KAJIAN TINDAKAN MENGATASI MASALAH DATANG LEWAT KE KOLEJ
VOKASIONAL LIKAS DALAM KALANGAN PELAJAR
Oleh;
SHAFARUDDIN BIN KAPALUDDIN
Kaunselor
Unit Psikologi & Kerjaya
Kolej Vokasional Likas
1.0 Isu
Menurut Puan Khaeriyah Binti Abdul Malek, Unit Hal Ehwal Pelajar, Kolej
Vokasional Likas menyatakan bahawa antara salah satu masalah disiplin adalah datang
lewat ke kolej. Beliau mengatakan bahawa disiplin ditekankan pada pelajar supaya pelajar
sentiasa menghormati peraturan-peraturan kolej dan mendisiplinkan diri dalam semua hal.
Tegas mereka lagi, pelajar perlu mematuhi peraturan-peraturan yang sudah dirangka
tetapi, pelajar Kolej Vokasional Likas masih tidak dapat mendisiplinkan diri mereka
dalam menetapi masa yang ditetapkan. Pelajar-pelajar biasanya tidak menetapi masa
permulaan pembelajaran di Kolej Vokasional dan suka memberikan alasan yang kurang
memuaskan. Pelajar datang ke kolej secara sambil lewa tanpa memikirkan ia menganggu
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Datang lewat ke kolej adalah perkara
yang selalu berlaku dan ia tidak mempunyai kesudahan.
Dalam Bernama, terdapat kenyataan bahawa hukuman ‘gantung pelajar kerana
datang lewat tak munasabah’. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) Hashim Adnan mengatakan terdapat tindakan disiplin yang diambil oleh
sesetengah sekolah mahupun Kolej Vokasional Malaysia terhadap pelajar didapati tidak
bersesuaian dan perlu diganti. Katanya lagi, dakwaan wujudnya kes pelajar digantung
sekolah akibat kelewatan datang ke sekolah adalah tidak munasabah. Hashim berkata
kekeliruan mengenai jenis tindakan disiplin yang patut diambil timbul akibat tiadanya
perincian dalam garis panduan Peraturan Pendidikan yang dikeluarkan empat tahun lepas
berhubung tindakan yang sesuai yang perlu diambil terhadap pelajar. Beliau berkata jenis
1
hukuman berdasarkan umur dan jantina juga perlu diperinci dan diselaraskan agar tidak
berlaku keraguan sekiranya hukuman dilaksanakan. Mohd Ali berkata untuk membuat
penyelarasan semula Kementerian Pelajaran perlu melibatkan beberapa pihak berwajib
seperti polis, peguam, ahli agama, ahli kaunseling, ahli psikologi dan PIBG supaya setiap
pembaharuan yang dibuat memuaskan semua pihak.
Seperti yang diketahui, masalah pelajar datang lewat ke kolej atau mana-mana
institusi pengajian merupakan salah satu masalah disiplin yang berlaku di setiap sekolah
atau institusi pengajian di Malaysia. Pihak Kolej Vokasional Likas juga telah menetapkan
hukuman terhadap pelajar-pelajar yang datang lewat sama ada memberi amaran, rotan,
berjumpa guru disiplin atau guru bimbingan dan kaunseling atau pun digantung sekolah.
Menerusi pemerhatian para pengkaji berdasarkan masalah ini, terdapat alternatif yang
lebih baik yang boleh dilakukan dalam menyelesaikan masalah datang lewat dalam
kalangan pelajar di Kolej Vokasional Likas. Alternatif yang dilakukan bukan ke arah
memberi hukuman kepada pelajar tetapi lebih ke arah mempengaruhi pelajar supaya
datang lebih awal ke kolej. Hal ini demikian kerana, tidak semua pelajar yang datang
lewat bukan sebab disengajakan tetapi mungkin terdapat faktor-faktor lain yang
menyebabkan ia berlaku. Oleh itu, sebagai tenaga pengajar di kolej, pensyarah perlu
mengenalpasti pelajar yang sengaja datang lewat atau pun tidak sengaja datang lewat.
Maka, permasalahan ini masih terdapat cara yang lebih baik untuk diperbaiki.
2.0 Refleksi Masalah
Dalam memperkatakan masalah disiplin, adalah perlu difahami definisi disiplin itu
sendiri di mana disiplin di Kolej Vokasional adalah peraturan-peraturan yang dikenakan
ke atas pelajar-pelajar dengan tujuan mengawal tingkah laku mereka melalui hukuman
mahupun ganjaran. Definsi disiplin ini, memberikan gambaran sekiranya sesuatu
peraturan yang dibuat tidak dipatuhi, maka ia dikatakan melanggar disiplin. Inilah yang
dikatakan disiplin. Dalam kajian tindakan mengenai masalah pelajar datang lewat ke kolej
merupakan salah satu masalah disiplin yang telah dilakukan oleh pelajar-pelajar di Kolej
Vokasional Likas. Datang lewat boleh ditakrifkan sebagai tiba ke Kolej Vokasional
selepas waktu yang telah ditetapkan oleh pengurusan Kolej Vokasional.
