The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

PENULISAN AKADEMIK EDUP3073

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by pju19_e502, 2021-04-08 11:36:26

PENULISAN AKADEMIK

PENULISAN AKADEMIK EDUP3073

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU
59990 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR

PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN
(AMBILAN JUN 2019 SEMESTER 4)

 _____________________________________________________________________
BUDAYA DAN PEMBELAJARAN
EDUP3073

NAMA FATIN NUR ELYANI BINTI AMIRUZI
ANGKA GILIRAN  
NO. KAD PENGENALAN
2019192340004

001020090088

KUMPULAN E1
TAJUK TUGASAN  PENULISAN AKADEMIK (NPDL)
NAMA PENSYARAH MOHD ZAKUAN BIN ABDULLAH

TARIKH MULA 15 MAC 2021
TARIKH HANTAR 8 APRIL 2021

ISI KANDUNGAN MUKA SURAT

1.0 PENGENALAN 3

2.0 KONSEP MESRA BUDAYA 3

3.0 LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN BILIK DARJAH MESRA BUDAYA 4

3.1 ASPEK FIZIKAL 4

3.2 ASPEK EMOSI 6

3.3 ASPEK SOSIAL 8

3.4 ASPEK SOSIOLINGUISTIK 9

4.0 PENUTUP 11

RUJUKAN

2

1.0 PENGENALAN

Dewasa ini, peranan guru dalam mendidik generasi muda yang seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial tidak boleh dipandang enteng oleh
masyarakat. Hal ini kerana, tanggungjawab yang dipikul oleh guru amatlah besar
terutamanya dalam mendidik generasi muda di sebuah negara yang mempunyai
kepelbagaian sosiobudaya ini. Jika para guru tidak mengambil berat berkenaan status
sosiobudaya yang dimiliki oleh murid yang diajar, hal ini akan mengakibatkan berlakunya
salah faham dalam proses pengajaran dan pembelajaran itu berlaku sehingga
mengganggu konsentrasi guru dan murid dalam suatu proses PdP. Bertitik tolak dalam
hal ini, peranan guru ini bermula dengan pengurusan bilik darjah yang kondusif. Dalam
mengatakan terma kondusif disini, bukan sahaja dari segi persekitaran dan kemudahan
peralatan, tetapi merangkumi keseluruhan aspek mesra budaya yang dapat disesuaikan
dengan situasi dan kepelbagaian sosiobudaya murid. Dalam pada itu, amatlah penting
bagi seseorang guru itu untuk memahami konsep mesra budaya dengan baik agar
proses PdP yang berlaku di dalam bilik darjah itu dapat berjalan dengan lancar
sekaligus dapat mewujudkan semangat bekerjasama dan bersatu padu dalam kalangan
murid. Oleh itu, penulisan pada kali ini akan menghuraikan konsep mesra budaya serta
pelaksanaannya dalam bilik darjah dari aspek fizikal, emosi, sosial, dan sosiolinguistik.

2.0 KONSEP MESRA BUDAYA

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mendefinisikan perkataan mesra sebagai
percampuran ataupun sebati manakala budaya pula merupakan kemajuan fikiran
ataupun akal budi melalui cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Berdasarkan
takrifan bagi kedua-dua perkataan ini, dapat dilihat bahawa mesra budaya merupakan
suatu percampuran dari segi cara berkelakuan, cara berfikir dan sebagainya untuk
disebatikan dalam suatu golongan masyarakat tersebut. Percampuran yang sebati ini
juga membawa makna keselesaan yang dihadapi semasa menjalankan sebarang aktiviti
kehidupan meskipun dalam suasana yang berlainan budaya. Hal ini juga disokong
dengan pendapat Noriati A. Rashid et. al (2017) yang mendefinisikan mesra budaya
sebagai suatu perlakuan yang boleh menjurus kepada kegembiraan dan keselesaan
dalam suatu kalangan masyarakat tersebut. Bertitik tolak dalam hal ini, konsep mesra
budaya ini sememangnya perlu diaplikasikan oleh guru di dalam bilik darjah dengan
menggabungkan elemen emosi serta hubungan antara manusia agar dapat
mewujudkan suasana pembelajaran yang positif dan harmoni. Hal ini kerana, konsep

