LOMPAT TINGGI
SMeCT
By : MSA
HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menghuraikan sejarah acara lompat tinggi;
2. Menerangkan pelaksanaan acara lompat tinggi;
3. Membezakan ciri fasa pergerakan dan gaya lompat tinggi;
4. Menjelaskan teknik-teknik yang betul dalam lompat tinggi;
5. Mengaplikasikan semua teknik yang telah dibincangkan dengan
berkesan;
6. Membincangkan kesalahan-kesalahan, langkah-langkah keselamatan
dan peraturan-peraturan dalam acara lompat tinggi; dan
7. Mengenal pasti peralatan yang digunakan dalam acara lompat tinggi.
PENGENALAN
Acara lompat tinggi begitu popular dalam mana-mana kejohanan sukan
olahraga dan sentiasa mendapat perhatian ramai. Ia adalah salah satu acara
padang yang memerlukan peserta melompat melepasi palang. Palang tersebut
diletakkan di antara dua tiang tegak. Lompat tinggi mula diperkenalkan pada
tahun 1887 dan pada tahun 1896 acara ini telah diperkenalkan di dalam Sukan
Olimpik.
Secara amnya, acara lompat tinggi dikuasai oleh atlet-atlet yang bertubuh tinggi
dengan kualiti lonjakan yang baik. Namun begitu, terdapat juga atlet yang
bertubuh rendah yang telah mencapai kejayaan kerana mempunyai
keistimewaan dalam membuat lonjakan. Hal ini disebabkan oleh kelajuan
memecut tidak dianggap sebagai kriteria utama dalam acara lompat tinggi.I
PRINSIP MEKANIK DALAM LOMPAT TINGGI
Secara amnya terdapat beberapa aspek prinsip mekanik dalam acara-acara sukan
termasuk olahraga. Prinsip-prinsip mekanik yang terlibat dalam acara lompat
tinggi ini dibincang dengan ringkas dari aspek seperti berikut:
Pergerakan
Terdapat dua jenis pergerakan iaitu:
(a) Pergerakan mendatar (linear motion)
(b) Pergerakan menegak (vertical motion)
Rajah 4.2: Prinsip asas mekanik semasa melakukan lompat tinggi
Secara ringkasnya, seseorang atlet perlu memindahkan pergerakan mendatar
kepada pergerakan menegak semasa fasa penujuan dan lonjakan. Lari landas
menghasilkan pergerakan mendatar. Lonjakan dari landas menghasilkan
pergerakan menegak. Hasil gabungan pergerakan mendatar dan menegak
mengakibatkan layangan dalam bentuk parabola (lihat Rajah 4.2).
Momentum
Halaju dan momentum adalah konsep-konsep penting dalam kemahiran sukan.
Momentum adalah hasil darab jisim dan halaju ialah kuantiti pergerakan yang
dikandung oleh sesuatu jasad. Semakin bertambah halaju atau jisim, maka
semakin meningkat momentum jasad.
Halaju juga boleh dipindahkan dari sebahagian badan ke seluruh badan.
Misalnya melalui ayunan atau kilasan kaki bebas dengan kuat pada fasa lonjakan
dalam lompat tinggi supaya dapat menghasilkan momentum yang lebih untuk
membawa badan pada aras yang lebih tinggi. Pergerakan lengan dan bahu juga
membantu melonjakkan badan ke atas melepasi palang.
Daya Sentrifugal
Selain daripada pergerakan mendatar dan menegak, terdapat juga daya
sentrifugal yang mempengaruhi pergerakan. Apabila sesuatu jasad melakukan
pergerakan dalam bentuk sesuatu bulatan, terdapat satu jenis daya yang
bertindak ke arah pusat bulatan itu dan satu lagi daya yang sama wujud dalam
arah yang bertentangan. Daya yang bertindak ke luar pula dikenali sebagai daya
sentripetal. Kedua-duanya dilaksanakan apabila terdapat geseran pada bumi di
pusat bulatan.
Sekiranya terdapat suatu daya sentrifugal yang bertindak kepada pusat bulatan
dan tidak terdapat geseran pada pusat itu, maka daya ini akan dilepaskan pada
titik bulatan yang tertentu dan memecut dalam bentuk tangen pada pusat
bulatan itu.
