The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by zaliyana, 2020-10-30 02:25:09

1 artikel

ASPEK KEPENGARANGAN MOHD SAID SULAIMAN DALAM MENGANGKAT
MARTABAT KESULTANAN JOHOR PADA AWAL HINGGA PERTENGAHAN

ABAD KE-20

Mahdi Shuid, Shapiza Sharif, PhD, Ramlah Ghani
Jabatan Sains Kemanusiaan

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu

[email protected]

Abstrak

Puluhan kajian telah dilakukan terhadap aspek kepengarangan Mohd Said Sulaiman
oleh pengkaji-pengkaji terdahulu. Kebanyakan kajian berkenaan memberi sanjungan
kepada beliau yang dilihat mempersembahkan aspek kepengarangan yang tersendiri
serta mempunyai wawasan pemikiran yang jelas terutama dalam mengangkat Sejarah
Kesultanan Johor dan jurai keturunannya. Ironinya di sebalik segala sanjungan,
pengarang yang bernama Mohd Said Sulaiman belum diberi pengiktirafan yang
sewajarnya terutama dalam bidang persuratan Melayu sama ada di peringkat
tempatan apa lagi di persada antarabangsa. Kajian ini membicarakan Mohd Said
Sulaiman sebagai pujangga Melayu di Johor pada awal hingga pertengahan abad ke-
20 dengan menumpukan motif kepengarangan dalam karya sastera berbentuk syair.
Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan sejarah yang berfokus kepada kaedah
penyelidikan kepustakaan dan analisis teks. Dengan menggunakan sumber data
kajian yang diperoleh daripada kaedah kepustakaan, analisis perbincangan
dikembangkan berdasarkan sumber primer dan sumber sekunder. Kajian ini juga
bertujuan mengangkat aspek kepengarangan Mohd. Said Sulaiman dalam bidang
sastera Melayu tradisional di Johor. Dari aspek motif kepengarangan, dapat dibuat
kesimpulan bahawa pengarang ini telah berusaha untuk mengangkat martabat
Kesultanan Johor terutama pada awal sehingga pertengahan abad ke-20 melalui
karya-karyanya yang berbentuk syair.

Kata kunci: Pujangga Melayu, Kepengarangan, Temenggung Johor, Puisi
Tradisional, Syair

PENDAHULUAN

Nama penuh Mohd. Said Sulaiman ialah Mejar Dato’ Haji Mohd Said bin Haji Sulaiman. Beliau
dikenali sebagai seorang tokoh istimewa, dianggap cendekiawan terbilang dan tokoh
pujangga yang mempunyai wawasan sendiri. Ciri-ciri positif yang ada pada tokoh
diketengahkan bersandarkan kajian-kajian sarjana tempatan dan Barat. Karya-karya Mohd
Said sewajarnya mendapat pengiktirafan kerana melalui penulisan beliau sebagai pewaris
tradisi persuratan Melayu silam pada abad ke-20, sastera Melayu mengalami proses
perubahan daripada tradisional ke moden (Shaiful Bahri Md. Radzi & Mahdi Shuid, 2014). Hal
ini dapat dilihat daripada hasil karya beliau pada abad ke-20 yang lebih banyak dari segi
jumlah berbanding karya Raja Ali Haji pada abad ke-19 di Pulau Penyengat. Antara karya
berbentuk puisi dan prosa Mohd Said Sulaiman ialah Syair Riwayat Yang Amat Mulia Tengku
Ampuan Besar Pahang (Tengku Mariam Binti Sultan Abu Bakar) dan Johor (1953), Hikayat
Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar (1908), Hikayat Johor dan Tawarikh
Almarhum Ibrahim Sultan Johor (1951) dan Hikayat Johor serta Pahang (t.t). Karya-karya ini
mengangkat pemerintah istana Johor yang dibicarakan, iaitu Sultan Abu Bakar dan Sultan
Ibrahim. Berdasarkan fungsi sastera sejarah yang mengagungkan raja dan kerajaannya,
karya-karya Mohd Said ini memperlihatkan beliau mengangkat martabat keagungan
Kesultanan Johor khususnya keluarga Temenggung yang memerintah ketika itu.

