The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

TUGASAN 2
PENGHASILAN PRODUK
EDUP3153
NURUL SYIFAA BINTI MOHD ZAMZI

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Nurul Syifaa, 2024-03-11 01:30:21

PENILAIAN INSTRUMEN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) SECARA PROFESIONAL

TUGASAN 2
PENGHASILAN PRODUK
EDUP3153
NURUL SYIFAA BINTI MOHD ZAMZI

Keywords: Instrumen PBD

JABATAN ILMU PENDIDIKAN Tugasan 2 :PENGHASILAN PRODUK Nama Pelajar : NURUL SYIFAA BINTI MOHD ZAMZI Angka Giliran : 2021172310582 No Kad Pengenalan : 031229020854 Kumpulan : PT2S2-3 Kod Kursus : EDUP3153 Nama Kursus : PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN Nama Pensyarah : PN ZAMZARINA BINTI NGAH RAWI Tarikh Hantar : 11 MAC 2024 Pengesahan Pelajar: Saya mengesahkan bahawa maklum balas yang diberikan oleh pensyarah telah saya rujuki dan fahami. Catatan (jika ada) Tanda tangan Pelajar: Tarikh: Komen Pensyarah : Markah : HP2: / 30 HP11: / 10


Penghasilan Produk (E-Portfolio) PENILAIAN INSTRUMEN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH SECARA PROFESIONAL Nurul Syifaa Binti Mohd Zamzi


SENARAI KANDUNGAN 1.0 PENGENALAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) 2.0 ANALISIS INSTRUMEN PBD 2.1 RUBRIK 2.2 LEMBARAN KERJA 3.0 PENILAIAN PROFESIONAL TERHADAP INSTRUMEN PBD 3.1 KESAHAN 3.2 KEBOLEHPERCAYAAN 3.3 KEMUDAHTAFSIRAN 4.0 REFLEKSI 5.0 PENUTUP RUJUKAN LAMPIRAN


1.0 PENGENALAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan proses berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan dan penguasaan murid terhadap matlamat kurikulum yang dihasratkan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019). PBD dilaksanakan mulai hujung tahun 2016 dan dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2020). PBD berlaku sebelum, semasa dan selepas PdP bagi membantu guru mengesan pengetahuan, serta kekuatan dan kelemahan murid secara menyeluruh dari semasa ke semasa, misalnya melalui pentaksiran secara formatif dan sumatif. PBD dapat meningkatkan pencapaian pembelajaran murid. Menurut Arumugham (2020), PBD diperkenalkan untuk menilai dan mengukur perkembangan pembelajaran murid secara holistik. Guru hendaklah membina dan menggunakan instrumen pentaksiran yang bersesuaian dengan kaedah pentaksiran serta keupayaan murid, misalnya guru menggunakan senarai semak apabila melaksanakan pentaksiran secara pemerhatian. Oleh itu, pelaksanaan PBD yang baik memberi gambaran yang jelas tentang penguasaan murid terhadap Standard Pembelajaran yang ditetapkan. 2.0 ANALISIS INSTRUMEN PBD Instrumen pentaksiran yang digunakan oleh guru boleh dikaitkan dengan jenis pentaksiran alternatif dan kaedah pentaksiran. Menurut Haziyah Hussin et al. (2021), pelaksanaan pentaksiran alternatif merupakan ciri penting dalam Pendidikan 4.0. Ianya seiring dengan PBD yang memfokuskan kepada perkembangan dan kemenjadian murid secara holistik (Abdul Halim Abdullah & Zuraini Marion, 2021, Januari 24). Pentaksiran alternatif merujuk kepada penilaian penguasaan dan pengesanan perkembangan pembelajaran murid hasil daripada pelaksanaan pelbagai aktiviti selain peperiksaan. Menurut Haziyah Hussin et al. (2021), guru memperoleh maklum balas menerusi pentaksiran berasaskan projek, portfolio dan sebagainya. Pemilihan kaedah pentaksiran yang sesuai juga penting bagi memastikan keberkesanan sesuatu pentaksiran. Terdapat tiga jenis kaedah pentaksiran dalam PBD iaitu pemerhatian, lisan dan bertulis. Hasil temu bual bersama Puan Noor Aisyah binti Saad, iaitu seorang guru Bahasa Inggeris daripada SMK Syed Ibrahim, didapati bahawa instrumen pentaksiran yang sering digunakannya ialah rubrik dan lembaran kerja. 2.1 RUBRIK Menurut Azmanirah Ab Rahman et al. (2019), rubrik ialah panduan pemarkahan yang mengandungi kriteria serta digunakan oleh guru dan murid bagi menentukan kualiti tugasan dalam mencapai piawaian yang ditetapkan. Lee et al. (2024) juga berpendapat bahawa rubrik ialah set kriteria yang ditetapkan untuk tujuan pemberian markah bagi hasil kerja atau prestasi


murid. Ini bermaksud rubrik merupakan instrumen pentaksiran yang digunakan oleh guru untuk menentukan tahap penguasaan dan prestasi murid berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Rajah 1 dalam Lampiran A menunjukkan rubrik yang digunakan oleh Puan Aisyah. Berdasarkan rubrik, guru dapat menilai murid secara menyeluruh kerana ia tertumpu kepada pelbagai aspek seperti perancangan, teknikal, kebolehgunaan, kreativiti, pembentangan dan kerjasama. Murid-murid dapat mencapai tahap cemerlang sekiranya mereka mampu memenuhi kesemua kriteria yang ditetapkan dengan sangat baik. Contohnya, murid bijak merancang produk, bersosial dengan baik serta berfikiran kreatif dan inovatif untuk mencapai tahap yang paling tinggi iaitu cemerlang. Jelaslah bahawa rubrik dapat memastikan guru mentaksir murid secara holistik dan bukan hanya pada satu aspek sahaja. Jenis pentaksiran alternatif yang sejajar dengan rubrik ialah pentaksiran prestasi melalui kaedah pentaksiran secara pemerhatian dan lisan. Pentaksiran prestasi merujuk kepada aktiviti atau tugasan yang dapat menilai apa yang murid boleh buat berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang telah mereka pelajari dalam dunia sebenar (Lee et al., 2024). Contohnya, Puan Aisyah telah melaksanakan pentaksiran berasaskan projek secara berkumpulan iaitu penghasilan ’Smart Home’ dengan kolaborasi bersama Jabatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di SMK Syed Ibrahim seperti dalam Rajah 2 (Lampiran B). Projek ini mendapat perhatian pihak media seperti yang dipaparkan dalam surat khabar Sinar Harian dan Utusan Malaysia pada 10 November 2023 (Rajah 3, Lampiran B). Melalui projek ini, guru dapat menilai kreativiti, inovasi, pengetahuan dan kemahiran murid dalam membina sesebuah projek. Guru juga dapat menilai kemahiran sosial dan komunikasi murid sepanjang proses penghasilan projek dan semasa sesi pembentangan projek tersebut. Jadi, penghasilan projek ini bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan murid tentang bidang STEM, malah dapat meningkatkan kemahiran komunikasi mereka dalam berbahasa Inggeris. Justeru, jelaslah bahawa guru boleh melaksanakan pentaksiran secara pemerhatian dan lisan semasa pentaksiran berasaskan projek dengan menggunakan rubrik sebagai instrumen pentaksiran. 2.2 LEMBARAN KERJA Lembaran kerja juga merupakan aset penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Ia berfungsi untuk mengukur keupayaan murid dalam menguasai dan memahami sesuatu pengetahuan atau kemahiran dalam sesuatu mata pelajaran. Lembaran kerja juga mampu mengukuhkan lagi pemahaman murid terhadap topik yang dipelajari (Lee, 2012). Antara ciri lembaran kerja yang baik adalah mempunyai arahan yang jelas, ringkas dan mudah difahami. Rajah 4 dalam Lampiran C merujuk kepada contoh lembaran kerja yang digunakan oleh guru bagi subjek Bahasa Inggeris. Lembaran kerja tersebut merupakan jenis item objektif di bawah


