesimpulannya, buku ini menceritakan kejayaan seorang OKU yang telah menempah kejayaan sehingga dianugerahkan sebagai Penerima Anugerah Khas OKU (Usahawan) Sempena Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2014. Sebuah buku yang sangat unik dan ringkas dengan bahasa-bahasa kiasan yang sangat menarik yang mampu menyuntik minda kita untuk menjadi insan yang berjaya. #OKUtapiOK Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini dan isi kandungannya, sila kunjungi Perpustakaan Cawangan Sandakan atau Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Diulas oleh, Amir Bin Anuar Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan