The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ahmadsuhaizan, 2021-01-28 00:13:04

Modul Pembelajaran Minggu 2

Modul Pembelajaran Minggu 2

KULIAH MINGGU 2 PROSES PEMBELAJARAN

Sinopsis
Dalam tajuk ini menghuraikan faktor-faktor yang mempengaruhi proses pembelajaran.
Faktor-faktor kesediaan belajar, persepsi dan penanggapan, ingatan dan lupaan serta
serta pemindahan membantu proses pembelajaran.

Hasil Pembelajaran
Pada akhir tajuk ini, pelajar diharapkan dapat :
i Menghuraikan konsep kesediaan belajar dan pemindahan pembelajaran.
ii Menghuraikan persepsi dan penanggapan dalam proses pengajaran dan

pembelajaran.
ii. Menjelaskan dengan terperinci pengertian ingatan dan lupaan.

Kandungan Unit
1. Kesediaan belajar.
2. Persepsi dan penanggapan.
3. Ingatan dan lupaan.
4. Pemindahan pembelajaran.

2

KESEDIAAN BELAJAR

Sebelum guru memulakan pengajaran, mereka lazimnya bertanya kepada murid-murid
sama ada mereka sudah bersedia untuk belajar atau belum. Malah perkataan bersedia
digunakan dalam pelbagai situasi seperti bersedia untuk bermain, bersedia untuk
berbincang, bersedia untuk diperiksa dan sebagainya. Oleh itu, kesediaan pembelajaran
sangat penting bagi memastikan pelajar-pelajar memperoleh ilmu daripada apa yang
dipelajari. Menurut kamus Dewan, istilah ‘kesediaan’ bermaksud kesanggupan atau
kerelaan manakala istilah ‘belajar’ bermaksud menuntut ilmu pengetahuan. Oleh itu,
dapatlah ditakrifkan ‘kesediaan belajar’ sebagai keadaan status diri individu yang sudi
menerima maklumat atau ilmu pengetahuan dari persekitaran dengan berfikiran terbuka.
Kesediaan belajar merupakan faktor yang sangat penting untuk memastikan setiap isi
kandungan pelajaran difahami oleh murid-murid.

Menurut Bruner (1966), kesediaan belajar adalah merujuk kepada apa jua perkara yang
dapat disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak pada mana-mana peringkat
perkembangan. Hal ini adalah kerana, kesediaan belajar dapat diwujudkan melalui
perkembangan individu daripada segi emosi, intelek, psikomotor dan kematangan murid.
Contoh, kanak-kanak berfikir secara konkrit pada peringkat perkembangan mereka dan
pemikiran konkrit ini digunakan sebagai persediaan untuk mempelajari cara
pembelajaran abstrak. Oleh yang demikian, persediaan ini dapat membantu pelajar
untuk memahami pelajaran yang baru berdasarkan kepada pengalaman dan
pengetahuan yang sedia ada.

Kesediaan belajar ini merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor yang berbeza
antara setiap murid. Kesediaan belajar daripada aspek kognitif bermaksud kesediaan
mental seseorang untuk memahami, memikir dan menaakul dalam keadaan
pembelajaran yang baru. Kognitif adalah satu proses mental mengubah input sensori
kepada bentuk yang lebih bermakna dengan merekod, menyimpan dan menggunakan
semula maklumat yang sedia ada. Hal ini jelas kita lihat apabila seseorang individu
menggunakan maklumat yang sedia ada dalam persekitarannya dan mengaplikasikan
ingatannya dalam membuat keputusan. Contohnya, murid-murid sekolah rendah
bersedia untuk belajar operasi konkrit apabila mereka masuk ke sekolah menengah dan
bersedia untuk belajar operasi yang kompleks. Maksudnya, seseorang pelajar telah
bersedia dari segi kognitifnya apabila pencapaian ilmiahnya setimpal dengan usaha dan
latihan yang diperlukannya.

Kesediaan afektif pula adalah daripada segi keinginan, semangat, ketekunan, perasaan
dan minat seseorang untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran. Hal ini dapat
ditunjukkan melalui perlakuan iaitu sikap kesedaran, minat, prihatin dan
bertanggungjawab murid tersebut dalam kesungguhannya melaksanakan aktiviti
pembelajaran yang diberi oleh guru. Contohnya, Nazri meminati subjek Sains kerana
menyukai aktiviti eksperimen. Oleh itu melalui kesediaan afektif ini, murid-murid dapat
meningkatkan pembelajaran, minat dan juga persaingan yang sihat dalam kalangan
mereka sekali gus dapat memotivasikan murid-murid dengan menganggap
pembelajaran adalah suatu bidang yang menyeronokkan dan memberikan suatu
kepuasan kepada diri mereka. Mengikut hukum Thorndike (1913), apabila seseorang itu
bersedia untuk melakukan tindakan, maka tindakan itu dapat memberikan kepuasan
kepadanya. Sekiranya dia tidak melakukannya, akan menimbulkan perasaan dukacita
dan jika dia terpaksa melakukannya maka pembelajaran yang terhasil menjadi tidak
sempurna. Oleh yang demikian, kesediaan belajar merupakan persiapan-persiapan
yang perlu ada sebelum individu itu bertindak iaitu belajar.

Kesediaan psikomotor pula ialah merangkumi penggunaan keperluan kemahiran dan
penyelarasan tulang dan otot aktiviti fizikal. Kesediaan psikomotor pula bermaksud
kesediaan seseorang yang mempunyai potensi dan bersedia untuk melakukan tindakan
fizikal dalam suatu proses pembelajaran yang baru. Namun demikian, harus diambil kira
bahawa kesediaan psikomotor ini adalah berbeza dalam kalangan murid-murid
walaupun mempunyai umur yang sama. Hal ini adalah kerana kesediaan psikomotor ini
adalah berkait rapat dengan latihan yang memerlukan kemahiran yang betul dan latihan
yang berterusan. Contohnya, subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Muzik dalam
permainan alat muzik piano. Murid-murid dapat memperbaiki psikomotor mereka
dengan latihan yang berterusan sebagai persediaan psikomotor mereka.

TUGASAN

1. Sebagai seorang guru, cadangkan strategi kreatif yang dapat anda lakukan
untuk membina kesediaan belajar murid anda.

2. Perincikan implikasi kesediaan belajar dalam konteks guru.
3. Huraikan faktor kematangan dan pengalaman yang mempengaruhi kesediaan

belajar.

4

PERSEPSI DAN PENANGGAPAN

Istilah ‘pengamatan’ menurut kamus Dewan ialah ‘penelitian’. Secara spesifiknya
maksudnya adalah sama dengan persepsi iaitu gambaran atau bayangan dalam hati atau
fikiran, pandangan atau tanggapan. Persepsi atau pengamatan merupakan satu proses di
mana otak menerima maklumat dari deria-deria, menyusun semula maklumat dan memberi
makna kepadanya. Proses pengamatan bermula daripada rangsangan luar yang dikesan
oleh organ-organ deria iaitu mata, telinga, hidung, lidah ataupun kulit. Ransangan yang
dikesan akan menghasilkan impuls yang dihantar ke otak melalui sistem saraf. Kemudian,
otak akan berusaha mentafsir maklumat yang diterima berdasarkan kepada pengalaman
yang berkaitan, mengintrepretasi dan membentuk gambaran, bayangan, makna atau konsep
rangsangan tersebut. Daripada pengertian ini adalah jelas bahawa untuk melakukan
pengamatan kita tidak sahaja memberi perhatian kepada sesuatu rangsangan tetapi kita
hendaklah memberi makna kepada rangsangan-rangsangan yang tiba pada deria-deria kita.