topik Synonyms dan mengandungi arahan yang jelas. Murid hanya perlu memilih satu jawapan sahaja. Melalui instrumen ini, guru boleh mengenal pasti tahap kognitif, kekuatan dan kelemahan murid dalam aspek tertentu seperti Synonyms. Lembaran kerja boleh dijadikan instrumen bagi kaedah pentaksiran secara bertulis dan jenis pentaksirannya ialah pentaksiran kendiri. Pentaksiran kendiri bermaksud penilaian yang dilakukan oleh murid sendiri mengenai kemajuan pembelajaran mereka berdasarkan matlamat pembelajaran atau standard yang perlu dicapai (Lee et al., 2024). Murid merupakan penilai terbaik terhadap pembelajaran sendiri. Penilaian kendiri membolehkan murid mengetahui dan berjaya dalam apa yang mereka pelajari (Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah et al., 2015). Segelintir guru mungkin tidak tahu apa yang murid benar-benar tahu. Namun, ada segelintir murid yang sendiri tidak tahu tentang keupayaan mereka sendiri. Lantaran itu, pentaksiran kendiri ialah kaedah yang terbaik kerana ia membolehkan murid membuat penilaian terhadap pencapaian diri sendiri dan memperbaiki kelemahan yang ada. Contohnya, murid boleh memeriksa lembaran kerja sendiri berdasarkan kriteria atau rubrik yang diberikan oleh guru, seterusnya mendapati bahawa murid tersebut lemah dalam topik Nouns. Jadi, murid akan lebih berusaha untuk meningkatkan prestasi diri. Tuntasnya, lembaran kerja yang dilaksanakan secara bertulis membantu murid menjalankan pentaksiran kendiri dengan baik. 3.0 PENILAIAN PROFESSIONAL TERHADAP INSTRUMEN PBD 3.1 KESAHAN Kesahan merujuk kepada takat sesuatu pentaksiran itu mengukur secara tepat apa yang ingin diukur (Lee et al., 2024). Kesahan juga bermaksud kesesuaian, ketepatan, interpretasi dan kegunaan keputusan pentaksiran sesuatu prosedur pentaksiran untuk sekumpulan individu, bukan proses semata-mata (Fauzi Hassan et al., 2021). Berdasarkan instrumen pertama iaitu rubrik, kesahan konstruknya adalah tinggi kerana rubrik yang dibina merangkumi kesemua kriteria yang ingin diukur dalam penghasilan projek. Kesahan konstruk merujuk kepada suatu ujian yang boleh menguji kesemua atribut yang ingin diukur (Lee et al., 2024). Contohnya, guru dapat menilai keupayaan murid sepanjang menghasilkan projek seperti kebolehan merancang, mencipta, pemikiran kreatif dan kritis, kerjasama dan kebolehan membentangkan projek yang dibuat. Jadi, guru bukan sahaja dapat menilai hasil akhir sesuatu projek, malah dapat mengukur tingkah laku dan kemampuan murid dalam menghasilkan projek berkenaan kerana kesahan konstruknya yang tinggi. Manakala, lembaran kerja memiliki kesahan kandungan yang tinggi kerana kandungannya yang selaras dengan kandungan yang diajarkan oleh guru sewaktu PdP. Kesahan kandungan berkait rapat dengan kandungan yang diuji (Lee et al., 2024). Oleh itu, guru akan membina pentaksiran seperti lembaran kerja dengan melihat kepada kesahan


