The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by siti102646, 2021-10-24 00:55:58

BERTANDING LAGI?

HANIZA BINTI HASHIM

Oleh
Pn. Haniza binti Hashim

Pengetua Cemerlang
Disember 2017 – Nov 2021



“PPD minta kita masuk bertanding lagi untuk Musolla,
Puan”, Musliha memberitahuku. ”Untuk peringkat
negeri,” tambahnya lagi. Aku yang baru 5 bulan di sekolah
ini agak terkejut. “Sekolah ni dah pernah masuk
bertanding peringkat kebangsaan untuk dua, tiga tahun
dah,” katanya lagi. “Pernah menang ke?” tanyaku lagi.
“Tak pernah menang, Puan. Dapat sagu hati je” kata
Musliha.

Musliha ialah Penyelaras Musolla Az-Zahra. “Habis.....
kita nak masuk bertanding lagi ke? Prinsip saya mudah je.
Kalau awak sanggup dan guru-guru sanggup untuk buat
persiapan kita masuk. Duit kita carilah kat mana-mana”
ujarku. “Kita masuklah, Puan. Fail-fail semua dah ada.
Cuma nak tambah je lagi,” dengan yakin Musliha memberi
persetujuan.

Sejak itu bermulalah usaha untuk menyediakan musolla
Az-Zahra bagi menyertai pertandingan peringkat negeri. Tidak
banyak yang dapat dilakukan kerana kekangan dari aspek
kewangan. Bersama-sama dengan AJK Musolla, kami
membuat perancangan. Aktiviti gotong-royong dijalankan
bersama-sama dengan PIBG beberapa kali. Semua Penolong
Kanan, Ketua Bidang, AJK musolla, guru-guru dan pekerja
pembersihan turut memberi komitmen.

Apa yang menarik suami
guru-guruku juga turut
meringankan tulang memberi
kerjasama. Aku tidak menghadapi
banyak masalah kerana musolla
sekolah ini telah beberapa kali
menyertai pertandingan.

AJK sangat memahami keperluan
untuk memenuhi instrumen ASISS.
Pendek kata apa yang dikehendaki
dalam instrumen, itulah yang kami
sediakan. Aku tidak ada pengalaman
menyertai ASISS di sekolah sebelum
ini. Satu pengalaman baru buatku.

Ada ketikanya kami berada di sekolah sehingga pukul 12
malam untuk kerja-kerja mengecat, menyiapkan perhiasan
kayu dan bunga. Terserlah kejeleketan warga kerjanya.
“Sangat komited rupanya guru-guruku,” bisik hatiku. Akhirnya
tiba masa untuk membuat pembentangan. Pembentangan
dilakukan di PPD Pekan. Aku ditemani oleh Hazliman, Rosita,
Shadni dan Irzawani. Ketika itu hari dah petang. Tiba giliranku
untuk membuat pembentangan.

Dalam pemerhatianku, aku

melihat panel hanya sesekali

sahaja melihat kepada

persembahan slaid yang

dipaparkan. Aku tertanya-tanya.

“Mungkin tak menarik

pembentanganku agaknya,”.

Dalam perjalanan pulang barulah

kutahu jawapannya. Sebenarnya

panel yang sama pernah datang ke

sekolahku untuk membuat

penilaian. “Hmm..... patutlah.

Mungkin mereka sudah dapat

membayangkan musolla sekolahku

dalam benak fikiran mereka,”

getus hatiku.

Selepas keputusan
diumumkan, sekali lagi
sekolahku akan mewakili
negeri Pahang ke peringkat
kebangsaan. Terdetik dalam

hati, mungkin panel
penjurian yang sama juga
yang akan datang dari KPM.

Jika panel yang sama
datang, sudah pasti senario

yang sama sewaktu
pembentangan peringkat
negeri akan berlaku lagi.

Panel pun endah tak endah sahaja nanti sewaktu
pembentangan. Aku nekad. Perubahan mesti dilakukan jika
inginkan kemenangan. Alang-alang masuk bertanding biar
menang. Untuk itu, maka perbincangan yang serius telah
dilakukan. Kali ini penglibatan PIBG sangat-sangat diperlukan.
Bersama-sama YDP Kapt (B) Shamsuddin, kami merancang
dengan teliti.