Mohd Said juga berjaya menghasilkan lebih 30 karya sejarah (Arba’iyah Mohd Noor, 2011).
Beliau turut menghasilkan buah tangan berkaitan adat istiadat diraja Johor, kamus bahasa
Melayu, panduan penulisan dan sebagainya, sama ada secara persendirian atau melalui
organisasi Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (PBMPB) sehingga
dinobatkan sebagai Pendita Bahasa Johor. Dua lagi tokoh yang dinobatkan sebagai Pendita
Bahasa Johor ialah Datuk Haji Abdullah Abd. Rahman dan R. O. Winstedt (Fawzi Basri,
1995). Mohd Said turut melahirkan 11 judul karya bersifat keagamaan. Sumbangan dan
peranan Mohd Said dalam pentadbiran kerajaan Johor sangat besar. Ini dapat dilihat apabila
beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Sulit Sultan Johor selama 45 tahun.
Seterusnya, beliau berjaya memperoleh pangkat Mejar dalam Johore Military Forces (JMF)
(Arba’iyah Mohd Noor, 2011).

PERNYATAAN MASALAH

Nik Safiah Karim (1987) merumuskan bahawa jika dinilai dari segi zaman dan jumlah karya
dengan tokoh-tokoh lain yang sezaman dengan Mohd. Said, beliau muncul sebagai tokoh luar
biasa. Arba’iyah Mohd Noor (2011) menegaskan bahawa Mohd Said merupakan
cendekiawan terbilang Johor dan merupakan pengarang Melayu terbaik pada awal abad ke-
20 kerana karya-karya yang dihasilkan bukan sahaja mempunyai nilai-nilai sejarah malah juga
nilai-nilai Islam yang ditujukan sebagai tatapan dan pedoman bukan sahaja untuk masyarakat
di Johor malah di seluruh rantau Melayu pada zamannya, pada hari ini mahu pun akan datang.
Rahimah Hamdan dan Shaiful Bahri Md. Radzi (2013) menyimpulkan Mohd Said sebagai
tokoh pujangga Johor yang hebat dan mempunyai wawasan terkehadapan sehingga
bertanggungjawab menjadikan kerajaan Johor tersohor di seluruh persada dunia.

Walaupun puluhan kajian tentang berkenaan kepengarangan Mohd Said telah dilakukan serta
pelbagai sanjungan diberikan terhadap kepengarangannya namun setakat ini belum ada lagi
pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa-jasa beliau dalam bidang sejarah dan persuratan
Melayu di peringkat kebangsaan. Malah kehadiran Mohd Said yang dinaungi istana Johor
sering terlepas pandang dan peranan beliau seolah-olah tidak wujud. Hal ini terbukti apabila
memperkatakan sastera Melayu tradisional di Johor, umum akan menjengah ke Pulau
Penyengat yang pernah menjadi pusat perkembangan intelektual Alam Melayu abad ke-19.

TUJUAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk mengangkat aspek kepengarangan Mohd. Said
Sulaiman dalam bidang sastera Melayu tradisional di Johor pada awal hingga pertengahan
abad ke-20. Dari aspek motif kepengarangan, Mohd. Said Sulaiman telah berusaha untuk
mengangkat martabat Kesultanan Johor terutama pada awal sehingga pertengahan abad ke-
20 melalui karya-karyanya yang berbentuk syair.

OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk mencapai objektif yang berikut:

1. Membincangkan aspek kepengarangan Mohd. Said Sulaiman yang
mengangkat martabat Kesultanan Johor dalam bidang sastera Melayu
tradisional di Johor pada awal hingga pertengahan abad ke-20.

2. mengenal pasti usaha Mohd. Said Sulaiman dalam mengangkat martabat
Kesultanan Johor terutama pada awal sehingga pertengahan abad ke-20
melalui karya-karyanya yang berbentuk syair.

SOALAN KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk menjawab soalan yang berikut:

1. Apakah aspek kepengarangan Mohd. Said Sulaiman dalam bidang sastera
Melayu tradisional di Johor yang didapati mengangkat martabat Kesultanan
Johor pada awal sehingga pertengahan abad ke-20?

2. Apakah usaha Mohd. Said Sulaiman dalam mengangkat martabat Kesultanan
Johor terutama pada awal sehingga pertengahan abad ke-20 melalui karya-
karyanya yang berbentuk syair?

KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini penting dalam mengangkat aspek kepengarangan Mohd. Said Sulaiman dalam
bidang sastera Melayu tradisional di Johor pada awal hingga pertengahan abad ke-20. Dari
aspek motif kepengarangan, dapat dibuat kesimpulan bahawa pengarang ini telah berusaha
untuk mengangkat martabat Kesultanan Johor melalui genre puisi tradisional berbentuk syair
di Johor.