kandungannya sama ada mewakili domain kandungan yang diajarkan ataupun tidak. Contohnya, guru ingin mengukur penguasaan murid berkaitan topik Antonyms seperti yang telah dipelajari oleh murid di dalam kelas. Berikutan itu, guru akan membina lembaran kerja yang bertepatan dengan topik tersebut. Oleh itu, guru dapat mentaksir murid berdasarkan lembaran kerja yang sah dari aspek kandungannya. 3.2 KEBOLEHPERCAYAAN Kebolehpercayaan merujuk kepada ketekalan sesuatu pengukuran (Lee et al., 2024). Menurut Ruhaidi Amin et al. (2020), kebolehpercayaan merujuk kepada ketekalan sesuatu instrumen atau alat pengukuran sehingga mencapai keputusan yang hampir sama apabila digunakan pada masa yang berlainan. Ini bermaksud, kebolehpercayaan merujuk kepada sejauh mana dapatan pentaksiran mampu menghasilkan keputusan yang sama apabila dilakukan semula. Oleh yang demikian, instrumen rubrik memiliki kebolehpercayaan yang rendah kerana berlakunya ralat luaran seperti bias dalam kalangan pemeriksa. Ianya berpunca daripada subjektiviti pemeriksa itu sendiri. Contohnya, guru yang mentaksir murid memberikan markah atau penilaian yang tidak adil dan kurang menepati kriteria yang ditetapkan dalam rubrik. Guru yang pilih kasih memberikan markah yang tinggi kepada murid yang disukainya meskipun murid tersebut belum mencapai tahap penguasaan yang tinggi. Hal ini boleh mengancam kesahihan hasil pentaksiran. Manakala, lembaran kerja memiliki kebolehpercayaan yang tinggi jika soalannya terdiri daripada item objektif seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 4 (Lampiran C). Kebanyakan ujian standard memiliki objektiviti yang tinggi kerana item ujiannya yang terdiri daripada item objektif dan keputusan skor tidak dipengaruhi oleh penghakiman pemeriksa (Lee et al., 2024). Semakin objektif cara penskoran, semakin tinggi kebolehpercayaan. Contohnya, guru menggunakan item jenis aneka pilihan untuk mentaksir pemahaman dan ingatan murid terhadap topik pembelajaran. Dalam hal ini, murid hanya perlu memilih satu jawapan sahaja dan hal ini dapat meningkatkan lagi kebolehpercayaan sesuatu pentaksiran. Guru haruslah memantau pergerakan murid supaya tidak berlaku unsur penipuan dalam pentaksiran. Kesannya, penggunaan lembaran kerja, khususnya item objektif meningkatkan lagi kebolehpercayaan sesuatu pentaksiran. 3.3 KEMUDAHTAFSIRAN Keputusan ujian yang mudah ditafsir untuk penambahbaikan dan diambil tindakan secara berguna merupakan satu aspek dalam kemudahtafsiran. Kemudahtafsiran sesuatu pentaksiran bermaksud setakat mana hasil pencapaian murid dapat ditafsirkan dengan jelas mengikut objektif penilaian (Institut Pendidikan Guru Malaysia, 2022). Ini bermakna, keputusan sesuatu ujian hendaklah mudah untuk dikumpul dan ditafsirkan agar dapat