Musolla perlu diubah
seratus peratus.

Alhamdulillah, PIBG
sanggup membantu.
Kami bersama-sama
memikirkan cara untuk
mencari dana. Benar
kata orang, ada duit
semuanya jadi. Kertas

kerja disediakan.
Matlamat utama
sekarang adalah
mengubah musolla
sekolah 360 darjah.

Rupa-rupanya di sinilah kekuatan kami. Kesepakatan,
kejeleketan dan kerjasama menjadi tunjang dalam
melaksanakan visi. Visi mendapatkan dana. Pada saat
ini, pengalaman sewaktu mendapatkan dana untuk
membina astaka dan surau di sekolah lama aku gunakan.
Kertas kerja diberikan kepada pemimpin-pemimpin
tempatan. Antaranya ialah Ahli Parlimen, Timbalan
Menteri, Menteri Besar, syarikat-syarikat, orang
perseorangan, guru-guru, ibu bapa dan bekas-bekas
murid sekolah ini. Alhamdulilah rezeki Allah swt.

Tak sangka ramai yang ingin

memberi sumbangan untuk

musolla Az-Zahra. Tebal juga

muka nak minta sumbangan

daripada orang . Aku

berpendapat tak salah kalau kita

mencuba. Hendak seribu daya,

mahu seribu cara. Doa sentiasa

dipanjatkan agar urusan kami

dipermudahkan. Dalam tempoh

persediaan itu kami dibantu oleh

pegawai JPNP Ustaz Amran dan

Ustaz Zairi. Pujian harus diberikan

kepada Ustaz Amran yang

sentiasa komited bersama-sama

kami tanpa mengira masa.

Pada Hari Pelaporan bersama-sama ibu
bapa, dalam ucapan aku selitkan juga
tentang dana yang kami perlukan ini.
Tabung-tabung kami sediakan. Sesiapa
sahaja tetamu yang datang ke sekolah
pada ketika itu, aku ceritakan tentang misi
sekolah untuk pertandingan musolla. Aku
akan terus minta sumbangan. Tak banyak,
sedikit dihulurkan oleh mereka. Tetapi
yang paling aku tidak boleh lupa ialah kami
meletakkan tabung Imarah Musolla
Az-Zahra di masjid TP dengan bantuan YDP
PIBG. “Ish .... boleh ke?” bisik hatiku. Cuba
jelah.

Aku menghubungi AJK Masjid TP.

En. Mohd Saffian namanya. Aku

menceritakan hasratku.

Alhamdulilah syukur.... Allah swt

permudahkan urusan. Dapatlah

kami meletakkan tabung tersebut di

masjid untuk satu malam sahaja.

Jika untuk satu tempoh masa yang

lama aku perlu memohon

kebenaran daripada Pejabat Agama

Islam. Sumbangan dalam bentuk cek

dan wang tunai mencurah-curah

dari pelbagai sumber. Dana

sebanyak RMXXXXX.XX telah kami

terima. Terasa benar rahmat dan

pertolongan daripada Allah swt

ketika itu.

Kerja-kerja mengecat laluan ke musolla dari Sudut Ilmu telah
dilakukan. Begitu juga kawasan laluan As-Salam di sebelah kiri
dewan dicantikkan dengan tanaman serta pagar hiasan
berwarna putih. Persada ilmu dihiasi terutama di sudut
Az-Zahra. Maklumat tentang srikandi Islam dan maklumat
mengenai puteri kesayangan Rasulullah saw Fatimah Az-Zahra
dikemas kini. Wakaf Aishah dihias dengan cantik. Taman
Herba An-Najwa ditambah baik dengan pelbagai pokok-pokok
herba dan sayur-sayuran. Kawasan pergola diletakkan dengan
label nilai-nilai murni yang ada dalam sukatan pelajaran.

