The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by PSS INFINITI, 2021-06-03 06:28:15

Puteri Lindungan Bulan

Puteri Lindungan Bulan

Puteri
Lindungan

Bulan

Pada zaman pemerintahan
Sultan Sulaiman I ibni Almarhum
Sultan Ibrahim yang memerintah
negeri Kedah selama 49 tahun di
antara tahun Masihi 1374-1423
(775-826H), baginda
bersemayam di Siputeh. Baginda
adalah seorang Sultan yang suka
kepada kedamaian dan rakyat
negeri sangatlah taat dan kasih
kepada baginda.

Baginda sangat menggalakkan
rakyatnya bercucuk-tanam dan
berternak.
Selain daripada itu, baginda suka
melihat orang-orang bersilat dan
baginda sendiri seorang yang
handal dalam ilmu bersilat.

Baginda berkahwin dengan
seorang raja bernama Puteri
Siputeh. Dengan usaha dan
bijaksana Puteri Siputeh, negeri
Kedah menjadi mewah dan
makmur.

Baginda Sultan berputerikan dua
orang puteri dengan Puteri
Siputeh dan seorang daripadanya
konon berdarah putih. Baginda
sangatlah kasih kepada puteri
yang berdarah putih itu lebih-
lebih lagi rupa parasnya tiada
tolok bandingnya pada masa itu.

Pada zaman itu, negeri Acheh
negeri yang terletak di utara
Pulau Percha (Sumatera)
sangatlah besar kuasa dan
pengaruhnya dan Raja dan
segala menteri hulubalangnya
sangat gagah perkasa. Bukan
sahaja rakyat Acheh gagah dan
berani bahkan dari segi
perniagaan pun mereka pandai
dan cekap serta sangat rajin
bercucuk tanam dan berternak.

Apabila kedengaran kepada Raja
Acheh betapa makmur dan
amannya negeri Kedah yang
diperintah oleh Sultan Sulaiman
dan Puteri Siputeh. Sambil itu
kedengaran pula baginda
mempunyai seorang puteri yang
sangat cantik rupawan dan
berdarah putih, datanglah
cemburu di hatinya.

Raja Acheh pula mempunyai
seorang putera yang sangat
muda remaja dan telah cukup
umur.
Dengan kerana Raja
Acheh tidak berjaya menakluki
negeri Kedah dengan kekerasan,
ia pun menghantar seorang
menterinya dan beberapa orang
besar datang ke Siputeh dengan
tujuan hendak meminang puteri
Sultan yang berdarah putih itu.

Angkatan menteri Acheh itu
terdiri daripada tujuh puluh
buah perahu penuh sesak dengan
barang-barang hadiah daripada
Raja Acheh kepada baginda
Sultan Kedah dan untuk puteri
yang hendak dipinang itu.

Angkatan menteri Acheh itu
disambut oleh baginda Sultan
dengan beberapa kemuliaan dan
secara besar-besaran dan
pinangan ke atas anaknya
diterima dengan sukacitanya.
Baginda Sultan Sulaiman dengan
kerana kasih kepada anaknya
yang berdarah putih itu
diberikannya anak yang seorang
lagi itu berkahwin dengan anak
Raja Acheh. Perbuatan ini
menyebabkan kejatuhan Sultan
Sulaiman.

Istiadat perkahwinan itu telah
disempurnakan di negeri Acheh
secara besar-besaran mengikut
keadaan zaman itu dan ramai
raja negeri yang berjiran telah
dijemput untuk hadir bersama.
Setelah selesai upacara
perkahwinan itu dilaksanakan,
putera dan puteri hidup bersama
dalam keadaan rukun dan
damai.

Hendak dijadikan cerita, pada
suatu hari, sewaktu puteri yang
baru berkahwin itu mengacip
pinang, secara tidak sengaja telah
terkacip jarinya dan berdarah.

Darah yang keluar itu berwarna
merah dan bukannya putih
seperti yang dimegah-megahkan.
Perkhabaran itu kedengaranlah
kepada Raja Acheh. Baginda
sangatlah murka kerana katanya
ia telah diperdayakan oleh
Sultan Sulaiman; diberikan anak
yang berdarah merah berkahwin
dengan puteranya dan bukan
yang berdarah putih seperti yang
dijanji dan dipinangkan.

Baginda bertitah kepada menteri
dan hulubalang agar bersiap dan
melengkapkan perahu-perahu
dengan alatan perang kerana ia
hendak melanggar negeri Kedah
dan mengambil puteri yang
berdarah putih itu dan membela
keaibannya.

Kelengkapan yang besar itu
mengambil masa selama enam
bulan dan pada ketika yang agak
baik, angkatan perang Raja
Acheh pun belayar menuju ke
Siputeh.

Hal kemaraan Raja Acheh itu
telah diketahui oleh Sultan
Sulaiman dan baginda pun
memerintahkan menteri dan
hulubalangnya bersiap sedia
menahan serangan Raja Acheh.

Apabila sampai angkatan Raja
Acheh di Pering; suatu tempat
berdekatan dengan Siputeh,
mereka pun mengepung kota
pertahanan yang terletak di atas
satu pulau kecil. Serangan itu
dipertahankan oleh baginda
Sultan dengan sekuat-kuatnya.
Akhirnya, angkatan Raja Acheh
terpaksa berundur semula ke
Pering. Peperangan itu dalam
keadaan bertahan sahaja kerana
belum ada pihak yang menang
atau kalah.