3

mesra budaya ini menitikberatkan nilai-nilai sivik dalam kehidupan iaitu hormat-
menghormati, kasih sayang, bekerjasama, toleransi dan sebagainya. Ini adalah sangat
penting sebagai nadi dan penggerak dalam kehidupan masyarakat yang hidup dalam
suasana harmoni dan aman sentosa sama ada pada peringkat nasional mahupun global
(Syed Ismail & Ahmad Subki Miskon, 2010). Oleh itu, jelaslah disini bahawa konsep
mesra budaya ini perlu diterjemahkan oleh guru dalam pengurusan bilik darjah yang
kondusif supaya dapat menimbulkan suasana kegembiraan dan kemesraan dalam
kalangan murid yang terdiri daripada kepelbagaian sosiobudaya.

3.0 LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN BILIK DARJAH MESRA BUDAYA

Dalam membicarakan perihal pengurusan bilik darjah, terdapat pelbagai langkah yang
boleh dilakukan oleh guru untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang mesra budaya.
Langkah-langkah ini tidak boleh tertumpu kepada satu aspek sahaja tetapi perlulah
merangkumi keempat-empat aspek fizikal, emosi, sosial, dan sosiolinguistik secara
menyeluruh supaya tiada murid yang akan tercicir dan ketinggalan hanya disebabkan
kepelbagaian sosiobudaya yang dimiliki oleh mereka.

3.1 ASPEK FIZIKAL

Fizikal bermaksud kebendaan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
Berdasarkan takrifan ini, dalam menerapkan konsep mesra budaya, guru
perlulah memberikan perhatian terhadap struktur kelas dengan melaksanakan
langkah penyusunan tempat duduk ciri abad ke-21 iaitu percampuran murid yang
berlainan sosiobudaya. Hal ini kerana, persekitaran bilik darjah dapat
mempengaruhi proses PdP (Che Nidzam, 2011). Melalui langkah ini, guru boleh
menyusun meja murid dalam berkumpulan iaitu empat orang murid dalam satu
kumpulan dengan menghadap antara satu sama lain. Tambahan pula, langkah
ini perlulah diperkukuhkan dengan guru menetapkan murid pada tempat duduk
masing-masing dengan mencampurkan murid yang berlainan kaum dan etnik
dalam satu kumpulan meja tersebut. Misalnya, guru menyusun tempat duduk
murid yang terdiri daripada 2 orang murid kaum Melayu, seorang murid kaum
India dan seorang murid kaum Cina dalam satu kumpulan meja tersebut. Melalui
langkah ini, konsep mesra budaya dapat diaplikasikan apabila murid-murid tidak
berkelompok dalam kelompok kaum yang sama sahaja, tetapi dapat
mewujudkan dan mengeratkan pergaulan dengan rakan-rakan yang berlainan

4

kaum dan budaya supaya persekitaran bilik darjah tersebut dapat menjadi lebih
seimbang dengan percampuran dan interaksi dalam kalangan kaum yang
berbeza. Bukan itu sahaja, percampuran murid yang berlainan kaum melalui
susunan tempat duduk ini juga dapat membuka peluang kepada murid untuk
saling berkongsi pengalaman dan cerita berkenaan budaya masing-masing
justeru dapat mengelakkan isu perkauman dalam kalangan murid di dalam bilik
darjah. Oleh itu, hal ini jelaslah dapat dilihat bahawa langkah guru yang
menyusun tempat duduk murid melalui cara mencampurkan murid-murid
berlainan kaum dalam satu kumpulan dapat membawa kepada pengurusan bilik
darjah yang mesra budaya dan kondusif bagi murid.

