The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

GABUNGAN KARANGAN ROHAIZAT 5UKM DAN AINA ROZAINI 5UKM

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by nur faridah abu bakar, 2020-11-17 10:02:42

KARANGAN KEPENTINGAN PENERAPAN NILAI MURNI DALAM KEHIDUPAN

GABUNGAN KARANGAN ROHAIZAT 5UKM DAN AINA ROZAINI 5UKM

KEPENTINGAN MENGAMALKAN NILAI-NILAI MURNI DALAM
KEHIDUPAN

KARYA ASAL: MUHAMMAD ROHAIZAD BIN SHAH KAMAROZAMANI (5UKM)
&

NUR AINA BINTI MOHAMAD ROZAINI (5UKM)

Mendepani era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar
minda, masyarakat kita kurang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Hal
ini adalah demikian kerana masyarakat Malaysia khususnya mula memandang enteng
akan kepentingan nilai-nilai murni. Nilai murni amat penting kepada semua lapisan
masyarakat tidak kira tua ataupun muda. Sebagai contoh, golongan remaja
menghormati golongan orang yang lebih tua daripada mereka. Penerapan nilai murni
hormat-menghormati ini akan mempengaruhi pelbagai aspek dalam kehidupan
mereka khususnya golongan remaja. Sebagai contoh, penerapan nilai murni dapat
dilihat melalui tindakan, percakapan dan kawalan emosi seseorang. Kini, sudah
banyak negara mula bergiat aktif dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam
kehidupan masyarakat mereka. Negara Jepun terkenal sebagai sebuah negara yang
amat menekankan penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakatnya.
Masyarakat Jepun sangat sinonim dengan budaya taat, hormat peraturan, tepati
waktu serta berdisiplin dan teratur. Sistem pendidikan di Jepun juga tidak
berorientasikan sistem peperiksaan sebagaimana yang dilaksanakan di negara kita.
Jepun menekankan kepentingan moral dan adab dalam diri masyarakatnya sejak
kecil lagi. Hal ini dibuktikan dengan sistem pendidikan Jepun yang lebih terarah
kepada penerapan nilai-nilai murni seperti disiplin masa, menghayati alam sekitar,
menghormati orang tua dan menyayangi diri sendiri pada usia enam tahun pertama
persekolahan. Hasilnya, negara Jepun berjaya menjadi salah satu negara yang termaju

di dunia. Imam al-Ghazali ada mengatakan bahawa apabila kamu hendak mengenali
wajah, lihatlah pada cermin tetapi apabila kamu hendak mengenali diri, lihatlah pada
wajah. Hal ini membawa konotasi bahawa cermin merupakan alat yang menjadi
cerminan pada wajah, manakala wajah menjadi cerminan pada keterampilan akhlak
yang baik, hati yang bersih dan amalan yang bermanfaat. Maka, benarlah ungkapan
tersebut, menggambarkan keperibadian akhlak yang menjadi tali pengukur kepada
nilai-nilai murni yang diamalkan oleh seseorang. Oleh itu, kepentingan nilai-nilai
murni dalam kehidupan masyarakat sejagat akan mewarnai fokus perbincangan yang
akan dihuraikan dengan lebih terperinci demi kebaikan bersama.

Sebagaimana yang kita ketahui, kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni
dalam kehidupan ialah dapat memajukan negara. Hal ini terjadi kerana setiap rakyat
tekun bekerja dan mempunyai sifat amanah yang tinggi dalam diri mereka ketika
melakukan sesuatu perkara. Sebagai contoh, setiap pekerja di Malaysia hadir ke
tempat kerja tepat pada waktu yang ditetapkan dan mematuhi peraturan bekerja yang
telah ditetapkan. Secara tidak langsung, produktiviti pengeluaran daripada sesebuah
syarikat akan meningkat. Hal ini adalah demikian kerana setiap rakyat di Malaysia
akan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menyara keluarga dengan mencari
rezeki yang halal. Gejala vandalisme juga akan dapat diatasi jika semua ahli
masyarakat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Hal ini adalah
demikian kerana masyarakat mempunyai sifat sayang akan harta benda. Melalui cara
ini, kerajaan tidak perlu mengeluarkan peruntukan dana yang banyak untuk
menyelenggara fasiliti-fasiliti milik kerajaan. Peruntukan dana tersebut dapat
disalurkan kepada sektor-sektor yang perlu dimajukan bagi memacu kemajuan negara.
Masyarakat di negara Korea Selatan, sangat menekankan sikap tekun dan