Bahagain luar dinding Musolla dihiasi
dengan mural yang dihasilkan oleh
murid-murid Pendidian Seni Visual
Tingkatan 6 di bawah seliaan cikgu
Dalinawati. Tandas guru lelaki dan
murid-murid perempuan juga tidak
diabaikan. Laluan pejalan kaki ke tandas
guru lelaki dicat warna biru seolah-olah
seperti air laut. Lantai jubin Musolla
diganti dengan lantai vinyl. Seni khat
samada yang ditempah dan juga yang
ditulis dengan tangan memenuhi
dinding di dalam Musolla. Langsir
ditukarkan dengan bidai. Kipas
digantikan baharu. Mihrab ditempah
khas dan dihias dengan corak geometri.
Logo Musolla juga perlu dicipta.

Kemuncaknya ialah diletakkan perhiasan di luar Musolla
yang tertera nama Musolla Az-Zahra yang dihiasi dengan
pasu-pasu kecil yang dilekatkan dengan nama bulan dalam
Islam supaya murid-murid dapat mengenali bulan-bulan Islam.
Almari khas dibeli untuk dijadikan tempat simpanan kain
telekung, sejadah, serta Al-Quran. Setiap rehal yang terdapat di
dalam Musolla diletakkan nama2 Nabi dan Rasul. Setelah
semuanya selesai, akhirnya musolla Az-Zahra bersedia untuk
dipertandingkan. Sebelum dipertandingkan satu perkara perlu
diselesaikan.

Salah satu kriteria yang ada dalam instrumen itu
ialah inovasi Musolla. Sebelum itu, telah ada
beberapa inovasi yang telah dihasilkan. Oleh
sebab inginkan perubahan 360 darjah maka
kami harus memikirkan invoasi yang baharu.

Dalam hal ini aku harus berterima kasih kepada suamiku yang
telah mencadangkan penggunaan aplikasi Zapar sebagai satu
inovasi. Melalui aplikasi ini kita boleh mendapat pelbagai
maklumat dengan mengimbas kod Zapar yang disediakan.
Cikgu Najwa yang sememangnya pakar dalam bidang IT diberi
diberi tanggungjawab untuk menguruskan bahagian ini.

Nota-nota dalam bentuk multimedia
dan catatan berkaitan dengan tajuk-tajuk
yang terdapat dalam silibus Pendidikan
Islam disediakan bersama-sama dengan
guru-guru Pendidikan Islam. Kesemua
maklumat itu boleh diperoleh jika diimbas
kod yang tersedia.

Paparan yang dihasilkan menjadi lebih
menarik. Ustaz Amran, pegawai daripada
Sektor Pendidikan Islam, JPNP begitu teruja
melihat inovasi yang telah dihasilkan.
Sesiapa sahaja boleh mengimbas kod
tersebut pada bila-bila masa asalkan
memiliki telefon pintar waima untuk
pengajaran dan pembelajaran.

Tiba hari yang dinanti-nantikan iaitu penjurian oleh
pegawai-pegawai daripada KPM. Kebetulan pada hari
tersebut aku telah berada di Pekan malam sebelumnya
untuk satu mesyuarat peringkat negeri. Serba salah
sungguh dibuatnya. Mesyuarat itupun penting juga.
“Takkan aku nak tinggalkan sekolah kepada penyelaras
dan guru-guru pula sewaktu penjurian itu”, bisik hatiku.
Awal pagi lagi aku bertolak dari Pekan untuk ke sekolah
setelah mendapat kebenaran bagi memastikan persiapan
terakhir telah dilakukan termasuk persediaan untuk sesi
pembentangan.

Kami yang terdiri daripada guru-guru dan AJK PIBG serta
beberapa orang pengawas sekolah menanti kehadiran
pegawai-pegawai KPM dengan penuh kesabaran. Lebih
kurang dalam pukul 11 pagi, rombongan
pegawai-pegawai dari KPM dan JPN tiba di sekolah.
Benarlah seperti diduga, hakim yang sama juga seperti
tahun lalu datang pada kali ini. Kami membawa mereka
ke musolla Az-Zahra. Sebaik sahaja melangkah masuk,
terdengar suara....wow... cantiknya.... lain dah musolla
ni....wanginya.....daripada tetamu kami.