Selain itu, guru juga perlulah menyediakan dan memastikan kemudahan
di dalam kelas adalah mencukupi dan tersedia untuk setiap murid. Hal ini bagi
membantu murid untuk menjalani proses PdP dengan lebih selesa dan terkawal.
Guru yang baik boleh menilai perubahan yang berlaku dengan mengetahui
keperluan murid di dalam bilik darjah (Che Nidzam et. al, 2016). Misalnya, guru
perlulah memeriksa sama ada setiap murid telah mendapat tempat duduk
masing-masing iaitu melalui kemudahan meja dan kerusi bagi setiap mereka. Hal
ini adalah penting supaya murid yang mempunyai status sosioekonomi yang
berbeza tidak berasa rendah diri dan kurang bersemangat semasa berada di
dalam kelas. Ini kerana, jika terdapat seorang murid yang tidak mendapat kerusi
dan meja bagi dirinya, pada masa yang sama menyedari bahawa dirinya
mempunyai sedikit kekurangan dari segi status sosioekonomi berbanding
rakan-rakannya, hal ini akan menjadikannya berasa tidak dihargai dan tidak
mahu bergaul dengan rakan-rakannya yang lain. Situasi ini menunjukkkan
betapa pentingnya peranan dan langkah guru dalam aspek fizikal iaitu dari segi
kemudahan-kemudahan peralatan di dalam bilik darjah supaya tidak
meruntunkan semangat murid untuk belajar. Malah, konsep mesra budaya dapat
dilihat di sini apabila melalui guru meraikan setiap murid di dalam bilik darjah
tersebut dengan tidak meminggirkan seorang pun terutamanya dalam
membicarakan perihal penyediaan kemudahan peralatan di dalam bilik darjah.
Hal ini kerana, setiap murid akan berasa dihargai dan selesa untuk menyertai
proses PdP apabila mereka tidak memikirkan berkenaan perbezaan sosiobudaya
seperti perbezaan status sosioekonomi misalnya apabila hadir ke sekolah. Bukan
itu sahaja, kekurangan prasarana dan kemudahan sekolah merupakan antara

5

faktor yang menyebabkan pencapaian rendah murid terutamanya di kawasan
luar bandar (Zalika, Faridah, & Mohamad Johari, 2009). Oleh itu, jelaslah
bahawa, dalam menguruskan bilik darjah yang menepati konsep mesra budaya,
guru perlulah menitikberatkan langkah penjagaan aspek fizikal seperti
penyediaan kemudahan peralatan di dalam bilik darjah yang mencukupi bagi
setiap pelajar.

3.2 ASPEK EMOSI

Seterusnya, setelah membicarakan perihal aspek fizikal, kini tibalah masa
untuk menghuraikan berkenaan langkah-langkah pengurusan bilik darjah yang
mesra budaya dari aspek emosi. Aspek ini merupakan salah satu aspek yang
amat penting untuk dititikberatkan kerana emosi amatlah berkait rapat dengan
kehidupan peribadi seseorang murid tersebut. Dalam pada itu, salah satu
langkah yang boleh dilakukan oleh guru dengan mengaplikasikan konsep mesra
budaya adalah dengan guru menjaga setiap pertuturan kata yang dilontarkan
semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Hal ini kerana,
kata-kata yang baik dapat menjadikan murid berasa lebih selesa dan gembira
semasa proses PdP berlangsung. Contohnya, guru boleh memberikan pujian
dan kata-kata semangat kepada semua murid setelah berjaya menyelesaikan
tugasan. Hal ini kerana, pendekatan pembelajaran yang digunakan oleh guru
sama ada pujian ataupun dendaan memberikan impak yang sangat mendalam
terhadap pembelajaran murid (Welberg, 1984). Tambahan pula, jika dikaitkan
dengan konsep mesra budaya ini, guru perlulah menjaga tutur kata dengan baik
supaya tidak menyentuh isu-isu sensitif yang berkaitan dengan kepelbagaian
sosiobudaya murid. Misalnya, jika guru ingin mengajarkan tema kemasyarakatan
kepada murid, guru tidak boleh menghina atau menyebutkan sesuatu yang
bersifat perkauman terhadap suatu budaya tersebut. Hal ini adalah amat penting
supaya tidak menimbulkan sebarang pertelingkahan dan salah faham dalam
kalangan murid sekaligus membuatkan suasana bilik darjah berubah menjadi
tegang. Sikap pilih kasih mengikut etnik serta sikap pandang rendah terhadap
etnik lain oleh guru kelas dilihat sebagai antara faktor utama yang boleh
menghalang hubungan antara guru dengan murid di dalam bilik darjah (Suresh
Kumar, 2016). Situasi ini akan mengganggu emosi murid untuk belajar akibat

6

kata-kata guru yang tidak bersesuaian dengan situasi kehidupan yang dialami
oleh mereka.