Persepsi adalah satu proses yang mana otak kita menerima maklumat dari deria-deria kita
(seperti deria lihat, deria mendengar, deria merasa, deria menghidu dan deria menyentuh),
menyusun semula maklumat itu dan memberi makna kepadanya. Kebiasaanya, maklumat
yang diterima adalah berdasarkan pengalaman yang berkaitan, menginterpretasi dan
membentukkan gambaran, bayangan, makna atau konsep rangsangan tersebut. Sebagai
contoh, jika sebuah motosikal lalu, seseorang itu mendengar bunyi (deria pendengaran)
tersebut dan dia telah pernah melihat objek (motosikal) mengeluarkan bunyi tersebut (pada
masa yang lalu), maka gambaran ‘motosikal’ dengan cepat terbayangnya. Akan tetapi,
seseorang individu yang tidak ada pengalaman seperti ini tidak akan mampu memberikan
makna kepada bunyi ini.

Oleh yang demikian, ahli-ahli psikologi kognitif iaitu Kohler, Bruner, Gagne dan Ausubel
berpendapat bahawa pembelajaran ialah suatu proses dalaman yang berlaku dalam akal
fikiran dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia.
Pengamatan adalah kompenen yang sangat penting dalam proses pembinaan pengetahuan
baru dalam struktur kognitif seseorang. Menurut teori Gestalt, manusia mengamati dengan
menerima maklumat melalui deria dan kemudian menyusun semula maklumat tersebut
dalam ingatannya mengikut kefahaman mereka sendiri. Contoh, murid diminta oleh guru
untuk mengamati objek panjang, licin dan bergerak. Sifat-sifat tersebut diamati melalui deria
mata dan dipadankan dengan sifat tersebut iaitu ular.

5

Oleh yang demikian, walaupun setiap individu mempunyai organ deria yang sama,
penerimaan rangsangan mungkin berbeza justeru pengamatan juga turut akan berbeza. Jika
seseorang itu kurang sihat maka pengamatannnya akan turut terjejas. Menurut Krech (2002)
pengamatan merupakan proses memberikan erti terhadap lingkungan persekitaran individu.

Istilah ‘penanggapan’ dalam kamus dewan bermaksud ‘pencerapan’. Ianya didefinisikan
sebagai tanggapan mental sesuatu objek, konsep atau ciri-ciri melalui deria, kesedaran dan
kefahaman. Mengikut Solso (2001), konsep merupakan bayangan mental, idea dan proses,
manakala pembentukan konsep pula adalah terhasil daripada ketajaman fikiran individu
dalam mengklasifikasikan objek-objek atau idea-idea. Dalam proses pembelajaran
pembentukan konsep atau penanggapan adalah sangat penting. Ianya memudahkan
konsep itu diingat dengan mudah, menganalisis, menghubung dengan situasi yang lain dan
mengumpulkan maklumat yang berguna dan dapat menyelesaikan masalah untuk tujuan
tertentu. Mengikut Bruner (1967), konsep adalah kategori-kategori mental yang membantu
dalam proses mengklasifikasikan objek, peristiwa atau idea-idea berasaskan ciri-ciri
khasnya. Ianya melibatkan murid-murid membanding beza dan mengkategorikan ciri-ciri
untuk sesuatu konsep. Contohnya, murid dapat mengklasifikasikan sifat-sifat khusus haiwan
bertulang belakang dan yang tidak bertulang belakang.

Terdapat beberapa faktor yang membentuk penanggapan iaitu pengalaman akan membantu
seseorang murid itu membentuk konsep. Satu rangsangan atau pengalaman yang dialami
akan dikodkan dengan lebih mudah. Umpamanya, seorang anak nelayan dalan
mengkategorikan ciri-ciri ikan tempatan dengan mudah.

Selain itu, melalui imaginasi yang merupakan kebolehan mental seseorang untuk
membayangkan sesuatu walaupun objek yang tidak berada di depan mata namun oleh
kerana daya imaginasi yang tinggi akan memudahkan seseorang murid dapat memahami
dan mentafsirkan konsep yang abstrak. Contohnya, murid menonton dokumentari kemajuan
yang dicapai oleh manusia abad ke-20, mereka dapat membayangkan kemajuan yang bakal
dicapai oleh manusia pada abad ke-21.

