OLEH:
HAIZANALDI BIN MISBAH
[email protected]
KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK
BUDAK YANG BAIK HATI.
Di dalam sebuah kampung ada seorang budak lelaki miskin
yang bernama Ramli. Ramli anak yatim piatu setelah ibu
bapanya meninggal dunia kira-kira dua tahun yang lalu.
Walaupun Ramli anak yatim piatu tetapi Ramli sangat baik dan
sentiasa menolong orang lain.
Suatu hari, Ramli hendak ke pekan yang berhampiran
dengan kampungnya. Semasa dia menunggu bas, datang seorang
perempuan tua yang miskin. Perempuan tua itu membawa
sebuah bakul yang penuh dengan buah-buahan. Ramli berasa
kasihan melihat perempuan tua itu.
Ramli pun bertanya kepada perempuan tua itu. “Mak cik
hendak ke mana?”.
Perempuan tua itu pun menjawab, “Mak cik hendak ke
pekan, dari hujung kampung mak cik berjalan kaki membawa
bakul-bakul ini, nak.”
Selepas mendengar keluhan perempuan tua itu, Ramli
berasa amat simpati. Ramli ingin membantu perempuan tua itu.
Apabila bas sampai, Ramli menolong perempuan tua itu
membawa bakul-bakul yang berisi buah-buahan tersebut. Ramli
juga membantu perempuan tua itu menaiki bas dan mencarikan
tempat duduk untuknya.
Tidak lama kemudian, bas yang mereka naiki itu tiba di
pekan. Ramli dan perempuan tua itu pun turun. Kemudian,
perempuan tua itu memberi sebiji buah betik kepada Ramli.
“Nak,ambillah sebiji buah betik ini,”kata perempuan tua
itu.
“Tidak mengapalah mak cik,saya menolong mak cik dengan
ikhlas,”jawab Ramli.
Namun, perempuan tua itu bersungguh-sungguh ingin
memberikan sebiji buah betik itu kepada Ramli. Melihat
kesungguhan perempuan tua itu, Ramli pun menerima buah
betik tersebut. Ramli pun memasukkan buah betik tersebut ke
dalam beg yang dibawanya.
Setelah puas berada di pekan, Ramli pun menaiki bas
untuk pulang ke rumahnya. Setibanya Ramli di rumah, dia terus
memotong buah betik pemberian perempuan tua itu. Alangkah
terkejutnya Ramli apabila mendapati buah betik itu telah
mengeluarkan anak-anak pokok betik. Tanpa membuang masa
lagi, Ramli terus menanam anak-anak pokok betik itu.
Beberapa bulan kemudian, anak-anak pokok betik tersebut
telah besar dan berbuah dengan banyaknya. Buah-buah betik
itu Ramli sedekahkan kepada orang-orang kampung dan
selebihnya Ramli jual di pasar. Dari situlah Ramli mengusahakan
ladang betiknya. Akhirnya, Ramli menjadi seorang yang kaya.
Moral : Menolong orang dengan ikhlas pasti mendapat
balasan yang baik.
KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK
AMIRA ANAK YANG DEGIL
Bagai menatang minyak yang penuh,begitulah ungkapan
yang sesuai digambarkan kepada Amira.
Amira merupakan anak tunggal Puan Ani dan Encik Rashid.
Segala kemahuannya sentiasa dituruti oleh kedua orang tuanya.
Walaupun baharu berusia sembilan tahun, namun Amira
sentiasa membantah dan tidak mengikut kata ibu dan bapanya.
Suatu hari, Puan Ani dan Encik Rashid hendak menziarahi
sahabat mereka yang sakit di hospital. Mereka hendak
membawa Amira bersama tetapi Amira tidak mahu mengikut
kedua orang tuanya itu.
“Amira, mari ikut ibu dan ayah melawat Pak Cik Rahmat
yang sakit di hospital,”kata Puan Ani.
“Tak naklah ibu, Amira hendak siapkan kerja sekolah yang
diberi oleh guru. Banyak lagi yang belum siap ni,” jawab Amira.