Untuk mencapai lonjakan yang tinggi, seseorang atlet itu haruslah
menggabungkan konsep-konsep pergerakan dengan daya sentrifugal agar
mendapat momentum yang mencukupi untuk melepasi palang.
Putaran
Terdapat dua jenis pergerakan putaran bertujuan mendapatkan layangan
merentasi palang iaitu pergerakan putaran langsung dan tidak langsung.
Putaran langsung berlaku semasa atlet menyentuh bumi, manakala putaran
tidak langsung pula adalah semasa atlet tidak menyentuh bumi. Putaran tidak
langsung berlaku melalui kekuatan kaki yang bebas setelah lonjakan untuk
menambah lagi daya sentrifugal.
Graviti dan Pusat Graviti
Daya graviti bumi sangat penting kerana daya ini mempengaruhi dan
memberikan kesan kepada atlet dan bagaimana mereka boleh memindahkan
pusat graviti pada badannya supaya memperoleh lompatan yang paling berjaya.
Ketinggian yang lebih boleh dicapai dengan jumlah daya yang sama sekiranya
pusat graviti ditempatkan rapat kepada bahagian atas palang. Walau
bagaimanapun, gaya-gaya yang membolehkan penempatan pusat graviti seperti ini
akan menyebabkan atlet mendarat dalam posisi yang mencemaskan.
Prinsip Aksi dan Reaksi
Titik pusat graviti tidak boleh diubah setelah kaki meninggalkan bumi. Namun
demikian, pengubahsuaian segmen-segman badan yang tertentu boleh
mengaplikasikan hukum reaksi apabila segmen-segmen badan diangkat dalam
fasa layangan. Prinsip aksi dan reaksi menerangkan bahawa apabila sesuatu
bahagian badan dikenakan sesuatu gerakan tertentu, maka kita akan mendapat
satu pergerakan pada bahagian badan yang lain.
Apabila kedua belah tangan atlet diayun dengan kuat semasa fasa lonjakan,
seluruh badan akan turut terangkat. Setelah lonjakan, seluruh kaki bebas ditarik
masuk dengan kuat untuk menghasilkan putaran badan. Dengan ini kedua belah
kaki akan dapat melepasi palang. Ketika bahagian pinggang melepasi palang,
pinggang dilenturkan. Pergerakan inilah yang membolehkan atlet mengangkat
kedua tangan dan kedua kaki melepasi palang dengan mudah.
Semasa lari landas dilakukan, tumit kaki hadapan ditanam dengan kuat; reaksi
dari tindakan ini akan memindahkan pergerakan mendatar kepada pergerakan
menegak. Prinsip-prinsip yang telah dibincangkan ini adalah mustahak bagi
seseorang atlet untuk mencapai tahap pencapaian lompatan yang tinggi.
FASA PERGERAKAN LOMPAT TINGGI
Bagi acara lompat tinggi fasa lompatan adalah terdiri daripada empat fasa utama
yang Tippecanoe seperti berikut:
(a) Fasa Lari landas: Membuat larian ke arah palang;
(b) Fasa Lonjakan: Menentukan pergerakan kaki untuk menaikkan badan;
(c) Fasa Layangan: Gaya dan kedudukan badan ketika berada di udara dan di
atas palang; dan
(d) Fasa Pendaratan: Bahagian badan akan menyentuh tempat mendarat.
Gaya Lompat Tinggi
Terdapat beberapa gaya lompat tinggi antaranya seperti berikut:
(a) Gaya Gunting
Rajah 4.3: Gaya gunting
Pelompat perlu berlari menuju ke palang secara bersudut dan mencuba
untuk melonjak menggunakan kaki yang sedang berada di luar dari
kawasan palang. Ketika sedang melepasi palang, anda perlu berada dalam
posisi duduk berlunjur (lihat Rajah 4.3).
(b) Gaya Timur
Rajah 4.4: Gaya timur
Ketika penujuan dibuat ke arah palang anda perlu
berada lurus dari hadapan (90À). Semasa fasa lonjakan dibuat, ayunkan kaki bebas
secara tegak ke bahagian hadapan badan dan ketika sedang melepasi palang posisi
anda berada dalam keadaan mengiring (lihat Rjah 4.4).
