ARIF
DAN SI
NENEK TUA
AIDA MARDHIAH
ARIFAH BINTI ROSTAM
Di sebuah kampung yang bernama Kampung
Damai Indah, tinggal sepasang suami isteri iaitu
Encik Kamal dan Puan Aisyah bersama anak lelaki
tunggal mereka yang bernama Arif. Arif berusia 10
tahun dan merupakan seorang kanak-kanak yang
nakal, degil dan suka menyeksa binatang.
1
Apa-apa binatang yang dia lihat pasti akan
menjadi mangsanya. Disebabkan sikap Arif itu,
saudara-mara dan juga jiran-jirannya tidak
membenarkan Arif untuk bermain dengan haiwan
peliharaan mereka kerana mereka bimbang akan
keselamatan haiwan peliharaan mereka.
21
“Arif! Jangan kacau kucing tu. Biar kucing tu
berehat dekat situ. Kucing tu bukan ganggu
kamu pun" tegur Puan Aisyah apabila dia melihat
Arif sedang mengacau seekor kucing yang sedang
berehat di halaman rumah.
3
“Arif tak buat apa-apa pun. Arif main dengan
kucing sahaja. Kucing yang salah sebab dia tidur
dekat tempat Arif main. Jadi, kucing ini yang kacau
Arif dulu.” Kata Arif membantah nasihat ibunya itu.
Puan Aisyah menggeleng kepala sahaja mendengar
kata anak tunggalnya itu.
4
Puan Aisyah dan Encik Kamal buntu dan pening
kepala memikirkan sikap anak tunggal mereka ini.
Mereka telah melakukan pelbagai cara termasuklah
membawa Arif berjumpa dengan doktor pakar
kanak-kanak bagi mengubah perangai Arif tetapi
masih lagi tiada perubahan yang berlaku.
5
Di suatu petang ketika Arif sedang bermain di
padang, dia ternampak seekor katak sedang
melompat-lompat di atas tanah. Arif tersenyum
girang lalu berlari ke arah katak tersebut sambil
memegang sebatang ranting pokok.
6
Dia mengejar katak tersebut sambil mengacuh-
acuh ranting pokok. Katak tersebut melompat
dengan lebih laju untuk menyelamatkan diri
daripada menjadi mangsa Arif. Akhirnya, katak
tersebut menyelamatkan diri dan menyorok di
dalam sebuah lubang.
7
“Nasib baik aku sempat larikan diri daripada
manusia itu. Kalau tak, mati aku dibuatnya nanti”
cerita katak tersebut kepada kaum kerabatnya yang
lain setelah dia berjaya menyelamatkan diri daripada
Arif. Katak-katak yang lain menjadi takut dan
bimbang dengan keselamatan mereka sekiranya
mereka terserempak dengan Arif ketika mereka
mencari makan.
8
“Aku rasa kita patut beritahu ke ketua sebab
sudah banyak kawan-kawan kita yang dibunuh
oleh manusia tersebut. Aku tak mahu mati
dibunuh oleh manusia itu. Mungkin ketua ada
jalan penyelesaiannya.” kata salah seekor katak.
Katak yang lainnya juga bersetuju dengan cadangan
tersebut lalu bergerak ke tempat ketua mereka
tinggal.
9
Ketua-ketua binatang seperti kucing, katak, arnab
dan burung berkumpul bagi membincang masalah
yang dihadapi oleh mereka. “ Aku dah tak tahan
dengan ancaman manusia yang tak ada hati
perut itu. Sudah ramai saudara aku menjadi
mangsanya."
10
Ketua katak mengadu tentang nasib yang dialami
oleh keturunannya dengan nada sedih bercampur
marah. Semua berasa marah dengan tindakan Arif
itu. Bagi mereka, tindakan tersebut sangat
melampau dan mengancam nyawa serta
keharmonian mereka
11
“Aku rasa aku ada satu idea macam mana nak
beri pengajaran kepada si pembuli tu” kata si
burung secara tiba-tiba. Semua binatang yang
hadir dalam mesyuarat tersebut berpaling melihat
ke arah si burung.
12
“Aku rasa kita patut minta pertolongan dengan
si nenek tua yang tinggal di hujung kampung
ini. Aku yakin si nenek itu dapat menolong
kita” sambung si burung semula. Binatang-
binatang yang hadir dalam mesyuarat tersebut
mengangguk kepala mengiakan kata-kata si
burung.
13
“Tapi siapa yang akan pergi berjumpa dengan
nenek tua itu? “ celah si arnab pula. “Jangan
risau. Aku dengan kucing yang akan pergi
berjumpa dengan nenek tua itu” kata si katak.
Lalu, si katak dengan di kucing pun pergi ke rumah
si nenek tua yang terletak di hujung kampung.
14
Setibanya si katak dan si kucing di rumah nenek
tua, mereka disambut baik oleh nenek tua tersebut.
“Apa hajat kamu berdua datang berjumpa
dengan aku?” tanya nenek tua tersebut. Jawab si
katak, “Kami nak minta tolong nenek untuk
menyumpah seorang kanak-kanak menjadi
seekor binatang supaya dia dapat merasai
kesakitan dan sengsara yang kami rasai selama
ini”.
15
“Baiklah. Aku akan tunaikan hajat kamu
berdua” balas si nenek tua. Si katak dan si kucing
pun berlalu pergi meninggalkan rumah si nenek tua.
Selepas itu, si nenek tua itu pergi untuk berjumpa
Arif. “Cucu, nenek nak pesan satu perkara iaitu
hormatilah haiwan dan jangan seksa mereka
sesuka hati kamu. Nanti balasan itu akan datang
kepada kamu” pesan si nenek tua kepada Arif.
16
Arif ketawa sekuat-kuatnya apabila mendengar
pesanan daripada si nenek tua itu. “Nenek jangan
buat lawak kat sini boleh tak? Bila masa saya
seksa haiwan? Nenek ada nampak ke saya seksa
haiwan? Haiwan-haiwan itu yang kacau saya
dulu. Saya cuma denda mereka sahaja “ jawab
Arif dalam keadaan mengejek.
17
Si nenek tua berasa tersinggung serta marah
dengan kata-kata Arif tersebut. “Kamu memang
seorang manusia yang tidak berhati perut. Kamu
layak merasai penderitaan binatang-binatang
yang telah kamu seksa. Aku sumpah kau jadi
seekor katak memandang katak merupakan
haiwan yang paling banyak kamu seksa.”
18
Serentak dengan itu, si nenek tua mengetuk Arif
menggunakan tongkat yang berada di tangannya.
Dengan itu, bertukarlah Arif daripada seorang
manusia menjadi seekor katak disebabkan oleh
sikap degil dan angkuhnya itu.
19
“Nenek...tolong tukarkan aku kembali menjadi
manusia. Aku tidak mahu hidup sebagai seekor
katak. Tolong nenek. Aku janji aku tidak akan
menyeksa binatang lagi” rayu Arif. Namun
penyesalan Arif tidak lagi berguna. Maka,
bermulalah kehidupan baru Arif sebagai seekor
katak.
20
PENGAJARAN
Kita perlu sentiasa berbuat baik
dengan semua benda hidup
sama ada manusia, haiwan dan
tumbuh-tumbuhan.
Kita haruslah mendengar dan
mentaati nasihat yang diberikan.
Perbuatan khianat kepada
manusia dan haiwan jangan
pernah diamalkan
21
AIDA MARDHIAH ARIFAH BINTI
ROSTAM (273005)
TAMAT