Disamping itu, penguasaan bahasa juga adalah sangat penting kerana dalam pembentukan
konsep perbendaharaan kata dan pengungkapan ayat, penggunaan ayat dan struktur ayat
yang baik sahaja yang dapat menggambarkan sesuatu konsep dengan tepat. Teori Pelbagai
Kecerdasan berpendapat bahawa orang yang mempunyai kecerdasan ini menggunakan
bahasa secara berkesan sama ada lisan ataupun tulisan dalam mentafsirkan konsep.
Kemudian, konsep itu haruslah disertai dengan kejelasan fakta yang sahih supaya

6

pengajaran dan pembelajaran seorang guru itu berkesan contohnya bunga mempunyai
warna yang pelbagai dan tangkai yang terletak dihujungnya. Kemudian, disertai dengan
contoh-contoh yang mudah supaya murid dapat memahami apa yang disampaikan oleh
guru.

Selain itu kecerdasan mental menurut Piaget yang merujuk kepada mental untuk mengubah
persekitarannya supaya memenuhi kehendaknya. Ia melibatkan pemikiran yang peringkat
tinggi seperti menganalisis, mensintesis pengalaman baru dan lama, membuat penilaian dan
sebagainya. Oleh itu, kecerdasan murid-murid memudahkan penanggapan sesuatu konsep
contohnya, murid tahun 1 menganalisis perbezaan bentuk yang terdapat antara burung dan
ayam.

Oleh yang demikian, dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pengamatan dan
penanggapan merupakan dua perkara yang mempunyai hubung kait yang dapat
meningkatkan tahap kognitif murid-murid. Tanpa kedua-dua perkara tersebut, murid begitu
sukar untuk memahami konsep dan isi kandungan pelajaran yang disampaikan oleh guru
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Berikut adalah cara-cara meningkatkan penanggapan :

Membimbing murid Menggunakan bahan- Membimbing murid
berdasarkan pendekatan bahan konkrit untuk berdasarkan kaedah
daripada konsep sedia ada mengaitkannya dengan induktif dan deduktif.
kepada konsep baru dan perwakilan simbol.
daripada konsep mudah
kepada konsep kompleks.

Memeringkatkan isi Cara-cara Membimbing pelajar-pelajar
pelajaran. Meningkatkan menggunakan analogi.
Penanggapan
Mengajar menggunakan Menolong murid menguasai
carta / gambar rajah Menggunakan kaedah bahasa untuk digunakan
inkuiri-penemuan untuk membentuk konsep baru.
sebelum mengkaji situasi membentuk konsep yang
sebenar.
lebih tinggi.

7

TUGASAN

1. Bincangkan implikasi persepsi dan penanggapan terhadap pengajaran dan
pembelajaran.

INGATAN DAN LUPAAN

Ingatan merupakan proses kebolehan manusia untuk menerima maklumat, memproses dan
menyimpankannya dalam otak, kemudian mengeluarkannya apabila diperlukan. Contohnya,
menyelesaikan masalah atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran selanjutnya. Ingatan
merujuk kepada keupayaan menerima maklumat, menyimpan maklumat dan mengeluarkan
maklumat apabila diperlukan pada bila-bila masa. Ingatan dapat dibahagikan kepada tiga
proses iaitu pengekodan, penyimpanan dan pengeluaran semula maklumat. Ingatan berupa
aktiviti utama dalam struktur kognitif atau otak untuk menguruskan maklumat yang diterima
melalui penderitaan dan pengalaman secara teratur dan sistematik dalam minda.

Atkinson dan Shiffrin mengklasifikasikan ingatan kepada tiga komponen utama, iaitu stor
ingatan sensori, ingatan jangka pendek, dan ingatan jangka panjang. Mengikut mereka
ingatan sensori boleh menerima kuantiti maklumat yang banyak tetapi hanya dapat disimpan
dalam masa yang singkat. Sebahagian kecil maklumat yang diamati akan disalurkan kepada
ingatan jangka pendek, yang dapat menyimpan maklumat secara automatik tanpa latihan
mengingat dalam tempoh 20-30 saat sahaja. Untuk menyimpan maklumat ini, ingatan
jangka pendek hendaklah dilatih berulang-ulang untuk mengingat, enkod dan
memindahkannya kepada ingatan jangka panjang, yang mana dapat disimpan dalam
tempoh yang lebih lama, kadang-kadang beberapa tahun atau sepanjang hayatnya
bergantung kepada jenis atau nilai maklumat terhadap individu berkenaan.