(c) Gaya Guling Barat
Rajah 4.5: Gaya guling barat
Gaya ini memiliki persamaan dengan gaya gunting di mana anda perlu
menuju ke arah palang secara bersudut. Anda perlu cuba melonjak dengan
menggunakan kaki yang paling hampir dengan palang. Pastikan ketika ini,
kaki lonjakan berada dalam keadaan bengkok semasa sedang "berguling"
selari dengan palang untuk membuat pelepasan (lihat Rajah 4.5).
(d) Gaya Pelana
Terdapat persamaan dalam gaya ini, di mana ia mirip dengan gaya guling
barat. Penujuan ke palang juga perlu dibuat secara bersudut. Ketika telah
melepasi palang pastikan muka anda sedang memandang ke arah bawah
dan kedudukan posisi badan seperti sedang meniarap di atas palang.
(e) Gaya Fosbury Flop
Rajah 4.6: Gaya Flop
Gaya ini mula diperkenalkan dalam tahun 1968 oleh Dick Fosbury. Gaya
yang diperkenalkan ini memerlukan anda melepasi palang menggunakan
bahagian belakang bahu terlebih dahulu dan diikuti dengan fasa
pendaratan yang menggunakan belakang badan serta hampir dengan
bahagian tengkuk (lihat Rajah 4.6).
Bagaimanakah acara lompat tinggi bermula?
Apakah empat fasa utama dalam acara lompat tinggi?
Senaraikan empat gaya yang sering digunakan dalam acara
lompat tinggi dan bincangkan perbezaan yang terdapat dalam
acara ini.
FASA PENUH GAYA LOMPAT TINGGI
Gaya gunting dan Fosbury Flop dalam acara lompat tinggi mempunyai empat
fasa yang lengkap iaitu penujuan, lonjakan, layangan dan pendaratan. Fasa-fasa
di dalam kedua-dua gaya lompat tinggi ini akan dijelaskan secara terperinci
seperti berikut:
Fasa Penuh Gaya Gunting
Lari landas
(i) Pelompat menuju ke palang secara bersudut kira-kira 30°.
(ii) Menggunakan 7 hingga 9 langkah.
(iii) Pelompat melonjak dengan kaki kanan akan berlari dari sebelah kiri,
memulakan larian dengan kaki kanan.
(iv) Pelompat yang melonjak dengan kaki kiri akan berlari dari sebelah
kanan, memulakan larian dengan kaki kiri.
Lonjakan
(i) Pelompat perlu melonjak dengan menggunakan kaki luar.
(ii) Ketika lonjakan dibuat, pastikan kaki yang digunakan untuk
melonjak berada di depan pinggul dan pinggul bahagian hadapan
bahu dicondongkan semasa membuat lonjakan.
Layangan
(i) Kaki yang tidak digunakan untuk lonjakan atau bebas diayun kuat ke
atas, selari dengan palang.
(ii) Bahu berhampiran palang dikekal tinggi dan tidak condong ke arah
palang.
(iii) Kemudian diikuti oleh kaki lonjakan yang kemudiannya dihayun ke
atas.
Pendaratan
(i) Pelompat perlu mendarat di atas punggung atau menggunakan
kedua-dua belah kaki.
Fasa Penuh Gaya Fosbury Flop
(a) lari landas
Gaya ini memerlukan pelompat bersedia untuk mengambil langkah dalam kiraan
tujuh hingga sembilan langkah di mana langkah larian yang tiga terakhir
dilakukan dalam bentuk lengkungan. Rasional larian secara lengkungan ini
dapat membantu menyediakan pelompat melepasi palang pada bahagian
belakang terlebih dahulu. Cara menentukan penujuan bagi gaya Fosbury Flop
adalah seperti dalam Rajah 4.7:
Rajah 4.7: Fasa lari landas gaya Fosbury Flop
(b) Lonjakan
(i) Lonjakan yang dibuat perlu pantas dan cepat di mana setelah
pelompat mengakhiri larian melengkung tindakan seterusnya ialah
melonjak dengan kuat menggunakan kaki luar dan apabila
menghampiri tanda pemijak lonjakan perlu dilakukan hampir selari
dengan palang.