SKOP DAN BATASAN KAJIAN

Skop kajian mengenai aspek kepengarangan Mohd. Said Sulaiman dalam bidang sastera
Melayu tradisional di Johor. Kajian hanya menumpukan syair sejarah Syair Riwayat Yang
Amat Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang (Tengku Mariam binti Sultan Abu Bakar) Johor
1953 sahaja. Syair ini dipilih kerana penulis mengangkat pemerintah berketurunan
Temenggung di Johor. Kajian ini terhad pada pada awal sehingga pertengahan abad ke-20.
Pemilihan permulaan tahun kajian pada awal abad ke-20 kerana Mohd. Said Sulaiman mula
bergiat aktif menghasilkan karya sastera pada tahun 1908. Kajian ini berakhir pada
pertengahan abad ke-20 kerana Mohd. Said Sulaiman meninggal dunia pada tahun 1955.

TINJAUAN LITERATUR

Kajian-kajian terhadap kepengarangan Mohd. Said di peringkat awal dilakukan sepintas lalu
sahaja. Dengan Sekiranya berpaksikan perbicaraan perkembangan genre seperti novel,
cerpen, sajak, akhbar dan drama, nama Mohd. Said sememangnya tenggelam kerana beliau
tidak menghasilkan karya dalam genre-genre tersebut, kecuali sebuah cerpen yang berjudul
“Kerana Dia”. Tidak hairanlah penulis-penulis sezaman dengan Mohd Said seperti Syed
Sheikh al-Hadi, Ishak Haji Muhammad, Harun Aminurrashid, Ahmad Murad Nasaruddin dan
Abdul Rahim Kajai seringkali disebut peminat-peminat sastera tanah air. Antara kajian
terhadap kepengarangan Mohd. Said telah dilakukan oleh Fawzi Mohd. Basri (1971/72), Md.
Zain Idros (1973), Monshi Abdullah (1982/3), Hashim Mokhtar (1984), Nik Safiah Karim
(1987), Muhammad Yusoff Hashim (1997), Amat Johari Moain (2009), Muhd. Yusof Ibrahim
(2011), Arba’iyah Mohd Noor (2011) dan Abdul Rahman Tang Abdullah (2011 dan 2014).
Kajian yang membincangkan peranan dan karya Mohd. Said dalam sejarah persuratan dan
kesusasteraan Melayu moden dilakukan oleh Fawzi Mohd. Basri (1971/72). Fawzi
menyarankan supaya tidak memperkecil peranan dan karya Mohd. Said tidak harus
diperkecil. Karya-karya sejarah banyak dibincangkan oleh Hashim Mokhtar (1984) dan penulis
menjelaskan bahawa Mohd. Said bukan sahaja menghasilkan banyak buku ilmu pengetahuan
yang sangat berguna untuk umum, beliau juga tidak lokek untuk menaburkan ilmu

pengetahuan yang diperolehnya kepada masyarakat. Kajian-kajian lain yang telah dilakukan
terhadap karya-karya Mohd. Said hanya menyentuh satu atau dua aspek seperti aspek
bahasa, adat istiadat dan institusi (Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja). Li Chuan
Siu (1966) pula hanya membincangkan latar belakang Mohd. Said dalam 11 baris sahaja.
Antara tahun 1904-1908 beliau menerbitkan dua buah karangannya bertema sejarah, iaitu
buku pertama berjudul Hikayat Queen Victoria dan buku kedua bertajuk Hikayat Johor. Buku
kedua ini merupakan tawarikh Negeri Johor yang baharu, iaitu mengisahkan penubuhan
negeri Johor sejak Almarhum Sultan Abu Bakar. Kandungannya merupakan catatan tentang
pentadbiran dan kejayaan baginda di samping perjalanan baginda ke negara-negara Eropah
dan lain-lainnya serta lawatan orang-orang besar ke Negeri Johor. Sayangnya maklumat
berkaitan karya Mohd. Said yang lain tidak didedahkan oleh Li Chuan Siu.