“Kalau begitu tidak mengapalah tapi Amira jangan keluar
rumah ye. Hari pun hendak hujan,”nasihat Puan Ani.
“Baiklah ibu,”jawab Amira manja untuk meyakinkan ibunya
yang dia akan duduk di rumah menyiapkan kerja sekolah.
Sebenarnya, inilah peluang Amira untuk bermain dengan kawan-
kawannya.
“Ah, lebih baik aku keluar selepas ayah dan ibu pergi ke
hospital,bolehlah aku bermain di padang,”bisik hati Amira.
Setelah melihat ibu dan bapanya menaiki kereta ke
hospital, tanpa berlengah-lengah lagi Amira terus berlari
menuju ke padang yang berhampiran dengan rumahnya. Di
dalam hatinya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bermain
dengan kawan-kawannya.
Apabila sampai sahaja di padang, alangkah hampanya
Amira kerana tiada seorang pun kawan-kawannya yang datang.
Tiba-tiba, “Guuurrrrrrr!!!!” bunyi kilat berdentum di langit.
Hujan turun dengan lebatnya. Amira berlari mencari tempat
berteduh,namun dia hampa.
Dalam keadaan hujan yang lebat, Amira terus berlari
menuju ke rumahnya. Dalam keadaan basah kuyup, Amira masuk
ke rumah lalu segera menuju ke bilik air untuk mandi. Selepas
mandi Amira terus tertidur.
Keesokkan harinya, Puan Ani mengejut Amira untuk ke
sekolah. Apabila Amira tersedar, dia terasa badannya panas.
Amira demam. Pada hari itu, dia tidak dapat ke sekolah. Amira
berasa menyesal kerana tidak mendengar nasihat ibunya.
Moral : Sebagai anak, kita hendaklah mendengar nasihat ibu
dan ayah.
KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK
PENSEL AJAIB
Elvin seorang murid yang malas. Dia selalu tidak
menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh gurunya. Setiap hari
Elvin akan dimarahi oleh gurunya kerana tidak menyiapkan
kerja sekolahnya.
“Elvin, ini amaran terakhir, jika kamu tidak menyiapkan
kerja sekolah kamu lagi, cikgu akan membawa kamu berjumpa
dengan guru besar,” marah Cikgu Zan.
Elvin hanya mampu menganggukkan kepala menandakan dia
faham akan kata-kata cikgunya itu.
Loceng akhir persekolahan berbunyi. Tanpa berlengah lagi
Elvin terus mencapai beg sekolah dan berlari menuju ke
rumahnya. Seperti biasa, apabila sampai sahaja di rumah, Elvin
terus menuju ke tempat permainan sehariannya iaitu di
belakang rumahnya.
Semasa Elvin sedang bermain-main di bawah sebatang
pokok pisang, dia terlihat sebatang pensel yang masih elok dan
boleh digunakan lagi. Dia terus mengambil pensel tersebut.
“Emm..masih elok lagi pensel ni,”katanya.
Elvin terus berlari membawa pensel tersebut ke biliknya.
Terdetik dalam hatinya untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah
yang diberi oleh Cikgu Zan.
“Aku nak gunakan pensel ini untuk menyiapkan kerja-kerja
sekolahku,”bisik hati Elvin.
Elvin pun terus membuka buku latihannya. Tanpa disangka-
sangka, tangannya terus bergerak laju menyiapkan kerja-kerja
sekolahnya itu.
“Wah, pensel ini sangat ajaib!”jerit Elvin.
“Dengan adanya pensel ini sudah pasti semua kerja
sekolahku akan siap, tak perlulah lagi aku menghabiskan masa
untuk memikirkan kerja-kerja sekolahku yang banyak ini,”bisik
hati Elvin.
Hari demi hari Elvin menggunakan pensel tersebut untuk
menyiapkan kerja sekolahnya. Tanpa disedari, pensel tersebut
membuatkannya menjadi seorang murid yang semakin malas.
Elvin tidak mahu lagi berfikir atau bertanya kepada guru
tentang pelajaran atau kerja sekolahnya. Dia hanya
mengharapkan pensel ajaibnya untuk menyiapkan kerja sekolah
yang diberi oleh guru.
