Lebai
Malang
Al kisah, maka adalah sebuah
desa. Maka di dalam rantau
itu adalah seorang lebai
pandai mengaji dan taat
ibadatnya kepada Allah
ta`ala, istimewa pula
perangainya tersangat adab
dan santun, serta dengan
tulus ikhlas hatinya kedua
laki isteri. Ia itu tinggal di
sebuah dusun.
Sekali peristiwa, datanglah
seorang laki-laki ke
rumahnya mengajak akan dia
melawat orang mati. Maka
kata Pak Lebai, baiklah.
Kembalilah tuan dahulu. Dan
seketika lagi datang pula
seorang kanak-kanak
menjemput Pak Lebai kerana
hendak kenduri berkhatam
pengajian. Maka jawab Pak
Lebai, yalah, baliklah engkau
dahulu. Ada sekejap pula
datang seorang lagi
mempersilakan Pak Lebai ke
terataknya oleh hendak
berdikir kenduri Maulud.
Maka itu pun disanggup juga
Pak Lebai, demikianlah juga
katanya. Maka ketiga-tiga
mereka itu pun pulanglah ke
rumah masing-masing
berhadirkan sekalian alatnya
kerana harapkan Pak Lebai
akan datang juga ke
rumahnya.
Hatta, dinanti-nantilah oleh
semua pemanggil itu akan
Pak Lebai beberapa lamanya
hingga beralih matahari,
tiadalah juga Pak Lebai tidak
datang. Maka yang mati itu
pun dimandikan serta
disembahyangkan lalu
ditanamkan. Dan demikian
juga yang berkhatam itu pun
dikhatamkan oranglah dan
yang berkenduri itu pun
bertampillah berdikir,
masing-masing dengan
pekerjaannya.
Kelakian, maka tersebutlah
perkataan Pak Lebai.
Kemudian daripada mereka
yang ketiga itu telah kembali,
maka ia pun sembahyang
zuhur. Sudah sembahyang
lalu berfikir di dalam hatinya,
ke mana baik aku pergi ini?
Jika aku pergi kepada orang
mati tentu aku mendapat
sedekah kain putih dan tikar.
Dan kalau aku pergi kepada
orang berkhatam pengajian
itu, perutku tentulah
kenyang, dan sedekah pula
secupak daging kerbau, serta
kelapa setali dan kampit
beras satu. Dan jikalau aku
pergi kepada orang berdikir
itu perut aku tentulah
kenyang makan lempeng
penganan angkatan orang
itu. Maka kalau begitu,
baiklah aku pergi kepada
orang mati itu dahulu, kerana
sabda junjungan dahulukan
kerja wajib daripada kerja
yang lain-lain.
Hatta, telah Lebai Malang
berfikir demikiaan, maka ia
pun pergilah ke rumah orang
yang kematian itu. Dengan
takdir Allah ta`ala Pak Lebai
bertemu dengan orang-
orang yang pergi
menanamkan orang mati itu
baru pulang sahaja dari
kubur. Maka kata saudara si
mati, Allah, Pak Lebai,
mengapa lambat datang?
Sudahlah apa boleh buat?
Tiada hendak menjadi rezeki
saya.
Maka Pak Lebai pun pergilah
pula ke rumah orang
berkhatam itu. Serta ia
sampai ke sana, orang
semuanya habis hendak
balik. Demi dilihat oleh orang
empunya kerja itu, katanya,
ah, ah ini pun Pak Lebai baru
sampai. Mengapa Pak Lebai
lambat datang? Sekarang
apa pun tiada lagi, semuanya
telah habis, melainkan
barang dimaafkan sahajalah
hal saya ini, kerana
semuanya telah habis sekali.
Maka kata Pak Lebai, tiada
mengapa, asalkan sudah
selamat, sudahlah. Kemudian
ia pun berjalan menuju ke
rumah orang bermaulud itu.
Setelah ia sampai ke sana,
orang baru lepas berangkat
saja, masing-masing orang
pun hendak kembalilah. Maka
apabila dilihatnya oleh tuan
rumah akan Pak Lebai, maka
katanya, Allah mengapa
lambat datang Pak Lebai?
Hingga penatlah saya
menanti tiada juga Pak Lebai
sampai. Kemudian
diperbuatlah mana-mana
yang dapat. Naiklah, Pak
Lebai, nah inilah yang ada
hanya sebungkus penganan
saja lagi, lain semuanya
sekali telah habis.
Maka ujar Pak Lebai, tiada
mengapa apa pula yang
disusahkan saya ini. Lalu
diambilnya bungkusan
lempeng itu serta berjalan
pulang ke rumahnya.
Kelakian, maka hari pun
hampir petang Pak Lebai pun
sampailah ke kampungnya
lalu teringatlah ia akan air
niranya di atas pohon
kabung tiada berambil lagi.
Maka ia pun pergilah ke
pohon kabung itu dan
lempengnya itu pun
disangkutkannya pada singai
tempat ia memanjat pohon
itu. Maka Pak Lebai pun
sampailah kepada bacuk
niranya itu. Dilihatnya bacuk
itu penuh berisi air nira.