Ingatan sensori juga dikenali sebagai ingatan deria kerana ia berfungsi sebagai rakaman
deria. Masa proses ingatan sensori ini adalah sangat singkat biasanya berlaku beberapa
saat sahaja. Ini adalah kerana ransangan yang diterima sampai ke bahagian organ deria
tidak akan kekal lama tetapi dihantar terus ke stor ingatan jangka pendek dengan serta
merta. Sekiranya maklumat yang diterima dianggap kurang penting contohnya benda-benda
yang dilihat sepintas sahaja semasa dalam perjalanan rakaman derianya bersama dengan
ingatan jangka pendek akan hilang imejnya, dalam masa beberapa saat sebagai lupaan.

8

Ingatan jangka pendek berfungsi menerima maklumat dari ingatan sensori untuk diproses
untuk sementara waktu sahaja, iaitu dalam 15-30 saat sahaja. Ia menggunakan tempoh
yang singkat ini untuk memerhati maklumat yang berguna mengekodkannya dalam satu
sistem yang mudah diingat kemudian menghantarnya ke stor ingatan jangka panjang.
Maklumat yang tidak diberi perhatian biasanya dianggap kurang penting ataupun kurang
berguna akan lenyap dalam proses lupaan. Contohnya dalam segala aktiviti penyampaian
isi pelajaran guru yang diterima oleh ingatan sensori murid bukan semuanya akan diberi
perhatian dalam ingatan jangka pendek, dan maklumat ini tidak akan diproses tetapi lenyap
dalam proses lupaan. Kadangkala, maklumat tidak belum sempat dihantar ke ingatan jangka
panajng, tetapi dipanggil semula dengan serta-merta, misalnya menjawab soalan guru
sebaik sahaja selepas pengajarannya.

Ingatan jangka panjang berfungsi menerima dan proses maklumat yang telah diekodkan
secara kasar dari ingatan jangka pendek untuk disimpan dalam masa yang lebih lama
mungkin di antara beberapa minit hingga bertahun-tahun. Maka maklumat yang diterima
akan diproses semula dan dipindahkan kepada satu sistem yang lebih mudah lebih
sistematik dan lebih sempurna seperti dalam sistem fail yang dibahagikan mengikut jenis
dan kategori supaya mudah disimpan dan mudah dikeluarkan.

TUGASAN

1. Bahan pengajaran, kaedah pengajaran dan peribadi merupakan faktor yang
mempengaruhi ingatan. Dengan menggunakan sumber yang pelbagai huraikan
faktor-faktor tersebut.

2. Cadangkan aktiviti proses mengingat yang berkesan dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran.

3. Cuba anda cari kajian yang berkaitan kefungsian otak dan kaitannya dengan faktor
ingatan. Bina pemahaman anda dalam lakaran yang sesuai.

9

Proses lupaan adalah bertentangan dengan proses ingatan. Segala maklumat yang telah
diterima dalam stor ingatan tetapi tidak dapat diingat atau dikeluarkan kembali sebagai
tindak balas adalah dilenyapkan dalam proses lupaan. Menurut Erikson (1963), lupaan
merupakan satu motif di mana maklumat yang tertentu sengaja dilupai kerana dianggap
tidak penting, kurang seronok atau tidak berguna berdasarkan kesedaran mental seseorang.
Maka lupaan ditafsir sebagai kelenyapan atau kehilangan dalam persepsi seseorang
terhadap maklumat-maklumat yang telah dipelajari.