Kajian yang agak komprehensif terhadap Mohd. Said dan karyanya setakat ini telah dilakukan
Arba’iyah Mohd Noor (2011) dalam Mohd Said Sulaiman: Cendekiawan Terbilang Johor.
Arba’iyah lebih memfokuskan perbincangan tentang latar belakang tokoh dan meneliti serta
menelusuri karya Mohd Said Sulaiman. Penyelidikan yang dilakukan tentang ketokohan Mohd
Said Sulaiman boleh dianggap satu-satunya karya yang lengkap. Arba’iyah menyifatkan
peranan dan sumbangan Mohd. Said begitu besar bukan sahaja sebagai orang kanan Sultan
Ibrahim malah sebagai ilmuwan dan penulis yang prolifik. Hal ini kerana karya-karya beliau
meliputi pelbagai bidang seperti sejarah, budaya, kesusasteraan, agama dan lain-lain.
Melihatkan skop penulisanan Mohd Said yang luas membuktikan bahawa beliau telah
melakukan kajian yang mendalam dengan mencari sumber-sumber sebelum menghimpunkan
kesemua maklumat itu untuk tatapan para pembaca. Arba’iyah menyimpulkan bahawa karya-
karya Mohd Said dapat dianggap sebagai karya bangsa Melayu terpenting dan antara hasil
usaha pengarang Melayu terbaik pada awal abad ke-20.

Amat Juhari Moain (2009) dalam Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu Di Negeri Johor
mengaitkan peranan Mohd. Said dengan institusi bahasa di Johor. Kajian terhadap usaha
perancangan bahasa Melayu di Johor yang dijalankan oleh Pakatan Belajar-Mengajar
Pengetahuan Bahasa atau Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor, dalam
pelbagai bidang seperti aspek tatabahasa, sistem ejaan, kosa kata dan istilah, penulisan
teknikal, penerbitan dan sastera dalam Bahasa Melayu. Pengkaji turut menyebut sepintas lalu
tentang penglibatan Mohd. Said dalam organisasi ini. Mohd. Said dicatatkan telah menjadi
Setiausaha Kehormat pada tahun 1904 dan seterusnya menjadi Naib Yang Dipertua.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini berbentuk kualitatif dan menggunakan kaedah penyelidikan sejarah dengan
mengaplikasikan kaedah penyelidikan kepustakaan dan analisis teks. Kecenderungan bidang
kajian ini lebih kepada histiografi Melayu tradisional iaitu sastera sejarah. Rujukan asas
bergantung kepada sumber primer iaitu Syair Riwayat Yang Amat Mulia Tengku Ampuan
Besar Pahang (Tengku Mariam binti Sultan Abu Bakar) Johor 1953. Dokumen asal ini dirujuk
di Arkib Negara Malaysia. Melalui teks syair sejarah, Mohd. Said cuba mengangkat tamadun
bangsa Johor yang diterajui oleh orang Bugis berketurunan Temenggung. Kaedah analisis
teks digunakan untuk menentukan sumber Mohd. Said membuat rujukan dalam menghasilkan
karya-karyanya.

Analisis Data

Penganalisisan data dilakukan dengan menggunakan sumber data kajian yang diperoleh
daripada kaedah kepustakaan, analisis perbincangan dikembangkan berdasarkan sumber

primer dan sumber sekunder. Kaedah analisis teks digunakan untuk menentukan sumber
Mohd. Said membuat rujukan dalam menghasilkan karya-karyanya. Setelah meneliti teks
utama kajian iaitu Syair Riwayat Yang Amat Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang (Tengku
Mariam binti Sultan Abu Bakar) Johor 1953, analisis kandungan terhadap teks dengan
sumber-sumber lain dilakukan. Antara teks sastera Melayu tradisional yang turut dirujuk
seperti Tuhfat Al-Nafis, Sejarah Melayu, Hikayat Pahang, Hikayat Siak, Hikayat Patani,
Hikayat Terengganu. Justifikasi kepentingan teks-teks sastera negeri lain dipilih kerana turut
memuatkan sejarah Johor. Johor merupakan negeri Melayu yang banyak memiliki hasil
pensejarahannya. Banyak teks yang memfokuskan pengkisahan kepada sejarah negeri
Johor.