“Bulan depan peperiksaan akhir tahun akan bermula, buat
apa aku hendak bersusah payah membuat ulangkaji. Dengan
adanya pensel ajaib ini aku pasti akan dapat menjawab semua
soalan dengan betul,”kata Elvin di dalam hatinya.
Setelah sebulan berlalu, peperiksaan akhir tahun pun tiba.
Tanpa disedari Elvin, pensel ajaibnya sudah tidak boleh
digunakan lagi. Elvin tidak dapat menjawab semua soalan
tersebut. Dia berasa menyesal kerana mengharapkan pensel
ajaibnya sahaja. Barulah dia sedar bahawa usaha itu penting
untuk mencapai kejayaan.
Moral : Kita tidak boleh mengharapkan pertolongan orang lain
sahaja. Sebaliknya kita harus berusaha sendiri untuk mencapai
kejayaan.
KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK
HARIMAU YANG SOMBONG
Di dalam sebuah hutan, tinggal Sang Harimau yang sangat
sombong dan angkuh. Sang Harimau menganggap dirinya raja di
hutan tersebut. Semua haiwan di hutan itu sangat takut
kepada Sang Harimau.
Pada suatu hari, Sang Harimau memanggil semua binatang
di hutan itu. Tujuan Sang Harimau adalah untuk memberitahu
kepada semua haiwan di hutan itu tentang kekuatannya.
“Wahai haiwan-haiwan di hutan ini,berkumpul semua!”jerit
Sang Harimau.
Maka, datanglah semua haiwan di dalam hutan tersebut
berjumpa dengan Sang Harimau. Apabila Sang Harimau melihat
semua haiwan di hutan itu telah berkumpul, Sang Harimau pun
menceritakan kekuatannya kepada haiwan-haiwan itu.
“Tahukah kamu akan kekuatanku?”tanya Sang Harimau
penuh angkuh.
“Apakah kekuatanmu?”Sang Monyet bertanya.
“Engkau tidak nampakkah otot-otot di badanku ini?”tanya
Sang Harimau. “Dengan kekuatanku inilah aku berjaya memakan
berpuluh-puluh ekor kambing kepunyaan manusia,” sambung
Sang Harimau lagi.
“Betulkah begitu Sang Harimau?”tanya Sang Arnab untuk
mendapatkan kepastian.
“Ya, betul!”beritahu Sang Harimau.
“Engkau tidak tahukah Sang Harimau?”tanya Sang Arnab.
“Di pinggir hutan sana ada seekor kambing betina yang tinggal
di dalam sangkar besi, tiada sesiapa pun yang boleh menangkap
atau memakan kambing tersebut, kalau betul engkau kuat,
tunjukkanlah kekuatanmu itu untuk menangkap dan memakan
kambing tersebut,”cabar Sang Arnab.
Apabila mendengar sahaja kata-kata Sang Arnab itu,Sang
Harimau dengan angkuhnya pergi ke pinggir hutan tersebut
untuk menunjukkan kekuatannya. Semua haiwan yang berada di
situ mengikut Sang Harimau dari belakang. Sampai sahaja di
pinggir hutan itu, Sang Harimau melihat seekor kambing betina
berada di dalam sebuah sangkar besi. Tanpa berlengah masa
lagi, Sang Harimau terus menerkam ke arah sangkar besi itu.
Tiba-tiba,” Pap!” Sang Harimau terperangkap. Sang
harimau cuba melepaskan diri tetapi tidak berjaya. Rupa-
rupanya Sang Harimau telah termasuk ke dalam perangkap
yang telah dipasang oleh manusia.
Sang Arnab dan haiwan yang lain kembali ke hutan semula.
Mereka semua hidup aman dan damai tanpa perasaan takut lagi.
Moral : Kebijaksanan akal dapat mengatasi kekuatan fizikal.
KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK
ANGAN SI HUSIN
Husin baharu sahaja berumur sepuluh tahun. Dia selalu
berangan-angan untuk menjadi seorang angkasawan.