Jenis-jenis lupaan adalah seperti yang berikut :

Bil Jenis Penerangan
1 Lupaan keusangan
Berlaku apabila maklumat yang disimpan dalam ingatan
2 Lupaan kegagalan jangka panjang dilupai akibat jarang digunakan. Ini
bermaksud kod-kod maklumat yang disimpan tidak aktif
dan tidak dipanggil semula.

Di mana individu-individu gagal untuk memanggil semula
maklumat yang spesifik. Setiap kali manusia mempelajari
maklumat baru, otak akan mewujudkan satu tanda halus
ingatan untuk maklumat tersebut. Jika maklumat ini tidak
dilatih dan dipanggil balik, ia akan lama kelamaan hilang
begitu sahaja.

3 Lupaan penggantian Berlaku apabila maklumat baru menggantikan segala
ingatan yang lama. Sebagai contoh, pembelajaran rumus
matematik yang dapat dikira secara pendek akan
menggantikan pembelajaran rumus matematik sama yang
lebih panjang dan yang mengelirukan.

4 Lupaan gangguan Lupaan yang berlaku akibat gangguan yang berlaku akibat
pembelajaran baru atau pembelajaran lama. 2 jenis
lupaan gangguan iaitu gangguan retroaktif dan proaktif.
Gangguan retroaktif adalah gangguan yang berlaku akibat
pembelajaran baru mengganggu pembelajaran lama.
Justeru itu maklumat pembelajaran lama dilupakan. Ia
berlaku apabila bahan pembelajaran yang lama tidak
difahami dengan baik atau belum mencapai tahap
pembelajaran yang berkesan. Oleh itu pembelajaran yang
baru akan mengganggu pembelajaran yang lama.
Gangguan proaktif pula ialah pembelajaran lama yang
kekal dan mantap dalam fikiran mengganggu
pembelajaran baru. Ini bermakna seseorang itu mungkin
enggan untuk menerima pembelajaran baru.

10

5 Lupaan desakan Berlaku akibat sesuatu pengalaman pahit atau sesuatu
peristiwa yang menyakitkan. Oleh itu, individu akan
sengaja menolaknya ke otak sebagai mekanisme helah
bela diri.

6 Lupaan kebimbangan Lupaan ini berlaku dalam keadaan yang tertekan seperti
dan ketakutan
individu yang bimbang atau semasa murid-murid berada di

dalam dewan peperiksaan. Lupaan ini berlaku apabila

murid-murid tidak dapat mengingati nota-nota penting dan
proses ini dikenali sebagai “mental block”.

7 Lupakan ledakan Maklumat yang terlalu banyak untuk dipelajari dan yang
maklumat tidak mempunyai kaitan di antara satu sama lain juga
boleh menyebabkan proses lupaan. Fikiran murid-murid
buntu dan menyebabkan mereka panik dan melupai fakta-
fakta yang penting.

8 Kegagalan untuk Maklumat penting dilupakan apabila tidak sampai ke
menyimpan dalam ingatan jangka panjang. Kegagalan dalam proses
enkoding menghalang maklumat daripada memasuki
ingatan jangka panjang.

Lupaan dikatakan sebagai kegagalan mengeluarkan kembali maklumat yang tersimpan di
dalam ingatan. Kegagalan mencungkil dan mengeluarkan semula maklumat untuk
digunakan boleh berlaku atas pelbagai faktor yang berikut :

i. Faktor minat. Kebanyakan perkara yang tidak diminati oleh pelajar akan mudah
dilupai oleh mereka kerana mereka tidak memberi penumpuan 100% semasa guru
mengajar. Mereka juga kurang berminat untuk melihat perkaitan bahan yang telah
dipelajari dan ini boleh menyebabkan mereka lupa dengan mudah.

ii. Perasaan takut dan bimbang. Pelajar yang berperasaan takut dan bimbang amat
sukar untuk mengingat kembali fakta yg diajar oleh guru. Guru yang garang dan tidak
peramah juga akan menyebabkan keupayaan pelajar untuk berfikir dan mengingati
pelajaran terjejas.