Bukan itu sahaja, apabila membicarakan perihal emosi, langkah
seterusnya yang boleh dilaksanakan oleh guru adalah dengan guru bersikap adil
terhadap setiap murid tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, kaum,
budaya, jantina, bahasa dan sebagainya. Keadilan yang ditunjukkan oleh guru ini
adalah penting bagi mengelakkan sebarang perlakuan pilih kasih guru terhadap
mana-mana murid supaya tiada murid yang akan berasa tersinggung. Misalnya,
jika guru ingin mengajukan soalan kepada murid, guru boleh menggunakan
aplikasi permainan 'Roda Nasib' untuk memilih nama-nama murid supaya tidak
berlaku isu ketidakpuasan hati dan pertikaian kerana guru tidak memilih nama
murid berdasarkan kehendak dirinya. Hal ini juga dapat mengelakkan guru
daripada memilih murid yang mempunyai latar belakang kaum yang sama sahaja
misalnya supaya dapat mengelakkan murid berasa rendah diri ataupun tidak
bersemangat semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Malah, konsep
mesra budaya telah diaplikasikan oleh guru dalam langkah ini apabila guru
memastikan setiap murid di dalam bilik darjah itu berasa selesa dan gembira dari
segi emosi apabila guru mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan
unsur ketidakadilan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah
kerana guru tidak memilih kasih dalam memilih murid untuk menjawab soalan
dengan tidak memfokuskan kepada segolongan murid yang mempunyai latar
belakang sosiobudaya yang sama sahaja. Oleh itu, benarlah bahawa langkah
guru dalam bersikap adil terhadap semua murid tanpa memilih kepelbagaian
sosiobudaya yang dimiliki oleh murid merupakan salah satu langkah pengurusan
bilik darjah yang mengimplimentasikan konsep mesra budaya dalam kalangan
guru dan murid.

7

3.3 ASPEK SOSIAL

Kemudian, bertitik tolak pula kepada aspek sosial, salah satu langkah
guru yang boleh dilaksanakan sebagai pengurusan bilik darjah yang mesra
budaya, guru perlulah mempelbagaikan aktiviti PdP dengan melaksanakan
aktiviti secara berkumpulan dalam kalangan murid. Aktiviti secara berkumpulan
ini boleh mengeratkan hubungan persahabatan antara murid tanpa mengira
kaum, budaya, sosioekonomi, jantina dan sebagainya apabila murid-murid saling
bekerjasama untuk menyelesaikan aktiviti yang diberikan oleh guru. Misalnya,
antara kepelbagaian aktiviti secara berkumpulan yang boleh dilaksanakan oleh
guru adalah aktiviti nyanyian, lakonan, tarian yang dijalankan secara
berkumpulan yang terdiri daripada murid yang mempunyai sosiobudaya yang
berbeza. Ini boleh dijalankan dengan aktiviti tarian misalnya, iaitu guru meminta
setiap kumpulan untuk mempersembahkan tarian tradisional bagi kaum-kaum
tertentu seperti tarian tradisional bagi kaum Melayu, kaum Cina, kaum India, dan
kaum Iban. Melalui aktiviti ini, murid-murid dapat meraikan kepelbagaian budaya
kaum lain dengan mempelajari jenis tarian tradisional bagi kaum-kaum lain. Hal
ini sekaligus dapat membuatkan murid-murid yang berlainan kaum berasa
dihargai sekaligus dapat mewujudkan sikap bekerjasama dan perpaduan dalam
kalangan murid. Aktiviti ini jelaslah menerapkan konsep mesra budaya di dalam
bilik darjah apabila murid-murid yang mempunyai kepelbagaian sosiobudaya
berasa gembira dan dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan
menyeronokkan meskipun mempunyai budaya yang pelbagai. Bukan itu sahaja,
melalui aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan oleh guru ini, semangat
kerjasama,toleransi, hormat-menghormati dan bersatu padu dapat diterapkan
oleh murid dalam kalangan murid dengan mengaplikasikan konsep mesra
budaya supaya aspek sosial yang melibatkan hubungan dan interaksi dalam
kalangan murid ini dapat berlaku meskipun dalam kalangan murid yang berlainan
sosiobudaya. Penglibatan aktif murid dalam proses PdP bagi menyelesaikan
tugasan dapat memberikan kesan yang positif terhadap murid (Che Nidzam et.
al, 2016). Oleh itu, dapatlah dilihat disini bahawa langkah guru yang
mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui aktiviti
berkumpulan ini dapat membantu guru untuk menguruskan bilik darjah yang
mesra budaya.