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Dapatan Kajian

Dapatan kajian menunjukkan dari aspek motif kepengarangan, Mohd. Said Sulaiman telah
berusaha untuk mengangkat martabat Kesultanan Johor terutama pada awal sehingga
pertengahan abad ke-20 melalui karya-karyanya yang berbentuk syair. Dapatan kajian juga
berjaya mengangkat aspek kepengarangan Mohd. Said Sulaiman dalam bidang sastera
Melayu tradisional di Johor. Sehubungan itu, kajian ini dapat membuktikan Mohd Said
Sulaiman layak diangkat ketokohan dalam bidang sastera di Johor. Hal ini berdasarkan usaha
beliau dalam menampilkan aspek kepengarangan yang jelas mengangkat martabat
Kesultanan Johor terutama pada awal hingga pertengahan abad ke-20. Dengan ini dapat
dibuat kesimpulan bahawa selain Raja Ali Haji yang dijulang oleh para sarjana sebagai tokoh
yang menulis dan memartabatkan Kesultanan Johor, Mohd Said Sulaiman juga mampu berdiri
sama tinggi dan duduk sama rendah dalam bidang penulisan tradisional terutama yang
berbentuk puisi.

PERBINCANGAN

Mohd Said dan Kepengarangan Syair Tradisional

Mohd. Said Sulaiman telah berkhidmat dengan kerajaan dan memegang beberapa jawatan
sebelum melibatkan diri secara aktif dalam menghasilkan puisi tradisional, iaitu syair. Mohd.
Said Sulaiman memulakan kerjaya sebagai juruwang di Pejabat Perbendaharaan pada tahun
1898. Seterusnya, memanjat hierarki perjawatan apabila dilantik sebagai Penolong Ketua Pos
pada tahun 1902 dan Ketua Pos pada tahun 1910. Pada tahun yang sama beliau dilantik
sebagai Setiausaha Sulit Sultan Johor (Shaiful Bahri Md. Radzi & Mahdi Shuid, 2014). Melalui
genre puisi tradisional iaitu syair, Mohd Said dilihat menjelmakan pemikirannya dalam tema-
tema yang menyentuh keluarga Temenggung, kekuatan bangsa Melayu, keagamaan dan
syair nasihat. Antara syair berkaitan kekuatan bangsa Melayu yang ditulis oleh Mohd. Said
ialah Alam dan Bangsa Melayu dan Syair Melayu: Suatu Karangan Menyatakan Kelebihan
Bangsa Melayu. Syair berkaitan agama dan nasihat pula berjudul Syair Keadaan Tuhan dan
Manusia Dunia dan Akhirat Juga, Syair Simpulan Iman, Syair Panduan Perkahwinan dan
Rubai’yah Umar Khayyam. Walau bagaimanapun, hanya syair sejarah Syair Riwayat Yang
Amat Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang (Tengku Mariam binti Sultan Abu Bakar) Johor
1953 sahaja yang akan dibincangkan. Syair ini dipilih bagi membuktikan bahawa penulis
mempunyai motif untuk mengangkat penaungnya, iaitu pemerintah berketurunan
Temenggung di Johor.

Syair ini mengandungi 16 subtopik dan secara keseluruhannya mengisahkan enam peristiwa
yang melibatkan pemerintah kerajaan Johor dan Pahang. Pertama, Mohd Said
membicarakan latar belakang kelahiran Tengku Ampuan Besar Mariam dan adindanya

Tengku Ibrahim. Kedua, dikisahkan pertunangan dan perkahwinan antara Tengku Ampuan
Mariam dengan Tengku Mahkota (Tengku Ibrahim). Seterusnya dipaparkan kemangkatan
empat orang Sultan, iaitu Sultan Abu Bakar (Johor), Sultan Ahmad (Pahang I) Sultan Mahmud
(Sultan Pahang II) dan Sultan Abdullah (Sultan Pahang III) (Koleksi Surat-surat Persendirian
Mohd Said Sulaiman, 1953).

Dalam penulisannya, Mohd. Said juga menyisipkan zaman pemerintahan Jepun di Tanah
Melayu, khususnya di Johor dan Singapura. Kelima, Mohd Said mengisahkan hari-hari
terakhir Tengku Ampuan Mariam sehingga kemangkatan serta upacara pengkebumian
Almarhummah. Mohd Said mengakhiri syair ini dengan memberi ingatan tentang tarikh-tarikh
keputeraan Sultan Mahmud dan kemangkatan Sultan-Sultan Pahang. Rajah 1 menjelaskan
kandungan syair ini.

