Sumpahan
Mahsuri
Dikatakan, kisah Mahsuri yang
sinonim dengan Pulau Langkawi,
berlaku sekitar pemerintahan
Sultan Abdullah Mukarram Shah
III (1778-1797) dan Sultan
Ziyauddin Mukarram Shah II ibni
al-Marhum Sultan Muhammad
Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah
(1797-1803) di Kedah, yang mana
pada waktu itu, ibu bapa Mahsuri
yang bernama Pandak Mayah
dan Endak Alang baru saja
berhijrah ke Langkawi dari
Selatan Thailand, demi mencari
masa depan yang lebih baik.
Kelahiran Mahsuri itu sendiri
disulami dengan keajaiban
apabila dikatakan sebenarnya
Pandak Mayah dan Endak Alang
tidak mempunyai anak walaupun
telah lama berkahwin. Namun
pada suatu hari, Pandak Mayah
menemui kerak nasi yang
mengeluarkan bunyi seakan bayi
menangis sewaktu berehat
setelah mengerjakan sawah.
Kerak nasi tersebut dicampur
sedikit dengan nasi yang
ditanak.
Tidak beberapa lama, akhirnya
Endak Alang hamil. Dan sewaktu
Mahsuri dilahirkan dikatakan
padi menguning seakan emas
yang berkilauan.
Kehadiran Mahsuri dalam
kehidupan pasangan miskin itu
membuka pintu rezeki yang luas
apabila Pandak Mayah menemui
lubuk kemenyan dan juga sarang
burung layang-layang, yang
kemudiannya menjualnya
kepada pedagang-pedagang
Cina dari Pulau Pinang. Sejak dari
itu kehidupan tiga beranak itu
berubah dan Pandak Mayah mula
digelar Orang Kaya Pandak
Mayah.
Mahsuri dididik dengan segala
nilai seorang gadis melayu
sejati, pelajaran agama yang
cukup serta dikatakan juga
Mahsuri diajar bersilat demi
mempertahankan diri. Akhirnya
Mahsuri membesar sebagai
seorang dara pingitan yang
menjadi sebutan dan rebutan
kerana sifatnya dan tentunya
kejelitaannya yang dikatakan
cukup luar biasa. Kemahsyuran
Mahsuri bukan setakat
terbendung di Kampung Mawat
dan Mukim Ulu Melaka-tempat
tinggalnya, malah seluruh Pulau
Langkawi. Namun selain dari
kemahsyuran yang disebut
orang, sedikit sebanyak
membuahkan rasa iri hati
terutamanya di kalangan kaum
wanita, yang tidak senang
melihat kebanyakan lelaki
memuji-muji Mahsuri.
Ini termasuklah Datuk Pekerma
Jaya Wan Yahya, Penghulu
Langkawi iaitu wakil Sultan
Kedah di Langkawi. Dan pastinya
mengundang rasa resah yang
meluap-luap dari isterinya, Wan
Mahora. Rasa amarah membara
apabila Wan Mahora mendapat
tahu yang suaminya menyimpan
hasrat untuk memperisterikan
Mahsuri sebagai isteri kedua.
Namun, Wan Darus, adik lelaki
tunggal Wan Yahya juga
menyimpan hasrat untuk
memperisterikan Mahsuri. Demi
mengelakkan rumah tangganya
goyah, memandangkan Wan
Yahya adalah pembesar di pulau
itu, Wan Yahya merestui akan
niat Wan Darus, walaupun dalam
diam Wan Yahya masih
menyimpan keinginan terhadap
Mahsuri.
Majlis perkahwinan berlangsung
dengan secara besar-besaran
dan penuh meriah. Wan Mahora
menerima Mahsuri sebagai
iparnya walau pun jauh disudut
hati, cemburu masih ada. Maka,
bermulalah kehidupan Mahsuri
sebagi isteri kepada Wan Darus
dan dalam pada masa yang
sama menyebabkan
kekecewaan di hati kebanyakan
lelaki yang gagal memilikinya,
dan juga wanita, tentunya
kerana kejelitaan yang dimiliki
Mahsuri dan bersuamikan Wan
Darus, yang dikatakan juga
seorang pahlawan yang gagah
perkasa serta tak kurang
tampannya.
Namun dalam pada masa yang
sama hubungan Kedah dan Siam
bertambah keruh. Siam mula
menakluki utara Kedah,
menyebabkan perang berlaku.
Baginda Sultan memerintahkan
tentera dikerah dari setiap
ceruk rantau negeri Kedah demi
mempertahankan negeri. Dan
dalam pada masa yang sama
Mahsuri sedang hamil anak yang
sulung. Datuk Pekerma Jaya
memerintahkan orang-orang
Langkawi dikumpulkan untuk
membantu tentera Kedah yang
sedang berperang dan ini
termasuklah Wan Darus.