bekerjasama ketika melaksanakan tugas mereka. Hal ini wajar dicontohi oleh
masyarakat Malaysia. Kesannya, aktiviti memajukan ekonomi negara dapat
dijalankan dengan rancak dan teliti. Hasil kerja keras rakyat Malaysia pasti akan
memberi kesan yang positif terhadap ekonomi Malaysia. Menurut Aristotle, ahli
falsafah Yunani ada mengatakan bahawa apabila mahukan kejayaaan, janganlah
mengira anak-anak tangga tetapi panjatlah anak-anak tangga itu satu persatu. Hal ini
bertepatan dengan ungkapan yang biasa kita dengari iaitu sesuatu kejayaan mesti
ditempuhi dengan kesusahan. Maka, benarlah kata peribahasa Melayu bersatu kita
teguh, bercerai kita roboh. Tegasnya, kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni
dalam kehidupan dapat merancakkan perkembangan ekonomi negara.

Jika ditinjau dari sudut yang lain pula, kepentingan mengamalkan nilai-nilai
murni dalam kehidupan ialah dapat mengeratkan perpaduan masyarakat majmuk di
Malaysia. Hal ini adalah demikian kerana masyarakat Malaysia saling menghormati
antara satu sama lain. Masyarakat Malaysia juga mempunyai obligasi yang tersendiri
dalam menjaga hubungan dan nama baik orang lain. Sebagai contoh, kita sebagai
rakyat Malaysia mestilah saling membantu antara satu sama lain tidak kira pada
waktu susah atau senang. Hal ini dapat mengelakkan daripada berlakunya perbalahan,
pergaduhan, pertelingkahan mahupun perselisihan faham antara kaum. Percakapan
kita mengenai sesuatu kaum perlulah dijaga supaya mereka tidak terasa hati. Ahli
falsafah Pascal mengungkapkan kalau kita ingin hidup dalam perpaduan yang
harmoni, kita mestilah mulakan bicara dengan kata-kata yang lembut kerana kata-kata
yang lembut umpama air yang menyirami tanah yang tandus. Kesannya, perpaduan
antara kaum akan terjalin dengan baik sekali dan kehidupan masyarakat akan
dipenuhi dengan nilai-nilai murni. Krisis diskriminasi kaum yang berlaku di

negara-negara luar dapat dielakkan. Kita sebagai rakyat Malaysia, perlulah sentiasa
bersyukur kerana kemakmuran dan keharmonian negara masih dapat dikekalkan
walaupun negara kita terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa.
Peribahasa Melayu menukilkan bahawa bersekutu bertambah mutu. Kesannya, negara
akan terus aman tanpa insiden pergaduhan atau perbalahan antara kaum. Jelaslah
bahawa kepentingan nilai-nilai murni dalam kehidupan ialah dapat mengeratkan
hubungan silaturahim tanpa mengira kaum dan dapat mengukuhkan lagi perpaduan
masyarakat majmuk di Malaysia.

Selain itu, jika diteliti dengan lebih mendalam kepentingan mengamalkan
nilai-nilai murni dalam kehidupan ialah dapat mengekalkan kestabilan politik dalam
negara. Hal ini adalah demikian kerana persekitaran dalaman negara menjamin
kestabilan politik kerana didokong oleh keutuhan perpaduan masyarakat majmuk
yang telah terbina. Kestabilan politik merupakan aspek penting dalam memacu
perkembangan ekonomi dan pembentukan masyarakat yang bertamadun dalam
sesebuah negara. Kestabilan politik dibentuk oleh pihak kerajaan yang telah dipilih
oleh rakyat dalam pilihan raya secara demokrasi. Oleh itu, pemimpin perlu
memainkan peranan yang amat penting dan perlu mempunyai nilai-nilai murni yang
utuh untuk mengekalkan kestabilan politik negara. Pemimpin perlu memerintah
dengan amanah, cekap dan adil. Pemimpin negara perlu menjauhi sikap korupsi yang
boleh menjatuhkan imej sesebuah negara. Imej pemimpin yang baik juga perlu
dipamerkan kepada rakyat agar rakyat turut sama mengamalkan amalan nilai-nilai
murni sepertimana yang diamalkan oleh pemimpin negara. Hal ini bertepatan dengan
aforisme bagaimana acuan, begitulah kuihnya, bapa borek, anak rintik dan ke mana
tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Jika pucuk kepimpinan negara berjaya

mengekalkan kestabilan politik dalam negara, maka negara akan mencapai status
negara maju kerana kemudahan insfrasruktur dapat disediakan oleh kerajaan untuk
kegunaan rakyat jelata. Tiada lagi isu yang timbul di peringkat kerajaan persekutuan
akibat kekucaran politik negara yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Sudah
terang lagi bersuluh bahawa mengekalkan kestabilan ekonomi negara dapat
menjadikan negara lebih maju dan mengekalkan keadaan negara aman damai. Senario
ini persis peribahasa Melayu, bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana
muafakat. Begitulah, gambaran rakyat Malaysia yang bernaung di bawah panji-panji
kebesaran negara sebulat suara menyokong pemimpin negara dalam usaha mereka
mengekalkan kestabilan politik negara walaupun masing-masing mempunyai
fahaman atau ideologi politik yang berbeza.

