KISAH KOTA
YANG
TERSEMBUNYI
(Legenda dari SINGAPURA)
Lembaran sejarah Singapura yang
dahulunya dikenali sebagai Temasek, mula
terbuka hanya selepas lawatan seorang
putera Sailendra yang melarikan diri
daripada keadilan. Sebelum itu, tidak
banyak yang diketahui tentang Temasek.
Mengapa kewujudan Singapura tidak
diketahui sehinggalah selepas tahun 1400?
Dan mengapa, selepas ‘ditemui’, Singapura
menjadi negara yang penting dan aman
seperti sekarang?
Ada sebuah kisah tentang pembukaan
pulau yang kecil tetapi hebat ini,
Legenda ini bermula dua ribu tahun
dahuku, di sebuah dataran yang dikenali
oleh para pengembara sebagai ‘Kerajaan
Tengah’. Hari ini, kita mengenalnya sebagai
negara China. Pada masa itu, Kerajaan
Tengah terdiri daripada beberapa buah
negeri dan para pemimpinnya berperang
antara satu dengan yang lain. Para
petanilah yang menderita akibat
peperangan itu. Kanak-kanak lelaki, pada
usia yang masih muda, dipisahkan daripada
ibu bapa mereka untuk menganggotai
tentera. Setiap hari, keadaan bertambah
teruk. Pertumpahan darah berterusan di
medan peperangan dan tiada tanda-tranda
akan berhenti.
Jauh di neraka, Jin Pemakan Orang
bermegah akan permusuhan di bumi. Jin itu
ialah jin yang paling hodoh dan kejam yang
pernah terfikir oleh Syaitan. Namun, tiada
siapa pun yang pernah melihatnya dalam
bentuk asal kecuali Syaitan. Jin itu mampu
bertukar ke apa-apa bentuk yang
diingininya. Dia meninggalkan tempat
asalnya dan turun ke bumi untuk menawan
orang-orang kampung. Dia membina istana
di tengah-tengah medan peperangan.
Istana itu dipagari oleh taman-taman yang
cantik. Bunga-bunga berwarna-warni dan
kupu-kupu berterbangan dengan riangnya
di taman itu. Pemandangannya sungguh
menarik, terutamanya di tempat keindahan
sukar didapati.
Istana yang tersergam itu dipisahkan
daripada perkampungan oleh sebuah
jambatan. Pada waktu siang, jambatan itu
sama seperti jambatan lain tetapi, pada
waktu pada waktu malam, jambatan itu
berkilau dan bersinar di bawah cahaya
bulan. Terdapat khabar-khabar angin
bahawa jika kita melihat cahaya bulan
yang bersinar padanya, titisan air seperti
air mata akan kelihatan menitis daripada
jambatan itu. Jika kita lihat dengan lebih
teliti, titisan air tadi menyerupai darah.
Orang-orang kampung gerun tetapi
kagum akan istana itu. Pemuda yang
memasukinya tidak keluar-keluar. Kanak-
kanak yang memetik bunga di perkarangan
tamannya, hilang buat selama-lamanya.
Jeneral-jeneral perang menyedari
betapa indahnya istana itu. Mereka juga
ingin mengetahui dengan lebih lanjut
mengenainya. Tetapi, selepas mendengar
kisah-kisah daripada orang kampung,
mereka tidak berani mendekati
jambatannya sekalipun. Masing-masing
mencabar pihak yang satu lagi agar
memasukinya tetapi tidak seorang pun
yang berani. Orang-orang bawahan jeneral
menawarkan diri tetapi seperti orang lain
yang telah masuk, mereka tidak keluar-
keluar.
Dalam keadaan terdesak, orang-orang
kampung memohon bantuan dewa-dewa.
Dewa Belas Kasihan, mendengar rayuan
mereka. Dia mengarahkan Raja Monyet
menyiasat. Raja Monyet turun ke bumi dan
bertukar menjadi kupu-kupu. Pada masa
itu, seorang petani muda mengetuk pintu
istana itu. Kedatangannya disambut oleh
gadis-gadis yang memakai gaun yang
mahal. Mereka menggenggam lengannya dan
memimpinnya masuk. Sebagai dewa, Raja
Monyet dapat melihat perkara yang tidak
dapat dilihat oleh manusia biasa. Dia tahu
bahawa gadis-gadis itu ialah jin dan
tangan mereka yang cantik sebenarnya
kuku-kuku yang mengorek lengan petani
muda tadi. Mereka membawa mangsa itu ke
sebuah bilik yang sungguh mengagumkan.
Seorang maharaja pun akan tertunduk malu
jika dia membandingkan bilik itu dengan bilik
dirajanya.
Di dalam bilik itu, seorang gadis duduk di
belakang tirai. Apabila pemuda tadi masuk,
gadis itu menarik tirai ke tepi. Pemuda itu
terpegun memandangnya. Dialah wanita
paling cantik yang pernah dilihatnya. Gadis
itu tersenyum dan memanggilnya. Pemuda
itu menghampirinya dengan malu-malu.
Sepantas kilat, gadis itu melompat dan
menelannya, kemudian memuntahkan
tulang-tulangnya. ‘Pembantu-
pembantunya’ diarahkan mencampakkan
tulang-tulang itu ke jambatan dan
memijak-mijaknya sehingga bercampur
dengan tanah.
Raja Monyet merasakan yang
penyiasatannya sudah mencukupi. Dia
terbang ke kayangan dan melaporkan apa
yang dilihatnya kepada Dewa Belas
Kasihan. Dengan serta-merta, Dewa Belas
Kasihan memanggil semua dewa. Mereka
berbincang mengenai hal itu selama
berhari-hari. Tiada dewa yang dapat
menentang jin itu sendirian. Dan jika
mereka semua menentangnya, kayangan
akan huru-hara,
Akhirnya, Dewa Langit mendapat satu
penyelesaian. Dia mencadangkan supaya
setiap dewa menyumbangkan sedikit kuasa
masing-masing. Dewa Bumi akan
mengumpulkan kuasa tersebut dan
membentuk satu dewa baru untuk
menentang Jin Pemakan Orang itu. Dewa-
dewa lain bersetuju, dengan syarat dewa
baru itu mesti boleh dihapuskan. Jika tidak,
dewa yang terhasil daripada gabungan
kuasa mereka akan dapat menewaskan
setiap seorang daripada mereka. Dewa
baru itu akan musnah selepas melaksanakan
dua kebaikan untuk manusia. Kemudian,
Dewa Kelahiran memungut sedikit kuasa
daripada setiap dewa dan memberikannya
kepada Dewa Bumi. Dewa Bumi
mencapurkan semuanya dan meniupnya
dengan kuat sehingga turun ke bumi. Di
bumi, campuran kuasa tadi membentuk
seorang pemuda yang gagah. Dia dinamai
Ta-Zer yang bermaksud ‘Singa yang Besar’.
Ta-Zer dengan beraninya mengetuk
pintu istana dan mengarahkan jin itu
menunjukkan dirinya. Dalam satu
pertarungan yang menggegarkan bumi, Ta-
Zer berjaya menewaskan jin itu dan
menghantarnya pulang ke neraka. Dengan
satu pukulannya, istana itu hancur
berkecai. Dia menaburkan segenggam tanah
kayangan pemberian Dewa Kelahiran ke
atas jambatan itu. Dengan serta-merta
jambatan itu hilang dan diganti oleh orang
lelaki dan kanak-kanak, Mereka kelihatan
terkejut dan mata mereka terbeliak.
Orang kampung sebagai manusia biasa,
tidak mempunya penglihatan ‘ketiga’ dan
tidak dapat menyaksikan pertarungan
antara Ta-Zer dengan jin itu. Namun,
mereka sedar bahawa pemuda itu mampu
melaksanakan tugas yang mustahil. Mereka
menghormatinya dan meraikan
kejayaannya.
Jeneral-jeneral yang bermusuhan
berasa marah dan cemburu atas perhatian
yang diberi kepada Ta-Zer. Mereka ingin
bersatu untuk menghapuskannya. Namun,
mereka tahu bahawa mereka tidak mampu
menewaskannya. Maka, mereka merangka
satu rancangan yang kejam.
Pada masa ini, rakyat negara China
hidup terpencil. Mereka tidak tahu tentang
dunia luar, tetapi terdengar kisah-kisah
yang diceritakan oleh orang-orang yang
telah sampai ke empayar timur itu. Mereka
bercerita tentang sebuah pulau di selatan
Semenanjung tanah melayu yang pada
suatu masa didiami oleh suatu bangsa yang
tidak pernah mengenal erti peperangan,
kelaparan atau sebarang keadaan yang
buruk. Hal ini menjadikan pulau itu makmur.
Namun, negeri-negeri lain, yang iri hati
akan kemewahan pulau itu, menaklukinya
dan melayan penduduk asal pulau itu
seperti hamba. Mereka berperang sesama
sendiri untuk memperoleh kekayaan pulau
itu. Dewa-dewa berasa marah lalu
menyerang mereka dan menenggelamkan
pulau itu ke dasar laut. Kekayaan masih
ada di pulau itu tetapi hilang selama-
lamanya bagi sesiapa yang ingin
mendapatkannya.
Selepas mendengar kisah yang aneh ini,
para jeneral mengarahkan Ta-Zer
mendapatkan pulau itu semula walaupun
mereka tahu bahawa perbuatan itu akan
menyebabkan kematian Ta-Zer. Orang-
orang kampung kasihankan penyelamat
mereka tetapi Ta-Zer tahu dia terpaksa
melakukannya. Mereka sedih melihatnya
pergi. Mereka memenuhkan begnya dengan
makanan dan menghantarnya beramai-
ramai.
Ta-Zer mengembara selama seratus
hari. Pada hari yang ke seratus, dia
berhenti di hujung Semenanjung Tanah
Melayu dan melihat sekeliling. Yang
kelihatan, hanya laut yang terbentang
luas. Tanpa berfikir panjang, Ta-Zer terjun
ke dalam laut. Dengan tenaga yang luar
biasa, dia mengangkat pulau yang
tenggelam itu dan meletakkannya di hujung
semenanjung. Setelah melaksanakan tugas
kedua itu, Ta-Zer jatuh ke atas tanah. Dia
sedar kematiannya sudah hampir. Dari
singgahsana teratainya, Dewa Belas
Kasihan nampak Ta-Zer terbaring tidak
bermaya di pulau itu, Hatinya sayu melihat
Ta-Zer.
“Ta-Zer,” dia menaggil dari
singgahsananya, “mintalah apa-apa sahaja
dan aku akan menunaikannya. Hanya ini
balasan kami terhadap segala usaha
engkau.”
Ta-Zer tersenyum dengan lemah.
Dengan sisa-sisa tenaga yang masih ada,
dia berkata, “Saya cuma mengharapkan
penduduk pulau ini hidup dalam keamanan
dan kemewahan, dan semuanya hidup rukun
damai. Pulau ini akan menjadi tempat
berlindung kepada penduduk dunia yang
berperang.”
Dewa Belas Kasihan tersentuh oleh sifat
pemuda itu yang tidak mementingkan diri
sendiri. Dia menganggukkan kepalanya.
“Ta-Zer, pulau ini akan mengambil
sempena nama engkau kerana kasih sayang
engkau terhadap manusia. Walaupun hanya
segelintir manusia yang akan mengingati
jasa engkau, nama engkau akan kekal
selamanya.”
Selepas mendengar kata-kata tersebut,
Ta-Zer tahu usahanya tidak sia-sia.
Matanya tertutup dan dia pun
menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Ta-Zer mati disebabkan sifat tamak
manusia. Dia terlalu sempurna untuk hidup
dalam dunia yang penuh kejahatan dan
dosa. Dewa Belas Kasihan memutuskan
untuk menghukum manusia. Dia bersumpah
bahawa keamana pulau itu hanya akan
dinikmati selepas dua ribu tahun. Dia
menghayunkan tongkatnya dan pulau itu
hilang diselubungi kabus.
Dua ribu tahun kemudian, Parameswara
menjumpai pulau itu.
Hari ini, seperti yang Ta-Zer harapkan,
pulau itu, yang dikenali sebagai Singapura
atau Kota Singa, memberi penghormatan
kepada pemuda yang berani itu.
Penduduknya kini hidup aman, mewah,
dengan hati yang senang, dan yang paling
penting, bangga menjadi rakyat Singapura.