Tetapi dalam masa beberapa
bulan sahaja, kota Siputeh tidak
boleh bertahan lagi kerana
makanan pun hampir habis dan
orang-orang di dalam kota pun
ramai yang telah mati dilanda
penyakit dan kelaparan. Walau
bagaimanapun, tiada sesiapa
dibenarkan keluar daripada kota.
Entah bagaimana, seorang
perempuan terlepas keluar
kerana hendak mencari
makanan.

Dalam perjalanannya, ia telah
berjumpa dengan seorang
hulubalang Acheh yang
menyamar diri sebagai orang tua
penangkap ikan. Ia pun menegur
perempuan tersebut dan sewaktu
berbual-bual, perempuan itu
telah terkeluar rahsia keadaan
sebenar di dalam kota.
Mendengar berita tersebut,
hulubalang Acheh itu merasa
sangat gembira.

Pada waktu subuh selepas
peristiwa tersebut, orang-orang
Acheh membuat satu serangan
yang mengejutkan ke atas kota
Siputeh. Orang-orang di dalam
kota mempertahankan serangan
itu berhabis-habisan tetapi
akhirnya terpaksa mengaku kalah
dengan kerana kebanyakan
panglima yang handal telah
terkorban dan luka parah.

Apabila pecah sahaja pintu kota,
panglima perang Acheh terus
menuju ke Istana Raja kerana
hendak mengambil puteri yang
berdarah putih tersebut. Tetapi
malangnya telah terlewat kerana
puteri itu telah mangkat setelah
ditanam hidup-hidup dengan
perintah ayahandanya Sultan
Sulaiman.

Maka, dengan kerana marahnya
panglima Acheh di atas
perbuatan itu, ia telah
memerintahkan sekalian
perempuan dan kanak-kanak
yang ada di dalam kota itu
dibunuh tetapi baginda Sultan
Sulaiman dan permaisurinya
ditangkap dan dibawa pulang ke
Acheh. Di sana, baginda Sultan
dan permaisurinya telah
dibicarakan dan didapati
bersalah lalu dijatuhkan
hukuman bunuh.

Siputeh diperintah oleh kerajaan
Acheh selama beberapa tahun
tetapi akhirnya, mereka telah
dikalahkan dan diusir keluar.
Setelah beberapa ratus tahun
kemudian, penduduk Siputeh
telah menemui dua buah kubur
yang terletak di atas tanah tinggi
cukup dengan batu nisan di
Kampung Siputeh. Satu daripada
batu nisan itu tertulis "Sultan
Sulaiman" dan satu lagi "Siputih".

Bagi mengingati Puteri Siputeh
yang bijaksana dan yang telah
menjadikan tempat ini masyhur
dan makmur, para penduduk
telah memberi nama mukim ini
"Siputih" dan ditambah
perkataan "Puteri Lindungan
Bulan" selepas nama tersebut.
Negeri Kedah pada zaman
dahulu disebut sebagai "Kedah
Lindungan Bulan" kemudian
diubah kepada "Kedah Darul
Aman".

KOTA SIPUTIH
Kota Siputih dibina pada tahun
1282 oleh Tunku Ahmad Ibni
Sultan Muzzil Shah (Raja Muda
Kedah), merupakan pusat
pemerintahan Negeri Kedah
yang ketiga sesudah Kota Bukit
Meriam (1136-1236) dan Kota
Sungai Emas (1236-1323) di
Daerah Kuala Muda. Dalam
masa 300 tahun lebih terdapat
seramai lapan orang sultan
pernah memerintah di sini
bermula dengan Sultan Ibrahim
Shah (1321-1373.

Pada era pemerintahan Sultan
Sulaiman Shah II (1602-1625),
Kota Siputih telah musnah akibat
serangan Acheh pada tahun
1619. Baginda ditawan dan
dibawa ke Acheh dan mangkat
di sana. Puteranya iaitu Sultan
Rijaluddin Muhammad Shah
(1626-1651) akhirnya
mengasaskan pusat pentadbiran
baru di Kota Naga. Makam yang
ada ini dikenali sebagai Makam
Puteri Lindungan Bulan.

MAKAM PUTERI LINDUNGAN
BULAN
Dalam tradisi lisan, kisah Puteri
Lindungan Bulan sering dikaitkan
dengan serangan Acheh ke atas
Kedah kerana kemarahan Raja
Acheh yang gagal memiliki puteri
Raja Kedah yang berdarah putih.
Tindakan Raja Kedah yang
enggan menyerahkan puterinya
yang berdarah putih sebaliknya
menyerahkan puterinya yang
berdarah merah telah
menyebabkan Acheh bertindak
menyerang Kedah.
Walaupun Kedah telah tewas,

tetapi Acheh gagal mencapai
hasratnya kerana puteri tersebut
telah disembunyikan di dalam
sebuah lubang yang terletak agak
terpencil sehingga cahaya bulan
pun tidak dapat sampai.
Lantaran itu, puteri tersebut
digelar "Puteri Lindungan Bulan".
Terdapat sepasang batu nisan
Acheh di makam yang terletak di
atas sebuah bukit kecil di
Kampung Siputeh yang dikenali
sebagai "Makam Puteri
Lindungan Bulan".


Click to View FlipBook Version