8

3.4 ASPEK SOSIOLINGUISTIK

Aspek yang seterusnya adalah aspek sosiolinguistik. Aspek ini
merupakan suatu bidang yang melibatkan aspek bahasa, struktur serta
penggunaannya yang dikaitkan dengan fungsi-fungsi sosial, dan kebudayaan
dalam sesuatu masyarakat tersebut. Dalam hal ini, langkah yang boleh dilakukan
oleh guru dalam menguruskan bilik darjah yang mesra budaya dari segi
sosiolinguistik adalah melalui guru mendedahkan unsur kepelbagaian bahasa di
dalam bilik darjah. Meskipun kita sedia maklum bahawa Bahasa Melayu
merupakan bahasa kebangsaan yang perlu dituturkan oleh guru sebagai bahasa
perantaraan dalam pertuturan bersama dengan murid yang pelbagai kaum, tetapi
dalam masa yang sama, bagi mewujudkan elemen mesra budaya di dalam
kelas, guru juga perlulah mendedahkan kepada murid berkenaan bahasa-bahasa
yang digunakan oleh kaum-kaum yang lain. Misalnya, guru menjalankan aktiviti
bercerita dengan guru menggunakan beberapa istilah dalam bahasa Mandarin
dan bahasa Tamil sebagai pendedahan kepada murid. Hal ini sekaligus dapat
mendorong murid-murid yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa
Melayu dapat mengajarkan sedikit berkaitan penggunaan istilah yang disebutkan
oleh guru kepada murid lain. Ini sekaligus dapat merancakkan proses PdP
apabila murid-murid dapat berinteraksi antara satu sama lain berkenaan topik
yang disukai oleh mereka. Melalui aktiviti ini, setiap murid di dalam bilik darjah itu
tidak akan berasa dipinggirkan dan diendahkan hanya disebabkan mereka
menggunakan bahasa harian yang berbeza daripada murid-murid lain sekaligus
dapat mewujudkan situasi mesra budaya di dalam bilik darjah apabila
kepelbagaian sosiobudaya yang dimiliki oleh murid tidak menjadi penghalang
kepada mereka untuk menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dengan
baik dan kondusif. Oleh itu, teranglah disini bahawa dalam aspek sosiolinguistik
ini, guru boleh mendedahkan kepada murid berkenaan kepelbagaian bahasa
yang dimiliki oleh kaum-kaum yang terdapat di negara ini dalam proses
mewujudkan pengurusan bilik darjah yang mesra budaya.

Pada masa yang sama juga, guru perlulah mengorak langkah dengan
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan yang digunakan di
dalam bilik darjah. Hal ini kerana, meskipun guru boleh mendedahkan
kepelbagaian bahasa-bahasa lain kepada murid, tetapi guru tidak boleh

9

meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang digunakan
di dalam bilik darjah. Hal ini kerana, konsep mesra budaya ini dapat diwujudkan
apabila murid-murid dapat berinteraksi sesama mereka dengan penggunaan
bahasa perantaraan bahasa yang sama supaya tidak berlaku sebarang ketirisan
maklumat dalam pertuturan. Misalnya, semasa menjalankan proses PdP di
dalam bilik darjah, guru menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
perantaraan untuk memberikan arahan soalan, penerangan berkaitan topik
pembelajaran dan sebagainya. Hal ini sekaligus dapat memantapkan
penggunaan bahasa Melayu dengan lebih baik kerana setiap murid perlukah
mengetahui kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara
ini. Melalui penggunaan bahasa yang sama di dalam bilik darjah, guru dapat
menyatupadukan murid dengan menggalakkan interaksi antara mereka berlaku
dengan lebih baik. Hal ini sekaligus menunjukkan penerapan konsep mesra
budaya di dalam bilik darjah tersebut apabila murid yang mempunyai
kepelbagaian kaum dan budaya dapat mempelajari dan menelusuri penggunaan
bahasa Melayu dengan lebih baik supaya dapat membantu mereka untuk
memahami proses PdP dengan lebih berkesan. Bukan itu sahaja, langkah guru
ini juga boleh diperkukuhkan dengan guru meminta murid-murid yang mahir
berbahasa Melayu untuk mengajarkan dan membimbing murid yang kurang
menggunakan bahasa Melayu supaya mereka dapat memantapkan dan
mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu mereka. Langkah ini juga dilihat amat
berkait dengan langkah guru mendedahkan kepelbagaian bahasa kepada murid
kerana murid saling mengajarkan bahasa ibunda masing-masing supaya murid
dapat menambahkan ilmu pengetahuan mereka dalam kepelbagaian bahasa di
negara ini. Hal ini sekaligus dapat memastikan setiap murid yang berlainan
sosiobudaya berasa selesa untuk belajar di dalam bilik darjah itu apabila guru
bijak dalam mengaplikasikan kepelbagaian bahasa murid sebagai medium untuk
murid mempelajari budaya kaum dan masyarakat lain. Oleh itu, dapat dijelaskan
disini bahawa langkah guru yang menggunakan bahasa perantaraan iaitu
bahasa Melayu di dalam bilik darjah merupakan salah satu langkah yang boleh
dilakukan dalam pengurusan bilik darjah yang mesra budaya.

