Hari Wesak
Hari Wesak merupakan hari perayaan di dalam agama Buddha.
Tidak kira dari mana alirannya samada Mahayana atau Theravada,
mereka akan merayakan perayaan Hari Wesak. Perayaan ini salah
satu perayaan penting bagi memperingati Siddharta Gautama
Buddha yang lahir di Lumbini, Nepal, sekitar 563-483 SM. Siddharta
Gautama Buddha merupakan tokoh penting di dalam agama Buddha.
Selain Siddharta Gautama Buddha, mereka juga mengimani adanya
Buddha-Buddha lain. Akan tetapi, Hari Wesak ini hanya khusus
memperingati Siddharta Gautama sahaja.
Perkataan Wesak adalah berasal daripada perkataan Pali iaitu
Vesakha. Manakala di dalam bahasa Sanskrit pula disebut sebagai
Vaisakha. Vaisakha adalah nama bulan di dalam kalender Hindu
yang mengisyaratkan masuknya bulan kelima.
Menurut Ven. Dr. Madawela Punnaji di dalam bukunya The
Philosophy of Vesak mengatakan di dalam kepercayaan Buddha,
mereka melakukan perayaan di bulan ini sempena memperingati
Siddharta Gautama Buddha sempena tiga perkara. Buddha
dipercayai lahir pada purnama bulan Vesakha, beliau juga mendapat
pencerahan agung dalam pertapaan dan beliau juga dikatakan
meninggal di dalam bulan ini. Oleh itu, bulan ini dikira sangat
penting bagi penganut Buddha untuk memperingatinya.
Sejarah memperingati Buddha pada bulan Vesakha bermula selepas
kematian Siddharta Gautama Buddha dan perayaan ini ianya
diselaraskan secara rasmi pada persidangan pertama World
Fellowship of Buddhists di Sri Lanka pada tahun 1950. Mereka
bersepakat untuk meraikan setiap kali purnama dalam bulan Mei.
Pada hari tersebut, para penganut Buddha akan menziarahi biara
dan kuil Buddha pada waktu pagi untuk memberikan penghormatan
kepada Buddha. Mereka juga (khususnya Cina Buddha: Mahayana)
akan berarak beramai-ramai sambil membawa seni hias berupa
patung Buddha dan simbol berkaitan dengan Buddha di jalan raya
pada malam Wesak. Antara simbol ikon yang dilambangkan kepada
Buddha seperti Pagoda, patung Buddha, pokok Bodhi dan benda
peninggalan Buddha. Para penganut Buddha juga akan melafazkan
Triratna iaitu tiga ucapan perlindungan kepada Buddha, Dhamma
dan Sangha untuk memperbaharui azam mereka kepada ajaran
Buddha.
Kebiasaan yang dapat dilihat pada perayaan Wesak ini mereka akan
menyediakan hiasan dan simbol bunga teratai berwarna merah
jambu. Teratai merah jambu ini dikira tahap tertinggi dan simbolik
kesucian seseorang seperti Buddha dan dewa-dewi. Oleh itu, bunga
teratai simbolik kepada Buddha.
Hari Wesak merupakan hari cuti umum bagi semua negeri di
Malaysia. Sebagai rakyat yang berbilang kaum, kita perlu mengenali
sedikit latar belakang agama masing-masing agar dapat memupuk
nilai keharmonian di antara penganut agama. Perayaan Wesak ini
merupakan perayaan agama di dalam agama Buddha.
Sumber:
https://m.facebook.com/FirdausWongMRM/posts/1182244268553
224:0