BERUK
TUNGGAL
Kononnya, ada sebuah
istana terletak di tebing
sebatang sungai. Rajanya
mempunyai tujuh orang
puteri. Baginda amat
sayang kepada Puteri
Bongsu.
Di tebing sebelah istana
ada sebuah pondok buruk.
Penghuninya seorang
perempuan setengah umur.
Kerjanya bertani.
Perempuan itu sangat
inginkan seorang anak.
Pada suatu hari, dia minum
air di sebuah tempurung.
Selepas itu dia mengandung
lalu melahirkan seekor
beruk. Ia dinamakan Beruk
Tunggal.
Setelah besar, Beruk
Tunggal menolong ibunya
bertani.
Tahun itu padi menjadi
tetapi diserang tikus. Beruk
Tunggal menangkap semua
tikus yang menyerang
padinya. Kemudian dia
mencari Raja Tikus.
Apabila bertemu, Raja
Tikus itu diberi amaran.
Raja Tikus ketakutan
kerana ia tahu Beruk
Tunggal jelmaan seorang
anak raja kayangan.
“Hamba tidak tahu huma
ini kepunyaan tuanku,”
kata Raja Tikus.
“Padi aku sudah habis.
Apakah tindakan kamu?”
Tanya Beruk Tunggal.
“Hamba akan suruh rakyat
hamba mengumpulkan
butir emas,” kata Raja
Tikus.
“Baiklah, aku terima
pemberian itu!” kata Beruk
Tunggal.
Kemudian, segala tikus itu
datang membawa butir
emas. Banyaklah emas di
pondok Beruk Tunggal.
Beruk Tunggal meminta
emaknya meminang puteri
raja. Emaknya pun pergi ke
istana. Raja terkejut
mendengar permohonan
perempuan itu. Namun raja
menyampaikan juga
permohonan itu kepada
ketujuh-tujuh orang
puterinya.
“Kahwin dengan beruk?”
Tanya Puteri Sulung. Puteri
yang lain turut hairan.
Hanya Puteri Bongsu yang
bersopan-santun sahaja
yang sanggup menjadi isteri
Beruk Tunggal.
Raja dan permaisuri
kasihan kepada Puteri
Bongsu. Baginda meminta
hantaran sebentuk cincin
berlian. Pada fikiran raja,
tentulah perempuan miskin
itu tidak berdaya
menyediakannya.
Beruk Tunggal memohon
kepada ayahandanya, Raja
Kayangan. Pada malam itu,
ayahanda Beruk Tunggal
menghantar secupak cincin
berlian. Emak Beruk
Tunggal pun
mempersembahkan cincin
berlian yang secupak itu ke
istana.
Dia meminta baginda
memilih sebentuk cincin
yang sesuai. Raja tidak
dapat mengelak. Puteri
Bongsu pun dikahwinkan
dengan Beruk Tunggal.
Selepas itu baginda tidak
mahu mereka tinggal di
istana. Puteri Bongsu
mengikut Beruk Tunggal
tinggal di pondoknya. Pada
malam pertama, Puteri
Bongsu menemui sarung
beruk. Esoknya, Beruk
Tunggal tidak bersarung
lagi. Dia bertukar menjadi
seorang pemuda yang
kacak.
“Kekanda sebenarnya
putera Raja Kayangan.
Bakarlah sarung beruk itu.
Taburkan sedikit debunya
di luar pondok. Pintalah
sesuka hati adinda,” kata
putera Raja Kayangan.
Puteri Bongsu mengikut
suruhan putera raja itu.
Sebentar itu juga
pondoknya bertukar
menjadi istana, lengkap
dengan taman yang indah.
Pengajaran :
1. Jangan mencuri hak
orang lain.
2. Jangan memandang hina
kepada orang miskin.