“Alhamdulilah,” getus hatiku. Memang

musolla itu wangi baunya kerana sempat

lagi aku sediakan bunga rampai dengan

bantuan AKPku dua hari sebelumnya

untuk diselitkan di tempat-tempat

strategik di dalam musolla. Semuanya

dipermudahkan Allah swt.

Pembentangan, sesi soal jawab,

pemeriksaan fail, lawatan kawasan

persekitaran seperti di Persada Ilmu,

Taman Herba, berjalan dengan lancar.

Rombongan sempat menunaikan

solat zohor di musolla Az-Zahra

sebelum ke destinasi seterusnya.

Bulan Mac 2019 aku dan Rosita PK HEM ke Putrajaya
untuk majlis pengumuman pemenang pertandingan
Anugerah Surau Imarah Sekolah-Sekolah KPM 2018.
Bersama-sama kami di sana ialah pegawai daripada Jabatan
Pendidikan Negeri Pahang iaitu KPP Sektor Pendidikan Islam
Tn. Hj. Ishak dan tidak lupa Ustaz Amran serta Ustaz Zairi.
Debaran sangat terasa apabila satu persatu nama sekolah
dipanggil ke pentas bagi menerima hadiah. Pemenang
pertandingan untuk surau dan musolla kategori sekolah
rendah dan menengah diumumkan bermula dengan tempat
ke-14.

Satu persatu wakil sekolah naik
ke atas pentas. Dari jauh aku
melihat Ustaz Amran tersenyum
sambil mengangkat ibu jarinya
apabila tempat ke-5 diumumkan.

“Kita mungkin akan dapat
tempat ke-4 untuk sagu hati atau
tempat ke-3 Ita,” aku
memberitahu Rosita. Hal ini
kerana untuk Johan dan Naib
Johan telah ada pemenangnya
disebabkan penjurian akan
dilakukan sekali lagi bagi
mengesahkan tempat pertama
dan kedua.

Oleh sebab sekolah aku tidak
terlibat dalam penjurian kali ke-2
maka sudah pasti kami akan
mendapat tempat ke-4 atau ke-3.
Selepas diumumkan pemenang
sagu hati tempat ke-4,
Alhamdulilah nama sekolah
bergema di dalam dewan untuk
memenangi tempat ke-3. Aku dan
Rosita menaiki pentas untuk
menerima mock check bernilai
RM6,000.00 berserta hadiah
iringan yang lain.

Tangan ditadah sebagai tanda
bersyukur kepada Allah swt
atas kejayaan ini. Terasa
berbaloi dengan segala usaha
yang telah dilakukan. Berita
gembira itu terus dikongsi
dengan semua warga kerja
MGSS yang hebat dan juga
PIBG kerana bagiku seikat
bagai sirih, serumpun bagai
serai, seliang bagai buluh.

Setelah setahun berlalu,
baru aku tahu bahawa
sebenarnya memang
Pengetua yang mesti
membuat pembentangan
sewaktu penjurian dan aku
bersyukur kerana telah
mengambil keputusan yang
tepat untuk meninggalkan
mesyuarat yang sedang
berlangsung di Pekan pada
hari penjurian dulu.

Tiada apa lagi yang dapat aku

katakan selain ucapan terima kasih

yang tidak terhingga kepada semua

yang terlibat dalam membuat

persediaan untuk musolla sekolah ini.

Komitmen daripada PIBG, guru-guru,

dan warga sekolah memungkinkan

perubahan tiga ratus enam puluh

darjah dapat dilakukan kepada

musolla Az-Zahra yang kini menjadi

kebanggaan kami dan juga menjadi

tarikan terutama kepada

murid-murid untuk bersolat di

musolla Az-Zahra.

Inilah kisah yang mungkin

dapat menjadi inspirasi.

Kerjasama daripada PIBG,

kejeleketan guru-guru,

murid-murid, semua warga

kerja sekolah, ALUMNI dan

pihak luar menjadi sinergi

yang menyaksikan impian

menjadi realiti. Musolla

Az-Zahara kini telah menjadi

pemenang di hati kami warga

sekolah. Semoga Allah

merahmati semua yang

terlibat dalam mengimarah

musolla Az-Zahra.


Click to View FlipBook Version