Dengan hati yang berat Mahsuri
terpaksa melepaskan suaminya
yang tercinta pergi, tambahan
pula Mahsuri seperti dapat
merasakan yang beliau seperti
tidak akan dpat berjumpa
suaminya lagi. Untuk
menghilangkan rasa rindu
terhadap suami, Mahsuri
berpindah ke rumah ibu
bapanya, tambahan pula beliau
sedang sarat mengandung.
Setelah cukup sembilan bulan
sepuluh hari, maka lahirlah
tanda cinta antara Mahsuri dan
Wan Darus, seorang bayi lelaki
yang dinamakan Wan Hakim.
Namun, langit tidak selalunya
cerah. Kedamaian hidup Mahsuri
bakal berubah apabila seorang
pendatang tiba berlabuh di
pantai Langkawi, seorang lelaki
muda bernama Deramang.
Deramang dikatakan berasal
dari sebuah tempat bernama
Batu Bara di Acheh. Beliau
mendapat perhatian oleh ayah
Mahsuri, Pandak Mayah dan
beliau ditawarkan bekerja
untuknya membantu bercucuk
tanam dan bertani.
Namun selain dari rajin dan gigih,
Deramang memiliki bakat
semula jadi yang luar biasa iaitu
kebolehan berdendang dan
bersyair. Kebolehannya itu
menarik perhatian penduduk
setempat berkumpul di rumah
Pandak Mayah hampir setiap
malam, dan dengan ini
menaikkan nama Mahsuri
sekeluarga.
Kemahsyuran melimpah ruah
yang diperolehi oleh Mahsuri itu
ternyata tidak disenangi
sesetengah orang, yang
tentunya iparnya sendiri, Wan
Mahora yang telah sekian lama
menyimpan rasa dendam dihati.
Tambahan pula kedudukannya
sebagai isteri pembesar mula
dilupakan orang, berbanding
iparnya sendiri, Mahsuri. Iri hati
yang telah lama tersimpan
bertukar menjadi luka yang
bernanah dan Wan Mahora
mengambil keputusan, sampai
masa Mahsuri harus menerima
balasan! Sesuatu rancangan
sedang bercambah dalam
pemikirannya.
Wan Mahora memerhatikan
keakraban Mahsuri dan
Deramang dan di situ, beliau
melihatnya sebagai peluang
yang tak patut dilepaskan.
Isteri pembesar itu
membisikkan kata-kata racun
kepada suaminya, Datuk
Pekerma Jaya Wan Yahya. Pada
mulanya Wan Yahya tidak
mengendahkan tapi apabila
sudah tidak mampu menahan
asakan, Wan Yahya bertindak
untuk memerhatikan tindak-
tanduk Mahsuri. Rancangan Wan
Mahora berhasil apabila
kebetulan suatu hari Deramang
dilihat naik ke rumah Mahsuri
yang tanpa disedari Deramang
hanya diminta untuk menjaga
anak Mahsuri, Wan Hakim,
sementara Mahsuri berada di
bendang. Lantas, Datuk
Pekerma Jaya memerintahkan
orang-orangnya, diketuai oleh
Panglima Hitam, menangkap
Mahsuri. Mahsuri diseret ke Balai
Adat di sebuah tempat bernama
Padang Mat Sirat untuk diadili
bersama-sama Deramang. Dan
tanpa diberi peluang untuk
membela diri, Mahsuri dan
Deramang dijatuhkan hukuman
bunuh! Wan Mahora dalam diam
tersenyum puas.
Pandak Mayah dan Endak Alang
terperanjat dengan apa yang
dikhabarkan orang mengenai
anaknya lantas bergegas
menuju ke Padang Mat Sirat
demi membela Mahsuri. Pandak
Mayah menawarkan segala
emas, kerbau dan segala harta
kekayaannya demi nyawa puteri
tunggalnya namun ditolak
mentah oleh Datuk Pekerma
Jaya, dengan alasan, dosa yang
dilakukan Mahsuri-bermukah
dan melakukan hubungan sulit
dengan lelaki lain tidak dapat
diampunkan. Mahsuri dibawa ke
tempat hukuman dan diikat di
sebatang pokok. Deramang cuba
menentang namun berjaya dia
dibunuh oleh orang-orang Datuk
Pekerma. Dan kini tiba masa
giliran Mahsuri.
Tempat hukuman tersebut
dipenuhi oleh orang kampung
yang ingin menyaksikan
hukuman yang bakal diterima
oleh Mahsuri. Pandak Mayah dan
Endak Alang masih belum putus
asa masih terus cuba merayu
dari Datuk Pekerma dan Wan
Mahora demi nyawa Mahsuri dan
anaknya yang baru berusia dua
bulan dan masih menyusu.