iii. Peredaran masa. Makin lama jarak di antara masa sesuatu bahan yang dipelajari
dan diingat kembali, semakin kabur maklumat yang disimpan dalam ingatan jangka
panjang pelajar. Kesan ingatan (memory trace) beransur lemah, pengaburan berlaku
dengan peredaran masa yang lama maklumat tersebut akan hilang dari ingatan.

iv. Keusangan. Persekitaran yang berubah akan menyebabkan kesukaran mengingat
kembali peristiwa atau pengalaman lama yang berkaitan dengan dirinya. Maklumat
lama yang disimpan dalam ingatan jangka panjang akan usang dan tidak sesuai
digunakan di dalam persekitaran yang baru. Contohnya Ahmad mempunyai
pengalaman manis tentang kampungnya. Namun selepas dia balik 25 tahun
kemudian dia mendapati kampungnya sudah berubah dengan pesat. Maklumat lama
dalam ingatan jangka panjangnya sudah tidak boleh digunakan lagi.

11

v. Pengalaman yang pahit. Individu mengelakkan pengalaman yang pahit dengan
menolak pengalaman pahit secara sengaja kepada bahagian otak tidak sedarnya
kerana tidak mahu mengingatinya lagi. Maklumat ini tersimpan kekal dalam ingatan
tetapi tidak timbul ke paras otak sedar manusia. Ini merupakan satu cara helah bela
diri manusia untuk menyesuaikan diri kepada persekitarannya.

vi. Masa yang tidak cukup untuk mengingat. Jika guru meminta jawapan dengan segera
maka pelajar tidak dapat menjawab soalan dengan betul. Ini kerana pelajar berasa
tertekan dan otak memerlukan masa yang cukup ingat kembali sesuatu fakta.

vii. Aras keyakinan. Aras keyakinan yang tinggi memudahkan proses ingatan manakala
aras keyakinan yang rendah memudahkan proses lupaan. Contohnya guru yang
berkeyakinan dalam menyampaikan isi pengajarannya akan melancarkan proses
pengajaran dan pembelajaran.

viii. Kekurangan kejelasan kepada ingatan. Maklumat baru tidak dapat diintegrasikan ke
dalam struktur kognitif dengan baik kerana penerangan guru kurang baik dan
kefahaman pelajar adalah rendah. Maklumat baru ini tidak dapat dikaitkan dengan
baik kepada pengetahuan sedia ada pelajar. Oleh itu, konsep-konsep yang diajar
guru perlulah dikategorikan secara berkesan untuk menentukan kelicinan kepada
ingatan.

ix. Gangguan proaktif dan gangguan retroaktif. Gangguan proaktif berlaku apabila
pembelajaran lama mengganggu pembelajaran baru. Gangguan retroaktif pula
berlaku apabila pembelajaran lama masih tidak difahami dengan baik namun guru
telah mengajar pembelajaran yang baru.

x. Banyak maklumat yang perlu diingati. Pelajar akan menghadapi kesukaran untuk
mengingat jika terlalu banyak maklumat yg perlu diingati. Ini biasa berlaku semasa
musim peperiksaan apabila terlalu banyak fakta atau isi pembelajaran yang perlu
diingati. Fikiran akan buntu dan tertekan dan akan menyebabkan lupaan.

TUGASAN

1. Nyatakan kaedah mengingat yang telah anda praktikkan pada murid semasa sesi
pengajaran.

2. Huraikan cara yang efektif mengurangkan lupaan atau meningkatkan daya ingatan.

12

PEMINDAHAN PEMBELAJARAN

Pemindahan pembelajaran merujuk pembelajaran dalam satu konteks atau situasi
mempengaruhi atau pencapaian dalam konteks atau situasi lain. Pembelajaran dalam
konteks juga melibatkan melibatkan bahan sumber yang berbeza. Oleh sebab itu
pemindahan pembelajaran juga berupa pembelajaran yang menggunakan satu set bahan
bahan sumber yang mempunyai impak terhadap pembelajaran dengan menggunakan set
bahan sumber lain yang berkaitan. Dalam hal ini, pemindahan pembelajaran dapat
dilaksanakan dalam apa-apa jua situasi dan apa-apa juga jenis pengetahuan sedia ada.
Yang penting ialah bagaimana pemindahan itu dapat dilakukan oleh seseorang.