(ii) Selepas itu, pastikan kedua-dua belah tangan pelompat
dibengkokkan dan diayun ke atas dan kaki bebas diangkat tinggi
dengan bahagian lutut juga dibengkokkan. Lutut pelompat perlu
dilaraskan secara melintang bagi membantu pusingan badan yang
baik ketika berada di udara. Tujuan utama lutut dilintangkan adalah
bagi memastikan bahu menjadi selari dengan palang.
(c) Layangan
Ketika sedang berada di udara, pelompat perlu memalingkan muka ke arah
belakang dan memandang ke arah palang sambil melentikkan badannya.
Lentikkan badan ini pula akan membantu bahagian punggung pelompat
untuk melepasi palang. Setelah pelompat melepasi bahagian palang
pastikan kedua-dua belah kaki pelompat diluruskan serta diangkat secara
menegak ke atas. Langkah ini dilakukan bertujuan untuk memastikan kaki
tidak tersangkut pada palang dan telah bersedia untuk mendarat.
(d) Pendaratan
Kaki yang diangkat lurus dan tegak kemudiannya akan diikuti dengan
tindakan pantas menarik kepala dan dada ke arah kaki. Dalam masa yang
sama pastikan juga kedua-dua belah tangan telah diayunkan ke atas dan
kemudian mendarat sepenuhnya dengan bahagian belakang badan (lihat
Rajah 4.8).
Rajah 4.8: Pendaratan sepenuhnya
LATIHAN ANSUR MAJU LOMPAT TINGGI
Terdapat beberapa latihan di dalam latihan ansur maju lompat tinggi seperti
latihan persediaan, gaya straddle dan latihan lompatan gaya Fosbury Flop.
Latihan-latihan ini diterangkan secara terperinci seperti berikut:
Latihan Persediaan
(a) Latihan Garisan
Palang lompatan diletakkan di atas lantai gelanggang. Pendekatan
melompat pada sudut 45 digunakan. Kaki diayunkan ke hadapan dan
lompatan dibuat melintasi palang dengan pendaratan kaki yang sama.
Kesesuaian latihan ini adalah untuk pelajar yang baru mempelajari gaya
ini.
(b) Latihan Pergerakan Kaki
Palang lompatan diletakkan kira-kira satu meter tinggi dari lantai. Sudut 45
digunakan untuk melompat dengan tiga langkah larian. Latihan
melompat melepasi palang dilakukan dan pendaratan masih dilakukan
dengan menggunakan kaki hadapan. Latihan pendaratan juga boleh
dilakukan serentak dengan latihan menaikkan palang dan tilam digunakan
untuk mendarat.
(c) Latihan Kepantasan dan Kekuatan Kaki
Larian boleh dibuat beberapa langkah dan melompat serta menendang
sesuatu objek yang digantungkan. Perlakuan dalam latihan ini hendaklah
dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan.
(d) Latihan Melonjak
Palang diletakkan lebih tinggi di bahagian kaki dan direndahkan di
bahagian kepala pelajar. Dengan cara ini, pelajar dapat menguji keupayaan
kakinya untuk membuat lonjakan yang lebih bertenaga.
(e) Latihan Gulingan Badan
Kedudukan palang adalah lebih tinggi di bahagian kepala dan direndahkan di
bahagian kaki pelajar. Keadaan ini akan membolehkan pelajar membuat
gulingan badan pada aras yang lebih tinggi. Pergerakan badan akan
mendahului pergerakan kaki yang berpusing di atas palang. Cara mendarat
yang betul boleh dicapai melalui latihan ini.
Gaya Straddle
Berikut merupakan langkah-langkah gaya straddle.
Langkah 1:
Perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah menentukan kaki lonjakan. Kaki
yang menjadi pilihan adalah kaki yang lebih kuat, selesa dan mudah melakukan
lonjakan.
Langkah 2:
Adakan beberapa barisan menghadap sesuatu tanda yang telah disediakan di
atas tanah. Larian dilakukan dan terus membuat lonjakan di atas kaki yang telah
dipilih untuk membuat lonjakan.