2
Perlakuan datang lewat ke kolej dalam kalangan pelajar Kolej Vokasional Malaysia
merupakan satu fenomena yang menarik perhatian masyarakat pada masa kini. Masalah
ini merupakan satu masalah global yang dihadapi oleh kebanyakan Kolej Vokasional.
Permasalahan ini juga merupakan satu masalah yang rumit dan memerlukan kaedah untuk
menanganinya. Masalah ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab para pensyarah semata-
mata malah ibu bapa dan pihak lain keseluruhannya turut bertanggungjawab.
Pada tahun 1994, Unit Disiplin, Bahagian Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan
Malaysia menjalankan kajian tentang masalah disiplin di sekolah. Hasil kajian
menunjukkan peratus kejadian kes disiplin di sekolah mengikut 10 jenis kesalahan yang
dikenalpasti dalam kalangan 1 191 233 orang pelajar sekolah menengah di Malaysia salah
satunya adalah datang lewat ke sekolah. Daripada kajian yang telah dijalankan di beberapa
buah sekolah di daerah Kubang Pasu, di Kedah, didapati masalah “datng lewat” amat
menonjol sekali. Datang lewat ini boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu datang
lewat yang dirancang dan juga datang lewat yang tidak dirancang.
3.0 Objektif
Terdapat dua objektif yang dikenalpasti dan terbahagi kepada dua iaitu objektif am
dan juga objektif khusus. Antara objektif yang dikenalpasti dan diperincikan dalam kajian
tindakan mengatasi masalah datang lewat ke Kolej Vokasional dalam kalangan pelajar
Kolej Vokasional Likas adalah seperti berikut :
3.1 Objektif Am
3.1.1 Membanteras gejala datang lewat ke Kolej Vokasional.
3.1.2 Menyedarkan pelajar supaya mereka mematuhi peraturan-peraturan
yang ditetapkan walaupun di mana-mana sahaja mereka berada.
3.2 Objektif Khusus
3.2.1 Menyemai sikap menghargai masa dalam kalangan murid.
3.2.2 Membentuk budaya sekolah yang cemerlang dan melahirkan murid
yang berdisiplin.
3
4.0 Kumpulan sasaran
Kumpulan sasaran bagi kajian tindakan mengatasi masalah pelajar datang lewat ke
Kolej Vokasional ialah semua pelajar Kolej Vokasional Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
5.0 Tindakan yang diambil
Berdasarkan kepada kajian pelajar datang lewat ke Kolej Vokasional Likas, Kota
Kinabalu Sabah, maka pihak Kolej Vokasional Likas merupakan pihak yang
bertanggungjawab dalam melaksanakan pelan tindakan segera bagi memastikan pelajar
Kolej Vokasional datang lebih awal iaitu pada waktu yang ditetapkan. Oleh itu, segala
alternatif yang dirangka perlulah melibatkan pelajar, ibu bapa, pensyarah, pihak Kolej
Vokasional Likas serta pihak-pihak lain yang bertanggungjawab. Terdapat beberapa
tindakan yang boleh diambil bagi mengatasi masalah datang lewat dalam kalangan
pelajar, antaranya adalah :
5.1 Mengawasi pintu pagar
Cara ini digunakan oleh hampir semua sekolah sejak dulu lagi. Pelajar yang
datang lewat ke kolej akan ditahan oleh pengawas di pintu pagar dan nama mereka
diambil serta diberi amaran supaya tidak datang lewat ke kolej lagi. Pelajar yang
kerap datang lewat ke kolej akan dikenakan hukuman atas kekerapan tersebut.
Namun begitu, hukuman yang dikenakan perlulah setimpal dengan kesalahan yang
dilakukan oleh pelajar. Jika pelajar datang lewat ke kolej, mereka boleh dikenakan
hukuman seperti lewat keluar kelas selepas sesi pengajaran dan pembelajaran.
Misalnya jika pelajar lewat seminit, maka mereka perlu keluar kelas seminit lebih
lewat berbanding pelajar yang datang awal.
5.2 Pertandingan kehadiran
Di sesetengah sekolah, terdapat guru yang menjalankan tindakan seperti ini
tetapi ia hanya berlaku dalam satu kelas sahaja tetapi ia juga perlu dilaksanakan
kepada satu sekolah. Pertandingan yang dimaksudkan ini akan dijalankan mengikut
minggu atau bulan. Setiap minggu guru yang bertugas akan menentukan kehadiran
mengikut peratus. Kelas pula diberi hadiah sama ada setiap minggu atau
4
dikumpulkan mengikut bulan atau tahun. Biasanya hadiah diberi semasa
perhimpunan mingguan. Dengan cara ini, pelajar yang datang lewat ke Kolej
Vokasional Likas akan berasa lebih bermotivasi untuk datang awal ke kolej untuk
memenangi pertandingan kehadiran ini.