Namun langsung tidak mendapat
simpati dari pembesar itu.
Padanya, aib yang dilakukan
Mahsuri terlalu besar dan
memalukannya sebagai ipar
kepada Mahsuri. Sebatang
tombak ditikam ke badan
Mahsuri tapi dengan kuasa Allah,
amat mengejutkan semua
mereka yang berada ditempat
hukuman, tombak tersebut
langsung tidak dapat
menembusi malah melukakan
tubuhnya! Keadaan ini memaksa
pertanda menikam Mahsuri
bertubi-tubi. Ini menjadikan
keadaan bertambah kalut, dan
pastinya mencemaskan Wan
Mahora, seandainya peristiwa
aneh ini akan dapat
membuktikan yang Mahsuri
tidak bersalah pastinya akan
mengundang aib kepadanya.
Lantas Wan Mahora menyeksa
Mahsuri demi memberitahunya
akan rahsia bagaimana hendak
membunuh Mahsuri.
Mahsuri yang terlalu lemah dan
tidak bermaya sudah tidak
mampu menahan seksaan dari
Datuk Pekerma dan Wan Mahora,
lantas dengan berat hati yang
teramat sangat terpaksa
memberitahu akan sebuah
rahsia keluarga yang telah lama
terpendam. Seorang utusan
dititahkan bergegas ke
Kampung Mawat, untuk
mendapatkan sebilah keris
pusaka keluarga Pandak Mayah
yang didakwa Mahsuri, satu-
satunya senjata yang dapat
memutuskan nyawanya. Tanpa
membuang masa apabila keris
itu berjaya diperolehi, Datuk
Pekerma sendiri mengambilnya
dan menikam Mahsuri!
Tikamannya menembusi rusuk
kiri Mahsuri. Dalam keadaan
lemah dan tidak bermaya,
menantikan nyawa melepasi
kerongkongnya, Mahsuri
melafazkan kata-kata yang
bakal diingati sepanjang
zaman...
" Ya Allah, Ya Tuhan Yang Maha
Melihat Segalanya, aku redha
akan matiku jika benar aku
bersalah tapi jika benar aku
dianiaya...sesungguhnya aku
haramkan darahku mengalir ke
bumi ini, dan aku sumpah, bumi
Langkawi tidak akan aman,
berpuakalah menjadi padang
jarak padang tekukur selama
tujuh keturunan!"
Dan lebih memeranjatkan, darah
yang mengalir dari luka tikaman
itu berwarna putih,
membuktikan penganiayaan
yang berlaku keatasnya. Namun
segalanya sudah terlambat.
Mahsuri terkulai dan
menghembuskan nafas yang
terakhir. Kuasa Allah Yang Maha
Besar, kilat sabung menyabung
dan ribut melanda Padang Mat
Sirat. Kejadian yang menyusul
kematian Mahsuri membuktikan
yang dia tidak bersalah dan
orang ramai mula mengutuk
tindakan membabi buta yang
dilakukan oleh Datuk Pekerma
Jaya. Tapi, segalanya sudah
terlambat...
Wan Darus pulang ke Langkawi
setelah kekalahan tentera
Kedah di Kuala Muda namun
kekecewaan yang sedang
ditanggungnya bertimpa-timpa
lagi apabila menerima berita
kematian isteri tercinta.
Harapan untuk kembali bersama
keluarga yang sekian lama
dirindui punah dan hancur.
Dengan itu, bersama langkah
yang berat, Wan Darus
mengambil keputusan untuk
meninggalkan Langkawi yang
sudah tidak lagi menjanjikan
kebahagiaan padanya, bersama
anaknya Wan Hakim serta kedua
ibu bapa mertuanya, Pandak
Mayah dan Endak Alang. Tetapi,
keadaan masih belum berakhir di
Langkawi.
Tentera Siam mara ke seluruh
pelusuk Kedah, termasuklah
Pulau Langkawi, genap tujuh hari
selepas kematian Mahsuri.
Segalanya punah, hancur dan
kematian berlaku di mana-
mana. Datuk Pekerma Jaya
dibunuh dan dilapah oleh
tentera Siam dan mayatnya
dicampakkan di Sungai
Langkanah. Manakala isterinya
Wan Mahora, bersama wanita-
wanita Langkawi yang lain,
diseksa dan dijadikan hamba
abdi oleh tentera Siam. Angkara
hasad dengki dan fitnah,
Langkawi menerima padah yang
terlalu hebat. Penyesalan sudah
tidak berguna lagi sebaliknya
Langkawi hanya mampu
menerima bahana, dan
sumpahan Mahsuri kekal
menghukum Langkawi untuk
tujuh keturunan kemudiannya.