Langkah 3:
Asingkan antara pelajar yang menggunakan kaki kiri dengan mereka yang
menggunakan kaki kanan. Kedudukan pelajar yang menggunakan lonjakan kaki
kanan perlu berada di sebelah kanan menghadap palang; sebaliknya pelajar yang
menggunakan lonjakan kaki kiri berada di sebelah kiri menghadap palang.
Langkah 4:
Pada permulaannya tali getah hendaklah digunakan sebagai menggantikan
palang untuk memberi keyakinan kepada pelajar. Ikatkan sesuatu tanda seperti
kain putih di tengah-tengah tali getah itu tadi sebagai penanda bagi pengamatan
tahap lompatan.
Langkah 5:
Arahan diberikan agar pelajar bergerak ke hadapan. Ini diikuti dengan arahan
agar kaki bebas diayun setinggi yang boleh supaya dapat menyentuh penanda
yang telah diikat pada tali getah tadi. Ketinggian ukuran tali getah dimulakan
dari aras pinggang sehinggalah paras bahu.
Langkah 6:
Apabila sampai pada tahap ini, penerangan teknik yang paling sesuai untuk
melakukan aktiviti bagi gaya ini adalah seperti berikut:
(a) Badan hendaklah disandarkan ke belakang.
(b) Kaki yang digunakan untuk lonjakan dihulurkan sejauh ke hadapan yang
boleh.
(c) Kedua-dua belah tangan digerakkan ke belakang badan.
(d) Pada masa yang sama, kaki ditendang sebebasnya ke atas dengan kencang
dan dipandu dengan kedua-dua tangan yang diayunkan ke atas.
Penerangan tentang aksi lonjakan menegak ke atas dapat dicapai dan penekanan
kepada lonjakan ke atas. Aksi layangan tidak perlu diberikan tumpuan lagi,
semasa aksi ini dilakukan.
Langkah 7:
Kesemua langkah di atas dilakukan dan dipraktikkan dengan menggunakan tali
getah yang menggantikan palang. Maklumkan kepada pelajar bahawa gaya yang
dipraktikkan adalah gaya straddle.
Langkah 8:
Langkah seterusnya ialah memperkenalkan aksi peringkat putaran berpasangan.
Satu demontrasi pengenalan cara membuat putaran dilakukan. Pelajar akan
menendang sebelah kaki ke atas pasangan. Penyokong atau pembantu kepada
pelaku akan memegang pergelangan kaki sebelah lagi. Kaki tersebut diputarkan ke
arah kaki sebelah lagi sebagai imbangan. Oleh itu, secara automatik badan akan
berputar ke arah sisi. Perkara yang harus ditegaskan ialah badan haruslah
diangkat ke bawah. Kepala perlu direndahkan, manakala tangan perlu
diturunkan.
Langkah 9:
Bangku panjang disediakan dan diletakkan di sisi tilam. Satu langkah diambil di
atas bangku. Kaki diayunkan bebas ke atas dan jatuhan ialah di atas tulang
belikat di atas tilam. Seterusnya gaya ini dilatih untuk beberapa kali tanpa
bangku.
Langkah 10:
Bila teknik ini telah dikuasai, teknik larian landas pula diperkenalkan dengan
menggunakan lima hingga tujuh langkah mengikut keselesaan.
Gaya Fosbury Flop
Berikut merupakan langkah-langkah gaya Fosbury Flop.
Langkah 1:
Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk menghayati
perlakuan mendarat dan keyakinan kepada mereka melakukan aktiviti-aktiviti
seterusnya.
Pelajar ditunjukkan demonstrasi bagaimana cara menjatuhkan badan di atas
belakang. Perlu disediakan sebuah kotak yang lebih tinggi daripada kawasan
mendarat. Ia diletakkan di sisi kawasan tilam atau tempat pendaratan. Pelajar
diarahkan untuk berdiri di atas kotak ini dengan keadaan yang lurus dan tegak.
Kemudian badan dijatuhkan ke belakang. Aktiviti ini diulang beberapa kali
untuk keyakinan seterusnya.
Untuk meneguhkan ansur maju langkah ini, pelajar diberitahu untuk
menjatuhkan badan di bahagian belakang bahu. Dagu hendaklah dirapatkan
pada dada. Perlu ditegaskan bahawa tangan hendaklah diayunkan ke belakang.
