The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Nurin Najwa, 2024-03-24 09:43:34

SANG MUSANG YANG LICIK

BUKU CERITA KANAK-KANAK

SANG MUSANG YANG LICIK NURIN NAJWA BUKU CERITA KANAK-KANAK


Pada suatu masa dahulu, terdapat sebuah keluarga kucing yang hidup dengan bahagia. Keluarga itu terdiri daripada Ibu kucing dan anak-anaknya sebanyak lima ekor. Anak-anak kucing tersebut bernama Didi, Cici, Nini, Kiki dan anak yang terakhir bernama Mimi. Mereka tinggal bersama di atas bukit dalam sebuah perkampungan kecil.


Pada suatu pagi, Si Ibu kucing ingin keluar untuk membeli makanan di pasar. Jadi, sebelum dia keluar ke pasar dia berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuka pintu kepada orang yang tidak dikenali.


“Wahai anak-anakku, ibu ingin keluar membeli makanan sebentar. Jangan buka pintu kepada orang yang tidak dikenali ya ” , pesan Si ibu kucing. “Baiklah ibu ” , sahut kesemua anak kucing itu. “Didi, jaga adikadikmu ya. Ibu akan keluar sebentar sahaja. Ingat pesanan ibu ” , Si Ibu kucing berpesan kepada anaknya yang pertama iaitu Didi.


Pada masa yang sama, terdapat seekor musang yang sedang kelaparan berjalan di hadapan rumah kucing. “Aduhai perutku ini terasa sungguh lapar. Apakah yang harus aku makan?” kata Sang Musang tersebut sambil mengusap perutnya yang lapar. Tiba- tiba dia terdengar suara anak-anak kucing yang bermain dengan gembira di dalam rumah. “Wah! Sedapnya jika aku dapat makan mereka semua. Jika aku dapat makan ibu mereka juga, pasti aku menjadi lebih kenyang!” kata Sang Musang dengan gembira.


Dia mencari akal untuk menangkap dan memakan seluruh keluarga kucing. Sedang dia memikirkan cara untuk menangkap anak kucing, dia melihat Si Ibu Kucing keluar dari rumah. Dia berfikir, inilah masa yang sesuai untuk memerangkap anak-anak kucing semasa ketiadaan ibu mereka. Dia segera memutuskan untuk pergi ke rumah kucing tersebut.


Setibanya Sang Musang itu di pintu rumah, dia mengetuk pintu dengan kuat. “Wahai anak-anak, ibu sudah pulang ” , Sang Musang itu cuba menyamar untuk menjadi ibu mereka. Didi pun pergi menuju ke pintu untuk menyambut kepulangan ibu mereka. Akan tetapi, dia menyedari bahawa suara tersebut bukanlah suara ibu mereka kerana suara itu sangatlah kuat dan kasar tidak seperti suara ibu mereka. Manakala Mimi pula ternampak kuku Sang Musang yang besar dan tajam dari celahan pintu.


"Didi, kukunya besar dan tajam. Kuku ibu tidak kelihatan seperti itu" , kata Mimi kepada Didi. “Jadi, dia bukan ibu kita ” kata Didi sambil berbisik kepada Mimi. “Didi, suruhlah dia pergi dari sini” kata Mimi. “Kamu bukanlah ibu kami kerana suaramu sangat kuat dan kasar serta kukumu tajam dan besar ” , kata Didi kepada Sang Musang.


Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Didi, Sang Musang itu pun berlalu pergi dari situ untuk mencari helah lain untuk memerangkap anak-anak kucing itu. Ketika Sang Musang sedang duduk di bawah pokok, dia mendapat akal untuk mengubah suaranya agar menjadi lebih lembut. Setelah mengubah suaranya menjadi lembut, dia mencabut kukunya yang besar dan tajam itu. Sang Musang pun menangis teresak-esak kerana kesakitan. Selepas selesai menukar suaranya dan mencabut kukunya, dia kembali semula ke rumah kucing itu.