Latar belakang a. Tarikh Diputerakan Tengku Sulung Mariam
kelahiran Tengku b. Tengku Ibrahim Diputerakan dan Pindah ke
Ampuan dan Tengku
Johor
Ibrahim

Syair Riwayat Pertunangan dan a. Tengku Ibrahim bergelar dan Tengku
Yang Amat Perkahwinan Tengku Mariam Bertunang
Ampuan dan Tengku
Mulia Tengku Ibrahim b. Pahang Menghantar Belanja Bagi
Ampuan Besar Perkahwinan
Kemangkatan Sultan-
Pahang sultan Johor dan c. Perkahwinan Tengku Mahkota dan lain-lain
(Tengku Pahang d. Pengantin Berangkat ke Pahang.
Mariam binti
Sultan Abu Jepun Melanggar a. Kemangkatan Sultan Abu Bakar (Johor)
Bakar) Johor Malaya b. Kemangkatan Sultan Ahmad ( Pahang)
c. Kemangkatan Sultan Mahmud (Pahang)
d. Kemangkatan Sultan Abdullah

(Pahang.)

Akhir Zaman Tengku a. Akhir Zaman Tengku Ampuan Besar
Ampuan b. Tengku Gering dan Mangkat
c. Jenazah Dikebumikan
Peringatan Tarikh-tarikh
a. Penghabisan Ingatan Atas yang Mangkat
b. Peringatan Bagi Sedikit Tarikh-tarikh

Rajah 1: Kandungan Syair Riwayat Yang Amat Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang
(Tengku Mariam Binti Sultan Abu Bakar) Johor

Meskipun syair ini dinamakan Syair YAM Tengku Ampuan Mariam namun sebagai pujangga
istana, Mohd Said tetap memaparkan kehebatan Sultan Abu Bakar, pengasas Dinasti
Temenggung Johor serta latar belakang anakandanya, Sultan Ibrahim. Pujangga istana
biasanya terdiri daripada orang-orang dalam atau orang-orang yang berkait rapat dengan
istana, faham akan selok-belok kehidupan istana yang penuh dengan pelbagai peraturan dan
adat istiadat. Mereka menjalankan tugas sebagai penulis atau pencatat di samping

mengarang surat atau bingkisan yang dihantar kepada raja-raja yang lain (Siti Hawa Salleh,
1997). Melalui syair YAM Tengku Ampuan Mariam, Mohd Said cenderung mengangkat
keagungan pemerintah Johor agar menjadi ingatan kepada generasi akan datang, khususnya
keabsahan serta kenaikan status daripada ketiga (Temenggung) kepada yang pertama
(Sultan). Sebagai dinasti baharu, menjadi agenda Mohd. Said untuk mengabsahkan
kedudukan Temenggung Abu Bakar sebagai pengasas kerajaan Johor moden.

Seri Paduka Ayahanda Maharaja Johor
Demikianlah gelaran masa itu
Baharu diubah gelaran yang masyhur
Dari Seri Maharaja gelaran yang tentu

Raja Temenggung Tun Abu Bakar Seri Maharaja
Gelaran yang penuh disebuti
Syor Queen Victoria ringkas sahaja
Seperti raja-raja India bergemari

Disebutkan di sini supaya diketahuan
Tahun 1885 bergelar Sultan
Seperti bertreati dengan England
Gelaran yang sudah-sudah dihapuskan

(Mohd Said Sulaiman 1953: 1)

Maklumat tentang latar belakang Tengku Ampuan Mariam tidak dinyatakan dengan lengkap.
Mohd Said hanya menyebut bonda Tengku Ampuan Mariam ialah Encik Zubaidah (Encik
Serenggong). Tidak disebutkan bahawa nama sebenar Encik Zubaidah ialah Cecilia
Catherina Lange (permaisuri kedua Sultan Abu Bakar), anak kepada pedagang dari Denmark,
Mads Johansen Lange yang berkahwin dengan seorang wanita China, Nonna Sangnio.
Begitu juga dengan bonda Sultan Mahmud, suami Tengku Ampuan Mariam tidak dinyatakan.
Bonda Sultan Mahmud ialah Che Engku Pah binti Temenggung Ibrahim, yang merupakan
salah seorang permaisuri Sultan Ahmad, pengasas Kesultanan Pahang moden. Bermakna
hubunganTengku Ampuan Mariam dan Sultan Mahmud adalah sepupu. Tradisi perkahwinan
antara putera-puteri kedua-dua kerajaan Johor dan Pahang berlaku lagi pada masa kini.
Sultan Pahang ke-6, Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berkahwin dengan
Tunku Hajah Azizah Maimunah, puteri Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Al-Haj. Bonda
Tunku Azizah ialah Enche Besar Hajah Khalsom binti Abdullah atau nama asalnya Josephin
Ruby Treverrow, seorang rakyat Britain berasal dari Cornwall. Beliau juga merupakan bonda
kepada Sultan Ibrahim, Sultan Johor Moden ke-5 (Portal Diraja Pahang, 2019).