memberikan gambaran yang jelas dan tepat bagi aspek-aspek tertentu, misalnya pencapaian murid serta kekuatan dan kelemahan pembelajaran murid. Pendek kata, kemudahtafsiran bermaksud markah yang diperoleh dapat ditukarkan kepada data statistik seperti min, sisihan piawai dan skor piawai. Lantaran itu, kemudahtafsiran bagi rubrik adalah rendah kerana sesetengah rubrik seperti rubrik analitik tidak disertakan dengan skor atau markah tertentu bagi setiap peringkat seperti yang tertera dalam Rajah 1 (Lampiran A). Guru sukar untuk memahami cara memberikan penilaian yang tepat dan sesuai dengan kriteria yang ditetapkan. Hal ini boleh mengelirukan pemeriksa kerana tiada markah yang jelas pada rubrik tersebut. Contohnya, guru mendapati bahawa murid memenuhi kesemua kriteria dalam aspek cemerlang tapi, guru tidak tahu skor apa yang patut diberikan kepada murid tersebut. Mahupun begitu, kemudahtafsiran bagi lembaran kerja adalah tinggi kerana markah yang diperoleh oleh murid mudah ditukarkan dalam bentuk statistik seperti min, sisihan piawai dan skor piawai (IPGM, 2022). Lembaran kerja yang bersifat objektif memudahkan guru untuk merekod markah setiap murid dengan hanya mengira jumlah soalan yang betul dan jumlah markah yang diperolehinya, misalnya murid dapat menjawab 5 soalan dengan betul daripada 10 soalan. Jadi, guru dapat mentafsirkan bahawa murid tersebut memperoleh markah dsebanyak 5 per 10 dan berada di tahap sederhana. Jelaslah bahawa lembaran kerja yang bersifat objektif memudahkan guru untuk mentafsir pencapaian murid dengan lebih baik dan cepat. 4.0 REFLEKSI Rubrik dan lembaran kerja masing-masing memiliki kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Antara kekuatan rubrik ialah guru dapat mentaksir murid dalam pelbagai jenis kriteria yang ditetapkan. Ini disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2019), rubrik menggambarkan kriteria yang konsisten dan membolehkan guru menilai tahap penguasaan murid dengan lebih spesifik dan tepat dari pelbagai dimensi. Contohnya, guru dapat menilai tingkah laku, tahap kognitif dan sosial murid sepanjang proses penghasilan projek dengan merujuk kepada rubrik. Hal ini jelas menunjukkan kesahan konstruknya yang tinggi kerana dapat menilai atribut dan tingkah laku murid dari pelbagai aspek. Namun, penilaian murid menggunakan rubrik kadang kala tidak tepat. Hal ini disebabkan oleh masalah subjektiviti guru yang cenderung membuat pertimbangan atau keputusan berdasarkan keutamaan peribadi, pengalaman atau persepsi individu dan bukannya fokus kepada standard atau kriteria objektif yang lebih jelas. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), subjektiviti pentaksir terutama dalam perkara subjektif boleh mempengaruhi kebolehpercayaan sesuatu pentaksiran. Hal ini membawa kepada ketidakadilan dan ketidaktepatan sesuatu pentaksiran. Oleh itu, penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah guru hendaklah memiliki integriti yang


tinggi dalam mentaksir murid. Menurut Ashma Said et al. (2022), tahap pemahaman dan integriti yang tinggi sangat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan PBD yang dijalankan adalah telus dan bertanggungjawab. Ini bermaksud, pentaksiran yang telus dan berkesan bergantung kepada peranan guru yang mentaksirnya. Selain itu, lembaran kerja dapat mengukuhkan pemahaman murid tentang sesuatu pembelajaran. Hal ini demikian kerana ia dapat membuka minda murid untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka semasa menjawab soalan tersebut. Jadi, murid dapat mengetahui tahap prestasi diri semasa menyelesaikan sesuatu lembaran kerja, Walau bagaimanapun, lembaran kerja hanya menumpukan kepada penilaian kognitif murid sahaja, bukannya tingkah laku murid kerana ianya dijalankan secara bertulis. Kebiasaannya, lembaran kerja dilakukan oleh murid di rumah sebagai kerja rumah (Mohd Nazri Abdul Rahman, 2021, November 30). Jadi, guru tidak dapat memastikan sama ada murid tersebut menyiapkan lembaran kerja itu dengan sendiri atau meminta bantuan orang lain dan guru tidak dapat menilai perilaku murid berkenaan. Oleh itu, penambahbaikan perlu dibuat, iaitu guru seharusnya memastikan murid menyiapkan lembaran kerja semasa sesi PdP sambil memantau tingkah laku mereka sewaktu menyelesaikan tugasan tersebut. Dengan ini, guru dapat menilai pencapaian murid dalam pembelajaran sekali gus mengukur perubahan tingkah laku dan perkembangan sikap mereka dari semasa ke semasa. 5.0 PENUTUP Kesimpulannya, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan salah satu daripada Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum. Pelaksanaan PBD yang sesuai dan berkesan memberi impak yang positif kepada guru dan murid. Guru dapat mengenal pasti sejauh mana pemahaman dan penguasaan murid terhadap kandungan pembelajaran. Murid juga dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan masingmasing melalui pelaksanaan PBD di sekolah. Bagi merealisasikan hasrat pendidikan negara, guru hendaklah bijak dalam memilih jenis pentaksiran alternatif, kaedah pentaksiran dan instrumen pentaksiran yang bersesuaian dengan keupayaan setiap murid. Tuntasnya, peranan guru dalam melaksanakan pentaksiran amatlah penting agar PdP yang dilaksanakan menjadi lebih berkesan.


