Cerita Pak Pandir
dan Sekarung
Garam
Pada suatu hari, di rumah Pak Pandir telah kehabisan
garam. Kebetulan pula malam itu mereka akan
mengadakan kenduri kesyukuran menyambut kelahiran
anak pertama Pak Pandir. Mak Andeh pun menyuruh
Pak Pandir ke pekan membeli sekarung garam. Tidaklah
mereka berulang alik ke pekan lagi fikirnya.
''Pak Pandir, bawa segantang beras untuk ditukarkan
buat membeli garam,'' arahnya.
Pak Pandir menurut arahan isterinya. Memandangkan
malam ini mereka akan menjamu orang
kampung, malulah kalau lauknya tidak bergaram. Tanpa
kata, Pak Pandir mengambil segantang beras lalu
berlalu pergi ke pekan. Perjalanan dari kampungnya
mengambil masa satu jam. Jadi pulang balik kira~kira
dua jam.
Setelah sejam lebih berjalan, akhirnya Pak Pandir pun
sampai. Tanpa membuang masa, dia segera
menyelesaikan tugasannya membeli garam dan bergegas
pulang. Bimbang kalau nanti dia agak lambat
sampai ke kampung.
Setengah jam berjalan, Pak Pandir mula keletihan.
Panas mentari terasa perit membakar kulit. Pak Pandir
mulai haus dan lelah namun dia gagahkan juga kaki
melangkah.
Sebaik sahaja tiba di sebuah sumur, Pak Pandir segera
minum dan membasahkan dirinya. Sepohon
pokok yang agak rendang di tepi sumur itu sedikit
sebanyak membantu menyejukkan dirinya.
''Baik aku berehat sebentar. Lagipun setengah jam
saja lagi aku sampai rumah,'' kata Pak Pandir
kepada diri sendiri.
Garam yang dibelinya tadi dikerling sekilas. Pak Pandir
memikirkan cara untuk menyorok karung garam tersebut
agar tidak dicuri orang sekiranya dia terlelap nanti.
Fikir punya fikir, akhirnya Pak Pandir mendapat idea yang
dikiranya bernas. Dia mengambil beberapa bongkah batu
lalu menindih karung garam tadi di dalam sungai.
Setelah itu, dia pun berehat sebentar tanpa perasaan
bimbang. Setelah agak lama berehat, Pak Pandir
terkejut apabila sebatang ranting kering jatuh atas
kepalanya.
''Ah..Sudah lama rupanya aku berehat.Baik aku pulang
sekarang sebelum Andeh membebel,'' bisiknya
pada diri sendiri. Dia mengangkat bongkah~bongkah batu
tadi, lalu mengambil karung garam yang ditindihnya
di situ sebentar tadi. Dia pun meneruskan perjalanan
membawa karung kosong itu ke rumah. Garam yang
dibelinya tadi sudah larut di dalam air.
Sebaik sahaja sampai di rumah, Mak Andeh sudah
menunggu di depan rumah.
''Lambatnya awak balik Pak Pandir. Saya dah siapkan
lauk~lauk yang hendak dimasak.,'' Katanya lalu mengambil
Karung garam tadi dari tangan Pak Pandir. Namun, tanpa
mengambil masa yang lama, wajah Mak Andeh mencuka.
''Kenapa karung garam ni basah? Garamnya pun tidak
ada,'' soalnya kesal sambil memandang Pak Pandir.
''Alamak! Saya sorokkan karung tu dalam air tadi sebab
aku nak berehat sebentar. Saya tidak tahu
pula kalau garam tu boleh larut dalam air,'' balas Pak
Pandir serba salah.
Mak Andeh mengeluh. Dia tahu Pak Pandir agak dungu
dan lembab jadi dia tidak boleh menyalahkan suaminya itu.
Nampaknya malam ini mereka berlaukkan sup ayam dan
ikan tawar berkat kesilapan Pak Pandir.