Setibanya di rumah kucing, Sang Musang pun berkata dengan lemah lembut. “Wahai anakanak, ibu sudah pulang. Cepatlah buka pintu ” , kata Sang Musang itu. Didi pun pergi ke pintu untuk membuka pintu kerana menganggap ibu mereka sudah pulang. Setelah Didi berpuas hati mendengar suara dan melihat kuku musang tersebut, Didi menganggap ibu mereka sudah pulang. Didi pun membuka pintu dengan teruja. Alangkah terkejutnya mereka semua kerana yang mengetuk pintu tersebut bukan ibu mereka tetapi Sang Musang.


Anak-anak kucing berlari dalam keadaan huru-hara untuk melarikan dan menjerit-jerit ketakutan. Malangnya, Sang Musang terlebih dahulu mengunci pintu agar anak-anak kucing tidak dapat melarikan diri. Pada masa yang sama, Si Ibu Kucing pun pulang dari pasar. Dia terdengar suara anakanaknya menjerit ketakutan. Dia mula berasa risau kerana anak-anaknya menjerit seperti dalam keadaan ketakutan.


Dia ingin melihat keadaan anak-anaknya dalam rumah melalui tingkap. Dia berasa sangat terkejut kerana melihat Sang Musang berada di dalam rumah mereka. Dia segera mencari akal untuk menangkap Sang Musang dari memakan anak-anaknya. Dia mendapat akal untuk memasang perangkap pada pokok yang berdekatan dengan rumah mereka.


Dalam sekelip mata sahaja kesemua anak kucing telah ditangkap oleh Sang Musang. Sang Musang meletakkan kesemua anak kucing di dalam sangkar sambil menunggu kepulangan Si Ibu Kucing. Sang Musang pun bersembunyi di dalam almari sambil menunggu Si Ibu Kucing masuk ke dalam rumah. Selepas Sang Musang bersembunyi, Si Ibu Kucing pun masuk ke dalam rumah untuk mengumpan Sang Musang keluar dari tempat persembunyiannya.


Ketika melihat Si Ibu Kucing masuk ke dalam rumah, Sang Musang terus keluar dari almari dan mengejar Si Ibu Kucing dengan laju. Si Ibu Kucing pun berlari ke arah perangkap yang telah dipasang olehnya untuk memerangkap Sang Musang. Si Ibu Kucing bernasib baik kerana perangkap yang dipasang olehnya telah berjaya memerangkap Sang Musang. Alangkah terkejutnya Sang Musang apabila dia baru menyedari bahawa dirinya telah terperangkap.


“Tolong! Tolong!” , jerit Sang Musang. Si Ibu Kucing segera menghampiri Sang Musang. “Wahai Sang Musang, inilah balasan kepada kamu kerana kamu telah berniat jahat. Kamu juga telah mengganggu keamanan keluarga kami. Tinggalah kamu disini” , kata Si Ibu Kucing. “Maafkan aku Ibu Kucing. Aku berjanji tidak akan mengganggu kehidupan kamu sekeluarga lagi. Tolonglah lepaskan aku ” , rayu Sang Musang.


Si Ibu Kucing pun berasa kasihan melihat keadaan Sang Musang. Si Ibu Kucing memotong tali perangkap yang mengikat kaki Sang Musang itu. Sang Musang tidak mampu melakukan apaapa pada Si Ibu Kucing kerana kukunya telah dicabut. “Terima kasih kerana telah melepaskan aku, Ibu Kucing. Aku berjanji tidak akan melakukan kejahatan lagi” kata Sang Musang. Setelah Sang Musang dibebaskan, dia pun segera lari ke dalam hutan.


Si Ibu Kucing pun pulang ke rumah bagi melihat keadaan anak-anaknya. Setibanya dia di rumah, dia mengeluarkan anak-anaknya dari sangkar. “Syukurlah anak-anak ibu selamat” kata Si Ibu Kucing sambil memeluk anak-anaknya. Anak-anak kucing menangis teresak-esak kerana masih dalam keadaan ketakutan.


Akhirnya keluarga kucing tidak lagi diganggu oleh Sang Musang dan mereka hidup dalam keadaan aman dan damai. Manakala Sang Musang pula meneruskan hidup di dalam hutan dengan memakan buah-buahan dan tidak lagi memakan haiwan kecil yang lain.


TAMAT


Click to View FlipBook Version