RUJUKAN Abdul Halim Abdullah & Zuraini Marion. (2021, Januari 24). Guru perlu kreatif taksir murid dalam norma baharu. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/01/779528/guru-perlu-kreatiftaksir-murid-dalam-norma-baharu Arumugham, K. S. (2020). Kurikulum, pengajaran dan pentaksiran dari perspektif pelaksanaan pentaksiran bilik darjah. Asian People Journal (APJ), 3(1), 152-161. Ashma Said, Darayani Johari, Noor Marina Yunus, & Nurhidayah Mat Husin. (2022). Tahap pemahaman dan integriti guru Bahasa Melayu dalam melaksanakan pentaksiran bilik darjah di sekolah rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 12(2), 118-124. Azmanirah Ab Rahman, Nurfirdawati Muhamad Hanafi, Anizam Mohamed Yusof, Halizah Awang. (2019). Analisis kefungsian skala bagi pembinaan rubrik pentaksiran kompetensi amali: Analisis berdasarkan model pengukuran rasch pelbagai facet, Online Journal for TVET Practitioners, 4(2), 120-126. Fauzi Hassan, Aiba Tok, Nor Asiah Ismail, & Mohd Nor Mohamed. (2021). Kemahiran dan sikap pelajar PISMP terhadap pelaksanaan KBAT dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, International Journal of Education and Training (InjET), 7, 1-18. Haziyah Hussin, Najah Nadiah Amran, Nur Farhana Abdul Rahman, ‘Adawiyah Ismail, Zamzuri Zakaria. (2021). Amalan pentaksiran alternatif dalam program pengajian islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19. Islamiyyat, 43(1), 3-14. Institut Pendidikan Guru Malaysia. (2022). Buku panduan pentaksiran: Institut Pendidikan Guru. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pentaksiran kemahiran berfikir aras tinggi. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2019). Panduan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah edisi ke-2. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2020). Panduan pengurusan dan pentadbiran pentaksiran sumatif PT3. Lee, C. W. (2012). Pembelajaran visual dalam usaha meningkatkan tahap kefahaman murid prasekolah. Seminar Penyelidikan Tindakan IPG KBL, 85-97. Lee, L. H., Boon, P. Y., Lawrence, A. A., & Ilhavenil Narinasamy. (2024). Pentaksiran dalam pendidikan. Pustaka Nadwa Sdn Bhd. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, Sazelli Ab Ghani, Che Nidzam Che Ahmad, & Asmayati Yahaya. (2015). Students’ discourse in learning mathematics with self-regulating strategies. Procedia Social and Behavioral Science, 191, 2188-2194. Mohd Haidzir Yusof@Jusoh & Norasmah Othman. (2019). Isu dan permasalahan pentaksiran alternatif dalam sistem penilaian di Malaysia. E-prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan, 337-349. Mohd Nazri Abdul Rahman. (2021, November 30). Kerja rumah tingkatkan pencapaian murid? Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2021/11/893483/kerjarumah-tingkatkan-pencapaian-murid


Ruhaidi Amin, Nasihah Ashar Ahamed, Zalina Mohd Ali, & Nur Riza Mohd Suradi. (2020). Kebolehpercayaan dan kesahan instrumen inovasi organisasi: suatu pendekatan model Rasch. Journal of Quality Measurement and Analysis, 16(2), 253-269.


Lampiran A Rajah 1: Rubrik Berasaskan Projek


Lampiran B Rajah 2: Penghasilan ’Smart Home’ Rajah 3: Bukti Penghasilan Projek dalam Surat Khabar


Lampiran C Rajah 4: Lembaran Kerja Mata Pelajaran Bahasa Inggeris (Item Objektif)


Click to View FlipBook Version