Sebagai aktiviti pengalihan, sebiji bola (saiz bola sepak) digunakan. Dengan
memegang bola tersebut, bola itu dibaling ke belakang semasa jatuhan bertujuan
untuk ayunan tangan ke belakang yang lebih mantap. Semasa aktiviti ini, kaki
hendaklah dalam keadaan kangkang sedikit.
Langkah 2:
Kotak yang lebih rendah sedikit daripada aktiviti langkah satu digunakan.
Segala perlakuan dan aktiviti adalah seperti dalam langkah satu. Pelajar
diarahkan untuk membuat lonjakan sedikit. Ia bertujuan untuk mengangkat
badan. Gunakan tali getah dan ini akan memberi keyakinan semasa membuat
lonjakan dengan kedua belah kaki dan diulang beberapa kali untuk peneguhan
dan keyakinan.
Langkah 3:
Kotak dalam langkah dua digantikan dengan bangku yang lebih rendah lagi.
Pelajar dikehendaki membuat lonjakan dengan sebelah kaki iaitu kaki lonjakan.
Pelajar menggunakan kaki lonjakan yang berlainan perlu diasingkan di kiri dan
kanan tempat melompat.
Dalam keadaan berjalan, mereka dikehendaki memijak bangku tersebut dengan
kaki lonjakan dan sambil melonjak mengayun kaki sebebas-bebasnya ke atas dan
melompat. Perlu ditekankan bahawa tangan perlulah diayun seperti dalam
langkah kedua. Setelah beberapa kali mencuba, barulah tali getah tadi digantikan
dengan palang yang sebenar.
Langkah 4:
Aktiviti ini menitikberatkan perkara yang berkaitan dengan fasa layangan.
(a) Kaki yang paling dekat dengan palang hendaklah dikilas bebas untuk
mendapatkan daya putaran badan.
(b) Badan hendaklah dilengkungkan ketika berada di atas tali getah supaya
mendapat gaya dan ketinggian yang sempurna.
Selepas mendapati aktiviti ini dapat dijayakan, barulah palang digunakan untuk
merasai suasana sebenar acara lompat tinggi gaya ini.
Langkah 5:
Dalam langkah ini, pelajar diarahkan untuk membuat lompatan sebenar. Sebagai
bantuan untuk aktiviti dalam langkah ini, satu garisan untuk lari landas dengan
lengkungan disediakan. Palang hendaklah berada pada paras yang rendah.
Pada mulanya pelajar akan mencuba dengan menggunakan empat atau lima
langkah larian landas. Ini dicuba beberapa kali. Kemudian palang akan
ditinggikan sedikit demi sedikit sekiranya lompatan berjaya dilakukan.
Selepas itu, lakukan untuk aktiviti yang sama tetapi dengan menggunakan lari
landas sembilan hingga sebelas langkah. Larian hendaklah dilakukan dengan
agak laju dalam aktiviti ini.
KESALAHAN YANG BIASA BERLAKU
SEMASA LOMPAT TINGGI
Terdapat beberapa kesalahan yang kerap dilakukan oleh pelajar seperti
lompatan gagal ataupun palang terjatuh. Antara sebabnya adalah seperti berikut:
(a) Permulaan larian yang terlalu laju dan mengurangkan kelajuan pada tiga
langkah terakhir.
(b) Langkah lari landas terlalu pendek hingga menyebabkan pelajar terpaksa
membuka langkah semasa melencong.
(c) Jarak tempat melonjak terlalu dekat dengan palang. Ini menjadikan jarak
penujuan terlalu pendek dan sudutnya terlalu kecil.
(d) Pelajar menggunakan kedua belah kaki untuk melonjak ketika mula
melompat.
(e) Tidak mengekalkan posisi menegak menyebabkan kepala dan bahu terlalu
dekat dengan palang semasa melonjak.
(f) Terlalu cepat membongkokkan badan ke palang.
(g) Menjunam ke arah palang atau melonjak terlalu dekat.
(h) Kaki belakang terkena palang kerana ayunan lutut tidak disempurnakan
dengan cara melipat tumit.
(i) Lengkungan badan tidak sempurna semasa layangan.
(j) Mendongak ke belakang yang keterlaluan atau tidak membengkokkan kaki
dan mendongak semula pada fasa pemulihan.