Dalam Syair Tengku Ampuan juga dicatatkan beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam
istana dan sejarah Johor. Antaranya termasuklah tarikh Tanjung Puteri dibuka pada tahun
1885 dan diubah namanya kepada Johor Bahru pada tahun 1866. Johor Bahru dijadikan pusat
pemerintahan kerajaan Johor. Catatan peristiwa kemangkatan Sultan Abu Bakar, Johor di
London turut diceritakan dalam syair ini. Peristiwa ini dianggap penting kerana melibatkan
upacara pelantikan Sultan Johor yang baharu, iaitu Sultan Ibrahim, Sultan Johor Moden
kedua. Pengkisahan kemangkatan Sultan Abu Bakar dan adat istiadat pemakaman baginda
diceritakan panjang lebar dalam Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar,
fasal (bab) 22 hingga fasal 26 (Abdul Rahman Tang Abdullah, 2011). Satu perkara yang
menarik dalam Syair Tengku Ampuan ialah kehidupan Tengku Ampuan dan kerabat di raja
semasa pendudukan Jepun di Johor (1941-1945). Kerabat-kerabat di raja terpaksa berpindah

ke Batu Pahat dan Kluang. Keadaan yang tidak tenteram digambarkan oleh Mohd. Said
seperti yang berikut:

Istana-istana Johor tiada tinggal seorang
Senanglah Jepun membedil ke seberang
Tak berapa harinya nyatalah terang
Mengakulah Singapura kalah perang

Penuhlah Jepun dalam Singapura
Orang Inggeris yang tinggal ditawani
Rantau Changi dihimpunkan mereka
Tak diberi ke sana ke mari

Istana Pasir Pelangi tiada apa-apa
Betul bagaimana ditinggal sekaliannya
Istana Stulang Jepun menggunakannya
Masing-masing tengku ke lain tujuannya

(Mohd Said Sulaiman 1953: 12)

Maklumat yang dipaparkan oleh Mohd Said berkaitan pendudukan Jepun merupakan
peristiwa yang benar-benar berlaku, yang disaksikan sendiri oleh Mohd Said. Sungguhpun
Mohd Said menghasilkan buku berjudul Ringkasan Tawarikh Nippon dan Semangat Nippon
yang sebenarnya, namun cerita tentang kekalutan kerabat semasa pendudukan Jepun
diceritakan dalam syair ini sahaja. Karya ini dimulakan dengan latar belakang sejarah Jepun
termasuk mitos yang menyatakan keturunan orang Jepun berasal dari dewa kayangan. Mohd
Said menegaskan bahawa zaman pemerintahan Meiji adalah penting kerana
pembaharuannya dalam pelbagai aspek untuk membangunkan Jepun. Mohd. Said turut
menyatakan bahawa kerajaan Johor mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan
Jepun. Pada tahun 1833, Sultan Abu Bakar pernah bertemu dengan Maharaja Meiji semasa
melawat negara itu. Hubungan persahabatan diteruskan oleh Sultan Ibrahim dan Maharaja
Tenno Heka dari Jepun (Arba’iyah Mohd Noor, 2011)

IMPLIKASI

Implikasi dapatan kajian aspek kepengarangan Mohd. Said Sulaiman dalam bidang sastera
Melayu tradisional telah mengangkat martabat Kesultanan Johor pada awal hingga abad ke-
20. Dapatan ini sekali gus membuktikan bukannya Raja Ali Haji yang berbuat demikian seperti
yang digambarkan oleh para sarjana sebelum ini.

