ULASAN BUKU Variasi Jahitan Silang Pangkah: Mudah & Menarik. Samantha Manon. Shah Alam, Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd., 2015. 129 Muka Surat. Seni jahitan silang pangkah atau dikenali juga sebagai Cross Stitch merupakan salah satu seni jahitan yang tertua di dunia. Asalnya ia digunakan sebagai hiasan pakaian oleh masyarakat di Amerika, Eropah Timur dan Eropah Tengah. Sehingga hari ini, sulaman ini masih dikekalkan dan diperkenalkan di seluruh dunia. Seni jahitan silang pangkah ini merupakan bentuk jahitan berhias yang dihasilkan dalam reka bentuk silang pangkah ‘X’ yang disulam di atas kain yang mempunyai lubang atau kotak. Kebiasaannya hasil seni jahitan silang pangkah ini dibingkaikan untuk dijadikan hiasan rumah mahupun pejabat. Kini, ia tidak lagi dibingkaikan dan dijadikan hiasan semata-mata, malah ia juga boleh dipelbagaikan kegunaannya. Ia boleh dijahit menjadi hiasan untuk kerusi, beg serbaguna, bekas alat tulis, alas meja, alas dulang, sarung bantal, selimut bayi dan lain-lain perkakas rumah. Bukan itu sahaja, untuk keunikan ada juga boleh menghasilkan kad ucapan ataupun hiasan dinding.
Buku ‘Variasi Jahitan Silang Pangkah: Mudah & Menarik’ ini begitu menarik bagi saya kerana naskhah ini menyediakan pelbagai reka bentuk jahitan silang pangkah mudah yang boleh dijadikan hiasan rumah, aksesori dan juga pakaian. Penulis telah menyediakan 21 reka bentuk flora dan fauna yang boleh dijadikan pilihan dengan memaparkan langkah demi langkah yang terang, jelas dan mudah diikuti. Dengan variasi reka bentuk dan warna yang menarik, hobi menjahit silang pangkah menjadi lebih menyeronokkan lagi. Pelbagai reka bentuk dan paten sulaman silang pangkah yang terdapat di pasaran. Namun di dalam naskhah ini dipaparkan koleksi sulaman bermotif alam flora dan fauna seperti bunga-bungaan dan juga binatang kesukaan ramai yang comel yang merupakan idea penulis sendiri. Buku ini sesuai dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat kerana penulisan yang ringkas dan padat serta menggunakan bahasa yang mudah difahami. Dengan buku ini juga, pembaca akan mendapat nafas baru berserta idea-idea yang unik dan menyeronokkan. Pembaca juga berpeluang menghasilkan karya sendiri. Hiasan jahitan silang pangkah yang ringkas dan menarik akan menambahkan seri di kediaman.
Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini dan isi kandungannya, sila kunjungi Perpustakaan Cawangan Sandakan atau Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Diulas oleh, Siti Alimah Binti Awang Saleh Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan