Cerita Kerbau
dan Harimau
Pada zaman dahulu, di sebuah hutan terdapat seekor
harimau yang ganas dan suka menganggu ketenteraman
binatang-binatang lain di hutan itu. Semua binatang takut
kepadanya kecuali Sang Kancil.
Pada suatu hari, ketika sedang memburu
makananannya, Harimau dihempap sebatang kayu yang
besar. Harimau menjerit-jerit meminta pertolongan
namun tiada seekor pun binatang yang sudi menolongnya.
Setelah hampir mati kesakitan, Sang Kerbau yang
kebetulan lalu dikawasan itu datang menolongnya. Dengan
tubuhnya yang besar dan sasa serta tanduk panjangnya
yang kuat itu, senang sahaja bagi Sang Kerbau untuk
mengangkat kayu yang menghempap tubuh Harimau itu.
Harimau yang telah terlepas dari hempapan kayu tadi
terus menyambar kaki Sang Kerbau pula. Dia tidak
menghargai langsung pertolongan Sang Kerbau kerana dia
lebih mementingkan nafsu makannya. Sang Kerbau
terkejut lalu menjerit meminta pertolongan dan cuba
meronta-ronta untuk melepaskan diri namun gigitan
Harimau terlalu kuat mencengkam kakinya.
Sang kerbau berasa sangat menyesal kerana menolong
Harimau itu sebentar tadi. Namun, ketika Harimau sudah
mahu mengigit lehernya, Sang Kancil muncul sambil
menunduk hormat.
"Ampun Tuanku Raja Harimau. Hamba, Sang Kancil sedang
mencari makanan di sekitar sini kemudian terdengar
jeritan Sang kerbau lalu Hamba ke mari,” kata Sang Kancil
penuh hormat sambil sempat melihat ke arah Sang Kerbau
yang sudah pun terduduk keletihan dan kesakitan.
Harimau memandang ke arah Sang Kancil lalu mengukir
senyuman kemudian tertawa.
"Beta ingin bersantap," balasnya sambil menunjuk ke
arah kerbau yang terduduk itu. Harimau juga dengan
bangganya membahasakan dirinya sebagai "Beta" setelah
mendengar Sang Kancil memanggilanya "Tuanku"
sebentar tadi.
Sang Kancil tersenyum."Kalau Tuanku yang Maha Mulia
tidak keberatan, bolehkah melakonkan semula apa yang
terjadi sekali lagi supaya Hamba faham??" soal Sang
Kancil mengatur strategi untuk menyelamatkan Sang
Kerbau. Harimau terdiam seketika untuk
mempertimbangkan permintaan Sang Kancil.
Setelah lama, berfikir dia akhirnya bersetuju. Sang
Kancil pun mengarahkan Sang Kerbau meletakkan kembali
kayu tadi di atas tubuh Harimau seperti pada awalnya.
Sesudah itu, Sang Kancil pun memandang Sang Kerbau
dengan senyuman.
"Sepatutnya binatang macam Harimau ni tak layak
untuk kau bantu, Kerbau. Aku harap lain kali kau akan lebih
berhati-hati, " kata Sang Kancil seraya menasihati Sang
Kerbau kemudian berlalu pergi meninggalkan mereka.
Sang Kerbau memandang Harimau yang sedang
kesakitan di bawah pokok kayu besar itu dengan rasa
kasihan. Walaupun begitu, dia memutuskan untuk
membiarkan Harimau tanpa menolongnya sekali lagi. Sang
Kerbau turut mengatur langkah pergi tanpa
memperdulikan raungan kesakitan Harimau.
Lama kelamaan raungan kesakitan Harimau pun hilang.
Apabila esok harinya tiba, Harimau sudah pun mati di
bawah hempapan pokok kayu itu.
(Pengajaran: Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas
jahat)