5.3 Kempen kehadiran awal
Kempen seperti ini jarang dilakukan oleh sesetengah sekolah mahupun kolej
vokasional malaysia tetapi ia merupakan satu tindakan yang boleh mengurangkan
bilangan pelajar yang datang lewat ke Kolej Vokasional. Kempen ini boleh
dijalankan seminggu sekali dalam sebulan supaya pelajar sering diingatkan dengan
kehadiran awal ke kolej. Dan bagi kempen ini juga, pihak Kolej Vokasional Likas
boleh memberi hadiah kepada pelajar yang menunjukkan kemajuan daripada segi
kehadiran bagi sesuatu tempoh.
5.4 Menjadikan kehadiran pelajar tanggungjawab semua Pensyarah
Selain daripada pensyarah yang bertindak sebagai penyelaras kelas yang
sentiasa menyemak buku kehadiran, pensyarah yang mengajar juga hendaklah
menjadikan tabiat mereka setiap hari apabila memasuki kelas, perlu bertanya
mengenai kehadiran pelajar. Begitu juga Unit Hal Ehwal Pelajar serta Unit Psikologi
dan Kerjaya, mereka hendaklah memberitahu penyelaras kelas tentang pelajar yang
berkemungkinan bermasalah dan yang selalu datang lewat ke kolej. Sebagai seorang
pensyarah, kita perlu sentiasa menasihati pelajar yang datang lewat ke kolej supaya
mereka datang lebih awal. Jika seorang pensyarah sentiasa mengambil berat terhadap
pelajar-pelajarnya, mereka yang sering datang lewat ke kolej akan datang lebih awal
berbanding sebelumnya.
5.5 Peringatan kepada ibu bapa
Daripada awal pengajian lagi apabila terdapat perjumpaan dengan ibu bapa sama
ada dalam mesyuarat khas atau mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pihak kolej
perlu menekankan soal kehadiran pelajar kepada ibu bapa. Ibu bapa perlu diingatkan
supaya menghantar anak mereka lebih awal supaya tidak wujud masalah pelajar
datang lewat ke kolej. Pihak Kolej Vokasional Likas juga boleh mengedarkan surat
atau handout kepada ibu bapa bagi menegaskan betapa pentingnya pelajar datang
5
awal ke kolej supaya tidak menganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang
dijalankan.
5.6 Pengawasan oleh pihak polis
Perkara ini juga hendaklah mendapat kerjasama polis agar melaporkan kepada
pihak kolej sekiranya terdapat pelajar yang berkeliaran, bersiar-siar di pasar raya, di
tempat awam atau di tempat permainan judi. Hal ini demikian kerana pelajar yang
sering datang lewat berkemungkinan besar akan berasa takut ke kolej kerana takut
didenda oleh Unit disiplin. Mereka juga tidak mahu pulang ke rumah kerana takut
dimarahi oleh ibu bapa. Jadi, pelajar akan pergi berkeliaran sewaktu masa
pengajaran dan pembelajaran yang sedang dijalankan. Oleh itu, pihak polis
memainkan peranan yang sangat penting bagi mengelakkan kejadian ini berlaku.
6.0 Kesimpulan
Penyelesaian bagi masalah datang lewat ke Kolej Vokasional tidak akan dapat
diselesaikan dengan satu cara penyelesaian sahaja. Ia juga bergantung kepada banyak
faktor sama ada faktor luaran mahupun dalaman yang perlu diambil kira oleh pihak kolej,
Para pensyarah dan juga ibu bapa sebelum memastikan langkah-langkah bagi
menyelesaikan masalah ini. Langkah yang betul dapat menarik minat dan menggalakkan
pelajar daripada tidak mendatangkan masalah sedemikian rupa. Dengan mengatasi
masalah ini, kelas dapat menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
6
BIBLIOGRAFI
Hashim Adnan (2011). Gantung Pelajar kerana Datang Lewat tak Munasabah. Sumber
daripada Utusan Bernama.
Khaeriyah Abdul Malek (2019). Masalah Didiplin Pelajar yang paling ketara adalah
Lewat Datang Kolej. Sumber daripada Temu bual.
Unit Disiplin (1994) Bahagian Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.
peratus kejadian kes disiplin di sekolah mengikut 10 jenis kesalahan yang
dikenalpasti dalam kalangan 1 191 233 orang pelajar sekolah menengah di
Malaysia salah satunya adalah datang lewat ke sekolah. Data Kajian Lepas
7