Sebentar lagi Husin akan berlepas ke angkasa. Roket yang
akan dinaikinya telah bersedia untuk berlepas. Dengan penuh
bangga Husin melangkah ke ruang kokpit angkasawan.
“Kapten Husin sudah bersedia untuk berlepas ke
angkasa?”tanya pembantunya.
“Sudah,” jawab Kapten Husin ringkas. Husin pun
mengenakan peralatan keselamatan sebelum kapal angkasanya
berlepas.
“3,2,1 berlepas!”jerit pembantunya. Kapal angkasa mereka
pun mula bergerak menuju ke angkasa.
Bebarapa minit kemudian, kapten Husin dan pembantunya
tiba di angkasa lepas. Mereka sungguh kagum kerana dapat
melihat pemandangan angkasa yang indah. Kapten Husin terus
memandu kapal angkasanya mengelilingi ruang angkasa bumi.
Ketika ayik mengelilingi bumi tiba-tiba kapal angkasa
mereka telah diserang oleh makhluk asing.
“Kapten, kapal angkasa kita diserang!”kata pembantunya.
Kapten Husin segera meningkatkan kelajuan kapal
angkasanya supaya dapat lari daripada makhluk asing itu.
Ketika Kapten Husin sedang asyik memandu kapal angkasanya
untuk lari daripada makhluk asing itu, dia terasa badannya
seperti telah ditembak oleh makhluk asing tersebut.
Kapten Husin tidak dapat lagi menahan kesakitan. Dia
menjerit dengan kuatnya. “Aduh, sakitnya!”
Husin berasa amat pedih pada bahunya. Tiba-tiba
kedengaran satu suara yang biasa didengar oleh Husin.
“Husin, kalau asyik berangan-angan tanpa usaha dan tidak
memberi tumpuan semasa guru mengajar, angan-angan kamu itu
hanya sekadar angan-angan sahaja,” bunyi suara tersebut.
Barulah Husin tersedar yang tembakan itu rupanya datang
dari rotan Cikgu Munirah dan suara tersebut ialah suara Cikgu
Munirah.
Sejak hari itu, Husin tidak lagi berangan-angan tetapi dia
berusaha gigih untuk mencapai angan-angannya itu.
Moral : Kita hendaklah berusaha dengan gigih untuk mencapai
cita-cita dan impian kita.
KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK
SI PETANI YANG TAMAK.
Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang petani yang
miskin. Petani ini bekerja mengambil upah di sawah padi milik
seorang saudagar yang kaya. Hidup petani ini ibarat kais pagi
makan pagi, kais petang makan petang.
Pada suatu hari, sedang petani ini asyik mengerjakan
sawah padinya, datanglah saudagar kaya itu. Saudagar kaya
kasihan melihat nasib si petani itu yang bekerja dari pagi
sampai ke petang. Tujuan saudagar kaya berjumpa dengan si
petani itu adalah untuk memberikannya benih-benih tembikai
agar boleh ditanam oleh si petani tersebut sebagai sumber
pendapatan sampingannya.
“Nah, ambillah benih-benih tembikai ini, tanamlah di
hadapan rumah kamu!” kata saudagar kaya.
Si petani yang miskin itu pun mengambil benih-benih
tembikai tersebut lalu mengucapkan terima kasih kepada
saudagar kaya.
Setelah kerja-kerja di sawah padi selesai, si petani yang
miskin itu pun pulang ke rumahnya lalu menanam benih tembikai
yang diberi oleh saudagar kaya itu. Selang beberapa bulan
kemudian, benih-benih tembikai yang ditanam itu pun
mengeluarkan hasil. Si petani yang miskin itu berasa amat
gembira melihat begitu banyak buah tembikai di hadapan
rumahnya.
“Banyaknya buah tembikai. Selepas ini bolehlah aku
berhenti mengerjakan sawah padi milik saudagar kaya itu.
Lagipun upah yang diberi oleh saudagar kaya itu tidaklah
seberapa,”bisik si petani.
“Aku akan jual semua buah tembikai ini. Selepas itu aku
akan kaya,”sambung si petani lagi.
