The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Pidato (latest) Teknologi dalam pertanian

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by hazwanibkl, 2023-09-20 08:10:19

Pidato (latest) Teknologi dalam pertanian

Pidato (latest) Teknologi dalam pertanian

Terima kasih pengacara majlis, kombinasi panel juri yang arif lagi bijaksana sebagai pejuang neraca keadilan , penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya, dan seterusnya, hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasihi sekalian. Salam sejahtera, salam Malaysia Madani sebagai pembuka bicara. ‘Teknologi Teras Sekuriti Makanan Negara ‘ begitulah tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari ini. Sidang dewan intelektual sekalian, Secara tuntasnya, teknologi yang mengaplikasikan pengetahuan sains menjadi asas yang penting yang dapat menjamin keselamatan bekalan dan rantaian makanan negara kita. Teknologi ini mampu menukarkan rezeki secupak menjadi segantang dengan kemampuannnya meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan. Kaedah pengeluaran makanan zaman Tuk Nadur berkajang kain yang rendah produktivitinya sudah tidak sesuai diamalkan kerana tidak mampu memberikan jaminan keselamatan makanan. Faktor perubahan iklim dunia yang ekstrem dan peperangan yang berlaku di Ukraine, kejatuhan ekonomi berterusan akibat pandemik COVID-19 dan kenaikan harga baja yang melambung tinggi telah memberi impak yang sangat besar kepada sekuriti bekalan dan rantaian makanan dunia. Cabaran-cabaran ini meningkatkan keperluan untuk mengaplikasikan teknologi terkini bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara. Sidang hadirin yang saya hormati, Tahukah anda bahawa sektor agromakanan merupakan sektor penting dalam menjamin sekuriti makanan negara? Berdasarkan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2022, Malaysia berada pada kedudukan 41 daripada 113 buah negara dengan mata 69.9 peratus. Data ini menunjukkan Malaysia berada pada tahap sederhana. Justeru, pelbagai inisiatif perlu dilakukan bagi menjamin sekuriti makanan negara. Sidang hadirin yang saya kasihi, Sebelum kudis menjadi tokak, maka kita harus bertindak pantas dalam mencari solusi yang tuntas dan holistik terhadap isu sekuriti makanan negara. Sekuriti makanan merupakan aspek kesejahteraan rakyat yang penting. Ketidakjaminan makanan akan menggoyahkan


hak asasi manusia dan menjadi mukadimah kepada masalah kesihatan, pemakanan dan pembangunan sejagat. Hadirin yang dihormati sekalian, Sekuriti makanan merupakan isu yang penting dalam sektor agromakanan negara. Dalam menghadapi kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan makanan, kita perlu mempertimbangkan cara untuk memperkasa sektor agromakanan dengan memberikan keutamaan pada pengeluaran makanan tempatan yang mandiri dan memanfaatkan teknologi digital terutamanya kecerdasan buatan (AI). Hadirin dan hadirat sekalian, Teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intellegence (AI) dengan izin merupakan solusi segera kepada sekuriti bekalan dan rantaian makanan yang terjejas. AI merupakan salah satu cabang sains dengan menjadikan sesuatu benda mempunyai kepintaran seperti manusia. Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan China telah menggunakan teknologi AI secara meluas dan terbukti telah berjaya meningkatkan hasil tanaman mereka. Justeru, pembangunan sektor agromakanan perlu terus diperkasakan dengan mengaplikasikan teknologi AI demi menjamin sekuriti makanan negara. Persoalannya, bagaimanakah teknologi AI menjadi teras kepada sekuriti makanan negara? Teknologiteknologi berasaskan AIsepertisensor dan dron akan menjadi teras kepada sekuriti makanan kerana teknologi AI ini yang dapat mengoptimumkan hasil tanaman. Sidang dewan yang saya muliakan Teknologi AI menawarkan solusi kepada masalah-masalah yang sering dihadapi oleh petani seperti perubahan cuaca yang tidak menentu, serangan penyakit, dan peningkatan kos pengeluaran. Hal ini dikatakan demikian kerana teknologi AI seperti penggunaan sensor dan dron menjadikan pengurusan sistem pertanian lebih efisien. Menurut kajian, penggunaan AI dalam sektor pertanian dapat meningkatkan produktiviti sebanyak 20 peratus. Selain itu, teknologi AI juga dapat mengawal serangga dan penyakit yang dapat mengurangkan kerugian hasil pertanian sehingga 40 peratus. Jelaslah bahawa dengan memanfaatkan potensi AI, petani dapat mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi


seterusnya meningkatkan daya saing, memenuhi permintaan makanan yang semakin meningkat dan menjamin sekuriti makanan negara. Hadirin yang saya muliakan, Teknologi AI iaitu sensor dan analitik membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh petani ketika musim kemarau. Menurut kajian, penggunaan sensor dalam penanaman padi meningkatkan produktiviti sebanyak 13 peratus dan mengurangkan penggunaan air sebanyak 20 peratus. Sensor-sensor yang dipasang di ladang pertanian dapat mengumpul data penting seperti kelembapan tanah, suhu, kepekatan nutrien, dan kualiti udara. Data ini kemudian dianalisis oleh AI untuk memberikan maklumat kepada petani mengenai masa yang sesuai untuk menyiram, membaja, atau mengawal penyakit. Dengan adanya maklumat yang tepat, petani dapat mengoptimakan penggunaan sumber dan meningkatkan hasil tanaman. Peningkatan hasil tanaman bukan sahaja dapat memenuhi keperluan semasa malahan dapat disimpan sebagai bekalan ketika menghadapi masalah kekurangan bekalan akibat perubahan cuaca mahupun musibah yang melanda. Sidang hadirin yang budiman, Teknologi dron AI juga dapat membantu petani dalam mengurus ladang dengan berkesan. Dron yang dilengkapi dengan sensor, kamera dan sistem GPS dapat mengumpulkan data visual dan menganalisisnya secara langsung. Dengan bantuan AI, petani mendapatkan informasi tentang perkembangan tanaman, penggunaan air yang efisien, dan mengesan serangan serangga atau penyakit dengan pantas. Dron boleh membantu menyebar baja secara tepat mengikut zon dan keperluan tanaman, membantu mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti. Peningkatan produktiviti amat penting untuk menjamin bekalan dan rantaian makanan tidak terputus ketika berhadapan dengan perubahan cuaca yang ekstrim dan musibah yang melanda. Sudah terang lagi bersuluh, memanfaatkan sepenuhnya teknologi AI dalam bidang pertanian bukan sahaja menjamin sekuriti makanan negara kekal stabil malahan memesatkan lagi bidang pertanian agar pada suatu hari nanti kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan makanan malahan berkemampuan menjadi antara pengeluar terbesar sektor agromakanan dunia. Benarlah bahawa Teknologi Teras Sekuriti Makanan Negara.


Click to View FlipBook Version