Pemindahan pembelajaran terbahagi kepada dua iaitu pemindahan positif dan negatif
(positive and negative), pemindahan vertikal dan lateral (vertical and lateral), pemindahan
dekat dan jauh (near and far), pemindahan spesifik dan umum (specific and general)
(Ormrod, 2008). Pemindahan positif adalah apabila pelajaran yang telah dipelajari dapat
membantu pembelajaran akan datang. Sebagai contoh dalam pembelajaran bermakna,
pelajaran yang telah dipelajari digunakan untuk memahami dan mengingati idea-idea baru
(Ausubel et al., 1978; Brooks & Dansereau, 1987). Pemindahan negatif pula adalah
pelajaran yang telah dipelajari tetapi tidak dapat digunakan dalam suatu situasi yang baru
(Ormrod, 2008).

Pelajaran baru yang dibina atas asas suatu pelajaran dinamakan pemindahan vertikal
(Ormrod, 2008). Ia juga boleh dikatakan bahawa pengetahuan yang telah dipelajari dalam
suatu situasi mempengaruhi secara langsung pelajaran yang berikutnya (Royer, Mestre, &
Dufresne, 2005). Sebagai contoh sebelum pelajar belajar cara menganalisis graf gerakan,
pelajar perlu tahu melukis graf gerakan. Pemindahan lateral pula adalah pelajaran awal tidak
mempengaruhi pelajaran yang seterusnya, di mana pelajaran yang telah dipelajari sebelum
ini tidak mempunyai kaitan dengan pelajaran yang akan dipelajari di masa akan datang
(Ormrod, 2008).

Pemindahan dekat adalah pemindahan pembelajaran yang melibatkan situasi yang
mempunyai ciri dan hubungan konsep yang sama. Sebagai contoh pelajar diminta mencari
nilai pecutan bagi sebuah kereta dalam situasi yang berlainan. Manakala pemindahan jauh
pula melibatkan dua masalah atau situasi yang sama hubungan konsep tetapi berbeza dari
segi ciri-ciri jalan ceritanya. Pemindahan dekat dikatakan melibatkan situasi yang dipelajari
di sekolah manakala pemindahan jauh dikatakan pelajaran yang melibatkan situasi di luar
sekolah (Royer, Mestre, &Dufresne, 2005). Pemindahan dekat dan jauh ini juga adalah
contoh bagi pemindahan spesifik. Bagi pemindahan umum atau tidak spesifik pula adalah
tugasan asal dan tugasan yang dipindahkan mempunyai struktur dan kandungan yang
berbeza (Ormrod, 2008). Ia juga dinyatakan sebagai suatu situasi di mana dua pelajaran
yang dipelajari tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain. Dalam pembelajaran tingkah
laku, pemindahan umum ini juga disamakan dengan “pembelajaran untuk belajar” (learning
to learn) (Royer, Mestre, & Dufresne, 2005).

13

Menurut Royer, Mestre & Dufresne (2005) lagi semua jenis pemindahan pembelajaran ini
melibatkan situasi di mana terdapat persamaan rangsangan (stimulus) yang jelas antara
syarat (condition) pembelajaran sekarang dan syarat (condition) pembelajaran yang akan
datang. Kebiasaannya untuk menggalakkan pemindahan mengikut jenis, penyelidik atau
pendidik akan memilih dan menyusun rangsangan (stimulus) yang bersesuaian dengan
pembelajaran bersyarat (conditional learning) untuk mengenalpasti kesan dalam
pembelajaran.

TUGASAN

1. Dengan menggunakan peta i-Think yang sesuai, perincikan faktor-faktor yang
mempengaruhi pemindahan pembelajaran.

2. Jelaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang membolehkan pemindahan
positif berlaku.

3. Huraikan implikasi pemindahan pembelajaran terhadap pengajaran dan
pembelajaran.

14


Click to View FlipBook Version