Pada waktu yang sama, umum mengetahui bahawa kepentingan mengamalkan
nilai-nilai murni ialah melahirkan insan yang berakhlak mulia. Hal ini adalah
demikian kerana insan yang berakhlak mulia akan menjadi teladan kepada masyarakat
supaya mereka dapat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.
Sebagai analoginya, insan yang berakhlak mulia ini telah berjaya mengimbangkan
nilai-nilai murni dalam semua aspek kehidupan iaitu aspek rohani, jasmani, intelek
dan emosi. Kesannya, kehidupan seseorang itu akan menjadi lebih baik kerana
menerapkan nilai-nilai murni dalam aspek-aspek tersebut. Menurut Griffith Taylor,
pakar antropologi kelahiran England pernah mengatakan bahawa semiskin-miskin
manusia ialah mereka yang kurang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan
mereka. Oleh itu, kita sebagai masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab mestilah
mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan agar kita dapat menjadi insan yang
berakhlak mulia dan dapat menjaga budi pekerti dengan baik. Dalam konteks yang

lain pula, insan yang berakhlak mulia boleh mempengaruhi orang lain untuk
melakukan kebaikan. Dari aspek pandangan sosial pula, aktiviti sosial yang tidak
bermaruah seperti perbuatan zina, pergaulan bebas dan kes jenayah berat dapat
dielakkan kerana penerapan nilai murni dalam atma masyarakat melahirkan insan
yang berakhlak mulia. Situasi ini bersesuaian dengan kata mutiara Islam, adab dan
akhlak yang buruk seperti tembikar yang sudah pecah, tidak dapat dilekatkan lagi dan
tidak dapat dikembalikan menjadi tanah. Jika semua pihak berganding bahu, perkara
ini pastinya akan menjadi kenyataan.

Kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni yang seterusnya ialah membentuk
masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama. Hal ini adalah demikian
kerana masyarakat akan taat akan perintah agama. Agama ialah pegangan yang perlu
ada dalam diri manusia. Tanpa pegangan agama, maka goyahlah kehidupan manusia.
Setiap agama menggalakkan penganutnya melakukan kebaikan dan meninggalkan
amalan yang membawa keburukan. Sebagai umat Islam, kita wajib mentaati perintah
Allah dan menjauhi larangan-Nya. Sebagai contoh, kita diseru menunaikan solat lima
waktu sehari semalam dan menghadiri kuliah-kuliah agama agar dapat menyemai
nilai-nilai murni dalam sanubari. Bagi penganut agama lain selain Islam, mereka
mungkin mempunyai strategi yang tersendiri untuk menerap masuk nilai murni dalam
diri para penganutnya. Menurut Albert Einstein, ahli fizik mengatakan bahawa agama
tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Maka, wajib bagi kita
berpegang teguh kepada agama dan mengamalkan ajarannya kerana setiap ajaran
agama pasti menekankan penerapan nilai-nilai murni dalam diri penganutnya umpama
peribahasa ilmu pelita hidup. Benarlah bahawa ilmu menjadi penyuluh kepada
kehidupan dan agama menjadi penyinar kehidupan. Tanpa ilmu maka pincanglah

kehidupan manusia, tanpa agama maka runtuhlah akhlak manusia. Jelaslah,
kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni ialah membentuk masyarakat yang
berpegang teguh kepada agama.

Sebagai intihanya, jika semua pihak berganding bahu, maka penerapan nilai
murni dalam kehidupan masyarakat akan terlaksana dengan jayanya. Sudah terang
lagi bersuluh bahawa nilai-nilai murni merupakan satu perlakuan yang positif yang
perlu diterapkan dalam kehidupan. Amalan nilai murni ini juga sangat penting untuk
diamalkan baik dalam kehidupan harian mahupun dalam pentadbiran negara supaya
negara kita berjaya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara
maju yang lain di seantero dunia. Saya berharap agar semua pihak dapat menyemai
dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan masing-masing. Saya menyeru
semua ahli masyarakat agar menanam nilai-nilai murni dalam diri masing-masing.
Akhir kalam, pendayung sudah ditangan, perahu sudah diair, segala tindakan wajar
sudah terpampang hanya yang tinggal adalah usaha untuk mengamalkan nilai-nilai
murni dalam kehidupan agar kehidupan masing-masing menjadi lebih baik dan kita
dapat menjadi insan yang berakhlak mulia.


Click to View FlipBook Version