Di bawah panas terik sinaran matahari, si petani pun
memetik sebiji buah tembikai yang ditanamnya lalu membelah
buah tembikai itu. Alangkah terkejutnya si petani melihat biji-
biji tembikai tersebut bersinar-sinar. Si petani menyangka
biji-biji itu merupakan emas lalu dia memetik dan membelah
semua buah tembikai yang ditanamnya.
Setelah memetik dan membelah semua buah tembikainya
itu, barulah si petani tersedar yang biji-biji tembikai tersebut
bukanlah emas tetapi hanya biji tembikai biasa sahaja. Rupa-
rupanya biji tembikai yang disangkanya emas itu bersinar
kerana terkena pancaran matahari.
Menyedari hal itu, si petani berasa amat menyesal kerana
bersikap tamak dan bertindak terburu-buru. Semua hasil
tembikai yang ditanamnya rosak. Akhirnya, si petani terpaksa
bekerja lagi di sawah padi kepunyaan saudagar kaya itu.
Moral : Kita tidak boleh bertindak mengikut perasaan dan
bersikap tamak. Orang tamak selalu rugi.
SIRI CERTITA KANAK-KANAK
KISAH SANG SEMUT DAN SANG BADAK
Di dalam sebuah hutan, tinggal dua sahabat yang baik iaitu
Sang Semut dan Sang Badak. Sang Semut sangat rajin tetapi
Sang Badak sangat malas.
Setiap hari Sang Semut akan bekerja keras dan berjalan
ke tempat yang jauh untuk mencari makan. Sang Badak pula
hanya menghabiskan masa dengan makan dan tidur sahaja.
Pada suatu petang, Sang Semut mengajak Sang Badak
bersenam supaya dapat menyihatkan badan. Tujuan Sang
Semut mengajak Sang Badak bersenam kerana Sang Semut
melihat badan Sang Badak semakin besar.
“Hai Sang Badak, marilah kita bersenam. Aku lihat setiap
hari engkau hanya makan dan tidur sahaja,” kata Sang Semut.
“Aku perlu bersenam? Ah,aku tidak perlu bersenam,
badan aku sudah besar dan kuat! Cukuplah sekadar makan dan
tidur sahaja untuk menambahkan tenaga aku,” jawab Sang
Badak.
Setelah mendengar jawapan Sang Badak, Sang Semut
terus berlalu dan melakukan aktiviti hariannya iaitu bersenam.
Beberapa bulan kemudian, musim tengkujuh melanda
kawasan tersebut. Hujan lebat tidak henti-henti. Air sungai
yang berhampiran dengan tempat tinggal Sang Semut dan Sang
Badak semakin naik.
Apabila melihat keadaan itu, Sang Semut telah mengambil
keputusan untuk mengajak Sang Badak berpindah ke kawasan
yang lebih tinggi.
“Marilah kita berpindah ke kawasan bukit sana. Aku lihat
air sungai semakin naik,”ajak Sang Semut.
“Malaslah aku nak berpindah. Engkau sahajalah yang
pindah semut. Aku yakin air sungai ini tidak akan naik. Badan
aku juga besar, sudah tentu arus sungai tidak akan dapat
menghanyutkan aku,”kata Sang Badak.
Setelah mendengar jawapan Sang Badak, Sang Semut pun
terus berlalu dari situ dan menuju ke kawasan yang lebih
tinggi. Bebarapa minit kemudian, tanpa disedari oleh Sang
Badak, air sungai telah naik dengan cepatnya. Sang Badak yang
besar dan malas itu tidak dapat menyelamatkan dirinya. Arus
sungai yang deras telah menghanyutkan Sang Badak. Sang
Semut berasa sedih dengan kejadian yang menimpa Sang
Badak. Akhirnya Sang Badak tidak dapat diselamatkan dan
lemas dihanyutkan arus sungai yang deras itu.
Moral : Kita mestilah menjaga kesihatan diri dan bijak
membuat keputusan.
BIODATA PENULIS
NAMA : HAIZANALDI BIN MISBAH
NO.K/P : 790811-01-5281
ALAMAT : SJKT MASAI, JLN. SEKOLAH, 81750 MASAI,
JOHOR.
NO.TEL : 0192160018