(k) Sebelum badan melepasi palang, bahagian-bahagian badan menyentuh
atau termasuk ke sebelah kawasan mendarat.
LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN
Beberapa langkah keselamatan perlu diambil untuk mengelakkan kecederaan
berlaku. Antaranya adalah seperti berikut:
(a) Memanaskan badan terlebih dahulu untuk mengelakkan kecederaan.
(b) Pastikan tempat pendaratan atau tilam yang digunakan untuk mendarat
selamat.
(c) Tiang hendaklah diletakkan di tempat yang rata agar tidak bergoyang atau
mudah jatuh.
Palang mestilah diletakkan di bahagian sebelah belakang tiang supaya ia
jatuh ke bawah mengikut arah tempat pendaratan bila disentuh dan tidak
menyekat peserta ketika melompat.
Aspek disiplin, peraturan, giliran dan cara melakukan pergerakan wajib
diberi perhatian dan penegasan.
Semasa sesuatu aktiviti sedang dijalankan, guru atau jurulatih perlu
memerhati dan membuat penerangan kepada atlet jika ada sesuatu perkara
yang boleh diperbaiki lagi dalam lakuan lompatan.
Pelajar-pelajar yang lain digalakkan untuk memerhati lakuan rakannya
untuk mendapat teknik yang betul. Mereka juga perlu memberi perhatian
sekiranya ada perlakuan yang memerlukan teguran untuk memperbaiki
kesalahan mereka.
PERATURAN LOMPAT TINGGI
Setiap acara olahraga mempunyai peraturan-peraturannya yang tersendiri.
Begitu juga dengan acara lompat tinggi. Peraturan-peraturan dalam acara lompat
tinggi dibahagikan kepada dua bahagian iaitu peraturan asas dan peraturan 171.
Peraturan Asas dalam Acara Lompat Tinggi
(a) Peserta mesti melonjak dengan menggunakan sebelah kaki.
(b) Peserta boleh mula melompat dari mana-mana ketinggian permulaan yang
disukainya.
(c) Jika peserta telah menyentuh palang dan tidak melompat, menjatuhkan
palang ketika lompatan ataupun telah menyentuh kawasan tempat
mendarat semasa lompatan yang tidak berjaya maka kesemua keadaan
yang disebut ini akan menyebabkan lompatan terbatal.
(d) Jika peserta gagal untuk melompat dan melintasi palang sebanyak tiga kali
berturut-turut maka ini bermakna peserta telah terkeluar daripada
pertandingan.
(e) Peserta berhak meneruskan lompatannya (walaupun setelah semua peserta
yang lain gagal) sehingga dia tidak dapat meneruskannya lagi mengikut
peraturan.
(f) Ukuran ketinggian lompatan dibuat secara menegak bermula dari paras
tanah hingga ke bahagian tengah di sebelah atas palang.
Peraturan 171
Berikut adalah peraturan-peraturan Peraturan 171.
(a) Peserta perlu mencabut undi untuk menentukan giliran lompatan.
(b) Sebelum pertandingan bermula, Ketua Hakim mengumumkan ketinggian
permulaan dan kenaikan seterusnya.
(c) Peserta boleh memilih untuk memulakan lompatan pada ketinggian yang
telah ditetapkan. Ini bermakna peserta boleh memilih untuk tidak
melompat.
(d) Selepas gagal percubaan kedua atau ketiga (selepas gagal percubaan
pertama atau kedua) dan masih lagi layak melompat pada ketinggian yang
berikutnya.
(e) Kenaikan ketinggian seterusnya ialah 2sm atau lebih sehingga keadaan
berikut berlaku:
(i) Terdapat hanya seorang pelompat tertinggal.
(ii) Terdapat seri pada kedudukan pertama.
(f) Lonjakan dilakukan dengan sebelah kaki sahaja.
(g) Kegagalan melompat adalah kerana keadaan berikut:
(i) Palang jatuh;
(ii) Sebelum peserta melepasi palang, kawasan sebelah hadapan tiang
disentuh; dan
(iii) Gagal melepasi palang tiga kali berturut-turut.
(h) Landasan larian seharusnya tidak kurang daripada 15m.