4.0 PENUTUP

10

Natijahnya, para guru sememangnya memainkan peranan yang sangat besar dalam
merangka dan melaksanakan pengurusan bilik darjah yang menepati konsep mesra
budaya. Hal ini dapat dilihat bahawa kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid
di negara ini perlulah diuruskan dengan baik dan berhati-hati agar tidak menimbulkan
sebarang pertelingkahan dan perpecahan dalam kalangan murid di sekolah. Pada masa
yang sama, penting juga bagi guru untuk menjalinkan kerjasama dengan para ibu bapa
dan pihak sekolah agar setiap langkah dan program yang ingin dilaksanakan mendapat
sokongan dan kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak sekaligus dapat
memastikan konsep mesra budaya ini diaplikasikan sepenuhnya di setiap sekolah. Hal
ini diharapkan dapat membentuk suasana persekitaran dalam bilik darjah yang kondusif
dan selesa bagi setiap murid tanpa mengira kaum, bangsa, budaya, jantina, status
sosioekonomi, dan sebagainya dengan penerapan konsep mesra budaya yang
diimplimentasikan oleh guru dalam bilik darjah tersebut. Oleh itu, jelaslah disini bahawa
terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan oleh guru dalam penerapan konsep
mesra budaya di dalam bilik darjah serta pentingnya bagi seseorang guru itu untuk
memahami konsep mesra budaya yang sebenar dalam mendidik generasi muda kini.

Rujukan

11

Che Nidzam. (2011). Physical dan Psychosocial Aspects in Science Laboratory Learning
Environment. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Che Nidzam Che Ahmad, Saidatul Ainoor Shaharim & Asmayati Yahaya. (2016).
Kesesuaian Persekitaran Pembelajaran, Interaksi Guru- Pelajar, Komitmen
Belajar, dan Keselesaan Pembelajaran dalam Kalangan Pelajar Biologi. Jurnal
Pendidikan Sains dan Matematik Malaysia Vol.6 No. (101-120).

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noriati A. Rashid, Boon P. Y., Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidah A. Majid. (2017).

Budaya dan Pembelajaran. Oxford Fajar Sdn Bhd.
Suresh Kumar N. V. (2016). Keberkesanan Hubungan Guru Kelas-Murid Dalam

Merangsang Kesedaran Terhadap Integrasi Etnik dalam Kalangan Murid di Bilik
Darjah. Jurnal Ilmi Jilid 6 (69-88).
Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Miskon. (2010). Budaya dan Pembelajaran.
Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Walberg, H.J. (1984). Improving the productivity of America’s schools. Educational
leadership (Alexandria, VA), 41(8), 19 –27.
Zalika Adam, Faridah Kassim & Mohamad Johari Salleh. (2009). Memperkasakan
Pendidikan Luar Bandar, 3-5. Prosiding “Persidangan Kebangsaan Pendidikan
Luar Bandar 2009”. Anjuran: Sekolah Pembangunan dan Pendidikan Sosial:
Universiti Malaysia Sabah. Dimuat turun daripada:
http://irep.iium.edu.my/11670/1/Procedng_Memperkasakan_Pend_Luar_Bandar.
pdf

12


Click to View FlipBook Version