Dengan takdir Allah,
lempengnya yang
ditinggalkannya di bawah itu
sudah digonggong oleh
anjing, dibawanya lari. Maka
setelah dilihatnya oleh Pak
Lebai akan hal penganannya
itu digonggong oleh anjing,
maka hilanglah fikirannya,
lalu ia mencabut goloknya
serta dipunggaikannya
kepada anjing itu, tiada kena.
Dan diambil bacuk nira yang
penuh dengan nira itu, lalu
dibalingkannya, tiada juga
kena. Maka ia pun terjun dari
atas pohon itu berkejar
sekuatnya menghambat
binatang bedebah itu.
Maka oleh tersangat
pantasnya Pak Lebai
mengejar anjing itu hingga
terkepunglah ia, tiada tentu
arahnya hendak lari lagi,
istimewa pula hari sudah
malam buta. Maka anjing itu
pun masuklah ke dalam
lubang batang kayu
bersembunyi membawa
bungkusan kuih yang
separuh sudah dimakannya
sambil lari itu. Maka Pak
Lebai pun sampailah kepada
tempat anjing itu
menyembunyikan dirinya.
Dicarinya kayu tiada, dan
lain-lain benda pun tiada
juga hendak disumbatkannya
pada lubang itu. Maka Pak
Lebai pun oleh tersangat
berang hatinya, lalu
menanggalkan seluar dan
baju serta songkoknya, lalu
disumbatkannya kepada
lubang itu. Maka Pak Lebai
pun tinggal bertelanjang
bulat sahaja. Maka si anjing
itu pun keluarlah lari
mengikut lubang yang
sebelah lagi yang tiada
bertutup itu, mengonggong
bungkusan itu dengan
pantasnya masuk ke dalam
hutan lalu hilanglah sekali
tiada kelihatan pada mata
Pak Lebai. Maka Pak Lebai
pun tercengang-cenganglah
mengintai anjing itu ke sana
ke mari.
Hatta seketika lagi
terbanglah dua ekor burung
betul-betul menuju Pak
Lebai, kerana pada sangka
burung itu tunggul kayu, oleh
Pak Lebai tidak berpakaian,
seurat benang pun tiada
lekat pada tubuhnya. Setelah
dilihat oleh Pak Lebai akan
burung itu datang, ia pun
segeralah mengadakan
lengannya dan membukakan
kedua ketiaknya. Maka
burung itu pun betullah
masuk ke dalam lubang
ketiaknya, seekor disebelah
kiri hendak menangkap
burung itu. Wah apabila
dirasa oleh burung itu
badannya sudah tiada terapit
lagi, maka keduanya pun
terbanglah naik ke atas
pohon kayu yang
berhampiran di situ. Setelah
dilihat oleh Pak Lebai burung
itu terbang, putihlah
matanya dengan putus
asanya kerana segala
perkara yang diusahakannya
itu suatu pun tiada memberi
faedah kepadanya.
Maka ia pun mengucapkan
syukurlah kepada Allah lalu
ia pun kembalilah kepada
lubang kayu tadi hendak
mengambil kain bajunya.
Sekunyung-kunyung suatu
pun tiada lagi, sudah diambil
oleh orang. Maka pergi pula
ia ke pohon kabung mencari
goloknya dan bacuk niranya,
semuanya telah ghaib, suatu
pun tiada lagi. Wah apatah
lagi, sesal Pak Lebai pun
tiadalah berguna lagi, lalu
teringatlah ia akan bidalan
orang tua-tua, kalau
secupak, takkan segantang,
rezeki sudah sebanyak itu.
Maka Pak Lebai pun naiklah
ke rumahnya. Telah dilihat
oleh isterinya keadaan Pak
Lebai itu, marahlah ia, seraya
katanya, kena apa awak
demikian ini, seperti laku
orang gila? Ke mana pergi
seluar dan baju awak? Maka
oleh Pak Lebai
diceritakannya segala hal
ehwal yang telah berlaku ke
atas dirinya. Maka Mak Lebai
pun naiklah radangnya,
seraya mengambil kayu api,
disesahkannya ke belakang
Pak Lebai seraya berkata:
malang,
Ke hulu hilir penat berulang
Celaka sial bedebah
jembalang
Pakaian dibuang
bertelanjang pulang.'
Maka Pak Lebai pun lari
masuk ke dalam kelambu
mencari kain, lalu duduk
termenung memikirkan
halnya yang telah jadi, serta
dengan berangnya sebab
penat dan sakit kena bahan
oleh kayu api Mak Lebai. Lalu
ia bersyair pula:
,
Dapat sedekah sebungkus
lempeng,
Habis hilang baju dan kain,
Penganan habis dibaham
anjing.
Penat berkejar tidak terkira,
Ke sana ke mari tersera-sera,
Punah golok bersama nira,
Pulang ke rumah mendapat
mara.'
Maka demikianlah ceritanya
Pak Lebai Malang itu, adanya.