PERALATAN LOMPAT TINGGI
Acara lompat tinggi ini memerlukan kawasan dan peralatan khusus untuk
membolehkan lompatan diadakan sebagai salah satu acara olahraga. Penganjur
sesuatu kejohanan olahraga hendaklah memastikan semua ini disediakan
sebelum pertandingan dimulakan. Antara peralatan yang diperlukan adalah
seperti berikut:
(a) Tiang Lompat Tinggi
Dua batang tiang diperlukan dan tiang-tiang ini tidak boleh diubah-ubah
semasa pertandingan sedang dijalankan. Jika perlu mengubah
kedudukannya, perubahan perlu dilakukan selepas semua peserta tamat
satu pusingan. Kedua-dua tiang ini hendaklah mempunyai alat bantuan
khusus bagi membolehkan tiang ditegakkan tanpa mudah dijatuhkan.
Tiang lompat tinggi hendaklah dijarakkan pada jarak minimum 4 meter
atau maksimum 4.04 meter dari bahagian dalam.
(b) Palang Lompat Tinggi
Palang lompat tinggi hendaklah diperbuat sama ada daripada kayu, logam
ataupun bahan yang sesuai berbentuk bulat atau segi tiga. Panjang palang
hendaklah sesuai dengan jarak kedua-dua tiang yang dipasangkan. Palang
ini akan diletakkan pada tiang menerusi alat sokongan khas. Sokongan ini
hendaklah mudah dinaikkan atau diturunkan pada tiang. Berat maksimum
palang ini ialah 2kg. Alat sokongan yang digunakan hendaklah berbentuk
segi empat rata dan berukuran 4sm lebar dan 6sm panjang.
(c) Kawasan Mendarat
Pada peringkat awal acara lompat tinggi dijalankan, pihak penganjur
kurang memberi perhatian kepada kawasan mendarat. Lama kelamaan
dengan adanya beberapa teknik lompatan dan pendaratan tertentu, tempat
pendaratan perlu disediakan dengan sewajarnya. Sebelum beberapa teknik
atau gaya lompatan diperkenalkan, kawasan pendaratan hanya terdiri
daripada satu kawasan khas yang diisikan dengan pasir lembut yang
lembap. Kini, kawasan mendarat bagi acara lompat tinggi ini
menggunakan tilam atau pengalas lembut bergetah.
Tilam beranjal atau pengalas lembut bergetah ini hendaklah ditempatkan
betul-betul selepas kedua-dua tiang lompat tinggi dan sesuai untuk
pendaratan peserta dalam acara ini. Kawasan mendarat dalam acara
lompat tinggi ini adalah tilam beranjal atau pengalas lembut bergetah dan
berbentuk segi empat dengan saiz 5 meter panjang dan 4 meter lebar dan 1
meter tebal.
Rajah 4.9: Peralatan lompat tinggi
(d) Pita Pengukur
Pita pengukur adalah untuk mengukur ketinggian lompatan yang berjaya
dilakukan oleh setiap peserta. Ukuran hanya dibuat sekali sebelum
lompatan dimulakan selepas palang dinaikkan. Kini, dalam acara lompat
tinggi alat pengukur elektronik digunakan bagi menjadikan proses
pengukuran dapat dilakukan dengan cepat dan tepat. Pita pengukur
digunakan untuk mengukur ketinggian lompatan yang dilakukan oleh
peserta. Pengukuran ketinggian hendaklah dibuat sebelum acara lompatan.
Pegawai pertandingan terlebih dahulu akan memulakan acara ini pada
suatu ketinggian tertentu mengikut keupayaan para peserta dan ketinggian
lompatan akan diukur dari bahagian tengah palang ke aras tanah.
Uji Minda
1. Jelaskan mengikut fasa pergerakan dalam gaya Fosbury Flop.
2. Apakah kesalahan-kesalahan yang biasa berlaku dalam acara
lompat tinggi?
3. Nyatakan beberapa langkah keselamatan yang sepatutnya diberi
perhatian oleh pelajar, guru dan jurulatih.
4. Apakah peraturan asas bagi acara lompat tinggi?
5. Apakah isi kandungan Peraturan 171?
6. Senaraikan peraltan yang digunakan dalam acara lompat tinggi.