The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by muriyante 7181, 2021-02-21 20:09:38

BAHASA MELAYU TAHUN 4

KARANGAN 1

Karangan cerita

Soalan:
Pada cuti sekolah yang lalu, kamu telah bercuti di kampung datuk
dan nenek kamu. Ceritakan pengalaman kamu sepanjang berada di
sana.

Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah berpeluang pulang ke kampung
datuk dan nenek saya yang terletak di Pasir Puteh Kelantan. Saya
bertolak ke sana pada awal pagi dengan menaiki bas dari Kota Bharu.
Datuk menunggu saya di stesen bas Pasir Puteh.

Setibanya di rumah datuk, nenek sedang menunggu dengan
hidangan makan tengahari. Saya makan dengan berselera sekali kerana
terlalu lapar, tambahan pula masakan ikan haruan dan puyu yang nenek
sediakan amat menyelerakan.

Setelah berehat dan bersolat Zohor, datuk mengajak saya ke
sungai yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk memancing dan
melihat lukah yang ditahannya. Saya sangat seronok kerana inilah
aktiviti yang amat saya tunggu-tunggu. Datuk mengajar saya
teknik memancing ikan di sungai. Saya bersorak kegembiraan apabila
dapat memancing seekor ikan sebarau yang agak besar. Datuk hanya
tersenyum melihat gelagat saya.

Pada sebelah petang pula, datuk mengajak saya ke sawahnya.
Sawah datuk sangat luas. Di sini, saya berpeluang melihat beberapa
orang petani bekerja di sawah mereka. Ada yang sedang merumput,
membaja dan membaiki batas-batas sawah. Datuk mengatakan bahawa

padi-padi tersebut akan dituai pada bulan hadapan. Saya berasa agak
kecewa kerana tidak berpeluang melihat kerja-kerja menuai padi.

Keesokan harinya, beberapa orang sepupu saya mengajak saya ke
hutan untuk mencari buluh. Mereka bercadang untuk membuat wau.
Saya berasa sangat teruja kerana ini adalah peluang keemasan kepada
saya untuk belajar membuat wau. Sepupu-sepupu saya mengajar saya
menebang buluh, membelah, dan meraut buluh untuk dibuat wau.
Setelah seharian bertungkus-lumus, saya berjaya membuat sebuah
wau kucing yang sederhana besarnya. Wau-wau yang kami buat akan
kami terbangkan di padang berhampiran rumah datuk.

Setelah seminggu berada di rumah datuk dan nenek, ayah dan ibu
pun datang menjemput saya pulang kerana cuti akan berakhir tidak
beberapa lama lagi. Walaupun agak keberatan untuk meninggalkan
kampung datuk dan nenek, tetapi saya berasa amat gembira kerana
mendapat pelbagai pengalaman menarik pada cuti kali ini.


Click to View FlipBook Version