KESIMPULAN

Di Johor pada awal hingga pertengahan abad ke-20, Mohd Said merupakan tokoh tunggal
yang berkarya dalam tempoh berkenaan. Kehadiran Mohd Said dalam bidang penulisan
khususnya genre sastera sejarah adalah naungan istana Johor sekali gus menjadikan Johor

Bahru sebagai pusat persuratan Melayu. Meskipun, berpendidikan Inggeris dan menerima
arus pemikiran Barat, namun Mohd Said menghalakan mata penanya bagi mengukuh dan
memartabatkan pemerintahan naungan Dinasti Temenggung yang menaunginya. Melalui
Syair Tengku Ampuan yang dibincangkan di sini, menyerlahkan status Mohd. Said sebagai
Pujangga Melayu Terakhir di istana Temenggung pada awal hingga abad ke-20. Pengetahuan
beliau tentang peraturan dan selok-belok istana setelah 45 tahun berkhidmat sebagai
Setiausaha Sulit Sultan Ibrahim, berdarah Bugis sebelah ibunya (bersamaan dengan
keturunan Temenggung Johor) dan berkahwin pula dengan anak saudara Sultan Abu Bakar
melengkapkan lagi ciri-ciri seseorang pujangga Melayu Johor. Selepas 64 tahun
pemergiannya, sumbangan penulis Johor ini perlu diiktiraf. Menjadi tanggungjawab kerajaan
Johor dan agensi-agensi berkaitan serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di
Johor dan di peringkat pusat untuk menobatkan beliau sebagai Pujangga Melayu Terakhir,
bukannya Raja Ali Haji seperti yang didakwa sarjana sebelum ini.

RUJUKAN

Amat Juhari Moain. (2009). Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu Di Negeri Johor. Dewan
Bahasa dan Pustaka.

A. Rahman Tang Abdullah. (2011). Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar:
Kajian Transliterasi dan Terjemahan Bahasa Inggeris. Yayasan
Warisan Johor.

A. Rahman Tang Abdullah. (2014). Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Ibrahim.
Yayasan Warisan Johor.

Arba’iyah Mohd Noor. (2011). Mohd Said Sulaiman: Cendekiawan Terbilang Johor. Yayasan
Warisan Johor.

Fawzi Basri. (1995). Major Datuk Haji Mohd. Said b. Haji Sulaiman: Peranan dan karyanya
dalam Sejarah Persuratan dan Kesusasteraan Melayu Moden. Dlm. Shaidun Shaari &
Inzura Kosnin (Ed.), Warisan Budaya Utara Selatan, (ms. 159-169). Majlis
Kebudayaan Negeri Kedah Darul Aman.

Fawzi Mohd. Basri. 1971/72. Major Datuk Haji Mohd. Said B. Haji Sulaiman: Peranan dan
Karyanya dalam Sejarah Persuratan dan Kesusasteraan Melayu Moden. Humanisma.
Bil. 1: 160-169.

Hashim Mokhtar. (1984). Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman. Dlm. Khoo Kay Kim (Ed.),
Sastera dan Sasterawan II, (ms.70-80). Persatuan Sejarah Malaysia.

Koleksi Surat-surat Persendirian Mohd Said Sulaiman. (1953). Arkib Negara Malaysia.

Li, Chuan Siu. (1966). Ikhtisar Sejarah Kesusasteraan Melayu Baru 1830-1945. Pustaka
Antara.

Mohd Said Sulaiman. (1953). Syair Riwayat YAM Tengku Ampuan Besar Pahang (Tengku
Mariam Binti Sultan Abu Bakar) Johor. Pejabat Cetak Kerajaan Johor.

Nik Safiah Karim. (1987). Sumbangan Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor
Terhadap Perkembangan Bahasa Melayu” dalam Tradisi Johor-Riau, Kertas Kerja
Hari Sastera 1983. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Portal Diraja Pahang. (21 Februari 2019). Sejarah Kesultanan Melayu Pahang.
http://www.dirajapahang.my/portaldiraja/?page_id=115

Rahimah Hamdan & Shaiful Bahri Md. Radzi. (2013). Penghubung Dua Zaman: Peranan
Mejar Dato’ haji Mohd. Said Sulaiman Dalam Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim
Munsyi. Kertas Kerja Seminar Serantau Pemikiran Dato’ Mohd Said Sulaiman. Anjuran
IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan Dewan Bahasa dan Pustaka
Wilayah Selatan, 25-29 September.

Shaiful Bahri Md. Radzi & Mahdi Shuid. (2014). Johor Benteng Terakhir Warisan Persuratan
Melayu Tradisi: Satu Wacana. Prosiding Seminar Internasional “Pembelajaran
Sastera Melayu/Indonesia Sebagai Pembina Karekter Bangsa”, hlm. 1-15.

Siti Hawa Salleh. (2009). Kelopak Pemikiran Sastera Melayu. Universiti Kebangsaan
Malaysia.


Click to View FlipBook Version